80

Other Completed 493332

TERSEDAR dari lena yang panjang, sepasang anak mata itu terkebil-kebil memandang siling. Perutnya terasa berat dengan sesuatu objek di atasnya. Entah kenapa, lena kali ini terasa panjang dan menyamankan. Dia menoleh ke sisi dan terpana melihat sebujur wajah cantik itu sedang beradu di sebelahnya.

Farrhan tersenyum lebar. Teringat akan kejadian malam tadi, bibirnya semakin memekar dengan senyuman. Walaupun tiada apa-apa yang berlaku di antara mereka, namun dia tetap gembira dan senang dengan penerimaan Nuraisha terhadap belaian dan kucupannya.

Isterinya itu langsung tidak menolak perlakuannya, bahkan semakin galak membalas setiap sentuhannya. Ibarat pertama kali jatuh cinta, begitulah indah perasaan yang mereka rasakan ketika itu. Dan Farrhan merasakan betapa indahnya menjadi seorang suami yang selayaknya memegang status itu. Dia kini seorang suami! Iya, dan kenyataan itu takkan pernah berubah sampai bila-bila.

Dia mengiring posisi menghadap Nuraisha. Wajah cantik itu ditenung lama. Melihat wajah itu, seribu kenangan lalu yang tercipta antara mereka bermain di tubir mata. Dia ingat segala-galanya. Dia ingat bagaimana bahagianya mereka meluah cinta dan melepaskan rindu masing-masing. Dia ingat betapa indahnya dibuai perasaan itu.

Dan dia juga masih ingat dengan jelas, pertama kali bertemu dengan Nuraisha di pusat pelacuran itu. Dia tidak pernah ada niat untuk merosakkan mana-mana gadis di sana namun hasutan dan dendam yang menimpa ketika itu memaksa dirinya menjadikan wanita sebagai mangsa dan pelepas nafsu.

Hubungan yang dibina bertahun bersama Maira hancur sekelip mata tatkala gadis itu mengambil keputusan untuk mencuranginya. Bahkan yang paling menyedihkan saat dia menyaksikan sendiri keintiman Maira dengan lelaki lain di atas ranjang. Sungguh, hatinya terluka dan bernanah!

Dendam itulah yang menyeret dirinya ke kancah dosa itu. Dia memilih Nuraisha secara rawak meskipun dia tahu Razlan juga menaruh minat terhadap gadis itu ketika itu. Setelah berjaya merebut Nuraisha dengan membutakan mata Jimmy dengan wang ringgit, dia memaksa Nuraisha melayaninya meskipun berkali-kali gadis itu merayunya.

Bahkan setiap kali dia berkunjung ke situ, dia pasti akan meminta Nuraisha melayaninya. Namun semuanya dalam keadaan tidak terkawal kerana dia diberikan pil dan mabuk pada ketika itu.

Hubungan terlarang tanpa ikatan itu berlanjutan selama hampir dua bulan. Dan ketika itulah, dia mula merasakan lemahnya seorang wanita ketika ditindas dan dipijak maruahnya sesuka hati oleh sang lelaki.

Mata indah milik Nuraisha mengagumi sekeping hatinya. Setelah dua bulan menyiksa Nuraisha dengan hubungan terlarang itu, dia menghilangkan diri selama seminggu tetapi muncul semula dengan diri yang baru. Nuraisha ditemui namun dengan niat yang berbeza. Dia tidak ingin merosakkan Nuraisha dan mencipta dosa lagi sedangkan hubungan mereka hubungan terlarang. Setiap hati, dia menemui Nuraisha dan mereka hanya berbual-bual kosong. Berkongsi rasa dan saling meluah perasaan.

Semakin lama, dia melupakan dendam dan sakit hatinya terhadap Maira kerana kehadiran Nuraisha. Dan di situlah cinta mula berputik. Dia tergila-gilakan Nuraisha sehingga dia memberi amaran kepada Jimmy agar tidak membenarkan mana-mana lelaki menyentuh gadis itu.

