67

Other Completed 493332

PUAN SRI MARIAM menangis teresak-esak mengenangi nasib Farrhan. Dia seakan tidak percaya dengan cerita yang dibawa oleh Naura. Tidak mungkin Nuraisha berubah sejauh itu. Setahu dia, Nuraisha seorang menantu yang baik dan penyabar. Masakan dia menyimpan dendam pada mereka.

"Ma..." Naira yang di sisi mengusap bahu Puan Sri Mariam. Sedari tadi mama menangis dan bersadu. Sukar untuknya menerima semua kenyataan ini.

"Mama tak percaya! Takkan semudah tu Aisha berubah. Dia baik, dan dia pasti akan maafkan angah"

Naura mengeluh. Dia duduk di hadapan Puan Sri Mariam dan menggenggam erat jemarinya.

"Ma, itu yang kak Sha bagitau. Dia tak nak kita ganggu dia lagi. Dia nak lupakan segala-galanya. Kita tak boleh paksa dia. It's her choice by the way"

"Mama nak jumpa Aisha. Bawa mama pada dia" Puan Sri Mariam sudah merayu-rayu. Matanya sembab dek tangisan yang tak berpenghujung.

"Ma..." Naira cuba menenangkan Puan Sri Mariam namun tidak berhasil. Dia meroyan dan jiwanya tertekan dengan segala yang berlaku. Satu-persatu kehilangan dihadapinya di depan mata. Sungguh dia tidak kuat lagi.

"Naura, apa kita nak buat ni?" bisik Naira ke telinga Naura. Dia sudah kebingungan dengan reaksi Puan Sri Mariam itu.

Naura hanya membatukan diri. Sesungguhnya, dia sudah kehilangan akal untuk menyelesaikan permasalahan itu. Satu-persatu menghadangi ketenteramannya. Hatinya tidak kuat. Kini, seluruh ahli keluarganya menerima hukuman dek kerana dosa Farrhan.

TUBUHNYA mengeras di hadapan pintu. Matanya tak berkedip memandang insan di hadapannya. Seakan ingin langkah kaki berlari meninggalkan tempat itu, namun dia tak bisa bergerak. Seluruh anggota badannya seakan digam di situ. Dia tidak percaya dengan apa yang disaksikannya.

Gadis itu! Dia masih ingat wajahnya. Walaupun sudah empat tahun berlalu, wajah dan mata cantik itu masih tetap segar dalam ingatan. Yang lebih memeranjatkan apabila Mia boleh menerima dengan baik kehadiran gadis itu, tanpa mereka sedar ikatan antara mereka.

Patutlah sejak semalam Haikal beria-ria mengajaknya ke rumah. Ada makan-makan katanya. Rupa-rupanya ada kejutan lain yang menanti. Setelah sekian lama dia terasa bebas dari segala rasa salah, kini perasaan itu menjerat kembali jiwa raganya. Dan mungkin akan menjadikan lenanya terganggu.

"Yang kau tercegat kat luar tu apasal?" tegur Haikal tatkala teringatkan Sufian yang dari tadi tidak kunjung tiba. Rupa-rupanya lelaki itu hanya berdiri kaku di hadapan pintu. Dia menggamit Sufian dan membawanya memasuki rumah.

"Duduklah. Kejap lagi kita makan. Nur tengah siapkan makanan"

"Nur?" tanya Sufian. Dia sudah melabuhkan punggung di atas sofa. Matanya dari tadi memerhatikan gelagat Mia membantu Nuraisha di dapur.

"Oh.. Aku belum kenalkan kau dengan Nur" Haikal tergelak dengan kealpaan sendiri. Dia memanggil Nuraisha untuk menyertai mereka.

"Ni lah Nur" ujar Haikal saat Nuraisha berdiri di sisinya. Senyumannya dilemparkan ke arah Sufian. "Nur, ni Pian. Kawan saya. Dia ni doktor. Kawan merangkap sepupu saya"

Nuraisha hanya tersenyum. Namun senyumannya berubah tipis tatkala Sufian hanya tegak berdiri sambil memandangnya tanpa sebarang respon. Nuraisha malu sendiri tatkala pandangan Sufian tak berkalih.

"Tak mungkin aku salah orang! Dia masih orang yang sama" desis Sufian perlahan sambil menelan liur.

"Pian!" Sergahan Haikal membuatkan Sufian terpinga-pinga. "Kau okey tak ni?"

"Aku okey. Sorry" ucap Sufian perlahan.

"Nur cantik kan? Sebab tu kau terkesima" puji Haikal tanpa selindung.

Sufian tersenyum. "Ya, dia cantik"

"Mama!" Mia berlari ke arah Nuraisha. Wajahnya penuh dengan kotoran dek kerana puas bermain di dapur sebentar tadi.

Sufian kaget. Mama? Diorang.... Lidah Sufian kelu. Dia memandang Haikal yang ternyata tampak senang dengan gelagat Nuraisha dan Mia. Sufian buntu. Dia langsung tidak memahami keadaan sebenar.

"Kenapa kotor ni?" Nuraisha memapah Mia. Wajah yang kotor itu diusap dengan jari-jemarinya.

"Mia baru je habis masak"

Gelagat dan kata-kata Mia mengundang tawa di bibir Nuraisha. Haikal juga sama. Senang hatinya melihat riak kegembiraan pada wajah Mia.

"Okey, jom. Mama bersihkan Mia ye?"

Nuraisha dan Mia berlalu ke dapur.

"Mia tu memang rapat dengan mama dia" ujar Haikal.

"Mama?" Sufian tidak mengerti.

"Maksud aku, mama angkat. Kau tahu Pian. Kali pertama aku bawak Nur ke sini, Mia terus panggil dia mama. Perasaan aku macam tu berbunga sangat. Sukar aku nak gambarkan perasaan tu.." luah Haikal dengan wajah cerianya.

"Dia ni ke yang kau beli dari Jimmy?"

Haikal mengangguk perlahan. "Dahlah. Tak payah nak ungkit hal tu lagi. Jom, makanan dah siap tu"

SETELAH menidurkan Mia, Nuraisha bangkit dari ranjang dan meleraikan pelukan Mia. Tetapi anak kecil itu seakan tidak mahu melepaskan dia pergi. Bahkan pelukan semakin dieratkan. Nuraisha mencuba lagi namun usahanya tetap gagal. Dia tidak boleh tidur di situ kerana sebentar lagi Haikal akan masuk untuk menemani Mia.

"Mama jangan tinggalkan Mia"

Perlakuan Nuraisha tiba-tiba terhenti. Fikirnya Mia sedang berbicara dengan dirinya namun dia tersilap kerana Mia hanya mengigau di dalam tidurnya. Pun begitu, dapat dia rasakan pelukan di pinggangnya semakin erat.

"Mia, esok mama temankan Mia lagi ye? Mama kena balik ke bilik. Nanti papa masuk..." Nuraisha berbisik di telinga Mia lantas meninggalkan sebuah kucupan di pipi dan dahi anak kecil itu.

Namun Mia tak mengalah. Tetap saja pelukannya dieratkan dan Nuraisha tidak mahu dia lepaskan. Lama-kelamaan Nuraisha pula yang berputus asa. Dibiarkan saja tubuh kecil itu mendakapnya erat. Rambut ikal Mia dimain-mainkan dengan jari-jemarinya. Dia tersenyum kerana menyedari kedua mereka mempunyai rambut ikal yang sama.

Bahkan Mek Som sering berkata wajah mereka mirip. Nuraisha hanya tersengih. Iya, wajah mereka memang tampak mirip. Itu tidak dia nafikan. Mungkin kerana Mia terlalu rapat dan enggan berjauhan darinya. Disebabkan itulah, kebanyakan orang menyamakan wajah mereka.

Nuraisha teringat malam itu, ketika pertama kali dia dipertemukan dengan Mia. Haikal menemuinya dan meminta sesuatu daripadanya.

"Maafkan saya sebab Mia panggil awak mama" ucap Haikal. Dia sempat berdehem bagi menyelaraskan nadanya.

"Takpe encik Haikal. Saya suka Mia panggil saya macam tu. Rasa teruja pulak. Mia memang cute" Nuraisha bercerita dengan ceria. Namun ketika melihatkan riak Haikal yang menatapnya tanpa henti, dia mematikan senyuman. Malu pula, takut juga jika dianggap syok sendiri dengan anak orang lain.

"Walaupun mula-mula tu saya terkejut jugak bila Mia panggil saya mama. Saya nak mintak maaf encik Haikal. Tapi boleh saya tahu, mana mama Mia yang sebenarnya?"

Kerongkong Haikal rasa tersekat saja. Keluhan berat dilepaskan. Mata cantik Nuraisha menewaskan sorotan matanya. Natijahnya, dia mengalih pandangan ke sudut sebuah almari.

Dia melebarkan langkah ke situ. Foto Hanis dipandang dengan sebuah senyuman. Kemudian, dia membawanya ke sisi Nuraisha. Diserahkan foto itu kepada gadis itu.

Walaupun penuh pertanyaan, dia menyambut juga huluran Haikal. Ditatap wajah itu setelah Haikal memberi isyarat mata. Nuraisha agak terkejut kerana wajah mereka agak sama. Bezanya, Hanis berwajah bulat.

"Tu Hanis. Arwah isteri saya" kata Haikal, memulakan bicara.

"Wajah dia..." Nuraisha membelai wajah di dalam foto itu.

"Hampir serupa dengan awak kan?"

Nuraisha mengangguk, mengiyakan kata-kata Haikal.

"Mungkin sebab tu Mia panggil awak mama. Walaupun Mia tak pernah jumpa atau tengok mama dia, tapi saya selalu bagi dia tengok gambar ni"

Nuraisha memanggung kepala. "Tak pernah jumpa mama dia?"

"Hanis meninggal dunia masa melahirkan Mia" Peristiwa itu sangat meninggalkan kesan di hati Haikal. Pertama kali dia merasakan kehilangan yang sangat perit di dalam hidup. Dia tidak menyangka secepat itu Hanis pergi meninggalkannya. Dan saat itu, dia akui dia tidak pernah redha dengan kepemergian Hanis. Maka disebabkan itulah dia sering alpa di dalam kehidupannya. Dia menafikan ketentuan yang telah Allah tetapkan untuknya. Dia tidak bersyukur dan mendustai nikmat Allah. Dia memang manusia yang tidak mengenal budi.

Nuraisha termangu. "Kasihannya Mia"

Lamunannya terganggu tatkala pintu bilik tidur terkuak luas. Muncul figura Haikal di situ sambil memandang ke arah dia dan Mia.

Nuraisha menelan liur. Pandangan yang amat sukar untuk dia tafsirkan. Pandangan yang mampu memabukkan mana-mana hati. Namun pandangan itu penuh dengan kesunyian. Adakah hati Haikal turut sepi sedangkan sebelum ini dia dikelilingi oleh banyak wanita?

"Mia..." Nuraisha mematikan kata-kata tatkala Haikal meletakkan ibu jari ke bibir. Tanda menyuruh Nuraisha diam.

Haikal masih berdiri di sisi pintu. Matanya galak memerhatikan keeratan Mia dan Nuraisha. Dia hampir terkedu melihat betapa kasihnya Mia pada gadis itu. Dia berfikir jika suatu hari nanti Nuraisha benar-benar meninggalkan mereka, apa akan jadi pada Mia? Pada dirinya?

"Malam ni, Nur temankan je Mia. Saya tidur kat bilik Nur" Selesai menuturkan itu, Haikal menutup pintu bilik dengan perlahan-lahan kerana tidak mahu mengganggu lena Mia.

"Apa yang tak kena dengan aku ni?" Haikal bermonolog sendiri sambil menyentuh dadanya.

SUFIAN menghenyak punggung di atas sofa. Kepala yang tersandar di bahu sofa segera dipicit berkali-kali. Matanya terpejam rapat. Serentak itu, bibirnya memuntahkan keluhan berat. Seberat masalah yang dihadapinya saat ini.

Pertemuan dengan Nuraisha benar-benar mengharu-birukan perasaannya. Sangkanya, pertemuan mereka berakhir pada empat tahun yang lalu. Namun dia tidak menyangka jika takdir Allah itu menuliskan yang sebaliknya.

"Sakit! Sakit sangat!!" Mata Sufian tercelik tanpa permisi. Raungan Nuraisha ketika di bilik bedah terngiang-ngiang di cuping telinganya.

Dia mengubah posisinya. Dari bersandar, dia kini duduk meneku lutut. Dia mendengus perlahan dan mengetap bibir. Dosa yang lalu kini perlahan-lahan menghantuinya.

"Tolong aku Pian! Tolong selamatkan Hanis. Aku tak boleh hidup tanpa dia!! Tolong aku!!" Rayuan Haikal mula mengambil tempat di benaknya. Sedikit demi sedikit, peristiwa lampau mulai terimbau...

"KAU je yang boleh tolong aku!" Haikal sudah merayu sambil menghimpun kedua tangannya. Wajahnya penuh pengharapan.

Sufian mengeluh. Pembedahan yang dijalankan kini bertukar ke tangan Doktor Amirah kerana dia dimaklumi akan kehadiran seorang pesakit yang turut sarat menanggung sakit.

"In Shaa Allah, Hanis takkan apa-apa. Kau kena banyak berdoa pada Allah"

"Aku tahu! Tapi kau kena jugak selamatkan Hanis. Dia nyawa aku Pian. Dia nyawa aku!" Haikal sudah meroyan. Tak mampu dia bayangkan jika dia harus kehilangan Hanis dalam sekelip mata.

"Doktor Sufian! Ada pesakit baru datang. Kami terpaksa tempatkan dia di ruangan ICU. Keadaan dia sangat teruk. Dia sedang sarat hendak melahirkan" Seorang jururawat mengkhabarkan berita itu kepada Sufian.

"Okey, saya ke sana" ujar Sufian lantas berlalu. Namun langkahnya dihalang oleh Haikal.

"Hanis macam mana?"

"Ada doktor lain yang sedang rawat dia. Masa ni, aku tak boleh fokus pada Hanis sorang. Kami kekurangan doktor" jawab Sufian. Bahu Haikal dipegang. "Percayalah, Hanis dan baby dia takkan apa-apa. Banyakkan berdoa"

Sejurus selepas itu, Haikal ditinggalkan di situ bersama tangisannya. Di luar bilik kecemasan, Haikal menitipkan doa pada Yang Maha Esa agar keadaan Hanis dan bayi mereka membaik sahaja. Pada saat itu, dia benar-benar sudah tidak berdaya. Dia jatuh terjelepok di atas lantai dengan penuh harapan.

Di bilik kecemasan lainnya pula, Sufian berusaha terus untuk menyelamatkan wanita yang sarat hendak melahirkan itu. Wajah wanita itu pucat dan kekuatannya seakan sudah hilang. Peluh merencik-rencik dari segenap wajahnya.

"Sakit!! Sakit sangat!!" rintihnya tatkala beberapa jururawat lain mengarahkannya untuk meneran bayinya.

"Puan, teruskan meneran. Kepala bayi dah nak nampak" bagitau Sufian sambil menitipkan semangat.

"Arghhhh....argggghhhhhh!!" Jeritannya seakan hampir bergema di ruang empat dinding itu. Nafasnya tercungap-cungap.

"Lagi puan! Kepala baby dah nampak"

"Arghhhhhhhhhh!!!" Sejurus selepas itu, kedengaran tangisan bayi bergema di seluruh ruang. Sufian dan para jururawat bersorak gembira menyambut kelahiran bayi perempuan itu. Mereka dapat menyelamatkan dua nyawa sekaligus walaupun dalam keadaan gawat begitu.

"Doktor Sufian! Pesakit tak sedarkan diri!" Salah seorang jururawat memaklumkan. Sufian kaget. Bayi perempuan tadi diserahkan kepada pembantunya untuk dibersihkan.

"DOKTOR. Doktor ke yang bedah anak saudara saya tadi?"

Sufian tekejut saat dihampiri oleh dua orang wanita yang agak berusia dan seorang lagi dalam lingkungan 20-an. Wajah mereka agak serius dan tiada seri senyuman yang dilemparkan.

"Maksud puan, Puan Aisha?"

