31

Other Completed 493332

WAJAH Razlan menyeringa. Penumbuk dikepal dan matanya memandang ke arah Maira di hadapannya. Berita yang dibawa oleh Maira sungguh menyakitkan hatinya. Mana mungkin secepat itu mereka menikah padahal menurut apa yang didengarinya sebelum ini, perkahwinan mereka akan berlangsung dalam masa dua minggu.

"Sahih ke berita yang kau dengar ni?"

"Ishhh betullah! Kejap" Maira mengeluarkan telefon bimbitnya lantas menekan butang Instagram. Berita mengenai perkahwinan Firash dan Nuraisha sudah tersebar ke sosial media sejak kelmarin lagi. Menurut berita tersebut, mereka akan dinikahkan dalam masa dua hari.

Petikan artikel yang memaparkan berita tersebut ditunjukkan kepada Razlan melalui tirai besi tersebut. Razlan mengerut dahi sambil membaca satu-persatu tulisan artikel tersebut.

"So, I tipu you ke?"

Sindiran Maira tidak diendahkan. Razlan termenung jauh. Semalam, dua orang peguam ada datang menemuinya bagi menyampaikan beberapa perkara kepadanya. Yang pertama adalah mengenai dakwaan yang sudah ditarik balik oleh Nuraisha ke atas dirinya tetapi dengan syarat ,pihak mahkamah memutuskan agar dia tidak mendekati Nuraisha dari jarak jauh mahupun dekat. Jika dia melanggar, ada penalti dan hukuman undang-undang menantinya. Dan Razlan bersetuju dengan syarat tersebut.

Perkara yang kedua adalah mengenai pemecatannya dari Legasi Holdings yang berkuatkuasa hari ini. Dan berita tersebut sungguh membuatkan hatinya kaget dan seakan tidak percaya. Dia bekerja dengan baik dan penuh dedikasi selama ini. Masakan dia akan dipecat gara-gara perkara itu.

"Encik Razlan dah 'usik' bakal menantu Tan Sri. Dan kita tahu, dia orang yang sangat terpengaruh"

Kata-kata peguam tersebut mengunci rapat mulut Razlan. Itu memang tidak dinafikan. Arghh!! Kenapa dia tidak berfikir dahulu sebelum bertindak? Natijahnya, dia sudah kehilangan kerja dan bakal hidup terumbang-ambing di bandar metropolitan itu.

"You!"

Razlan tersentak tatkala Maira menjerit di hadapannya. Wajah Maira dipandang sekilas.

"So, macam mana?"

Kening Razlan bersambung. "Esok kau datang jumpa aku lagi"

Usai menuturkan itu, Razlan kembali ke selnya. Maira mengeluh. Lagi-lagi wajah dia yang bertandang ke situ. Arhhhh!! Menyusahkan betul!

SEGALA persiapan terpaksa dipercepatkan. Puan Sri Mariam pening kepala dengan gelagat Firash yang semacam anak kecil itu. Sejak semalam, dia auto sibuk dengan aturcara perkahwinan Firash yang mendadak itu.

Mulanya, dia sempat berfikir yang bukan-bukan mengenai hubungan mereka berdua. Lantas, dia melemparkan segala kemusykilan di hadapan Nuraisha yang ternyata blurr itu!

"Along buntingkan Aisha ke?" Wajah Puan Sri Mariam cemas dan gelabah.

Firash terpana. Jantung hatinya berdetak hebat dengan tuduhan melulu mama. Lantas, wajah itu dipandang penuh tanda tanya.

"Astarfirgullah'al'azim mama! Takkan along nak buat benda tu sebelum kawen?"

Nuraisha di sisi hanya mendiamkan diri. Arhh! Lagi-lagi harga dirinya dipijak-pijak. Kali ini, kerana idea gila Firash yang tiba-tiba muncul itu.

"Mana taknya, mama hairan tiba-tiba nak menikah. Sedangkan along cakap lagi dua minggu. Ni tiba-tiba jadi dua hari"

Mati akal dibuatnya si Firash ini! Kalau tidak mengenangkan anak, masakan dia mahu bersetuju dengan semua ini. Firash ini pun satu, tak menyempat betul!

"Mama ni.. Along nak buat benda baik kan? Nak halalkan hubungan kami supaya tak terjadi benda yang tak diingini nanti. Lagi baik percepatkan" pujuk Firash. Jari-jemari Nuraisha digenggam erat.

"Iyelah. Along ni macam budak-budak. Ke tak sabar dah ni?!" Puan Sri Mariam serkap jarang.

Firash dan Nuraisha merona merah.

"Memang pun ma! Kami dah tak sabar nak bagi mama cucu"

Aduhh!! Nuraisha rasa nak larikan diri saat itu jugak.

"Pening mama dengan along ni! Nasib baik si Aisha ni tahan perangai along, kalau tak, tak tahulah mama. Nanti dah kawen, jangan pulak buat-buat lupa dengan tanggungjawab sendiri" bebel Puan Sri Mariam lantas meninggalkan mereka berdua di situ.

"Sha dah ready ke?" tanya Firash tanpa mempedulikan kata-kata mama. Dia tahu dan faham benar akan tanggungjawab suami isteri di dalam sesuatu perhubungan. Masakan dia lupa kerana itu yang dipelajarinya sepanjang sesi persekolahan. Lagipula, dia sudah cukup umur untuk bersedia dan mempunyai sebuah keluarga sendiri.

Wajah Firash dipandang. "Kalau tak ready, macam mana?"

Firash tergelak. Saja nak menyakatlah tu! Hidung mancung Nuraisha dicuit geram. Suka betul dia bahagian itu selain matanya yang cantik dan jujur itu.

"Kalau tak ready jugak, Sha tetap dan wajib kawen dengan abang. Abang akan buat Sha ready"

Bisik Firash nakal dengan senyuman menggoda.

"And plus, abang akan jadikan Sha wanita paling bahagia sampai Sha lupa pada semua benda"

Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Nuraisha. Terlalu dekat sehingga nafasnya bersatu dengan wajah Nuraisha.

"Eeeee abang gatallah!! Mengada-ngada" omel Nuraisha pantas berlari laju meninggalkan Firash di situ.

"Sha!"

Firash mengejar dari belakang. Mereka berkejaran di dalam riuhnya keadaan sekeliling.

KERIUHAN dari tingkat bawah tidak pernah mampu menarik hatinya untuk turut serta. Dia lebih rela terkurung di dalam biliknya sambil melayan perasaan sendiri. Dua hari lagi, lelaki idamannya bakal dinikahi oleh wanita lain. Dan yang pasti mereka adalah pasangan yang sangat bahagia dan kelihatan secocok.

Lutut dipeluk sambil dagu runcingnya menumpang di atas riba. Bibirnya menghela nafas berat beberapa kali. Bingkai gambar di sisi katil digapai. Wajah bahagianya beserta senyuman manis Firash menghiasi bingksi tersebut.

"Maafkan Naura ,along. Naura tak mampu nak buang perasaan ni. Tapi percayalah. Naura takkan sesekali ganggu bahagia along dan Kak Sha. She deserves you"

Airmata yang tertahankan akhirnya singgah juga tanpa paksa. Segala kenangan mereka bersama terbayang di tubir mata. Dia teringat ketika mereka menghabiskan masa di pantai, saat Firash menghantarnya pergi dan balik sekolah. Dan banyak lagi memori mereka tercipta sebenarnya.

Dan dia tidak sedar kapan hatinya terpaut pada lelaki itu. Meski bibirnya senantiasa memanggilnya dengan panggilan 'along' namun di dalam hati dia selalu berangan-angan menggelar Firash dengan panggilan 'abang'. Ahhh! Perasaan cinta selalu tak terdugakan.

Naura menjeruk rasa apabila teringat kembali peristiwa semalam. Ketika itu, dia sedang duduk bersantai di buaian yang diletakkan di hadapan taman bunga. Dan buaian tersebut menuju tepat ke arah bilik bacaan milik Firash.

Sedang leka dia membaca novel, dia terpandangkan figura Firash dan Nuraisha di situ. Perasaannya benar-benar kecewa tatkala melihat aksi mereka ketika itu. Firash memeluk Nuraisha tanpa rasa segan-silu. Meski hanya berdua di dalam bilik, Firash tidak pernah mampu untuk menolak godaan. Dan yang lebih memeranjatkan apabila matanya menangkap aksi mereka bercumbuan di situ. Naura benar-benar kecewa. Dia tahu, mereka berdua sedang di dalam asmara tetapi kenapa harus dia yang menyaksikannya? Tidakkah mereka sedar perbuatan tersebut sangat dilarang dalam agama? Ahhhh, cinta bisa buat manusia alpa dengan dosa!

Setelah kejadian tersebut berlaku di hadapan matanya, dia mengurung diri di dalam bilik semalaman dengan airmata setia menemani. Meskipun berkali-kali dia dibangunkan oleh Nuraisha untuk berjemaah Subuh, namun dia pura-pura tidur walhal waktu itu dia sudah pun sedar.

Naura sebenarnya masih tidak punya kekuatan untuk berhadapan dengan mereka berdua. Walaupun bibirnya tersenyum melihat kebahagiaan mereka, namun hatinya merintih pilu! Dalam tak sedar, dia berharap untuk berada di posisi Nuraisha. Namun siapalah dia untuk mengubah takdir Allah.

"Naura akan sentiasa sayangkan along. Naura mintak maaf sebab tak mampu nak lepaskan perasaan ni"

JAM sudah menunjukkan ke angka 3 pagi. Nuraisha tersedar dari tidur. Sebenarnya, dia masih tidak mampu melelapkan mata kerana asyik terfikirkan Maksu Dara. Hatinya rasa kurang akan sesuatu. Dia rindukan Maksu Dara. Walau apapun dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh Maksu Dara, dia tidak pernah punya niat untuk membenci apatah lagi menghukum sesama manusia. Siapalah dia di sisi Allah jika menghukum itu tuntutannya?

Beberapa hari yang lepas, Firash ada membelikannya sebuah Iphone dan sim kad baru. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah menggunakan telefon bimbit kerana Maksu Dara tidak memberi kebenaran itu kepadanya. Kini dia memilikinya atas ihsan Firash.

Iphone di sisi digapai. Ada WhatsApp dari Firash yang belum sempat dia baca. Dibuka mesej tersebut lantas sebuah senyuman terukir di wajah.

'Selamat malam sayang. Mimpikan abang selalu'

Nama kontak Firash di dalam Iphone disave dengan nama 'cinta hati'. Dia tersenyum lagi. Dia tahu, itu semua kerja Firash kerana lelaki itu mahu dia sentiasa tahu bahawa dia punya cinta hati. Benar kata mama, kadang-kadang Firash tak ubah macam anak kecil! Sentiasa inginkan perhatian.

Fikiran Nuraisha kembali mengingati Maksu Dara. Entah bagaimana keadaan maksu di sana tanpa ada sesiapa di sisi. Sudahlah Adira juga menghilang, kini dia pula diusir oleh maksu sendiri. Dia jadi risau jika sesuatu menimpa Maksu Dara.

Nuraisha mengeluh. "Huuu lupak pulak nak mintak nombor telefon makcik Mala.Kalau tak, boleh tanya khabar maksu melalui dia"

Perut Nuraisha tiba-tiba berbunyi. Aduhhh, laparlah! Tadi, dia hanya makan sedikit saja kerana seleranya tiba-tiba hilang tatkala melihat perangai Naura yang semacam saja. Gadis itu seolah-olah dingin dengannya. Lama dia berfikir akan kesalahan yang telah dilakukannya. Namun tidak pula dia punya jawapannya.

Perutnya berbunyi lagi.Nuraisha mengetap bibir lalu membalas pesanan Firash. Dia tahu lelaki itu sudah tidur. Tetapi manalah tau kot-kot dia terjaga. Dapat jugak temankan dia makan! Hi hi...

'Abang, Sha laparlah. Temankan Sha makan jom'

Lama Nuraisha menanti balasan Firash. Namun Iphonenya terus menyepi. Agaknya, Firash masih dibuai mimpi. Tanpa berlengah, Nuraisha turun dari katilnya. Matlamatnya hanya satu. Perut yang lapar harus segera diisi!

NURAISHA tersenyum puas setelah dapat mengenyangkan perut sendiri. Tadi, dia hanya masak maggi kari bersama sayur sawi dan telur rebus. Ada beberapa bebola ikan dan isi ketam dicampur sekali di dalam maggi tersebut.

Dia bergerak ke sinki sesudah menghabiskan secawan milo panas. Pili air dibuka lantas dia membasuh bekas makanannya. Ketika itu, dia mendengar bunyi ketukan pintu dari arah dapur. Jantung Nuraisha berdegup laju. Jam di dinding dikerling. Sudah jam 0345! Siapa yang ketuk awal-awal pagi begini? Dia menelan liur. Laju saja dia menutup pili air lantas bergerak menaiki anak tangga.

"Bukak pintu ni lahhh!! Huhhh"

Langkah Nuraisha terhenti. Suara tu! Dia amati betul-betul.

"Takkan dah tidur semua orang? Baru pukul 9 lah! Awal betul korang tidur..."

Suara garau itu! Farrhan! Laju langkah Nuraisha membuka pintu dapur. Alangkah terkejutnya dia saat melihat sekujur tubuh Farrhan yang layu dan penampilannya tidak terurus. Bau alkohol menyengat rongga hidungnya. Sah-sah dia mabuk! Patutlah dia kata jam baru pukul 9! Hehhh!!

"Heii perempuan!" Farrhan mengecilkan mata memandang sesusuk tubuh yang berdiri di hadapannya. Wajahnya tersengih saja, bikin Nuraisha meremang!

"Aku dibius cintaaa..." Farrhan menyanyikan lagu Dibius Cinta ,nyanyian Yusry dan Melly Goeslaw di hadapan gadis itu. Tubuhnya sudah bersandar ke dada pintu.

"Cintamu yang tak ada tandingan. Namun mungkinkah bisa, entah ku tak tahuuuu..." Farrhan menyambung lagi. Asyik benar dia bernyanyi tanpa sedar.

Nuraisha terasa kepalanya pening. Pandangannya seakan kabur. Siling dan keadaan sekeliling terasa berpusing sahaja. Suara garau Farrhan dan lagu tersebut seolah mengembalikan dia ke satu memori. Tetapi dia tidak memahaminya. Namun hatinya seakan dipalu dejavu tiba-tiba.

"Hei perempuan!"

Nuraisha menoleh. Matanya bertembung dengan mata bundar milik Farrhan. Baru kali ini dia dapat melihat betapa tenangnya menatap mata penuh redup itu.
"Kau...." Jari Farrhan menunding ke arah Nuraisha. Kemudian, dia tergelak.

"Kau...kau pernah jadi perempuan aku!"

Dahi Nuraisha berkerut. Dia bergurau ke apa?

"Kau dah lupa ke? Malam tu..." Farrhan berjeda, bikin hati Nuraisha berdebar. Apa maksud dia?

"Kau menangis. Mata kau basah tapi mata kau jujur. Aku suka"

Jantung Nuraisha seakan nak meletup. Apa maksud dia? Siapa menangis? Badan Nuraisha hanya tetap kaku di hadapan Farrhan. Dia menanti penuh sabar dengan kata-kata selanjutnya dari Farrhan.

"Bibir kau..." Farrhan mengukir senyuman lebar. Entah apa yang difikirkannya ketika itu.

"Tak habis-habis mintak tolong. Kau... kau perempuan aku!"

Serentak itu, tubuh Farrhan rebah di atas lantai. Dan Nuraisha terus tenggelam dalam persoalan yang tiada penghujung. Segalanya seakan teka-teki. Dia langsung tidak mampu untuk mencari setiap cebisan teka-teki itu. Tubuhnya kaku dan mengeras sambil matanya tak lepas memandang Farrhan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience