63

Other Completed 493332

BAYI lelaki berusia seminggu itu digendong dengan senyuman lebar di wajah. Berkali-kali wajah comel itu dicium, sukar untuk dia tafsirkan segala perasaannya saat itu. Segala gundah-gulana hilang ditelan angin tatkala menatap keindahan wajah itu. Benarlah kata orang-orang, wajah bayi selembut sutera dan mampu menenangkan hati sesiapa yang memandang.

"Dah bagi nama ke kat anak kau ni?" tanya Mariam lantas mendekati Halimah yang terbaring lesu di atas katil. Bibirnya pucat saja namun tetap manis mengukir senyum.

"Aku tak tahu nak bagi nama apalah Yam. Aku belum fikirkan lagi nama dia"

Mariam tersenyum sambil tak putus-putus mencium wajah si comel. Tersengih si comel saat dikucup oleh wanita itu.

"Laaa engkau ni! Takkan tak sediakan nama anak sebelum ni?"

Mendengarkan itu, Halimah tiba-tiba mengongoi. Bertangisan dalam hati yang ditelan sebak. Dia teringat saat-saat terakhir bersama arwah suaminya, Husin. Mereka pernah merancang nama anak bersama namun saat usia kadungannya mencecah 7 bulan, Husin pergi menghadap Ilahi akibat kanser telinga. Sungguh hatinya goyah apatah lagi harus membesarkan anak seorang diri tanpa suami di sisi.

Mujur ada sahabat baiknya, Mariam dan Firman yang sudi menghulur tangan untuk membantu. Firman sebenarnya merupakan pemandu kepada arwah Husin dan orang yang paling dipercayai suaminya. Kerana ikatan yang kukuh itu, mereka menjadi akrab sehinggakan Husin melantik Firman sebagai pembantu peribadinya.

Hubungan yang terjalin di antara keduanya menyebabkan persahabatan mereka sangat utuh dan sukar untuk dipisahkan. Namun seindah apa pun impian, tetap akan ada dugaan yang menghalangi. Husin disahkan menghidap kanser telinga tahap empat. Hati isteri mana yang tidak luluh ketika menerima berita itu. Lebih-lebih ketika si isteri sedang berbadan dua.

Saat Husin diserang penyakit, Firman dan Mariamlah yang banyak membantu. Meskipun kehidupan mereka sangat susah ketika itu, namun mereka berdua tetap ikhlas berdiri di samping dan menyambut ketika saat mereka rebah.

"Mah, kau kena kuat. Abang Husin mesti tak suka tengok kau menangis macam ni. Kuat demi anak kau dan abang Husin. Anak ni je satu-satunya peninggalan arwah pada kau" nasihat Mariam sambil mengusap belakang Halimah.

"Aku tak kuat Yam. Aku takut, aku gagal. Aku tak mampu besarkan anak ni sorang-sorang" adu Halimah, jujur.

"Kau ada kami Mah" sampuk Firman yang baru masuk ke kamar. Mariam didekati lantas bayi comel itu bertukar tangan. Sudah lama dia dan Mariam menginginkan anak namun rezeki mereka kunjung tiba. Apabila lahirnya bayi comel itu, hatinya menumpang bahagia kerana bisa merasakan menjadi ayah angkat kepadanya. Dikucup berkali-kali pipi gebu itu.

"In Shaa Allah, apa je yang kau perlu, kami akan bantu selagi kami mampu. Arwah abang Husin pergi bukan saja-saja. Dah takdir dia sampai dulu. Kau kena redha. Kalau tak, arwah tak tenang kat sana"

Air mata yang mengalir, diusap perlahan. Dia mendepakan tangan, meminta bayinya daripada Firman. Dengan hati-hati, bayi comel itu diserahkan kembali kepada Halimah.

"Megat Firash" Nama itu disebut oleh Halimah. Bibirnya memekar dengan senyuman.

"Megat Firash bin Megat Husin" sampuk Mariam pula sambil tersenyum.

"Cantik nama tu" sahut Firman pula.

"Yam, abang Fir. Nanti kalau Mah dah takde, tolong angkat Firash jadi anak abang dan Yam ye? Jangan besarkan dia dengan kekayaan. Arwah abang Husin pernah pesan. Dia tak nak anak dia membesar dengan kemewahan, takut akan lupa diri. Besarkan dia dalam keadaan sederhana"

"Yam, apa kau cakap ni? Firash perlukan kau"

"Itupun kalau umur aku panjang..." sahut Halimah diiringi sedu-sedannya.

"Mah..." Lengan Halimah disentuh oleh Mariam. Dia turut sebak dengan apa yang barusan Halimah ucapkan.

"Kau tahu kan..." Belum sempat Mariam habiskan ayatnya, Halimah terlebih dahulu memotong. "Aku ada komplikasi masa nak lahirkan Firash. Doktor nak aku pilih samada untuk selamatkan nyawa baby atau nyawa aku sendiri. Kau tahu kan, aku tak sanggup nak bunuh keturunan arwah abang Husin satu-satunya"

Halimah terus menangis mengenangi nasib dirinya. Namun dia redha dan pasrah kerana Allah telah tetapkan sesuatu yang baik bagi dirinya.

"Aku tak menyesal lahirkan Firash walaupun nyawa aku galang gantinya. Lagipun, aku tak perlulah merindui arwah sangat lepas ni kan? Sebab aku akan menyusul dia..."

"Mahhh...." Tubuh Halimah, Mariam bawa dalam dakapan. Perit sungguh penderitaan yang harus dialami oleh sahabat baiknya itu. Mereka berdua tenggelam dalam emosi yang kian dalam.

PUAN SRI MARIAM menyeka air mata yang mengalir laju di pipi. Kisah berpuluh tahun dahulu terungkap kembali. Meskipun kedua sahabatnya telah pergi menghadap Ilahi, namun kebaikan dan jasa mereka tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Bahkan dia sangat berterima kasih kepada mereka di atas ihsan-ihsan yang diberikan selama ini.

Wajah kaku Farrhan ditatap lagi. Kali ini, tangan Farrhan yang dingin digenggam erat. Dia ingin Farrhan tahu akan kesedihan yang dirasakannya saat ini.

"Angah. Arwah Firash memang bukan anak mama dan papa. Dan arwah memang bukan abang kandung angah. Segala harta dan kemewahan yang angah nikmati sebelum ni semuanya milik Firash. Wasiat yang ditinggalkan oleh arwah kedua orang tua Firash hanya menetapkan mama dan papa sebagai penjaga sementara ke atas Firash sampai dia berumur 18 tahun"

Tersedu-sedan Puan Sri Mariam menceritakan kembali kebenaran itu. Dia memang bersalah kerana merahsiakan semua perkara ini daripada pengetahuan anak-anak kandungnya.

"Dan bila Firash berumur 17 tahun, dia dapat tahu semua ni, itupun sebab dia terdengar perbualan mama dan papa. Tapi dia tak pernah marah atau kecik hati. Bahkan dia tak pernah tagih sedikit pun harta dia dari mama dan papa" Saat teringatkan peristiwa itu, hatinya benar-benar dalam kesedihan. Firash memang seorang anak yang baik. Dia tidak pernah langsung berkira bahkan dia bersyukur kerana hadir di dalam kehidupan mereka.

"Dan yang lebih memeranjatkan lagi, Firash nak mama dan papa rahsiakan perkara ni dari angah dan adik-adik yang lain. Dia tak nak kita semua terasa hati atau terkesan dengan kebenaran ni. Mama rasa menyesal sebab tak bagitau perkara sebenar. Tapi mama takde pilihan. Firash tetap nak rahsiakan sebab nak jaga hati kamu semua. Walaupun harta ni dah sah menjadi milik Firash, tapi dia tak pernah ada niat nak ambik balik segala-galanya"

Tangisan Puan Sri Mariam semakin kedengaran. Anak yang baik, tetapi anak itu yang pergi dulu.