Sehinggalah suatu ketika, pada saat dia ingin melamar Nuraisha dan menemui gadis itu, kereta yang dipandu oleh Razlan kecelakaan. Dia tidak sedar apa-apa dan ingatannya juga seakan hilang begitu saja.

Dia tidak ingat apa yang berlaku dan segala-galanya seakan berlalu begitu saja. Sikapnya berubah sama sekali dan sekali lagi, dia membenarkan Maira kembali ke dalam hidupnya. Namun gadis itu tetap mencalar-balarkan hatinya yang sememangnya sudah hancur berkecai ketika itu.

Dan tanpa sedar, takdir menulis kembali pertemuannya dengan Nuraisha setelah empat tahun segala-galanya berlalu. Ketika itu, mereka saling tidak mengenali dan dia begitu membenci Nuraisha kerana Firash. Kini, semuanya sudah jelas. Nuraisha gadis pertama dalam hidupnya dan dia tidak akan melepaskan gadis itu lagi.

Air mata yang bergenang membasahi ruang wajah. Perasaannya bercampur-baur dan sukar untuk diungkapkan rasa itu dengan kata-kata. Dia ingin memiliki Nuraisha kembali dan menyambung kisah cinta mereka. Namun dia risau apakah perasaan Nuraisha sama seperti dirinya?

"Kenapa nangis?"

Suara serak basah itu menyentakkannya. Dia menjamah seluruh wajah Nuraisha dengan sepasang anak matanya. Dia ingin mengungkap segala-galanya namun suaranya seakan tidak mahu bekerjasama dengannya.

"Sejak akhir-akhir ni, saya selalu nampak awak menangis" adu Nuraisha. Sama seperti dirinya, kerap menangis tiap malam kerana keliru dengan perasaannya sendiri. Dia tidak mahu kehilangan Farrhan namun janji yang sudah diikat bersama Haikal tidak mungkin bisa dilupakan. Sejauh mana dia membenci Farrhan, sedalam itu juga lelaki itu mengetuk kembali pintu hatinya.

"Awak dah tak macam dulu. Suka marah-marah, tengking orang, wajah bengis. Tapi sekarang... " jeda Nuraisha sambil mengesat air mata Farrhan yang sedang enak berlabuh di permukaan wajahnya.

"Awak dah berubah. Macam empat tahun lalu. Mata yang bersinar dengan cinta dan kasih sayang" sambung Nuraisha dengan iringan esak tangisnya. Bagaimana bisa dia menyembunyikan rasa empat tahun lalu kerana lelaki itu terlalu hebat mengocak hatinya.

Mata Farrhan terpejam. Serentak itu, air mata semakin galak memunculkan diri. Tangan Nuraisha yang berada di atas wajahnya dikucup perlahan. Tidak usah mengungkap dengan bibir kerana dia pasti isterinya sedang merasa betapa kuatnya cinta itu mengalir di antara mereka.

MENERIMA kehadiran tetamu tak diundang itu seakan memusnahkan mahligai yang ingin dicipta kembali. Wajah cantik dan sempurna di hadapannya ketika itu dipandang tak berkelip. Masakan dia lupa pada gadis itu. Dulu, Farrhan selalu bercerita mengenainya malah siap menunjukkan lagi gambarnya.

Maira! Gadis sempurna yang punya segala-galanya. Tubuhnya yang ramping dan kurus itu cantik bak model. Wajahnya yang bujur sirih dengan hidung memancung dan bibir yang sentiasa memerah dengan lipstick itu mampu menggilakan hati mana-mana lelaki.

Untuk apa dia kembali? Merebut perhatian Farrhan kembali? Atau sekadar menyinggah bertanya khabar?

