7

Other Completed 493332

"MAK ni memang tak pandai simpan rahsialah! Buatnya budak tu tahu hal sebenar macam mana?" Marah Adira seraya mencebikkan bibir. Untung saja dia sempat mencelah omongan Maksu Dara sebentar tadi, jika tidak habislah segala rahsia yang dipendam selama empat tahun itu.

Wajah Maksu Dara penuh dengan kebencian. Nampak sangat begitu besar sekali impak perbuatan Norhayati padanya. Sehingga tidak sanggup untuk dirinya terus menatap wajah polos itu.
Rahsia itu! Sudah empat tahun mereka menyorokkan kebenaran daripada Nuraisha. Bimbang jika Nuraisha mengasak dengan pelbagai persoalan. Atau lebih teruk lagi jika anak saudaranya itu melaporkan perbuatan terkutuk mereka kepada pihak polis.

"Mak tak sengaja cakaplah! Lagipun, hati mak tengah panas tadi" bidas Maksu Dara, sedikit dingin.

Adira menyepi. Otaknya ligat berfikir akan segala kemungkinan pada masa akan datang. Dia gerun memikirkan nasib mereka jika rahsia tersebut terbongkar. Memang benar Nuraisha itu tampak seperti penakut, tetapi air yang tenang jangan disangka tiada buaya! Silap-silap haribulan, dia lagi kuat dan berani berbanding mereka.

"Mak" panggil Adira seraya menatap wajah Maksu Dara.

"Apa?"

"Kalau rahsia tu terbongkar, macam mana mak?"

Soalan Adira dibiarkan sepi. Jujur, dia juga tidak punya jawapan untuk persoalannya. Sudah terlalu lama rahsia itu tertutup, sehingga dia lupa pada perkara itu. Dia tidak terfikir jika suatu hari nanti rahsia itu bakal terdedah. Kerana hanya dia dan Adira saja yang mengetahuinya.

"Rahsia tu takkan terbongkar sampai bila-bila! Cuma kita berdua je yang tahu kan? Aisha tak tahu langsung pun. Dan dia takkan ingat langsung apa yang pernah terjadi pada dia. Lagipun lelaki tu dah janji takkan muncul depan kita lagi. Jadi, apa yang kamu nak risaukan?"

Sepenuh hati Maksu Dara meyakinkan Adira. Dia tidak mahu Adira terlampau memikirkan perkara itu, risau terbawa-bawa pula nanti. Dia juga takut-takut jika rahsia terbongkar dan Nuraisha menggunakan itu untuk menentangnya.

Adira mengunci mulut. Walaupun kata-kata Maksu Dara masuk dek akal, tetapi kenapa hatinya seolah-olah masih tidak mampu untuk tenang dari memikirkan perkara tersebut? Dia risau jika aib terbuka, justeru semua kebusukan mereka ketahuan. Arghh! Dia tidak sanggup!

"Tapi mak.."

"Dah! Kan mak dah cakap, jangan difikirkan sangat hal ni!" Pantas Maksu Dara mencelah.

Pekikan Maksu Dara langsung tidak mampu menyedapkan hati Adira. Dia benar-benar terganggu...

DUDUK memeluk lutut, Nuraisha membenamkan wajahnya ke situ. Dia sudah penat menangis kerana tiada sesiapa pun yang mampu mendengar rintihannya. Terlalu lama dia menahan hati dan sabar dengan sikap Maksu Dara terhadapnya.

Ingin saja hatinya bertanyakan mengenai perasaan Maksu Dara terhadapnya. Kenapa maksu membencinya dan tega memperlakukannya seperti ini? Namun bibirnya terasa berat untuk bertanya. Risau jika pisau pula menyambar tubuh badannya.

Sedari kecil, dia tidak pernah merasakan kasih sayang maksu terhadapnya. Dia sering diasingkan dari Adira. Namun segala arahan dan perintah maksu diturutkan tanpa sepatah bicara. Dengan harapan, suatu saat nanti, maksu akan menghargai sikapnya dan sekaligus menerima kehadirannya dengan hati yang terbuka.

Dia kehilangan ibu sejak dari usia muda lagi. Ketika itu, dia masih terlalu muda untuk memahami maksud sebuah kehilangan dan kekecewaan. Namun sejak dari hari itulah hidupnya mula berubah. Namun dia tak pernah mengeluh. Jauh sekali hendak berputus asa. Dia yakin , Allah mengujinya.

Tangan yang sakit akibat 'dimakan' oleh tali pinggang maksu, disentuh dengan bergetar-getar. Ini bukan kali pertama dia 'dirai' sebegitu oleh maksu. Dan setiap kali dipukul, dia bak pengemis, merayu dan minta dikasihani. Namun maksu buat tidak dengar. Bahkan memukulnya dengan lebih kuat lagi.

Dia terfikir akan pinangan Samsul ke atas dirinya. Kenapa Samsul tidak pernah menyatakan hasrat tersebut di hadapannya? Adakah Samsul menyayanginya lebih daripada seorang kawan? Tetapi bagaimana pula dengan perasaannya? Cintakah dia pada Samsul? Tidak dinafikan, Samsul seorang lelaki yang baik dan penyayang. Jika dia menerima Samsul, adakah itu kerana cinta atau hanya ingin membalas kebaikannya selama ini?

Sekiranya dia menerima Samsul, Maksu Dara dan Adira akan semakin menaruh dendam terhadapnya. Apatah lagi Adira pernah mengugut untuk membunuh diri seandainya dia berkahwin dengan Samsul. Tetapi jika dia menolak pinangan Samsul, dia akan terus menderita di dalam tangan maksu dan Adira. Dia buntu!

Ya Allah, bilakah derita ini akan berakhir? Air mata Nuraisha semakin laju memunculkan diri.

"Ibu, Sha rindu" Sakitnya perasaan merindui orang yang telah tiada.

"Kenapa maksu layan Sha macam ni? Sha nak kasih sayang maksu. Sha tak mintak banyak" rintih Nuraisha lagi. Semakin banyak mutiara jernih itu mengalir ke pipi. Tak tertahankan rasa perit yang ditanggungnya.

Seketika, Nuraisha menyepi. Dia jadi teringat pada kata-kata Maksu Dara sebentar tadi.

"Kau dah lupa apa yang kau buat pada empat tahun lepas?"

Tubuh Nuraisha menggigil. Dia mengetap bibir. Sedaya upaya, dia memerah otak untuk mengingati peristiwa empat tahun lalu. Namun kenapa usahanya sia-sia? Kenapa dia tidak mampu mengingati apa-apa?

Wajah Adira yang seakan terkejut dan ketakutan muka terbayang di minda. Ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh Maksu Dara dan Adira. Tetapi apakah itu?

"Apa dah jadi pada empat tahun lepas?"

TEMPOH seminggu sudah berlalu. Samsul semakin tidak sabar dengan keputusan yang akan diberikan oleh Nuraisha. Pagi itu, dia ditemani oleh Puan Normala berkunjung ke teratak Maksu Dara bagi menagih kepastian yang sebenar.

Selain itu, hatinya juga sudah terlalu merindui Nuraisha. Tempoh seminggu itu dia menahan dirinya bagi menemui gadis itu kerana tidak mahu mengusutkan lagi fikiran Nuraisha. Kini, hatinya berdebar pula saat langkah kaki semakin mendekati arah tujuannya.

Setelah memberi salam, Maksu Dara mempelawa mereka masuk dengan segugus senyuman di wajah. Punggung dihenyak di atas kerusi ukiran kayu. Maksu Dara mengambil posisi di hadapan mereka.

Dari dalam bilik, Nuraisha mengintip. Dia melihat riak gembira dari wajah Samsul. Apakah yang diharapkan oleh lelaki iti melalui hubungan mereka? Dia sudah awal-awal diberi amaran oleh Adira untuk tidak menunjuk wajah di hadapan Samsul lagi sehingga lelaki itu bertugas di Kuala Lumpur.

Peritnya hati Nuraisha apabila hubungannya mendapat campur tangan oleh Adira dan Maksu Dara. Dia seolah-olah sudah hilang hak ke atas dirinya sendiri.

"Kak Dara, dah seminggu kami tunggu. Kalau boleh, kami nak tahu keputusan dia hari ni jugak. Akak pun tahulah kan? Samsul nak ke KL lagi dua hari. Jadi kami ingat sebelum Samsul ke KL, kami nak langsungkan pertunangan mereka dulu. Soal belanja semua, kak Dara tak perlu risau. Kami akan tanggung semua" Lembut suara Puan Normala bertutur. Wajahnya tidak lekang dengan senyuman.

Buah pinang dan sirih disumbat masuk ke dalam mulut. Wajahnya serius saja memandang dua beranak tersebut. Mendongkol geram hatinya dengan semua ini. Jangan haraplah aku nak serahkan Aisha pada korang!

"Aku nak mintak maaflah Mala! Tapi anak saudara aku tu, tak sukakan Samsul. Dia tak nak tinggalkan aku. Dia tak nak kawen dengan Samsul"

"Maksu tipu!" sanggah Samsul tiba-tiba. Dia sudah berdiri dari duduknya. Baran sungguh hatinya dengan keputusan tersebut. Dia tidak percayakan kata-kata Maksu Dara. Dia tahu, Maksu Dara hanya ingin memisahkan mereka.

"Kamu jangan nak kurang ajar dengan aku!" dengus Maksu Dara apabila mata Samsul bertentang dengan matanya.

Melihatkan keadaan mula panas, Puan Normala bertindak menenangkan Samsul. Sejujurnya, dia juga kaget dengan omongan Maksu Dara. Fikirnya, Nuraisha akan menerima pinangan mereka sementelah hubungannya dengan Samsul memang rapat. Rasa-rasanya, Nuraisha tidak mempunyai mana-mana kawan lelaki selain Samsul. Jadi atas alasan apa dia menolak Samsul yang sememangnya sentiasa mengambil berat ke atas dirinya?

Samsul kembali tenang lalu duduk semula di atas kerusi. Nafasnya turun naik saja. Matanya mencerlung tajam ke arah Maksu Dara. Sungguh, dia tidak puas hati! Mana mungkin Nuraisha menolak dirinya. Mereka begitu akrab bahkan tiada lelaki lain yang mendekati Nuraisha selama ini kecuali dirinya. Jangan-jangan semua ini hanyalah tipu daya dan helah Maksu Dara. Tidak! Dia tidak akan melepaskan Nuraisha pergi. Nuraisha harus tetap menjadi miliknya!

"Tapi kenapa Aisha menolak pinangan Samsul? Diorang rapat selama ni" soal Puan Normala. Kepalanya sarat dengan pelbagai persoalan.

"Manalah aku tahu!" jawab Maksu Dara. "Dia yang cakap sendiri, dia tak nak kawen dengan Samsul. Takkan aku nak paksa dia?"

"Sam tahu apa jadi dalam hidup Aisha. Maksu dan Dira dera dia hidup-hidup! Maksu tak nak kami kawen sebab maksu masih nak dera Aisha kan?" Wajah Samsul tersungging senyuman sinis.

Berubah wajah Maksu Dara. Jahanam punya budak! Sempat lagi kau mengadu dengan si Samsul ni! Tunggulah kau nanti!

"Kamu jangan nak tuduh aku sebarang! Aku tak pernah jentik pun tubuh badan dia!" bidas Maksu Dara, cuba menyembunyikan perkara sebenar.

"Sam tak menuduh!" herdik Samsul. Dia sudah hilang hormat pada wanita seperti Maksu Dara.

"Samsul!" Puan Normala sedikit terjerit. Kaget tiba-tiba dengan sikap kurang sopan Samsul.

"Kalau kamu tak percayakan aku, kamu boleh tanya Aisha sendiri. Nak aku panggilkan Aisha ke?"

"Itu lagi baik kak Dara. Biarlah kami dengar dari mulut Aisha sendiri. Biar jelas segala-galanya" sampuk Puan Normala.

Perasaan Samsul penuh debaran, apatah lagi setelah Nuraisha menapak keluar dari bilik. Perlahan-lahan dan penuh tertib langkah itu dihayun ke arah mereka. Saat melihat wajah Nuraisha, hati Samsul terlerai seribu rindu. Demi Allah, rindunya pada gadis itu tidak mampu tertanggungkan. Mahu saja derap kakinya mendekati Nuraisha, namun Puan Normala pantas menahan sambil menggeleng kepala.

Adira di sisi tersenyum lebar melihat wajah Samsul yang dikasihi. Dia sukakan Samsul dan sungguh, hatinya puas kala dapat mengugut Nuraisha untuk menolak pinangan Samsul. Jika tidak, dia akan mengancam untuk melakukan sesuatu yang lebih dahsyat lagi.

"Makcik" Nuraisha tunduk menyalami tangan Puan Normala. Seketika, tubuhnya dirangkul oleh wanita itu.

"Kamu sihat?"

"Alhamdulillah, sihat makcik"

Nuraisha berlalu tanpa menoleh sekilas pun ke arah Samsul. Hati Samsul mulai tidak senang.

Nuraisha memgambil posisi di sebelah Adira. Dia menundukkan wajah sambil menggenggam ibu jari. Tidak sanggup rasanya untuk terus menatap wajah Samsul yang dirinduinya. Lebih-lebih lagi selepas ini dia bakal melukakan hati seorang lelaki yang benar-benar ikhlas kepadanya. Ya Allah, kuatkanlah aku!

"Mak si Samsul dengan Samsul ni tak percaya yang kau dah tolak pinangan diorang. Diorang nak dengar sendiri dari mulut kamu. Jenuh dah maksu ni bercakap, difikirnya maksu ni main-main! Ada baiknya kalau kamu sendiri yang bercakap. Biar puas hati diorang!" ujar Maksu Dara seakan menyindir sahaja.

"Sha..."

"Betul ke Sha tolak pinangan abang?" Laju sahaja Samsul mencelah tatkala Puan Normah ingin memulakan perbualan.

Nuraisha diam tidak berkutik. Jauh di sudut hatinya, dia benar-benar ingin menerima pinangan Samsul dan melepaskan diri dari penjara kayu ciptaan Maksu Dara dan Adira ini. Dia ingin bahagia dan dia yakin, hanya Samsullah yang bisa memberikan kebahagiaan itu.

Namun, sekuat apa pun dia merancang, Allah penentu segalanya. Dia terlebih dahulu diugut oleh Maksu Dara dan Adira sebelum sempat mengemukakan keputusan. Hak ke atas dirinya sendiri seolah-olah telah hilang begitu saja. Dia sedih, sungguh tersiksa dengan semua ini! Dan dia tiada pilihan melainkan...

"Sha mintak maaf. Tapi Sha tak pernah sukakan abang. Sha anggap abang tak lebih dari seorang kawan. Sha hargai semua jasa dan ihsan abang tapi cukuplah sampai di sini saja abang menabur jasa. Biarkan Sha hidup bahagia di samping keluarga Sha sendiri"

Dan kata-kata tersebut cukup menoreh luka di hati Samsul. Selama ini, hanya dia yang bertepuk sebelah tangan. Selama ini, cuma dia yang beria-ria.Dia angankan Nuraisha tetapi gadis itu terlebih dahulu mencipta tembok pemisah di antara mereka. Justeru, ke mana lagi harus dia membawa hati yang luka lara ini? Nuraisha telah memalukan dia di hadapan mereka semua. Sungguh, dia kecewa!

"Dah dengar kan jawapan dan keputusan Aisha? Aku tak pernah paksa dia untuk buat apa-apa keputusan. Semua ni atas kehendak dia sendirim Jadi aku harap kamu berdua boleh faham" ujar Maksu Dara dengan senyuman merekah di bibir. Dalam hati, dia sedang bersorak gembira kerana Nuraisha menuruti semua permintaannya.

Adira tersenyum simpul. Hatinya puas kerana dapat memisahkan Nuraisha dan Samsul dengan cara begini. Biarlah Samsul yang terluka, asalkan bukan dirinya. Dia tidak akan mengalah dengan Nuraisha. Dia harus memiliki lebih dari apa yang gadis itu punya. Dan kini, segala-galanya hampir sempurna.

Dengan perasaan yang mendongkol, Samsul bangkit dari duduk. Wajah polos Nuraisha ditatap dengan penuh kekecewaan. Dia tidak pernah menyangka pengakhiran hubungan mereka akan seperti ini.

"Baiklah kalau itu yang Sha nak. Abang janji, abang takkan ganggu Sha lagi. Terima kasih untuk semua yang telah Sha berikan pada abang. Terima kasih sebab dah buat abang jatuh cinta pada Sha. Terima kasih sebab dah lukakan hati abang. Abang mintak maaf kalau pinangan ni mengganggu hidup dan hati Sha sebelum ni. Terima kasih untuk semuanya Sha. Abang harap Sha bahagia dengan pilihan ni"

Dengan hati yang bengkak, langkah kakinya laju saja meninggalkan mereka. Cukuplah hati! Dia tidak akan menoleh lagi kepada Nuraisha. Terima kasih hati.. Terima kasih untuk terus menyayangi insan ini!

Share this novel

Cik Mafia
2021-07-30 19:35:24 

bkpe manusia 2 ni berperangai menagalohkan syaiton


NovelPlus Premium

The best ads free experience