82

Other Completed 493332

"FARIQ!! Ya Allah, anak mama! Rindunya mama dengan Iq!" Pipi gebu Fariq dikucup berkali-kali bersama dengan linangan air matanya. Betapa dia merindui anaknya yang satu itu. Berpisah dengan Fariq ibarat merentap seluruh jiwanya. Namun dalam keterpaksaan itu, dia harus akur pada caturan takdir.

Saban hari, dia mencuba menghubungi Haikal untuk menanya khabar Fariq. Namun Haikal sentiasa tidak mahu memberi peluang kepadanya. Malah lelaki itu seakan sengaja memisahkannya dari Fariq dengan bertingkah seperti itu.

Tadi semasa dia tiba, dia tidak nampak kelibat Haikal atau Mek Som di mana-mana. Rumah terkunci rapat. Untung saja dia punya kunci pendua. Mudah untuk dia menerobos masuk ke dalam rumah. Keadaan rumah baik-baik sahaja tetapi ruangannya sepi. Dia segera ke kamar tidur Haikal tatkala mendengar tangisan Fariq di sana.

Berguguran air matanya melihat Fariq keseorangan di atas babycoat. Cepat-cepat dia meluru ke arah Fariq. Dia tahu, anaknya kelaparan. Lantas Fariq disusui sambil bibirnya mendendangkan lagu. Sekejap saja Fariq sudah terlelap.

Nuraisha meletakkan Fariq di dalam babycoat semula. Kucupannya singgah pada kedua pipi gebu itu. Saat dia berpaling, dia terpana melihat tubuh sasa Haikal terpacak di hadapan pintu kamar. Ternyata, lelaki itu juga kaget melihat kehadirannya di situ.

"Kenapa balik?" Pertanyaan sinis dari Haikal menyentakkan Nuraisha. Apatah lagi dengan suara garau dan kasar itu menyapa gegendang telinganya. Karakter Haikal berubah sama sekali.


"Nak jenguk Fariq. Nak jenguk awak" sahut Nuraisha dengan debaran di dada. Haikal dilihatnya meluru ke arah Fariq. Lelaki itu tersenyum riang saat bertembung mata dengan Fariq. Bibirnya laju singgah pada wajah comel itu.

"Mana Mia?" Tak peduli akan jawapan Nuraisha, dia mengubah topik perbualan pula. Hairan pula hatinya tidak melihat bayang-bayang Mia di sisi.


"Mia masih tidur. Saya tak nak kejutkan dia" bohong Nuraisha. Jika saja Haikal tahu akan ketakutan Mia terhadapnya, entah apa agaknya reaksi Haikal.Seriau pula dia memikirkannya...

"Awak nak tipu saya ke? Sepanjang saya besarkan Mia, dia tak pernah bangun selewat ni. Dia suka bangun awal, kadang belum pukul 7 dia dah berdiri depan pintu bilik saya"

Haikal teringat akan peristiwa lampau. Dulu hidupnya cuma ada dia dan Mia. Dan mereka mampu untuk bahagia. Mia suka bangun awal. Bahkan lebih awal dari dirinya. Anak yang satu itu sangat bijak mengatur masa. Sungguhpun berbadan dan berusia kecil, namun pemikirannya seperti orang dewasa.

Kini segala-galanya telah berubah. Dia dapat merasakan jarak mereka semakin jauh. Walaupun dia mencuba untuk menggapai Mia, entah kenapa genggamannya tetap terlerai. Ke mana hilangnya Mia yang dulu? Dia benar-benar merindui anaknya itu, meski bukan anak kandungnya sendiri. Namun baginya Mia tetap darah dagingnya. Dan tiada siapa berhak mengetahui itu.

Kata-kata Haikal membuatkan Nuraisha terkesima. Silap langkahnya kerana berbohong. Haikal lebih mengetahui fiil Mia. Ya Allah, kenapa dia tidak terfikir akan itu?


"Mana Mek Som?" Nuraisha pula menukar topik perbualan.