"Haaa, ye. Saya Adira, sepupu dia. Dan ni mak saya" Adira memperkenalkan diri.

"Macam mana dengan keadaan anak saudara saya?" Maksu Dara bertanya. Dia sudah tidak sabar hendak pulang kerana rimas berada di tempat itu. Lagipula, dia tidak betah untuk terus menunggu Nuraisha di situ. Anak itu sudah bikin malu dia sahaja!

"Oh, bayi dia selamat. Baby girl" Sufian tersenyum saat memaklumkan itu. "Tapi Puan Aisha, dia..." Senyuman Sufian hampar.

"Aisha kenapa?" soal Adira ingin tahu.

"Dia masih dalam keadaan koma. Dan hilang banyak darah. Kami kena carikan darah yang sesuai untuk dia. Kalau tak, kami tak mampu nak selamatkan dia"

"Apa-apa jelah! Yang penting, kami nak balik kalau takde apa-apa urusan lagi"

Omongan Maksu Dara memeranjatkan Sufian. Dia tidak menyangka sebegitu sekali respon mereka berdua. Tidakkah mereka kasihan dengan nasib yang menimpa Nuraisha?

"Tapi Puan Aisha masih perlukan darah. Kami perlu tahu, kalau darah cik berdua secocok dengan dia"

Adira mendengus. "Hishh, tak habis-habis nak susahkan oranglah perempuan tu! Dahlah buat malu satu keluarga"

Sufian menelan liur. Tak henti-henti dia mengucap panjang di dalam hati. Ada jugak orang macam ni rupanya!

"Perempuan tu darah apa?" tanya Adira lagi.

"AB-" sahut Sufian.

"Darah kami tak ngam dengan dia. AB-! Mana sama dengan darah kami?!" sampuk Maksu Dara pula.

"Habis tu, macam mana?"

"Ehh doktor ni! Perempuan tu under doktor kan? Jadi dia tanggungjawab penuh doktor kan? So doktorlah yang pergi cari penderma untuk dia. Buat apa nak susahkan kami!" sahut Adira pula. Kalau dia berdarah AB- sekalipun, takkan sesekali dia sudi mendermakan darahnya untuk Nuraisha!

"Dan lagi satu. Anak haram dia tu! Kami tak nak!! Buat menyusahkan kami saja nanti. Doktor boleh bagi kat sesiapa yang nak atau bagi je kat rumah anak yatim"

"Astafirullah al azim!" Sufian mengucap sambil mengurut dadanya. "Kami tak boleh buat macam tu. Tu anak Puan Aisha. Tu hak dia. Apa yang akan jadi pada nasib anak tu, biar Puan Aisha je yang tentukan"

"Piann!!" Haikal mendekati Sufian. Wajahnya sudah basah dengan air mata. "Pian, doktor cakap Hanis dan anak aku tak dapat diselamatkan!"

"What??!"

SUFIAN membukakan mata. Air mata mengalir laju ke pipi. Dosa yang dilakukan empat tahun lalu kini kembali menghantuinya. Setelah dimaklumkan akan kehilangan Hanis dan bayinya, Haikal pengsan tidak sedarkan diri satu hari. Sufian bimbang dengan keadaan Haikal itu. Dia takut sekiranya Haikal melakukan sesuatu di luar jangkaan. Dia kenal Haikal itu macam mana.

Oleh kerana itu, dia segera mendapatkan Adira dan Maksu Dara. Dia membuat perundingan untuk membeli anak Nuraisha daripada pengetahuan Nuraisha sendiri. Sebagai balasan, dia akan membayar mereka sebanyak RM2000 tiap bulan sebagai syarat tutup mulut. Dan RM3000 pula untuk Nuraisha kerana melahirkan anak itu.

Tiada sesiapa yang boleh tahu, termasuklah Nuraisha dan Haikal! Dan tanpa berfikir panjang, Maksu Dara dan Adira bersetuju dengan tawaran itu. Setelah Nuraisha sedar dari koma, Sufian sendiri mengesahkan bahawa Nuraisha hilang ingatan dan itu semakin memudahkan kerja mereka. Nuraisha tidak akan pernah tahu dirinya pernah mengandung dan melahirkan anak.

Setelah keadaan Nuraisha baik, dia dibenarkan pulang. Anak yang dilahirkan diserahkan kepada Haikal dengan berbohong dan mengatakan hanya bayi Hanis dapat diselamatkan. Sedangkan bayi yang dikandung Hanis sudah meninggal ketika masih dalam perut lagi.

Walaupun Haikal pada mulanya tidak dapat menerima kenyataan kehilangan Hanis, namun dia masih bersyukur kerana bayinya selamat. Bukti cinta Hanis kepadanya. Berkali-kali dia mengucapkan syukur dan berterima kasih pada Sufian kerana telah menyelamatkan nyawa bayinya.

Sufian hanya tersenyum kerana lega dengan penerimaan Haikal. Namun jauh di dasar hati, dia tahu perbuatannya sangat berdosa. Memisahkan seorang ibu dari anaknya! Tetapi dia tak fikir panjang. Yang ada dalam fikirannya hanyalah keutamaan Haikal.

Dia menyesal! Benar-benar menyesal. Apabila melihat keakraban Mia dan Nuraisha, dia diikat dengan rasa dosa dan sesal yang tak berkesudahan. Dan dosa itu akan terus menghantuinya jika dia tidak mengungkapkan kebenarannya. Namun sejauh mana penerimaan Haikal dan Nuraisha nanti? Dan sudah pastinya Mialah yang akan menjadi mangsa!

"Haikal, maafkan aku! Nur, maafkan saya!"

HARUMAN rambut Nuraisha yang melekap pada bantal itu menjadikan lena Haikal terganggu. Dia memusingkan badan ke kiri dan ke kanan. Bukan dia tidak selesa dengan keadaan itu, tetapi hatinya berdegup sahaja dari tadi.

Sejak menjadi penghuni sementara di bilik itu, dia dapat merasakan aura semacam saja. Bilik itu dulu merupakan bilik Mia namun sejak Nuraisha tinggal bersama mereka, Mia dipindahkan ke biliknya. Dan bilik Mia menjadi bilik Nuraisha pula. Tidak banyak yang berubah di bilik itu. Hanya almari dan beberapa perabot lainnya yang bertukar.

Haikal tersengih sendiri saat terkenangkan Nuraisha. Dia tidak menyangka pertemuan dengan Nuraisha berlarutan seperti ini. Gadis yang menyimpan terlalu banyak rahsia dan mata cantik itu mengungkap seribu kesedihan dan derita yang ditanggung.

Dia ingin menyelami segala perasaan dan rahsia Nuraisha. Dia ingin menjadi bahu untuk Nuraisha bersandar. Dia ingin menghibur hati Nuraisha selalu. Dan dia ingin Nuraisha menjadi mama kepada Mia.

Wajah Haikal kemerahan saat mengangankan itu. Dia menekup wajah dengan bantal bercorak bunga itu. Malam itu, tidurnya pasti lena kerana ditemani dengan haruman Nuraisha.

Tekak yang terasa dahaga minta diisi pula. Dia bangkit dari baringnya lantas menuruni katil. Baru sahaja hendak melangkah mendekati pintu, kakinya terpijak sesuatu.

Haikal menoleh ke bawah. Dahinya mengerut saat terpandang objek berwarna putih itu. Dia menunduk untuk mengutip objek itu. Darah yang mengalir dalam badan seakan laju mengepam. Nafasnya turun naik menahan amarah yang mulai membukit.

Kini, wajah dan senyuman Nuraisha beransur-ansur hilang. Yang ada cuma hasutan iblis dan amarah yang memuncak. Dia ditipu hidup-hidup oleh gadis itu. Haikal berganjak keluar dan segera mendapatkan Nuraisha bagi meminta penjelasan.

Hanya satu yang bermain di fikirannya, apa maksud objek putih itu?!

done! happy reading gaisss ;)

Share this novel

Lisa Halik
2022-01-31 03:53:10 

sanggupnya sufian ni,apa perasaan haikal klu tau mia tu bkn anaknya&aisha

Azlinda Ridhwan
2021-08-20 12:35:15 

sis..hri ada update x


NovelPlus Premium

The best ads free experience