"Angah, Firash tak pernah menumpang kesenangan kita. Tapi hakikatnya, kitalah yang menumpang kemewahan dia. Dia tak pernah sombong dengan kekayaan yang dia ada, tapi kita yang menumpang ni, kita yang berlagak seolah-olah harta ni kita punya"

"Firash baik, sama macam arwah orang tuanya. Mama dan papa jaga dia dari kecik. Bila dia berumur empat tahun, Allah bagi rezeki anak pada kami yang selama ni menunggu. Dan anak tu adalah angah. Angah lahir dan dibesarkan penuh kemewahan. Itu kesilapan terbesar kami. Tujuh tahun lepas tu, Allah bagi lagi rezeki pada kami. Dan mama disahkan mengandung anak kembar. Mama bersyukur sangat dengan rezeki yang Allah bagi. Tapi mama lupa untuk sujud pada Dia, mintak dibukakan hati angah dan kembali ke pangkal jalan"

"Mama agak, Firash mungkin tahu perkara ni akan berlaku. Sebab tu, sebelum dia meninggal, dia pindahkan segala harta dia ke atas nama Aisha. Termasuklah Mega T Holdings. Syarikat yang angah pernah terajui dulu, itu milik Aisha. Kondo yang angah duduki dan kereta mewah angah tu, semua tu atas nama Aisha. Apa-apa kesenangan yang kita nikmati sekarang, semua tu jugak milik Aisha. Kita takde apa-apa angah. Kita bukan orang kaya"

Dan setelah segala kebenaran terungkap, Puan Sri Mariam berasa bersalah terhadap arwah Husin, Halimah dan juga Firash. Dia yang tidak mampu menjaga kebajikan dan melindungi Nuraisha daripada panahan mata jahat. Kini, Nuraisha hilang tanpa jejak. Ke mana harus dia menjejak Nuraisha?

"Kalau ada keajaiban daripada Allah untuk kesembuhan angah, mama harap angah akan sedar dan insaf. Kalau tak, mama takkan maafkan angah sampai bila-bila!"

KEADAAN Samsul semakin membaik. Dengan kuasa Allah, akhirnya dia dapat sedarkan diri setelah koma lebih seminggu. Sejak dari hari itu, Naura tak pernah meninggalkannya di sisi. Hanya kembali sesudah menemani Puan Sri Mariam. Kini, masa Naura dihabiskan hanya untuk Puan Sri Mariam dan Samsul sahaja.

Dia mampu menghela nafas lega saat dikhabarkan berita baik itu oleh Abu. Terlalu panjang ucapan syukurnya kepada Allah SWT kerana telah menyembuhkan lelaki kesayangannya. Untuk itu, dia telah merubah penampilan diri dan lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Naura lebih nyaman mengenakan hijab dan menutup aurat. Perubahan yang drastik namun disambut baik oleh Naira, Puan Sri Mariam apatah lagi. Bersyukur tak terkata dengan perubahan itu.

"Aisha! Aisha! Aisha!!" Samsul meracau dalam tidurnya menyebabkan fokus Naura yang sedang membaca Yasin terhenti tiba-tiba.

Perasaannya mula bercampur-baur saat itu namun dia malas hendak ambil peduli. Kesihatan Samsul lebih utama saat ini.

"Sam..." Bahu Samsul digoncang perlahan.

Tak lama menunggu, Samsul tersedar dengan wajah pucat lesinya. Dia berkelip-kelip memandang wajah Naura yang manis melemparkan senyuman kepadanya. Seketika, dia terpana melihat kecantikan wajah itu mengenakan tudung.

"Nau...Naura!"

"Aah, saya" Naura melihat Samsul duduk dan dia membantu dengan meletakkan bantal bagi membolehkan Samsul bersandar pada kepala katil.

"Awak...awak nampak lain. Tampak manis" puji Samsul ikhlas. Hati Naura kembang kecup mendengarnya. Sungguh, dia tak menyangka begitu banyak perubahan berlaku saat ketiadaannya.

"Thanks" ucap Naura, cuba menyembunyikan segan yang hampir munculkan diri di segenap wajah cerahnya.

"Sama-sama. Dah lama ke saya kat sini?"

Naura mengangguk laju. "Dekat seminggu. Awak koma"

"Koma?" Samsul mengingati kembali peristiwa sebelum dia disahkan koma. Seingat dia, dia bersama Nuraisha hendak menuju ke tempat yang dijanjikan dengan bantuan Naura. Tetapi perjalanan mereka terhalang oleh Farrhan dan konco-konconya. Samsul mula gelabah. Mana Nuraisha?

"Sam, kenapa ni?" Naura turut kaget melihat gelagat Samsul, apatah lagi lelaki itu tergesa-gesa hendak berkemas.

"Sam!" jerit Naura.

"Aisha!" sahut Samsul lantas hendak menyalin bajunya. Di dalam fikirannya tak fikir lain dah. Hanya Nuraisha!

"Saya kena selamatkan Aisha"

"Selamatkan dari siapa? Saya dah buat laporan polis. Pihak polis sedang berusaha untuk cari kak ngah"

"Farrhan! Abang awak punca di sebalik semua ni! Masa kami on the way hari tu, dia dan beberapa orang lelaki tahan kereta kami. Aisha dibawak lari oleh Farrhan. Dan saya kena belasah. Saya tak sempat selamatkan Aisha"

Naura cuba untuk menghalang Samsul. Namun Samsul tetap dengan pendiriannya. Dia takkan mampu menghembus nafas lega selagi Nuraisha tidak ditemui.

"Dalam hal ni, kita tak boleh depend pada pihak polis 100%! Kena ada usaha lain jugak. Saya akan cari Aisha sampai dapat"

"Sam, please" Lengan Samsul disentuh. Wajahnya seakan hendak menangis saja saat diabaikan kehadirannya oleh Samsul. Dia tidak mahu itu terjadi. Dia ingin Samsul memandangnya dengan mata hati.

"Naura, saya tak boleh lengahkan perkara ni. Macam-macam boleh jadi pada Aisha kat luar sana"

"She's not only a sister to you, right?"

Bicara Naura memakukan segala tingkah Samsul. Pantas, wajah cerah itu ditatap sekilas. Dia tidak memahami maksud sinar mata yang diucapkan oleh Naura namun dia tahu, Naura sedang terluka. Dia boleh membaca semua itu.

"Naura..." Tangan Naura yang masih singgah di lengannya ditarik lembut.

"Do not tell me lies. Saya lawyer, I can read your mind" Walaupun hampir dapat menebak perasaan Samsul pada Nuraisha, namun dia masih ingin mendengar dari bibir itu sendiri. Dan itu tidak akan sesekali mematahkan semangatnya untuk terus mencuba memiliki hati Samsul.

"Kalau awak boleh baca fikiran saya, kenapa pulak awak bertanya semua ni pada saya?"

Sepi. Perlahan-lahan, Naura melepaskan tangannya pada genggaman Samsul. Dia mahu menangis namun tidak ingin ianya dihidu oleh Samsul. Dia sudah mengagak saat dari pertama Samsul ketemu Nuraisha. Kecewa? Iya, kerana dia kecundang sebelum sempat berjuang. Namun takkan semudahnya dia mengalah. Kali ini, cintanya pada Samsul harus diperjuangkan!

"Thanks for telling me the truth. But I'm not buying it!"

Samsul terpinga-pinga. Apa maksud kata-kata Naura barusan?

MELIHATKAN kedatangan Laila, Nuraisha segera mendekati dan memeluk kejap tubuh itu. Sudah tiga hari Laila tidak menjenguknya. Setahu dia, Laila tak pernah melupakan dia tak kira sesibuk apapun kerja Laila. Ada juga dia bertanya kepada Kyle namun lelaki itu hanya menunjukkan wajah bengisnya sebagai jawapan.

Nasib baik, dia terdengar Wati bercakap dengan Jimmy mengenai Laila. Saat dimaklumkan keadaan Laila yang agak teruk setelah dibelasah Kyle, hatinya walang. Dia tahu, Laila cuba untuk melindunginya. Kerana itu yang didengarinya.

"Akak tak mati lagilah!" Laila sekadar bercanda.

Pelukan terlerai. Dahi Laila ada kesan lebam. Wajah Nuraisha murung. Serta-merta dia menangis di situ. Rasa bersalah membukit dalam gaung hati. Jika bukan kerana Laila hendak melindunginya, pasti Laila tidak akan tersakiti seperti sekarang.

"Heyy, budak cengeng! Akak tak apa-apalah" Bahu Nuraisha diusap perlahan. Terharu hatinya melihat keadaan Nuraisha menangisi dirinya padahal dia masih sihat walafiat.

"Akak kena teruk dengan Kyle kan?" soal Nuraisha sambil mengesat air matanya.

"Ala, akak dah biasalah hadap semua ni. Engkau tu yang tak biasa! Setakat kena macam ni, takde apalah" sahut Laila pantas memimpin Nuraisha untuk duduk di atas sofa.

"Akak, Sha mintak maaf!" rintih Nuraisha. Bersama dengan Laila, dia dapat merasakan saat ketika berada di samping Firash.Terlalu melindungi dan menjaga dirinya! Maka sebab itulah, dia mudah cengeng.

"Haishhh budak ni! Takde apalah" rungut Laila. Sebenarnya, dia segan diperlakukan seperti itu oleh Nuraisha. Sementelah dia terlalu kotor dan jijik untuk dilayan bak manusia biasa! Dan Nuraisha satu-satunya insan yang sanggup memberi layanan seperti itu kepadanya.

"Dah, lap air mata tu! Hodoh akak tengok tahu tak?" gurau Laila. Dan ternyata, gurauannya mampu menarik kembali senyuman di wajah Nuraisha.

"Sha okey kan? Akak dengar Haikal tu dah booked kau. Betul ke?"

Tanpa disedar, berita itu rupanya sudah sampai sehingga ke telinga Laila. Malah, satu tempat itu dan penghuninya sudah mengetahuinya. Disebabkan itu, tiada mana-mana lelaki berani melanggan Nuraisha kerana Haikal mempunyai kuasa dan pengaruh yang kuat. Lagipula, Haikal memang dikenali ramai.

"Macam mana akak tahu?" Nuraisha tersentak mendengar omongan Laila. Sungguh, dia tidak mengetahuinya sama sekali.

"Semua orang bercakap pasal tu sekarang ni. Kalau kau nak tahu, Haikal tu memang digeruni ramai orang. Dia ada pengaruh dan kuasa yang kuat. Sesiapa pun tak berani menentang dia. Tu sebabnya takde sesiapa yang berani melanggan kau. Kiranya Haikal tu tengah protect kau"

Nuraisha menelan liur. Dia tidak menduga sejauh itu pengaruh yang dimiliki oleh Haikal. Tetapi sekurang-kurangnya dia selamat dan terima kasih pada Haikal!

"Tapi berada kat sini tetap tak selamat bagi saya" tukas Nuraisha sambil mengeluh. Walaupun dia yakin Haikal mampu melindunginya sejauh ini, namun hatinya tetap takkan tenteram jika dia tidak keluar dari tempat itu.

"Sabarlah. Akak rasa dia akan bawak kau keluar dari sini. Haikal tu baik sebenarnya. Tapi sejak kehilangan isteri dia, dia jadi macam tu"

Kening Nuraisha bertaut. Dia tidak memahami omongan Laila. "Maksud akak?"

"Haikal tu dah kawen. Ada anak sorang. Tapi isteri dia meninggal masa melahirkan anak dia. Sebab tu hidup dia terumbang-ambing sekarang. Ibarat sedang mencari sesuatu tapi dia sendiri tak tahu apa yang dia cari"

Penjelasan Laila membuatkan Nuraisha faham akan situasi Haikal. Benarlah kata orang, jangan menilai dari luaran jika tidak tahu usul-asal cerita!

"Kasihan kan kak? Orangnya smart, kaya, ada rupa, tapi hidup macam tu"

"Dah tu jalan yang dia pilih. Siapalah kita nak menentukan hidup dia? Kita ni cuma mampu berdoa je, semoga dia diberikan hidayah dan petunjuk"

Seketika, wajah Laila ditenung dalam-dalam.

"Akak tak nak keluar dari sini?"

Pertanyaan Nuraisha menyentakkan Laila. Jika diikutkan, dia terlalu ingin bebas dari tempat itu. Namun apakan daya, dia tidak mampu kerana Kyle bukanlah sembarangan orang.

"Siapa je nak duduk kat neraka ni Sha? Kalau diberi pilihan, nak sangat aku keluar dari sini. Tapi itulah..." jeda Laila mampu membuatkan Nuraisha faham.

"Takpelah. Nanti kalau ada kesempatan dan dapat pertolongan, aku keluar dari sini. Kau kena jaga diri baik-baik. Kalau dapat keluar dari sini dengan selamat, kau kira beruntung"

Kata-kata Laila disambut dengan senyuman. Iya, dia akan sangat beruntung jika mampu keluar dari situ dengan selamat. Dan dia juga berharap agar Laila dan wanita lainnya juga dapat menyelamatkan diri dari penjara yang dicipta oleh insan bergelar lelaki!

Share this novel

bya
2021-09-08 23:37:04 

telmpau best plot pnceritaan novel ni.. sangat best d baca.. semua feeling ada d situ


NovelPlus Premium

The best ads free experience