"Balik Kelantan. Anak dia ambik dia beberapa bulan yang lepas"


"Mek Som tak bagitau saya pun"


"Awak bukan anak dia. Dan bukan orang penting dalam kehidupan dia. Lagipun awak dah berbahagia dengan suami awak"


Ayat terakhir itu menghiris kalbu Nuraisha. Haikal suka benar menyindirnya! Salahkah keputusan yang diambilnya? Tiada siapa yang mampu memahami keadaan dirinya. Haikal sekalipun. Meski lelaki itu pernah menjadi yang terbaik di matanya suatu ketika dulu, namun aura itu seakan hilang dan kian menyepi.

"Betulkan? Awak dah bahagia dengan suami dayus awak tu. Sebab tu awak lupakan kami" sindir Haikal lagi.

"Haikal!!" Nuraisha separuh menjerit. Dia tidak suka jika ada sesiapa yang menghina suaminya. Baik buruk Farrhan, lelaki itu masih lagi suaminya yang sah.

"Tak betul ke apa yang saya cakap? Suami dayus takkan jual isteri dia pada orang lain. Dan jadikan isteri dia tempat pelepas nafsu jantan tak guna kat luar sana! Tapi suami awak, yes! Saya tak tahu kenapa awak masih berlembut hati dengan lelaki macam tu. Kalau saya jadi awak, saya takkan menoleh lagi ke belakang"

Keluhan berat dan esak tangis seiring dalam diri Nuraisha. Punggungnya dihenyak di atas sofa. Dia tahu kebenaran itu. Dan dia tidak akan melupainya sampai bila-bila. Tetapi Farrhan sudah menerima balasannya. Hatinya kuat mengatakan bahawa Farrhan telah menyedari kesilapannya.

Salahkah dia memberi peluang kepada diri Farrhan? Tidak kira apapun lakaran takdir selepas ini, dia tetap bersedia dan redha akan segala-galanya. Lagi-lagi dengan kemunculan semula Maira yang kini juga sudah mempunyai anak hasil dari hubungannya dengan Farrhan.

Sedangkan dia? Tak siapa pun yang tahu akan kewujudan Fariq, benihnya bersama Farrhan. Jadi untuk apa dia menjadi penghalang kepada hubungan Farrhan dan Maira? Meski hatinya bakal terluka, dia tidak akan pernah menjadi batu penghalang untuk kebahagiaan Farrhan, walau bukan dengannya.

Jadi kesempatan yang ada kini biarlah terisi dengan kewajipan dan tanggungjawabnya kepada suami seperti Farrhan. Jika Haikal tidak mampu untuk memahaminya ,cukuplah sekadar membisu dan tidak membantah apa-apa.

"Saya dah hilang segala-galanya. Hanis, Mia dan sekarang ni awak. Awak tak tahu ke keperitan kehilangan orang yang disayang?" Suara Haikal mengendur dengan nada sebaknya.

Wajah Fariq dibias dalam tatapan mata. Lena sungguh anak itu tidur. Barangkali setelah disusui ibunya tadi, dahaga dan laparnya sudah surut. Dia sengaja pergi ke kedai untuk membeli susu tepung buat Fariq kerana susu perah yang ditinggalkan oleh Nuraisha sudah habis.

Tetapi dia tidak menyangka pula menemui Nuraisha di situ. Dan yang paling memeranjatkan adalah apabila dia melihat sebuah kereta Porsche parking di tingkat bawah. Siapa empunya kereta, dia juga tidak tahu. Tetapi dia kenal kereta itu, cuma tidak mengenali pemandunya.

Disebabkan itulah, radangnya munculkan diri. Kereta itulah yang telah melanggar keretanya sehingga menyebabkan kematian Hanis semasa dalam perjalanan ke hospital. Dan gara-gara itu, dia kehilangan Hanis dan anak mereka serentak. Namun takdir mempertemukan dia dengan Mia dan kebenaran itu hanya terungkap baru-baru ini. Siapa tidak sakit hati? Dia berdendam kepada pemilik kereta itu.

"Mia takkan tinggalkan awak"

"Mana awak tahu, Nur? Kalau Mia tak tinggalkan saya, kenapa dia tak balik dengan awak? Saya kenal sangat Mia tu macam mana. Dan saya tahu, dia semakin membenci saya. Semua salah saya..."

Dia teringat ketika memukul Mia tanpa rasa belas beberapa bulan yang lalu. Teriakannya bergema di seluruh ruangan sehingga tangisan dan rayuan Mia tiada lagi kedengaran. Dia yang bersalah!

"Haikal..."

"Dan sekarang, awak nak saya lepaskan awak macam tu je? No!! Awak larilah sejauh mana pun Nur. Tapi ingat, saya sentiasa ada cara untuk dapatkan awak balik! So jangan uji kemarahan saya!!"

Mata merah Haikal menikam tepat ke dalam anak mata Nuraisha. Melalui sinar mata itu, dapat dia rasakan kemarahan Haikal yang kian menggila itu. Dia tahu, dia sudah terlanjur berjanji. Dan untuk memungkirinya, itu bererti dia menghancurkan hidupnya sendiri!

PANGGILAN yang diterima melalui Samsul menyentapkan seluruh raganya. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Setelah menerima panggilan itu, dia tergesa-gesa meninggalkan Haikal yang masih termangu di situ. Fariq turut dibawa bersama. Dia sudah tidak mampu untuk mempercayai sebarang kata-kata atau tindakan dari lelaki itu.

Keselamatan Fariq menjadi taruhannya jika dia terus meletakkan anaknya di bawah jagaan Haikal. Sebelum pamit, Haikal sempat berbisik kepadanya.

"Saya tak akan mengalah!"


Nuraisha mengeluh dengan pemikiran lelaki itu. Cukup sudah masalah yang menimpa. Kini Haikal pula sengaja menambah beban.


Kereta Porsche yang dipandu segera meninggalkan tempat itu. Jika diikutkan hati, dia ingin mengambil teksi sahaja tetapi dia sempat berpapasan dengan Naira. Dan gadis itu mendesaknya untuk memandu saja kereta Farrhan tersebut memandangkan kereta itu sudah lama tidak digunakan. Mahu tidak mahu, Nuraisha terpaksa bersetuju juga.

Dia tahu, Haikal sedang memerhati dari jarak jauh. Mata lelaki itu kemerahan, seakan menahan amarah dalam diri. Dia nampak itu dengan jelas. Namun dia malas hendak ambil peduli. Yang penting, dia harus sampai ke destinasinya kerana sejak menerima panggilan daripada Samsul, hatinya mulai tak tenang.


Pada mulanya, Nuraisha enggan untuk menjawab panggilan daripada Samsul. Dia risau sekiranya Samsul masih mahu mengejarnya kerana dia tidak sanggup untuk terus terikat dengan mana-mana lelaki lagi. Dia hormatkan Samsul dan jangan kerana desakan Samsul, perasaan hormat itu mulai hilang.

Namun dia berputus asa juga pada akhirnya setelah berkali-kali Samsul menghubunginya. Ketika menjawab panggilan tersebut, suara lelaki itu kedengaran cemas sahaja. Hatinya mulai bertingkah, memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku.

Dan iya, ternyata berita yang dibawa oleh Samsul mampu memporak-perandakan sekeping hatinya.

"Maksu sakit tenat! Awak kena balik Mersing sekarang. Saya dah tak tahu nak mintak tolong siapa lagi. Saya dah puas jejak Adira tapi tak berjaya. Dan awak saja ahli keluarga maksu yang tinggal"

Nuraisha terpana. Sudah lama dia tidak menemui Maksu Dara sejak peristiwa dia dihalau setahun yang lepas. Walaupun dia sering diperlakukan tak adil, namun sedikit pun dia tak pernah berdendam. Malah dia sentiasa menitipkan doa buat wanita itu.

"Iq, mama bawa Iq jumpa neksu. Maafkan mama. Baru kali ni kita kesempatan berjumpa dengan dia" rintih Nuraisha dengan esak tangisnya.

"KAK NGAH tak cakap ke dia pergi mana?"

Naura mundar-mandir di hadapan Naira dan Mia. Dari tadi dia berusaha untuk menjejaki Nuraisha melalui panggilan telefon namun tidak berhasil. Nuraisha pamit tanpa meninggalkan sebarang pesan.

"Takde pulak. Dia cuma cakap, dia nak jumpa kawan. Tu je. So aku suruh dia drive Porsche angah tu" sahut Naira sambil-sambil bermain dengan Mia.

"Yeke?" Naura sudah duduk di sebelah Mia. Dia mengeluh panjang. Buntu lagaknya untuk terus menjejaki kakak iparnya itu yang seakan punya rahsianya.

"Mama cakap, dia pergi jumpa papa Haikal dan adik Iq" sahut Mia yang sedari tadi sibuk bermain dengan bonekanya. Tanpa sedar, rahsia itu bocor juga akhirnya.

Bicara Mia meninggalkan pertanyaan di benak kedua kembar itu. Mereka malahan saling berpandangan dan menyoal melalui sorotan mata.

"Mia sayang. Siapa papa Haikal dan adik Iq?" tanya Naira serentak tangannya mengusap kepala Mia.

Mia yang tersedar keterlanjuran bicara pantas menekup mulut dengan kedua tangannya.

"Mia tak boleh berahsia tau? Tak boleh tipu. Allah tak suka" Naura pula menambah. Agaknya itulah rahsia yang cuba untuk diselindungkan oleh Nuraisha selama ini.


"Takk. Mia bukannya tipu. Tapi..." cantas Mia dengan gelengan kepala. "Mama tak suruh Mia bagitau sesiapa"

Dan kali ini kedua kembar tersebut mengangkat kening masing-masing. Sah! Ada sesuatu yang disembunyikan dan hanya Mia yang mengetahuinya.

"Mia kalau sayang mama dan papa Han, Mia kena bagitau. Kalau tak, nanti papa Han sedih, lepas tu tak sembuh lagi. Mia nak ke macam tu?" Naira cuba menghasut.

"Hmmmm" Mia menggumam. Kepalanya tertunduk memandang lantai. Tangannya menguis-nguis hujung bonekanya. Lama dia menyepi sehingga akhirnya dia memanggung kepala. Lantas pandangan pertama diberikan kepada Naira.

"Kalau Mia cakap, janji acik tak akan bagitau mama"


"Acik janji" Naira mengangkat tangan seolah berikrar.

Mia mula menceritakan segala-galanya kepada kedua aciknya. Mereka tekun mendengar dan ternyata terlopong mendengar cerita Mia itu. Baru kini mereka tahu kisah sebenarnya.


"Jadi betullah angah memang ada anak dengan kak ngah" komen Naira.

Laju Naura mengangguk. "Tapi kenapa kak ngah nak rahsiakan kewujudan Fariq?"

"Dan Haikal. Jangan-jangan kak ngah jumpa dia tak?" Naira meluah ketidakpastian.

"Apa pun,kita kena siasat perkara ni. Kalau kak ngah terus berdiam diri, kita kena tanya jugak" Naura menyusul cadangan.

Naira menjawab dengan anggukan. Tiba-tiba dia teringat akan sesuatu.

"Ohh lupa pulak! Ada good news" kata Naira sambil melemparkan senyuman.

Kening Naura bertaut. Pandangannya fokus pada Naira.

"Sufian..." Naira berjeda. "Yang kau dok cari tu, dia ada called nombor aku tadi. Dan aku terus-teranglah kenapa kita cari dia. And kau tahu apa?"

"Hmmmm?" Naura menggumam. Hatinya penuh debar menanti bicara selanjutnya.

"Dia pun memang tengah cari orang yang ada kaitan dengan kak ngah. Ada benda yang dia nak jelaskan. Cuma dia tak bagitahulah apa benda tu. Dia kata, lebih baik kalau kita jumpa face to face" cerita Naira dengan wajah riang. Nampak gayanya, teka-teki mereka selama ini bakal terjawab. Dan dia benar-benar tidak sabar.

Wajah keruh Naura berubah drastik. Sinar harapan mulai terbias. Dia teruja dan pada masa yang sama, perasaannya bercampur-baur. Pucuk dicita, ulam pun tiba! Orang yang dicari, kini munculkan diri.

"Dan aku dah aturkan masa untuk jumpa dia. Esok, tengah hari. Dia suruh kita bawak Mia"

Kali ini, Naura tersentak. Mia? Bagaimana Sufian boleh mengenali Mia?


"Terkejut kan? Sebab tak sangka dia boleh kenal Mia. Samalah macam aku! Dan dia cakap, dia akan jelaskan segala-galanya pada kita"

Naura senyap. Jangan-jangan segala sangkaannya selama ini tepat. Mia memang anak Nuraisha. Tetapi siapa pula ayah kandung Mia? Wajah Mia ditatap. Senyuman dan gelak tawa anak kecil itu menambat hatinya. Jika benar Mia itu anak kandung Nuraisha, maka dia tetap bersyukur. Tetapi untuk mencari ayah kandung Mia, dia harus melakukan sesuatu.

Naura senyum sendiri. Dia sudah mendapat akal. Farrhan!

"Okey, esok kita jumpa dia" sahut Naura akhirnya.

NURAISHA menangis teresak-esak melihat keadaan Maksu Dara yang sekarat itu. Tubuh tuanya nampak susut. Wajahnya cengkung. Tenaganya seakan-akan hilang dalam sekelip mata. Pun begitu, Maksu Dara masih enggan menatap wajahnya. Entah apa yang dibenci, sampai kini Nuraisha tidak tahu.

"Siapa bagitahu dia ni aku kat sini?" Suara Maksu Dara keras. Dia berpaling dari menatap wajah itu. Bukan kerana benci, tetapi malu yang kerap bertandang di sanubari. Dia teringat bagaimana teganya dia mendera dan menyeksa anak saudaranya sedari kecil sehingga sekarang.

Dan apabila Nuraisha berdiri di hadapannya, dia tahu gadis itu tidak pernah berdendam dengannya. Hati Nuraisha ikhlas dan luhur selama ini. Hanya dia yang buta dalam menilainya.

"Maksu, maksu. Maafkan Sha!" Tangan Maksu Dara diraih. Namun seperti sangkaannya, wanita itu menepis tangannya dengan kasar.

"Baliklah! Aku tak perlukan kau!! Kau mesti suka tengok keadaan aku macam ni kan? Dulu aku tampak gah, senang nak dera kau. Sekarang, aku dah terbaring lemah macam ni, mesti kau nak balas dendam kan?" Maksu Dara masih tetap dengan egonya.

Nuraisha teresak-esak di sisi Maksu Dara. Dia tidak punya niat seperti itu. Bahkan hatinya walang saat mendengar berita mengenai Maksu Dara. Dia pernah berputus asa dengan hubungan yang terjalin di antara mereka. Namun sejauh mana pun dia melangkah, Maksu Dara dan Adira masih tetap ahli keluarganya.

"Maksu, janganlah buat Sha macam ni. Sha pun ada hati dan perasaan. Sha tak selayaknya dilayan macam ni oleh Maksu. Sampai bila Maksu nak dera Sha? Kalau Maksu tak puas hati, kenapa Maksu tak bunuh je Sha dari dulu? Sha rela mati di tangan Maksu dari terus menerus dilayan dengan teruk oleh maksu macam ni!"

Nuraisha sudah menghambur kemarahan. Sebetulnya, perasaan yang dipendam sedari kecil lagi kini sudah diluahkan. Dia tidak mengerti mengapa setega itu Maksu Dara kepadanya. Padahal selama ini dia sudah berusaha keras untuk memenuhi segala keinginan Maksu Dara. Tidakkah Maksu Dara nampak kasih sayangnya selama ini? Dan sampai bila dia harus merayu dan menagih simpati dari wanita itu? Adakah apabila dia sudah tiada di muka bumi ini, barulah Maksu Dara akan berpuas hati?

Luahan hati Nuraisha membisukan bibir pucat lesi itu. Dia tahu, selama ini Nuraisha terseksa gara-garanya. Segala perasaan dan kehendak Nuraisha dinafikan. Malah dia melayan Nuraisha lebih teruk lagi dari seorang hamba. Kesalahan terbesarnya adalah ketika dia setekadnya menjual Nuraisha pada usia belasan tahun hanya kerana benci dan dendam.

Air mata yang hendak mengalir, cepat-cepat ditahan. Ego yang disanjung tinggi masakan mahu diruntuhkan di hadapan gadis itu.

"Kenapa maksu diam? Sebelum ni, maksu megah dengan kata-kata. Maksu ego dengan semua orang. Takde siapa pun yang berani melawan maksu kerana mulut maksu. Sekarang, untuk apa maksu berdiam diri? Cakaplah sesuatu. Tolong bagitau Sha, kenapa maksu bencikan sangat Sha"

Omongan Nuraisha kedengaran tegas tetapi penuh rayuan. Sekali ini sahaja, dia terlalu terdesak untuk mengetahui kebencian itu kerana apa.


"Maksu!! Cakaplah! Jangan diam je! Sha dah banyak masalah sekarang, maksu janganlah tambah masalah lagi. Sha tertekan hidup macam ni. Kenapa takde sorang pun yang faham Sha???! Sha tak mintak banyak. Sha cuma nak disayangi macam orang lain jugak. Sha pun nak bahagia macam orang lain. Kalau itu pun kena beli dengan duit, cakaplah berapa maksu nak? Sha sanggup bayar asalkan maksu mahu sayang Sha!"


Amukan Nuraisha memeranjatkan Maksu Dara yang kian terusik hatinya. Dia lihat gadis itu betul-betul menangis. Bahunya turun naik seiring dengan sebaknya. Terlalu dalam ke kedukaan gadis ini?

"Cakaplah maksu! Jangan buat Sha jadi gila!! Cakaplah!!" rintih Nuraisha. Tangannya mula menggoyang-goyang katil.

Tanpa sedar, Nuraisha menghambur kemarahan sehingga menyebabkan tubuh Maksu Dara hilang keseimbangan badan. Dia terjatuh di atas lantai dengan keadaan tertiarap.

"Ya Allah, kak Dara!!" Jerit Puan Normala yang muncul di hadapan pintu. Samsul yang sedang menggendong Fariq turut berada di sisi ibunya. Dia terpana melihat Nuraisha yang bagaikan dirasuk itu.


"Aisha!!" Samsul berteriak tatkala tubuh Nuraisha rebah di atas lantai.

PANGGILAN ditamatkan. Serentak itu, wajahnya bengis dan menahan amarah yang kian menggila dalam diri. Barusan dia menerima maklumat yang dinantikan selama ini. Setelah hampir lima tahun, akhirnya dia dapat menjejaki pembunuh Hanis melalui petunjuk kereta itu.

Siang tadi dia sempat mengejar Nuraisha dari belakang yang seakan tergesa-gesa sahaja. Tiba saja di tempat parking, dia terkejut melihat kereta yang dipandu oleh Nuraisha.

Selama ini dia tidak mengenali pemandunya. Namun setelah Nuraisha memandu kereta tersebut, baru kini dia memahami segala-galanya. Pada mulanya, dia menyangka kereta itu milik Nuraisha dan sempat beranggapan bahawa gadis itu yang melanggar keretanya malam tersebut.

Tak berpuas hati dengan naluri hati, dia mengupah seseorang untuk menyiasat lebih terperinci mengenai kes malam terbabit. Dan benar, tekaannya meleset sama sekali. Rupa-rupanya kereta tersebut milik Farrhan, iaitu suami Nuraisha. Kini segala kebenaran sudah terbongkar di depan mata. Dia tidak akan menunggu lebih lama untuk membalas segala perbuatan Farrhan. Lelaki seperti itu sememangnya harus mati!

Dia tahu, dia tidak mungkin akan dapat memiliki Nuraisha begitu saja. Oleh itu, dia akan menyeksa batin Farrhan dengan rancangannya sendiri. Segala dosa dan kesalahan Farrhan harus dibayar dengan sengsara. Sudah cukup dia terseksa selama ini gara-gara perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki itu. Dia kehilangan Hanis kerana Farrhan. Dan dia tahu, dia juga bakal kehilangan Nuraisha, juga kerana Farrhan!

"Kau tunggu je nasib kau Farrhan!!"

SUASANA mendamaikan dan tenang itu cukup menambat hatinya yang sedari tadi terusik. Meskipun malam sudah menjengah, namun keindahannya masih tetap terserlah dengan kerdipan bintang terhias cantik di dada langit.

Nikmat kurniaan Allah tak siapa mampu menafikan. Begitu juga dengan musibah yang diturunkan. Seharusnya manusia bersyukur dengan setiap yang dikurniakan Allah. Kerana rasa bersyukur itu mengajar kita untuk lebih ikhlas dalam menempuh dugaan hidup.

Nuraisha mengesat air mata yang mengalir dari tubir mata. Ada kalanya dia seakan berputus asa dengan kehidupan yang dijalani. Ke mana saja dia pergi, hidupnya sentiasa berteman derita dan air mata. Bukan dia mengeluh, jauh sekali berdendam dengan apa yang terjadi namun sebagai manusia biasa, ada kalanya dia hilang pedoman dan terpesong dari jalannya.

Dia hanya kepingin hidup bahagia dan disayangi oleh orang sekeliling. Bukan dia meminta harta atau kemewahan. Dia kasihan dengan diri sendiri!

"Jauh menung tu" Sapa si suara garau itu. Laju Nuraisha menoleh lantas melemparkan senyuman kepada Samsul yang sudah pun melabuh punggung di sebelahnya.

"Fikir apa tu?" tanya Samsul.


"Takde fikir apa-apa. Saja ambik angin kat luar ni. Tak banyak yang berubah. Semua masih sama" sahut Nuraisha dengan pandangan masih tertumpu di hadapan.


"Ada jugak yang berubah. Sha je tak perasan. Lama sangat kat KL tu" gurau Samsul lantas tergelak kecil.


Nuraisha diam. Yang tak berubahnya, sikap dan hati Maksu Dara terhadapnya! Sedih betul apabila mengenang kembali semua itu. Kebencian yang tertanam sedari kecil lagi takkan mampu mengembangkan bunga kasih sayang yang diidamkan selama ini. Dia pasrah dan redha, cuma tidak tahu sampai kapan harus bertahan seperti itu.

"Maksu dah sedar lepas pengsan tadi. Mujur dia tak cedera teruk. Luka sikit di dahi. Sedar-sedar je dia terus menangis" Samsul bercerita. Terperanjat juga dia melihat keadaan Maksu Dara yang tiba-tiba berair mata itu. Apabila ditanya, dia hanya menggeleng kepala saja.

Nuraisha diam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Hatinya sudah penat untuk terus meraih kasih sayang dan simpati dari wanita tua itu.


"Banyak yang maksu hadapi selama kat sini. Sha tahu tak, Adira dah buang dia. Adira tak mengaku dia emak lagi. Rumah yang pernah Sha duduki sebelum ni dah kena jual oleh Adira. Segala-galanya hilang macam tu je. Adira tinggalkan mak dia sehelai sepinggang. Dan sepanjang tu jugak, maksu selalu meratapi kehilangan Adira"


Cerita yang dibawa oleh Samsul sedikit sebanyak mengusik hati nurani Nuraisha. Pada masa yang sama, dia juga kaget dengan berita itu. Tergamaknya seorang anak membuang ibu kandung sendiri. Seharusnya Adira bersyukur kerana masih dikurniakan seorang ibu yang akan sentiasa mendoakan dirinya.


Berbeza dengan dirinya yang seakan menumpang kasih sayang dari wanita yang tak sudi. Jika dia di tempat Adira, pasti Maksu Dara akan dijaga dan dilindungi sebaik mungkin.

"Adira tak tinggalkan apa-apa khabar berita pada kami semua" Samsul masih semangat bercerita meskipun Nuraisha diam tidak berkutik. Dia tahu apa yang difikirkan oleh gadis itu.

"Tapi abang tak pernah berhenti cari dia di KL. Abang akan terus cari dia dan bawak dia pada maksu. Dan abang yakin dia akan pulang jugak suatu masa nanti" tambah Samsul lagi. Lagipula, Adira kini dalam buruan polis di atas kes langgar lari yang melibatkan arwah Firash dan juga terlibat dalam kes dadah.

Untuk kes langgar lari itu, dia masih belum bersedia untuk memaklumkan kepada Nuraisha. Emosi gadis itu masih tak menentu. Dia bimbang jika Nuraisha tidak mampu bertahan.

"Abang nak mintak maaf pada Sha"


Nuraisha menoleh. "Untuk apa?" Kali ini, laju saja dia membalas kata-kata lelaki itu.

"Sebab abang pernah susahkan hidup Sha sebelum ni. Abang desak Sha untuk terima cinta abang"

Siang tadi, dia menerima kedatangan Nuraisha bersama seorang bayi. Dia agak terperanjat dengan kehadiran bayi itu. Apabila Nuraisha menjelaskan segala-galanya, baru kini dia faham. Cintanya pada Nuraisha takkan pernah terbalas walau apa pun yang terjadi.

Gadis itu kini punya sesuatu yang bisa mengikatnya terus dengan Farrhan. Masakan dia mahu terus memisahkan mereka sedangkan Nuraisha dan Fariq adalah milik Farrhan yang mutlak. Hatinya belas saat menatap wajah polos Fariq. Dia terfikir jika suatu hati nanti Fariq harus hidup tanpa ayah kandungnya, tidakkah dia menyeksa hidup mereka?

Takkan ada hati yang akan bahagia jika ego disanjung tinggi. Dia pernah melihat betapa seksanya hidup jika harus tanpa seorang ayah atau ibu. Dan dia tidak mahu menyeksa hidup Fariq seperti itu. Cukuplah sekadar mencintai dan mendoakan dari jauh.

"Takde apalah bang! Benda dah berlalu. Sha dah tak nak ingat semua tu lagi. Bagi Sha, Sha nak terus ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Sha nak hidup bahagia. Tapi maafkan Sha. Sha cuma anggap abang sebagai ahli keluarga je selama ni. Terima kasih banyak-banyak sebab abang selalu jaga dan lindungi Sha. Sha doakan abang akan berjumpa dengan wanita yang ikhlas nakkan abang"

Wajah Samsul meleret dengan senyuman. Dia sudah jumpa wanita itu namun bodohnya dia kerana tega menyakiti hati gadis itu. Dia melepaskan seseorang yang ikhlas mencintainya selama ini. Kini, mahukah gadis itu kembali padanya?

"Bila abang tengok Fariq, abang dah tahu itu anak Farrhan. Wajah diorang salin tak tumpah. Abang tak tahu apa yang Sha alami selama ni tapi abang harap, Sha akan terus bahagia dengan Fariq. Dan abang harap sangat yang Sha akan kembali pada Farrhan. Keluarga Sha dah lengkap dan untuk kasih sayang yang Sha dahagakan selama ini, abang harap ianya takkan berlaku pada Fariq"

Kata-kata Samsul itu sangat bermakna. Nuraisha mengangguk kerana dia sangat mengerti maksudnya. Iya, dia memang ingin Fariq merasai kasih sayang kedua orang tua kerana dia tidak mahu Fariq menerima nasib yang sama seperti dirinya.

Namun segala-galanya sudah terlambat. Farrhan bakal punyai anak lain dengan wanita yang lain. Bagaimana harus dia memulakan semuanya jika dugaan itu datang menimpa?

"Hari dah malam ni. Sha kalau nak balik, balik esok jelah. Malam-malam ni bahaya kalau Sha drive sorang-sorang" cadang Samsul.


Nuraisha mengangguk. Itu juga yang disarankan oleh Puan Normala tadi.

"Jom masuk. Ibu dah masak tu. Sha dah lama tak makan ikan patin masak lemak cili api dari ibu kan?"

Puan Normala berasal dari Negeri Sembilan. Maka lauk itu merupakan salah satu lauk wajib dihidangkan jika Samsul balik dari Kuala Lumpur. Apatah lagi dengan kedatangan Nuraisha, maka meriahlah rumah mereka malam itu.

done ;) tak lama lagi nak abis dah. happy reading gais ^^

Share this novel

Lisa Halik
2022-02-05 20:28:18 

tiada lagi update ke cerita ni,nak tau semuanya sampai ending,hrp naura&doktor faisal,naira&doktor sufian

Hawani Hashim66
2021-08-23 20:38:04 

tq update dah sihat ke alhamdulillah

Mun Arifamanie
2021-08-23 12:13:47 

tak sabar tnggu next chapter


NovelPlus Premium

The best ads free experience