25

Other Completed 493332

KERETA RANGE ROVER hitam yang terdampar di hadapan halaman rumah Nuraisha membuatkan segugusan hati Farrhan berdebar. Walaupun dia tidak melakukan sebarang kesalahan, tetapi entah kenapa hatinya berdetak hebat tatkala kereta milik Tan Sri Firman itu menyapa sepasang matanya. Mungkin dia risau Firash ada mengadu mengenai gambar yang dihantar itu. Dia risau sekiranya segala aset miliknya ditarik balik oleh Tan Sri Firman.

Farrhan mengeluh. "Apa pulak orang tua ni buat kat sini?"

Perlahan-lahan, tubuhnya menyandar ke arah dinding pintu sambil bibirnya rakus menghisap rokok. Berkepul-kepul asap rokok di udara dan memenuhi ruang. Seketika dia termenung. Mengingatkan kembali kejadian tadi, hatinya sedikit kesal dengan sikap Razlan. Jika betul dia berminat dengan mana-mana gadis, takkanlah menjadikan Nuraisha sebagai mangsa yang seterusnya?

Tidak dinafikan, Nuraisha memiliki seraut wajah yang sederhana tetapi sedap mata memandang. Alisnya yang lebat dan bercantum itu mencantikkan lagi seri wajahnya. Matanya yang jujur dan wajahnya yang polos membuatkan semua orang mudah jatuh sayang padanya. Tubuhnya kecil dan genit saja, tak ubah seperti seorang kanak-kanak yang baru belajar berjalan.

Farrhan tergelak sendiri. "Haish, apa bendalah aku fikir ni?!"

Sepasang mata milik Nuraisha seolah-olah mengembalikan dia ke suatu peristiwa lampau. Tetapi kenapa dia langsung tidak mengingatinya? Dia buntu setiap kali memikirkan itu.

"Dia memang cantik. Tak dinafikan. Tapi sayang, dia gadis kampung. And she's not my cup of tea!"

"APA benda yang maksu cakapkan ni? Maksu nak jual anak saudara sendiri ke?"

Dari berdiri di hadapan pintu, Firash bergerak mendekati Nuraisha dan Maksu Dara. Niatnya hanya ingin menjenguk Nuraisha dan mengetahui semacam apa perbincangan mereka. Namun tidak disangka-sangka telinganya menangkap butir bicara yang tidak masuk akal itu.

"Kau jangan nak sibuk! Ni antara aku dengan anak saudara aku" pintas Maksu Dara dengan bengis di wajah. Baran hatinya setiap kali melihat wajah Firash. Ada saja modal lelaki itu untuk mengganggu perbincangannya dengan Nuraisha.

"Masalahnya anak saudara maksu bakal jadi isteri saya. Jadi setiap urusan dia, adalah urusan saya jugak!" ujar Firash lantas membantu Nuraisha untuk berdiri. Belas hatinya melihat keperitan hidup gadis itu.

Mencerlung mata Maksu Dara ketika mendengar omongan Firash. Kemudian, dia tergelak sendiri. Bakal isteri konon!

"Kau ikhlas ke nak jadikan Aisha isteri kau? Budak ni, masih mentah lagi. Dia tak tahu apa-apa pasal kehidupan. Silap-silap haribulan, kau yang rugi dan menyesal sebab kawen dengan dia!" Maksu Dara tergelak lagi.

"A..abang.. abang keluar dulu ye? Biar Sha cakap dengan maksu" Wajah Nuraisha sudah menggerutu.

"No!" cantas Firash dengan raut wajahnya yang bengis dan nadanya yang tegas. "Abang takkan biarkan maksu hina Sha macam-macam lagi. Kalau Sha boleh duduk diam dan tunduk dengan semua hinaan dia ,maaf. Abang tak boleh!"

"A...abang..." Air mata Nuraisha sudah mengalir. Rupa-rupanya selama ini Firash yang menahan sabar dengan setiap cacian yang diterimanya. Hatinya benar-benar segan.

"Maksu nak sejuta kan? Supaya Aisha boleh bebas dari maksu" Firash sudah mula membuat rundingan. Jika tiada jalan lain untuk melepaskan Nuraisha dari belenggu penjara ini, maka wanglah jalan penyelesaiannya!

Wajah Maksu Dara mula mengendur. Mendengarkan saja perkataan 'sejuta' dari bibir lelaki itu, tanpa sedar bibirnya mengorak senyum sinis. Pucuk dicita ulam pun tiba!

Nuraisha memaut lengan Firash. Kemudian, wajahnya bertemu dengan wajah lelaki itu. Dengan esakan yang masih tersisa, dia menggeleng kepala beberapa kali.

Firash membalas dengan senyuman hambar. Tiada jalan lain selain ini. Dia sedar walaupun Maksu Dara bukan ibu kandung Nuraisha, tetapi restu dari wanita itu masih diperlukan kerana dia yang menjaga dan membela Nuraisha dari kecil.

"Kenapa? Kau nak bagi aku sejuta? Ohh, jadi kau setujulah aku jual anak saudara aku pada kau?" Maksu Dara menyetir. Puas hatinya dapat mempermainkan Firash.

Wajah Firash sudah membahang. Dia bukan membeli Nuraisha daripada sesiapa. Tidak! Itu bukan niatnya. Wang sejuta itu hanya sebagai syarat untuk melepaskan Nuraisha dari situ.

"Kalau kau diam, betullah tu kan?" Maksu Dara menyindir lagi. Wajahnya tak lekang dek senyuman sinis.

"Abang, jangan!" Nuraisha menggeleng kepala. Sungguh perit menerima hakikat yang keluar dari bibir Maksu Dara itu. Dia dijual? Ya Allah, hilang sudah harga dirinya di hadapan Firash!

"Sha nak terus duduk sini? Dengan setiap cacian? Deraan? Bahkan mungkin maksu akan jual Sha pada orang lain? Itu yang Sha nak?" Alis Firash terangkat. Wajahnya benar-benar bengis sehinggakan Nuraisha sudah hilang keberanian untuk terus menatap wajah itu.

Melihatkan reaksi Nuraisha, Firash memanggung kepala memandang Maksu Dara. Dia tekad, penderitaan Nuraisha harus diakhiri!

"APA yang diorang bincang lama sangat kat dalam tu? Yam tak sedap hatilah bang!"

Dari tadi, Tan Sri Firman dan Puan Sri Mariam menunggu di situ bahkan Naura saja sudah hampir keletihan kerana punggungnya mendarat di atas lantai simen itu. Terhangguk-hangguk kepalanya menahan kantok.

"Yelah kan. Dah dekat sejam diorang kat dalam tu. Along pun stuck jugak kat situ" ujar Tan Sri Firman pula sambil mengerling jam di tangan.

"Yam jenguk diorang ye bang?"

"Eishhh, tak payahlah! Mungkin diorang selesai kejap lagi. Lagipun, ni kan hal keluarga. Biarlah diorang settle" Tan Sri Firman menegah. Dia tidak merumitkan keadaan sementelah mereka semua sudah dimaklumi oleh Firash mengenai kedegilan dan kelicikan Maksu Dara.

"Habis tu, along tu keluarga diorang jugak ke? Dari tadi, tak muncul-muncul ni! Lama sangat dah along dalam bilik tu" Kerisauan Puan Sri Mariam tak pernah surut. Bimbangnya tak bertempat saja!

"Kita tunggu je dulu. Biar Firash settlekan kat dalam tu. Awak ni pun, duduk diam dan bertenang. Lagipun, budak tu yang Firash nak kan? Kalau kita tak turuti kehendak Firash, entah bila lagi dia tu nak kawen. Umur dah nak masuk 35"

Kata-kata Tan Sri Firman membuatkan Puan Sri Mariam mendiamkan diri. Dia terpaksa mengalah juga akhirnya. Bimbang tak sudah apabila soal jodoh dibangkitkan, Firash acapkali mengelak dengan pelbagai alasan.

"Kita patut bersyukur. Doa kita dimakbulkan. Awak nak sangat tengok along naik pelamin kan?"

Tanpa sedar, Puan Sri Mariam mengangguk.

"Dah, kita tunggu kejap lagi. Kalau masih takde khabar jugak, baru kita jenguk kat dalam"

TERSENYUM puas Maksu Dara tatkala permintaannya ditunaikan oleh Firash. Ini yang dia inginkan dari dulu. Menghalau Nuraisha keluar dari rumah kerana dia tidak sanggup untuk terus tinggal bersama dengan anak saudaranya itu. Tetapi siapa sangka. Tuah benar-benar menyebelahinya. Nuraisha berjaya diusir dan wang sejuta pula bakal menjadi miliknya.

"Saya akan tunaikan apa yang maksu nak. Tapi dengan syarat, maksu takkan ganggu Aisha lagi. Takkan cari dia lagi. Dan takkan susahkan hidup dia lagi bermula dari sekarang..." Firash meletakkan syarat yang dirasakannya cukup selamat bagi Nuraisha.

Nuraisha tersentak. Syarat apakah itu? Kenapa Firash tidak berbincang dahulu dengannya? Maksu Dara masih lagi ahli keluarganya dan Firash tidak punya hak untuk menentukan semua itu.

"Abang!"

"Don't talk! Abang tahu Sha nak cakap apa. Kalau tak nak abang mengamuk kat sini, Sha duduk diam dan dengar cakap abang" Wajah Firash ketat dan tajam saja anak matanya merenung ke arah Nuraisha. Dia masih tidak faham. Kenapa selembut ini hati dan perasaan Nuraisha sedangkan bermacam-macam yang sudah Maksu Dara lemparkan ke atas dirinya.

Maksu Dara mencebik dengan syarat Firash. Memang itu yang dia inginkan selama ini. Menjauhi Nuraisha kerana baginya gadis itu benar-benar membawa malang di dalam hidupnya.

"Aku takkan pernah cari dia! Dan aku bersyukur sangat kalau dia takde kat rumah ni! Senang sikit hati aku" tukas Maksu Dara, penuh angkuh dan bongkak.

Airmata Nuraisha mengalir lagi. Entah ke berapa kali harga dirinya jatuh kali ini.

Firash menghela nafas. Sungguh sombong wanita bergelar maksu itu! Pasti sulit kehidupan Nuraisha bersama wanita ini. Hmmm...

"Along. Ada apa-apa berlaku ke?"

Sapaan dari Puan Sri Mariam menyentakkan mereka. Firash dan Nuraisha menoleh. Tan Sri Firman, Puan Sri Mariam dan Naura sudah menjejak kaki ke dalam bilik itu. Dalam banyak-banyak tempat di dalam rumah itu, bilik Maksu Dara saja yang selesa dan cantik pemandangannya. Ada katil dan kerusi kayu bertangkai tiga di hujung pintu.

"Mama. Papa"

"Haaa baguslah satu keluarga dah ada kat sini. Boleh kita bincang kan?" Wajah penuh makna Maksu Dara mengundang syak wasangka Nuraisha. Entah muslihat apa lagi yang Maksu Dara ciptakan!

"Beginilah ye? Biar saya berterus-terang saja" Maksu Dara memulakan mukadimah.

Puan Sri Mariam sudah sedia mendengar. Dek kerana terlalu lama menunggu, dia mengambil keputusan untuk mencelah saja perbincangan di antara Firash dan Maksu Dara. Punggungnya juga sudah sakit kerana duduk terlalu lama di atas lantai simen. Dia mangajak suaminya dan Naura untuk turut serta daripada menunggu lama di situ.

"Saya tahu, anak encik berdua ni berkenan sangat dengan anak saudara saya. Sampaikan sanggup datang dari jauh semata-mata nak jadikan Aisha sebagai isteri dia. Tapi itulah. Kami ni orang miskin. Harta pun takde. Cuma tinggal rumah usang ni je. Kalau boleh, saya nak sesuatu sebagai syarat untuk lepaskan Aisha" Tanpa berselindung, Maksu Dara luahkan saja hasrat hatinya.

Nuraisha ingin mencelah tetapi pantas ditegah oleh Firash. Tangannya ditarik oleh lelaki itu dalam diam. Apabila dia memandang Firash, lelaki itu hanya menggeleng kepala.

Puan Sri Mariam dan Tan Sri Firman tidak mengerti. Mereka saling berpandangan dengan pertanyaan di raut wajah masing-masing.

"Puan nak apa ye? In Sha Allah, kami tunaikan kalau tak keberatan" soal Tan Sri Firman.

"Saya bagitau Firash. Yang saya nak sejuta sebagai syarat untuk lepaskan Aisha. Lepas je duit tu sampai ke tangan saya, saya takkan ganggu Aisha lagi. Anggap jelah ni sebagai sistem pertukaran antara kita"

Puan Sri Mariam dan Tan Sri Firman mengucap panjang. Kata-kata Maksu Dara sungguh tidak masuk akal. Wang berjumlah sejuta sebagai pertukaran? Mereka tidak kisahkan wang sebanyak itu kerana mereka punya lebih dari itu. Tetapi yang mereka hairankan kenapa setega itu Maksu Dara memperlakukan Nuraisha? Apa dia anggap Nuraisha itu bahan pajakan?

Wajah Nuraisha, Puan Sri Mariam tenung. Wajah polos itu menunduk saja dari tadi. Dia tahu, gadis itu sedang menyembunyikan air matanya dari pengetahuan semua orang. Dia tertanya-tanya bagaimana agaknya kehidupan Nuraisha selama ini? Dan kesan lebam di wajah itu, adakah berpunca dari wanita yang menggelar dirinys maksu?

"Okey. Kami setuju. Wang sejuta bukanlah apa-apa bagi kami. Asalkan anak kami dapat kawen dengan anak saudara puan, itu dah lebih dari cukup" sahut Puan Sri Mariam. Hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada Nuraisha. Maka dengan itu dia bersetuju kerana dia ingin lebih mengenali gadis itu. Pasti Nuraisha punya sesuatu yang istimewa. Disebabkan itulah Firash terlalu ingin mengahwininya. Sedangkan selama ini begitu banyak gadis yang mendampinginya tetapi gadis ini juga yang menjadi pilihannya.

Riak Nuraisha bertukar sebak dan sugul. Ya Allah, mana lagi aku nak tunjukkan muka? Dia benar-benar malu dengan keluarga Firash. Jumlah wang yang diminta oleh Maksu Dara bukanlah sedikit. Meskipun keluarga Firash mampu, tetapi dia tetap malu.

"Saya tak sangka kan? Keluarga kamu ni sanggup berabis untuk anak saudara saya? Tahu tak anak saudara saya ni bukannya baik pun. Dia pernah..."

"Baik atau tak masa silam dia, saya tetap nak kawen dengan dia! Maksu tak malu ke, buka aib darah daging sendiri? Selama ni siapa yang masak, cuci baju, kemas rumah untuk maksu kalau bukan Aisha? Dalam maksu tak sedar, maksu dah tumpang keselesaan Aisha sebenarnya" Laju saja Firash mencelah kerana dia tidak mahu sesiapa pun tahu kisah silam Nuraisha. Dia akan menceritakan sendiri kejadian yang menimpa gadis itu kepada ahli keluarganya tetapi bukan dalam keadaan seperti ini.

Maksu Dara mencebik. Hatinya benci tiap kali ada yang menyokong dan membela Nuraisha. Dulu Samsul yang acapkali melindungi Nuraisha. Kini, lelaki bernama Firash ini pula yang ambil alih!

"Terpulang kamulah Firash! Jangan nanti kamu menyesal dengan pilihan kamu"

"Kami dah janji nak bayar maksu sejuta kan? Jadi, cukuplah dengan semua ni! Takkan maksu masih nak tahan Aisha lagi?"

"Okey! Kamu ambiklah budak ni. Aku jual dia, kalau diikutkan sejuta pun tak cukup untuk apa yang aku dah buat untuk dia selama ni.Dari kecik aku bela dia sampai sekarang"

"Jual? Apa maksud puan ye?" Puan Sri Mariam menatang anak mata Maksu Dara. Dia inginkan penjelasan kerana bagi dia, tiada istilah jual-beli dalam perkara ini.

"Aku tak nak cakap banyaklah! Korang bawak je budak ni pergi dari sini. Aku dah tak nak tengok muka dia lagi. Cukup dah nasib malang dia tu kena dekat aku. Lepas ni, biar dia tabur nasib malang dia pada kamu semua"

Puan Sri Mariam mengurut dada sambil mengucap panjang. Bicara apa yang dimaksudkan oleh Maksu Dara itu?

"Puan. Mintak maaflah ye tapi saya nak bagitau.Dalam Islam, takde istilah bawak malang atau bawak tuah. Yang ada cuma takdir dan qada qadar yang Allah dah tentukan sejak dulu lagi. Cetek betul pemikiran puan sampai sanggup anggap anak saudara sendiri sebagai bawak malang"

"Kau tak perlu nak nasihat aku! Aku ni makan garam dulu dari kamu semua. Kau tak berada di tempat aku jadi kau tak tahu apa yang aku alami. Aku bela budak ni yang dah conteng arang ke muka aku! Dah, bawak budak ni berambus dari sini" Maksu Dara sudah terjerit.

Dia memandang wajah Nuraisha yang sudah merembes dengan airmata. Kemudian, nafas panjang dihela.

"Nuraisha binti Badrul, mulai dari hari ini kau bukan darah daging aku lagi! Aku haramkan kau pijak kaki di rumah ni. Dan kalau aku mati sekalipun, aku tak izinkan kau lawat kubur aku! Berambus sekarang!"

Mendengarkan itu, Nuraisha terasa dunianya kelam. Dia panar! Tubuhnya jatuh menyentuh lantai. Airmata semakin deras mengalir. Dia tidak dengar apa-apa lagi meskipun Firash berulang kali memanggil namanya.

Tan Sri Firman beristighfar sambil mengurut dada. Dia tidak menyangka sejauh itu tindakan Maksu Dara terhadap anak saudaranya. Puan Sri Mariam sudah pun berganjak ke sisi Nuraisha. Dipeluk erat tubuh itu dalam tangisan. Dia juga sedih melihat nasib gadis itu.

"Maksu tipu! Maksu sayangkan Sha kan?" Nuraisha bangkit lalu mendekati Maksu Dara. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi. Tubuh Maksu Dara didakap erat namun laju saja tangan tua itu menolaknya.

"Sampai mati, aku bencikan kau! Kau ni pembawak sial dalam hidup aku! Daripada aku hadap kau hari-hari, lagi baik aku mati. Tapi kalau kau tak nak aku mati, baik kau berambus dari sini!"

"Maksu... maksu..." Nuraisha mengongoi bak anak kecil. Dia bangkit dan ingin mendapatkan Maksu Dara namun awal-awal lagi Firash sudah menghalang.

"Kita pergi dari sini"

"Tak nak! Sha nak maksu! Maksu sayangkan Sha!" Nuraisha menggeleng kepala.

"Sha.."

"Abang tak dengar ke apa yang Sha cakap?!" Nuraisha hampir terjerit. Firash kaget. Puan Sri Mariam dan Tan Sri Firman hanya mematung di sisi, masing-masing sudah kehilangan kata-kata.

"Sayang.. dengar abang cakap" Wajah Nuraisha disentuh dengan kedua tangannya. Dan dihadapkan ke wajahnya.

"Maksu dah buang Sha. Dia haramkan Sha pijak rumah ni. Maksudnya, Sha dah tak boleh ke sini lagi" Firash menyambung ayatnya.

Berkali-kali Nuraisha menggeleng kepala. Sebolehnya dia tidak mahu mempercayai semua itu. Namun itulah...hakikat tetap hakikat. Dia dibuang keluarga. Harga diri dan maruahnya juga sudah hilang entah ke mana. Dan penghinaan ini berlaku di hadapan mata keluarga Firash.

"Kita pergi dari sini ye? Abang akan jaga dan lindungi Sha lepas ni. Sha tak perlukan maksu. Sha perlukan abang" Firash memujuk hati Nuraisha sekaligus menenangkannya. Tubuh lemah itu didakap lalu diusap kepalanya. Janjinya hanya satu. Nuraisha akan dilindungi dengan sepenuh hati!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience