79

Other Completed 493332

"KAU rasa, kak ngah nak ke balik pada angah?" Naira bertanya kepada Naura yang sedang duduk termenung di hadapan kolam itu. Mia duduk di sebelahnya sambil sibuk dengan coklat Cadburynya itu.

"Entahlah Naira! Kita tak tahu kan hati seseorang tu macam mana" sahut Naura sambil mengeluh. Mulut Mia yang kotor dengan bekas coklat disapu dengan tisu. Kemudian, kepala Mia diusap perlahan. Semakin lama dia menatap wajah itu, semakin sayang hatinya pada Mia.

Dia dapat merasakan ikatan batin dalam dirinya terhadap Mia. Namun pada masa yang sama, dia keliru dengan perasaan itu.


"Aku harap sangatlah kak ngah tu sayang balik pada angah. Aku bukannya apa tau, kalau kak ngah balik ke vila ni, senyuman seisi vila ni akan kembali semula. Dan mama akan sentiasa sihat hendaknya" Naira menitipkan hasrat.

Sudah terlalu lama dia idamkan keriuhan dan kebahagiaan vila itu. Dan kali ini, dia akan berusaha menjadi yang terbaik buat keluarganya.

"Aku pun harap macam tu. Tapi itulah. Kita tak boleh nak berharap sangat. Kak ngah yang kita kenal sekarang, yang ada depan mata kita sekarang ,bukan kak ngah yang dulu tau? Kenangan pahit yang lampau dah ajar dia untuk jadi keras sekeras-kerasnya. Kau sendiri pun tahu"

"Aku pun tak faham kenapa dia benci sangat dengan angah kan? Yelah, aku fahamlah kalau kebencian tu berpunca dari angah jugak. Sebab angah dera dia, caci dia ,tapi setahu akulah kan. Kak ngah tu pemaaf orangnya. Kalau tak, dah lama dia laporkan benda ni ke pihak polis. Tapi ini tak. Dia diamkan diri je. Itu yang aku tak faham. Aku rasalahkan, ada benda yang buat dia sakit hati ni. Kalau tak, takdelah dendam tu dia bawak sampai sekarang"

Naura menyepi. Kata-kata Naira diakui dalam diam. Dia juga perasan itu semua. Bahkan terlalu banyak teka-teki yang belum terungkai sebenarnya. Dan untuk merungkai semuanya, memerlukan masa yang panjang. Dia harus mencari tahu segala-galanya. Tetapi dari mana dia harus bermula?

"Acik Cadbury, mama dan papa Han gaduh ke?" tanya Mia yang masih sibuk menikmati coklatnya. Dari tadi dia menguping perbualan mereka itu.

Naura dan Naira saling berpandangan. Kedua mereka tersenyum lebar.

"Tak sayang. Kenapa cakap macam tu?" Naira mengusap kepala Mia. Seperti Naura, dia turut merasakan ikatan batin terhadap anak kecil itu.

"Tahu tak, setiap malam Mia tengok mama nangis. Pastu mama mesti sebut nama papa Han" Mia membuka cerita sambil mengunyah sisa coklatnya.

Cerita yang dibawa Mia kali ini memeranjatkan kedua mereka. Pandangan mereka saling bersabung.

"Mia sayang. Cuba cakap kat Acik Cantik. Mama ada sebut apa-apa lagi tak?" tanya Naura pula.

Mia mula menyepi dan cuba mengingati sesuatu. Kemudian dia mengangguk kepala sambil tersengih.

"Mama sebut apa?" Giliran Naira pula memberi soalan.

"Mama mintak maaf pada papa Han"

Sekali lagi, pandangan si kembar bertaut.

"Kenapa mama cakap macam tu?" Naura menyoal.


Mia hanya menjongket bahu. "Betullah kan, mama dan papa Han gaduh? Sebab mama selalu mintak maaf pada papa Han sebelum tidur"

Naira tersenyum. "Mia sayang. Mia bijak kan? Mia baik kan?"

Mia hanya mengangguk.

"Kalau macam tu, Mia boleh tolong Acik Cantik dan Acik Cadbury tak?" pinta Naira lagi.

"Tolong apa?" tanya Mia.

"Tolong buat sesuatu supaya mama dan papa Han tak gaduh" sahut Naira.

"Buat macam mana?" tanya Mia lagi.

"Kau ni pun satu! Mia masih kecik lagilah! Mana dia nak faham hal-hal orang dewasa ni?"

Naira senyap. Otaknya ligat berfikir agar Mia memahami maksud hasratnya.

"Mia pernah tak tengok cerita Cinderella?"

"Pernah. Lepas ni ,kita tengok nak tak?" Wajah Mia beria-ria tampaknya. "Mia suka tengok cerita tu. Cinderella kawen dengan prince charming dia"

Naura dan Naira tergelak dengan celoteh Mia. Ada-ada saja budak ni!

"Okey, lepas ni kita tengok Cinderella. Tapi Mia kena tolong acik dulu" pinta Naira lagi.


"Tolong macam mana?"


"Mia tahu tak, dalam cerita Cinderella tu, ada orang jahat kan?"


Mia mengangguk.


"Dan orang jahat tu selalu kacau Cinderella. Dia tak suka Cinderella. Betul kan?"


"Aah. Lepas tu, ada sang peri tolong dia" sahut Mia dengan gelak tawanya. Penuh semangat pula dia bercerita.

"Haaa tahu pun. Jadi dia macam ni. Cinderella tu mama Mia. Prince charming tu papa Han. Dan Mia pulak, sang peri tu. Sebab sang peri tu baik macam Mia jugak"


Mia mengukir senyum. "Ohh Mia faham. Jadi Mia kena tolong mama dari orang jahatlah kan?"

Naura tersenyum. Bijak betul Mia ni!

"Haaaa tahu pun!" sahut Naira. "Jadi Mia kenalah tolong Acik Cadbury dan Acik Cantik satukan mama dan papa Han. Macam dalam cerita Cinderella tu"

"Waaaa... Mia sukalah! Mia janji, Mia tolong Acik Cantik dan Acik Cadbury"

"Tapi Mia tak boleh bagitau ni pada sesiapa pun. Termasuk pada mama" sampuk Naura setelah lama mendiamkan diri.

"Boleh?" tanya Naira pula.

Mia mengangguk laju.

Naira tersenyum. Pipi Mia dikucup penuh kasih sayang. "Ada masa tu kan, aku harap sangat yang Mia ni anak angah dan kak ngah. Sebab aku tahu, hanya Mia je yang mampu satukan diorang"

Naura tersenyum. Iya, dia juga berharap yang sama. Kerana nilai seorang anak itu lebih berharga dari apapun di muka bumi ini!

"Muka Mia ni pun ada iras-iras kak ngah kan? Kalau orang tak tahu, mesti orang ingat Mia ni anak kak ngah" Naira tergelak kecil. Dia juga seperti itu. Mula-mula dulu ingat si Mia ni anak Nuraisha, rupanya tak! Tetapi kalau betul anak Nuraisha, siapa pula ayahnya? Mia pun dah besar macam ni!

Omongan Naira menyentakkan Naura. Dia teringat akan sesuatu. Tampang Naira ditilik.


"Apasal?" soal Naira.

"Ada benda yang kau kena tahu. Ikut aku!"

USAI menyuap Farrhan makan, Nuraisha ingin segera berlalu namun tangannya ditarik rapat oleh lelaki itu. Nuraisha buntu dan terkebil-kebil. Wajah Farrhan ditatap dengan seribu pertanyaan.

'Sha, temankan saya. Saya tak puas tengok awak. Saya rindukan awak' Namun ungkapan itu hanya mampu didengari oleh batinnya.

"Encik nak apa-apa ke?" tanya Nuraisha.

Farrhan mengeluh dalam diam. Dia melihat sekeliling dan ternampak sekeping kertas dan sebatang pen. Dia menunjuk ke arah itu kepada Nuraisha.


Memahami apa yang diinginkan oleh Farrhan, laju saja langkah Nuraisha dihayun ke situ. Kemudian dia kembali semula ke sisi Farrhan dan menyerahkan barang tadi kepada Farrhan.

Walaupun pergerakannya agak terbatas, namun Farrhan kuatkan semangat untuk menggerakkan tangannya demi untuk meluahkan hasrat hati yang tak bisa diungkap dengan kata-kata. Setelah mengambil masa yang agak lama untuk menulis, kertas tersebut diserahkan kembali kepada Nuraisha.

"Jangan panggil saya encik lagi. Saya tak suka" Ayat itu dibaca oleh Nuraisha perlahan-lahan. Pandangannya kemudian bertaut ke raut wajah Farrhan yang sayu.


Bibir Nuraisha kelu. Dia benar-benar kehilangan kata-kata. Betul ke dia mintak semua ni?! Hampir saja dia tak percaya dengan permintaan itu kerana suatu masa dahulu Farrhan sendiri yang meminta untuk dipanggil begitu. Bahkan dia akan naik tangan jika Nuraisha enggan memanggilnya dengan gelaran itu. Kini Farrhan meminta sebaliknya pula. Apa sudah jadi?


"Okey, saya takkan panggil encik lagi"

Bibir Farrhan mengulum senyuman manis saat Nuraisha bersetuju dengan permintaannya.


"Saya nak ke dapur" pinta Nuraisha.

Baru saja hendak menjauh, lengannya pula menjadi sasaran Farrhan. Wajah Farrhan kembali dipandang.

"Saya ke dapur kejap je. Simpan barang ni semua. Lepas ni, saya temankan encik. Maksud saya, awak"

Nuraisha senyum. Dan melihat senyuman terukir di bibir Farrhan, hatinya tak henti-henti berdegup. Kalau difikirkan, itulah pertama kali dia melihat senyuman itu berlegar-legar di ruang wajahnya. Ya Allah ,indahnya!

BARU sahaja langkah kaki menaiki anak tangga, namanya diseru oleh seseorang. Nuraisha menoleh dan melihat lelaki itu tersenyum padanya. Dia memuntahkan keluhan berat. Perlahan-lahan, dia mengatur langkah mendekati Samsul.

"Abang nak jumpa Naura ke?"

"Tak. Abang nak jumpa Sha"


"Abang.. Tolonglah jangan buat macam ni. Sha...."


"Isteri Farrhan. Iya, abang tahu tu" cantas Samsul dengan senyuman hambar di wajah.


"Tapi Sha akan berpisah dengan Farrhan kan?" Kali ini, senyuman Samsul berubah lebar.

Nuraisha mencerlung matanya. Semudahnya Samsul berbicara seperti itu mengenai kehidupannya. Dia tiada hak di dalam hidup mereka.

"Abang takde hak nak cakap macam tu!" Radang Nuraisha.

"Habis tu? Sha nak terus hidup dengan lelaki tak guna macam tu? Sha dah lupa apa yang dia buat pada Sha dulu?"

"Please. Enough. Sha tak nak dengar apa-apa lagi. Abang baliklah dan jangan jumpa Sha lagi. Tolong hormat Sha"

Samsul merapati Nuraisha dan gadis itu pula semakin berundur ke belakang. Nuraisha benar-benar ketakutan melihat tingkah Samsul itu.


"Sam!" Naura menjerit dari atas. Perlakuannya tiba-tiba terhenti. Nuraisha menolak tubuh Samsul dan melarikan diri dari situ.

"Naura..." keluh Samsul perlahan namun penuh kebencian. Dia mendengus lantas melangkah keluar dari rumah itu.

"Sam, tunggu!" Naura mengejar dari belakang. Langkahnya terhenti saat Samsul turut terhenti.

"Ada apa awak ke sini?" tanya Naura, penuh lembut. Sudah lama mereka tidak bersua wajah dan dia menjadi perindu yang tegar. Tetapi orang yang dirindui pula buat tak tahu sahaja.

"Nak jumpa Aisha" Kali ini, Samsul tidak mahu menyembunyikan kebenaran lagi. Naura harus mengetahui perkara sebenar agar gadis itu berhenti mengejarnya. Dia mahukan Nuraisha, bukannya Naura!

Raut wajah Naura berubah kelat. Meskipun dia tahu Samsul tidak ada niat untuk ketemunya, namun dia tetap beranikan diri untuk bertanya. Dan iya, dia kecewa dengan jawapan itu!

"Saya tak nak berselindung lagi. Saya nak awak tahu yang saya sangat sayangkan Aisha. Saya dah lama jatuh cinta pada dia. So, stop chasing after me. Saya tak nak awak terus terluka dengan perasaan awak, Naura. Because you deserve someone better"

Bagaikan ditusuk pisau, hatinya terasa seperti disengat bisa lebah. Ya Allah, kuatkanlah hati aku!


"Tapi kak ngah isteri orang. Masih berstatus isteri orang"


"Ya. Saya tahu tu. Tapi dia jugak akan berpisah dengan Farrhan. Dan masa tu, saya akan lamar dia. Tak kiralah apa masa silam dia sekalipun, tapi saya tetap akan melamar dia. Lagipun dia takkan pernah bahagia dengan Farrhan!"


"Dan awak rasa dia akan terima awak? Kalaupun kak ngah terima awak, awak rasa dia akan bahagia dengan awak?"

"Awak takde hak nak menilai kebahagiaan seseorang!"

"Dan awak jugak takde hak nak tentukan dengan siapa kak ngah layak bahagia!" tempelak Naura pula. Dia sudah tidak hiraukan akan perasaannya pada Samsul. Tetapi dia tidak akan izinkan sesiapa pun menjadi orang ketiga di dalam hubungan Farrhan dan Nuraisha.

Samsul bungkam dengan kata-kata Naura. Betapa bijak gadis muda itu membidas kata-katanya.

"Sudahlah Naura! Tak kiralah apa pun yang awak cakap, semua tu takde makna untuk saya. Saya nak tanya awak. Awak tak serik ke mengejar sesuatu yang memang sah takkan jadi milik awak? Awak kejar saya tapi awak dah tahu hati saya milik siapa. Awak tak penat ke? Awak tak rasa awak perbodohkan diri awak sendiri?"

Setelah agak lama Naura menahan sebak ,kali ini dia tewas juga dengan sepotong ayat dari lelaki itu. Dia sedih dan kecewa kerana begitu sekali Samsul meladeninya. Kalau iyapun tak sukakan dia, tidak perlulah menyakiti hatinya sebegitu sekali.

Dia manusia yang punya hati dan perasaan. Memang dia bodoh selama ini kerana mengejar lelaki itu. Oleh kerana itu, dia akan berhenti. Berhenti memberi harapan pada hati dan berhenti menyiksa diri sendiri!

Dengan tenang, Naura mengelap air mata yang berguguran dan menghadap Samsul penuh keberanian.


"Apa bezanya kita?" tanya Naura penuh sinis.

Kening Samsul bertaut. Seribu persoalan diajukan buat Naura.

"Awak cakap, saya bodoh sebab kejar awak yang sah-sah tak sukakan saya. Awak cakap, saya masih tak serik mengejar awak. Tapi awak sendiri tak sedar yang awak buat benda yang sama. Awak mengejar kak ngah yang pastinya takkan berpaling dari angah saya. Awak ingat, dengan dosa yang angah dah buat dulu, angah akan jadi manusia yang paling hina? Iya, mungkin iya"

"Tapi manusia boleh berubah. Manusia boleh berubah jika Allah berkehendak. Awak ingat awak manusia yang tak pernah buat dosa? Sebab tu awak selalu ugut kak ngah untuk tinggalkan angah sebab dosa-dosa dia pada kak ngah?"

Naura pamer senyuman sinis.

"Sekarang, bila saya tengok awak. Saya yakin sangat-sangat yang hati awak lagi busuk dari dosa-dosa angah suatu masa dulu! Sebab orang yang hatinya busuk adalah orang yang takkan pernah senang tengok kebahagiaan orang lain!"


Samsul tersentak. Wajahnya berubah kelat dan murung. Selama ini, dia tidak pernah menyedari akan perkara itu. Kejamkah dia pada kehidupan seorang gadis bernama Nuraisha?

"Jangan kerana awak pernah akrab dengan kak ngah dan selalu jadi pelindung dia suatu masa dulu, awak dah rasa diri awak hebat. Kalau betul awak lelaki yang hebat, awak takkan ganggu kehidupan angah dan kak ngah saya"

"Dan walau apapun yang jadi dalam kehidupan mereka lepas ni ,biarlah Allah yang tentukan"


Naura berlalu meninggalkan Samsul yang kehilangan kata-kata di situ. Dia puas kerana dapat meluahkan segala yang terbuku dalam hati. Selepas ini, dia tidak akan mengejar Samsul lagi. Dia akan berhenti untuk memberi harapan pada hati dan fokus pada masa hadapan.

Yang paling penting adalah, Farrhan dan Nuraisha. Dia harus menyatukan mereka kembali kerana dia yakin dua hati itu masih saling menyintai.

PUAN SRI MARIAM menangis kegembiraan melihat kehadiran Nuraisha di situ. Berkali-kali dia mencium pipi itu. Rahmat Allah yang satu ini tidak mahu dipersiakan lagi. Dia ingin Nuraisha kekal sebagai menantunya.

"Anak mama" lirih Puan Sri Mariam.

Nuraisha mengangguk kepala sambil tersedu-sedan. Ya Allah, dia menyayangi wanita ini yang tak ubah seperti ibunya. Segala kasih sayang dicurahkan kepadanya.

"Jangan tinggalkan mama lagi" Tubuh Nuraisha didakap erat.


Air mata yang membasahi pipi semakin laju mengalir. Dia terlalu menyayangi wanita yang sudah dianggap sebagai ibu itu. Tambahan lagi setelah ingatannya kian pulih, dia semakin yakin di mana tempat dia berdiri. Namun sejujurnya, sejauh mana dia harus berundur? Dia sudah terlanjur membuat janji pada Haikal. Dan dia tidak mungkin akan memungkirinya. Tetapi masakan dia harus meninggalkan segala-galanya lebih-lebih lagi Farrhan? Ya Allah, dia benar-benar buntu!


"In Shaa Allah ma" sahut Nuraisha dengan suara seraknya. Pelukan dileraikan. Air mata yang bergenang di wajah Puan Sri Mariam diseka dengan hujung jari. Saat melihat wajah itu, dia teringat akan janji Farrhan suatu ketika dulu.


"Nanti saya akan kenalkan awak pada mama. Mama baik sangat. Dan saya yakin, dia akan sayangkan awak seperti mana saya sayangkan awak. Dan paling penting, mama akan layan dan jaga awak macam mana seorang ibu menjaga anak perempuannya"

Benar apa yang dikatakan Farrhan kepadanya suatu masa dahulu. Mama memang baik dan penyayang orangnya.

Namun janji itu hanya tinggal janji saat Farrhan meninggalkannya tanpa khabar berita dan tanpa sebarang jejak. Dia dibiarkan terkapai-kapai seorang diri menanggung segala perit kehidupan dan caci-maki masyarakat sekeliling.


"Farrhan... Dia... Sha tahu kan? Ada perkembangan positif yang berlaku pada dia"


"Iya mama. Sha tahu. Sha tahu tu. Dan Sha happy sangat-sangat" akui Nuraisha sejujurnya.

"Kalau happy, Sha tinggallah sini terus. Jangan tinggalkan mama atau Farrhan lagi"


Permintaan Puan Sri Mariam membuatkan Nuraisha terbungkam. Sebolehnya dia juga tak ingin meninggalkan Farrhan namun dia tidak boleh berpaling lagi.

"Mana Mia?" Pertanyaan Puan Sri Mariam menyentakkan Nuraisha lagi. Dahinya berkerut. Melihatkan kerutan pada dahi Nuraisha, bibir Puan Sri Mariam memekar dengan senyuman.


"Jangan terkejut sangat. Mama dah jumpa dengan Mia. Comel anak tu! Mama suka dia"


Nuraisha menarik nafas lega. Syukurlah, Mia pandai membawa diri di vila itu.


"Kejap lagi kita makan ya? Kak Siti ada siapkan makanan" kata Naira yang tiba-tiba muncul di antara mereka.


"Haa, yelah" sahut Puan Sri Mariam.

"JOMLAH mama!" Hujung baju Nuraisha ditarik oleh Mia. Dia memandang wajah Nuraisha yang sedang kebingungan itu.

"Kejap ye sayang?" ujar Nuraisha. Dia tidak tahu ke mana anak itu hendak membawanya. Yang pasti dan paling penting sekarang, dia ingin bercakap dengan Haikal dan bertanya khabar akan Fariq.


Tiada sahutan daripada pihak sana. Nombor Mek Som pula didail. Sama juga. Usahanya menemui jalan buntu. Nuraisha mula kebingungan. Kenapa semua orang tidak dapat dihubungi?

"Mama, jomlah!" Kali ini, Mia menarik tangan Nuraisha pula.

"Kenapa ni Mia? Kita nak ke mana?" tanya Nuraisha serentak pandangannya jatuh pada wajah comel itu.

"Kita temankan papalah! Kesian papa, tidur sorang-sorang" Mia cuba memujuk.Setelah melihat adegan Nuraisha didesak oleh Samsul siang tadi, dia mula rasa tak tenteram.


Kebetulan pula ketika itu dia, Naura dan Naira sedang melimpasi situ.Dan melihat ketegangan antara Samsul dan mamanya. Setelah Naura menemui Samsul, Mia sempat bertanya kepada Naira mengenai lelaki itu.

Dan Naira berkata, lelaki itu akan merebut Nuraisha dari papanya. Mendengarkan itu, Mia jadi tak suka. Dia tidak mahu mama dan papa Hannya bergaduh lagi.

Nuraisha terkesima dengan omongan Mia. Dia tersengih tiba-tiba.

"Kenapa pulak kita nak kena temankan papa tidur? Lagipun papa kan dah besar" Seboleh mungkin, Nuraisha cuba mengelak.

"Iyalah. Memanglah papa dah besar tapi papa kan masih tak boleh bergerak. Mama tak tengok ke macam mana papa tadi? Mama yang tolong mandikan papa"


Mia teringat peristiwa sebentar tadi. Nuraisha yang memandikan Farrhan. Dia hanya tersengih-sengih melihat gelagat mama dan papa Hannya.


Wajah Nuraisha kemerahan. Masih terbayang di matanya akan kulit cerah dan dada bidang milik Farrhan itu. Keduanya seolah tampak malu-malu sahaja. Erghhh! Apa ni?!


"Bolehlah mama. Kita temankan papa tidur ye?" rayu Mia lagi. Kali ini, disertakan dengan wajah comelnya.

Mahu tak mahu, Nuraisha terpaksa mengalah dengan rayuan itu. Dia tahu Mia takkan berputus asa untuk terus merayunya.


"Yeayyyyy" Mia bersorak gembira tatkala Nuraisha mengangguk kepala. Tangan Nuraisha segera ditarik sehingga sampai di hadapan kamar Farrhan.


"Mia. Tunggulah kejap!" Tak menyempat, Mia sudah meluru masuk ke dalam kamar tidur itu sambil tersenyum. Genggaman Nuraisha masih setia dalam tangannya.

Farrhan yang sedang fokus membaca buku tersentak dengan kehadiran mereka. Dia tersenyum tanpa sedar melihat kemunculan Nuraisha itu.

"Mia..." Nuraisha berjeda. Pipinya kemerahan saat ditenung oleh Farrhan. Tenungan itulah yang sentiasa diberikan Farrhan kepadanya suatu masa dulu. Arghhh! Kenangan itu!!

"Saya tak nak kacau awak malam-malam ni. Tapi Mia ajak saya...." Nuraisha menelan liur. Terasa tersekat pula suaranya di tekak.

"Mia dan mama nak tidur sini. Temankan papa. Boleh kan?" Mia pantas menyampuk. Dia sudah pun duduk di atas dada lelaki itu.

"Mia! Kenapa duduk situ? Nanti papa sakit" cegah Nuraisha dengan wajah penuh kerisauan.

Farrhan hanya tersenyum. Hatinya ternyata bahagia dengan kehadiran kedua wanita itu. Dahi Mia dikucup penuh kasih sayang. Kemudian, dia mengangguk kepala dengan pertanyaan Mia tadi.

"Haaa.. tengok tu mama. Papa happy sebab kita temankan dia tidur" Mia tidak hiraukan kata-kata Nuraisha.

"Mia! Mama cakap apa tadi? Jangan duduk kat situ" Nuraisha sudah tercegat di hadapan mereka. Dia ingin menarik tangan Mia namun anak kecil itu terlebih dahulu mengelak. Natijahnya, Nuraisha terjatuh di atas dada Farrhan.

Wajah Nuraisha membahang. Jantungnya bagai hendak meletup sahaja. Apatah lagi dia juga dapat mendengar degupan laju dari jantung lelaki itu. Masa seakan terhenti. Tubuh keduanya semakin kaku.

Kenangan lalu seakan berputar kembali. Baik Nuraisha mahupun Farrhan, keduanya membisu dengan keadaan mereka.

"Awak adalah orang yang paling penting dalam hidup saya"

Kata-kata itu pernah diungkapkan oleh Nuraisha suatu masa dulu. Dan sehingga kini, Farrhan masih dapat merasakan kehangatan itu seperti beberapa tahun yang lalu.

Tawa kecil dari Mia mengembalikan keduanya ke alam nyata. Nuraisha cepat-cepat bangun dari posisinya dan sekejap sahaja dia dapat menangkap Mia yang tidak jauh darinya.

"Kenapa buat hal ni?" rungut Nuraisha. Dia sudah menghenyak punggung di hadapan Farrhan. Mia pula diribanya.

"Mia buat apa?" tanya Mia, pura-pura tidak tahu.

Pertanyaan Mia mengundang kebisuan di bibir mungil itu. Arghhh! Mia terlalu bijak mengenakannya!

"Takde apa-apa" sangkal Nuraisha. Enggan hendak memanjangkan isu itu. Risau debaran di hati kian menyambung.

Mia mendapat satu akal. Dia tersengih kemudian memandang wajah Farrhan yang tak berkelip memandang mamanya.


"Macam tak adilkan?" Mia memulakan rancangannya.

"Apa yang tak adil?" soal Nuraisha. Anak matanya jatuh pada wajah comel itu.

"Yelah. Tadi papa kiss Mia. Tapi tak kiss mama pun "

Nuraisha mencerlung anak matanya. Apa kena dengan Mia ni?!

"Papa kenalah kiss mama jugak. Goodnight kiss!" Mia tersenyum kepada Farrhan.

Meskipun wajah Farrhan membahang ,namun dia senang hati dengan rancangan Mia. Anak itu seolah mengerti kata hatinya.

"Cepatlah mama!" gesa Mia lagi.

"Haaaa?" Nuraisha mula kelam-kabut. "Cepat apa?"

"Bagi papa kiss mama"

Wajah Nuraisha kemerahan lagi.

"Mia ni ada-ada jelah! Cepat tidur! Dah lewat malam ni" Nuraisha menggumam kegeraman. Eeee sejak bilalah Mia pandai berfikiran begitu?? Secara tiba-tiba pulak tu!

"Mia tak nak tidur kalau mama tak bagi papa kiss" Mia mengugut dengan muncung sedepanya. Farrhan menyembunyikan senyuman.

Keluhan panjang dimuntahkan. Sudahlah debaran tadi tak lagi menghilang, kini Mia pulak mintak yang bukan-bukan! Nuraisha mengetap bibir.

"Mama tak nak papa bagi kiss ke? Kalau macam tu, Mia tak nak tidur" ugut Mia lagi.

Nuraisha mengeluh lagi. Mia ni kan....!! Aishhhh! "Yelah-yelah! Nak kiss kat mana?"

Senyuman kemenangan terukir di wajah Mia. Dia berdiri di antara Nuraisha dan Farrhan.

"Papa kiss dahi mama. Lepas tu, mama pulak kiss pipi papa" Mia mengatur segalanya.

"Ehh? Macam tu ke?" Nuraisha mula menolak kerana agak malu untuk bermanja seperti itu. Maklum sajalah, sejak dia bergelar isteri Farrhan, mereka tidak pernah bermanjaan seperti itu. Walaupun Farrhan masih lagi suaminya ,tetapi keadaan itu seolah-olah menjarakkan mereka sehingga dia merasakan Farrhan itu bagaikan orang asing saja dalam hidupnya.

"Yelah. Cepatlah mama! Mia nak tidur ni" gesa Mia lagi.

"Yelah-yelah!" Nuraisha memberikan dahinya kepada lelaki itu dengan mata terpejam. Melihat akan reaksi Nuraisha, bibir Farrhan mengukir senyuman. Lucu ada juga rasanya! Namun dia bahagia kerana masih bisa memperlakukan Nuraisha layaknya seorang isteri.

Perlahan-lahan, bibir itu menyentuh lembut dahi Nuraisha. Ada mutiara jernih yang kian memecah dan dia biarkan saja ianya mengalir keluar. Pertama kali dia merasakan kebahagiaan yang tak digapai sebelum ini. Dan kebahagiaan itu datang dari seorang wanita yang bernama Nuraisha.

Saat Farrhan melabuhkan bibirnya di dahi itu, Nuraisha kelu dengan seribu kata-kata. Bahagia apa yang menyelinap dalam hati sehingga dia enggan melepaskan saat-saat itu pergi. Dan seperti Farrhan, dia juga menitiskan air mata untuk kesekian kalinya.

Mia mengundur perlahan-lahan ke birai katil. Dia tersenyum bangga kerana dapat menyatukan mama dan papanya malam itu. Yess, Mia memang sang peri yang baik hati!

Hanyut dek perasaan bahagia, Nuraisha membuka mata lantas mengucup dahi lelaki itu. Kemudian, dia mensasarkan pipi kanan Farrhan pula. Tatkala hendak mengucup pipi kiri Farrhan, lelaki itu pantas berpaling lalu menyatukan kedua bibir mereka.

Tersentak Nuraisha dengan aksi spontan itu. Dia ingin mengelak namun kucupan Farrhan terlalu mengasyikkannya. Penyudahnya, kedua mereka hanyut dalam perasaan masing-masing.

Mia yang secara tak sengaja melihat aksi itu lantas menutup mata dengan kedua telapak tangannya. Namun bibirnya tetap dengan senyuman indah. Seindah perasaan kedua insan di hadapannya itu.

done :) selamat membaca dan selamat memenuhkan ruang komen ^^

Share this novel

Amirul Shafiqah
2021-08-10 19:45:10 

pless updateeee

Asmah
2021-08-09 13:29:53 

anak yg bijak dan baik


NovelPlus Premium

The best ads free experience