75

Other Completed 493332

TEKSI berhenti saat lampu merah menyala. Pagi-pagi lagi, Nuraisha sudah bersiap-siap untuk kembali ke vila seperti yang dijanjikan pada Naura semalam. Sementelah menurut Naura, Puan Sri Mariam juga mencari dirinya. Jadi di dalam hal ini, dia masih tidak boleh pentingkan diri sendiri meskipun fikirannya sangat tertekan dengan apa yang melanda.

Nafas yang dihela kedengaran berat semacam. Fikirannya buntu dan hatinya serba-salah. Haikal meletakkan dia di dalam keadaan yang sukar. Keputusannya untuk pergi kali ini disambut baik dengan Haikal setelah dia bersetuju dengan perbincangan mereka semalam. Malah dia juga turut meletakkan syarat jika Haikal benar-benar mahukan dirinya.

Wajah tenang Mia di sebelah ditatap dengan penuh syahdu. Kasihan Mia. Anak yang satu ini benar-benar tidak mahu berenggang jauh darinya. Teringat kembali akan kejadian yang menimpa Mia, hatinya diserbu dengan sejuta penyesalan. Disebabkan itulah dia membuat keputusan ini, membawa Mia bersama meskipun ditentang oleh Haikal pada mulanya.


"Don' t be too stupid Nur! Awak tahu, saya tak boleh jauh dari Mia. Dan awak nak bawak dia pergi jauh dari hidup saya. Unfair!" bentak Haikal dengan nafasnya turun naik seakan menahan amarah sahaja.


Wajah ketakutan Mia ditenung. Dari tadi, tubuh genit itu asyik bersembunyi di belakang Nuraisha dan tidak mahu memandangnya langsung.


Haikal menyedari, Mia berubah begitu kerana dirinya juga. Sejak peritiwa memukul Mia semalam, Mia sudah tidak seceria seperti lalu. Bahkan dia seperti trauma sahaja. Haikal mengeluh. Dia menyesal. Benar-benar menyesal!

"Awak tak benarkan saya bawak Mia supaya awak boleh pukul dia lagi kalau awak marahkan saya? Atau awak nak dera Mia untuk puaskan hati awak?" Nuraisha menyindir. Dia tahu, kesalahan terbesarnya adalah membuatkan Haikal menyimpan dendam lantas menjadikan Mia sebagai alat untuk memuaskan hati dan amarahnya. Dia benar-benar merasa bersalah dan sedih di atas apa yang telah berlaku.

Gara-gara itulah dia mengambil keputusan drastik itu. Dia tahu, Farrhan dan Mia sama-sama memerlukan dirinya kini. Dan dia juga tahu, kedua-dua mereka tidak boleh diabaikan.

Jadi, untuk berlaku adil, Nuraisha terpaksa membawa Mia bersamanya, apatah lagi setelah apa yang berlaku pada Mia dan atas desakan Naura serta Puan Sri Mariam, dia yakin dengan keputusan ini. Fariq pula terpaksa ditinggalkan dengan Mek Som kerana dia tidak mahu menimbulkan terlalu banyak persoalan dan masalah nanti.

Kata-kata Nuraisha sungguh merobek hatinya. Namun tiada yang salah pada omongan itu. Dek kerana terlalu ikutkan perasaan dan hawa nafsu, Mia dijadikan sebagai alat pelepas dendam. Sedangkan Mia adalah anak kandungnya sendiri. Kini, Mia takut dan enggan menatapnya.

"Saya...saya dah buat salah" Haikal menghantar punggung di atas kerusi. Dia meraup wajah dalam kesalan. "Pada Mia. Pada arwah Hanis" Kata-katanya kali ini mengendur dan berbaur penyesalan.

Nuraisha mengeluh. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna! Anak sekecil Mia merasai kesakitan dari tangan ayah kandungnya sendiri. Wajarlah anak itu ketakutan sahaja. Dari tadi asyik menggenggam erat jari-jemarinya. Jika dia bergerak sedikit, Mia pasti merengek.

"Benarkanlah saya bawa Mia. Awak tahu kan, Mia tak mampu nak berenggang dengan saya. Dan kalau saya tinggalkan awak dengan dia, saya tak boleh bayangkan apa yang akan berlaku kalau awak marah atau sakit hati. Lagipun, Mek Som tak mampu nak jaga Mia. Sebab Fariq pun dah saya tinggalkan dengan dia. Dan kalau Mia dengan saya, sekurang-kurangnya perasaan trauma dan takut dia pada awak akan menghilang"

Lembut Nuraisha memujuk. Dia tahu, dalam kekerasan hati itu, ada segelumit rasa kasihan dan kelembutannya yang tersembunyi.

Haikal menyepi. Omongan Nuraisha memang masuk akal. Namun relakah dia berpisah dengan Mia? Mereka tidak pernah berjauhan sebelum ini.

Bebola matanya menyapa wajah lembut penuh ketakutan Mia itu. Didepakan tangan, memujuk si anak untuk mendekat. Mia malah menjauh, bahkan menyembunyikan wajah di sebalik Nuraisha. Haikal sedih dan kecewa. Dia mengeluh. Dia tahu, peluang untuk menambat kembali hati si anak hanya tinggal dua persen sahaja. Mia sudah membencinya, mungkin juga tidak mahu menganggap dirinya ayah lagi.

Namun Haikal juga tidak mahu rugi. Jika Nuraisha segampangnya memenangi kepercayaan Mia, dia juga mahu benda yang sama tetapi dari orang yang berbeza. Dia menghela nafas kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Wajah Nuraisha dipandang.

"Nur tahu apa yang saya mahu. Dan dengan benda tu, saya janji akan lepaskan awak dan Mia dengan senang hati. Kalau tak, jangan harap semudah tu awak akan keluar dari rumah ni. Pedulilah dengan suami sekarat awak tu! I want my right too!"

MATA Nuraisha yang terpejam dicelikkan semula. Dengan mengotakan janjinya pada Haikal, dia dan Mia akhirnya berjaya keluar dari sangkar imaginasi ciptaan Haikal itu. Dokumen penceraian yang pernah 'dihadiahkan' oleh Haikal kepadanya akhirnya terpaksa tunduk juga atas desakan dan keadaannya.

Nuraisha tak punya pilihan melainkan menuruti segala keinginan Haikal. Dan sekali lagi, hati yang pasrah terpaksa redha dengan permintaan takdir. Dalam redha, hatinya terluka sendiri. Dia tahu perpisahan bakal menanti di hujung jalan buat dirinya dan juga Farrhan namun kenapa dia merasa sedih secepat ini?

Air mata yang mengalir segera diseka. Dia tidak mahu Mia menyedari keadaan itu kerana anak kecil itu sangat bijak memerangkapnya dengan kata-kata.

"Puan, kita dah sampai" kata pakcik pemandu teksi itu.

Nuraisha memanggung kepala. Dia tidak sedar ketibaan mereka itu. Tidak disangka, sejauh itu dia mengelamun. Setelah membayar sejumlah wang kepada pemandu teksi, Nuraisha dan Mia kini berdiri di hadapan pintu pagar itu.

"Mama, kita kat mana ni?" soal Mia sambil menggenggam erat jari-jemari Nuraisha.

Nuraisha tersenyum lantas duduk bercangkung di hadapan Mia.

"Kita kat rumah..." Nuraisha berjeda. Terfikir akan ayat-ayat yang sesuai untuk diutarakan kepada Mia.

"Rumah suami mama" Nuraisha memutuskan untuk berterus-terang saja.

"Suami mama? Papa Mia ke? Habis tu, yang kat rumah Mia tu siapa? Takkan Mia ada dua orang papa?"

Soalan Mia justeru mengundang tawa di bibir Nuraisha. Dia lupa, Mia sangat bijak meskipun umurnya baru lima tahun.

"Mana Mia belajar ni? Hmmm?" gumam Nuraisha.

"Alaa, Mek Som selalu tengok cerita yang kat tv tu. Mia join sekalilah"

Nuraisha tergelak lagi. Anak yang satu ini tak pernah buat dia susah hati! Dikucupnya dahi dan pipi Mia penuh kasih sayang.

"Okey, jom. Kita masuk"

"Mama sayangkan suami mama ke?"

Soalan Mia membuatkan Nuraisha tersentak. Hatinya berdebar-debar dengan soalan itu apatah lagi dari mulut seorang anak kecil seperti Mia.

"Kenapa mama sanggup tinggalkan papa dan adik Iq? Sebab mama sayangkan suami mama ke? Adik Iq tu anak mama dengan suami mama ke? Jadi adik Iq tu bukan adik Mia ke? Tapi Mia sayang sangat dekat adik Iq"

Bicara demi bicara Mia itu menenggelamkan Nuraisha dalam lautan ketakutan. Bagaimana jika persoalan yang sama ditanya oleh Naura atau yang lain saat kewujudan Fariq diketahui?

"Mia..." Tubuh Mia dihadapkan ke arahnya. Air mata yang sempat menumpang tadi sudah diusir jauh-jauh.


"Mia jangan cakap apa-apa pasal Iq dekat sesiapa tau?"

"Kenapa pulak?"

"Nanti ada orang ambik Iq dari mama. Lepas tu, mama sedih. Mia nak tengok ke mama sedih?"

Mia menggeleng kepala.

"Kalau macam tu, Mia kena janji tau? Jangan bagitau apa-apa pasal Iq. Ye?"

Kali ini, Mia mengangguk kepala. Nuraisha tersenyum puas namun hati seakan tak mampu duduk diam. Dari tadi, asyik nak tercopot saja hatinya dek soalan Mia.

"SIAPA ni kak?" Pandangan Naura jatuh pada wajah comel Mia. Hatinya terpaut pada wajah itu. Salin tak tumpah seperti Nuraisha! Tapi...Naura menggeleng kepala. Tak mungkinlah!

"Mia. Dia anak..." Nuraisha berjeda. Serba salah untuk berterus-terang. Takkan nak bagitau Mia anak Haikal yang bakal dikahwininya tidak lama lagi? Sungguh menempa bahana!

"Anak siapa kak?" Naira yang baru muncul tiba-tiba menyoal. Wajah comel Mia menarik minatnya. Dihampiri anak kecil itu sambil tersenyum. Namun seperti Naura, dia juga kebingungan. Kenapa wajah Nuraisha persis anak kecil ini?

"Anak majikan saya" Akhirnya Nuraisha berbohong. Entah berapa banyak pembohongan dah dilakukan demi untuk menyelamatkan diri sendiri. Arghhh!

"Majikan akak?" Naura ragu-ragu. Wajah polos Nuraisha menceritakan yang sebaliknya.Dia yakin, ada sesuatu yang disembunyikan.

"Aahh.." sahut Nuraisha pendek.

"Tak kisahlah dia anak siapa. Tapi dia memang comel. Ya Allah, geramnya aku!" sampuk Naira pula. Pipi Mia dicubit kegeraman.

"Apa cubit-cubit ni?" Mia memprotes sambil buat mencungnya sedepa. Dia bersembunyi di belakang Nuraisha.

Perlakuan Mia mengundang tawa Naira. Telatah Mia sungguh melucukan hatinya. Namun dia tak habis fikir. Kenapa Mia memiliki paras rupa yang seiras dengan Nuraisha? Mata, hidung, bibir bahkan jelingannya juga serupa dengan Nuraisha. Musykil...

"Mia, tak baik macam ni tau..." tegur Nuraisha.

"Dia cubit Mialah mama!"

Serentak itu, Naura dan Naira kaget. Mama?

Melihatkan riak wajah kedua kembar itu, Nuraisha pantas menjelaskan duduk perkara sebenar.

"Mia ni dah biasa panggil saya mama. Dah setahun lebih saya jaga dia. Lagipun mama kandung dia dah lama meninggal. Dan dia tak pernah tahu siapa mama kandung dia. Sebab tu lah..."

Kedua mereka hanya mengangguk kepala. Tanda memahami kata-kata Nuraisha.

"MIA duduk elok-elok dalam bilik ni ye? Mama nak keluar. Nak pergi jenguk suami mama"

Mia sedang enak menikmati Cadbury yang diberi oleh Naira tadi. Sebagai tanda maaf di atas kecuaiannya mencubit pipi si kecil itu. Mia tersenyum saat menerima hadiah itu. Dan dia sempat memberi amaran kepada Naira agar tidak mengulangi perkara yang sama.

Naira tergelak seraya mengangguk. Tetapi dia juga meninggalkan janji kepada Mia, dan mengatakan mereka harus menjadi kawan baik selepas ini. Mia lantas bersetuju.

"Kenapa dengan suami mama?"

Nuraisha selesai mengemas baju milik mereka di dalam almari. Dia menggapai beberapa helai tisu dan mengelap mulut Mia yang penuh dengan coklat itu.


"Dia sakit" bagitau Nuraisha, jujur.

"Dia sakit apa?" tanya Mia lagi.


"Dia tak boleh bangun dari tidur"


"Kenapa dia tak boleh bangun dari tidur? Dia malas ke mama? Macam papa jugak?"

Nuraisha mengekek ketawa. Ada-ada saja telatah Mia yang mencuit hatinya.

"Mama tahu tak, dulu kan. Kalau papa malas, tak nak bangun tidur, Mia selalu panjat atas badan papa. Dan Mia bagitau, kalau papa tak bangun tidur, Mia tak nak kawan dengan dia"

Elok saja anak itu bercerita. Nuraisha tekun mendengar.

"Ye?"

Mia mengangguk.

"Lepas tu, apa jadi?"

"Papa sedarlah! Bijak tak Mia?"

Nuraisha tergelak lagi. Hidung mancung Mia dicuit.

"Iye, bijak sesangat!"

"Mama kena buat macam tu kat suami mama. Nanti dia sedarlah tu" ujar Mia dengan selamba sambil menelan satu-persatu coklatnya.

Kata-kata Mia mendiamkan Nuraisha. Takkan nak panjat atas dia? Hishhh!! Tak nak aku! Kepala digeleng berkali-kali.

"Mia duduk dalam ni je tau? Jangan keluar mana-mana. Mama pergi kejap je. Nanti mama balik sini lagi, kita makan ye?"

Mia hanya mengangguk kepala. Bibir Nuraisha singgah pada dahi itu sebelum berlalu keluar.

Mia mengeluh panjang. Cadbury sudah habis dimakannya. Dia turun dari katil dan mencari-cari bilik air untuk mencuci tangan. Namun tidak ketemu di mana-mana.

Dengan perlahan-lahan, Mia menjenguk kepala ke luar bilik. Rumah sebesar istana itu cukup mengkagumkan hatinya. Dari atas bilik, dia dapat melihat betapa luasnya ruangan bawah.

Mia melangkah keluar dari bilik lalu menuruni anak tangga satu-persatu. Meskipun rumah itu besar, tetapi ianya sunyi sepi sahaja. Ragu-ragu dengan keadaan di ruang tamu, Mia menghenyak punggung di atas tangga itu sambil menongkat dagu. Dia kebosanan. Tiada alat permainan yang boleh dibuat main.

"Anak siapa ni?" tegur Puan Sri Mariam yang muncul dari arah belakang. Mia menoleh lalu melemparkan senyuman comelnya.

Puan Sri Mariam terpana seketika. Wajah itu tak ubah seperti wajah Nuraisha. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, namun tiada sesiapa di situ. Aisha dah balik ke?

"Puan ni queen ke?" Mulut celoteh itu sudah mula dengan sesi soal jawabnya.

Puan Sri Mariam tertarik dengan wajah dan celoteh anak kecil itu. Lantas, dia menghantar punggung bersebelahan dengan Mia.

"Rasa-rasanya macam mana?" Puan Sri Mariam memulangkan soalan.


"Agaknyalah!" omel Mia sambil mengeluh.

Sekali lagi, gelagat Mia mencuit hati wanita tua itu.


"Mia bosanlah! Rumah yang besar macam istana ni takkan takde mainan?"


Ohh, nama dia Mia! Bibir tua itu mengukir senyum.

"Mia nak mainan ke?"

Wajah mencuka Mia kembali ceria. Dia memanggung kepala memandang Puan Sri Mariam sambil mengangguk laju.

"Mia boleh dapat mainan ke?"


"Boleh tapi Mia kena ikut nenek"


Mia menyepi. Nenek? Wajah Puan Sri Mariam ditenung.


"Tipu! Kenapa Mia kena ikut nenek? Ke nenek ni orang jahat? Nenek suruh Mia ikut nenek lepas tu, nenek culik Mia kan? Nenek nak jual Mia kat mana?"

Omongan Mia mencetuskan ketawa. Rasa-rasanya inilah pertama kali Puan Sri Mariam tergelak begitu.

"Takkan nenek nak culik Mia kat rumah nenek sendiri?"

"Tipulah! Jangan ingat Mia kecik, Mia boleh ditipu!"


"Ni rumah neneklah! Tadi Mia tanya nenek ni queen ke tak kan?"


Mia mengecilkan matanya. Seakan tak percaya dengan kata-kata itu namun wajah dan senyuman Puan Sri Mariam meyakinkan hatinya.

"Dah jom! Nenek bawak Mia pergi bilik nenek. Kat sana, banyak mainan. Jangan takut, nenek tak jahat"

SELESAI membersihkan Farrhan, Nuraisha duduk di sisi sambil merenung wajah penuh ketenangan itu. Setiap kali memandang wajah itu, hatinya berdetak hebat. Acapkali dia menyoal takdir hidupnya di samping lelaki itu. Dia tidak tahu apa yang sedang bermain di hati dan fikiran lelaki itu, tetapi yang pasti perpisahan bakal menanti mereka.

Bodohkah dia terlalu menuruti kata-kata Haikal? Iya, dia memang bodoh! Nuraisha tersenyum sumbing. Walaupun terlalu banyak jasa dan ihsan yang telah diberikan oleh Haikal terhadap dirinya, namun hatinya tak bisa menerima cinta lelaki itu.

Bahkan untuk membuka hati kepada mana-mana lelaki juga tidak mungkin akan berlaku. Dia belum bersedia untuk sampai ke tahap itu. Namun jika jodohnya sudah ditentukan untuk bersama dengan Haikal, mampukah dia membahagiakan Haikal dan dirinya sendiri? Dan bagaimana pula dengan nasib Farrhan?

"Saya selalu fikir pasal diri encik di setiap keputusan yang saya buat. Tapi ternyata saya bodoh! Encik tak pernah mahukan saya dari dulu, sampai sekarang. Tapi kenapa saya masih fikir akan kepentingan encik?! Bodoh kan saya?"

'Sha, saya pun selalu fikir pasal diri awak. Tolonglah jangan anggap diri awak bodoh! Ya Allah, berikanlah aku mukjizatMu! Benarkanlah aku berbicara dengan isteri aku! Aku nak berbual-bual dengan dia. Aku nak mintak maaf pada dia Ya Allah!'

Nuraisha bangkit dari duduk dan berkira-kira hendak pergi namun hujung bajunya sempat ditarik oleh Farrhan. Nuraisha menoleh dengan kerutan di dahi.

"Encik nak apa?"

'Temankan saya Sha! Saya tak nak sorang-sorang. Saya cari kelibat awak sebelum ni, mana awak pergi?'


"Saya bacakan encik Yasin ye? Biar encik mampu sembuh. Dan In Shaa Allah, Surah Yasin mampu tenangkan hati encik. Encik berdoalah dalam hati akan segala keinginan encik. In Shaa Allah, kalau kita berdoa dan menadah tangan dengan ikhlas, Dia takkan bagi tangan yang kosong"

Pada masa yang sama, Nuraisha menasihati dirinya sendiri. Hati yang bergelojak hebat kala itu juga mesti ditenangkan dengan ayat Al-Quran. Dia buntu dengan apa yang terjadi baru-baru ini.

"Saya tak pergi jauh. Saya takkan tinggalkan encik. Saya nak ambik wuduk, lepas tu kita sama-sama baca Yasin ye? Takpe kalau encik tak ingat, tapi encik ikut saya ye?"

Ujar Nuraisha tatkala Farrhan enggan melepaskan bajunya.

"Encik...saya tak pernah berpaling dari kata-kata saya. Saya tak pergi jauh pun. Percayalah"

Kepala Farrhan diusap penuh kelembutan. Saat jari-jemari itu singgah pada segenap wajahnya, Farrhan melepaskan tangannya perlahan-lahan. Serentak itu, Nuraisha melemparkan senyuman manisnya. Dia berlalu ke bilik air.

"WAAAA banyaknya mainan Tok Queen! Semua ni bagi Mia boleh tak?"

Mata Mia bersinar-sinar melihat mainan yang berbeza dan terlalu banyak itu. Dia baring di atas lantai marmar itu dengan penuh kesenangan. Sudah 20 minit dia bermanja-manja dengan mainan tersebut.

Puan Sri Mariam hanya ketawa memerhatikan gelagat Mia. Entah kenapa hatinya senang dengan kehadiran anak kecil itu. Apatah lagi mulut celotehnya itu tak habis-habis bercerita mengenai Nuraisha.

Bahkan gelaran Tok Queen juga diberikan oleh Mia kepadanya. Saat menanyakan mengenai gelaran itu, Mia hanya menjawab, "Rumah ni macam istana. Tok Queen cakap ni rumah Tok Queen. Jadi mestilah Tok Queen permaisuri kan? Macam cerita Barbie tu"

Terhibur Puan Sri Mariam dengan telatah Mia itu. Dan baru kini juga Puan Sri Mariam tahu siapa Mia pada Nuraisha. Tak disangka hubungan mereka bisa seakrab itu meskipun mereka bukan sedarah sedaging.

"Kalau Mia nak mainan ni, boleh je. Tapi Mia kena selalu temankan Tok Queen, kalau tak Tok Queen tak nak bagi"

Mia bangkit dari posisinya lantas mendekati Puan Sri Mariam.


"Janji tau?"


"Iye, Tok Queen janji"


"Tapi Mia nak coklat jugak"

Tersenyum Puan Sri Mariam mendengarnya.

"Okey, Tok Queen bagi jugak. Tapi janji, Mia kena selalu temankan Tok Queen"


"Yeayyyy!!" Mia bersorak keriangan lantas mendakap erat tubuh Puan Sri Mariam. Kemudian, pipi kanan Tok Queennya dikucupnya mesra.

Puan Sri Mariam kaget dengan kelakuan Mia. Namun dia senang dengan keadaan itu. Kehadiran Mia dan Nuraisha cukup mengisi ruang hatinya yang kosong dan sepi. Bahkan ikatan batin itu dapat dia rasakan antara dia dan Mia walaupun dia sendiri keliru dengan perasaannya.


"Terima kasih Tok Queen. Mia sayanggggggg Tok Queen!" Leher itu dipaut mesra.

Puan Sri Mariam tersenyum dalam tangisan. Makna sebuah hubungan tak harus dilestarikan atas dasar ikatan darah daging sahaja. Kadangkala kehadiran orang asing yang bukan keluarga sendiri bisa menjernihkan hati yang kian keruh.


"Tok Queen pun sayangggg Mia!"

done. sorry pd yg ttggu2 bab ni. dan terima kasih pd yg baru follow, yg bagi coins dan sentiasa memberikan komen. kiki tak sempat bls tp kiki mmg baca semua komen. yg pasti, setiap komen memberikan kiki idea baru kdg2, dan sorry pd yg tertekan dgn bab sblm2 ni. haha. enjoy the story readers :)

Share this novel

Cik Mafia
2021-07-31 10:29:15 

aku sian ke haiqal,harap ii kalau nur dk berjodoh dgn dia author bagi watak lain sorang sebagai jodoh baru utk haikal .... HAHAHHA


NovelPlus Premium

The best ads free experience