"I tahu siapa you!" Sinis saja Maira menyapa. Masakan dia lupa pada gadis yang pernah ditamparnya suatu ketika dulu. Gadis yang dijodohkan dengan Farrhan setahun yang lalu. Dia kalah pada aura tak semenggah gadis itu saat Farrhan lebih memilih untuk meninggalkan dirinya. Arghhh!! Dia tak puas hati. Bagaimana dia bisa tewas pada gadis yang kolot dan tak seseksi dirinya? Tubuhnya saja bisa menggiurkan mana-mana lelaki sedangkan gadis di hadapannya bak lidi!

"Tapi aku tak naklah bazirkan masa berkenalan dengan kau! Aku nak jumpa Farrhan. Kekasih hati aku! Cinta hati aku. Mana dia?"

"Dia sedang berehat"

"Perfect!" Maira menolak tubuh Nuraisha lantas menaiki anak tangga menuju ke kamar Farrhan.

Nuraisha mengejar dari belakang. Hatinya serba tak kena. Mahukah Farrhan kembali pada gadis itu? Dia tidak menafikan kecantikan yang dimiliki oleh Maira sangat luar biasa! Sungguh berbeda dengan dirinya. Tetapi sebentar tadi, dia dan Farrhan melepas cinta dan rindu masing-masing... Hati Nuraisha mula berlagu kecewa.

Tanpa sedar, dia sudah melangkah sehingga ke bilik Farrhan. Dia mengintip di celah pintu. Air matanya tiba-tiba mengalir saat melihat kemesraan Maira dengan suaminya. Maira memeluk Farrhan dan lelaki itu seolah-olah senang diperlakukan seperti itu. Tiada penolakan dari Farrhan.

Nuraisha menyandar tubuh ke dinding. Perlahan-lahan, dia terduduk di atas lantai dengan sebuah keluhan berat. Dia keliru dengan perasaannya namun lebih keliru dengan penerimaan Farrhan. Haruskah dia terus berharap atau melupakan saja segala-galanya?

Dia tidak kuat berdepan dengan sebarang kehilangan. Sedikit sebanyak, memori lalu kembali menerjah ruangan otak dan kenangan itulah yang memaksanya untuk terus membuka ruang buat lelaki itu.


"Kau kat sini rupanya!" Maira menegur di sebalik pintu. Dia bercekak pinggang dengan wajah bengis.

Nuraisha bangkit dari duduknya. Dia berhadapan dengan Maira yang seakan hendak menelannya saja ketika itu.

"Buatkan aku air. Hauslah! Dan hantar ke bilik ni. Secepat mungkin!"

BETAPA peritnya hati ketika melihat kemesraan Maira dan Farrhan ketika itu. Entah kenapa hatinya dilanda cemburu yang menggila. Maira seakan sengaja menunjukkan kemesraan di hadapannya. Dia tidak tahu sejauh mana penerimaan Farrhan namun dia mampu melihat seberapa kerap lelaki itu menolak dari terus dimanjai Maira.

Setelah selesai dengan minumannya, Maira menghadap Nuraisha yang sedang berdiri di hujung katil. Melihat wajah itu saja membuat hatinya menggeledak dengan amarah. Entah apa istimewanya gadis itu sehinggakan Razlan juga turut menggilainya. Buta mata betul!

"Kau cuma jadi isteri dia sekejap je kan? Lepas ni kau bolehlah berambus dari sini. Sebab aku yang akan kawen dengan dia. Lagipun, dia dah janji nak kawen dengan aku"

Tutur kata Maira mendebarkan sekeping hati Nuraisha. Dengan wajah yang penuh yakin dari Maira, hatinya semakin sakit dengan apa yang berlaku.

Farrhan menggeleng kepala berkali-kali. Wajahnya bengis. Maira tipu! Saya tak pernah janji apa-apa dengan dia! Dia yang larikan diri dari hubungan kami!

"Baguslah. Sekurang-kurangnya, ada yang jaga Farrhan lepas ni" sahut Nuraisha, tidak mahu kalah dengan kata-kata Maira. Jika Maira berfikir dia akan tewas dan menangis di situ, Maira silap! Meski hatinya meraung dan sangat sakit saat itu, dia tidak akan sesekali mempamerkannya.

Omongan Nuraisha mematikan riak sinis di wajah Maira. Dia menyumpah dalam hati dengan ketenangan yang sengaja ditunjukkan oleh Nuraisha. Perempuan sial!

Wajah Farrhan berubah mendadak. Wajah yang beriak bengis barusan bertukar kendur. Benarkah seperti yang diungkapkan oleh Nuraisha itu? Jika benar, untuk apa mereka bercumbuan dan meluah rindu semalam? Adakah Nuraisha berniat hendak mempermainkannya?

"So kau tak kisahlah kalau suami kau kawen lain?"

"Talak dan poligami ada dalam genggaman seorang suami. Apa pun keputusan Farrhan, itulah takdir hidup saya. Saya takkan menyoal atau mempertikaikan setiap keputusan dia. Sebab saya sedar kedudukan saya"

Kata-kata Nuraisha menyeksa kalbu Farrhan. Ingin rasanya kaki melangkah dan berlari ke arah isterinya dan memeluk wanita berhati mulia itu. Akan dia ungkapkan seribu kalimah cinta bagi mengungkap segala perasaannya. Sha.. kenapa tak mengerti perasaan ini?


Maira mendengus halus. Dia benar-benar benci dengan diri Nuraisha dan ketenangan gadis itu. Dia harus mencari jalan untuk terus menyakiti hati Nuraisha. Tidak kiralah jika nyawa menjadi taruhan!

"Kau tahu tak. Selama setahun aku hilangkan diri, selama setahun tu jugak Farrhan koma kan?"

Maira mula mendapat akal untuk menipu. Dia bukan saja akan meraih simpati Nuraisha, bahkan akan membuatkan lelaki itu kembali ke sisinya.

"Tapi kau nak tahu kebenaran dia?"

Sepasang mata Nuraisha galak memerhatikan Maira. Dia menanti dengan penuh sabar akan omongan gadis itu.

"Sebelum Farrhan koma, kita orang ada...." Maira senyum nakal. "Kau faham-faham jelah!"

Hati Nuraisha semakin berdebar. Apa yang hendak disampaikan oleh Maira sebenarnya?

Farrhan juga menanti penuh kesabaran. Dia tahu ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Dia kenal Maira. Gadis itu penuh licik dan ada niat yang tidak baik.

"Tujuan aku kembali ni sebab aku nakkan hak aku!" Maira bertegas.

"Hak?!" Nuraisha ulang perkataan itu. Hatinya sudah berlagu syahdu.

"Hak!" Ulang Maira pula. "Hak untuk anak yang aku kandungkan selama 9 bulan 10 hari. Dan anak tu adalah darah daging Farrhan!"

"KAL, dahlah tu! Kita hentikan semua ni ye? Kau boleh bina hidup baru. Dan lupakan semua ni" nasihat Sufian. Hampir setiap hari dia menjenguk Haikal di situ.

Keadaan sahabatnya itu ibarat mati bini sahaja! Tak terurus dan kerap meracau. Foto Nuraisha ditampal ke merata tempat. Hati Sufian berkecai melihat keadaan Haikal itu. Bersalahkah dia kerana membongkar segala kebenaran itu?

Tadi, ketika dia tiba, dia mendengar tangisan Fariq di dalam bilik. Bimbang dengan keadaan bayi kecil itu, dia bergegas ke kamar dan melihat Fariq sedang dibaringkan di atas katil tanpa ada sebarang alat sokongan. Jika dia terlambat sampai, entah apa nasib bayi kecil itu.

Deringan telefon Haikal juga tak henti-henti minta diangkat. Apabila dia melihat ke skrin telefon, ada puluhan panggilan tak dijawab daripada Nuraisha.

"Kau senanglah cakap! Kau tak berada di tempat aku! Aku dah hilang segala-galanya. Aku dah hilang Mia, dan kejap lagi aku akan hilang Nur!"

Sejak menerima berita mengenai Mia, akal fikiran Haikal seakan sudah hilang pertimbangan. Dia tidak dapat menerima kenyataan menyakitkan itu. Peritnya harus kehilangan Mia yang dijaga selama beberapa tahun itu. Dan dia tahu, tidak lama lagi dia juga bakal kehilangan Nuraisha. Namun dia tidak akan berputih mata. Kehilangan Mia mengajarnya erti hidup. Jika dia kehilangan Mia, dia tidak akan sesekali melepaskan Nuraisha!

"Apa maksud kau? Nur takkan tinggalkan kau"

"Kenapa dia tak balik-balik? Seronok sangat dengan suami dia sampai dia lupa aku? Lupa Fariq?"

"Kan Nur sendiri dah cakap. Dia jaga suami dia yang sakit. Lagipun, bila masa pulak Nur lupakan kau? Dia call kau hari-hari. Kau je yang ego, tak nak angkat call dia. Lepas tu kau cakap Nur lupakan kau?!"

Sungguh ego hati seorang Haikal! Sufian sudah tidak mengenali diri Haikal yang sebenar-benarnya. Sikap dan perilakunya berubah drastik!

"Kau diamlah!! Aku...aku nak Nur kembali pada aku! Kalau Mia tak nak jadi anak aku, takpe. Tapi lepas je aku kawen dengan Nur, Mia masih jugak anak aku!"


"Haikal! Cukup-cukuplah tu! Lepaskan yang lalu. Dan hidup dengan masa depan. Kau berhak bahagia. Walaupun tanpa Nur"

"Sial!" Wajah Sufian ditumbuk menyebabkan lelaki itu terbaring di atas lantai.Haikal duduk di atas badan Sufian dengan wajah yang menyeringa. Radangnya semakin menjadi-jadi dengan bicara Sufian itu.

"Kau nak pisahkan aku dengan Nur? Kau yang tak nak aku bahagia sebenarnya kan? Kau dah lupa ke, siapa yang selamatkan Nur dari rumah neraka tu? Kalau bukan sebab aku, Nur masih duduk lagilah kat situ! Layan jantan-jantan yang tak guna dek kerana suami dayus dia tu! Dan kau senang-senang je nak suruh aku lupakan semuanya?"

Kolar baju Sufian dipulas. Jangan haraplah dia akan hidup tenang tanpa Nuraisha di sisi!

"Kau yang bertanggungjawab di atas semua ni! Kau yang bersalah. Kalau bukan disebabkan kau, aku takkan jadi macam ni. Dan kalau bukan disebabkan kau jugak, Mia masih lagi jadi anak aku!! Aku takkan maafkan kau!"

Wajah Sufian ditumbuk bagi melepaskan rasa amarah yang membuku dalam hati. Sufian juga tak duduk diam, bertubi-tubi tumbukan dikenakan ke wajah Haikal. Dia tidak akan menyerah kalah hanya kerana rasa bersalah terhadap lelaki itu. Dia sayangkan Haikal seperti saudara kandung. Segala yang dilakukan selama ini adalah kerana kebahagiaan Haikal. Namun Haikal memandang serong akan niatnya. Oleh itu, Sufian juga tak akan duduk diam selagi masalah ini tidak diselesaikan!

Iya, benar kata Haikal! Dia yang bertanggungjawab di atas segala-galanya. Dia yang memulakan semua permasalahan ini. Oleh itu, dia juga yang akan mengakhirinya!

Share this novel

awer
2021-09-08 16:44:27 

x paham..knape dia x reti balik tgk baby dia.bodo la nur ni...


NovelPlus Premium

The best ads free experience