5

Other Completed 493332

SURAT yang barusan dia terima diletakkan semula di atas meja. Tubuh disandar ke dada sofa. Matanya terpejam rapat. Saat itu, wajah Nuraisha terbayang di tubir mata.

"Aisha" Bibirnya menyebut sebaris nama itu. Dia memang sukakan Nuraisha sedari kecil lagi. Mereka akrab dan dia sentiasa menjadi pelindung gadis itu. Sikap Nuraisha yang polos dan lemah lembut itu cukup mencuri ketenangan hatinya. Pernah juga dia suarakan hasrat hati melalui kiasan, tetapi Nuraisha tampaknya tidak mengerti soal itu.

Padahnya, terpaksalah dia menahan hati selama ini. Kini, Nuraisha membesar dengan cukup sifatnya. Dia cantik dan manis dipandang. Namun yang lebih menarik hatinya adalah kerana sikap Nuraisha yang sentiasa berbuat baik pada semua orang.

Berbeza dengan Adira, meskipun dia tidak nafikan wajah itu tampak lebih menarik berbanding keayuan Nuraisha, tetapi hatinya tetap tidak gemarkan gadis itu. Jika diberi pilihan, dia masih tetap memilih Nuraisha sebagai pendampingnya. Dia tahu Adira sukakannya kerana acapkali gadis itu seolah sengaja menggodanya. Untung saja dia punya iman yang tinggi. Jika tidak, pasti dia terjerat dengan godaan Adira.

Samsul meraup wajahnya. Lama dia berfikir mengenai tawaran surat tersebut. Jika dia menerima tawaran tersebut, itu bererti dia harus meninggalkan Nuraisha selama beberapa bulan. Tetapi jika dilepaskan peluang keemasan ini, dia akan rugi sendiri kerana inilah cita-citanya sedari kecil. Menjadi anggota polis dan berkhidmat untuk masyarakat.

"Menung apa tu?" Suara lembut Puan Normala menyentakkannya. Samsul mencelik mata. Puan Normala sudah duduk di sisinya.

"Ibu"

"Dari tadi ibu perasan Sam menung je. Ada yang tak kena ke?"

"Oh..takde apa bu. Sam penat sikit"

"Haihh, penat apanya? Kamu cuma jaga kedai je kan? Ke penat tak jumpa Aisha ni?" usik Puan Normala. Apabila teringatkan Nuraisha, hatinya sungguh terpaut. Gadis itu sangat sopan dan polos.

Tersengih Samsul dengan usikan ibunya. Puan Normala memang power! Seakan mampu saja menebak hati dan perasaannya.

"Ibu ni.. " Samsul sudah merona menahan malu.

"Tak betul ke? Jangan fikir ibu tak tahu. Saiful selalu bagitau ibu, Sam pergi jumpa Aisha kan? Kalau jumpa Aisha je, mesti bawak Saiful"

Aikk! Saiful dah jadi tali barut ibu ke? Hishh, budak tu! Tak boleh diharap simpan rahsia langsung!

"Yelah bu. Kalau Sam jumpa berduaan dengan Aisha, nanti kan orang kampung mengata. Lagipun tak baik berduaan macam tu. Sebab tu lah Sam bawak Saiful sama. Untuk mengelak fitnah orang ramai bu"

Puan Normala tersenyum. Dia bangga kerana Samsul masih mampu menjaga iman dan pergaulannya. "Haa, baguslah. Kena ingat, kalau berduaan, ada orang ketiga. Iaitu syaitan"

"Ye bu. In Shaa Allah, Sam akan ingat selalu"

"Ibu harap walau ke mana pun jejak Samsul, Sam akan sentiasa menjaga mata dan iman serta hawa nafsu dari mudah tergoda dengan anasir jahat. Syaitan ni kerja dia nak menghasut kita untuk selalu berpaling dari jalan Allah. Kalau kita turutkan juga nafsu syaitan, maka kita kalah. Dan begitu juga sebaliknya"

Samsul mengangguk, bersetuju dengan kata-kata Puan Normala. Masakan dia lupa, kerana itulah ajaran yang diterapkan oleh Puan Normala ke dalam dirinya. Alhamdulillah, sehingga ke saat ini, Allah sentiasa menjaga dirinya.

"Bu, Sam serba salahlah bu" luah Samsul.

"Pasal apa?"

"Ni" Surat tersebut diserahkan kepada Puan Normala.

"Kenapa dengan surat ni?" Puan Normala sudah mengetahui isi kandungan surat tersebut kerana sudah dimaklumkan oleh Samsul tadi.

"Ni impian Sam kan? Kenapa nak rasa serba salah pulak?"

"Sam berat hatilah nak tinggalkan Aisha. Ibu pun tahu kan macam mana layanan maksu pada dia" Puan Normala adalah antara orang yang paling rapat dengannya. Oleh itu, segala hal yang berkaitan dengan Nuraisha akan diceritakan kepada ibunya.

Puan Normala mengangguk. Benar juga kata-kata Samsul. Jika ditinggalkan Nuraisha, tiada tempat lagi untuk dia bergantung. Sementelah Nuraisha hanya rapat dengan Samsul di kampung ini.

"Sam betul-betul sayangkan Aisha ke?" Puan Normala inginkan kepastian.

Samsul pantas mengangguk. Hatinya sudah terpaut pada gadis itu. Tidak mungkin dia mampu melepaskan Nuraisha ke tangan orang lain. Lebih-lebih lagi gadis itu tidak punya kawan lelaki lain selain dirinya.

"Nak ibu pinangkan Aisha untuk Sam?" Puan Normala memberi cadangan. Hanya dengan mengahwinkan mereka, segala permasalahan akan selesai.

Samsul tersentak. Dia pernah juga memikirkan cadangan tersebut tetapi sudikah Nuraisha? Dia risau sekiranya Nuraisha tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya. Meskipun Nuraisha tidak berteman dengan mana-mana lelaki, tetapi tidak pernah pula gadis itu memberi isyarat apa-apa kepadanya.

"Nak ke Aisha nanti bu?"

"Nanti ibu pujuk dia ye? Sekurang-kurangnya kalau Aisha kawen dengan Sam, tak perlulah kita risau dengan keselamatan dia lagi"

"Baik bu. Terima kasih bu"

DARI tadi, Adira duduk termenung di atas sofa. Tawaran bekerja yang diusulkan oleh Kamal masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinganya.

"Kau ikut aku ke KL. Kat sana, kau boleh cari duit lebih" Perlahan namun masih jelas kata-kata Kamal.

"Kerja apa yang ada kat KL?" Kening Adira bertaut.

Mata Kamal melilau sekeliling. Yakin tiada sesiapa di situ, dia mengeluarkan serbuk putih dari dalam poket seluarnya. "Jual ni"

"Kau nak aku jadi pengedar ke?" Suara Adira lantang.

Cepat-cepat Kamal menekup mulut Adira dengan telapak tangannya. "Jangan bisinglah! Nanti ada orang dengar, nahas kita!" Marah Kamal.

Adira menepis tangan Kamal. Wajahnya serius menatap tampang itu. "Kau dah gila ke? Nak suruh aku jual benda ni? Buatnya aku tertangkap, macam mana?"

"See the leg lah!" Kamal mengekek, diikuti oleh Mus.

"Kita orang dah lama buat kerja ni" sampuk Mus pula. Mulutnya dari tadi mengunyah chew gum.

"Tapi kau tengok kita orang. Ada kena tangkap ke?" sahut Kamal pula dengan perasaan penuh bangga.

"Lagipun kalau kau jual benda ni, kau untung beribu-ribu siot! Kau nak beli apa-apa je, kau boleh beli dalam sekelip mata. Kau nak beli lelaki pun boleh" balas Mus pula lalu ketawa. Kamal turut sama tergelak.

Terdiam seketika Adira. Lama juga dia berfikir. Jika dia bersetuju, itu bererti dia terpaksa meninggalkan Maksu Dara di kampung bersendirian. Tetapi tidak menjadi masalah kerana Maksu Dara bisa menjaga diri. Sekiranya dia menolak, dia yang rugi kerana menurut Mus, pulangannya cukup besar. Dia mula membayangkan baju-baju cantik, mekap cantik, makan mewah, arghhh! Lagipun, Kamal dan Mus elok saja sampai sekarang. Hmm, nak terima ke tak?

"Kau jangan risaulah. Kat KL tu, berlambak lagi pengedar macam kami. Tapi takde pulak diorang tertangkap. Kau kena bijak, dan tangkas. Tu je" ujar Kamal.

"Kita orang akan tolong kau" sampuk Mus pula.

"So macam mana?" Kamal mengangkat kening.

Adira tersentak saat kakinya terkena benda basah. Apabila dia melihat ke bawah, mop yang digunakan untuk mengelop lantai terkena kakinya. Dia menyeringa. Didongak kepala lantas pandangannya bersabung dengan wajah Nuraisha.

"Hishhh, budak bodoh ni!" Adira mula marah. Dia sudah berdiri di hadapan Nuraisha lalu merampas mop dari tangannya.

"So..sorry Dira" Nuraisha tergetar-getar.

"Mana kau simpan mata kau haa?" Mop tadi dicampakkan ke atas lantai. Dia bercekak pinggang. Matanya mencerlung tajam ke arah Nuraisha.

"Hei bodoh! Apa lagi kau tercegat tu? Pergilah kutip balik mop tu!" arah Adira dengan suara lantangnya.

Nuraisha menurut saja. Saat dia tunduk mengutip mop tersebut, Adira menolak tubuhnya dengan kaki. Dia terjatuh di atas lantai. Teraduh-aduh dia mengerang kesakitan.

Adira tertawa. Puas hatinya dapat mengenakan Nuraisha. "Bodoh betul!" sergahnya seraya berlalu dari situ dengan senang hati.

Air mata yang mengalir ke pipi diseka perlahan. Perit rasa hatinya harus melalui semua ini keseorangan. Dia benar-benar sudah keletihan harus berhadapan dengan sikap jahat Maksu Dara dan Adira.

Ke mana lagi derap kaki hendak melangkah? Dia tiada sesiapa melainkan Maksu Dara dan Adira. Dia tidak kenal dunia luar dan isinya. Oleh itu, dia harus terpaksa bersabar dengan semua ini dan yakin dengan ketentuan Allah.

"I HAVE something to say. Have a seat" pelawa Tan Sri Firman kepada Firash dan Farrhan.

Kedua mereka menurut saja.

Wajah Firash dan Farrhan dipandang. Sejak semalam lagi, Tan Sri Firman belum menghambur kemarahannya pada Farrhan. Sengaja disimpan dan ditahan dulu kemarahannya. Sebentar lagi, setelah meeting berakhir, barulah dia akan melepaskan kemarahannya pada Farrhan.

"Kita ada projek terbaru di Mersing. Sebuah perkampungan yang dah maju. Papa nak bina sebuah tadika kat sana. Jadi papa nak kamu berdua uruskan projek ni"

"No! Han tak nak bekerja dengan Firash!" bangkang Farrhan awal-awal.

"Kenapa? Should it be better if the two of you work as a team?" Wajah Tan Sri Firman ketat semacam. Dia masih mampu menahan sabar saat ini dengan olahan Farrhan.

"Bagilah kerja apa-apa pun asalkan bukan dengan dia ni!" sahut Farrhan. Dia benar-benar tidak mahu bekerjasama dengan Firash. Dia bencikan lelaki itu. Masakan mahu mengadap wajahnya tiap-tiap hari? Dia tahu projek ini bakal memakan masa yang panjang. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menetap di Mersing buat sementara waktu. Dan itu yang dia tidak suka!

Firash hanya menggeleng kepala dengan kedegilan Farrhan. Begitu sekali kebencian Farrhan terhadap dirinya. Entah apa kesalahannya sehingga dia terpaksa menelan semua kebencian Farrhan dalam-dalam.

"Okey then. Kalau Han nak kerja lain, sure. You'll get it" tukas Tan Sri Firman sambil tersenyum sinis. "Kerja dalam penjara nak?"

Farrhan tercengang. Dia mulai tidak sedap hati. Tan Sri Firman seolah-olah menyindirnya saja.

"Pardon?" Farrhan menyoal tidak mengerti.

"Kerja dalam penjara. For what you have done before! Dah lupa ke yang kamu hampir nak bunuh Mikael?" Terhambur juga kemarahan Tan Sri Firman.

Shit! Farrhan menyumpah dalam hati. Siapa yang pedajal dia dalam diam?

"Pa, it was just for fun!" Farrhan membela diri. Padahal dalam hati dia sudah menyumpah dan ketakutan.

Tan Sri Firman menghentak meja dengan tangannya. Wajahnya serius memandang Farrhan. "Fun? Hampir nak bunuh orang tu kerja suka-suka ke? Kalau macam tu, papa pun suka-suka nak call polis untuk tangkap Han dan sumbat dalam penjara!"

Farrhan mengetap bibir. Dia benar-benar sudah ketakutan dengan ugutan Tan Sri Firman. Buatnya dia benar-benar masuk penjara, tak ke naya?

"Han dah malukan papa! Nasib baik benda tu berlaku dalam kelab. Kalau di luar, pasti orang mengata. Han tak boleh ke jaga air muka papa dan mama? Semua orang kenal family kita. Kalau sikit je salah kita, musuh bergelak tawa! Keluarga kita hancur!"

"All you think about is only business and money!" kutuk Farrhan dengan perasaan yang membuak-buak.

"Farrhan! How dare you!" bentak Tan Sri Firman. Dia sudah berdiri di hadapan mereka. Firash bertindak menenangkan papanya.

"Enough Farrhan! Kau keluar dulu!" arah Firash dengan wajah serius.

Farrhan masih membeku di situ. Otaknya tidak mampu berfungsi dengan baik.

"Farrhan!" Firash terjerit. "Now!" gesanya lagi.

Farrhan menurut saja. Setelah Farrhan hilang dari pandangan, Tan Sri Firman duduk di atas kerusi semula. Bermacam-macam yang dia fikirkan dalam otak. Sungguh, dia berkecil hati dengan kata-kata Farrhan. Jahat sangat ke dia sehingga hanya mementingkan duit?

"Minum air ni dulu pa" Segelas air putih diserahkan kepada Tan Sri Firman. "Pelan-pelan" ujarnya sambil membantu Tan Sri Firman minum.

"Jahat sangat ke papa ni?"

Firash menggeleng kepala sambil meletakkan gelas di atas meja. Kesal hatinya dengan sikap Farrhan. Bagaimana lagi harus membentuk lelaki itu?

"Kenapa Han cakap macam tu dengan papa? Dia tak pernah fikir ke perasaan papa macam mana? I am hurt because of his words! Kenapa dia tak macam Rash? Kenapa dia lain?"

"Pa, tenang. Tarik nafas, lepas. Tarik lagi, lepas"

Tan Sri Firman akur pada Firash. Setelah itu, perasaannya sedikit tenang dan kembali stabil.

"He needs more time! We should give him that. Jangan terlalu memaksa dia. Nanti dia memberontak"

"Dia dah besar panjang. Takkan masih perlukan masa lagi? Dia sepatutnya boleh fikir baik buruk sesuatu perkara"

Firash terdiam. Dibiarkan saja Tan Sri Firman meluah kata. Dia tidak boleh komen lebih-lebih, risau akan menyakiti hati papa lagi.

"Nanti Firash nasihat dia ye? Rash tak nak papa stress dan banyak fikir macam ni. Doktor suruh papa berehat kan?"

Layu saja mata Tan Sri Firman memandang wajah Firash. Alangkah baiknya kalau Farrhan juga seperti Firash. Menjadi seorang anak yang menurut dan patuh saja. Salah ke didikannya selama ini?

"Papa harap sangat kalau Han macam Firash!"

Farrhan menguping dari luar bilik. Dia tahu, dia anak yang sudah mengecewakan hati orang tuanya. Dia tidak sebaik Firash. Dan dia tidak akan menjadi seperti Firash. Dia kecewa saat papa membandingkan dirinya dengan Firash. Jahat sangat ke dia?

"MIA sayang! Buat apa ni?" tegur Haikal yang sudah pun terduduk di sebelah Mia. Matanya melihat lukisan yang Mia hasilkan di atas sehelai kertas kosong.

Haikal terkedu saat melihat lukisan tersebut. Figura seorang wanita berbaju kurung dilukis oleh Mia dengan ada sebuah bentuk hati di situ.

"Siapa yang Mia lukis ni?"

"Ni mama Mia" jawab Mia dengan wajah yang ceria. Diserahkan lukisan tersebut kepada Haikal. "Cantik mama Mia kan papa?"

Lukisan yang Mia serahkan, Haikal ambil dengan teragak-agak. Perasaannya bercampur-baur. Siapa wanita yang Mia lakarkan itu? Mia tidak pernah melihat wajah arwah Hanis kerana dia sendiri yang melarang gambar Hanis digantung di sudut rumah. Dia risau jika gambar tersebut menyentik emosinya.

"Papa!" Mia sedikit terjerit. Haikal tersedar. Matanya terkebil-kebil memandang wajah Mia.

"Kenapa sayang?"

"Cantik tak mama Mia?"

"Aah, cantik sangat-sangat" sahut Haikal dengan senyuman di wajah.

Mia bangkit lalu bergerak ke almari bukunya. Digapai sekeping lukisan lalu diserahkan kepada Haikal. Wajahnya ceria dan teruja ketika menyerahkan lukisan tersebut.

Dahi Haikal berkerut saat lukisan itu sampai ke tangannya. Segera dia tanyakan pada Mia. "Ni siapa Mia?"

Mia sudah melabuh duduk di dalam pangkuan Haikal sambil tersengih. "Ni papa" Sambil jarinya menunding ke arah seorang lelaki. Kemudian, beralih pula ke arah seorang kanak-kanak perempuan. "Ni Mia"

"Yang ni?" tanya Haikal serentak tangannya menunjuk figura seorang perempuan walaupun dia mampu menebak gerangan wanita tersebut.

"Ni mama"

Haikal terdiam. Dia tahu apa yang diinginkan oleh Mia. Anaknya itu bijak dalam mengekpresikan perasaan dan kehendak. Tetapi dia belum bersedia untuk melalui fasa berumah tangga sekali lagi. Dan wanita yang ada di sekelilingnya juga belum cukup layak untuk bergelar isterinya sekaligus menjadi ibu kepada Mia.

"TERIMA KASIH bang untuk ubat ni" ucap Nuraisha lalu menghadiahkan sebuah senyuman untuk Samsul. Seperti yang dijanjikan, Samsul menghantar ubat sapu kepadanya meskipun dia berjanji untuk menghantarnya semalam.

"Sama-sama" Samsul membalas senyuman Nuraisha. Tenang rasa hatinya saat menatap wajah polos itu.

"Maaf, Sha tak dapat nak jemput abang dan Saiful masuk. Maksu dan Dira takde kat rumah. Sha takut kalau diorang tiba-tiba balik..."

"Takpe kak. Kita orang faham" Pantas Saiful mencelah sambil melakar senyuman.

Samsul mengangguk kepala. "Kami datang sini sebab nak hantarkan ubat tu aje"

Nuraisha mengangguk faham. Dia terharu dengan sifat ambil berat Samsul terhadapnya. Lelaki itu sentiasa memahami dirinya.

"Abang ada benda nak bagitau Sha" ujar Samsul sambil tak lepas memandang wajah Nuraisha. Apa reaksi gadis itu setelah dikhabarkan berita itu?

"Apa dia?"

"Abang dapat surat tawaran"

"Tawaran?" Kening Nuraisha bertaut. "Tawaran apa?"

"Tawaran dari jabatan polis. Abang diserap masuk. Tapi kena training selama beberapa bulan. Di Kuala Lumpur"

Nuraisha diam. Perasaannya hiba tiba-tiba. Samsul juga akan meninggalkannya tidak lama lagi. Di mana lagi dia akan bergantung hidup selepas ini?

"Baguslah" Senyuman di wajah sengaja dipalsukan. Tidak mahu terlalu ketara akan riaknya. "Sha tumpang gembira. Abang berhak dapat rezeki ni"

Samsul kecewa. Tidakkah Nuraisha sedih dengan berita tersebut? Tawaran tersebut akan memaksa mereka untuk berpisah. Dan dia tidak mahu redha dengan perpisahan tersebut.

"Sha tak sedih ke?" Lancar saja soalan tersebut diajukan kepada Nuraisha.
"Sedih kenapa? Abang akan dapat kerja bagus. Sha tumpang gembira"

"Kita akan berpisah" Riak Samsul tampak sedih. Tidakkah Nuraisha faham akan perasaannya?

"Laa berpisah beberapa bulan je. Lepas tu, kita jumpa balik kan? Asalkan abang tak lupakan Sha" Begitu yakin Nuraisha mengungkap kata. Tetapi ikhlaskah dia berpisah dengan lelaki itu?

"Nanti abang rindu" Samsul berkias lagi. Dan kali ini dia benar-benar berharap agar Nuraisha memahami gelojak hatinya.

"Kalau rindu, serahkan hati pada Allah. Luahkan pada dia. Dia Maha Mengetahui. Dan Dia akan permudahkan segalanya"

Jawapan Nuraisha mengundang kecewa dalam hati Samsul. Sahlah, gadis itu memang tidak memahami maksud kata-katanya. Nuraisha terlalu naif!

GELAS tinggi yang berisi wain itu diteguk dengan rakus. Hatinya panas dan mendongkol. Teringat kembali perbualan antara Tan Sri Firman dan Firash petang tadi, emosinya mulai berarak negatif.

"Papa harap sangat kalau Han macam Firash!"

Farrhan menggigit bibirnya saat kata-kata itu hinggap pada pendengarannya. Jahat sangat ke dia sehingga harus dibandingkan dengan Firash? Dia dan Firash punyai sikap dan personaliti yang berbeza. Dia akui, dia memang tidak seperti Firash namun dia masih punya perasaan. Dan untuk kali ini, dia benar-benar terluka.

Dia tahu, Firash hanya berpura-pura baik di hadapan papa dan mamanya. Firash bukanlah sebenarnya ikhlas dan tulus pada keluarganya. Anak gampang seperti itu tidak layak mendapat tempat di dalam keluarganya. Dari dulu lagi, Firash selalu mendapat yang terbaik. Itu yang membuatkan dia membenci lelaki itu.

"Firash!" Bibirnya diketap. "Kau nak sangat bertanding kan? Fine!" Dia mengukir senyuman sinis. "Lepas ni, aku akan ambik apa je hak kau! Dan jangan harap kau dapat apa yang kau idamkan!"

Wain diteguk sehingga habis. Kemudian, matanya memandang sekeliling. Bunyi muzik yang kuat dan deretan manusia yang menari-nari mengikut rentak muzik menarik perhatiannya.

Satu sudut, matanya bertentang dengan pandangan seorang gadis. Pakaiannya yang seksi dan hampir terlihat itu menggiurkan hatinya. Pantas, dia bergerak mendekati si gadis apabila gadis tersebut juga melambainya dengan tangan.

Farrhan sinis. "Maira, kau ingat aku tak mampu nak cari pengganti kau?!" Dia berbisik sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience