32

Other Completed 493332

TUBUH Farrhan dipapah sehingga ke bilik. Tercungap-cungap juga nafas Firash walaupun tubuh mereka hampir sama besarnya. Bau alkohol terlalu memualkan bagi Firash. Dia turun ke dapur setelah tersedar menerima mesej daripada Nuraisha. Dan di situlah dia melihat keadaan Farrhan yang tidak waras itu!

Dia mula bimbangkan keselamatan Nuraisha jika Farrhan ada di sekeliling. Bermacam persoalan yang bermain di fikiran jika keselamatan Nuraisha tidak mampu dipastikan. Lebih-lebih lagi setelah mereka berbual tempoh hari mengenai Nuraisha. Boleh bikin dia tak bisa lelapkan mata sahaja!

"Dia perempuan aku. Hi hi hi" Farrhan masih lagi dalam keadaan mabuk sambil tersengih. Hangat hati Firash mendengar kata-kata Farrhan itu.

Gara-gara sakit hati dan cemburu, tubuh Farrhan dihempasnya dengan kuat di atas katil. Hampir nak roboh saja bunyi katil itu dengan tubuh badannya yang besar dan sasa itu. Hahhh! Ambik kau! Sesedap je cakap Aisha tu perempuan dia!!

"Dia dah tidur ke?" sampuk Nuraisha dari arah belakang. Hampir saja Firash terlupa dengan kehadiran Nuraisha di situ. Dia menoleh lantas mengangguk kepala.

Tubuh Nuraisha ditarik rapat ke sisi. "Jom, kita keluar"

Nuraisha akur lantas langkah keduanya menapak keluar dari bilik. Pintu bilik ditutup perlahan.

"Takpe ke kita biarkan dia tidur macam tu?" soal Nuraisha. Masih tak habis fikir dia dengan keadaan lelaki itu.

Wajah Firash mengeruh. "Kenapa? Sha baik hati sangat ke nak tolong dia? Bukakkan baju dia, kasut dia, selimutkan dia pastu teman dia kat situ?"

Hati Firash semakin hangat dan meradang saja. Entah kenapa dia tidak mampu mengawal emosi dan perasaan cemburunya itu. Bukan dia buta. Bukan juga dia tuli. Dia nampak dan dengar segala-galanya semasa Nuraisha dan Farrhan di dapur tadi. Dia sengaja mengintip mereka dan menipu Nuraisha dengan pura-pura tidak tahu dan tidak dengar segalanya.

Bahkan omongan Farrhan masih lagi terngiang-ngiang di gegendang telinganya. Mendengarkan itu, hatinya semakin mendesak untuk mencari tahu hubungkait Nuraisha dan Farrhan. Siapa Nuraisha pada Farrhan sebenarnya?

"Abangg!!" Nuraisha separuh menjerit. "Sha tak semurah tu"

Firash membatukan diri. Dia mengumpul segala kesabaran dalam hati dengan semua yang berlaku hari itu. Cerita yang dibawa oleh Encik Affendi kembali menapak kukuh dalam sanubarinya. Pada mulanya, dia tidak ambil pusing kerana baginya, semua itu tidak penting. Namun setelah segalanya berlaku di hadapan mata dan telinga, masakan dia hanya pandang enteng? Apatah lagi jika benar-benar melibatkan Farrhan!

"Abang okey tak ni?" Lengan Firash disentuh lembut.

"Maafkan abang" Tubuh Nuraisha ditarik dalam pelukan. "Abang sayangkan Sha. Sayang sangat-sangat. Abang tak boleh kehilangan Sha. Sha milik abang sorang"

Nuraisha bungkam. Apa maksud Firash? Kenapa lelaki itu cengeng tiba-tiba? Padahal mereka akan dikahwinkan lusa. Pelukan Firash semakin erat sehingga dia tidak mampu menolak dari terus bersatu dengan tubuh itu.

"SAYA nak call Aisha, kak Dara tak kasi. Nak call Adira, saya tak tahu nombor dia"

Wajah Maksu Dara cemberut saja. Bibirnya pucat. Dia terbaring dari tadi di atas katil. Semalam dia terjatuh di atas lantai dalam keadaan penuh berlumuran darah. Puan Normala datang menjenguknya kerana kebetulan dia hendak ke situ bagi menanyakan hal Nuraisha.

