2

Other Completed 493332

"AKU bosan betullah hidup macam ni!" rungut Farrhan sambil memusingkan kerusinya ke kiri dan ke kanan. Setelah puas dileteri oleh Tan Sri Firman sebentar tadi, dia terus membawa diri ke bilik Razlan, satu-satunya sahabat sehati sejiwanya!

Mengekek Razlan dibuatnya. "Bosan kenapa pulak? Bukan ke hidup kau yang paling menyeronokkan? Berhibur dari pagi sampai ke petang! Perempuan sana sini. Drive pulak Porshe, limited edition pulak tu. Apa lagi yang kurang?"

Razlan membayangkan kehidupan sahabatnya itu. Bagi dia, Farrhan cukup beruntung kerana kehidupannya serba kemewahan. Apa lagi yang tidak cukup? Jika hendak dibandingkan dengan dirinya, jauh panggang dari api! Hanya mampu menumpang kemewahan dari sahabatnya itu saja!
Farrhan berdecit. "Kau tak tahu masalah aku! Haihh! Dekat rumah, aku kena hadap si Firash tu! Dekat sini, nak kena dengar ceramah free dari papa aku! Hishh, bosan tau tak?!"

"Laa, ni pasal Firashlah ni kan?" duga Razlan. Dia tahu persis, sedalam mana kebencian Farrhan pada saudara tirinya itu.

"Siapa lagi kalau bukan dia?!"

"Apa dia buat kali ni?"

"Papa aku tu nak serahkan company ni pada dia kalau aku tak ubah perangai aku ni!"

Sekali lagi, Razlan mengekek. Namun kali ini, agak lantang.

"Hoii!" Farrhan menikam sebatang pen ke arah Razlan. Geram hatinya dengan gelagat Razlan itu. "Apasal kau gelak? Aku takde mood ni tau tak?! Kau jangan nak tambahkan lagi moody aku!"

"Okey. Releks bro! Betullah apa papa kau cakap. Selagi kau tak ubah perangai kau tu, selagi tu lah papa kau tak percayakan kau. Kalau aku jadi papa kau, aku pun akan buat benda yang sama"

Kening Farrhan yang tebal itu bertaut. "Kau sebelahkan papa aku ke?"

"Taklah! Aku cakap benda yang betul je. Tapi kalau kau nakkan kepercayaan papa kau, kau mesti kenakan Firash"

Wajah sinikal Razlan dijamah. "Maksud kau?"

"Haaa.." Razlan sudah tersengih. "Pasal Firash, kau tak payah risau! Aku boleh uruskan. Yang penting, kau ikut je cakap aku!"

PERLAHAN-LAHAN, anak kecil itu mendekati bucu katil sambil memeluk teddy bearnya. Dilihatnya Haikal sedang nyenyak tidur di situ. Dia memanjat katil lalu duduk di sisi papanya. Dimain-mainkan hidung mancung Haikal dengan jarinya. Merengek juga Haikal dibuatnya. Matanya tercelik memandang si anak kesayangan. Satu-satunya harta peninggalan arwah Hanis kepadanya! Mia Hanisah, nama diberi sempena nama arwah Hanis.

"Anak papa ni.. sini" Dia mendepakan tangan, memberi isyarat minta dipeluk.

Mia enggan bergerak. "Papa bau! Pergilah mandi"

Kata-kata Mia mengundang tawa Haikal. Ditarik Mia rapat ke sisi. "Mana ada papa bau! Wangi lagi ni tau?" Pipi Mia dicium bertalu-talu. Betapa kasihnya dia pada anak perempuannya itu. Walaupun usia Mia baru menjengah ke angka empat, namun Mia sangat bijak orangnya. Dia juga petah dan lancar berkata-kata.

"Tak baik menipu tau? Allah tak suka!" sahut Mia lagi.
"Bijak betul anak papa ni! Okey, come. Papa nak mandi ni. Mia tunggu papa kat bawah tau?"

"Okey papa" Mia berganjak memberi laluan pada Haikal.

"Mana Mek Som?" tanya Haikal. Mek Som adalah pengasuh kepada Mia. Itupun untuk sementara saja. Menurut Mek Som, dia akan kembali ke Kelantan tidak lama lagi atas permintaan anaknya. Oleh itu, dia terpaksa mencari pengasuh baru bagi menjaga Mia kerana kekangan masa kadangkala membuatkan dia alpa mengenai kebajikan Mia.

"Ada kat bawah. Mek Som dah masakkan bubur durian untuk papa dan Mia. Tapi Mia tak nak makan dulu"

"Laaa kenapa pulak?" tanya Haikal lagi. Dia sudah siap mengenakan tuala. Menunggu masa untuk mandi saja.

"Sebab Mia nak tunggu papalah! Mia tak selera makan kalau takde papa"

Jawapan selamba Mia mengundang tawa Haikal. Terhibur benar hatinya dengan telatah si kecil itu.

"Okey, kalau macam tu. Papa nak mandi dulu. Nanti lepas papa dah mandi, dah wangi, kita makan sama-sama okey?"

Mia mengangguk laju.

KESEMUA barangan yang dibeli oleh Nuraisha dicampakkan ke lantai dengan perasaan yang membuak amarah. Setelah Nuraisha dihantar pulang oleh Samsul sebentar tadi, hatinya terlalu sakit sehingga tidak mampu dikawal lagi. Dia benar-benar hendak 'mengerjakan' Nuraisha kali ini. Apatah lagi setelah memikirkan aduan Nuraisha terhadap dirinya. Pasti Samsul menganggapnya sebagai orang jahat selepas ini.

"Dira..apa yang kau buat ni? Dahlah.."

"Kau diamlah! Aku tak puas hati dengan kau ni" Rambut ikal Nuraisha ditarik. Teraduh Nuraisha menahan kesakitan.

"A..apa yang aku buat?"

"Heyy perempuan! Kau jangan nak buat tak tahulah! Kau tahu kan, aku suka abang Samsul. Yang kau mesra sangat dengan dia dah kenapa? Kau nak rampas dia dari aku ke haa?"

"Tak.. takde.. Aku dengan abang Samsul takde apa-apa. Aku tak pernah sukakan abang Samsul. Aku anggap dia macam abang aku sendiri" Teresak-esak Nuraisha mempertahankan dirinya. Adira pula semakin kuat menarik rambutnya.

"Kau jangan nak tipu akulah!" Tubuh Nuraisha ditolak ke lantai. Terdorong tubuh kecil itu. Baru saja Nuraisha hendak bangkit, Adira dengan pantas memijak tangan kanannya. Nuraisha menjerit kesakitan.

"Sakit Dira! Sakitt!" Nuraisha mengadu dalam kesakitan.

"Ni apa bising-bising ni?" Maksu Dara terjengul di hadapan pintu dapur. Melihatkan adegan itu, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Dia sudah bercekak pinggang di hadapan kedua mereka.

"Budak bodoh nilah mak! Dia menggatal dengan abang Samsul! Tak sedar diri! Tak tahu malu!"

"Ohh, kau dah pandai menggatal sekarang ni ye? Dah pandai cari lelaki ye?" Maksu Dara sudah menyinsing baju sehingga ke paras lengan. "Apa kau ingat aku ni dah mati haa? Dah tak wujud kat dunia ni lagi? Sampai kau nak conteng arang ke muka aku?" Dagu Nuraisha dipaut. Melihatkan saja tampang itu, dia terbayang-bayangkan wajah arwah Norhayati. Perasaan benci semakin meluap-luap dalam dirinya.

"Maksu, Sha tak buat semua tu. Sumpah Maksu! Sumpah! Sha tak buat semua tu!"

"Kau jangan nak tipulah! Aku nampak kau menepel je dengan abang Samsul. Tak sedar diri! Kau tahu tak, kau tu cuma menumpang je kat rumah ni. Jangan sampai mak aku halau kau dari rumah ni, baru padan dengan muka kau!" Rambut Nuraisha semakin kemas ditarik, sedang tangannya dipijak-pijak.

Nuraisha sudah menangis menahan kesakitan. Ngilu rasa hatinya diladeni sebegitu buruk oleh saudara sedarah. Dia merayu-rayu minta dikasihani namun hanya celaan demi celaan yang diberi.

"Dira, aku tak buat semua tu! Aku tak buat apa-apa dengan abang Samsul. Dia cuma hantar aku balik" Nuraisha membela diri.

"Mak, orang suka kat abang Samsul. Tapi perempuan ni pulak buat hal. Orang bencilah mak! Dia nak rampas abang Samsul dari orang!" Adira mula mengapi-apikan Maksu Dara. Senang benar hatinya melihat Nuraisha diseksa.

"Tak maksu. Sumpah, Sha tak suka kat abang Samsul. Dia dah macam abang Sha sendiri. Sha takkan rampas Dira dari abang Samsul"

"Mak jangan percayakan dia! Mak tengoklah nanti. Kalau dia rampas abang Samsul, Adira bunuh diri!"

Nuraisha menatap wajah Adira. Dia hairan dengan sikap gadis itu. Kenapa selalu sangat mencari kesalahan dirinya? Dia tidak punya niat jahat terhadap Adira atau sesiapa pun. Namun kenapa Adira begitu membencinya?

"Kenapa kau tengok anak aku macam tu?" Giliran Maksu Dara pula menarik rambut Nuraisha. Wajahnya menyeringa dengan sirih yang masih dikunyah. Dia bencikan wajah polos dan ayu Nuraisha. Saling tak tumpah dengan arwah Norhayati!

"Dia jeling orang mak!" Adira menghasut lagi. Sengaja membuatkan kemarahan Maksu Dara meletus.

"Tak maksu!" Nuraisha menggeleng kepala.

"Sini kau! Aku kerjakan kau cukup-cukup!" Tubuh Nuraisha ditarik sehingga ke dalam bilik. Terdengar jeritan dan rayuan dari bibir itu. Nuraisha mengelak dari terus dipukul oleh Maksu Dara. Namun kekuatannya hanya bersisa sedikit.

Adira di luar bilik tersenyum sinis sambil memeluk tubuh. Padan muka kau Aisha! Kau ingat kau boleh selamat ke?!

"SAMPAI bila nak hidup macam ni? Kamu tak pernah terfikir ke nak cari pengganti arwah? Takkan nak biarkan Mia tak beremak?"

Sedikit demi sedikit nasihat berbaur sindiran Mek Som melekap pada cuping telinga Haikal. Seperti biasa, dia buat tak tahu saja setiap kali hal itu diutarakan oleh Mek Som. Bukan dia tidak mahu mencari pengganti, namun saat ini hatinya benar-benar sudah mati pada cinta. Baginya tiada yang seikhlas dan sebaik arwah Hanis.

"Tengoklah nanti Mek Som" Itu sahaja jawapannya setiap kali Mek Som memulakan soal-siasatnya. Roti bakar dan bubur durian yang dihidangkan di atas meja tidak langsung terusik.

Dikerling sejenak ke arah Mia yang sedang asyik menikmati bubur duriannya. Apabila melihat Mia, hatinya tenang. Tenteram saja pada posisinya. Wajah itu seolah-olah memberi semacam ubat penenang pada setiap permasalahannya.

Mengeluh juga Mek Som dengan jawapan Haikal. Dia tidak boleh terus tutup mata. Sudah acapkali dia bersubahat dengan dosa-dosa yang Haikal lakukan. Sudah berapa banyak perempuan yang menetap di biliknya itu. Rumahnya pula tak ubah seperti hotel. Jika dia terus duduk diam tanpa berbuat apa-apa, dia sudah dianggap bersubahat dan turut sama menanggung dosa. Jika Haikal tidak mahu menerima nasihatnya, tiada apa yang bisa dilakukannya lagi. Setidak-tidaknya, dia sudah berusaha dengan memberikan nasihat.

"Kamu tak kesian ke dengan Mia? Masa ni memanglah dia tak tahu apa-apa. Belum mengerti banyak benda. Tapi bila dia dah makin besar, dia akan cari jugak kasih sayang seorang ibu. Masa tu, macam mana kamu nak fahamkan dia? Lagi-lagi kalau dia tengok perempuan-perempuan yang kamu bawak tu. Tak ke kamu rasa malu kalau Mia tanya kamu macam-macam?"

Terdiam Haikal mendengar omongan Mek Som. Dia tahu dengan kekhilafan tersebut. Bahkan, dia sangat arif tentang dosa dan pahala. Namun hatinya benar-benar sunyi. Tetapi dia masih dibayangi lagi peristiwa kehilangan Hanis. Oleh itu, baginya perkahwinan hanya akan berlaku sekali saja dalam hidupnya. Kalau dia bosan atau sunyi, dia akan membayar sejumlah wang kepada perempuan yang sudi untuk menemaninya. Titik! Dia tidak perlu berkahwin. Cukup untuk berhibur saja. End of the story. Tapi Mia pula bagaimana? Benar juga kata-kata Mek Som. Sedikit sebanyak sikapnya pasti akan mempengaruhi hidup Mia nanti. Dia seorang ayah yang penyayang tetapi di luar kotak hidupnya, dia adalah seorang lelaki yang kerap kali mengecewakan banyak hati di luar sana! Dan pastinya, suatu saat nanti dia juga akan melukakan hati wanita yang paling disayanginya. Mia Hanisah!

"Mek Som nasihatkan kamu ni sebagai seorang ibu. Mek Som yang banyak habiskan masa dengan Mia. Jadi Mek Som tahu Mia tu macam mana. Kalau kamu boleh selam lagi hati dia dalam-dalam, Mek Som yakin kamu akan berhenti dari buat semua ni"

Haikal masih seperti tadi. Mengiyakan tidak, menidakkan juga bukan. Kata-kata Mek Som seperti mampu digerudi oleh akal fikirannya. Lama dia berfikir dan menimbang-tara keputusannya. Persoalannya, adakah dia mampu menolak segala bayang-bayang kehilangan insan yang paling disayanginya kelak?

"SHE'S gone..." Terhuyung-hayang Farrhan berjalan sambil cuba menyeimbangi tubuh badannya sendiri. Dalam kepayahan itu, laju saja bibirnya bernyanyi-nyanyi. Bau arak dan rokok begitu kuat sekali bersatu dalam badannya.

Tombol pintu dipusing berkali-kali. Berkunci! Dia tidak berhasil membuka pintu. Kemudian, dia tergelak dengan kebodohan sendiri. Baru dia teringat akan loceng di tepi pintu. Segera digapai loceng tersebut. Berkali-kali dia menekan loceng namun tiada siapa pun tampil membuka pintu untuknya.

"Bukaklah hoii!! Takkan dah tidur mati semua manusia dalam rumah ni?!" sergah Farrhan, lantang. Matanya kuyu dan layu.

"Hoii, bukaklah pintu ni! Pekak ke apa haa?" Farrhan terjerit-jerit kegeraman. Dada pintu diketuk berkali-kali. Namun segala usahanya sia-sia saja.

Dia tidak dapat menahan kantuk lantas terduduk di atas lantai. Badannya disandarkan ke dada pintu. Tidak lama kemudian, matanya terus saja terlelap di situ.

Tan Sri Firman hanya berdiri di sisi tangga. Jam di dinding dikerling. Sudah pukul 3 pagi! Selewat ini Farrhan 'menyiapkan' kerjanya? Dia memang sengaja tidak membuka pintu untuk Farrhan kerana ingin menghukum anaknya itu. Agaknya, dia terlalu memanjakan Farrhan sehingga sikapnya sudah tidak mampu ditegur lagi.

Sesungguhnya, Tan Sri Firman benar-benar diburu kekesalan yang bukan sedikit. Dia kecewa dengan sikap dirinya yang tidak pandai mendidik anak. Firash dan Farrhan dibesarkan bersama-sama meskipun beza mereka cumalah empat tahun saja. Tiada apa yang kurang dalam setiap layanan yang diberikan. Namun mengapa Farrhan jauh tersasar? Sedangkan Firash cukup elok acuannya?

Farrhan selalu mengadu. Kononnya, dia seringkali melebihkan Firash dalam segala hal. Kasih sayangnya sering kali diragui oleh Farrhan. Namun dia tidak pernah bersikap begitu terhadap mereka berdua. Segala kasih sayang dan harta benda dibahagi sama rata untuk keduanya. Bahkan Firash sendiri selalu mengalah dengan Farrhan.

Apa yang harus dilakukan bagi memperbetulkan jalan Farrhan?

LANGSIR jendela dikuak sehingga memancarkan sinaran mentari dari arah luar. Selimut yang membaluti tubuh sasa itu ditarik kasar. Seketika dia mengucap panjang. Sudah jam 10 pagi namun seketul Farrhan itu masih lena diulit mimpi.

"Farrhan! Bangun!" teriak Puan Sri Mariam sambil bercekak pinggang. Bibirnya diketap. Pagi ini saja, dia sempat bertegang urat dengan suaminya mengenai anak bujangnya itu. Tan Sri Firman menuduh dia tidak pandai menjaga anak. Sedangkan segala usaha sudah dicurahkan ke atas anak keemasannya itu. Entah kurang apa lagi pada didikan mereka selama ini.

Farrhan menggeliat. Selimut ditarik semula. Pancaran matahari yang mula memasuki ruangan biliknya cukup mengganggu lenanya.

"Farrhan Zamani! Mama cakap bangun, bangun!" Suara Puan Sri Mariam kedengaran keras. Hishh, susah betul anak sorang ni!

"Apa ni ma?" Farrhan bingkas seraya menggeliat malas. Dia menguap-nguap lantas memandang Puan Sri Mariam.

"Apa kamu cakap? Tahu tak dah pukul berapa ni?"

Mata Farrhan terarah ke dada dinding konkrit itu. Dia menggaru belakang tengkuknya. "Pukul 10.06 minit. Mama ni, tengok jam pun suruh Han jugak ke?"

Mencerlung tajam mata Puan Sri Mariam melihat gelagat anak bujangnya itu. Geram bercampur sakit hati pula!

"Mama suruh Han tengok jam sebab nak Han tahu jam pukul berapa. Dah pukul 10 kan? Nak tidur sampai matahari terpacak atas kepala ke?"

"Mama ni asyik nak membebel je! Han penatlah ma"

"Penat mabuk kan?"

Segar saja mata Farrhan saat diterjah sebegitu oleh Puan Sri Mariam. Nampak gayanya dia sudah kantoi dengan mama!

"Mama tak fahamlah dengan Farrhan ni! Kenapa semakin hari semakin degil sangat? Papa cakap tak dengar. Mama cakap pun tak dengar! Nak dengar cakap siapa lagi Farrhan ni haa?"

Berkerutu wajah Farrhan menerima das demi das tembakan daripada mamanya. Semalam dia teruk dimarahi papa. Hari ini, giliran mama pula yang mengambil port! Dia benar-benar stress!

"Han pergi mana? Cuba cakap dengan mama. Tak boleh ke Han duduk je kat rumah macam Firash?"

Haaa, ni yang dia tak suka ni! Kalau sudah membabitkan si Firash itu, memang dia naik hantu! Kenapa acapkali membandingkan dirinya dengan Firash?

"Yelah ma, Han ni tak baik. Semua jahat pulang ke Han kan? Firash tu, semua baik! Orang pandang dia macam malaikat" Nada suaranya kedengaran merajuk. Mendatar saja bunyinya.

"Mama tak pernah bandingkan anak-anak mama. Walaupun Firash tu anak tiri, tapi mama sayang dua-dua sama rata. Mama nak Han ikut perangai baik Firash. Dengar cakap mama, cakap papa. Kalau Han nak berhibur sekalipun, mama dan papa takkan halang. Tapi tak payahlah sampai mabuk. Balik pulak lewat malam. Mama risau tahu tak?" Puan Sri Mariam sudah duduk di sisi Farrhan. Sejahat apa pun Farrhan, dia tahu ada sisi baik pada anak itu.

Farrhan terdiam. Sayu pula hatinya mendengar kata-kata yang lembut dari mamanya. Dia agak rapat dengan mama, mungkin kerana mama lebih memahaminya. Sedangkan papa setiap saat mencari kesalahannya dan melebihkan Firash.

"Han mintak maaf ma. Han janji, Han takkan mabuk lagi lepas ni" Tangan Puan Sri Mariam digapai lalu dikucup perlahan.

"Maaf kalau selalu kecewakan mama"

Puan Sri Mariam mengangguk dengan senyuman terukir di wajah.

"KAU nak ke pejabat ke?" tegur Firash saat berpampasan dengan Farrhan di tingkat atas.

"Hmmm" sahut Farhan sambil berpura-pura mengancin butang kemejanya. Meluat pula harus berhadapan dengan wajah itu.

"Aku ni bukan macam kau. Boleh masuk dan keluar sesuka hati je. Mintak cuti ikut sedap kau je. Aku ni kuli, kau tu bos" sindir Farrhan dengan mimik wajah menyampah.

Dahi Firash berkerut. "Apasal kau cakap macam tu?"

"Dahlah Firash. Kau tak payah nak tunjuk baik kau kat aku. Aku tak termakan pun. Aku nak ingatkan kau satu benda. Walau apa pun yang jadi, aku takkan benarkan kau rampas Legacy Holdings dari tangan aku. Kau tak layak sebab kau tu anak tiri. Entah-entah anak gampang!"

Firash menggenggam penumbuk. Jika bukan kerana papa, pasti sudah lama wajah Farrhan itu dikerjakannya. Dia masih bertahan di situ kerana Tan Sri Firman sahaja. Jika tidak, sudah lama dia kabur dari situ.

"So, jangan nak berlagak sangat!" sambung Farrhan lagi seraya mengatur langkah ke tingkat bawah. Puas hatinya dapat menyakiti hati Firash.

"ALONG tak ke office ke?" Teguran Naura hanya dijawab dengan senyuman. Punggung dihenyak berhadapan dengan adik tirinya itu. Selain Farrhan, dia juga mempunyai dua orang lagi saudara tiri. Naura Saffiya dan Naira Saziana, kembar perempuan. Sikap mereka juga sungguh berlainan. Naura ini agak lembut dan manis orangnya. Berbeza dengan Naira, yang lebih memilih untuk mengikuti jejak dan sikap Farrhan.

"Along cuti. Semalam baru balik dari Singapore, ada meeting kat sana" Matanya menatap sajian di atas meja. Ada sisa mihun goreng dan ayam goreng berempah.

"Ohh" Naura membulatkan mulut. "Along dah makan ke?"

"Tadi breakfast. Sekarang dah pukul 10.45 minit. Perut masih kenyang lagi" Tersungging senyuman manis di wajahnya untuk si adik tiri. Dia agak rapat dengan Naura kerana perwatakan mereka hampir sama.

"Naura lewat bangunlah long. Penat sangat, semalam ada birthday party kat rumah Eliza. Tu yang balik lewat malam"

"Seronok sangat ea berparti?" usik Firash lalu mencapai seketul ayam goreng. Dicarik-carik isinya lalu dimasukkan ke dalam mulut.

"Ke ada Elias kat sana?" Firash tersengih. Tiba-tiba teringat pada Elias, abang Eliza. Dia tahu akan perasaan Naura pada Elias. Namun Naura masih berkias dan tidak mahu mengaku.

"Alonggg!!"Wajah Naura sudah memerah. Kantoi!

Firash mengekek. "Apasal? Betul kan? Macamlah along tak tahu"

"Pandailah along ni! Mana ada Naura sukakan Elias"

"Along tak cakap pun Naura suka kat Elias. Along cuma tanya, Elias ada kat situ atau tak" Firash semakin galak mengusik. "Kan dah kantoi! Baik ngaku sebelum along korek rahsia lebih dalam lagi!"

Naura mengunci bibir. Dia tahu dia tidak boleh melarikan diri lagi. Rahsia hatinya berjaya ditebak oleh Firash.

"You ni banyak janji. Tapi semua tak boleh pakai!" Rungutan Naira yang tiba-tiba muncul dari halaman rumah menyentakkan Naura dan Firash. Mereka menoleh ke arah Naira.

"Ahh, I tak nak dengar apa-apa lagi! Kalau you mungkir janji, you tahulah nasib you!" Panggilan dimatikan. Hentak kakinya sengaja dibuat-buat seiring dengan kemarahan yang berbuku di dalam hati.

Apabila menyedari gelagatnya diperhatikan oleh Naura dan Firash, matanya menjeling tajam. "Apa?! Nak menyibuklah tu!" Sejurus kemudian, dia tergesa-gesa menaiki anak tangga menuju ke biliknya.

"Selalu je Naira tu balik pagi. Kadang tak sempat langsung nak bersemuka dengan dia" adu Firash. Sedikit kesal dengan sikap Naira dan Farrhan.

"Entahlah long! Naura ni pun tak tahu apa nak jadi dengan dia tu. Kata orang, kalau kembar ni biasanya ada deria rasa yang sama. Tapi kita orang ni macam tak sama je. Agak-agaknya kita orang ni tak lahir sama kot?"

Firash mendengus halus. "Hishh, apa cakap macam tu? Tak baik. Tu kan kembar Naura. Lahir dari insan yang sama. Ada masa, tegurlah dia. Along ni dah banyak kali tegur dia, tapi tahu-tahu jelah. Dia bukan pernah nak sebulu dengan along" Setiap kali dia menegur dan menasihati Naira, ada saja jawapan kasar yang diterimanya dari gadis itu. Bukan sekali dua dia kena, tetapi banyak kali. Penyudahnya, dia mengalah saja dan berdoa semoga Naira berubah suatu hari nanti.

Naura berdecit. "Tak naklah long!" Seiring dengan gelengan kepalanya. "Naira tu kalau dah marah, kalah singa tau?"

Tergelak Firash mendengarnya. Tapi betul juga kata-kata Naura. Seisi rumah sudah tahu bagaimana fiil Naira yang kadang okey, kadang K.O itu. Apa boleh buat! Selagi boleh bertahan, selagi itulah dia kekal di situ. Jika tidak, dia akan membawa diri saja.

Share this novel

Cik Mafia
2021-07-30 17:36:37 

kesyaitonan betul lh adira dan maksu ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience