6

Other Completed 493332

BERGETAR rasa hati saat menerima kunjungan daripada Puan Normala. Setahu dia, wanita itu tidak pernah mengunjunginya jika bukan kerana hal penting. Pasti ada sesuatu penyebab kepada kunjungannya itu.

"Saya datang ni ada hajat Kak Dara"

Buah pinang yang sudah dikopek dan dipotong kecil dikunyah perlahan. Matanya tajam merenung Puan Normala dan beberapa orang yang turut ada di situ. Keningnya terjongket sedikit. Benar telahannya. Puan Normala mempunyai niatnya tersendiri namun apakah itu?

Mata Puan Normala singgah pada wajah serius Maksu Dara. Lama dia menanti jawapan balas daripada bibir itu namun penantiannya hanya sia-sia. Maksu Dara seolah-olah tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut.

"Kak Dara?" Nama Maksu Dara dipanggil, namun agak sedikit lantang.

"Aku dengar suara kamu. Tak payah nak menjerit!" bidas Maksu Dara dengan mulut yang penuh dengan buah pinang.

Berkerutu wajah Puan Normala saat diherdik sebegitu. Bahangnya terasa apabila dipermalukan di hadapan orang ramai.

"Kamu ada hajat apa ke mari?" tanya Maksu Dara lagi, namun dengan riak yang kurang senang.

Tersungging sebuah senyuman manis di wajah Puan Normala. Soalan itu yang ditunggu-tunggu sedari tadi.

"Kami ni datang nak menyunting bunga di taman. Itupun kalau bunga tu belum disunting" sampuk Hajah Rashida pula, adik kepada Puan Normala.

Dengan riak yang terpempan, Maksu Dara menghentikan kunyahannya. Buah pinang terasa lekat di anak tekaknya. Wajah Puan Normala dan orang di sekelilingnya dipandang silih berganti.

Dia kebingungan. Siapa yang dimaksudkan oleh Puan Normala itu? Adira ke? Tidak mungkin Aisha!

"Kak, saya nak meminang Aisha untuk anak bujang saya. Samsul" ujar Puan Normala apabila Maksu Dara kelihatan seperti kebingungan sahaja.

Bagaikan terkena halilintar, seluruh tubuhnya terasa kejang. Meminang Aisha? Hatinya bungkam dan mendongkol geram. Benarlah tuduhan Adira selama ini. Aisha memang 'kemaruk' bercinta dengan Samsul! Wajar sajalah Adira mengamuk tempoh hari. Tidak dinafikan lagi tuduhan Adira itu. Tunggulah Aisha! Tunggu kau aku kerjakan!

"MACAM mana bu? Apa kata Maksu Dara?"

Saat menerima kedatangan Puan Normala, laju saja derap kaki Samsul mendekati ibunya. Teruja benar hatinya hendak mendengar berita yang dibawa oleh Puan Normala.

Tersenyum Puan Normala dengan telatah anak bujangnya itu. Nampak sangat kegilaannya pada Nuraisha. Dia sempat menggeleng kepala sebelum menghantar punggung di atas kerusi.

"Sabarlah dulu. Bagi ibu duduk, tarik nafas. Kan baru balik ni?" Sengaja Puan Normala hendak bermain emosi dengan Samsul. Padahal hatinya sudah menggeletek ketawa dengan riak masam dari Samsul. Haishh, tak menyabar betul anak teruna seorang ni!

"Maksu Dara cakap, dia mintak tempoh. Nanti dia bagitau jawapan dia. Dia nak tanya Aisha dulu"

Samsul bingung. Benarkah seperti apa yang diperkatakan ibu? Dia tidak percayakan Maksu Dara. Wanita itu selalu saja bersikap tidak adil pada Nuraisha. Bagaimana jika tempoh tersebut hanya untuk menyedapkan hati pihak mereka? Bukan dia tidak kenal Maksu Dara. Perasaannya mulai tidak enak.

"Tak payah fikir banyak sangat! Ibu yakin, Aisha akan setuju" Yakin Puan Normala memberi jaminan.

Namun tidak seyakin hati Samsul ketika itu. Perasaannya resah dan tidak menentu. Dia tahu Adira juga sukakannya. Bagaimana jika Maksu Dara dan Adira mendera Nuraisha lagi gara-gara pinangannya? Dia pasti Maksu Dara akan lebih memihak kepada Adira. Hatinya kesal saat terburu-buru membuat keputusan itu.

"Dengar tak ibu cakap apa?" Suara Puan Normala menyentakkan Samsul. Wajah ibunya dipandang lalu segaris senyuman dihadiahkan buat wanita itu.

"Dengar bu"

"Haa dengar pun! Baguslah. Sam doa, mintak pada Allah semoga Dia bukakan hati Aisha dan permudahkan semuanya. Jangan fikir banyak sangat. Nanti Sam tak tentu hati pulak"

Nasihat Puan Normala disahut dengan anggukan kepala. "Baik bu"

TERKEJUT Naura melihat kelibat kembarnya itu di rumah. Setahu dia, Naira paling tidak suka melekat di rumah. Ada saja aktiviti 'tak rasminya' di luar sana.

Punggungnya dihenyak bersebelahan dengan Naira. Dia berkira-kira hendak menyoal namun jelingan maut Naira membatalkan niatnya.

"Kau rasa pelik kan aku kat rumah hari ni?" teka Naira sambil menjamah wajah kembarnya itu.

Naura buat wajah meluat. "Aku tak cakap apa pun!"

Naira mencebirkan bibir. Macamlah dia tidak tahu fikiran si Naura itu! Mereka mempunyai pemikiran dan taste yang berbeza walaupun mereka kembar seiras.

"Along mana?" Naura menyoal, memaksudkan Firash.

Naira angkat bahu. Tidak tahu dan malas hendak ambik tahu! Dia juga seperti Farrhan, tidak sukakan Firash! Bahkan hubungannya dengan Firash juga tidak rapat dan seakrab hubungannya dengan Farrhan. Hanya Naura saja yang suka ambik tahu akan kebajikan abang tirinya itu.

"Takkan tak tahu?"

"Hishhh, macamlah aku ni jaga dia 24 jam!" rungut Naira kasar. Dia mendengus lantas menyandarkan badan ke dada sofa. Ketenangannya terganggu oleh Naura.

"Laa, dia kan abang kita. Tak salahkan kalau nak tahu pasal dia"

"Excuse me!" Naira bercekak pinggang. "Dia mungkin abang kau, tapi bukan abang aku!" sanggah Naira dengan wajah angkuhnya.

Naura menggeleng kepala. Dia sudah tidak punya daya untuk bertekak dengan Naira. Selalu saja ingin menang. Jika dia menyahut, pasti mereka akan bertekak dan penyudahnya, dialah yang akan beralah dengan sikap kebudak-budakan Naira!

Melihatkan kesenyapan Naura, otak Naira mula bekerja. Dia ingin meminta sesuatu daripada Naura tetapi otaknya masih tercari-cari akan ayat sesuai untuk diungkapkan kepada kembarnya itu.

"Kau senyap macam ni, mesti kau nak sesuatu kan?" Naura serkap jarang. Faham benar dengan gelagat dan bahasa badan Naira itu. Jika dia senyap tanpa sepatah kata, pasti ada yang diingininya.

Tersengih Naira seketika. Lengan Naura dipaut manja. Dagunya diletakkan di atas bahu Naura. "Kau je yang faham aku"

"Kau nak apa?" tanya Naura tanpa bertangguh. Ni kalau tak pasal duit, mesti pasal Irham, teman lelaki tak guna si Naira itu! Dia sendiri pun tidak faham mengapa Naira masih melekat dengan lelaki seperti itu. Sedangkan sudah terang lagi bersuluh, Irham hanya inginkan duitnya saja! Mungkin kerana cinta, mata hati Naira dibutakan.

"Kau tahu kan, papa dah bekukan kad kredit aku. I am so moneyless now!"

Wajah Naura berubah. Haa, kan betul! Nak duitlah ni! Tu sebab menempel je dengan aku!

"So?" soal Naura bersahaja.

"So?" ajuk Naira. "Kau kan kembar aku! Mestilah kau faham apa yang aku nak kan?"

Naura mengeluh. Wajah bujur sirih Naira dipandang. Kembarnya ini memang cantik, malah lebih cantik dari dirinya. Hidungnya yang tercuit, bulu keningnya yang melebat dan bibirnya yang seksi itu cukup sifatnya sebagai seorang wanita! Berbeza dengan dirinya. Meskipun mereka kembar, namun bentuk muka mereka sangat berlainan. Wajahnya sedikit bulat dan berisi.

"Aku takde duitlah!" tukas Naura. Dia teringat akan nasib Naira beberapa minggu yang lepas. Lantaran terlalu kuat berbelanja tanpa memikirkan akibatnya, sikap borosnya itu mampu dihidu oleh papa. Itu pun kerana Firash sendiri yang memaklumkan kepada papanya. Dia juga tidak boleh menyalahkan Firash kerana itu memang sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai abang sulung, meskipun berstatus abang tiri! Gara-gara itulah kebencian Naira kepada Firash semakin meluap-luap. Naira menuduh Firash punca segalanya. Aihh, dia pula yang pusing kepala! Sikap Naira dan Farhhan tidak jauh bezanya. Terlalu suka menyusahkan semua orang!

Dek kerana keborosan Naira tersebut, Tan Sri Firman membekukan semua kad kredit Naira dan melarangnya untuk berbelanja lagi. Dia hanya diberi kebenaran untuk berbelanja di atas benda yang penting sahaja, itu pun dengan segala bukti resit dan barang pembeliannya! Naura agak, mungkin itulah salah satu sebab kenapa Naira melekat saja di rumah.

"Alaa kau ni! Berkira sangat dengan aku. Tak cayalah aku kalau kau takde duit! Kau kan tak suka berbelanja kan? Mesti duit kau banyak kan? Bagilah aku sikit" Naira tidak henti memujuk. Digeselkan dagunya ke bahu Naura, seperti hendak bermanja.

Naura berdecit. Ini yang dia tidak suka! Naira bijak memujuk dan membeli jiwanya. Walaupun dia kurang berkenan dengan sikap Naira, namun pada masa yang sama dia juga kasihankan nasib kembarnya itu.

"Kau ni kan..."

"Alaaa bolehlah! Bolehlahhh...." Naira terus-menerus memujuk sebelum sempat Naura menyambung ayatnya. Senyumannya memekar saat melihat Naura mengeluarkan kad kreditnya dari dalam tas tangan.

"Nah, tapi lepas guna, kau kena pulangkan balik!" pesan Naura sebelum kad kredit diserahkan kepada Naira.

"Ye, aku tahulah!" Huluran Naura disambut. "Ni yang buat aku makin sayang kau ni!" Pipi Naura dikucup manja sebelum dia membawa diri ke biliknya.

Naura menggeleng kepala dengan gelagat Naira. Haishh! Nasib kembar...

"MAKSU, sakit. Sakit maksu" Nuraisha kesakitan saat telinganya dipulas oleh Maksu Dara. Kesakitannya bertambah saat tubuhnya ditolak kasar di atas tilam yang terhampar di atas lantai. Air matanya mencurah-curah ke pipi. Dia kebingungan saat dikasari Maksu Dara sebegitu. Apa kesalahan yang telah dilakukannya?

Adira memeluk tubuh dengan wajah yang menyinga. Hatinya sakit saat dimaklumkan akan pinangan Samsul terhadap Nuraisha. Perkara itu sekaligus telah menguatkan lagi kebenaran mengenai hubungan mereka selama ini. Dan untuk itu, dia tidak akan sesekali memaafkan Nuraisha!

"Apa yang Sha dah buat maksu? Kenapa maksu pukul Sha?" rintih Nuraisha sambil cuba mengelak pukulan demi pukulan dari Maksu Dara.

Adira mencebikkan bibir. Langkahnya laju menghampiri tubuh Nuraisha yang sudah terduduk di atas tilam. Rambut ikal Nuraisha ditarik. Dia benar-benar sakit hati melihat wajah polos itu menangis.

"Apa yang kau dah buat? Hei betina! Kau dah rampas abang Samsul dari aku. Kau boleh tanya lagi kau buat apa haa?" jerkah Adira diiringi wajah yang sarat dengan kebencian.

Terpempan Nuraisha saat menerima berita itu. Dia menggeleng kepala beberapa kali, menafikan mengenai hubungannya yang terjalin di antara Samsul selama ini. Mereka berhubung di atas nama sahabat sahaja. Dia tidak pernah menyukai Samsul lebih dari seorang kawan.

"Tak maksu! Tak Dira! Sha takde apa-apa hubungan dengan abang Samsul! Sumpah!" sanggah Nuraisha.

"Kalau kau takde hubungan dengan dia, kenapa dia masuk meminang kau?" soal Adira lagi. Nafasnya mula tidak teratur. Turun naik nafasnya menahan amarah yang mula berkumpul dalam diri. Dia memandang Nuraisha seakan hendak ditelan saja.

Berita yang dibawa oleh Adira sungguh mengejutkan Nuraisha. Pinangan? Dia sungguh tidak tahu-menahu mengenai perkara itu. Bahkan sejak pertemuan terakhirnya dengan Samsul tempoh hari, tiada tanda-tanda lelaki itu akan meminangnya. Perkara itu juga tidak termasuk di dalam perbualan mereka sebelumnya.
"Kau memang sengaja nak rampas abang Samsul dari aku kan?! Lepas tu bolehlah kau berambus dari rumah ni. Senang-senanglah kau jadi mem besar kan?!" tukas Adira lagi, sambil cuba menghasut Maksu Dara.

Dia berganjak ke arah Maksu Dara dan memaut lengannya. "Mak, kalau mak bagi dia kawen dengan abang Samsul, dia akan keluar dari rumah ni. Kalau dia keluar dari sini, siapa nak masak? Nak cuci, nak basuh barang semua mak?"

Mata Maksu Dara terjegil merenung tampang Nuraisha. Nafasnya sudah tidak seirama lagi. Dia geram dengan benci dengan kelakuan Nuraisha. Huhh! Perampas, sama macam mak dia!

"Sebab tu kau goda Samsul kan?" Giliran Maksu Dara pula menyerang. Ditibainya tubuh badan Nuraisha yang kurus itu. Kemudian, dagu Nuraisha dipagut lalu pipi gebu itu ditampar sekuat hati.

"Kau dah lupa ke empat tahun lalu apa yang kau dah buat? Dasar perempuan jalang! Kau ni dah rosak, ada hati nak bermentuakan si Normala tu! Kau tu..."

"Mak!" pantas Adira mencelah. Risau sekiranya peristiwa empat tahun lepas terbongkar. Masaklah mereka berdua nanti!

"Ampunkan Sha maksu! Ampunkan Sha!" Merengek Nuraisha dalam tangisan saat tangan kasar Maksu Dara mulai hinggap di seluruh wajahnya.

"Kau nak rampas Samsul dari anak aku? Sama macam mak kau rampas Zainal daripada aku kan?!" Kemarahan Maksu Dara mula memuncak. Terbayang-bayang di minda saat Zainal memutuskan hubungan mereka demi Nurhayati. Betapa sakit hatinya saat itu. Kini, dia dapat membalas segala rasa itu pada anak Nurhayati. Puas hatinya!

"Macam mana acuan, begitulah kuihnya! Saling tak tumpah!" bidas Maksu Dara lagi.

Perasaan bencinya semakin menjadi-jadi. Dari pipi, kini tangannya hinggap pada tubuh badan Nuraisha pula. Tali pinggang yang digantung di dinding digapai lalu ditibai ke tubuh badan genit itu.

Nuraisha meraung sekuat hati. Dia benar-benar berada dalam kesakitan saat ini. Air mata yang merembes keluar seakan tidak mahu berhenti. Tidak henti-henti dia menyebut nama Allah.

"Kau jangan ingat, aku akan benarkan kau kawen dengan Samsul! Kalau boleh, aku nak kau jadi anak dara tua seumur hidup supaya aku dapat seksa kau sepuas hati aku! Apa yang mak dan ayah kau pernah buat pada aku, itu yang akan aku buat pada kau. Tapi dua kali ganda lagi rasa dia!" luah Maksu Dara. Dia semakin menggila.

Wajah Adira mulai cemas tatkala melihat Nuraisha seakan tidak sedarkan diri. Darah mula memercik dari tubuh badan itu. Tangan Maksu Dara ditarik namun kudratnya tidak mampu untuk melawan.

"Dahlah tu mak! Mak nak bunuh budak ni ke?"

Namun Maksu Dara tidak ambil peduli. Dipukulnya tubuh itu sepuas hatinya bagi menghilang rasa dendamnya selama ini.

"Mak!!" jerit Adira lantang dan kuat. Maksu Dara berhenti. "Mak tak tengok ke Aisha tu dah pengsan! Buatnya budak tu mati macam mana? Mak nak masuk penjara ke?"

Dalam ketika itu, barulah Maksu Dara menjarakkan dirinya dari Nuraisha. Dilihatnya anak saudaranya itu sudah lemah dan tidak bermaya.

"Baru puas hati aku!" Tali pinggang dicampak kasar ke lantai. Dia melangkah keluar dari bilik Nuraisha sambil diikuti oleh Adira.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience