13

Other Completed 493332

TERSEDU-SEDAN Nuraisha menahan kesakitan yang dirasainya saat ini. Dia sudah jemu ditemani dengan air mata. Bahkan suaranya terasa tersekat di kerongkong. Dengan langkah yang lemah, digagahi juga demi menyiapkan sarapan pagi untuk Maksu Dara dan Adira.

Dia takut sekiranya mereka menyiksanya seperti semalam. Dia tidak habis fikir. Sedalam mana perasaan benci Maksu Dara terhadapnya, namun dia tetap berdoa yang baik-baik sahaja. Baginya, Maksu Dara adalah keluarganya. Meskipun disiksa sebegitu teruk, dia tetap mendoakan yang baik untuk mereka. Dia tetap akan memaafkan mereka. Bahkan tiada terniat di hatinya untuk membalas segala perbuatan mereka.

Cuma yang dia kesalkan, kenapa sebegitu sekali Maksu Dara membencinya? Kesalahan apakah yang telah dilakukan oleh arwah ibu sehingga dia yang tidak tahu-menahu seakan diseret sekali di dalam permainan dendam Maksu Dara?

Pernah juga dia bertanya akan soal itu. Tetapi kesudahannya dia dicerca dan dipukul teruk oleh Maksu Dara. Sejak dari itu, dia tidak berani hendak menyuarakan persoalan lagi.

Air mata yang berlinang diseka perlahan. Jika diikutkan hati, dia ingin terus berehat dan berbaring saja di dalam bilik. Tetapi dia tahu, itu tidak mungkin bisa berlaku.

"Hey perempuan!" jerkah Adira sambil bercekak pinggang.

Nuraisha menoleh.

"A..apa Dira?"

"Sarapan dah siap? Jangan tak siap pulak. Karang kau pulak yang aku 'siapkan'!"

"Dah. Dah hidang atas meja"

"Laju kau buat kerja ye? Takut tangan sebelah tu pulak cacat ke?" sindir Adira seraya menghambur ketawa. Dikerling ke arah tangan kiri Nuraisha yang berbalut dengan kain perca. Tak ubah seperti orang yang kehilangan tangan saja lagaknya!

Nuraisha hanya mendiamkan diri. Dalam hati, berkali-kali dia menyabarkan diri sendiri. Dia tahu, semua ini dugaan. Dia harus kuat! Orang yang kuat adalah orang yang sabar dalam segala hal. Dan orang yang sabar akan perolehi kemenangan. Tak di dunia, pasti di akhirat. Untungnya kalau beroleh keuntungan itu di dunia dan akhirat. Dan Nuraisha ingin menjadi salah seorang yang beruntung itu.

"Kau pergi kemas bilik aku. Naik meluat aku tengok muka kau kat sini" arah Adira sesudah menghenyak punggung di atas kerusi makan.

Tidak banyak bicara, Nuraisha akur dan patuh pada arahan Adira.

SETELAH puas berehat, Farrhan mengikuti Firash ke tapak pembinaan bagi memulakan kerja mereka. Kalau diikutkan hati, dia tidak mahu langsung bekerjasama dengan Firash. Namun apakan daya. Dia juga ingin membuktikan sesuatu kepada Tan Sri Firman. Sementelah selama ini papa sering memandang serong akan keupayaannya.

Encik Affendi dan Gihan, penyelia yang turut bertugas bersama menggamit Firash dan Farrhan dari jauh. Senyuman lebar tak lekang dari wajah masing-masing.

"Selamat pagi Encik Firash, Encik Farrhan" sapa Encik Affendi, diikuti Gihan.

"Selamat pagi" sahut Firash, ramah dan mesra. Farrhan hanya mengangguk kepala sambil tersenyum.

"Dah sarapan?" tanya Encik Affendi.

"Alhamdulillah, kenyang dah. Perut pun dah membesar ni" seloroh Firash sambil tergelak. Encik Affendi dan Gihan tertawa halus.

"Baguslah macam tu. Oh ye. Ni saya nak perkenalkan Gihan, penyelia di kawasan pembinaan ni. Dia pun akan bersama-sama dengan encik berdua"

Firash dan Gihan berjabat tangan.

"Terima kasih di atas kepercayaan kepada pihak kami" tutur Firash.

"Sama-sama" sahut Encik Affendi lagi.

"Macam mana dengan supplier dan pekerja yang lain?" soal Gihan pula.

"Diorang akan datang sekejap lagi. Yang tu, saya dah uruskan semuanya"

"Kalau macam tu, saya tinggalkan Gihan dengan encik berdualah ye? Kalau ada apa-apa, boleh je jumpa saya"

Seraya mengucapkan itu, Encik Affendi berlalu meninggalkan mereka. Tetapi kemudian dia berpaling setelah namanya dipanggil oleh Firash.

"Ada apa ye encik Firash?" tanya Encik Affendi setelah Firash menghampirinya.

"Errr, saya ada benda nak tanya. Tapi bukan pasal projek ni. Pasal lain"

Kening encik Affendi terangkat. Hal lain apa yang dimaksudkan oleh Firash?

"Pasal apa ye encik Firash?"

Firash mengetap bibir. Hatinya berdebar. Haruskah dia menanyakan perihal Nuraisha kepada encik Affendi? Tetapi jika encik Affendi memulangkan persoalan semula berkenan hubungannya dengan Nuraisha, apa yang harus dijawab?

Dia baru saja kenal dengan gadis tersebut. Tiada satu informasi mengenai Nuraisha yang dia ketahui. Fikirannya hanya kekal mengingati peristiwa semalam. Tetapi hati dan fikirannya mendesak untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Nuraisha. Nak tanya ke tak?

"Encik Firash??" Suara encik Affendi menyentakkannya. Segera dia jamah wajah yang sedang tersenyum padanya itu.

"Errr, saya nak tanya pasal seseorang"

"Siapa ye?"

Firash menarik nafas dalam-dalam. Kemudian, dihembus keluar. Wajah encik Affendi ditilik dengan penuh pengharapan.

Perlahan-lahan, nama Nuraisha meniti di bibirnya. "Aisha"

Dan kali ini, encik Affendi pula yang terkejut. Setahu dia, pemilik nama Aisha cumalah seorang saja di kampungnya. Nuraisha. Sahabat baik kepada Samsul, anaknya. Tetapi ada urusan apakah Nuraisha dengan Firash?

Wajah Firash dipandang penuh tanda tanya. Sesuatu sedang berlaku. Tetapi apakah itu?

SETELAH mendengar penjelasan dan cerita daripada Encik Affendi, Firash termenung seketika. Dalam diam, dia kasihankan nasib yang menimpa diri Nuraisha. Benar tekaannya. Nuraisha diseksa oleh keluarganya sendiri. Sempat juga dia suarakan pertanyaan kepada Encik Affendi.

"Kalau semua orang kampung dah tahu, kenapa tak report polis je pasal kejahatan keluarga Aisha?"

Encik Affendi mengeluh. Bukannya dia tidak pernah mencuba ke arah usaha tersebut, tetapi Nuraisha sendiri yang menafikan tuduhan penderaan tersebut. Justeru, apa lagi tindakan yang dia punya?

"Lagipun, encik kan ketua kampung. Kuasa encik besar lagi dari mereka. Dan kebajikan setiap penduduk kampung adalah di bawah tanggungjawab encik" tokok Firash lagi. Dari raut wajahnya, jelas menunjukkan betapa dia tidak puas hati dengan sistem pentadbiran yang berteleku di bawah jagaan Encik Affendi.

"Saya tahu semua tu encik Firash. Dan saya pernah berkali-kali mencuba melaporkan mereka ke pihak polis, tapi Aisha sendiri yang menafikan tuduhan tu. Dan pihak polis pulak percaya apa yang dia katakan.Jadi apa lagi usaha yang boleh saya lakukan?"

Firash masih tidak berpuas hati. Masakan mereka semudah itu melepaskan diri daripada kejahatan dan pihak polis. Yang pasti, ada bukti lain lagi yang boleh menyabitkan mereka dengan kesalahan tersebut.

"Luka pada tubuh badan Aisha boleh dijadikan bukti penderaan kan? Tak pun, kesan luka dia ke?"

"Tu semua dah kami periksa. Dan Aisha cakap dia terjatuhlah, dia terlanggar sesuatulah.."

"Takkan sesenang tu pihak polis percaya?" Firash mencantas kata-kata encik Affendi. Benar-benar dia tidak puas hati!

Wajah encik Affendi mendadak berubah. Dia terkedu dengan sikap baran Firash secara tiba-tiba itu. Apatah lagi ianya bersangkut-paut dengan Nuraisha. Hatinya masih tertanya-tanya akan maksud perubahan Firash tersebut.

Keadaan mulai senyap. Perubahan yang ketara pada wajah encik Affendi menyebabkan Firash mula mengawal emosi. Dia khilaf! Emosinya terlalu cepat terjentik. Dia juga bingung kenapa sejauh ini dia berubah padahal Nuraisha bukanlah orang penting dalam hidupnya.

"Macam nilah encik Firash. Saya tahu segala usaha dan tindakan saya ke atas warga kampung. Berkenaan dengan Aisha pulak, tak perlulah encik Firash risau kerana saya yakin, dia takkan apa-apa. Lagipun tujuan encik Firash ke sini adalah hendak menyiapkan projek ni kan? Saya harap bukan projek lain yang encik Firash 'siapkan'"

Sindiran encik Affendi kena setempek ke wajah Firash! Bahangnya mula terasa. Nampak gayanya encik Affendi mampu menghidu perasaannya. Inilah padahnya apabila terlalu kurang bijak hendak mengawal emosi.

"Maafkan saya encik Affendi. Saya cuma tertanya-tanya"

"Saya tahu kenapa encik Firash bertanya. Sebab encik tinggal bersebelahan dengan Aisha kan?"

"Banyak dah saya saksikan. Apakan daya, bila mata boleh melihat, hati pulak terpaksa 'ditutup'. Risau saya"

Kali ini, encik Affendi pula yang terasa. Benar-benar dia terasa!

ANGIN yang bertiup seakan menyedarkannya dari lamunan. Dari tadi, dia duduk di bawah sepohon pokok yang redup saja sambil matanya memerhatikan pekerja bawahannya menyiapkan kerja. Farrhan sedari tadi pamit untuk pulang. Katanya ada urusan. Entah apa urusan yang dimaksudkannya, Firash sendiri malas hendak ambil tahu.

"Nuraisha"

Sebaris nama itu meniti perlahan di bibirnya. Cantik namanya, secantik orangnya. Tetapi sepasang mata itu menyimpan beribu duka dan kesedihan. Sukar untuk dia tafsirkan dalam-dalam. Gadis itu tampak agak takut dan kebimbangan.

Lama Firash memerah otak. Berfikir mengenai Nuraisha yang baru sahaja dikenali. Namun hati seakan ingin sekali ambil peduli. Nasib mereka hampir sama. Oleh itu, dia mampu merasakan semua kepahitan Nuraisha. Tetapi dia benar-benar tidak menjangka percaturan hidup Nuraisha seperti itu. Dan dia terlalu ingin meneroka lebih dalam lagi ke dasar hati Nuraisha. Namun gadis itu teramat payah untuk didekati.

Firash melepaskan keluhan berat. Tidak lama kemudian, dia melemparkan senyuman. Teringat akan pertemuan kedua mereka ketika di sungai tempoh hari, hatinya seakan mekar mewangi.

"Tak sangka, Cinderella benar-benar wujud di alam nyata!"

Senyuman itu berubah tawa. Kuat dan lantang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience