76

Other Completed 493332

NURAISHA kembali ke kamar dan melihat ketiadaan Mia di situ. Hatinya mulai bingung dan tak menentu. Ke mana anak sekecil itu berada? Tidak mungkin dia mampu keluar dari vila itu kerana pagar di hadapan sangat tinggi untuk dipanjat.


Nuraisha mencari ke segenap ruang namun tidak ketemu. Di ruang tamu, dia terserempak dengan Naira yang sedang tekun membaca novel.


"Nampak Mia tak? Dia hilang" adu Nuraisha dengan suara sebak. Dia risaukan keselamatan Mia namun lebih bimbangkan amukan Haikal nanti.

Novel yang dibaca ditutup segera. "Mia? Bukan ke dia dengan akak tadi?"

"Iya, tapi saya tinggalkan dia dalam bilik sekejap sebab saya nak bersihkan Farrhan. Dan bila saya balik ke bilik semula, Mia takde kat situ"


"Mamaaa!!" Jeritan Mia dari arah bilik bacaan menyentakkan Nuraisha. Segera dia berpaling dan melihat Mia sedang berlari ke arahnya.

"Mia! Mana Mia pergi? Mama risaulah! Kan mama dah pesan, duduk dalam bilik. Jangan keluar ke mana-mana" marah Nuraisha.


"Mama ajak Mia jalan-jalan keliling rumah. Jangan marahkan Mia. Dia ikut mama je" sampuk Puan Sri Mariam.


Gara-gara terikutkan perasaan marah, Nuraisha lupa dengan kehadiran Puan Sri Mariam di situ. Tergagap-gagap pula dia hendak memperkenalkan Mia kepada mama mentuanya itu.

"Mia ni comel. Dahlah petah bercakap. Mama happy tengok Mia. Tak sangka, walaupun Aisha bukan mama kandung dia, tapi Mia betul-betul sayang pada Aisha"


Nuraisha tercengang. Dia memandang Mia yang sedang ralit dengan lolipopnya. Rupa-rupanya perihal dirinya sudah diketahui oleh Puan Sri Mariam. Tetapi siapa yang mengkhabarkan berita itu?

"Mia bagitau mama. Yang Aisha ni mama dia. Tapi tak kawen dengan papa dia. Mula tu, mama susah nak faham. Tapi dah lama-lama, baru mama faham. Sha jaga Mia sejak setahun yang lalu ye?"

Nuraisha menghela nafas lega. Mia yang menceritakan semuanya. Perlahan-lahan, Nuraisha mengangguk sambil mengukir senyum.

"Mia ni memang comel ma. Naira ni rasa nak cubit-cubit je pipi dia. Eeeee" sampuk Naira pula sambil mengusap kepala Mia.

"Kalau acik cubit pipi Mia lagi, Mia tak nak kawan dengan acik" sahut Mia dengan lolipop yang setia di dalam mulutnya.

Naira tergelak. "Acik eaa? Acik pun aciklah! Jangan mak cik sudah!"


Puan Sri Mariam dan Nuraisha tergelak dengan bicara Naira.


"Assalamualaikum" satu suara memberi salam dari hadapan rumah.


"Waalaikummussalam" sahut mereka serentak.


"Takpe ma. Sha pergi tengok. Mama pergilah rehat. Naira, boleh tolong Mia..."


"No worries" sahut Naira pantas mencempung tubuh Mia lalu menaiki anak tangga satu-persatu. Puan Sri Mariam pula sudah berlalu ke biliknya.

"Ya, nak cari siapa...?"

Bibir Nuraisha terkunci rapat. Tubuhnya kaku dan mengeras tiba-tiba. Helaan nafasnya terasa perlahan sahaja.

Melihatkan diri Nuraisha yang sudah lama tidak ditemui, hatinya mula berdegup laju. Jantungnya mengepam darah tanpa henti. Samsul seakan tidak percaya dengan apa yang barusan dilihatnya. Gadis itu tampak anggun dan lebih matang dari sebelumnya.

"Sha..."

"LAMA tak jumpa Sha. Senyap je memanjang. Abang cari Sha. Tapi tak jumpa. Ke mana Sha pergi? Hmmm?"

Nuraisha menyepi. Tidak mungkin dia akan membuka aib suaminya sendiri dengan mengatakan dirinya dijual gara-gara niat busuk Farrhan itu. Walaupun hatinya sudah tiada pada Farrhan, tetapi perasaan hormat itu masih menebal dalam dirinya buat sang suami.

"Sha tak ke mana-mana. Ada je. Abang yang tak cari dengan sepenuh hati" Nuraisha bermadah sambil ketawa yang sengaja dibuat-buat.

"Kalau abang cari dengan sepenuh hati, abang takkan lepaskan Sha lagi" Nada suara Samsul tegas dan penuh serius.

Gelak tawa Nuraisha mati tiba-tiba. Wajahnya berpaling dan kedua pasang mata itu saling memandang antara satu sama lain.


Terlalu banyak yang hendak Samsul ungkapkan tetapi dia tidak tahu dari mana hendak bermula. Yang pasti, dia ingin Nuraisha tahu akan perasaannya.


"Abang nak jumpa Naura ke?" Nuraisha menukar topik perbualan lantas mengalah dengan pandangan Samsul. Pandangan dari lelaki itu sangat berbeza dari sebelumnya.

"Iya. Tapi dah alang-alang jumpa Sha kat sini, tak salahkan kalau abang nak jumpa Sha sekali?"

"Hmmmm" gumam Nuraisha. Matanya fokus pada aliran air terjun di hadapan mereka saat itu. Semakin lama dia memandang, semakin tenang rasa hatinya. Dia berharap agar hatinya bisa setenang air itu. Namun apakan daya. Terlalu banyak yang difikirkan sehingga dia tak mampu untuk bernafas lega. Kaki terasa hendak melangkah jauh dari semua orang, tetapi hatinya tak kuat. Entahlah, apa yang menghalang, dia sendiri tidak tahu!

"Kenapa pandang situ? Dah jemu dengan muka abang?"

"Merepeklah abang ni!" gerutu Nuraisha lantas menoleh ke arah Samsul.

"Tapi betul kan? Dari kecik lagi abang selalu dengan Sha, tapi Sha selalu terlepas pandang. Apa kurangnya abang?"

Perbualan mereka terasa hangat semacam. Lebih-lebih lagi dengan intonasi Samsul yang laim macam saja itu. Nuraisha rasa tak selesa.

"Sha.. Sha panggilkan Naura"

Langkah Nuraisha mati saat tangannya ditarik oleh Samsul. Tanpa disedar, dia terduduk di atas riba Samsul dan cepat-cepat melarikan diri. Arghhh!!

"Sha!" Samsul mengejar dari arah belakang. Namun Nuraisha buat tak tahu. Sehinggalah mereka tiba di hadapan pintu, Samsul berjaya menyaingi langkahnya.

"Abang tak habis cakap lagilah! Kenapa nak larikan diri?"

"Abang nak apa?" Nada suara Nuraisha juga sudah tidak terkawal. Hampir saja dia terjerit.

"Dengar dulu apa yang abang nak cakap. Boleh tak?"


"Okey..."


"Abang tak nak cakap belit-belit. Apa yang abang cakap ni ,ikhlas dan tulus dari hati abang sendiri. Abang dah tak sanggup nak simpan perasaan ni. Semakin lama abang pendam, semakin sesak rasa nafas ni"

Omongan Samsul menyesakkan fikiran dan jiwa Nuraisha. Melalui kata-kata itu, dia tahu persis apa yang ingin diluahkan oleh Samsul.

"Abang nak lamar Sha.."

Anak mata Nuraisha memandang tepat ke dalam mata Samsul.


"Lepas je Sha bercerai dengan Farrhan dan lepas habis iddah"


Arghhh!! Semua lelaki di sekelilingnya benar-benar gila! Takk! Semua lelaki itu membuat dia gila. Haikal dengan desakannya dan Samsul pula dengan permintaan tak masuk akal ini! Kenapa harus dia yang menjadi rebutan? Kenapa bukan orang lain? Kusut!


"Sha??"


"Abang nak Sha jawab apa?"


"Jawab ya! Abang tahu, Sha sayangkan abang tapi disebabkan maksu yang pisahkan kita dulu, Sha pendam perasaan tu kan? Abang tahu, abang tahu semua tu Sha. Abang tahu Sha sayangkan abang dari dulu lagi"

Maksu?Bermakna maksu masih hidup? Adira pula bagaimana? Tetapi apa maksud Samsul dengan membabitkan nama maksu?

"Sha tak faham apa yang abang cuba nak sampaikan. Dan tolong, hormat Sha sebagai isteri Farrhan. Sha masih isteri dia"


"Sampai bila? Sampai Sha terus terseksa ke? Sha dah lupa apa yang Farrhan pernah buat pada Sha dulu? Atau nak abang ingatkan balik?"


"Cukup bang! Cukup!! Sha tahu, dan Sha sedar kesalahan Farrhan. Tapi abang takde hak nak hakimi suami Sha. Apa pun keputusan Sha, semuanya takde kena-mengena dengan abang!"

Nuraisha melangkah meninggalkan Samsul di belakang. Jiwanya benar-benar tertekan dengan apa yang berlaku. Semua orang seakan memaksanya sahaja. Tidak boleh ke membiarkan dia membuat keputusan dengan hatinya sendiri? Arghhh!

"Abang cintakan Sha! Abang cintakan Sha sangat-sangat!" jerit Samsul dengan harapan Nuraisha akan berpaling ke arahnya.

Namun hatinya berlagu hampa tatkala Nuraisha semakin mempercepatkan langkah menaiki anak tangga dengan menekup telinganya.


Samsul mengeluh lalu menghenyak punggung di atas kerusi di beranda rumah. Niatnya untuk ketemu Naura terbatal saat terserempak dengan Nuraisha. Bagaimana lagi dia bisa merebut hati itu?


Di sebalik langsir tingkap, ada telinga sedang menguping segala-galanya. Dan telinga itu milik Naura! Teresak-esak dia menangis, dan menahan suara dari kedengaran. Benarlah telahannya selama ini. Samsul memang menyimpan perasaan terhadap Nuraisha. Dia saja yang buta untuk mengenalpasti semua itu. Namun hatinya benar-benar parah saat ini. Terluka dek sikap acuh tak acuh Samsul padanya.

"MIA nak ikut mama" pinta Mia tiba-tiba. Nuraisha kaget dengan permintaan Mia itu.

"Ikut ke mana?"


"Nak jumpa papa nombor dua Mialah!"


Kening Nuraisha bertaut. "Papa nombor dua?"


"Alaaa, mama cakap dia tidur tak bangun-bangun tu!"

Nuraisha tersenyum hambar. "Kenapa nak ikut mama jumpa dia?"


"Tak boleh ke? Nanti Mia tolong mama kejutkan dia"


"Mia sayang. Papa nombor dua Mia tu sakit. Bukannya sihat macam kita. Jadi Mia tak boleh nak panjat atas badan dia macam Mia buat pada papa Haikal. Nanti dia bertambah sakit"


Mia terdiam. Akalnya ligat berfikir akan sesuatu. Kemudian dia tersenyum pada Nuraisha.


"Kalau macam tu, Mia tak buat bising. Mia temankan mama je. Boleh ye mama?"

Nuraisha menyepi seketika. Dia tidak kisah jika Mia bertemu Farrhan. Sementelah Mia bukan anak kandungnya. Jadi tiada apa yang harus ditakuti.


"Okey, tapi kiss mama dulu"


Mia menurut arahan Nuraisha. Setelah selesai, mereka sama-sama menuju ke bilik Farrhan. Mia didudukkan di atas sofa. Nuraisha menghampiri Farrhan yang terbaring kaku itu.


Menatap wajah itu, hatinya terasa damai sahaja. Tanpa sedar, dia mengukir senyum. Laju saja bibirnya bercerita walau Farrhan tidak memberikan apa-apa tindak balas.

"Saya tertekanlah! Kenapa Samsul paksa saya terima dia? Dia tak tahu ke yang saya anggap dia sebagai abang? Susahlah nak fahamkan dia!"


Telinga Farrhan mula bergerak-gerak. Suara gemersik itu singgah pada cuping telinganya. Dia tekun mendengar cerita Nuraisha.


"Encik tahu tak, ada masanya saya rasa macam nak lari je dari semua orang. Saya tak mampu nak hadap semua masalah ni. Macam-macam yang bermain di fikiran dan hati saya. Tapi itulah, saya tak tahu nak lari ke mana"

'Ya Allah, bantulah aku agar bisa berbicara dengan isteri aku! Aku ingin menenangkan dia Ya Allah! Aku menyesal dengan segala yang telah aku lakukan di dunia ni Ya Allah. Jika Kau beri aku kesempatan lagi, aku janji takkan sia-siakan isteri aku! Bantulah aku Ya Allah!'

"Maaflah kalau saya bercerita pada encik. Saya takde tempat nak luahkan masalah saya. Harap encik tak marah ye"


'Kenapa Sha panggil saya encik? Saya tak suka! Panggillah dengan nama lain!' Farrhan terasa ingin menjerit namun suaranya seakan tersekat di hujung sahaja. Dia sedih namun tak bisa diungkapkan dengan kata-kata. Dia benar-benar sedih dengan nasib dirinya.

"Mama! Mama cakap dengan siapa?" Mia sudah berdiri di belakang Nuraisha. Katil dipanjat dan wajah Farrhan dipandang.

'Mama? Siapa yang panggil dia mama? Dia pernah mengandung ke?'


"Ni ke papa nombor dua Mia?"


'Papa nombor dua? Siapa papa nombor satu? Ya Allah, aku ingin melihat dengan kedua belah mataku! Janganlah seksa aku lagi Ya Allah! Aku merayu!'


"Mia... duduk sini. Jangan kacau papa"


Mia duduk di riba Nuraisha. "Mama, siapa nama papa nombor satu Mia ni?"


"Farrhan"


"Ohhh jadi Mia panggil dia papa Han. Waaa Mia ada dua papa sekarang"


'Papa Han? Dua papa?'

"Encik, ni Mia. Dia anak majikan saya. Saya jaga dia setahun lebih dah. Manja dan rapat sangat dengan saya. Sebab tu dia panggil saya mama. Sebab mama dia dah takde"


Penjelasan Nuraisha membuatkan Farrhan menarik nafas lega. Dia hampir berfikir yang bukan-bukan. Ternyata, Nuraisha masih isteri yang setia meski pun macam-macam dah dia lakukan.

"Kenapa papa Han asyik tidur je? Tak nak bangun ke?"

"Mia, apa cakap macam tu?!"

"Sorry mama. Mia nak suruh papa bangun je"


"Dah dah. Mia duduk kat sofa tu tau? Mama nak mandikan papa Han kejap"

DARI tadi Haikal hanya mendiamkan diri. Fikirannya jauh menerawang. Teringatkan Nuraisha yang jauh di sana sangat menyesakkan dadanya. Tidak dinafikan selama Nuraisha berada di sana, dia kerap berfikir yang bukan-bukan. Bermacam jenis bayangan menghantuinya. Sungguhpun Nuraisha selalu berkata bahawa dia hanya menjalankan tanggungjawabnya namun sekeping hati Haikal tetap tak mampu nak bertenang.

"Kalau kau panggil aku sebab nak tengok kau berdiam, baik aku blah je!" rungut Sufian. Dia kebosanan melihat kesenyapan Haikal itu.


"Aku stresslah! Malam ni temankan aku pergi club"


Sufian menyungging senyuman sinis. Ini ke katanya berubah? Masih jugak mencari hiburan sebagai penenang diri sedangkan Allah itu ada. Kini dia semakin tidak memahami siapa diri Haikal sebenarnya.

"Sorry bro, bab ni aku dah cuci tangan. Kalau kau nak pergi, kau pergi sendiri"


Giliran Haikal pula yang tersenyum sinis.


"Sejak kau balik dari Mesir kan, kau dah banyak berubah kan? Perempuan Arab mana yang dah merasuk akal dan fikiran kau ni sampai kau berubah macam ni sangat?" Dahi Sufian ditunjal berkali-kali.


"Tak perlukan mana-mana perempuan untuk buat kita berubah" Sufian menempelak sekaligus menepis tangan Haikal yang seenaknya menunjal dahinya.


"Kalau nak berubah, kena ikhlas kerana Allah. Kalau berubah atas sebab lain, memang takkan kekal" selar Sufian lagi. Dia tahu perubahan sikap Haikal sebelum ini adalah kerana wanita bernama Nuraisha itu. Pada mulanya, dia sangkakan Haikal akan terus istiqamah kerana sikapnya memang sangat lain daripada yang lain. Namun ternyata dia silap. Semuanya tak pernah kekal pada Haikal!

Haikal naik radang. Dia mendengus kasar. Wajah Sufian dipandang dengan jelingan tajam.


"Kau jangan nak sindir aku!"


"Kau terasa? Baguslah. Maksudnya kau masih ada iman. Cuba kau muhasabah diri tu sikit Kal. Sampai bila nak hidup macam ni? Aku ingatkan bila datangnya perempuan bernama Nur tu, akan hadir jugaklah nur dalam diri kau. Tapi tak sangka, kau makin teruk. Kau kejar cinta manusia sampai kau lupa siapa diri kau. Aku tengok kau ni dah macam orang mati bini!"

"Diamlah!" jerkah Haikal seraya meraup wajahnya.

"Okey, aku diam!" balas Sufian, lantang dan penuh baran.

"Kau jangan ingat diri kau tu penuh suci. Eh Pian, kau dengan aku sama jelah! Perempuan sana sini. Berfoya sana sini. Masuk hotel tu, masuk hotel ni!"


"Sekurang-kurangnya aku cuba untuk berubah!" sahut Sufian lagi. Kecil hatinya saat penghijrahan diri dipandang serong oleh sahabat baik sendiri.


Haikal senyum mengejek. "Dosa apa je yang kau masih buat sekarang haaa? Cuba kau cakap! Dosa apa? Takkan ke manalah kau punya penghijrahan tu!"


Sufian menggigit bibir. Dia menggenggam penumbuk. Haruskah dia membongkar perkara sebenar kepada Haikal mengenai diri Mia?


"Apasal kau diam? Cakaplah!"


Sufian kaku dan terus membisu. Dia menimbang tara akan keputusan yang diambilnya. Apa yang akan terjadi jika perkara sebenar terbongkar? Mampukah Haikal menerimanya? Atau adakah sebaliknya? Wajah Haikal di hadapan ditenung tajam. Wajah itu seakan mengejeknya sahaja. Hatinya bungkam dan penuh kebencian. Arghhh!!


"Cakaplah, jangan jadi pengecut sangat boleh tak?!" tukas Haikal penuh kasar dan lantang.

KEPALA yang berdenyut-denyut dipicit perlahan. Dari tadi, Nuraisha rasa tak selesa. Keseimbangannya terasa hilang sahaja. Penyapu yang masih melekap pada tangan dilepaskan perlahan-lahan. Pandangannya kabur dan dunia terasa seakan gelap sahaja.

Nafas dihela perlahan-lahan. Kemudian, dengan kekuatan yang ada, dia bergerak menghampiri sofa. Duduk di situ sambil cuba meredakan sakit kepalanya.

"Akak ni kenapa?" tegur Naura, namun suaranya agak mendatar. Entah kenapa setiap kali melihat Nuraisha, hatinya pula yang terluka padahal yang melukakan hatinya datangnya dari Samsul. Arghh!

"Pening sikit je"


"Kenapa boleh pening?" Dalam dia mencuba untuk tak ambil tahu, hatinya risau juga saat Nuraisha mengadu itu.


"Tak tahu laa. Mungkin banyak yang difikirkan kot" Mana tidaknya, kehadiran Samsul tadi menegangkan dirinya. Fikirnya, masalah berhenti di situ saja. Namun dia silap! Kali ini giliran Samsul pula membawa masalah kepadanya.


"Masalah apa pulak yang akak fikirkan? Orang suci macam akak boleh ada masalah ke? Pelik" Naura menyetir.


Nuraisha memanggung kepala. Dia memandang wajah selamba Naura itu. Apa maksud Naura dan kenapa nadanya sangat sinis?


"Saya tak faham"


"Tak perlulah akak faham. Dan kalau akak faham sekalipun, akak akan buat tak tahu. Contohnya macam status akak sebagai isteri angah, tapi akak buat tak tahu je! Masih sempat nak..." Naura tidak meneruskan kata-katanya. Dia sendiri tidak sanggup hendak menyebut perkataan itu.


"Naura, apa yang berlaku ni? Kalau ada apa-apa yang Naura tak puas hati, Naura boleh je bagitau saya"


"Takde apalah kak!"


Naura berlalu ke beranda rumah namun baru dua langkah, dia menoleh kembali. Wajah kebingungan Nuraisha ditatap.


"Oh ya! Sampaikan salam Naura pada abang Samsul akak tu ye? Naura susah sangat nak jumpa dia sekarang. Maklum jelah, dia sibuk memanjang dengan akak!"


Dan kali ini, jiwa Nuraisha bagaikan direntap. Rupa-rupanya itu yang membelenggu Naura dari tadi sehingga ayat pedas keluar dari bibirnya. Jadi itu bererti Naura juga tahu kedatangan Samsul tadi. Jangan-jangan, Naura juga sempat mendengar perbualan mereka.

Nuraisha bangkit dengan sisa kepala yang masih sakit. Dia mengejar Naura yang sudah pun menuju ke pintu pagar.


"Naura! Semua ni salah faham je" Lengan Naura ditarik.

"Naura, dengar dulu" Namun Naura buat tak tahu. Earphone disumbat di kedua belah telinganya. Dia perlukan ketenangan dan kalau boleh, dia ingin jauh dari Nuraisha.

"Naura!" Lengan Naura dicengkam.

Melihatkan kelakuan Nuraisha, earphone tadi ditarik kembali. Wajahnya tegang membalas setiap pandangan Nuraisha.

"Apa lagi kak ngah?" Naura sengaja menekan perkataan kak ngah itu. Wajahnya sinis semacam.

"Naura, takde apa-apa pun yang berlaku antara saya dan Samsul. Dan sumpah, saya takde perasaan pun pada dia"


Naura mendengus. "Akak tak payahlah nak berlakon depan Naura! Selama ni Naura je yang bodoh. Tak nampak apa-apa padahal dah jelas-jelas yang Samsul sukakan akak. Cintakan akak. Dan siap nak kawen dengan akak lagi kalau akak dah sah bercerai dengan angah! Naura tak tahulah apa yang hebat sangat pasal diri akak sampai semua lelaki nak sembah akak"

Air mata yang mengalir diseka perlahan. Buat pertama kalinya, dia bencikan air mata itu. Nampak sangat yang dia lemah dan tak berguna di hadapan Nuraisha.

"Naura!" Nuraisha tersentak dengan kata-kata Naura. Dia tidak menyangka sikap lembut dan penuh kebijaksanaan itu lenyap sekelip mata hanya kerana seorang lelaki.

"Dahlah kak! Kalau akak nak sangat pergi dari kehidupan kami, akak pergilah! Tapi jangan ingat yang Naura akan mengalah macam tu! Kalau Samsul tak nakkan Naura, jangan harap akak akan dapat dia!"

Serentak itu, Naura berlalu dan menyumbat kembali earphone ke telinganya. Dia berjalan keluar dan berhajat hendak mengambil angin bagi meredakan hatinya yang tengah kepanasan.

Mutiara jernih mengisi ruang kosong wajah Nuraisha. Bagaimana harus dia meyakinkan Naura akan perasaannya pada Samsul? Dia memang tidak punya perasaan istimewa pada lelaki itu. Hatinya teramat kecewa dengan tuduhan melulu Naura itu. Hina sangat ke dia pada pandangan mata Naura?

Sebuah kereta Myvi putih memecut laju melimpasinya. Pemanduan kereta itu kelihatan tidak betul saja. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Nuraisha lihat kereta itu menuju ke arah Naura.


"Naura! Naura!" Nama Naura dipanggil berkali-kali namun tiada sahutan. Naura tiada respon mungkin kerana earphonenya disumbat ke telinga.


Risau akan keselamatan Naura, Nuraisha menerpa ke arah Naura dan menolak tubuh itu ke bahu jalan. Dan kereta Myvi tadi tidak sempat menekan brek lalu menabrak Nuraisha yang ternyata tidak sempat juga hendak menyelamatkan diri. Tubuh Nuraisha melayang ke tanah.


"Kak ngah!!!"

PANDANGAN mata Haikal memancar api lava ke arah Sufian. Dia tidak percayakan cerita yang dibawa lelaki itu. Tidak mungkin! Dia tidak bisa menerima kenyataan itu. Sufian didekati lalu kolar bajunya dipulas.


"Kau cakap sekali lagi! Mati kau aku kerjakan kalau kau tipu aku"


"Mati?" Sufian tersenyum hambar. Dia menentang pandangan Haikal dengan penuh keberanian.


"Aku dah lama mati sejak kebohongan ni aku bawak. Jadi kalau kau nak bunuh aku sekarang, aku dah tak kisah. Sekurang-kurangnya aku mati dalam ketenangan sebab aku tak perlu bawak kebohongan ni sampai ke liang lahad!"


"Kau memang sial! Kau memang tak guna! Kenapa??! Kenapa baru sekarang kau bagitau aku?!" Haikal menjerit. Fail-fail dan segala barang yang ada di atas meja dicampak ke lantai. Hatinya baran dan tidak tenang.

"Mia anak aku! Mia milik aku!" Berkali-kali Haikal meyakinkan itu. Meskipun segala cerita sudah terbongkar sebentar tadi, tetapi hatinya tetap tidak mampu untuk mempercayainya. Mia adalah anaknya! Darah dagingnya! Dari bayi lagi dia menjaga dan melindungi Mia. Masakan Mia bukan anaknya?! Takkk!!!

"Mia bukan anak kandung kau Haikal! Anak yang dikandung Hanis meninggal bersama Hanis masa korang kemalangan lima tahun yang lepas. Aku masih ada buktinya!''

"Diamlah bodoh! Mia anak aku! Mia anak aku dan Hanis! Kau yang tipu aku! Kau tak nak tengok aku bahagia sebab tu kau reka cerita"

Haikal menarik rambutnya sendiri. Matanya kemerahan dan penuh dengan dendam. Dia sesekali tidak akan mempercayai kenyataan itu. Kenyataan yang pasti adalah Mia anak kandungnya! Iya, Mia anak kandungnya! Benih cintanya dengan Hanis.

"Aku takkan tipu kau Kal. Aku nak kau sedar dari mimpi dan kau berhak tahu kebenarannya. Dan kalau kau nak tahu, nilah dosa yang masih aku bawak dan aku simpan sampai ke hari ni. Ya, aku manusia yang penuh dengan dosa. Sebab tu aku nak bertaubat. Aku tak nak mati dalam dosa. Aku takut azab Allah. Aku takut balasan jahat menimpa aku. Aku tak kisah apa pun yang akan kau buat pada aku. Yang penting, rahsia ni dah terbongkar. Dan hati aku kembali tenteram"

Haikal terduduk di atas lantai marmar pejabatnya itu. Dari amarah yang tak mampu dikawal, perasaan itu berubah menjadi tangisan. Teresak-esak dia menahan kesakitan yang satu itu. Rasanya lebih perit dari kehilangan Hanis dan Nuraisha.

"Haikal" Bahu Haikal disentuh. "Aku nak mintak maaf sebab rahsiakan benda ni dari kau. Tapi percayalah aku takde niat langsung. Aku tak sanggup nak bagitau kau yang anak kau dah takde masa tu sebab kau dah cukup terkilan dengan kepermegian Hanis. Aku sayangkan kau dan aku takut kalau kau jadi tak tentu arah. Jadi aku plan semua ni. Mia..."

Seketika, wajah pucat Nuraisha sewaktu melahirkan Mia terbayang di tubir mata. Dia tahu betapa seksa dan sakitnya Nuraisha menanggung penderitaan itu. Tetapi dia, sebagai orang yang tak bertanggungjawab dengan semudahnya memisahkan Mia dari ibu kandungnya. Ya Allah, tanpa sedar dia telah berdosa dengan banyak orang!

"Siapa mak kandung Mia?"

Soalan itu mematikan akal Sufian. Dia tidak mungkin berbohong lagi. Cukup sudah segala kebohongan yang dilakukan. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pengkal lengan!


"Aku tanya. Siapa mak kandung Mia?" jerkah Haikal. Emosinya benar-benar tidak stabil saat itu. Terlalu banyak yang berlaku dalam sekelip mata.

"Nur..."

Share this novel

Isabell Serinah Wwe Serinah
2021-08-02 00:03:53 

sambung. lagi plseeee

Cik Mafia
2021-07-30 20:43:24 

author nnti update banyak ii dan cepat ii taw

Cik Mafia
2021-07-30 20:43:23 

author nnti update banyak ii dan cepat ii taw


NovelPlus Premium

The best ads free experience