83

Other Completed 493332

PAGI itu, Haikal mengambil keputusan untuk menemui sahaja Farrhan secara empat mata. Meskipun mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain, namun hasrat hati Haikal tidak mampu ditahan lagi. Amarah yang menggunung serta fikiran di luar kewarasan menghasutnya untuk bertindak sedemikian.

Wajah tenang Farrhan yang sedang tidur di atas katil dipandang tidak berkelip. Hatinya bungkam tatkala melihat figura seseorang yang sangat dikenalinya turut terlena di sisi lelaki itu.

Anak kecil itu sedang asyik memeluk Farrhan di dalam lenanya. Haikal menggenggam penumbuk. Dulu dialah yang sentiasa menemani tidur anaknya itu. Dia juga yang memeluk dan mengusap penuh kasih sayang. Kini segala-galanya diambil alih oleh Farrhan. Kehilangan itu semakin terasa.


Tadi ketika dia sampai, dia terserempak dengan dua kembar yang sedang menuju ke kereta. Mahu tidak mahu, Haikal terpaksa membohongi mereka.


"Encik nak cari siapa?" tegur Naura dengan pandangan mencurigakan. Dia tidak pernah lihat lelaki itu di situ.


"Saya Hanafi. Kawan lama Farrhan" Haikal berbohong. Nama sebenarnya juga adalah Haikal Hanafi. Dia tidak mahu menggunakan nama Haikal atas sebab tertentu.


"Hanafi?" Naira mengerut dahi. "Maaf ye, tapi kami tak pernah pun dengar angah ada kawan nama tu. Encik yakin ke encik ni kawan angah kami?"


Haikal mengorak senyuman penuh yakin. Wajah keduanya ditatap.


"Iya, saya yakin. Lagipun tadi saya cakap yang kami ni kawan lama kan? Dan tak rapat sangat. Saya dapat tahu dia sakit. Jadi kebetulan saya ada kat sini, saya nak jenguk dia"


"Maksudnya?" soal Naura pula.


"Saya nak balik UK lepas ni. Jadi sebelum balik sana, saya nak jumpa kawan saya dan menyapa dia"


Naura dan Naira saling berpandangan. Namun kemudian, Naira mengukir senyum lantas mengangguk kepala.


"Okey, encik boleh jumpa abang saya. Tapi dia masih tidur lagi. Tak lama lagi tu sedarlah"

"Okey, terima kasih" ucap Haikal seraya mengatur langkahnya.

Berbeza dengan Naura, hatinya seakan kuat mengatakan yang sebaliknya. Dia tidak kenal lelaki itu dan setahu dia, Farrhan tidak mempunyai ramai kawan. Dan jika ada sekalipun, pasti Farrhan akan mengenalkannya kepada mereka.


Hanafi?

LAMPU hijau sudah menyala. Dan kereta yang dipandu oleh Naura masih tidak bergerak. Keadaan itu menyebabkan kereta di belakang mengehonnya beberapa kali. Naura tersedar dan cepat-cepat kembali fokus kepada pemanduannya.

"Kau ni apasal?" tegur Naira dengan wajah tak senang.

"Aku musykillah"

"Maksud kau?"

"Pasal si Hanafi tu"

Kening Naira bersabung. Apa yang musykilnya? Dia tak nampak sesuatu yang mencurigakan pun pada lelaki itu. Yang pasti, lelaki itu hensem!

"Kau tak pelik ke? Dia cakap dia kawan lama angah. Masalahnya angah kan tak lama kat sini dulu. Lepas je habis PMR, angah pindah luar negara. Habis je ijazah dia, baru dia balik Malaysia semula. Jadi bila masa pulak dia berkawan dengan angah?"


Naira menyeret senyuman sinisnya. "Kau ni tak habis-habis dengan curiga. Aku tahulah kau peguam. Tapi tak perlulah nak bawak instinct peguam kau tu sampai kat sini"


Omongan Naira mengundang keluhan di bibir Naura. "Susahlah cakap dengan kau ni!"


"Aikkk, aku pulak?! Okey, macam ni. Kita ni nak pergi hospital untuk buat ujian DNA angah dengan Mia. Lepas tu, tengah hari sikit kita nak jumpa doktor Sufian tu. Jadi boleh tak untuk satu hari ni kau tak payah nak fikir pasal apa-apa yang mencurigakan? Yang buat hati kau tak tenang?"

Naira menasihati dengan tujuan baik. Dia tidak mahu Naura terlalu bingung atau tertekan memikirkan masalah yang lain. Sedangkan saat ini mereka masih ada lagi urusan yang belum diselesaikan.

"Aku tak nak kau serabut fikir pasal benda yang tak pasti tu. Kita selesaikan satu-persatu. Yang lain tu, belakang kira!"

Kata-kata Naira tidak disahut tetapi Naura hanya membalas dengan anggukan.

INSAN segak yang berdiri di hadapannya itu dipandang dengan penuh tanda tanya. Wajahnya bengis dan jelas sangat akan riak kebencian di situ. Siapa dia dan apa hajat dia ke mari?

"Sebelum tu, aku nak perkenalkan diri aku. Haikal. Dan budak yang tidur kat sebelah kau tu anak aku"

Farrhan menoleh ke sebelah dan melihat wajah tenang Mia dalam lena. Hatinya mula merasakan sesuatu yang tak baik. Ditarik rapat tubuh Mia ke sisi. Dia tidak kenal siapa Haikal dan niat lelaki itu. Kalau benar Mia anaknya ,bererti lelaki itu adalah majikan tempat Nuraisha bekerja. Tetapi atas tujuan apa dia ke mari?

"Aku tak nak basa-basilah ye? Aku datang ni nak bagitau kau yang aku akan kawen dengan Nur, isteri kau. Dan kalau kau tak nak ceraikan dia, dia akan tuntut fasakh di mahkamah. Dan alasan dia bercerai adalah kerana sikap dayus kau selama ni pada dia. Selama setahun yang lepas, kau jual dia kat rumah pelacuran dan biarkan dia layan jantan-jantan tak guna kat sana. Ehhh, mana pergi maruah kau sebagai lelaki haa?! Kalau kau tak mampu nak hormat dia sebagai seorang isteri, sekurang-kurangnya kau hormatlah dia sebagai seorang wanita. Kau tak layak jadi suami pada mana-mana perempuan sekalipun!"


Kata-kata berbaur amaran keras itu membuatkan sekeping hati Farrhan bungkam. Dia terkesima dan benar-benar tidak tahu apa yang telah terjadi. Bila masa dia menjual Nuraisha ke pusat pelacuran?! Ya Allah, dia masih ada hati nurani dan akal untuk membezakan baik buruk akan sesuatu meskipun bencinya meluap-luap terhadap Nuraisha ketika itu.

Masakan dia mahu menggadaikan maruah Nuraisha di rumah terkutuk itu? Ya Allah, apa sebenarnya yang telah berlaku?!

"Dan sekarang, aku rasa puas sangat yang kau dah dapat balasannya. Nur seorang isteri dan wanita yang baik. Dan untuk wanita sebaik dia, kau tak layak langsung untuk dia!"

Air mata Farrhan mengalir dengan laju. Dia menggeleng kepala berkali-kali. Kerana salah faham itu, dia kehilangan Nuraisha selama isterinya berada di sisi. Dia tidak nampak dan tidak tahu sejauh mana perasaan Nuraisha terhadapnya. Yang pasti, dia ingin menyelesaikan segala salah faham ini dengan segera!


"Ni..." Haikal mencampakkan sekeping dokumen di atas katil. "Dokumen penceraian korang. Aku dah siapkan segala-galanya atas arahan Nur. Dan dia pun dah sign paper ni. Tinggal sign kau pulak. Lepas tu, segala-galanya selesai!"


Haikal tersenyum sinis. Sebelum menemui Farrhan, dia sudah merancang segala-galanya. Dendamnya akan terbalas namun bukan dengan cara kotor seperti membunuh. Dia tidak mahu mensia-siakan hidupnya hanya kerana hutang darah!

Jika Farrhan pernah membuatnya merasa kehilangan, dia juga akan membalasnya dengan cara begitu. Bahkan dia akan merampas segala-galanya dari Farrhan!

Farrhan menggeleng kepala. Matanya tunduk memerhati saja dokumen itu. Tidak! Dia tidak mempercayainya! Nuraisha tidak akan seteganya berbuat sedemikian. Dan jika benar semuanya atas kehendaknya, dia tidak akan sesekali menceraikan Nuraisha.


Dia cintakan Nuraisha. Malah, perasaan itu masih kekal sejak pertama kali mereka bertemu lima tahun yang lepas. Segala janji yang pernah diungkapkan tidak sempat ditunaikan. Untuk itu, dia harus kembali ke sisi Nuraisha dan menunaikan segala-gala yang pernah mereka idamkan suatu masa dahulu.

"Dan Mia!!" Suara jeritan Haikal mengejutkan Mia yang terlena. Saat melihat Haikal berdiri di hadapannya, matanya mencerlung tajam. Dia beralih sedikit ke sisi Farrhan dan mula mengongoi.


"Mia jugak milik aku! Dia anak aku. Anak aku sorang! Dan dia takkan pernah jadi milik kau! Mia kena ikut aku"

Haikal mendekati kedua mereka dan merentap Mia dari lengan Farrhan.

"Lepaskan Mia! Mia tak nak ikut papa Haikal!!"


Mencerlung mata Haikal saat Mia membahasakan dirinya papa Haikal. Dia tidak bisa menerima itu.


Farrhan juga berusaha menolak tubuh sasa Haikal daripada merebut Mia. Namun kudratnya tidak cukup dek kerana kakinya yang masih kaku. Dia mendengar dan melihat tangisan Mia. Dia mendengar jeritan dan rayuan Mia.


"Papa Haikal?! Aku bukan papa Haikal. Aku papa kau! Aku papa kandung kau!!" Haikal seakan sudah dirasuk. Sekuat tenaga dia menarik Mia yang juga bertahan pada tiang katil.

"Kau tak nak ikut papa?! Okey!! Tapi kau takkan jumpa mama Nur kau lagi!"

Mia tersentap. Tangisannya semakin kedengaran. "Mia tak nak! Papa Haikal jahat! Papa Haikal pukul Mia. Mia tak nak balik ikut papa!" Mia sudah merengek dalam tangisnya.

Sekuat apa pun kudrat Mia, dia tetap tidak mampu untuk melawan tenaga Haikal. Pegangannya terlepas. Dia ditarik oleh Haikal dengan kasar.


Farrhan menggagahkan diri untuk bangkit. Namun usahanya tidak sampai ke tahap itu. Dia melihat Mia menangis dek rentapan kasar Haikal. Saat Mia melawan, Haikal seperti hilang pertimbangan lantas tanpa berfikir panjang, pipi gebunya ditampar.

"Sakit pa!" rintih Mia.

Tak cukup dengan pipi, tangannya pula menjadi mangsa. Haikal geram jika Mia menolak segala kata-katanya. Lengan itu dicubit sehingga meninggalkan kesan.

"Kau nak duduk sini dengan siapa? Diorang semua ni bukan keluarga kau! Aku!! Aku keluarga kau!!" amuk Haikal lantas menampar lagi kedua pipi Mia. Tubuh Mia digoncangkan berkali-kali sehingga lemah tak berdaya anak itu.


"Miaaaaaa!!!" Farrhan menjerit dalam tangisannya. Dan kali ini, suaranya mampu didengari, bahkan sudah bergema ke segenap ruangan. Air mata turut sama menyertai kesedihan di wajah. Dia tidak boleh menerima jika Mia dikasari.

Mia yang sudah terkulai layu hanya mampu melihat dari jauh. Matanya terpejam rapat, melihat kesungguhan Farrhan untuk menyelamatkanya.


"Papa...."


"Haikal ,jangan bawak anak aku! Jangannn!!" rayu Farrhan sambil mengensot atas lantai. Dia memukul kaki sendiri lantaran tidak mampu untuk terus bergerak.


Haikal gelak besar dengan keadaan diri Farrhan itu. Dia berdecit sambil memandang ke arah Mia yang sudah pengsan.


"Kau tu cacat! Kau ingat, kau mampu rebut Mia dari aku?!"


Sejurus selepas itu, Haikal bergegas keluar dari vila itu bersama Mia dalam dakapannya. Farrhan merintih dan berusaha keras untuk terus bangkit. Melihat kereta Proton Saga itu memecut laju melalui tingkap atas, hatinya kesal.

"Mia!!" Farrhan bangkit dan perlahan-lahan, dia mampu menyeimbangkan tubuh badannya. Dia mampu berdiri tanpa bantuan sesiapa pun. Sesekali, dia terjatuh namun itu tidak mematahkan semangatnya. Dia harus kuat agar kelemahan semalam hanyalah tinggal mimpi ngeri.

Bibirnya mengukir senyum manis saat segala usaha membuahkan hasil. Syukur ke hadrat Ilahi dia panjatkan buat Yang Maha Esa di atas kurniaan ini. Kini, masanya untuk bertindak setelah puas menjadi patung cendana selama ini!

"LEPASKAN Mia! Mia tak nak balik kondo!!"


Mia meracau di dalam kereta yang dipandu oleh Haikal. Wajahnya lebam dek kerana pukulan Haikal. Dia tersedar saat pemanduan lelaki itu seperti orang gila sahaja.


"Kau diam boleh tak?!" sergah Haikal. Dia cuba mengawal tangan Mia yang tak reti duduk diam itu, sedangkan tangannya yang sebelah lagi kekal pada stereng kereta.

"Mia tak nak diam!!" jerit Mia.

"Kau nak aku berkasar ke?!" ugut Haikal lagi.

"Papa Haikal bukan papa Mia! Papa Mia orangnya baik, bukan macam papa Haikal!"

Kata-kata Mia mengganggu ketenteraman jiwa dan fikirannya yang memang sudah bercelaru dari tadi. Bibir diketap, serentak dengan itu dengusan kasar terdengar dari bibir. Dia bukan papa Mia?! Haikal menggaru-garu kepalanya.


"Arrghhhh!!! Iya, aku bukan papa kandung kau! Mama dan papa kandung kau dah buang kau, tau tak?! Sebab tu aku jahat pada kau"


Mia menjerit dan menangis tak henti-henti. Walaupun dia masih kecil, namun dia sangat memahami maksud kata-kata itu.

"Kau nak tahu siapa mama kandung kau?"

Mia masih diam. Hanya tangisannya saja jelas kedengaran.


"Aku tanya ni, kau nak tahu ke tak haaa??!" tengking Haikal. Lengan Mia direntap kasar. "Kau ni sejak duduk sana, makin kurang ajar kan? Mama Nur kau tak ajar adab ke haa?"


"Jangan marah mama Nur! Mama tak jahat. Papa Haikal jahat!"


"Kalau mama Nur kau tak jahat, kenapa dia buang kau? Kau anak kandung dia, tapi dia buang kau tepi jalan. Dia tak nak kat kau. Kau akan jadi anak yang memalukan untuk dia. Kalau dia tahu kau anak dia, dia akan abaikan kau! Lagipun dia dah ada Fariq!! Untuk apa dia sibuk pasal kau??!"

"Arghhhh!!!" Mia menjerit sekuat hati. Air matanya turut membasahi wajah.

"Mia dah cakap, mama tak jahat! Mama tak pernah jahat. Papa Haikal buat cerita! Mia benci papa Haikal!!"

Serentak dengan itu, tangan Haikal digigit. Meraung juga Haikal dibuatnya. Dek kerana baran yang bercambah dalam hati, tanpa sedar Haikal telah melepaskan stereng kereta dan menampar pipi Mia. Melihatkan wajah Mia, dia terbayang akan wajah Nuraisha. Dan itu yang membuatkan hatinya sakit!


"Papa!!!" Mia menjerit kerana kereta yang dipandu oleh Haikal terbabas dan melanggar kereta di hadapan.

SETELAH memarkir kereta, Nuraisha tidak keluar dari situ. Sebaliknya dia berteleku di situ dan masih memikirkan akan nasib Fariq. Dia tahu, dia tidak boleh menyembunyikan kewujudan Fariq lagi. Tetapi dalam masa yang sama, dia bimbang dan takut jika Farrhan enggan menerima Fariq. Sementelah dia juga punya anak dari Maira.


Fariq yang diletakkan di dalam kerusi bayi di kerusi belakang dipandang seketika. Dia melemparkan senyumannya kepada anak itu. Benar kata Samsul. Wajah Fariq salin tak tumpah seperti wajah Farrhan.

"Iq, kita dah sampai vila. Mama nak bawak Iq jumpa papa. Tapi mama tak yakin, papa akan terima kita ataupun tak"

Fariq menggumam tatkala mamanya berbicara dengannya. Reaksi Fariq mengundang senyuman di bibir Nuraisha.


"Kasihnya anak mama" ujar Nuraisha.

Tingkap kereta diketuk. Nuraisha tersentak. Dek kerana tinted kereta yang gelap, dia tidak dapat mengenali wajah itu. Cepat-cepat dia menurunkan tingkap kereta. Dia mengeluh saat bersabung mata dengan Maira.


"Keluar. Ada benda yang kita kena bincang"

Nuraisha akur. Dia keluar dari kereta dan bersandar pada pintu kereta. Wajah Maira yang serius di hadapannya dipandang.


"Kau tau sebab aku kat sini kan?" soal Maira terlebih dahulu. Dia harus berbohong agar dapat memancing simpati wanita itu.


Nuraisha mengeluh sambil memeluk tubuh. Dia tidak sukakan keadaan mereka seperti itu. Dia hampir mendapat kebahagiaannya namun Maira merosakkan segala-galanya. Lantaran itu, dia tidak tahu ke mana harus langkah kakinya membawanya selepas ini.


Melihatkan kesenyapan Nuraisha, Maira bersorak di dalam hati. Dia tahu dia sudah menang. Wajah Nuraisha yang ketat itu menjelaskan segala-galanya. Lantas, dia bergerak ke keretanya untuk memperkenalkan Athirah kepada Nuraisha.

"Ni. Anak aku dengan Farrhan. Aku dah takde sesiapa lagi kat dunia ni. Satu family dah buang aku. Dan aku pun belum kawen lagi. Jadi aku tak nak masyarakat terus hina dan pandang rendah pada aku sebab anak kami. Aku harap kau faham"

Wajah Athirah yang lena ditatap. Ada rasa belas saat melihat wajah itu. Wajah yang bakal hidup tanpa seorang ayah jika dia tidak berundur. Tetapi nasib Fariq pula bagaimana? Fariq juga anak Farrhan. Masakan dia mahu menafikan kenyataan itu meskipun pada mulanya itulah niatnya.

"Lagipun kau takde anak dengan Farrhan. Dan kau pun akan bercerai dengan dia. Farrhan tak cintakan kau. Kalau dia cintakan kau, dia takkan buntingkan aku" Maira terus-menerus menambah percikan api di bara hati Nuraisha.

Kenyataan perit itu harus ditelan! Bukannya dia tidak punya keturunan dengan Farrhan, tetapi silap dia sendiri yang merahsiakannya. Kini ada insan lain yang mengambil kesempatan di atas semua itu. Justeru, haruskah kesalahan itu diletakkan di bahu Maira?

"Kalau pun aku takde anak dengan Farrhan, bukan jugak alasan untuk kau pisahkan kami!" Suara kasar Nuraisha menyentakkan Maira.

"Maksud kau, korang saling mencintai?" Maira tergelak dengan pengakuan penuh yakin gadis itu.

Gelak tawa Maira berbaur sindiran itu menyebalkan hati Nuraisha. Dia yakin dengan hatinya, namun tidak mampu pasti dengan perasaan Farrhan.


"Ke kau je yang syok sorang? Farrhan takkan jatuh cintalah dengan kau! Jadi jangan nak confident sangat cakap macam tu!"


Air mata yang hampir menitis sedaya-upaya ditahan. Iya, mungkin benar apa yang diduga oleh Maira. Jadi untuk apa dia terus bertahan? Hanya kerana Fariq?

Maira mendekati Nuraisha dan bertentang mata dengannya. Wajahnya penuh kebencian dan meluat melihat riak Nuraisha itu.

"Kau kena sedar kedudukan kau! Kau...
bukan isteri yang diinginkan oleh suami sendiri! Takde gunanya kau terus bertahan dan berjuang sedangkan hati Farrhan untuk aku. Kami akan besarkan anak kami. Dan aku harap kau akan pergi dari sini"

DERAP kaki laju melangkah. Entah ke mana tujuannya, dia sendiri buntu. Dia tidak punya hala tuju yang tepat. Dia tiada sesiapa di sini. Mana mungkin dia kembali ke sisi Haikal sementelah lelaki itu selalu mendesaknya. Lagipula, dia benar-benar sehelai sepinggang.

Setelah berbincang dengan Maira, dia mengambil keputusan untuk berundur dan mencari ketenangan diri. Dia tidak sanggup dan tidak mampu untuk terus bertahan dalam hubungan yang bisa membuatkan dirinya tertekan. Jika ini yang terbaik, maka biarlah dia yang beralah.

Bukannya mudah untuk dia merelakan dan melepaskan segala-galanya. Namun demi sebuah bahagia, dia terpaksa. Barangkali dengan ketiadaannya, keadaan akan menjadi mudah.


Wajah Fariq yang sedang digendong itu ditenungnya. Dikucup pipi dan seluruh wajah itu dalam linangan air mata.


"Maafkan mama sayang! Mama terpaksa. Mama terpaksa jauhkan Iq dari papa lagi. Tapi kali ini, untuk selamanya"


Setelah Maira meloloskan diri ke dalam vila, dia cepat-cepat membawa Fariq keluar dari tempat itu. Sebolehnya, biarlah kewujudan Fariq tidak pernah diketahui oleh sesiapa pun agar tidak ada yang menuntut di kemudian hari. Pada mulanya, dia tidak begitu yakin dengan keputusan yang dibuat. Namun dia tidak mahu terus tertekan atau merasa mendesak seseorang untuk menerimanya. Jadi biarlah dia yang mengalah. Dia yakin, ketentuan Allah lebih baik dari perancangan umatNya. Dia yakin akan takdir Allah.

"Nuraisha kan?" Seorang wanita berhijab dan berjubah ungu menyapanya dengan senyuman.

Lama Nuraisha memerhati wajah penuh dengan senyuman itu. Otaknya ligat memikirkan gerangan yang menegurnya itu.

"Ni kak Lailalah! Sha dah tak kenal ke?" Laila pantas mengenalkan diri sendiri apabila Nuraisha mengambil masa yang agak panjang untuk mengingatinya.


Laila?! Sebuah senyuman lebar terukir di wajahnya. Baru dia teringat siapa wanita itu. Wanita itulah yang sentiasa melindunginya semasa dia di pusat pelacuran tersebut. Senyumannya semakin memekar tatkala bertemu dengan wanita itu. Perubahan pada dirinya juga sedikit sebanyak meninggalkan kesan di hati Nuraisha.

"Maaf kak. Sha tak kenal akak tadi" tutur Nuraisha lembut.


"Takpe. Buat apa Sha kat sini? Tunggu bas ke? Nak pergi mana? Bawak bayi lagi ni.." Bertubi-tubi soalan Laila. Dia sudah melabuhkan punggung di sebelah Nuraisha. Tidak ada sesiapa pun di perhentian bas itu. Hanya Nuraisha seorang.

Saat melimpasi tempat itu, dia ternampak kelibat Nuraisha dengan seorang bayi. Hatinya bertanya-tanya bermacam soalan. Sementelah dia memang mencari Nuraisha selama ini. Syukur, Allah permudahkan jalannya untuk menemui Nuraisha.


"Errr.... Sha..." Takkan nak cakap yang dia larikan diri dari rumah dan tinggalkan suaminya?

"Takpe-takpe. Nanti Sha cerita. Akak hantar Sha ye? Sha nak ke mana?"


Nuraisha diam. Sejujurnya dia juga tidak tahu hendak ke mana. Keputusan yang diambil secara tiba-tiba itu tidak menyiapkan dia akan sebarang kemungkinan. Yang difikirkan adalah bagaimana caranya lolos dari vila itu dan meninggalkan semua orang ,lebih-lebih lagi Farrhan!


"Sha... Sha tak tahu nak pergi mana" balas Nuraisha dengan esak tangisnya. Sedih pula apabila memikirkan nasib diri.

Wajah murung Nuraisha mendapat belas dari Laila. Dia tahu pasti Nuraisha punya masalah sendiri.

"Sha ikut akak balik ye? Ceritakan semuanya pada akak"

Mahu tidak mahu, Nuraisha terpaksa akur juga. Dengan keadaannya yang serba tidak menentu itu, dia tidak yakin jika dia bisa bertahan lebih lama. Lagipula, jika dia mengikuti Laila, setidak-tidaknya dia dan Fariq punya tempat untuk berteduh.

SETELAH mendengar penjelasan daripada Sufian, hati si kembar itu kembang kecup sahaja. Memang tidak salah lagi, Mia memang anak kandung Nuraisha. Kini mereka hanya perlu menunggu keputusan makmal mengenai DNA yang dibuat di atas Mia dan Farrhan. Jika ianya sepadan, maka tidak salah lagi Mia memang anak kandung Farrhan dan Nuraisha.


"Terima kasih. Sebab awak sanggup berterus-terang" ucap Naura dengan senyuman meleret di wajah. Gembira tak terkata rasa hati saat kebenaran sebenar terbongkar.


"You're most welcome! Saya buat semua ni sebab saya rasa berdosa sangat pada Nur. Dek kerana terlalu memikirkan perasaan Haikal, saya sendiri dah buat silap besar. Saya pisahkan Mia dari ibu kandung dia"

"Haikal?!" Si kembar itu serentak bertanya. Mereka pernah mendengar nama itu dan ceritanya melalui Mia.


"Ya. Haikal. Saya dah ceritakan semuanya kan?" Sufian masih ragu-ragu tatkala melihat reaksi wajah kedua kembar itu.


"Haah, sudah. Err tapi boleh tak saya nak tengok wajah Haikal?" pinta Naura. Ada sesuatu yang membelenggu fikirannya.


Sufian tersenyum. "Boleh. Kejap" Iphone dikeluarkan lantas wajah Haikal ditunjukkan kepada mereka berdua.


"Inilah Haikal" bagitahu Sufian.


Kedua kembar itu mengamati wajah Haikal yang sedang tersenyum itu. Kemudian, keduanya saling berpandangan kerana mereka mengenali wajah itu. Wajah yang sempat berpapasan dengan mereka tadi. Dan wajah itu juga yang mengakui akan kenalan Farrhan. Tetapi ternyata semuanya hanyalah sebuah pembohongan. Namun kenapa Haikal berbohong?

"Naira. Kita kena balik sekarang. Aku rasa tak sedap hati!" adu Naura dengan wajah cemasnya.


Sufian yang tidak mengerti apa-apa juga kebingungan melihat tingkah Naura itu.


"Kenapa? Apa yang berlaku?" tanya Sufian. Wajah Naura dalam tatapannya.


"Takde masa nak jelaskan! Kami kena balik sekarang. Jom!" Lengan Naira ditarik. Mereka bergegas keluar dari restoran dan menuju ke kereta. Sufian menggamit pelayan dan menyerahkan not RM50 kepadanya.


"Keep the change" Sejurus selepas itu, dia turut berlalu dengan seribu soalan. Yang pasti, dia juga tidak akan duduk diam jika Haikal melakukan kesalahan lagi.


Kereta Alza milik Naura diekori dari arah belakang. Dia harus menyelesaikan masalah yang sememangnya berpunca daripadanya juga!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience