70

Other Completed 493332

SETELAH yakin dengan keputusan yang diambil, Nuraisha memberanikan diri untuk berhadapan dengan Farrhan. Sedari tadi, hatinya berdegup kencang dan derap kakinya seakan lambat sahaja melangkah. Dia tiba di hadapan vila besar itu. Setelah membayar wang kepada pemandu teksi, Nuraisha berdiri kaku di hadapan pintu pagar yang besar itu sambil menghela nafas.

"Pergilah jumpa dia. Kita tak tahu bila kali terakhir kita akan jumpa orang yang pernah hadir dalam hidup kita. Daripada menyesal, lebih baik turunkan ego"

Itu kata-kata terakhir Haikal saat menghantarnya sehingga ke teksi tadi. Haikal beria-ria hendak menghantarnya ke rumah Farrhan tetapi dia menolak dengan sekeras-kerasnya. Alasannya, dia tidak mahu menyusahkan Haikal dan mencuri waktu kerjanya. Tetapi alasan yang tepat, dia tidak ingin sesiapa pun tahu siapa Haikal sebenarnya. Fariq pula dijaga oleh Mek Som.

Tubuh Nuraisha masih kaku di hadapan pintu pagar itu. Berat rasa kakinya hendak melangkah namun untuk berpatah balik, itu tidak mungkin. Dia sudah berjanji pada Haikal, bahkan pada diri sendiri untuk tidak menyanjung tinggi egonya. Dan untuk terus hidup bahagia, dia harus mengharungi semua cabaran ini.

Nuraisha menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan. Kemudian dengan kalimah bismillah, dia mengatur langkah dengan berhati-hati. Pintu pagar automatik terbuka apabila dia menghampirinya.

Sepanjang melangkah, anak matanya melilar melihat keadaan sekeliling. Tidak ada apa-apa langsung yang berubah. Keadaan sekitarnya masih sama seperti setahun yang lalu. Tetapi kemeriahan vila itu sudah hilang saja gamaknya. Sunyi sepi tanpa ada sebarang suara atau bunyi.

Nuraisha tiba di hadapan pintu rumah. Dia hendak melangkah ,namun degupan di hati kian terasa. Seakan hendak meletup saja bunyinya. Langkah kaki diundur semula. Matanya terpejam rapat. Dia terimbau kenangan lalu.

Di vila inilah dia dibawa oleh arwah Firash dan berkenalan dengan ahli keluarganya yang lain. Di sini juga dia bertemu dengan Farrhan yang sentiasa berwajah bengis dan aura yang dibawa bisa membuatkan hati tenat! Namun siapa sangka lelaki itu juga menjadi suaminya setelah kematian Firash. Kebahagiaan yang diidam-idamkan seakan mencemburui dirinya saja apabila kepercayaan yang dibina di atas diri Farrhan musnah di dalam tangan lelaki itu sendiri. Dia mengerti dan memahami semua yang telah berlaku. Bahkan dia menerima dengan tenang takdir yang tertulis untuknya.

Memegang status 'isteri yang tak diinginkan' menjatuhkan dirinya ke dalam juram yang paling dalam. Dia diherdik, dicaci bahkan didera mental dan fizikalnya oleh sang suami sendiri. Pun begitu, dia masih ikhlas menerima takdir itu sehinggalah dirinya dijadikan 'sistem barter' oleh sang suami. Di situ, kepercayaannya mulai luntur terhadap insan bergelar lelaki dan suami.

Dia bencikan Farrhan dan menutup pintu hati untuk lelaki itu selama-lamanya. Namun siapa menyangka. Hubungan yang terjalin tanpa rasa rela membuahkan benih di dalam rahim. Kenyataan yang sukar untuk diterima namun itulah takdir yang Allah tentukan. Dan kini, suami yang kejam itu telah menerima hukumannya. Dia? Turut dihukum dengan rasa bersalah dan dihantui oleh perasaan itu selagi tidak dilepaskan. Arghhh!! Terlalu sulit untuk menebak permainan takdir selanjutnya.

"Ehemm..." Suara seseorang menggumam memaksa Nuraisha membuka matanya. Saat itu, dia melihat Naira sedang berdiri di atas anak tangga sambil memandangnya juga.

"Assalamualaikum" ucap Nuraisha dalam sebak.

"Waalaikummusalam" sahut Naira seraya menghampiri Nuraisha. Wajahnya bersahaja. Tiada lagi riak benci atau meluat seperti selalu.

"Hmmm..." Nuraisha sengaja menggumam. Sejujurnya, dia tidak tahu bagaimana hendak menyuarakan hasrat hati. Malu pun ada sementelah semalam dia dengan egonya menolak rayuan Naura.

"Nak cari Naura ke? Dia takde. Dah ke office setengah jam tadi" ujar Naira. Kali ini, nada dan intonasi suaranya kedengaran biasa. Tidak ada lagi bahasa kasar seperti yang pernah dilontarkannya dahulu.

Perubahan Naira memeranjatkan Nuraisha. Dia tidak menyangka akan disambut dengan Naira begitu. Dia agak tersasar apabila memikirkan sikap Naira yang kasar dan prejudis terhadapnya. Ternyata dia silap.

"Tak. Saya datang nak..." jeda Nuraisha. Tak terluahkan kata-kata selanjutnya saat mengingatkan Farrhan. Bibir diketap.

"Jumpa angah?" teka Naira dengan pantas.

Nuraisha mengangguk juga. Dia sudah penat bermain tarik tali seperti sekarang. Dia ingin menyelesaikan segala-galanya dan kembali ke sisi Fariq dengan segera. Itu yang dipinta dan dirayu oleh Naura sebelum ini.

Melihatkan anggukan Nuraisha, bibir Naira mengukir senyuman lebar. Matanya berkaca dengan kesudian Nuraisha mengalah dengan egonya. Lantas, tubuh itu didakap erat.

Tersentak Nuraisha dibuatnya. Pertama kali Naira mendakapnya dan dia dapat merasakan keikhlasan gadis itu.

"Mama mesti happy tengok akak datang" ujar Naira sesudah meleraikan pelukan. Wajahnya sudah sembam dengan air mata. Hilang sudah segan dan egonya sebelum ini.


Kali ini, sekali lagi Nuraisha kaget dengan bicara Naira. Ikhals dan sepenuh hati! Rupa-rupanya terlalu banyak perubahan yang tidak dilihatnya dengan mata kasar. Kejutan apa lagi yang bakal diterimanya selepas ini?

"AISHA! Menantu mama. Ya Allah, Kau dah makbulkan doa aku. Kau dah makbulkan doa seorang ibu Ya Allah!" Tangisan dan rengekan Puan Sri Mariam terngiang-ngiang di cuping telinga Nuraisha. Hatinya tersentuh dan rasa kasihan pada masa yang sama. Tak disangka begitu sekali penderitaan yang dihadapi oleh Puan Sri Mariam.

Mereka berpelukan agak lama. Air mata Nuraisha turut membasahi pipinya. Dia melihat tubuh Puan Sri Mariam agak kurus. Pipinya cengkung. Nampak saja tidak sihat. Pelbagai jenis ubat-ubatan di atas meja di tepi katil. Sayu hatinya melihat perubahan mendadak mama mentuanya itu. Dalam kepayahan itu, dia turut mencari bayang-bayang Tan Sri Firman. Di mana dia?


"Mama sihat?" Nuraisha aju soalan meskipun dia tahu jawabannya. Tersedu-sedan dia menahan sebak. Setahun tidak ketemu, hanya Allah sahaja yang tahu hatinya.

"Mama sihat lepas nampak Aisha. Ya Allah ,menantu aku! Kau kembalikan dia pada aku" Puan Sri Mariam mengucup dahi, pipi, dan seluruh wajah Nuraisha. Betapa dia rindukan menantunya yang satu itu. Agaknya, dia tak perlukan lagi semua ubatnya. Kehadiran Nuraisha mengubati segala sakit rindunya.

"Mama, jangan cakap macam tu. Sha dah balik. Sha dah ada depan mama kan?"

"Habis tu, kenapa Sha tinggalkan mama setahun? Sha janji takkan tinggalkan mama. Sha janji takkan lupakan mama. Tapi Sha pergi jugak..."

Kesal di hati Puan Sri Mariam takkan pernah terhapus. Perbuatan Farrhan terhadap Nuraisha takkan mampu dia maafkan. Namun apa yang telah menimpa Farrhan mengajar dia untuk saling menerima dan memaafi. Dek kerana itulah dia sentiasa berdoa agar hati Nuraisha terbuka untuk menerima dan memaafkan Farrhan. Dan kini, Allah mendengar doanya. Nuraisha telah kembali ke sisinya. Dia yakin, hati Nuraisha sudah lembut. Betapa dia mensyukuri nikmat dan kurniaan Allah.

Nuraisha menangis menahan hiba. Kalaulah Puan Sri Mariam tahu apa yang telah berlaku, pasti dia takkan bisa menerima semua itu. Dan kalaulah Puan Sri Mariam boleh memahami perasaannya, pasti dia tidak akan berkata sedemikian.

"Sha mintak maaf sebab dah mungkir janji. Sha mintak maaf sebab tinggalkan mama" Tangan Puan Sri Mariam dikucup berkali-kali. Iya, dia sesalkan yang satu itu. Meninggalkan Puan Sri Mariam padahal janji sudah dipatri. Namun apalah dayanya jika kuasa milik Farrhan ketika itu.

"Jangan tinggalkan mama lagi ye? Mama dah hilang banyak benda, banyak orang kesayangan dalam hidup. Dan mama tak nak kehilangan Sha" Tubuh Nuraisha didakap erat. Dia hanya inginkan menantunya itu. Dia tidak mahu apa-apa lagi.

Walaupun hatinya serba salah, namun Nuraisha tetap mengangguk. Dia tidak pasti sejauh mana janji itu bisa dipegang ,namun biarlah dia beralah buat masa sekarang.

Naira turut menangis melihatkan adegan itu. Pertemuan semula selepas setahun berlalu menampakkan riak keceriaan pada wajah Puan Sri Mariam. Benar kata Naura. Nuraisha memang istimewa! Kenyataan itu tidak bisa dinafikan sampai bila-bila.

Dia menapak keluar untuk mendail nombor Naura. Berita baik ini harus dikongsi bersama! Dia yakin ,Naura pasti gembira dengan perkhabaran ini.

"DAH setahun angah terbaring di atas katil. Dia bernafas pun disebabkan bantuan mask oxygen yang dipasang. Kalau takde benda tu, akak takkan dapat tengok angah lagi kat sini"

Naira bercerita tanpa dipinta. Dia bersandar pada tiang katil sambil memeluk tubuh. Keluhan berat dimuntahkan. Setiap kali menatap wajah itu, hatinya dihambat sayu. Kebahagiaan dan keceriaan vila mereka kian pudar hari demi hari. Dulu, dia menyesal kerana jarang balik rumah padahal waktu itulah mereka sekeluarga berkumpul. Kini, semua itu menghilang dan perasaan rindu mula terbit di hati. Kalaulah dia dapat undurkan masa, pasti semuanya takkan berlalu begitu saja.

Tubuh Nuraisha duduk menghadap Farrhan tetapi membelakangi Naira. Tanpa sedar, air matanya jatuh bertempiaran. Dia tidak tahu mengapa mutiara jernih itu tiba-tiba munculkan diri. Menatap sekujur tubuh yang terbaring lesu itu membuatkan hatinya bercampur-baur.

Wajah yang senantiasa tampak bengis dan tiada segaris senyuman itu kini hanya mampu membeku di atas katil. Tubuh yang gagah dan sasa suatu masa dulu kini hanyalah terbaring lesu dan mengharap belas kasihan daripadaNya. Tiada lagi kata-kata kasar dan mencarut dihidang di cuping telinga. Yang ada cumalah deruan nafas yang dihembus keluar ,itupun kerana bantuan dari alat pernafasan.

Manusia yang sering menganggap dirinya gagah dan angkuh itu kini lemah tak berdaya. Acapkali kurniaan dan nikmat Allah dilupakan. Mampukah kedua belah tangan itu menadah tangan memohon keampunanNya?

"Akak dah balik sekejap pun kami semua dah bersyukur. Mama happy sangat tengok akak balik. Selama ni, dia tak pernah lupakan akak. Dia asyik merayu agar kami dapat cari akak. Terima kasih kak, sebab dah sudi balik untuk jenguk kami sekeluarga" Bahu Nuraisha disentuh perlahan. Naira sempat melihat Nuraisha mengusap air matanya.

"Dah jadi kewajipan saya sesama Muslim untuk lawat orang yang sakit. Tu memang tuntutan dalam Islam" sahut Nuraisha. Hatinya masih ego dengan permintaan akal.

"Tapi kalau bukan sebab tuntutan tu pun, akak balik sebab angah masih suami akak kan?"

Hati Nuraisha terkedu. Kata-kata Naira yang penuh makna itu sungguh makan dalam! Dia berdiri menghadapi Naira sambil mengukir senyum.

"Tak kiralah atas alasan apa sekalipun, yang penting saya dah tunaikan janji saya. Kita dah takde hutang lagi kan?"

Kali ini, Naira tersentak dengan kata-kata Nuraisha. Segala yang berlaku sebentar tadi cumalah kerana janji dan tuntutan hutang yang Nuraisha anggap? Naira tak menyangka begitu sekali Nuraisha berubah.

"Kak Sha!!" Naura muncul di hadapan pintu bilik sambil menangis kegembiraan. Setelah menerima panggilan daripada Naira sebentar tadi, dia terburu-buru pulang tanpa menanti kes yang akan diserahkan ke atasnya. Baginya, Nuraisha lagi penting dari hal kerjanya.

Tapak kaki melangkah mendekati Nuraisha lantas dipeluk tubuh itu. Allah mendengar doa mereka semua. Nuraisha kembali biarpun hanya seketika. Itu sudah cukup. Namun di dalam hati Naura berharap agar Nuraisha akan berubah hati saat melihat keadaan Farrhan yang terlantar sakit itu.


"Naura happy sangat dengan kedatangan Kak Sha" ujar Naura usai melepaskan pelukan.


"Hmm.. Saya nak kena balik. Hari dah lewat ni"

Air muka Naura berubah kelat. "Takkan nak balik? Kejapnya"


"Hari tu, Naura cakap kalau saya datang sekejap pun takpe kan? Daripada saya tak datang langsung" Nuraisha mengingatkan.

Naura mengetap bibir. Menyesali perbuatan sendiri. Tapi takkanlah Nuraisha tak merasa apa-apa ketika melihat keadaan diri Farrhan?

"Maaf. Saya kena balik" pamit Nuraisha. Terburu-buru, risau dikejarkan dengan pelbagai soalan dari dua kembar itu.

"Akak!" Naira menjerit tatkala Nuraisha sudah jauh menuruni anak tangga. Dia mengejar Nuraisha dari belakang.

"Akak?" Naura mengerut. Perubahan diri Naira yang dirasakannya pelik. Namun dia senang dengan perubahan itu. Dia tersenyum seraya mengatur langkah mengejar kedua mereka.

"Akak! Kejaplah" Naira menarik tangan Nuraisha sambil tercungap-cungap. Mereka kini di hadapan pintu. Naura sudah mendekati.

"Saya nak balik! Jangan kurung saya kat sini!" Wajah Nuraisha bagaikan mendung saja. Naira dan Naura kehairanan. Siapa nak kurung dia?

"Takde siapa nak kurung akak" sahut Naira.


"Lagipun, kak Sha kat rumah kami. Takkan kami sampai hati nak buat akak macam tu?" sampuk Naura pula.

Fikiran Nuraisha membeku seketika. Peristiwa dikurung dan didera oleh Farrhan setahun yang lalu menjadikan dirinya trauma sahaja. Dia takut tiba-tiba apatah lagi setelah berhadapan dengan Farrhan yang hanya terlantar itu.

"Kak..." Naura menarik lengan Nuraisha namun ditepis olehnya. Naura tersentak. Begitu juga dengan Naira.

"Tolonglah! Saya nak balik" Nuraisha seakan merayu. Tanpa menunggu respon dari keduanya, dia terus berlalu meninggalkan mereka.

Kesabaran Naura tidak mampu disimpan lagi. Dia sendiri sudah penat dengan kelakuan dan olahan Nuraisha. Gadis itu harus diberi pengajaran agar dia sedar diri.

"Jadi macam nilah sikap kak Sha yang arwah papa selalu puji? Selalu agung-agungkan?"

Langkah kaki Nuraisha mati tiba-tiba. Arwah papa? Nuraisha menoleh dan memandang wajah Naura. Sorotan matanya mengandungi banyak persoalan.

"Papa dah meninggal setahun yang lalu" sampuk Naira seakan memahami maksud pandangan mata indah itu. Wajahnya sayu dan sedih sahaja.

"Ta..tapi kenapa?" soal Nuraisha.

"Kak Sha ada hati lagi ke nak ambik tahu? Bukan ke Kak Sha datang sini sebab nak jelaskan hutang yang Kak Sha anggap belum selesai selama ni? Rayuan dan kata maaf dari kami Kak Sha anggap sebagai hutang. Kalau tu yang Kak Sha anggap, maaf. Hutang kak Sha belum selesai"

Seketika tadi, Naura ada mendengar perbualan kedua mereka. Dia juga tak menyangka hati Nuraisha sebegitu. Wajahnya lembut ,namun hatinya sekeras batu!

Omongan Naura menyentakkan Nuraisha. Air matanya hampir gugur namun ditahan saja. Dia tidak tahu kerana apa dia menangis.

"Kalau kak Sha betul-betul dah tak menganggap kami sebagai keluarga, takpe. Kami terima. Dan kalau akak dah buang kami dari hati dan hidup akak sepertimana akak buang angah, takpe. Itu pun kami faham. Tapi akak tak boleh lupa siapa akak pada angah. Selagi angah tak lafazkan talak, takde satu undang-undang di Malaysia ni pun yang boleh menafikan hubungan akak dengan angah"

"Sebenci apapun akak pada angah, angah masih lagi suami akak. Suami yang terlantar sakit kerana hukuman dia yang sentiasa menyakiti hati isteri. Ya, kami tak nafikan itu. Bahkan satu keluarga terkena tempiasnya. Tapi dia dan kami semua dah terima hukuman kami. Dan akak takde hak nak hukum dan adili kami sekejam macam ni. Kalau akak bencikan angah sekalipun, tolong jangan lupa siapa akak pada dia!"

Kali ini, air mata Nuraisha mengalir deras. Kerana kehilangan papa yang tak sempat dia mintak ampun. Kerana menyeksa satu keluarga tanpa rasa kasihan. Dan kerana dosanya pada Farrhan sehingga dia lupa pada tanggungjawabnya. Tanpa sedar, dia telah menghukum satu keluarga zahir dan batin.

"Kalau akak nak balik ,baliklah. Kami takkan halang dan kurung akak. Kami tak sekejam tu untuk menghukum seseorang. Tapi akak kena ingat satu perkara. Kalau angah pergi tanpa sempat akak jalankan tanggungjawab, Naura harap akak takkan salahkan diri sendiri. Ini jalan yang akak pilih"

Air mata yang mengalir, dikesat juga. Naura menarik tangan Naira untuk mengikutinya.

"Kak Sha..." Naira menunjukkan Nuraisha kepada Naira. Mata mereka bertembung.
"Dah! Kau jugak yang cakap. Takde guna merayu pada orang yang tegakkan ego dia. Takde hasil!" tukas Naura lantas memasuki ruang rumah. Hatinya lega kerana dapat meluahkan segala yang terbuku dalam hati. Selepas ini, apa pun yang terjadi, dia takkan merayu atau memaksa Nuraisha lagi. Kerana dia baru tahu, hati Nuraisha itu umpama batu! Keras dan sukar untuk dilentur.

Naira serba-salah untuk berpihak kepada siapa. Namun melihatkan kepada keadaan Naura yang panas semacam dan Nuraisha yang kaku bak patung cendana, dia akhirnya memilih untuk membontoti Naura.

SEMALAMAN Nuraisha tidak mampu melelapkan mata dek terkesan dengan kata-kata Naura. Jauh di sudut hatinya, tiada niat langsung dia hendak menghukum mereka. Apa yang terjadi kepada diri Farrhan adalah di luar kawalannya. Namun suatu masa dulu ,dia pernah berdoa agar Farrhan mendapat balasannya kerana menganiaya dia. Dan Allah ternyata mendengar doanya. Ya Allah!

Dia duduk memeluk lutut di kepala katil. Mia yang lena di sisi dikerling sekilas. Fariq dibaringkan di sisi Mia, iaitu di antara mereka.

Dia mengeluh panjang. Apa akan jadi pada nasib dan hidupnya selepas ini? Dia menumpang di situ sudah setahun lebih. Dia tahu, tidak seharusnya dia bersedudukan dengan Haikal yang jelas-jelas tiada hubungan sah dengannya. Tetapi untuk berpindah, dia pula tidak tahu ke mana hendak melangkah. Dengan kehadiran Fariq di dalam hidupnya, dia tidak boleh pantang enteng akan itu.

Dan dia tiada pilihan kecuali kembali ke vila Tan Sri Firman dan menjalankan tanggungjawabnya di sana. Dia mulai takut dengan bicara Naura tadi. Bagaimana jika Farrhan pergi tanpa sempat dia menjalankan tanggungjawabnya? Pasti dia akan merasa kesal apatah lagi Farrhan masih suaminya. Kepermegian Firash dan Tan Sri Firman yang baru-baru ini masih terasa di hatinya. Dan dia merasa kesal kerana tidak memberikan secukup kasih sayang dan perhatian kepada mereka.Jika terjadi perkara yang sama ke atas diri Farrhan, adakah dia juga akan merasakan penyesalan yang sama?

Namun bagaimana dengan Fariq? Dia belum bersedia untuk memperkenalkan Fariq kepada keluarga mentuanya. Dia tahu, dia bersikap tidak adil tetapi hatinya sebagai wanita dan ibu tidak cukup bersedia untuk semua itu.

Mata dipejam rapat. Ketika itu, kata-kata terakhir Firash mula bergema di ruangan bilik tidurnya.

"Apapun kesalahan dan dosa yang telah Farrhan lakukan pada Sha, Sha kena ingat. Maafkan dia dan bagi dia peluang kedua. Semua orang layak untuk diberi peluang kedua"

Mendengarkan itu, matanya kembali terbuka. Dia mula menangis kerana merindukan Firash. Kenapa suami sebaik Firash pergi dahulu? Dia masih dahagakan kasih sayang daripada seorang suami. Mengharapkan kasih dari Farrhan, namun lelaki itu hanyut dengan dendamnya.

Hatinya terusik saat teringat kembali perbualannya dengan Haikal tadi. Ketika mereka selesai makan malam. Dia ada menyuarakan hasrat untuk menjaga Farrhan. Tetapi Haikal pula yang dingin dengannya.

"AWAK nak kembali pada lelaki macam tu? Yang dah buat macam-macam pada awak. Yang dah dera awak, hina awak, caci awak. Dan yang sanggup jual awak pada tempat kotor macam tu. Awak sanggup nak kembali pada dia?"

Suara Haikal mula meninggi. Dia tidak menyangka pemikiran Nuraisha berubah mendadak seperti itu. Hanya kerana dikenakan serangan psikologi oleh adik iparnya, keputusannya berubah sama sekali. Menyesal pula membenarkan Nuraisha kembali ke sana. Niatnya hanya untuk menasihati, bukannya untuk menyaksikan gadis itu kembali kepada lelaki durjana seperti itu!

Nuraisha duduk di sofa sambil menundukkan wajah. Dia tidak sanggup hendak memandang wajah bengis itu. Mutiara jernih mula bertakung di tubir mata lantas merembes keluar dan jatuh mengena tepat ke telapak tangannya.

"Awak dah lupa ke apa yang dia pernah buat pada awak? Awak dah lupa ke? Awak takde harga diri di mata dia. Padahal sebagai seorang isteri, awak sepatutnya dihargai dan disayangi. Bukan diperlakukan sebaliknya!"

Tegas Haikal menyuarakan pendapat. Dia ingin Nuraisha sedar kejahatan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh Farrhan ke atas dirinya.

"Haikal, dia masih suami saya" Nuraisha cuba membela diri. "Dan sebagai seorang isteri yang masih sah, saya masih perlu jalankan tanggungjawab saya"


Nafas Haikal turun naik menahan amarah. Tali leher yang terpasang indah di baju dilonggarkan dengan kasar. Dia menunggu Nuraisha pulang sehingga sanggup tidak membersihkan diri kerana hasratnya ingin meluahkan perasaan. Namun lain pula yang terjadi. Nuraisha mengejutkannya dengan membuat keputusan drastik itu. Hati siapa tidak panas? Dia yang menjaga Nuraisha selama ini. Dia juga yang menyelamatkannya dari rumah neraka itu. Jika bukan kerana dia, pasti Nuraisha tidak sanggup untuk terus hidup lagi. Namun apa balasan yang dia terima? Dia bukan mengungkit, jauh sekali meminta ganjaran. Dia hanya inginkan perasaannya difahami oleh gadis itu.

Seperti Nuraisha, dia juga pernah berdepan dengan kekecewaan dan kehilangan. Dan dia inginkan hubungan mereka lebih dari itu. Dia ingin berkongsi rasa itu dengan Nuraisha. Dia tidak pernah hiraukan masa silam Nuraisha kerana dia juga bukan manusia sempurna. Terlalu banyak titik hitam dalam hidup. Dia ingin berubah dan bersama Nuraisha, dia ingin melaluinya bersama-sama.

"Suami yang tak patut seorang isteri hormat! He deserves to die!"

"Haikal!" Nuraisha kaget dengan kata-kata Haikal. Biar jahat macam mana sekalipun Farrhan, dia tahu dia bukan manusia yang layak menghukum sesiapa. Dia tidak mahu menghimpun dosa dengan mengabaikan tanggungjawab pada Farrhan.

"Please, hormat keputusan saya" Nuraisha bangkit dan berdiri di sebelah Haikal.

"Awak sendiri pernah bagitau saya. Nasihatkan saya. Untuk membuat pilihan sendiri. Sebab tanpa pilihan yang tepat, kita tak tahu apa akan jadi pada diri kita. Itu yang saya sedang buat. Saya sedar satu perkara. Awak betul. Bila saya tak tahu nak buat pilihan mengenai hidup saya, saya terumbang-ambing. Saya seolah-olah hilang arah tujuan. Saya tak tahu apa-apa"

Nuraisha berjeda. Wajah Farrhan yang tanpa sinar dan tubuh yang terbaring kaku mula bergentayangan di benaknya. Terbit rasa kasihan pada wajah itu, lebih-lebih lagi setelah mendengar cerita Naura mengenai kepermegian Tan Sri Firman.

"Tapi bila Allah bukakan hati saya untuk kembali ke vila, hati saya terjentik dengan rasa kasihan pada Farrhan. Walaupun pada mulanya saya ego dengan perasaan saya sendiri. Tipulah kalau saya cakap saya tak sakit hati dengan apa yang dia buat selama ni. Tapi kita manusia biasa. Kerap buat silap. Buat dosa. Allah je ampunkan dosa kita. Takkan kita sesama manusia tak mampu nak ampunkan mereka? Kita bukan Tuhan yang seenaknya menghukum dan mengadili mereka"

Haikal hanya kaku di situ. Dia sudah tidak larat hendak menghalang niat Nuraisha. Tetapi untuk melepaskan Nuraisha pergi, itu tidak akan sesekali terjadi. Biarlah dia beralah sekali ini. Tetapi selepas ini, dia akan pastikan Nuraisha kekal miliknya seorang! Tidak kira Farrhan masih tetap hidup atau sudah tiada.

"Saya nak jalankan tanggungjawab saya pada dia. Apapun yang terjadi lepas ni, saya takkan kembali pada dia. Lagipun, dia dah terima hukuman dan balasan yang setimpal. Apapun yang jadi pada dia lepas ni, itu semua kerja Tuhan. Saya cuma nak jalankan tanggungjawab saya saja"

"Terserahlah pada awak Nur!"


Haikal berlalu ke kamar dengan hati yang tak puas. Dia rasa tercabar dengan lelaki bernama Farrhan itu. Tetapi perjuangan tak berakhir di situ!

NURAISHA membenamkan wajah ke lutut. Air matanya mengalir dari tadi. Dan sukar untuk berhenti. Dia tahu apa yang harus dilakukan. Keputusan sudah dibuat sebulat suara dan sepenuh hati. Memaafkan Farrhan bukan bererti dia harus kembali ke sisi lelaki itu. Sementelah dia juga tahu pasti lelaki itu tidak akan menginginkannya.

Nuraisha memanggung kepala. Wajah Mia dan Fariq dipandang silih berganti. Dia tersenyum lantas menyinggahkan sebua kucupan di dahi dan pipi Mia.

Kemudian, dia beralih pula ke arah Fariq. Semakin lama wajah itu ditenung, semakin hatinya berdebar. Wajah Fariq sangat copy paste dengan Farrhan! Dia baru sedar akan hakikat itu. Bahkan segala milik Farrhan seakan sengaja dipindahmilik ke wajah Fariq.

Ya Allah! Nuraisha berucap panjang. Mampukah dia terus hidup seandainya bayangan Farrhan sentiasa mengekorinya?

"Maafkan mama ye Iq? Sebab mama tak bersedia nak bagitau Iq pada dia. Mama betul-betul minta maaf"

Wajah Fariq dikucup sambil diiringi esak tangisnya. Jiak dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan, barulah dia akan memperkenalkan Fariq kepada keluarga mentuanya. Namun buat masa kini, biarlah dia berahsia dulu. Itu lebih aman.

Haikal yang menilik di sebalik pintu hanya mampu menggumam dan mengeluh panjang. Hatinya berat melepaskan Nuraisha pergi. Namun kata-katanya masuk akal juga. Siapalah dia hendak menghalang Nuraisha untuk berbakti pada suami sendiri? Meskipun suami itu bukanlah layaknya seorang suami! Dia tidak mampu mengubah kenyataan itu sehingga Nuraisha dilepaskan sendiri dari bibir Farrhan.
Dan Haikal takkan sesekali mengalah. Dia memang bukan lelaki sempurna tetapi kehadiran Nuraisha mampu menyempurnakannya.

"Awak akan jadi milik saya, Nur! Itu janji saya"

boleh teka apa yg akan terjadi lepas ni? maaf kalau ada kesalahan ejaan atau apa-apa bahasa. menulis pakai fon, agak susah sikit. selamat membaca guyss ^^,

Share this novel

Lisa Halik
2022-02-01 02:06:46 

nak aisha sama haikal

Cik Mafia
2021-07-31 05:53:52 

arrghh haikal you make me cry

Cik Mafia
2021-07-31 05:49:13 

bile dh banyok terluka hati yg lembut pun boleh jadi keras...naura mung dk phm mnde yg dia alami jadi diam jela...Ya Allah geramnya


NovelPlus Premium

The best ads free experience