17

Other Completed 493332

ALAMAT yang diberikan oleh Kamal akhirnya membawa langkah Adira ke sebuah rumah teres satu tingkat. Keadaan yang sunyi sepi dan seakan tiada berpenghuni mendebarkannya. Hatinya mula sangsi pada kejujuran Kamal. Bisa jadi lelaki itu sengaja menjebaknya.

Matanya melilar sekeliling tempat. Tingkap dan pintu terkatup rapat. Ralat benar hatinya dengan penipuan Kamal.

"Ish, tak guna punya jantan! Hidup-hidup kau tipu aku!" bentak Adira lantas mengatur langkah semula. Namun baru saja tiga langkah, namanya tiba-tiba diseru oleh seseorang.

Adira menoleh dan melemparkan senyuman hambar kepada gerangan pemilik suara itu.

"Apasal kau tak ketuk pintu?" tanya Kamal setelah Adira didekati.

"Nak ketuk macam mana? Rumah kau ni sepi semacam je. Dengan tingkap dan pintu tertutup bagai. Seramlah aku nak masuk" luah Adira jujur.

Kamal tergelak. Beg berisi baju dari tangan Adira digapai. "Sorry, aku tertidur. Tu yang tutup semua tingkap dan pintu. Masuklah. Jangan risau, takde siapa kat rumah. Aku sorang je"

Sengihan nakal pada wajah Kamal menyentakkan Adira. Meremang bulu romanya dengan sikap dan kata-kata Kamal apatah lagi setelah lelaki itu dengan sengajanya menyentuh tangannya.

"Jom..." pelawa Kamal lalu mengheret tubuh Adira ke dalam rumah.

Adira menurut saja. "Kenapa kau tinggal sorang? Mus mana?"
"Dia tu ada rumah sendiri. Tak payahlah kau cari dia. Malam nanti, kita keluar. Masa tu, Mus ada.Kau nak peluk dia ke, nak cium dia ke, terpulang pada kau" seloroh Kamal dengan tawa halusnya.

"Mengada betul!" gerutu Adira. Mereka sudah memasuki kawasan rumah.

"MAKSU, makanlah. Makan sikit pun takpe. Sha dah masakkan lauk kegemaran maksu"

Maksu Dara termenung di atas katil. Wajahnya sembab dengan airmata. Mengenangi sang anak nun jauh di mata. Dia tidak pernah lagi berjauhan dari Adira. Risau bukan kepalang lagi apabila dia mengenangkan nasib Adira di sana.

"Maksu..." Nuraisha sudah sedia hendak menyuapkan bubur nasi ke dalam mulut Maksu Dara tetapi wanita itu hanya terus membeku.

"Janganlah macam ni maksu. Nanti maksu sakit. Makan sikit pun takpe" pujuk Nuraisha lagi.

Mata yang kuyu meneliti setiap wajah Nuraisha. Dari raut wajahnya yang tidak bermaya, tiba-tiba saja dia berubah riak. Bertembung mata saja dengan anak saudaranya itu, jiwanya tiba-tiba panas.

"Sebab kaulah Adira lari dari rumah! Sepatutnya dari kecik lagi aku bunuh kau!" teriak Maksu Dara sambil memukul-mukul tubuh genit Nuraisha.

Dia menyesal membela dan menjaga Nuraisha. Gadis itu tidak berguna langsung ke atas dirinya. Saban hari ada saja benda yang tidak kena berlaku. Nuraisha memang pembawa malang di dalam kehidupannya.

"Maksu, ampunkan Sha!"rintih Nuraisha apabila tangan kasar Maksu Dara mula hinggap pada seluruh tubuh badannya.

"Aku benci kau! Aku benci kau!! Kau pembawa sial dalam hidup aku. Lebih baik aku mati dari menatap muka engkau!! Aku menyesal jaga kau dari kecik! Aku menyesal"

Segala sumpah seranah dilemparkan ke atas Nuraisha. Perasaan benci dan tidak puas hati mula berlegar-legar dalam dirinya. Biarlah dia kehilangan segala-galanya asalkan Adira kembali ke sisinya. Namun tiada apa yang mampu dilakukan sementelah Adira kini hilang tanpa jejak. Dia menangisi nasib sendiri. Kenapa seberat ini dia menanggung segala ujian? Tubuh Nuraisha dilepaskan ke atas lantai. Kemudian, dia mengongoi di atas lantai sambil bersandar pada tiang katil.

"Anak aku hilang. Suami aku dah takde. Segala kemewahan aku pun hilang. Semuanya sebab kau. Kau ni, memang tak layak hidup sebab asyik susahkan aku! Dulu kau conteng arang ke muka aku. Sampai semua orang tuduh aku tak pandai jaga kau. Gara-gara kau, orang mengata aku. Gara-gara kau, takde sorang lelaki pun berani nak dekat dengan anak aku. Macam mana aku tak menyesal haa? Kau cakap!! Kenapa semua dosa kau harus ditanggung oleh aku dan anak aku?? Kenapa kau tak mampus je terus?"

Luahan hati maksu Dara melukai sekeping hati Nuraisha. Jika benar dia berdosa di masa lampau, berterus-terang sajalah daripada menyeksanya seperti ini. Dosa lampau apa yang dimaksudkan oleh maksu Dara, hatinya tertanya-tanya. Apa yang telah berlaku ke atas dirinya sebenarnya? Mengapa dia langsung tidak tahu-menahu?

DI SEBALIK tingkap kecil, segala kata-kata kesat yang dilemparkan dicuping oleh Firash. Niatnya hanya ingin menjenguk Nuraisha terbantut gara-gara mendengar luahan Maksu Dara.

Apakah yang sedang berlaku sebenarnya? Dosa apakah yang cuba diungkapkan oleh Maksu Dara? Dan kenapa ianya berkaitan dengan Nuraisha?

Firash mengintip lagi. Dia melihat Nuraisha masih berusaha memujuk maksu untuk makan. Namun ditolak kasar oleh wanita itu. Nuraisha, wanita yang cukup polos dan suci orangnya. Mengapa wanita sebaik itu diuji dengan sebegini berat?

Hati Firash terdesak untuk mengetahuinya. Jika dia bertanya kepada Maksu Dara secara langsung, mahukah wanita itu jujur dan memberikan kerjasama? Jika ditanya kepada Nuraisha pula, mampukah dia berkongsi aibnya sendiri? Atau sebenarnya gadis itu tidak tahu-menahu langsung ucapan maksu sebentar tadi?

Firash kebingungan. Pada siapa harus dia bertanya? Dia tidak mengenali sesiapa di sini kecuali Nuraisha. Lama dia berfikir. Serentak itu, deringan telefon bimbitnya menjerit minta diangkat.

Panggilan daripada Tan Sri Firman! Firash menjarakkan diri dari sisi tingkap. Panggilan tersebut segera dijawab.

"Ye pa?"

Hati Firash berdegup laju tatkala menerima sedas kata-kata pedas daripada Tan Sri Firman. Belum sempat apa-apa, dia sudah pun dimarahi melalui hujung talian. Dia kebingungan dengan sikap papa yang berubah mendadak itu.

"Pa, along tak faham apa maksud papa"

"Kamu balik KL esok! We have something urgent to talk about"

"Tapi pa, projek kat sini belum habis"

"Tak payah nak berdalih! Angah ada. Dia akan uruskan semuanya kat sana. Kamu balik KL esok jugak!"

Panggilan dimatikan. Firash mengeluh. Kemarahan Tan Sri Firman bukan boleh dibuat main. Ingkar saja, pasti ada berpuluh das tembakan dikenakan tepat ke hati. Namun dia bingung. Apa yang menyebabkan Tan Sri Firman terlalu marah seperti itu? Kesalahan apakah yang telah dilakukannya?

WAJAH Adira membeku. Satu persatu wajah Kamal dan Mus dipandang silih berganti. Dia tidak percaya ,bahkan menyesal dengan keputusan yang diambil dengan terburu-buru. Dek terlalu mengejar kemewahan, dia termakan dengan pancing Kamal. Arghh, bodohnya!!

"Kau dah cakap, kau setuju kan? Apa yang kau fikirkan lagi?" ujar Mus, memulakan perbualan di antara mereka.

"Lagipun kau dah tau kerja apa yang kitorang buat. Kenapa kau masih sangsi jugak?" sampuk Kamal pula.

"Dah tahu sangsi, tapi masih berani datang KL nak join kitorang. Come on lah Dira! Tak best arr macam ni" sahut Mus lagi sambil meneguk Coca Cola dengan rakusnya.

Bibir mungil Adira masih terkunci rapat. Dia tahu, maksud kerja yang dilakukan oleh Kamal dan Mus itu. Tetapi dia tidak menyangka pula dengan kerja yang kedua itu. Escort VVIP sehingga ke hotel! Itu memang kerja gila! Buatnya dia diapa-apakan, bagaimana? Mahu ke dua mangkuk hayun itu bertanggungjawab ke atas dirinya? Arghh, tiba-tiba hatinya menyesal datang ke KL!

"Hey perempuan! Tak payah fikir lagilah! Kau buat dua kerja ni, kau untung besar dari kitorang tau? Manalah tahu, kot-kot datuk-datuk kuasa besar tu berkenan kat kau. Dari duduk rumah teres tu dengan aku, kau duduk rumah mewah. Dari pakai baju selekeh macam ni, kau pakai baju branded. Fuuuu, untung badan!" Kamal masih cuba menghasut. Jika Adira bersetuju dengan cadangannya, maka dia juga akan mendapat imbalannya. 30% tuuu!

"Kalau diorang apa-apakan aku, macam mana?" Gusar Adira memikirkan. Lelaki kan? Pantang nampak yang berdahi licin, terus diterkamnya tanpa ragu! Huuuu..

Kamal dan Mus saling berpandangan. Kemudian, keduanya menghambur tawa. Omongan Adira kedengaran lapuk dan basi saja. Macam tak biasa!

"Kau ni macam tak biasa buat kerja tu!" tempelak Mus.

Mata Adira terjegil memandang Mus. Dia rasa terhina apabila Mus menilai masa silamnya.

"Dulu masa sekolah berapa ratus kau dapat dalam masa seminggu? Badan kau tu, dah banyak jantan rasa! Apa kau nak malu lagi?" sambung Mus lagi. Terbayang di matanya aksi rancak Adira suatu ketika dahulu ketika mereka 'bersama'.

Adira mengetap bibir. Dia malu apabila kisah itu dibuka semula. Meskipun Kamal dan Mus pernah bersamanya ,tetapi rasa malu itu masih tetap menebal dalam diri.

"Kau setuju jelah! Kali ni, kalau datuk-datuk tu buat sesuatu ,kau layan jelah. Esok lusa, confirm akaun kau beribu-ribu masuk! Lagipun, apa kau nak risau? Bukannya kau mengandung pun kan? Setakat layan ala kadar je, cukuplah tu" hasut Kamal lagi.

Adira mendiamkan diri. Dia masih ragu-ragu dengan cadangan Kamal dan Mus itu. Buatnya dia tertangkap, bagaimana? Tetapi apabila mengenangkan kemewahan yang bakal dimiliki, hatinya tiba-tiba berlagu riang. Hmmm, setuju jelah! Bukan buat benda lain pun!

"Okey, aku setuju. Bila boleh start?"

Kamal dan Mus saling berpandangan. Ada senyuman penuh makna yang tersirat di sebalik wajah mereka. Yang pasti, umpan kali ini sudah mengena.

"Malam esok" Kamal dan Mus serentak menjawab.

PUAS memikirkan solusinya, akhirnya Firash mengambil keputusan untuk berdepan dengan Encik Affendi bagi mengetahui perkara sebenar tentang Nuraisha. Kereta Nissan Almera diparkir di hadapan rumah besar itu. Mujur saja dia pernah berkunjung ke situ beberapa minggu yang lepas bagi tujuan perbincangan hak milik tanah. Jadi tidaklah terlalu sukar untuknya mencari rumah Encik Affendi.

Usai memberi salam, Encik Affendi dan Puan Normala menjengah wajah ke luar. Saat menerima kedatangan Firash, mereka berdua tersenyum mesra dan menyambutnya dengan tangan terbuka.

"Duduk Encik Firash" pelawa Encik Affendi.

Firash menurut sahaja. Punggung dilabuhkan di atas kerusi kayu itu. Dia kini duduk berhadapan dengan Encik Affendi. Puan Normala sudah berlalu ke dapur.

"Maaflah ganggu encik malam hari ni" Firash berbasa-basi dahulu sebelum mengutarakan hasrat sebenarnya.

"Ehh takpelah. Tak ganggu pun. Masih awal lagi ni. Haa, lagi satu. Tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Pakdi je. Lagi selesa" sahut Encik Affendi sambil tersenyum.

Firash mengangguk kepala.

"Apa hajat encik Fir ke mari?"

"Pakdi pun tak payahlah berencik dengan saya. Lebih selesa kalau saya disapa dengan Fir saja" balas Firash pula dengan senyuman memekar di wajah.

"Okeylah Fir"

Tidak lama kemudian, muncul Puan Normala sambil membawa dua cawan kopi dan beberapa jenis kuih-muih. Hidangan tersebut diletakkan di atas meja sebelum punggungnya dilabuhkan bersebelahan suaminya.

"Begini Pakdi. Saya datang ni nak bertanya sesuatu mengenai Aisha"

Demi mendengarkan itu, Encik Affendi dan Puan Normala saling berpandangan. Mereka kehairanan dengan permintaan Firash yang satu itu. Bagi Encik Affendi,ada sesuatu yang telah terjadi di antara Firash dan Nuraisha kerana sejak dari hari pertama lagi, Firash tak jemu bertanya soal Nuraisha.

"Apa yang kamu nak tahu pasal Aisha?" tanya Encik Affendi meski hatinya agak keberatan.

"Siapa sebenarnya Aisha? Saya mintak maaf, bukanlah maksud saya nak menyibuk tapi saya terdengar perbualan Aisha dengan maksu dia. Dalam perbualan tu, maksu ada cakap yang Aisha dah conteng arang ke muka dia"

Gelojak di hati Encik Affendi dan Puan Normala kian terasa. Aib yang satu itu puas disembunyikan. Tetapi mengapa kini ianya terdedah, bahkan dari orang luar seperti Firash?

"Saya betul-betul nak tahu apa yang terjadi pada Aisha sampaikan dosa tu diungkit kembali. Dosa tu seolah-olah menjadikan Aisha sebagai insan terhina sehinggakan maksu dia sendiri pun tak nak terima dia" sambung Firash lagi. Nada suaranya kedengaran merayu, menagih simpati agar Encik Affendi mahu membuka rahsia yang satu itu.

Cermin mata yang terletak elok di atas meja dipakaikan semula. Encik Affendi mengeluh berat. Rasanya seperti sukar untuk dia membuka pekung di dada, apatah lagi bersangkut-paut dengan Nuraisha, sahabat kepada anaknya. Namun wajah penuh mengharap Firash membuatkan hatinya separuh serba-salah.
Reaksi Puan Normala juga tak ubah seperti suaminya. Dia juga keberatan untuk menceritakan perihal sebenar kehidupan Nuraisha satu masa dulu. Tetapi apa yang boleh dia lakukan? Keputusan semua di tangan suaminya.

"Baiklah. Tapi Pakdi nak tahu satu perkara daripada kamu" Akhirnya Encik Affendi mengalah juga. Tetapi dengan harapan Firash juga sanggup untuk bekerjasama dengannya.

"Apa dia Pakdi?"
"Apa hubungan kamu dengan Aisha? Pakdi perasan, sejak hari pertama kamu ke sini, kamu asyik bertanya pasal dia. Ada sesuatu yang kami perlu tahu ke?"

"Dan itu ke puncanya Aisha menolak pinangan anak kami?" sampuk Puan Normala pula. Nadanya seperti tidak puas hati saja setelah pinangannya ditolak suatu ketika dulu.

Firash terkebil-kebil dengan persoalan dari kedua mereka. Dia faham maksud Puan Normala tetapi kurang jelas pula dengan maksud Encik Affendi. Lebih tepat lagi, dia tidak ada jawapan untuk soalan itu.

"Saya dan Aisha..." Firash menggigit bibir. Takkan nak cakap yang aku sukakan Aisha?

"Hubungan kami cuma sebatas kawan saja. Tak lebih dari itu" sambung Firash lagi diiringi senyuman ikhlasnya.

Walaupun agak kurang yakin dengan jawapan yang diberikan oleh Firash, namun Encik Affendi tidak boleh terlalu memaksa. Jika itu jawapannya, maka itulah hakikatnya.

"Jadi boleh saya dapatkan jawapan dari soalan saya tadi?"

Encik Affendi mengangguk laju dengan pertanyaan Firash.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience