8

Other Completed 493332

ENTAH kenapa, dia sendiri yang terluka dengan kata-kata itu. Setelah meluahkan segala yang memang bukan dari hati, dia berasa kecewa dengan dirinya sendiri. Perasaan Samsul tercalar gara-gara keputusannya. Namun dia sendiri juga tidak punya pilihan. Dia diancam keselamatannya oleh Maksu Dara.

Air mata yang mengalir, dibiarkan menghiasi wajah pucatnya. Selama dia hidup, mutiara jernih itu tak pernah jauh meninggalkannya. Dan sebanyak mana mutiara jernih itu tumpah, sebanyak itu juga kasih sayang dan perhatian yang dicurahkan Samsul kepadanya.

Kini, dia membalas segala pengorbanan dan kesetiaan Samsul hanya dengan kata-kata itu. Dia memang manusia yang tidak mengenang budi. Seharusnya, dia menjadi lebih berani menentang Maksu Dara. Tetapi apa kekuatan yang dia punya? Meski kakinya masih terikat mati di dalam penjara ini, sampai kapan pun Maksu Dara tidak akan pernah melepaskannya!

Nuraisha meraba-raba rambutnya yang elok disanggul rapi. Ditarik keluar sanggul kuning itu dari rambut. Dia tersenyum dalam tangisan. Sanggul kuning itu pemberian Samsul beberapa tahun yang lepas. Dek kerana terlalu menghargai barang pemberian Samsul, dijaganya dengan rapi dan disimpan elok dari pengetahuan Maksu Dara dan Adira. Kini, hanya sanggul itu menjadi peneman di kala sunyi. Kerana pemilik sebenar telah jauh meninggalkannya.

"Abang, maafkan Sha! Sha terpaksa! Tapi Sha takkan pernah lupakan abang. Sha akan sentiasa doakan kebaikan dan kejayaan abang sampai bila-bila. Abang lelaki pertama dalam hidup Sha!"

Jatuh merembes mutiara jernih itu membasahi pipi. Baru kali ini, Nuraisha mengerti akan perasaannya. Baru kali ini, dia turut merasakan apa yang dirasakan oleh Samsul selama ini. Dan dia tidak nafikan, dia juga sedang dilamun cinta dengan lelaki itu. Namun semuanya sudah terlambat. Samsul sudah membencinya!

Nuraisha menekup muka dengan bantal. Dia benar-benar sedih. Menangis bersendirian menambahkan lagi pilu di hati. Dulu, jika dia bersedih, Samsul siap meminjam bahu untuk bersandar. Tangan kasar itu akan mengusap lembut air mata yang kononnya mencacatkan kecantikan wajahnya. Dan bibir itu akan sentiasa menuturkan kata-kata semangat kepadanya. Ya Allah, dia benar-benar perlukan Samsul dalam hidupnya! Tolonglah kembalikan Samsul semula ke sisinya. Kali ini, jika Samsul kembali, dia tidak akan mensia-siakan lelaki itu lagi! Abangggg!

"TOLONG! Tolong jangan apa-apakan saya!"

Suara itu!
Mata yang terpejam rapat kembali celik secara tiba-tiba. Suhu badan terasa panas meski air-con di bilik dibuka ke angka 16. Farrhan menanggalkan baju lalu dicampak kasar di atas lantai. Dia meraup wajah yang basah dek peluh. Jam di dinding dikerling. Sudah menginjak ke jam 3.

Kenapa tidurnya terganggu? Hatinya resah semacam. Seolah-olah ada yang sedang mencucuk-cucuk perasaan dan mindanya. Dia bangkit dari duduk lalu bergerak ke balkoni bilik. Kotak rokok yang terdampar di atas meja digapai.

Sebatang rokok ditarik keluar. Tidak menunggu terlalu lama, dia terus saja menyalakan api pada rokok tersebut. Berkepul-kepul asap rokok berterbangan di udara.

Badan disandarkan ke bahu sliding door. Fikirannya menerawang entah ke mana. Terlalu banyak yang bermain di fikiran sehingga semuanya menuntut satu-persatu jawabannya.

Sejak semalam, dia sering kegelisahan dan selalu saja termimpikan seorang wanita yang meminta tolong. Dia buntu kerana sesungguhnya dia langsung tidak mengenali gerangan pemilik suara tersebut. Tetapi kenapa mimpi tersebut seolah ada kaitan dengan dirinya?

RUANG makan kelihatan lengang dan sunyi sahaja. Sejak menerima keputusan daripada Nuraisha siang tadi, wajah Samsul kosong tanpa segaris senyuman. Bibirnya juga menyepi dari sebarang tutur kata.

Puan Normala dan Encik Affendi saling berpandangan. Sejak dikhabarkan mengenai penolakan Nuraisha, Encik Affendi sudah mampu memahami gelojak hati anak bujangnya itu. Dia faham penderitaan dan kesedihan Samsul namun hati seorang manusia amatlah payah untuk dipuaskan.

"Esok Sam nak ke KL"

Dan keputusan Samsul yang mendadak itu menyebabkan tiga pasang mata memandangnya. Saiful yang sedang meratah ayam gorengnya hanya mendengar kosong. Apalah anak muda seusianya memahami masalah hati dan percintaan? Berbeza pula dengan Puan Normala dan Encik Affendi. Keputusan Samsul itu dianggap sebagai jalan terburu-buru untuk keluar dari masalah sahaja.
"Awal betul nak ke sana?" tanya Encik Affendi, sekaligus menagih penjelasan daripada Samsul.

"Aahlah Sam! Training kamu lagi seminggu kan? Kenapa nak terburu-buru?" sampuk Puan Normala pula. Wajah suaminya dipandang.

"Sam tak boleh terus duduk kat sini. Hati dan perasaan Sam ni sakit bu! Menderita sangat" adu Samsul. Air matanya hampir tumpah. Wajah polos Nuraisha terbayang di tubir mata. Arghh, rindunya! Tapi orang dah tak sudi!

"Istighfar banyak-banyak Sam" sahut Encik Affendi lagi. Wajah Samsul terbias di kelopak mata. "Bincang elok-elok dengan Aisha lagi. Ayah yakin, ada sesuatu yang tak kena. Takkan tiba-tiba je Aisha menolak kamu? Padahal kamu baik sangat dengan dia selama ni"

Encik Affendi sebetulnya tidak habis fikir dengan apa yang telah terjadi. Segala kebajikan dan kesedihan Nuraisha hanya mampu difahami oleh Samsul. Mereka tak ubah seperti belangkas, ke mana saja asyik bersama. Bahkan satu kampung menganggap mereka seperti pasangan kekasih walaupun berkali-kali dinafikan oleh, baik Samsul mahupun Nuraisha sendiri. Makanya, dia benar-benar tidak menyangka dengan keputusan yang diambil oleh Nuraisha. Atau adakah gadis itu sebenarnya diancam oleh maksunya?

Samsul terdiam. Dia berpendapat yang sama dengan Encik Affendi. Namun, kata-kata Nuraisha sungguh mengguris hati lelakinya. Maruahnya sebagai lelaki sewenang-wenangnya dipijak oleh gadis itu.

"Sam tak nak tagih apa-apa lagi! Sam malu sebab Aisha tak pernah ada perasaan pada Sam. Sam yang beria-ria sedangkan dia??" Akhirnya mutiara jernih mengalir juga dari pipi itu. Sebak rasa hati apabila gadis pujaan menolak mentah-mentah perasaannya tanpa memikirkan dahulu keputusan tersebut.

"Sam nak ibu bincang dengan Aisha lagi ke? Kali ni, biar ibu bercakap empat mata dengan dia" cadang Puan Normala pula. Sedaya upaya dia mencuba menarik semangat Samsul kembali ke alam nyata.

Air mata yang merembes keluar diseka perlahan. Nasi putih dan lauk yang terhidang langsung tidak dijamah. Seleranya sudah mati. "Tak payahlah bu! Sam akan cuba terima keputusan Aisha"

"Kamu betul ke ni Sam? Kamu tak pernah fikir ke, kenapa Aisha menolak kamu? Mungkin kerana maksu dia? Atau sebab Adira? Kita semua tahu macam mana layanan maksu dia tu pada dia kan? Jadi tak mustahillah kalau Aisha terpaksa menolak pinangan kamu gara-gara diorang" Encik Affendi cuba menyedapkan hati Samsul. Tetapi dalam fikirannya, mungkin itulah alasan munasabah penolakan pinangan itu.

Samsul terdiam. Sejujurnya, fikirannya runsing. Dia masih ingin menemani Nuraisha kerana risau dengan keselamatan gadis itu. Tetapi dalam masa yang sama, dia malu untuk terus berhadapan dengan Nuraisha. Arghh, buntu pulak!

Dengan minda yang sarat pelbagai persoalan, Samsul bangkit dari duduk lalu bergerak ke sinki. Tangan dicuci lantas derap kaki dihayun meninggalkan mereka di situ.

"Macam mana ni bang? Apa kita nak buat?" Wajah Puan Normala kebingungan.

"Hmmm, kita nak buat apa lagi? Anak awak tu dah sebulat hati dengan keputusan dia" sahut Encik Affendi sambil tunduk merenung lauk-pauk di atas meja. Seleranya juga mati tiba-tiba.

"MAKKKKKK!!!"

Jeritan Adira menyentakkan Maksu Dara yang sedang terbaring nyaman di atas tilam. Tambah mengasyikkan apabila sentuhan dan urutan lembut Nuraisha bekerja di atas tubuh badannya.

"Mak!" sergah Adira dengan wajah mencuka. Dia sempat menjeling ke arah Nuraisha yang kemudiannya menunduk wajah.

"Kamu ni dah kenapa Dira? Buang tabiat ke nak jerit-jerit macam orang gila ni? Bernanah telinga aku ni dibuat dek kamu!" Bebel Maksu Dara sambil menyentuh cuping telinganya sendiri. "Aku ni belum pekak lagi! Cakaplah pelan-pelan!"

"Hishhh mak ni!" rungut Adira lalu menolak tubuh Nuraisha ke lantai. Dia berbaring di sebelah Maksu Dara lantas menyuruh Nuraisha mengurut kedua belah kakinya pula.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, laja saja Nuraisha akur pada perintah Adira.

"Mak, orang sakit hatilah!"

"Kenapa pulak?"

"Tadi masa kat kedai Kak Ati, orang terdengar makcik Mala tu cakap. Yang abang Samsul nak pergi KL esok" Adira memuncungkan bibir. Tiada apa yang menarik lagi di kampungnya setelah ketiadaan Samsul. Meskipun dia sedar Samsul tidak akan menoleh sedikitpun ke arahnya, tetapi wajah kacak lagi menawan itu mampu menyemarakkan hari-harinya!

Nuraisha tersentak. Abang Samsul nak ke KL? Dia tidak salah dengar ke? Ya Allah, abang! Hati Nuraisha mula berdetak hebat. Jika benar Samsul akan meninggalkan kampung ini, maka Samsul juga akan meninggalkan dirinya. Dia mula sedih. Hatinya menangis dan merintih.

"Hey bodoh! Apasal kau berhenti? Urut lagilah" sergah Adira tatkala tangan lembut Nuraisha mula dirasakannya 'melayang'!

Nuraisha mengangguk lalu menyambung urutannya.

"Kamu yakin ke apa yang kamu dengar?" Maksu Dara seakan tidak mempercayai kata-kata Adira barusan. Takkan kena tolak pinangan, dia lari bawa diri ke KL?

"Yelah mak! Takkan orang nak tipu pulak. Abang Samsul dapat training polis kat KL sana. Dia kena melapor diri. Tu sebab makcik Mala beli barang untuk dimasak nanti. Katanya, nak buat makan selamat sikit untuk rezeki abang Samsul"

Itu yang Adira sempat menguping semasa dia melepak bersama Julia tadi di kedai Kak Ati. Mulanya dia amat sukar hendak mempercayainya kerana Samsul tidak akan meninggalkan kampung, atau lebih tepat lagi meninggalkan Nuraisha sendirian! Tetapi apabila mendengar cerita daripada Puan Normala, barulah dia percaya. Itu pun dia terpaksa percayainya!

"Untunglah si Mala tu. Anak dia nak jadi polis" Dalam diam, Maksu Dara memuji Samsul.

"Yang tak untungnya Adira ni!" cemuh Adira. Dia bangkit dari baring. Wajah Nuraisha ditenung tajam. Berbakul rasa menyampahnya terhadap gadis itu. Entah apa istimewanya Nuraisha pada mata Samsul sehingga lelaki itu tidak menyedari kehadirannya.

"Ni semua kau punya pasal!" Rambut ikal Nuraisha ditarik kuat. "Kalau bukan sebab kau, mesti abang Samsul takkan lari ke KL sana. Kau ni betul-betul pembawa malang! Dahlah menumpang kat rumah ni! Benci betul aku tengok kau!"

"A..apa aku dah buat?" Nuraisha menyoal dengan debaran di hati.

"Menjawab je kerja kau ni!" bidas Adira sambil menunjal dahi Nuraisha. Meluat!

"Tapi kalau Samsul tu tak ada, senanglah kita nak dera dia!" Akal jahat Maksu Dara mula bekerja. Senyumannya sinis memekar di wajah. Dia sudah bangkit dari pembaringan.

"Dera ye?" Adira sinis. Masa untuk melepaskan dendam!

DARI tadi, Samsul asyik menoleh ke belakang. Sesekali, kepalanya menjengah ke arah jalan besar. Kot-kot ternampak kelibat Nuraisha di situ. Jika bertembung dengan gadis itu, dia pasti akan menolak tawaran polis dan menjaga Nuraisha selama-lamanya. Namun hampa mula bertandang. Jangankan kata wajah, bayangan gadis itu tidak ada di mana-mana. Nuraisha benar-benar memaksudkan kata-katanya. Samsul patah hati!

"Nanti dah sampai sana, jangan lupa call ibu dan ayah" pesan Encik Affendi sebelum memeluk tubuh sasa Samsul. Ditepuk belakang Samsul, cuba menyalurkan segala kekuatan hati yang dia punya.

"In Shaa Allah, ayah" balas Samsul. Pelukan terlerai. Kini, dia beralih ke arah Puan Normala pula.

"Laaa ni yang Sam tak suka ni" Samsul lihat ibunya menangis. Air mata perpisahan! "Sam pergi KL je bu! Sam kan nak berbakti pada negara. Itu yang ibu selalu pesan kan? Kalau ibu menangis,macam mana Sam nak kuatkan hati?"

Sudahlah si penguat semangatnya mundurkan diri tanpa sepatah bicara ,tanpa keizinannya! Kini ibu pula buat perkara yang sama! Sungguh, dia tidak punya kekuatan lagi.

Air mata yang mengalir, diseka perlahan. Tubuh Samsul dirangkul. Belum pernah lagi dia berpisah dengan anaknya. Kini, dia terpaksa akur pada takdir.

"Awak ni, anak awak tu nak pergi kerja. Bukannya nak berperang!" omel Encik Affendi sambil menggeleng kepala. Entahkan hendak ketawa, entahkan hendak marah! Haihh...

Samsul mengekek. Dalam kepayahan tersebut, akhirnya mampu juga bibirnya mengorak keceriaan.

"Sam janji akan selalu call ibu" ujar Samsul sambil mengetatkan pelukan. Terkesan hatinya dengan perpisahan ini.

"Ibu tahu. Tapi ibu mana pernah berjauhan dari kamu" adu Puan Normala lagi. Dia mula membayangkan kehidupan Samsul di Kuala Lumpur nanti. Makan minumnya siapa yang hendak menyiapkan? Pakaiannya nanti bagaimana? Kalau dia sakit, siapa yang akan menjaganya?

"Anak awak tu bukannya tak balik langsung!" sampuk Encik Affendi lagi. Rapuh benar hati isterinya itu.

"Lagipun, Sam kan dah besar? Tahulah dia menjaga diri dia" sambung Encik Affendi lagi.

"Abang mana tahu? Saya yang mengandungkan Samsul, saya yang lahirkan dia!"

"Dah tu apa fungsi saya? Kalau takde saya, mana nak wujudnya Samsul?"

Kata-kata Encik Affendi mengundang tawa di bibir Samsul. Terhibur hatinya dengan gelagat kedua orang tuanya.

"Geram betullah saya dengan abang ni!" gerutu Puan Normala lalu melepaskan pelukan.

"Sam janji dengan ibu. Sam akan jaga diri baik-baik. Sam takkan tinggal solat. Sam akan jalankan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin. Ibu kena janji jugak, yang ibu kena jaga diri baik-baik. Jangan selalu sangat sedih. Nanti hati Sam tak kuat kat KL sana"

Tubuh ibunya dirangkul kembali.Wanita pertama dalam hidupnya selain Nuraisha. Dulu, dia memperjuangkan hidup kerana Nuraisha. Kini, dia akan berjuang kerana ibu! Biarlah Nuraisha menolaknya banyak kali, tetapi kasih sayang ibu akan sentiasa menariknya kembali!

maaf utk slow update kali ni. tp sy tgah rangka jln cerita utk buat semua org terhibur. harap terus sabar menanti kisah si kecil molek Nuraisha ini ye? ;) thanks. LotOfLove <3

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience