26

Other Completed 493332

SEDARI tadi, Firash biarkan sahaja Nuraisha menangis semahunya. Acapkali dia mencuba menenangkan gadis itu, namun kesudahannya hanya sia-sia. Nuraisha tidak memberikan sebarang kerjasama, bahkan tangisannya semakin kuat dan lantang.

Sejak diusir oleh Maksu Dara tadi, dia tekad untuk membawa Nuraisha jauh dari tempat itu. Tanpa sebarang beg pakaian, Nuraisha dibawa keluar dari rumah tersebut. Dia tahu kebencian Maksu Dara sudah memuncak. Dia risau sekiranya Nuraisha mengongoi tanpa mendapat belas kasihan daripada Maksu Dara.

Tan Sri Firman, Puan Sri Mariam dan Naura sudah sejam lebih berangkat mendahului mereka. Firash terpaksa berhenti di mana-mana masjid bagi menunaikan solat Zohor. Apabila dia mengajak Nuraisha, gadis itu hanya mengangguk tanpa membantah.Kemudian, apabila perjalanan diteruskan semula, tangisannya bergema lagi.

"Dahlah tu Sha. Sha menangis keluar air mata darah sekalipun, maksu takkan terima Sha balik"

Diam. Tiada sebarang sahutan daripada Nuraisha. Firash mengeluh. Dia benar-benar kebingungan. Dia risau sekiranya Nuraisha jatuh sakit.

Tangisan Nuraisha bergema semula. Kali ini, diiringi dengan esak tangisnya. Firash tiada cara lain selain berhenti di bahu jalan. Enjin kereta dimatikan. Wajah Nuraisha yang kemerahan ditatap sayu.

"Sha memang degil kan?"

Hanya esak tangis yang kedengaran dari bibir Nuraisha. Dia seperti sudah kehilangan tenaga untuk berdebat dengan Firash. Jiwanya kacau bilau. Mungkin benar kata Maksu Dara. Dia hanya pembawa malang dalam kehidupan seseorang. Sudahlah maruahnya tercalar, kini maksu Dara pula membuangnya tanpa rasa bersalah.

Firash menyandarkan tubuh badan ke dada kerusi pemandu. Seketika dia memejam mata. Nasib Nuraisha tidak jauh bezanya dari dirinya. Dia juga tidak dianggap oleh adik-beradik tiri sendiri. Bahkan, dia sering disalah-anggap oleh mereka. Hanya Naura yang menerimanya sepenuh hati. Pun begitu, nasibnya tidak seburuk apa yang menimpa Nuraisha. Kini,gadis itu sebatang kara. Dia tidak diinginkan oleh keluarga sendiri.

"Sha akan sentiasa ada abang. Tak kira apa pun yang jadi, Sha takkan pernah bersendirian. Jadi, jangan sedih dengan kehidupan silam Sha. Belajar untuk terimanya. Allah bagi ujian bersebab. Bukan saja-saja"

Firash mencelikkan matanya. Pandangannya dipusatkan ke arah Nuraisha yang kelihatan agak tenang berbanding sebelumnya. Jari-jemari Nuraisha digenggam erat. Dia seboleh mungkin menyalurkan kekuatan kepada gadis itu.

"Abang tahu, Sha kuat. Dan orang yang kuat takkan selalunya menangis" Airmata yang mengalir di pipi gebu itu diseka perlahan. Betapa kasihnya dia pada gadis itu, Allah sahaja yang tahu.

"Sha tahu tak? Mata Sha cantik sangat. Mata yang jujur dan redup ni mampu ceritakan segala rahsia di hati. Tapi abang tak suka tengok kesedihan dalam mata ni. Umpama ada sesuatu beban yang sedang sarat ditanggung"

Mata Nuraisha yang berkaca memandang tepat ke dalam anak mata Firash. Ya, dia memang sedang menanggung beban. Dan dia sendiri tidak pasti cara untuk melepaskan diri dari bebanan itu.

"Boleh Sha janji satu perkara dengan abang?" pinta Firash sambil mengusap lembut pipi Nuraisha.

Gadis itu perlahan-lahan menganggukkan kepalanya.

"Janji dengan abang untuk kembalikan kecantikan mata ni semula"

NOMBOR telefon Firash didail lagi. Namun percubaan yang entah kali ke berapa tetap tidak membuahkan hasil. Kemudian,matanya lekap pada skrin telefon bimbit. Tetapi pandangannya kosong. Hanya segaris senyuman Firash yang tiba-tiba menghiasi skrin telefon. 'Miss you!' Itu mesej terakhir yang diterimanya daripada lelaki itu. Hatinya berkocak hebat sejak dari hari itu. Naura menekan dada. Terasa benar berdebar hatinya kala itu. Berkali-kali dia cuba memujuk hati agar tidak terpesong kerana perasaan yang tidak penting ini. Namun acapkali juga dia gagal. Dia tidak mahu hanyut jauh dengan perasaan ini, meski dia tahu dia bakal kecundang di awal perjuangan.

"Naura dah call along ke?"

Suara garau Tan Sri Firman mengembalikan Naura ke dunia realiti. Dia memanggung kepala memandang si ayah lantas tersengih. Aduh, jauh sangat mengelamun!

"Dah papa.Tapi along tak jawab"

"Manalah pergi budak ni? Kalau dia sorang-sorang, tak kisahlah jugak. Ni dia bawak anak dara orang. Aduhh!" Puan Sri Mariam meluahkan kebimbangan. Risau tak bertempat apabila mengenangkan anak bujang yang satu itu.

Dia tahu, Firash mampu menjaga diri dan aibnya. Tetapi jika berduaan dengan wanita yang bukan muhrim, adakalanya iman juga mudah terpesong.

"Kejap lagi baliklah tu. Awak boleh tak duduk diam je? Dari tadi saya tengok awak gelisah semacam" omel Tan Sri Firman sambil matanya melilar ke kiri dan kanan, mengikut pergerakan isterinya itu.

Mendengarkan bebelan Tan Sri Firman, akhirnya Puan Sri Mariam akur juga pada perintah suaminya. Punggung dihenyak bersebelahan dengan Naura yang dari tadi lincah saja tangannya menari di atas skrin telefon. Sibuk memanjang je anak dara sorang ni!

"Saya risaulah bang!" Terluah juga rasa itu dari bibirnya.

"Apa yang awak nak risaukan?"

"Yelah. Firash tu kan lelaki. Aisha tu perempuan. Tengok sekarang dah jam berapa. Dekat nak maghrib. Diorang tak balik lagi. Call pulak tak angkat!"

Tan Sri Firman tersenyum. Gelagat isterinya sungguh mencuit hatinya.

"Diorang dah besar. Pandailah diorang jaga diri"

"Senangkan abang cakap?" Puan Sri Mariam menjeling ke arah suaminya yang duduk berhadapan dengannya.Lelaki memang macam ni. Semua benda nak ambik mudah!

"Kalau jadi apa-apa macam mana?"

Naura sudah melopong. Ketakutan Puan Sri Mariam mulai menjangkiti hatinya.

"Jadi apanya?" tanya Tan Sri Firman, benar-benar tidak mengerti.

"Abang ni memang tak faham kan?" Puan Sri Mariam geram.

Tan Sri Firman ketawa sambil menggeleng kepala. Wajah isterinya ditenung dalam-dalam.

"Kenapa awak nak risau sangat? Saya yakin yang along boleh jaga diri dia baik-baik. Kita dah bagi didikan agama kepada dia dari dia kecik lagi. Dia takkan berani nak buat yang bukan-bukan dengan perempuan yang bukan isteri dia"

Suara lembut dan nada memujuk sengaja Tan Sri Firman gunakan sebagai menenangkan hati isterinya. Dia tahu persis seperti apa kegusaran yang melanda isterinya itu.

Puan Sri Mariam mendiamkan diri. Apabila sang suami sudah mengeluarkan kuasa veto beserta dengan pakej suara seperti itu, dia seperti kehilangan kata-kata lagi. Ada betulnya barangkali omongan suaminya. Dia harus percayakan Firash walaupun saat ini hatinya sungguh galau melihat bayang-bayang Firash dan Nuraisha yang tidak kunjung tiba!

"KENAPA kita kat sini?" Nuraisha mulai tidak sedap hati tatkala Firash membawanya ke apartmen. Mereka sudah berdiri di hadapan pintu. Firash membuka mangga pintu.

"Ni rumah nombor dua abang. Tapi tak lama lagi akan jadi milik orang lain" kata Firash sesudah membuka pintu. Tubuhnya terpacak di hadapan gadis itu. Wajah Nuraisha ditenung lama. Dia boleh lihat sinar kebimbangan pada riak itu. Dan dia benar-benar mengerti maksud riak tersebut.

Kening Nuraisha bertemu. Dia membalas tatapan mata Firash yang redup itu. Dia tidak mengerti maksud Firash sebenarnya.

"Maksud abang?"

"Abang akan jual apartmen ni. Ada kawan abang yang nak beli"

"Habis tu, abang nak duduk mana nanti?"

Firash tersenyum. "Duduk dengan mama papa. Sha okey kan kalau lepas kawen kita duduk dengan mama papa?"

Nuraisha hanya mengangguk.

"Abang nak Sha rasa kasih sayang dari seorang ayah, seorang ibu. Abang nak Sha tahu macam mana ikatan kekeluargaan tu. Sebab Sha tak pernah rasa sebelum ni kan?"

Hati Nuraisha kembang kecup tatkala niat Firash itu menyapa gegendang telinganya.Dia benar-benar terharu kerana sejauh itu Firash sanggup berkorban untuknya dan berfikir akan dirinya.

"Tapi tak lama. Setahun macam tu je. Lepas tu ,kita duduk rumah sendiri. Abang nak privasi after a year" sambung Firash lagi sambil mengenyitkan matanya.

Pipi Nuraisha merona. Dadanya berdebar. Ish, dia ni kalau tak buat aku berdebar, memang tak sah!

"Jom masuk" pelawa Firash.

Nuraisha teragak-agak.

"Ada Kak Siti dalam ni sayang. Abang memang tugaskan dia untuk jaga rumah ni masa abang takde. Kalau takde Kak Siti, manalah abang berani nak bawak Sha masuk sini" bagitau Firash setelah mengerti akan ketakutan gadis itu. Dia tahu kemampuan imannya semacam apa setiap kali berduaan dengan Nuraisha. Mudah goyah dan sukar untuk dikawal!

"Tapi kalau Kak Siti ada kat dalam, kenapa abang bukak mangga pintu? Kenapa tak panggil Kak Siti?"

Firash tergelak dengan aksi naif dan polos Nuraisha.

"Kak Siti tu kalau tidur, dia dah tak ingat dunia lagi. Jangan haraplah nak suruh dia bukak pintu kalau dia tengah lena. Silap-silap haribulan, kita yang meroyan tunggu dia"

Nuraisha membulatkan bibirnya. Dia mengangguk faham. Bukan dia tidak percayakan Firash, tetapi setelah apa yang menimpa dirinya, dia sangat fobia untuk berduaan seperti itu dengan lelaki. Apatah lagi di tempat yang gelap dan sunyi seperti sekarang.

HAIKAL terhuyung-hayang keluar daripada lif. Suitcase yang dari tadi setia menemani dipaut ke bahu. Wajahnya kemerahan. Rambutnya kusut-masai. Keadaan dirinya sangat tidak terurus ketika ini. Mana tidaknya, seusai saja menghadiri rapat di syarikat, dia terus ke kelab malam bagi membuang rasa bosannya.

Di sana, dia bertemu dengan Alex dan Sufian. Kedua sahabatnya itu mempengaruhinya minum sehingga dia mabuk. Sedangkan selama ini dia sudah berjanji tidak akan menyentuh minuman itu lagi sesudah kematian Hanis. Tetapi malam itu janji itu telah dimungkiri.

Haikal menapak di hadapan pintu rumah. Tetapi disebabkan langkahnya yang tidak seimbang ,di tambah lagi dengan matanya yang sedikit kabur, dia telah melanggar seseorang. Natijahnya, dia terjelepok di atas lantai.

"Ma...maaf encik. Saya tak sengaja" ucap gadis tersebut.

Mata Haikal yang sedikit terpejam masih mampu melihat bayangan seorang gadis sedang berdiri di hadapannya. Dan ketika itu, hatinya berdetak hebat kerana dia melihat wajah Hanis sedang berdiri di hadapannya. Dan wangian cologne lavender itu sungguh menyengat rongga hidungnya.

"Ha...Hanis!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience