36

Other Completed 493332

BIBIR Haikal diketap. Penumbuk digenggam. Serentak itu, nafasnya turun naik menahan amarah. Si pemilik kereta sudah hilang jejak. Dia sempat menyumpah di dalam hati. Dia tahu rupa dan keadaan kereta tersebut.

Meskipun sudah empat tahun berlalu, dia tidak akan pernah melupakan kejadian yang meragut nyawa Hanis. Gara-gara si pemandu yang tidak memandu dengan berhati-hati, dia kehilangan Hanis secepat itu. Dia tidak akan maafkan pemandu tersebut. Dia hampir lupa pada si pemandu durjana namun pertemuan itu mendesak hatinya untuk membalas dendam. Sepertimana dia terluka kerana meratapi kepermegian Hanis, seperti itu juga dia akan pastikan si pemandu terseksa. Itu tekadnya!

"Papa tak tidur lagi?" Suara comel Mia mengembalikan Haikal ke alam nyata. Dia menoleh kepada sang puteri lantas tersenyum manis. Tangan didepakan sebagai tanda minta dipeluk. Mia menuruti.

"Kenapa papa tak tidur? Dah nak pagi ni" Mia meleraikan pelukan Haikal sambil mengomel dengan rambut kusutnya itu. Haikal terhibur lantas menggomol kedua belah pipi Mia. Tenang hatinya saat melihat wajah comel itu.

"Papa balik lewat ke? Papa pergi mana? Papa keluar dengan uncle Pian dan uncle Alex lagi ke?"

Bertubi-tubi soalan Mia menggelikan sekeping hati Haikal. Mia, apalagi sudah bercakap, mengalahkan orang dewasa kadangkala!

"Mulut ni! Buat papa geram aje. Sayang kenapa tak tidur lagi ni? Dah dekat nak pukul 6"

"Mia dah bangun tidurlah papa! Papa yang tak tidur-tidur lagi"

Wajah cemberut Mia mengundang tawa di bibir Haikal.

"Papa ada kerja. Tu yang balik lewat"

"Papa tak tipu Mia kan?"

Luluh hati Haikal mendengar bicara Mia. Anaknya itu punya firasat dan naluri yang mengena tepat. Bagaimana bisa dia membohongi puterinya itu jika penipuannya bisa tertangkap?

"Eeee budak ni! Kenapa cakap macam tu?" Pipi Mia ditarik-tarik geram.

Mia berjeda sesaat kemudian menyambung kembali. "Mek Som cakap, kita tak boleh menipu. Nanti dekat akhirat, lidah kita kena potong"

Dan kali ini jantung Haikal terasa hendak tercabut! Anaknya itu sangat pintar dalam memberi teguran kepadanya. Anehnya, dia tidak pula merasa marah atau benci. Sebaliknya dia terasa hati dengan kata-kata tersebut kerana ianya benar.

"Papa tak tipu Mia. Mia dah mandi belum ni? Jom, papa mandikan Mia"

Tubuh Mia dicempung sambil diacah-acah wajahnya ke perut Mia.Tergelak sakan Mia dengan aksi papanya.

SEDANG Nuraisha sibuk memasak di dapur, derap kaki seseorang mendekatinya dari arah belakang. Dia menoleh dan ketika itu, wajah sugul dan rambut kusut Farrhan menyapa bebola matanya. Wajah tampan itu tersengih-sengih seorang diri sambil matanya turut memandang Nuraisha.

Nuraisha melepaskan keluhan berat. Sah, dia mabuk lagi! Bau alkohol yang terlalu menyengat itu mengesahkan lagi dakwaan Nuraisha.

"Kau membiusku.. dengan cinta. Cinta yang malu kukatakan.."

Lagu itu! Rentetan lirik yang dinyanyikan oleh Farrhan, hati Nuraisha berdetak hebat.Lagu itu benar-benar seolah mengembalikan dia ke memori lama.

"Hey perempuan!" Jari telunjuknya ditunding ke arah Nuraisha. Dia tersengih dengan mata yang tercelik sedikit.

Nuraisha memandang Farrhan.

"Kau....seronok ke jadi perempuan Firash? Atau lagi seronok jadi perempuan aku?"

Farrhan menumbuk dadanya berkali-kali sambil tersenyum hambar.

Dahi Nuraisha berkerut. Dia tidak memahami kata-kata Farrhan itu. Kenapa Farrhan mengatakan dia adalah perempuannya? Malah ini kali kedua lelaki itu berkata sedemikian.

"Hmmm...aku..." Farrhan menapak selangkah ke hadapan. Wajahnya masih dihiasi dengan senyuman hambar. Matanya terpejam.
"Aku..." Kini, lelaki itu benar-benar sudah berdiri di hadapan Nuraisha. Dia mencuba untuk membuka matanya sedikit namun tidak mampu.

Wajahnya didekatkan ke wajah Nuraisha. Kemudian dia tergelak sendiri. Entah apa yang lucu, Nuraisha juga tidak tahu! Padahal matanya terkatup rapat.Seriau...

"I miss you..." ungkap Farrhan lantas kepalanya jatuh ke atas bahu kanan Nuraisha.

Wajah Nuraisha ketat dan tubuhnya mengeras. Jantungnya berdegup kencang, seiring dengan peluh yang membasahi ruang wajah.

"Sha..."

Suara gemersik itu menyapa lantas menbuatkan hati Nuraisha semakin berdebar. Dia menoleh seraya bertembung mata dengan wajah merah Firash. Nuraisha terkelu!

DENGAN perasaan yang berbaki geram dan kecewa, tubuh Farrhan dicampakkan di atas katil dengan kuat. Dia terluka melihat aksi mereka berdua walaupun Nuraisha tidak memberikan sebarang tindak balas. Hatinya sakit dengan cara Farrhan. Dari dulu sehingga kini, dia mendapatkan Nuraisha dengan cara kotor dan menjijikkan. Namun dia tidak akan sesekali membiarkan Farrhan menang!

"Dia dah tidur" ulas Firash lantas bergerak keluar dari bilik Farrhan. Tidak dipedulikan Nuraisha yang membontotinya dari arah belakang.

"Abang nak sarapan? Sha belum siapkan sarapan..."

"Macam mana nak siap kalau asyik berdua dengan lelaki lain?" Cemburu Firash sudah menguasai hatinya.

Nuraisha memberhentikan langkah. Dahinya mengerut. Dia terasa dengan kata-kata Firash. Dia tidak berbuat salah, kenapa Firash mengadilinya secepat itu?

"Apa maksud abang?"

"Jangan pura-pura tak tahu!"
"Sha memang tak tahu"

Firash berhenti lantas menoleh ke belakang. Wajah polos isterinya ditatap penuh kasih. Namun saat ini hatinya sedang cemburu dengan apa yang barusan dia saksikan.

"Pasal Farrhan ke?" Nuraisha cuba menebak. Dia sudah berdiri dekat dengan suaminya. Lengan itu disentuh.

"Apa maksud dia I miss you?" Wajah Firash serius. Kata-kata yang cukup menyesakkan nafas dan hatinya. Arghh! Cinta bisa buat sesiapa yang normal jadi gila!

"Abang, Sha tak tahu! Sumpah! Sha terkejut bila dia cakap macam tu. Percayalah, Sha tak tahu pun maksud dia"

Nuraisha cuba meyakinkan Firash. Dia juga kaget dengan omongan Farrhan. Lelaki itu apabila mabuk, otak dan sarafnya juga ikut-ikutan gila!

Lengan Nuraisha dicengkam. "Sha tak ingat apa-apa ke yang pernah terjadi ke atas diri Sha?"

Wajah Nuraisha kemerahan. "Abang, Sha tak tahu! Kenapa abang ni?"

Nuraisha cuba meloloskan diri dari cengkaman Firash. Namun semakin dia mencuba, semakin terasa perit lengan itu. Hatinya mula diserbu rasa takut dengan perangai menggila Firash.

"Takkan Sha tak ingat apa-apa?! Mustahil Sha tipu! Sha sengaja nak sorokkan hubungan Sha dengan Farrhan suatu masa dulu ke?"

Jeritan Firash menggetarkan seluruh tubuh badan Nuraisha. Itu pertama kali dia melihat Firash bertingkah seperti itu. Malah, suaranya yang lembut juga sudah hilang ditelan bumi!

"Abang! Hubungan apa maksud abang? Sha tak tahu. Sumpah!"

Nuraisha menangis. Matanya sudah digenangi dengan mutiara jernih yang seakan degil mahu berhenti. Ketika itu, barulah Firash tersedar daripada amukannya. Dia menatap wajah Nuraisha yang sudah sembam dengan air mata. Mata jujur itu menjelaskan segala yang diperkatakan oleh Nuraisha. Namun kenapa hatinya enggan untuk menerimanya? Apatah lagi setelah matanya sendiri melihat kesan strech mark pada perut isterinya itu.

Dengan perasaan yang bercampur-baur, Firash segera berlalu meninggalkan Nuraisha yang tak henti-henti menangis itu. Dia tahu, dia harus menenangkan diri terlebih dahulu. Jika tidak, dia akan terlanjur menyakiti isterinya lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience