69

Other Completed 493332

SELESAI menguruskan hal persekolahan Mia, mereka berbelanja ke mall bagi membeli barangan Mia. Fariq ditinggalkan di rumah dan dijaga oleh Mek Som. Tetapi tahap kerisauan Nuraisha memang tidak dapat diduga. Setiap setengah jam dia akan menelefon bagi memastikan keadaan Fariq. Hal tersebut membuatkan Haikal tergelak sendiri.

Mereka ke kedai buku atas permintaan Mia. Haikal menemani Mia memilih barangannya sedangkan Nuraisha hanya menunggu di luar saja. Dia baru saja selesai bercakap dengan Mek Som di dalam talian.

Menyedari kebimbangan Nuraisha, Haikal meninggalkan Mia untuk memilih barangannya dan segera mendapatkan Nuraisha.

"Tak payahlah bimbang sangat. Mek Som tu penjaga yang cekap. Tengok Mia tu. Dari kecik dia jaga sampai sekarang, elok je saya tengok"

Nuraisha menghela nafas. Benar kata Haikal. Dia tidak boleh terlalu bimbang. Risau pula jika Mek Som memganggapnya tidak mempercayai wanita tua itu. Tetapi sudah naluri dia sebagai seorang ibu, gampang cemas dan berfikir yang bukan-bukan apatah lagi Fariq itu baru berusia empat bulan.

"Ye kot. Mungkin saya tak sepatutnya risau sangat pasal Fariq. Tapi naluri saya kan? Seorang ibu mana boleh berjauhan dari anak dia"

Haikal tersengih. "Kejap lagi kita balik. Lepas je Mia selesai pilih barang dia, kita baliklah"

"Maaflah kalau buat awak tak selesa"

"Kenapa cakap macam tu? Saya okeylah! Takde apa-apa. Kita tunggu Fariq besar sikit, pastu kita bawak dia jalan-jalan. Okey?"

Nuraisha tersenyum lantas mengangguk.

"Tak nak masuk? Beli buku ke apa ke yang awak berminat. Saya bayarkan sekali" Haikal menawar.


"Kejap lagi saya masuk"


Haikal mengangguk lantas memasuki toko buku semula. Nuraisha hendak melangkah masuk tetapi tiba-tiba lengannya ditarik seseorang. Dia menoleh dan tercengang melihat wajah insan itu.

Naura menangis tatkala dipertemukan dengan Nuraisha lagi. Hampir setahun mereka tidak bersua, kini Allah mempertemukan mereka semula. Doanya selama ini dimakbulkan oleh Allah. Dia agak terkejut melihat penampilan terbaru Nuraisha itu. Tampak lebih elegan dan matang.

Naira di sisi turut kaget dengan perubahan pada diri Nuraisha. Gadis selekeh yang selalu diejeknya dulu kini tampak lebih anggun dan moden.

"Kak Sha!" Naura terus memeluk Nuraisha.


Tubuh Nuraisha hanya kaku. Dia hendak menangis namun entah kenapa air matanya enggan untuk mengalir. Pelukan Naura pula tak dibalasnya.

"Kak Sha nampak lain sangat. Ya Allah! Naura hampir tak kenal Kak Sha"

Senyuman Naura melebar. Dia teringat pertemuan pertama mereka dulu. Dia gagal memujuk Nuraisha untuk kembali ke rumah. Namun dia ingin terus mencuba kali ini. Siapa tahu hatinya bakal terbuka lagi?

"Kak Sha sihat?"

"Sihat" jawab Nuraisha pendek. Rasanya ingin saja dia hendak kabur namun kakinya bagaikan digam di situ. Naira hanya mendiam di sisi Naura. Agaknya dosanya pada Nuraisha suatu masa dulu juga merupakan antara hukuman yang harus mereka terima sekarang.

"Kak Sha..." Tangan Nuraisha digapai. Suaranya tenggelam timbul saja. Dia risau jika Nuraisha masih terikat dengan kedegilannya seperti dulu.

"Naura tahu, permintaan Naura ni mungkin tak masuk akal. Dan mungkin Kak Sha bosan dan jemu dengan permintaan Naura. Tapi Naura nak mintak kali ni je dengan Kak Sha. Please! Kembali ke rumah sekejap pun jadilah! Tolong kami selamatkan angah"

Dan kali ini, air mata Nuraisha benar-benar sudah gugur. Setiap kali nama Farrhan disebut, hatinya merintih. Perasaannya kacau-bilau. Kejamkah dia membiarkan Farrhan diulit derita seperti itu? Sedangkan dia masih punya hak pada lelaki itu.

"Naura tahu, Kak Sha mungkin tak mampu nak maafkan dia. Kak Sha mungkin bosan dengar perkataan maaf dari Naura selama ni. Tapi tolonglah, maafkan angah! Kalau Kak Sha nak Naura melutut, Naura akan buat jugak. Asalkan Kak Sha sudi balik ke rumah"

"Naura, tolong jangan paksa saya! Saya tak bersedia nak jumpa dia. Please" Genggaman Naura ditarik perlahan-lahan. Mutiara jernih yang merembes keluar diseka.

"Kak Sha, tolonglah! Jangan seksa angah. Kali ini je, Naura mintak tolong. Lepas ni, apa pun keputusan Kak Sha, Naura dan keluarga takkan membantah" rayu Naura sambil menundukkan wajah.

"Maaf, saya tak boleh. Farrhan dah lama mati dalam hati saya" ucap Nuraisha namun air mata yang diseka tadi, mengalir semula.

Naura hampa mendengar rayuannya ditolak oleh Nuraisha. Tempoh setahun rupa-rupanya bukan tempoh yang lama untuk merubah hati seseorang. Baru kini Naura faham konsep itu.

Dia ingin melutut namun lengannya pantas ditarik oleh Naira. Nuraisha hanya menilik melalui ekor mata. Hatinya ego untuk terus memandang ke arah mereka berdua.

"Dahlah Naura! Tak guna merayu dan menangis macam ni. Anggap jelah ni dah takdir angah. Kita tak boleh nak halang benda daripada terjadi. Dan takde gunanya kau melutut di hadapan orang yang berhati keras dan menyanjung tinggi ego dia. Kita orang berpelajaran, dan kita diajar cara nak kalahkan ego! Bukan menangkan ego! Jom balik"

Naira menarik lengan Naura dan berlalu meninggalkan Nuraisha di situ. Semakin jauh kedua mereka berjalan, semakin merintih hati Nuraisha. Dia sendiri juga tidak tahu kenapa hatinya seakan sedih begitu. Sejujurnya, dia terasa dengan kata-kata Naira kerana setiap bicara gadis itu adalah jujur dari hatinya.

Namun yang lebih memeritkan, saat Naira menyebut akan takdir Farrhan. Disebabkan itu, dia rasa bersalah yang teramat sangat. Kejamkah dia? Degilkah dia?

"DAHLAH! Kau tak payahlah nak menangis meraung kat sini. Bukan dia dengar pun. Dan kalau dia dengar dan tahu sekalipun, dia akan buat tak tahu je. Orang kalau hati dah ego, dah keras, kau cakaplah apa pun, takkan menjadi"

Kata-kata Naira semakin menggalakkan tangisan dalam diri Naura. Dia sedih kerana Nuraisha benar-benar sudah melupakan dia dan keluarganya. Dia faham kelukaan yang dialami oleh Nuraisha tetapi tidak bolehkah dia bertoleransi sedikit dalam hal ini?

"Aku sedih. Setahu aku, kak Sha bukan macam tu. Dia seorang yang lembut hati. Pemaaf..." Naura tidak meneruskan kata-katanya sebaliknya hanya menekup wajah dengan telapak tangan. Hatinya terguris dengan sikap Nuraisha.

Kereta yang dipandu Naira berhenti secara tiba-tiba. Matanya memerhati ke arah sebuah keluarga tidak jauh dari tempat mereka berhenti. Dia menggumam dan turut merasa sedih. Melihat kemesraan mereka, dan senyuman yang terukir di wajah itu, dia tahu gadis itu sudah menemui kebahagiannya sendiri.

"Kenapa kau berhenti?" tegur Naura pantas mengalih pandangan ke arah hadapan. Matanya terbeliak melihat pasangan bahagia itu. Hatinya semakin sedih.

"Kita tak boleh salahkan dia" Naira bersuara sambil melepaskan keluhan berat. "Aisha dah jumpa kebahagiaan dia. Kalau kenang balik pada masa-masa dulu, dia selalu terseksa. Dengan karenah aku lagi, dengan perangai angah lagi. Sekarang, dia dah jumpa bahagia dia"

"Tapi kak ngah masih lagi isteri angah! Dan dia tak boleh bersama dengan lelaki lain selain ikatan perkahwinan tu masih ada" Radang Naura tiba-tiba. Tidakkah Nuraisha tahu itu adalah perbuatan terkutuk? Dia masih lagi isteri Farrhan yang sah!

"Kau ingat Aisha tu bodoh ke? Kalau tengok dari penampilan dia sekarang, dia tak macam uneducated person. Dia nampak lebih matang. Dan aku yakin, dia akan minta cerai dari angah. Dan kalau angah tak nak lepaskan dia, dia akan tuntut fasakh! Dia ada hak untuk mintak semua tu atas apa yang dah berlaku pada dia. Dan satu-satunya orang yang layan dia macam tu adalah suami dia sendiri. Jadi sebagai seorang peguam, kau rasa siapa yang akan menang dalam kes ni?"

Bicara Naira membuatkan Naura terkelu. Dia tidak menyangka sejauh begitu pemikiran Naira. Namun apa yang diutarakan oleh Naira itu benar belaka. Dia seorang peguam, masakan dia tidak tahu langsung akan kemungkinan itu?

"Habis tu, apa yang kita kena buat? Takkan nak biarkan angah pergi macam tu je?"

"Apa yang terjadi ni, anggap semua ni ketentuan Allah. Siapa kita nak menidakkan takdir Dia? Lagipun, angah sekarang sedang terima hukuman dia. Kita tak boleh nak buat apa-apa"

Disebabkan itu, Naira mulai insaf akan kekhilafan diri. Dia tahu dia banyak berdosa pada orang sekeliling dia, terutama sekali pada Nuraisha. Walaupun begitu banyak kata cacian yang dilemparkan olehnya terhadap Nuraisha, namun sedikit pun gadis itu tidak melawan. Nuraisha teraniaya dan benar kata orang, doa orang teraniaya pasti dimakbulkan. Mungkin inilah salah satu sebabnya Farrhan dihukum. Bisa jadi kerana doa seorang isteri yang tersakiti!

Mengenangkan semua itu, hati Naira mula dijentik rasa takut. Bagaimana jika secara tiba-tiba dia dipanggil Tuhan tanpa sempat bertaubat? Dia tidak mahu menjadi seperti Farrhan. Dalam keadaan begitu, masih sempat menyusahkan banyak orang. Naira mengucap panjang dalam hati.

"Kita baliklah Naira! Aku tak nak tengok diorang" rintih Naura dalam sedu-sedannya. Dia tumpang bahagia dengan kesenangan Nuraisha namun pada masa yang sama, hatinya turut berdukacita. Entah apa yang jadi pada nasib dan takdir Farrhan selepas ini.

SESUDAH memastikan Puan Sri Mariam makan ubat, Naira membantu mamanya baring dan menyelimuti tubuh itu. Belas hatinya melihat keadaan Puan Sri Mariam sekarang. Tubuhnya semakin kurus. Riak keceriaan juga semakin pudar. Kesihatannya juga turut terjejas. Dia tahu, kebimbangan yang melanda fikiran mamanya. Namun seperti Naura, dia juga buntu untuk berbuat apa-apa.

"Mama tak apa-apa. Naira rehat dan tidur"

Naira tersenyum. Tangan Puan Sri Mariam digenggam erat. Kemudian, dia membaringkan diri di sisi Puan Sri Mariam. Dipeluk erat pinggang itu.

"Naira nak tidur dengan mama" rengek Naira tiba-tiba.

Puan Sri Mariam kaget. Setahu dia, Naira bukan anak yang manja. Kalau dibandingkan dia dan Naura, rasa-rasanya Naura lagi manja dari Naira. Naira boleh dikatakan seorang anak yang matang dan pandai berdikari. Cuma kadang-kadang pemikiran dan tutur katanya saja boleh buat orang rasa tak selesa.

"Kenapa tiba-tiba ni? Hmmm?" gumam Puan Sri Mariam sambil mengelus telapak tangan Naira yang melingkari pinggangnya.

"Saja. Naira rasa kan, kali terakhir Naira tidur dengan mama masa umur Naira 6 tahun kan mama? Lepas tu Naira memberontak nak bilik sendiri" Naira bercerita sambil tergelak. Dia teringat zaman kecilnya. Antara dia dan Naura, dialah anak yang paling susah diuruskan. Kini, sehingga besar, dia juga yang selalu bikin mama dan papa susah hati. Dia memang anak yang menyusahkan.

"Mama..."

"Hmmm?"

"Terima kasih sebab besarkan Naira. Bagi kasih sayang pada Naira. Jaga Naira dengan baik. Walaupun Naira ni selalu susahkan hati mama dan papa. Tapi Naira janji Naira akan jadi anak yang baik lepas ni. Naira tak nak susahkan sesiapa lagi selepas ni. Naira tengok kesusahan mama dan papa besarkan Naira. Naira tengok kemelut yang melanda Naura sebab uruskan angah. Naira rasa berdosa sangat ma. Naira janji akan jaga mama dan keluarga kita dengan baik"

Ada nada sebak dalam bicaranya. Namun Naira mengungkapkannya dengan seikhlas hati. Apa yang telah terjadi pada Farrhan telah membukakan mata hatinya. Dia tidak mahu jadi seperti Farrhan. Dia ingin berbakti kepada mama.

"Doa mama sentiasa bersama Naira" Dahi Naira dikucup mesra. Kedua beranak itu lemas dalam emosi dan tangisan masing-masing.

Dari luar bilik, Naura menguping perbualan mereka. Dia tersenyum dalam tangisan dengan perubahan diri Naira yang secara rela hati itu. Diharapkan dengan perubahan Naira mampu membuatkan kesihatan mama membaik.

NURAISHA termenung di sisi jendela. Bibirnya mengeluh panjang. Pertemuan dengan Naura dan Naira siang tadi benar-benar mengacau fikirannya yang sedia tenang. Bahkan kata-kata Naira sungguh memporak-perandakan hatinya. Apabila difikirkan semula, dia mula was-was dengan niat dan caranya selama ini. Benarkah dia kejam dengan Farrhan selama ini? Atau adakah dia sedang mempermainkan hidup Farrhan yang kala ini sedang berjuang antara hidup dan mati? Jika dia kasihankan lelaki itu, tidakkah itu akan menggores kembali luka di hatinya yang pernah terluka dek lelaki itu?

Pandangannya berkalih ke arah ranjang. Dilihatnya Mia sedang nyenyak tidur di situ. Keluhannya terluah lagi. Bagaimana jika takdir hidup melakarkan yang sebaliknya? Sediakah dia menerima lelaki itu atau dia harus membuang terus segala hubungan mereka?

Pandangannya tertacap pula ke sisi katil. Fariq sedang tidur nyenyak di dalam babycoat. Kini sudah hadir Fariq di dalam hubungan mereka dan tidak mungkin dia akan menafikannya.

Nuraisha benar-benar takut. Jika Farrhan atau sesiapa tahu akan kewujudan Fariq, dia risau jika Fariq akan dirampas dari sisinya. Namun sudikah Farrhan menerima Fariq jikalau dia mengetahui akan kewujudan anak mereka? Arghhh! Nuraisha menggeleng kepala. Masakan Farrhan mahu menerima Fariq sedangkan dia sendiri bukan isteri pilihan Farrhan. Jadi pilihan yang paling tepat adalah merahsiakan saja kehadiran Fariq dari Farrhan. Tetapi sampai kapan dia harus merahsiakannya, dia sendiri tidak tahu.

Hati Nuraisha berbelah bahagi. Jika takdir menentukan dia harus tetap di sisi Haikal, itu mungkin keadaan yang baik bagi Mia. Namun jika takdir menuliskan yang sebaliknya, mampukah dia berpisah dari Mia? Selama ini, dia dan Mia berkongsi rasa dan kasih sayang yang tak berbelah bagi. Malahan, semua orang mengatakan mereka adalah anak beranak walaupun itu bukan hakikatnya.

"Jauh menung" Nuraisha tersentap saat suara garau Haikal menegur dari sisi. Dia menoleh lalu melemparkan senyuman tipis. Ehhh, bila masa pulak dia masuk?

"Sorry, pintu bilik terbuka. Saya jenguk, tengok Mia dah tidur. Tapi mama Mia tak tidur lagi. Kenapa?" Seolah mengerti apa yang ada dalam fikiran Nuraisha, Haikal segera menerangkan agar gadis itu tidak salah faham.

"Lagipun, saya tiba-tiba rindu pada Iq. Ingatkan nak tengok dia sekejap tapi dia dah tertidur. Again, tengok mama Fariq pun tak tidur. Masih termenung jauh. Sampai tak sedar kehadiran saya" sambung Haikal lagi. Wajah manis Nuraisha dipandang tak berkelip. Hatinya terlalu ingin memiliki gadis itu tetapi keadaan sekarang sangat tidak memihak kepada mereka. Gadis yang sedang berdiri di sisinya masih lagi berstatus isteri orang.

"Saya tak mengantuk lagi" jawab Nuraisha. Pandangannya kini berpusat ke arah pokok-pokok yang sedang bergoyang di tiup angin. Melihatkan pada keadaan pokok itu, agaknya hari bakal hujan tidak lama lagi.

"Tak mengantuk? Banyak fikir ke?" tebak Haikal, seolah dapat menangkap isi kandungan dalam benak itu.

Nuraisha tersenyum tipis. Haruskah dia menceritakan segala-galanya mengenai pertemuan siang tadi? Namun dia risau akan pandangan Haikal terhadapnya.

"Menung lagi. Jenuh saya nak baca fikiran awak Nur" usik Haikal sambil tergelak.

Omongan Haikal berjaya juga mengundang tawa dari bibir mungil itu. Nuraisha tahu, dia harus berterus-terang. Jika merahsiakan segala-galanya, dia bimbang jika hati Haikal bakal terluka dengan sikapnya.

"Siang tadi, saya terserempak dengan Naura dan Naira"

"Pardon?" Kening Haikal bertaut. Bertanyakan siapa gerangan dua nama itu.

"Adik ipar saya" sahut Nuraisha dengan wajah yang agak sayu. Hingga kini, dia masih tidak dapat melupakan kata-kata Naira.

"Ohh..." Nada Haikal berbaur kecewa. "So what happened?"

"Awak nak dengar?"

"If your don't mind it"

"SAYA tak tahu apa yang saya kena buat sekarang. Semuanya menghantui fikiran dan jiwa saya" luah Nuraisha setelah menceritakan segala-galanya kepada Haikal. Mereka berdua kini duduk di balkoni sambil mendengar cerita yang dibawa oleh Nuraisha.

"Apa pilihan yang awak ada?" tanya Haikal. Wajahnya agak serius ketika itu. Itu yang merisaukan dia selama ini. Bagaimana jika hati Nuraisha berubah dan kembali kepada suaminya? Sementelah mereka masih lagi pasangan suami isteri yang sah. Ditambah pula dengan kehadiran Fariq, pasti akan lebih menguatkan lagi hubungan mereka. Dia cintakan Nuraisha ,tetapi masakan mahu merebut hak lelaki lain? Tetapi untuk kehilangan Nuraisha ,hatinya pula benar-benar tidak sanggup.

"Pilihan? Saya sendiri pun tak tahu" Bahu Nuraisha menjongket.

"Dalam hidup ni, kita kena ada pilihan. Dan pilihan tu yang akan menentukan hidup kita. Kalau takde pilihan ,kita akan sentiasa buntu dan macam orang tak tahu apa-apa. Tapi, dalam membuat pilihan tu, jangan sampai melukakan hati sesiapa"

Saat menuturkan ayat terakhir itu, Haikal memusing badan menghadap Nuraisha. Kata-kata terakhir itu penuh makna dan dia sangat berharap agar Nuraisha dapat memahaminya. Dalam erti kata lain, dia tidak mahu kehilangan gadis itu.

Nuraisha memanggung kepala. Pandangannya bersabung dengan anak mata milik Haikal. Anak mata yang pernah merasa kehilangan itu kelihatan sedikit hampa dan kecewa. Hampakah Haikal dengan dirinya? Tetapi atas sebab apa?

"Saya tak paksa awak dalam membuat keputusan. Malah saya sokong setiap keputusan awak. Tapi percayalah, keputusan yang awak buat tu akan mempengaruhi banyak hati. Terutamanya hati saya..." Menuturkan itu, Haikal memperlahankan suara. Namun masih mampu ditangkap oleh Nuraisha.

"Encik Haikal..."

"Kan saya dah cakap. Jangan panggil saya encik. Kita bukan orang asing lagi"

Air mata Nuraisha seakan mahu mengalir saja. Dagunya dipagut oleh Haikal.

"Saya tahu, awak nak sangat jumpa dia. Pergilah, tapi tolong jangan lama-lama"

Nuraisha kelu tanpa bicara. Dia tahu dan mengerti perasaan Haikal terhadapnya. Walaupun Haikal tidak pernah meluahkannya, namun dia mampu membacanya dari segi perlakuan dan tutur katanya. Walaupun Haikal dijolok dengan panggilan playboy dan pernah meniduri banyak wanita, namun lelaki itu tidak pernah sekali mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Bahkan dia dihormati dan diladeni selayaknya seorang wanita diperlakukan. Sepanjang tinggal bersama Haikal, dia dapat merasakan betapa dia dihargai oleh orang sekelilingnya. Itu yang diinginkan selama ini. Namun statusnya kini menjadi penghalang. Dan untuk meminta dilepaskan, wajah Fariq pula dalam fikiran. Dia tidak mungkin sekejam itu memisahkan Fariq dari ayah kandungnya walaupun dia tidak mahu kehadirannya diketahui oleh Farrhan.

"Saya tak nak dia tahu pasal Fariq" keluh Nuraisha dengan sisa air mata yang masih bertakung di tubir matanya.

"Kalau awak tak nak bagitau dia pasal Fariq, awak dah pilih jalan yang salah. Dia masih lagi ayah kandung Fariq. He deserves the truth. Dan Fariq berhak tahu siapa ayah kandung dia" Meskipun perit mengungkapkan itu, namun Haikal tahu itu adalah kebenaran dan kenyataannya. Dia sayangkan Fariq, dan tidak mungkin dia seteganya membenarkan Nuraisha memisahkan Fariq dari ayah kandungnya.

"Kalau dia ambik Fariq dari saya ,macam mana? Tu je nyawa saya. Yang saya kandungkan selama 9 bulan 10 hari. Yang sentiasa bersama saya. Yang hidup dalam diri saya"

"Dia takkan rampas atau ambik Fariq macam tu je. Kita ada undang- undang. Awak tak boleh takut pada dia sebab awak tak buat salah. Percayalah, dia takkan semudahnya mengambil Fariq dari awak" Haikal meniupkan semangat dalam diri Nuraisha. Dan, kalau dia berani buat macam tu, saya akan tentang dia habis-habisan! Ucap Haikal namun hanya di dalam hati.

"Tapi untuk sembunyikan Fariq dari ayah kandung dia selama-lamanya, itu bukan jalan yang baik. Kalau dia tahu awak buat macam tu, itu akan mudahkan jalan dia untuk dapatkan Fariq. Lagipun sijil lahir Fariq tertera nama dia kan?"

Nuraisha mengangguk. Iya, nama Farrhan tertera di dalam sijil lahir Fariq. Luth Fariq bin Farrhan Zamani! Itu adalah salah satu bukti dan kenyataan yang mana dia takkan bisa lari dari selamanya.

"Pergilah jumpa dia. Jenguk dia. Awak masih lagi isteri dia yang sah. Kebajikan dia masih lagi tanggungjawab awak"

Anak mata Nuraisha berkaca. Dia terharu dengan sikap Haikal. Fikirnya, Haikal akan menentangnya untuk menemui Farrhan. Namun sikap dan fikiran lelaki itu yang terbuka membuatkan dia selesa dan rasa nyaman.

Rengekan dari Fariq menyentakkan keduanya. Nuraisha menapak ke arah babycoat dan mendukung Fariq yang sedang menangis.

"Iq nak apa?" tegur Haikal setelah tiba di sisi Nuraisha.

"Errr.." Nuraisha teragak-agak untuk menjawab.


"Nur. Iq nak apa?" sergah Haikal tatkala soalannya tidak berjawab.


"Iq nak menyusu" sahut Nuraisha dalam nada yang perlahan. Pipinya kemerahan.

Haikal tersengih. "Ohh.. bagilah dia susu" Dia sengaja mengusik. Padahal dia tahu usikannya itu membuatkan Nuraisha semakin tersipu.

"Errr... "


"Kenapa?" soal Haikal. Dia duduk berhadapan Nuraisha dengan selambanya. Sengaja mengusik!


"Macam mana saya nak susukan dia kalau awak ada kat sini?" Dengan tersipu, diluahkan juga rasa itu. Mana mungkin Haikal menyaksikan adegan itu. Eeee!

Mengekek Haikal ketawa dengan reaksi spontan dari gadis itu. Dia angkat punggung lantas mensasarkan kedua pipi Fariq.


"Okeylah Luth Fariq! Papa nak keluar dulu. Mama tak bagi papa tengok. Belum ada lesen tu. Nanti dah ada, hari-hari papa nak tengok!" sakat Haikal seraya mengerdipkan matanya ke arah Nuraisha yang kemerahan dengan usikan itu.

done.. ada yg senyum2 ke tu? ^^, happy reading gaissss

Share this novel

Cik Mafia
2021-07-31 05:32:28 

pastu rase mcm nk farrhan mati dan haikal dan nur bahagia adakah itu kejam?muahahahha

Cik Mafia
2021-07-31 05:31:51 

sengih sorang jadinnye..sweetla haikal ni sampaikan saya ship dia dua org


NovelPlus Premium

The best ads free experience