"Kau tak payah nak telefon budak gampang tu! Aku dah haramkan dia pijak rumah ni!"

Puan Normala mengucap panjang. Tangannya laju naik mengurut dada. Sampai begitu sekali Maksu Dara bencikan anak saudaranya. Besar mana saja dosa gadis itu pada dia. Hmmm.. susah-susah! Puan Normala menggeleng kepala.

"Nak saya hantarkan ke klinik ke? Teruk sangat luka akak ni" tanya Puan Normala sambil memandang ke arah kaki Maksu Dara. Bernanah dan ada bisul sehingga ada beberapa ekor nyamuk hinggap di situ.

"Tak payahlah kau susah-susah Mala! Aku nak duduk di sini, tunggu anak aku balik. Nanti kalau aku pergi mana-mana, anak aku balik,dia ingatkan aku dah lari. Aku tak nak macam tu"

Suara Maksu Dara semakin mengendur. Apabila teringatkan Adira, autimatik dia diterpa perasaan penuh hiba. Tangisannya tak pernah putus untuk si anak. Setiap hari dia berharap kehadiran Adira mampu menyerikan hidupnya semula.

Puan Normala memuntahkan keluhan berat. Dia tidak tahu bagaimana hendak membantu wanita tua itu. Adira pun satu hal. Kalau hendak ke Kuala Lumpur dengan alasan mencari kerja sekalipun, takkanlah tidak mengirim khabar berita langsung? Maksu Dara pula sudah tua dan semakin tenat. Sampai bila dia harus bertahan dengan semua ini?

"Saya masakkan bubur untuk akak ye? Makan sikit pun takpe. Untuk kenyangkan perut tu" Puan Normala berlalu ke dapur lantas mengerjakan apa yang patut.

"Sampai begitu sekali dia layan Aisha. Budak tu dahlah baik, penyabar, cantik pulak tu. Takkan dia tak ada rasa sayang sikit kat Aisha?" bebel Puan Normala sambil menggeleng kepala.

LAMA Firash termenung sehingga tak sedar Naura datang menghampiri. Wajahnya ditilik oleh Naura dalam tak sedar. Entah apa yang bermain di fikirannya, sehingga kewujudan Naura langsung tidak disedari.

"Menung apa tu long?"

Suara Naura memecah khayalannya ketika itu. Tubuhnya yang berdiri menghadap kolam itu dirasakan tidak seimbang sehingga hampir menyebabkan Naura terjatuh. Namun pantas saja tangannya memaut pinggang Naura sehingga wajah mereka hampir bertemu.

Naura menelan liur. Gulp! Dia hampir tidak percaya tubuhnya sedekat itu dengan Firash. Hatinya berdegup kencang. Hidung mancung Firash yang terletak itu benar-benar mencuri tumpuannya apatah lagi urat-urat saraf pada leher lelaki itu terdedah. Sungguh dia hilang akal!

"Naura sekarang kuat makan ke?"

Mata Naura terkebil-kebil. "Ke...kenapa?"

"Naura makin berat. Naik lenguh dah tangan along" usik Firash lantas mengekek.

Naura membulatkan mata. Dada Firash dipukul lembut. Hampehh betul!!

"Lain kali, hati-hati. Jaga langkah tu. Nasib baik tak jatuh" omel Firash selepas melepaskan Naura.

"Yelah. Kita pulak yang salah, dia yang terkejut" Naura cover rasa malu. Gugup kemain lagi!

"Along fikir apa?" tanya Naura ingin tahu. Rasanya lama sudah dia tidak menatap tampang itu semenjak kehadiran Nuraisha. Kini dia dapat peluang tersebut, masakan dia mahu mensia-siakannya.

"Something" jawab Firash pendek.

"Like?"

Bibir Firash terkunci. Bagaimana bisa dia luahkan segala kebimbangan soal Nuraisha dan Farrhan? Meskipun tiada bukti mengenai hubungan mereka, tetapi hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang telah terjadi. Dan dia tidak boleh duduk diam.

"Along nak tanya sesuatu" Wajah Naura dipandang.
"Apa dia?"

"Kalau someone tu mabuk, setiap yang keluar dari bibir dia tu benda betul kan? Maksud along, kalau dia tengah bercakap dalam keadaan mabuk, can we trust any of his words?"

Naura menjongket dahi. His? Maksudnya orang yang dimaksudkan oleh Firash itu tak lain tak bukan memang Farrhan. Aduhh! Apa lagilah si angah tu buat?

"Angah right?" Naura serkap jarang. Kena sangat dengan deskripsi pemabuk itu. Setahu dia, di rumah ini yang suka mabuk hanyalah Farrhan.

Firash menyepi.Dia dihantui dengan kata-kata Farrhan semalam. Dia tidak pernah meragui kasih sayang dan kesetiaan Nuraisha, tetapi perkara ini sangatlah memerlukan jawapan!

"Diam maknanya betul!" Naura serkap jarang lagi.

"Pandai betul bakal peguam ni kan? Bijak sangat meneka!"

Kata-kata Firash disambut dengan tawa. Tak salah lagi!

"Kenapa dengan angah?"

"Boleh Naura bagitau along? Naura ada ambik psikologi course masa kat U kan? Surely you know about this"

"Well..." Naura berjeda sambil otaknya ligat berfikir. Dia kurang fasih mengenai itu tetapi apa yang dipelajarinya, dakwaan Firash itu sedikit sebanyak ada benarnya.

"Biasanya orang yang mabuk ni tak boleh sangat berfikir dengan waras. Atau lebih tepat, diorang ni merapu-rapu je. Tapi dalam percakapan diorang, kita tak boleh jugak pantang enteng. Kadang-kadang, ada kebenaran dalam kata-kata diorang"

Penjelasan Naura sedikit sebanyak melegakan hati Firash. Dia benar-benar berharap agar percakapan Farrhan semalam adalah sekadar merapu sahaja. Kerana dia belum siap kehilangan Nuraisha dan menerima kehilangan itu gara-gara Farrhan!

"SHA nak balik kampung!"

Mendengarkan itu, kening Firash terangkat. Wajah Nuraisha yang cemberut dipandang. Tubuhnya yang sedikit selesa bersandar pada kerusi kayu itu ditegakkan menghadap Nuraisha.

"Kenapa tiba-tiba?"

Nuraisha diam. Dia tidak sedap hati sejak dua menjak ini. Fikirannya asyik menerawang mengingatkan Maksu Dara. Tidak dapat menatap dua mata pun tak apa, asalkan dapat melihat dari jauh. Dia hanya ingin memastikan keselamatan Maksu Dara terjamin. Itu sahaja.

"Nak jumpa maksu? Pastu biarkan dia sakitkan hati Sha macam-macam? Itu yang Sha nakkan?"

"Ala..." Nuraisha sudah buat muncungnya sedepa.

"Buat lagi muncung tu, abang cium biar tak bernafas!" ugut Firash dengan wajah yang sengaja diketatkan.

"Jahatlah abang ni! Orang nak jumpa maksu je, bukan nak jumpa orang lain" Nuraisha separuh merayu.

Firash melepaskan keluhan. Tidakkah Nuraisha memahami kerisauan di hatinya setiap kali mereka menemui Maksu Dara? Wanita itu meskipun usianya sudah lanjut, namun bibirnya sangat petah menghina dan mencaci orang sesuka hatinya. Firash tak mahu hati Nuraisha terluka lagi gara-gara kata-kata kesat Maksu Dara.

"Sebab abang sayanglah abang tak nak Sha pergi sana. Sha dah lupa ke macam mana maksu halau Sha hari tu? Dah lupa ke yang dia dah haramkan Sha jejak rumah tu lagi?" Firash mengingatkan. Hatinya mendongkol geram apabila mengingat kembali betapa teruknya Nuraisha dilukai. Namun saat ini dia lebih geramkan Nuraisha yang tak habis-habis memaksanya balik ke Mersing!

"Sha nak tengok dari jauh je. Lagipun maksu je satu-satunya keluarga yang Sha ada. Tak dapat tengok muka pun takpe. Janji dapat tengok dari jauh"

Firash mengeluh. Belasnya hati dia melihat wajah tersayang itu. Anak mata Nuraisha terlalu jujur sehingga dia tak mampu menahan diri dari terus memeluk tubuh genit itu.

"Janganlah peluk!" bentak Nuraisha. Suaranya sebak menahan tangis. Tubuh sasa Firash ditolak.

"Kalau abang tak nak temankan Sha takpe. Sha naik teksi je"

Aduhhh!! Firash mengurut dahi. Semakin lama dia mengenali Nuraisha, semakin dia mengenal sikap pedegil itu! Haihhh nasiblah sayang!!

"Sha ni memang degil kan?"

Diam. Wajah manis itu mencuka saja.

"Tak baik lawan cakap bakal suami"

Nuraisha malas hendak berhujah.

"Hilang seri pengantin tu nanti. Esok nak naik pelamin dah!"

Nuraisha membatukan diri lagi. Kedegilannya yang memuncak akhirnya mendesak Firash untuk menuruti kemahuannya.

"Okey, tapi kita tengok dari jauh je. Tak boleh masuk rumah!" Tegas amaran Firash.

Nuraisha tersenyum manja, menampakkan kedua lesung pipit di pipi kiri dan kanannya. Senang dengan persetujuan Firash.

"Haishhh, suka senyum macam tu. Nak luluh dah jantung ni"

Nuraisha senyum lagi. Namun kali ini, wajahnya sengaja didekatkan ke wajah Firash. Sengaja hendak mengusik!

"Aduhhh, boleh tak bertulang aku ni!!" omel Firash sendiri sambil mencubit kedua pipi Nuraisha.

DARI kejauhan, Nuraisha lihat bumbung rumah itu separuh melayang. Dia agak-agak, mungkin terbang ditiup angin kencang tempoh hari. Keadaan beranda rumah pula tidak terurus, penuh dengan daun kering yang membanjiri kawasan rumah. Sampah-sarap di halaman rumah juga bertenggek dan dikerumuni oleh lalat. Nampak tak terurus keadaan rumah setelah kepermegiannya.

"Dah puas tengok? Kita balik ye?" pujuk Firash lagi.

Nuraisha menoleh memandang Firash. "Kita tunggu kejap lagi"

"Sayang nak tunggu siapa? Maksu? Nanti dia tibai kita dengan penyapu macam mana?" Firash sengaja berlawak agar keceriaan di wajah itu kembali terukir. Namun usahanya sia-sia. Wajah Nuraisha redup dan mendung saja.

"Abang janganlah main-main!"

"Sha kan dah janji. Nak tengok dari jauh je"

"Yelah, tapi kita tunggu kejap lagi. Sha nak tengok maksu, kejap je"

Firash melepaskan keluhan berat. Degil Nuraisha memang tiada siapa mampu melawannya. Dia biarkan saja gadis itu dengan kedegilannya sambil matanya turut melirik keadaan sekeliling.

"Tapi kita tak boleh lama-lama kat sini. Nanti orang ingat kita buat benda tak elok pulak!"

Mata Nuraisha masih fokus pada pemandangan di hadapan. Kata-kata Firash sebentar tadi ibarat angin yang menyapa wajahnya. Tidak terkesan tapi cukup terasa!

"Sha dengar tak abang cakap apa?" Firash geram dengan sikap tak endah Nuraisha. Kalau melibatkan Maksu Dara ,laju saja dia dilupai oleh gadis itu. Ahhh! Menyesal pulak bawak dia kat sini. Kalau tahu begitu respon Nuraisha, ada baiknya dia buat tidak tahu saja tadi.

"Dengarlah!" sahut Nuraisha sambil menepis tangan Firash yang naik ke atas kepalanya.

"Abang cakap apa?"

"Abang ajak balik"

Firash menepuk dahi. "Sha tunggulah sorang-sorang kat dalam ni. Abang nak ke sungai kejap"

Nuraisha hanya mengangguk tanpa sepatah kata. Setelah Firash berlalu, keadaan semakin sepi. Matanya hanya memerhati keadaan di rumah itu. Hatinya terlalu ingin menemui Maksu Dara dan memastikan kebajikan wanita itu terjalin. Setelah itu, barulah dia berpuas hati dan rela hati melepaskan Maksu Dara pergi dari sisinya.

Nuraisha toleh ke sisi. Tiada Firash di situ. Dia menjengah ke sekeliling pula. Kelibat Firash juga tidak nampak di mana-mana. Dengan lafaz bismillah dan hati yang berani, Nuraisha lanjutkan langkah mendekati teratak usang itu. Hatinya penuh debaran.

Baru saja kakinya hendak melangkah masuk, dia terdengar bunyi batuk yang tak henti-henti. Dan bunyi itu datang dari arah bilik Maksu Dara. Nuraisha menilik melalui penjuru tingkap. Alangkah berantakan hatinya melihat keadaan Maksu Dara yang tidak terurus itu. Rambutnya yang kusut serta tubuhnya serta susut. Dia hanya berbaring di atas tilam dengan wajah yang pucat.

Tanpa sedar, airmata Nuraisha mengalir. Dia tidak mampu menahan kesedihannya lantas bergerak laju menuju ke bilik Maksu Dara. Tiba saja di depan pintu bilik, dia memperlahankan langkah.

Kemudian, sesudah mengumpul seberapa banyak kekuatan, dia hayunkan kaki menapak ke dalam bilik. Maksu Dara yang sedang mengurut dada ternyata terkejut menerima kedatangannya di situ. Wajahnya kembali menyeringa.

"Kau!!" Maksu Dara menunding jari ke arah Nuraisha. Terbakar rasa hatinya melihat kedatangan gadis itu tiba-tiba.

"Maksu..." Nuraisha ingin menghampiri namun pantas tangan Maksu Dara menggapai mangkuk bubur di sisi katil.

"Kau datang dekat, aku tikam ni ke arah kau!"

"Maksu, maafkan Sha"

"Huhhh, kau ingat dengan mintak maaf, mampu bersihkan diri kau dari dosa lampau? Kau tu dah kotor! Kau mintak maaflah berjuta kali sekalipun, kau takkan mampu nak kembalikan yang putih sebab kau dah kelam dengan masa silam kau!"

Airmata Nuraisha berguguran jatuh ke pipi. Hatinya kecewa menerima 'sambutan' dari Maksu Dara.

"Maksu... apa salah Sha? Kenapa maksu benci sangat dengan Sha? Apa yang dah Sha buat? Sha dah cuba sehabis baik untuk penuhi segala keinginan maksu"

"Aisha!" Pekikan dari arah pintu menyentakkan Nuraisha. Dia menoleh ke arah suara itu. Hatinya dipalu ketakutan saat melihat wajah bengis Firash. Tahulah dia akan kemarahan lelaki itu!

"Kita balik! Tak payah nak merayu dan menagih simpati dari orang macam dia. Orang yang hati batu macam dia takkan mampu nak terima kemaafan orang lain" ujar Firash setelah Nuraisha didekati. Tangan Nuraisha ditarik.

Dia menghilangkan diri tak sampai 10 minit. Kembali saja ke kereta, dia melihat Nuraisha hilang entah ke mana. Namun dia tahu, pasti Nuraisha ke rumah lamanya. Benar dugaannya tatkala melihat kelibat Nuraisha di dalam bilik, sedang bertekak dengan Maksu Dara. Dia geram, marah dan kecewa kerana Nuraisha tidak pernah mahu mendengar nasihatnya.

"Kejap" Genggaman Firash dilepaskan. "Tolong bagitau Sha satu sebab" Dia berdiri di hadapan Maksu Dara yang kini sedang duduk menghadapnya. "Kenapa maksu bencikan sangat Sha?"

Maksu Dara tersenyum sinis. Wajah Nuraisha dipandang. "Betul kau nak tahu?"

"Sha, kita pergi dari sini. Abang tak nak Sha dengar apa-apa pun" desak Firash sambil menarik Nuraisha rapat ke sisi. Tetapi Nuraisha tetap berdegil. Desakan Firash diabaikan.

"Tolong bagitau Sha"

Maksu Dara masih kekal dengan wajah sinisnya. Satu persatu, ingatan lama kembali kepada kenangan silam itu. Walaupun sudah lama berlaku, namun luka itu umpama masih baru dan meninggalkan kesan yang amat dalam. Sampai mati pun dia tidak akan sesekali memaafkan mereka.

"Mak engkau. Ayah kau. Dua orang yang pernah aku sayang, tapi diorang jugak lukakan hati aku. Kalau kau nak tahu, sepatutnya aku yang kawen dengan Badrul. Tapi disebabkan mak kau yang tak guna tu, Badrul berpaling dari aku"

Maksu Dara berjeda. Seketika, dia teringat saat dimalukan di hadapan orang tuanya oleh Badrul dan Nurhayati. Luka yang sangat berbisa. Sehingga meninggalkan bekas yang amat payah untuk dilepaskan.

"Kakak yang paling aku percaya, yang akan lindungi aku dan bersama aku dalam susah dan senang..."Suara Maksu Dara semakin mengendur. Airmatanya laju membasahi pipi. Wajahnya berubah mendung. Tiada lagi riak kebencian terpamer di situ.

"Tapi dia jugak yang aniaya aku! Dia dan Badrul hasut mak bapak aku dan fitnah yang aku mengandungkan anak luar nikah. Padahal waktu tu, dia sedang mengandungkan kau yang jelas-jelas anak haram! Anak gampang! Dia mengandungkan anak orang lain tapi Badrul yang jadi kambing hitam. Dan kau...kau adalah anak dari benih yang tak suci! Kau dari keturunan yang kotor!

Disebabkan hal ni, mak bapak aku usir aku dari kampung. Diorang tak mengaku aku anak sebab aku dah malukan diorang. Kau boleh bayangkan hidup terumbang-ambing tanpa sesiapa di sisi? Sedangkan mak dan ayah kau bersenang-lenang di atas penderitaan aku! Aku hilang semuanya sekelip mata! Sampai mati, mak bapak aku tak mengaku aku anak diorang..." Airmata di tubir mata diseka. Sakit sungguh hati tatkala minda meneroka kenangan pahit itu. Namun dia tidak mahu berhutang lagi dengan Nuraisha. Biarlah segala-galanya jelas agar Nuraisha takkan merayu untuk kebenaran lagi.

"Bila Badrul dah meninggal, mak kau cari aku. Mintak simpati dan belas kasihan. Dia hidup susah dan takde sesiapa. Padan sangat dengan muka dia tu! Fitnah aku macam-macam, sekarang dia pulak yang kena! Tapi aku terima dia. Kau tahu sebab apa? Sebab aku nak balas balik apa yang dia dah buat pada aku. Aku merana bertahun-tahun gara-gara fitnah dia. Aku seksa dia, aku caci dia. Tapi dia bodoh macam kau.. "

Tubuh Nuraisha hampir rebah dengan kebenaran tersebut. Airmatanya merembes dengan laju. Dia tidak percaya semua itu. Tidak mungkin ibu sekejam itu, apatah lagi pada darah daging sendiri.

Firash memaut bahu Nuraisha. Dia tergamam dengan apa yang diceritakan oleh Maksu Dara. Agak sukar untuk mempercayainya tetapi orang seperti Maksu Dara amatlah payah untuk berbohong. Lebih-lebih lagi setelah terlalu lama memendam rasa.

"Sekarang kau dah tahu kan? Kenapa aku benci sangat kat kau? Sebab kau anak Badrul dan Nurhayati. Kau ada mata, hidung, bibir serupa ayah kau. Dan wajah seperti mak kau. Aku benci dengan wajah sempurna kau sebab teringatkan aku pada insan-insan yang pernah aku sayang. Kau balik sekarang. Aku dah putuskan hubungan aku dengan kau. Kau bukan darah daging aku lagi. Pergi dan jangan kembali..."

Share this novel

Anis Insyirah
2021-03-01 20:17:18 

Sedihnya lahai.... Nak chapter baru.... Tak sabar.. Author pls update cepat2..... Btw meh la singgah baca novel saya.... Baru start. Satu bab sehari. Nak bab baruuhhh


NovelPlus Premium

The best ads free experience