81

Other Completed 493332

"YOU dah gila ke? Mana nak cari bayi umur dua tiga bulan?"

Pusing kepala Razlan memikirkan masalah yang barusan dicipta oleh Maira itu. Setelah mendengar segala-galanya, amarahnya semakin menggila. Rancangan yang diatur oleh Maira betul-betul memakan diri sendiri!

Sudahlah sejak akhir-akhir ini dia sering sakit kepala dan batuknya juga tak berhenti. Keadaan kesihatannya juga merosot. Disebabkan itulah dia sudah jarang ke kelab malam. Entah apa yang sedang melanda dirinya, dia juga tidak tahu! Kini masalah semakin bertambah dengan idea gila Maira itu.

"Habis tu, you nak I buat apa? I dah takde cara lain lagi untuk yakinkan diorang" Maira bela diri. Dia terdesak untuk menipu dengan cara seperti itu. Lagipula, riak wajah Nuraisha berubah sama sekali tatkala bibirnya mengatakan itu.

Razlan membatu. Duitnya juga sudah habis digunakan untuk berfoya-foya. Jika hendak menjayakan rancangan Maira, mereka memerlukan kos yang tinggi.

"You kan banyak akal jahat? You boleh tolong I kan?"

Kata-kata Maira menyentakkan Razlan. Sekilas, dia memberikan jelingan tajam kepada gadis itu.

"I takde idea!" tukas Razlan lantas menghempas tubuh di atas katil. Fikirannya sesak dengan pelbagai masalah sekarang. Hampir setahun dia menghilangkan diri gara-gara menggelapkan duit syarikat milik Farrhan. Sejumlah wang bernilai tiga juta habis dikebasnya begitu saja. Dan wang itu juga habis digunakan untuk tujuan peribadi selain berfoya-foya. Kini, dia hanya tinggal sehelai sepinggang.

Untung saja Farrhan terbaring koma selama setahun. Jadi kes menggelapkan duit syarikat terkubur begitu saja. Naura dan Naira serta ahli keluarga lain pula seakan ambil tidak peduli saja masalah berkaitan syarikat.

Kesempatan itu diambil bagi menipu ahli lembaga syarikat dan pekerja lainnya, kononnya Farrhan menyerahkan segala urusan syarikat ke atas namanya. Bahkan dia memalsukan surat pemindahan kuasa serta tanda tangan milik Farrhan. Dan semua itu tidak diketahui oleh sesiapa termasuklah gadis seksi di hadapannya saat ini!

"Takkan you takde idea?!" omel Maira. Dia sudah duduk di birai katil sambil mengeluh. Otaknya ligat berfikir cara untuk menyelesaikan masalah yang melanda. Angkuhnya dia berkata kepada Nuraisha bahawa dia akan membawa anaknya bagi membuktikan segala kesahihan kata-katanya.

"Apa kata kalau kita cari budak dari rumah anak yatim? Lepas tu budak tu akan jadi anak I. Maksud I, anak pura-pura je lah!" Maira menyusul cadangan.

"Kita? You carilah sendiri! You yang cipta masalah ni, so you yang kena settlekan!"

"Tapi you kan partner in crime I?! Takkan I nak buat sorang-sorang?"


"Masalahnya sekarang ni, I dah takde duit! Semua dah lesap, habis, hangus macam tu je! Mana nak cari duit untuk cadangan gila you tu?" sahut Razlan sambil terbatuk-batuk. Wajahnya yang pucat lesi menjadi tatapan Maira.

"Mana pergi duit you yang banyak tu?" Maira kehairanan. Sekejap aje ke kayanya?

"Habislah. Lesap ,faham!"


Razlan batuk lagi, kali ini dengan lebih teruk.


"Apasal you ni? Tak sihat ke?" Dahi Maira berkerut.

"Batuk jelah!"


"Kenapa tak pergi klinik?"

Mata Razlan mencerlung. "Kan I dah cakap, I dah takde duit! Pergi toilet pun kena bayar, ni kan pulak nak pergi klinik!"

"Fine!!" gerutu Maira sambil pamer wajah tak senangnya.

"I tak kisah apa pun yang jadi! Yang penting sekarang ni, I akan tetap dengan plan I"

"Up to you! Sini!" Tubuh Maira ditarik rapat ke sisi. "Tadi you cakap I ni partner in crime you kan?"

Maira mengerut dahi, tidak memahami maksud kata-kata Razlan.

"Now, be my partner in bed!"

"KAU yakin ke dengan plan kau ni?" tanya Naira, inginkan lebih kepastian. Setelah kebenaran terdedah beberapa hari yang lepas, Naira benar-benar tidak mampu untuk mempercayainya.

Dan menurut Naura, dia yakin jikalau Mia adalah anak kandung Farrhan dan Nuraisha. Wajah Mia yang mirip sekali dengan Nuraisha meyakinkan hatinya akan dugaan itu. Bahkan jika dilihat dari segi tahun akan kejadian itu berlaku, amatlah tepat dengan pertemuan yang pernah terjadi di antara Nuraisha dan Farrhan.

Apatah lagi, Nuraisha disahkan pernah mengandung sebelum ini. Cuma mereka tidak pernah bertemu dengan anak kandung milik Nuraisha.

Pun begitu, hati Naura begitu yakin akan sangkaan itu. Naluri sebagai seorang peguam yang sentiasa mengesan bau-bau jenayah tidak mungkin akan tersilap kali ini. Dan bagi membuktikan segala-galanya, dia harus bertemu empat mata dengan Sufian. Doktor itu ada ketika Nuraisha melahirkan anaknya. Tidak mampu dipastikan samada Sufian yang bertugas ketika itu atau pun sebaliknya. Namun apa yang pasti, Sufian memang ada ketika peristiwa itu berlaku.

"Kalau doktor tu tak tahu apa-apa, macam mana?" duga Naira. Sebarang kemungkinan bakal terjadi. Jadi seharusnya mereka bersiap dari segala aspek, dan tidak terlalu berharap akan hasilnya.

"Mustahillah dia tak tahu apa-apa. Dia memang bertugas kat sini masa kak ngah lahirkan anak dia. Kalau bukan dia sekalipun yang bertanggungjawab ke atas kelahiran anak kak ngah, setidak-tidaknya dia tahu apa yang berlaku. Tak banyak, sedikit info pun sudah memadai"

Naura bertegas dengan hujahnya. Lagipula, dia seorang peguam. Kelebihannya adalah dia mampu membaca setiap gerak-geri pemikiran orang yang disoal-siasat. Jadi tak susah baginya untuk meneka samada seseorang itu menipu ataupun tidak.

"Kau memang sayangkan kak ngah kan?"

Omongan Naira menyentakkan Naura. Dia berpaling memandang wajah di sebelahnya.

"Kau sanggup cari kebenaran dan nak selesaikan sampai ke tahap macam ni sekali"

Naura tersenyum. "Jaga kak Sha elok-elok. Lindungi dia" Kata-kata terakhir Firash itu sentiasa dibawa ke mana-mana.

"Arwah along yang pesan. Tu amanat terakhir dia"

"Sebab kau cintakan arwah along. Sebelum ni. Bahkan sebelum kehadiran kak ngah lagi"

Kali ini, Naura bungkam dengan kata-kata Naira. Tidak disangka, selama berpuluh tahun dia menyembunyikan perasaannya dari semua orang. Dan perasaan itu akhirnya terbongkar juga di tangan Naira.

"Kau tak payahlah terkejut! Aku tahu. Aku kan kembar kau? Kita sehati sejiwa. Apa yang kau rasa, aku dapat rasakan. Begitulah sebaliknya"

Naura tak tertahankan sebak di jiwa. Pecah jua empangannya dek emosi yang tunggang-langgang itu.

"Aku dah lama tahu. Cuma aku tak nak ambik tahu. Lagipun masa tu hubungan aku dengan arwah tak baik langsung! Sebab tu bagi aku apapun yang berkaitan dengan arwah ,bukan urusan aku. Termasuklah perasaan kau pada dia!"

Naura terkesima. Dia kehilangan sejuta kata-kata. Tiada apa yang dinafikan kerana segala bicara Naira itu benar belaka.

"Tolong jangan bagitau sesiapa" raih Naura.

"Promise!" Naira mengangkat tangan seolah berikrar. "Rahsia kau aman dengan aku"

"Dah, tak payah fikir pasal ni lagi! Kita ada kerja yang kena diselesaikan" ujar Naura sambil mengesat air matanya.

"Eeee buruknya muka aku menangis!" omel Naura sambil membelek wajahnya di dalam pantulan cermin pandang belakang.

"Laaa baru sedar ke memang muka kau buruk?!" sakat Naira.

"Kalau muka aku buruk, takdenya Mia panggil aku Acik Cantik!" Naura tidak mahu mengalah.


Naira tergelak. "Mana-manalah Acik Cantik! Sebab acik ni cantiklah, Doktor Faisal tergila-gila!"

"Naira!!" sergah Naura, lantang.


"Betul apa?! Jangan jual mahal sangatlah. Kau tak payahlah nak berharap dengan si polis tu. Dia pandang kau pun tak. Dia syok kat kakak ipar kita tu je!"

Naura senyum tipis. Iya, dia takkan berharap lagi! Cukup sudah hatinya merana kerana cinta tak terbalas, dua kali pulak tu! Dia pasrah dan redha.

NAURA dan Naira pulang dengan perasaan hampa. Doktor Sufian yang dicari rupa-rupanya sudah lama berhenti kerja. Atas alasan apa, tidak pula mereka dimaklumkan.

Naura juga ada cuba merisik-risik mengenai kejadian yang berlaku hampir lima tahun lepas kepada salah seorang jururawat di kaunter pendaftaran. Malangnya jururawat tersebut tidak mengetahui apa-apa memandangkan dia masih lagi baru berkhidmat di situ.

Keluhan panjang termuntah jua. Niatnya hendak mencari tahu lebih lanjut mengenai kejadian tersebut punah begitu sahaja. Dia tidak punya cara lain, memandangkan hanya Sufian harapannya ketika itu.

Saat keluar dari hospital sebentar tadi, dia ada berpapasan dengan Doktor Faisal. Niatnya ingin menegur terkubur tatkala lelaki itu dengan selambanya tidak mengendahkan kehadirannya di situ. Entahkan dia berpura-pura atau sebaliknya, Naura sendiri tidak tahu.

Derap kaki terasa lemah saja hendak melangkah. Segala semangat yang sempat dikumpul ketika di dalam kereta tadi musnah dalam sekelip mata. Di mana lagi dia harus mencari kebenarannya? Masakan mahu bertanya kepada seisi hospital?

"Apa plan kau?" Soalan Naira menyentakkan Naura.

"Entahlah!" sahut Naura lalu mengeluh. Bahunya terjongket sekali. Putus asa sahaja lagaknya!


"Tadi aku ada tinggalkan nombor phone kita. In case Sufian tu datang situ ke atau apa ke, pihak hospital boleh maklumkan. Aku dah bagitau nurse tu tadi"


"Hmmm" sahut Naura, ringkas. Kini fikirannya kembali berpusat ke arah pertemuannya dengan Doktor Faisal sebentar tadi.

Kenapa lelaki itu begitu dingin dengannya? Gara-gara apa? Masakan hanya kerana ditolak mentah-mentah, lelaki itu sudah berputus asa seperti itu.


"Hoii!" sergah Naira.


Naura terpinga-pinga. "Apasal kau termenung? Fikir pasal apa?"


"Entahlah!"


Jawapan itu menyentakkan Naira. Apa kena dengan dia ni? Dia lihat Naura berlalu ke dalam kereta, tetapi duduk di bahagian penumpang.


Naira mengeluh. Ada sesuatu yang tidak kena!

FIKIRAN dan hati Nuraisha gelisah sejak pertemuan dengan Maira siang tadi. Terlalu sukar untuk dipercayai akan kata-katanya. Benarkah seperti apa yang diduga? Maira pernah menjalin hubungan intim dengan suaminya sebelum lelaki itu koma sehingga melahirkan zuriat mereka.

Entahkan benar, entahkan tidak. Hatinya serba salah untuk mempercayai kerana sepanjang kejadian itu, dia tidak berada di situ. Dia ingin bertanya lebih lanjut kepada Farrhan tetapi lelaki itu tiada daya upaya untuk berbicara.

Dalam kegelapan kamar tidur itu, Nuraisha menangis lagi. Kali ini, dia benar-benar rasa seperti batu berat sedang menimpa ke atas bahunya. Dia hilang selera makan, bahkan untuk melakukan apa-apa kerja juga hatinya sudah tiada mood!

Dia tidak sanggup jika Farrhan menghamili wanita lain. Bukan bermaksud dia hendak mengalah, namun dia tidak rela berkongsi kasih dengan wanita lain. Apatah lagi suatu ketika dulu Farrhan benar-benar menyintai Maira. Jadi tidak mustahil jika Farrhan akan lebih memilih untuk bersama dengan Maira.

Tetapi dia juga sudah mula sayangkan lelaki itu. Malah, segala dosa dan kesilapan Farrhan suatu masa dulu sudah mampu dimaafkan. Untuk apa dia berdendam dengan masa lalu jika ketenangannya diragut? Dia ingin hidup aman dan bahagia dengan menjalani kehidupan mendatang namun dugaan seperti ini tiba-tiba melanda. Dia tidak kuat jika harus bertahan seorang diri.

Nuraisha mengesat air mata dan cuba menghubungi nombor Mek Som. Panggilan tidak aktif, dia mendail nombor Haikal pula. Namun seperti biasa, lelaki itu tetap dengan egonya. Sebarang panggilan enggan dijawab. Bahkan mesej serta pesanan melalui WhatsApp juga tidak dilayan.

Nuraisha bosan kerana diladeni seperti ini. Dia harus mengalah dengan ego dan kedegilan Haikal namun lelaki itu sentiasa buat tidak tahu sahaja. Besar ke dosanya hanya kerana membawa diri ke vila ini? Dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Dan jika dia jatuh sayang pada lelaki yang pernah berbuat dosa itu, itu juga bukan salahnya. Segala-gala yang berlaku di luar kawalannya, termasuklah perasaannya!

Haikal juga tidak mahu memahami keadaan dirinya. Malah dia diseksa seperti ini, seakan-akan keputusannya itu umpama dosa besar yang harus ditanggung seumur hidup.

Arghhhh!!! Dia benar-benar tertekan! Jika masih tiada apa-apa berita dari Haikal, maka dia harus mengambil jalan sendiri.

DARI tadi, Farrhan gelisah sahaja. Duduknya di atas ranjang itu semacam tak selesa. Matanya kerap memandang di sebalik pintu. Hatinya menanti dengan penuh sabar akan kehadiran Nuraisha seperti malam-malam sebelumnya. Dia terseksa jika terus begini.

Di mana dia? Farrhan mengeluh. Dia ingin menjelaskan segala-galanya kepada Nuraisha. Dia akan menulis di atas kertas dan menceritakan semuanya di situ. Maira sengaja mereka-cerita bagi memusnahkan impian mereka yang baru hendak tertunai.

Air mata Farrhan mengalir dengan laju. Dia bencikan keadaan dirinya yang lemah seperti sekarang. Berkali-kali dia memukul kaki sendiri, seolah melepas geram di situ. Dia seakan-akan berbicara dengan seluruh anggota badannya, memaksa mereka untuk bergerak. Namun tetap tiada tindakbalas.

"Ya Allah, tolonglah hambaMu ini!" rintih Farrhan di dalam hati. Dosa yang lampau sungguh mengikatnya di atas ranjang itu dan kini, dia tidak bisa berbuat apa-apa. Dia tidak bisa bercakap, tidak juga mampu bergerak dengan aktif.

Dia kesalkan segala-galanya. Dan jika Nuraisha pergi tanpa sebarang penjelasan daripadanya, dia tidak akan memaafkan dirinya sendiri.

"Ya Allah, aku merayu! Kau yang Maha Besar dan Maha Berkuasa. Tiada kuasa yang mampu menyaingiMu, di bumi mahupun di langit. Tunjukkanlah belas ihsanMu Ya Allah!"

Farrhan berdoa di dalam hati. Mutiara jernih semakin kerap mengunjungi permukaan wajah. Dia menyesali dosa yang lampau, dan benar-benar ingin bertaubat. Dan membetulkan segala kesalahan di masa lampaunya.

MAIRA tersenyum puas kerana rancangannya seolah-olah sudah terang dengan kejayaan. Dia berjaya 'membeli' seorang bayi dari rumah anak yatim yang berusia 3 bulan. Bayi perempuan comel itu ditatap dengan penuh perasaan.

Kali ini, dia akan pastikan Farrhan jatuh ke dalam genggamannya. Dia tidak kisah jika lelaki itu harus tetap begitu seumur hidup. Yang penting, dia dapat dimandikan dengan kemewahan. Dia yakin, Nuraisha akan mengalah dan seluruh ahli keluarga Farrhan akan menerimanya sebagai menantu. Apatah lagi dengan kehadiran bayi perempuan itu.

"Kau akan bawak kesenangan dalam hidup aku. Dan aku akan pastikan, rahsia ni aku bawak sampai mati!"


Ujar Maira sambil menatap wajah si comel itu.


"Kesian kau nak! Comel-comel macam ni pun, mak kau sanggup buang kau. Tapi takpe. Aku akan jadi mak kau. Tapi kau kena tolong aku capai apa yang aku nak!" Maira tersenyum sinis.

Dia teringat akan kata-kata dan pesanan Puan Sahara sebentar tadi.

"Kena jaga dia dengan baik. Maira beruntung sebab ni je bayi yang paling muda di sini. Kami jumpa dia depan rumah ni tanpa ada sesiapa. Cuma ada sekeping surat dan rantai ni je. Ni semua milik Athirah"

Maira mengerut dahi. "Athirah?"

"Nama yang mak kandung dia bagi. Ada dalam surat yang diselitkan di dalam baju dia. Sebab tu kami tetap panggil dia Athirah. Surat beranak dan sijil lahir dia pun dah kami aturkan. Terima kasih di atas kesudian Puan Maira mengangkat Athirah sebagai anak"

Maira tersenyum sinis. Jika bukan kerana Farrhan, masakan dia mahu bersusah-payah seperti ini. Rantai yang berloket hati itu ditilik seketika. Kemudian, Maira hanya tersenyum.

"Aku takkan ambik loket kau ni. Anggap jelah ni barang terakhir dari mak kandung kau. Yang penting lepas ni, aku dapat lebih dari ni!"

"MAMA nak pergi mana?" tanya Mia saat melihat Nuraisha cantik berpakaian.

"Mama nak balik kejap. Jumpa papa Haikal"

Mendengarkan nama Haikal, hati Mia mula ketakutan. Terbayang olehnya akan pukulan dan teriakan Haikal suatu ketika dulu. Laju saja dia memeluk tubuh Nuraisha yang sedang duduk di birai katil.

Seakan faham dengan gelojak hati Mia, Nuraisha membalas pelukan anak kecil itu sambil mengusap belakangnya. Dia tahu akan ketakutan di hati Mia. Dia faham akan trauma dan fobia anak itu.


"Mama pergi sorang. Tak bawa Mia. Mia duduk sini dengan acik kembar ye? Tunggu mama balik"

Mia memanggung kepala memandang mamanya. "Mama tak takut ke?"

"Takut apa?"

"Papa Haikallah! Dia kan jahat" Mia berbisik di cuping telinga Nuraisha.

"Mia!!" Nuraisha separuh menjerit. "Tak baik cakap macam tu. Tu kan papa Mia"

"Tu bukan papa Mia! Papa Mia tak jahat. Papa Mia baik macam papa Han"

Mia sudah meloloskan diri dari pelukan Nuraisha. Dia berlari ke jendela dan menyorok di situ. Esak tangisnya jelas kedengaran.

Keadaan Mia membelaskan hati Nuraisha. Kasihan Mia! Walaupun sudah lama peristiwa itu berlalu, namun ketakutannya pada Haikal tetap tak menghilang. Itu juga wajar kerana selama ini Haikal begitu menyayanginya. Tidak pernah lelaki itu mengasari Mia. Tetapi dek kerana baran, Haikal sudah menyalahgunakan kepercayaan Mia. Dan kini, Haikal sudah benar-benar kehilangan Mia!

"Mia sayang!" Nuraisha sudah duduk berhadapan Mia yang menyorok itu.

"Tsk...tsk...tsk..." Mia masih menangis.


"Okey, papa Han tu papa Mia. Dia akan jadi papa Mia sampai bila-bila"


Esak tangis Mia semakin kendur. Nuraisha mengulum senyuman.


"Kalau Mia tak nak papa Haikal, mama takkan paksa Mia. Kalau Mia nak papa Han, mama akan ikut cakap Mia. Tapi Mia janganlah nangis lagi ye sayang? Sini, dekat mama"

Nuraisha memujuk lagi. Hatinya sendiri tak kuat saat mengungkap itu. Terbayang akan perpisahan mereka suatu hari nanti, entah bagaimana penerimaan Mia agaknya. Anak itu sudah terbiasa hidup dengan kasih sayang Farrhan. Walaupun tidak nampak akan ikatan kasih sayang itu, namun Nuraisha yakin akan perasaan Farrhan terhadap Mia. Kerana Mia juga turut menyukai papa Hannya.

Perlahan-lahan, Mia mendekati Nuraisha. Wajahnya murung sahaja. Dia lihat Nuraisha mendepakan tangan ,tanda minta dipeluk. Mia akur pada permintaan mamanya.

"Mama takkan tinggalkan papa Han kan? Mama sayangkan papa Han kan?" soal Mia dalam pelukan mamanya.


Nuraisha mati akal. Semua pertanyaan Mia itu tidak mampu dinafikan. Namun kenapa bibirnya enggan mengiyakan?


"Mama!! Jawablah!!" desak Mia sambil memukul dada Nuraisha.


"Iya, mama sayangkan papa Han. Mama takkan tinggalkan dia"

Ungkapan itu menyeksa batin Nuraisha. Kerana sedalam mana pun perasaan itu muncul, dia tahu banyak kemungkinan mereka tidak mampu bersama.

Kali ini, Nuraisha pula yang dibanjiri dengan air mata. Dan pelukan itu semakin dieratkan. Dia takut. Sungguh takut...

done 2 bab sekaligus. kiki update 2 bab sekaligus sbg tnda phargaan kerana sudi menunggu bab demi bab dr kiki. terima kasih atas sokongan readers semua. harap 2 bab ni memuaskan dan mampu mengubat kerinduan semua pd aisha dan farrhan :) n sorry, kiki takde ig atau apa2 media sosial. ^^

Share this novel

Asmah
2021-08-20 17:37:49 

kisah yang menyayat hati

Mun Arifamanie
2021-08-20 14:53:52 

tq update.. kisah yg sngt menarik

Norita Yahya
2021-08-20 13:43:38 

Tq update dear...


NovelPlus Premium

The best ads free experience