14

Other Completed 493332

DARI baju sehingga ke pakaian dalam, sengaja Adira lemparkan di atas lantai. Tidak cukup dengan itu, dia campakkan pula selimut dan cadar tilam bersama di atas lantai.

Wajah Nuraisha dikerling. Wajahnya penuh sinikal.

"Cuci semua ni. Kat hujung kampung sana. Kalau kau tak tahu hujung kampung, kau pergi cari sungai. Tak payah nak memandai guna mesin. Membazir elektrik je!"

Nuraisha menelan liur. Tangan yang sakit masih lagi terasa bisanya. Mana mungkin dia mampu menggendong semua pakaian tersebut. Kalau dihimpun, gamaknya boleh buka kedai bundle saja!

"Aku cuci kat rumah je ye? Lagipun baju ni banyak. Tak mampu aku nak bawak semua dengan tangan macam ni" Nuraisha separuh merayu.

"Kau jangan nak memandai-mandai! Ni rumah aku! Kau tu menumpang je. Jadi buat cara menumpang, faham?! Semua arahan dalam rumah ni datang dari aku dan mak aku. Kau tak berhak nak membantah dan kau cuma boleh bersetuju dan patuh saja.Kalau tak, teruk lagi aku kerjakan kau!" Dahi Nuraisha ditunjal. Geram dan benci hatinya melihat wajah polos Nuraisha itu. Bergeledak tiap kali wajah itu singgah pada pandangan matanya.

"Kau cuci semua ni sekarang jugak! Jangan ada yang tertinggal. Kalau aku nampak masih ada kotoran, siap kau!" ugut Adira sambil menayangkan penumbuk di hadapan wajah Nuraisha.

Tidak mampu hendak bersuara, Nuraisha turuti saja permintaan Adira. Sesakit apapun keadaannya saat itu, dia harus terpaksa mematuhi semuanya. Jika tidak, dialah yang akan menerima akibatnya nanti.

"PUAS HATI aku!" tukas Adira setelah berjaya mengenakan Nuraisha. Pintu bilik dihempas lantas derap kaki dibawa ke hujung ranjang. Punggungnya dilabuhkan ke situ sambil wajah mengukir senyum penuh makna.

Apabila teringatkan Nuraisha, dia terkenang banyak peristiwa lampau. Dan semua rentetan peristiwa tersebut bersangkut-paut dengan Nuraisha. Sebuah rahsia di mana hanya dia dan Maksu Dara sahaja yang mengetahuinya. Jika ianya terbongkar, maka habislah hidup mereka!

"Sampai bila entah nak simpan rahsia si bodoh tu!" rungut Adira seorang diri. Dia memeluk tubuh serentak dengusan di bibir. Kadang-kala, ingin saja hatinya menceritakan hal sebenar kepada Nuraisha dengan tujuan ianya dapat menyakiti hati gadis itu. Tetapi apabila difikirkan semula, dia yang akan rugi di kemudian hari. Huhhh! Payah betul!!

Deringan telefon bimbit memecahkan lamunannya. Segera digapai telefon bimbit di tepi. Wajahnya keruh saja.

"Hishhh, dia ni! Tak reti nak menyabar ke?!" Adira geram menerima panggilan daripada Kamal. Ditekup telefon ke telinga sesudah diangkat panggilannya.

"Hello sayang..." sapa Kamal di hujung talian.

Adira buat aksi hendak muntah. Menyampah betul!

"Apa sayang-sayang?" bentak Adira dengan raut wajah mencuka. Kala saja Kamal itu di hadapannya, sudah pasti makan penumbuknya!

Kamal menghambur tawa. Asap rokok berkepul-kepul berlarian di ruang udara. "Kau ni datang bulan ke? Tetiba je nak marah"

Adira mendengus kasar. "Jangan nak berbasa-basilah! Apasal kau call ni?"

Puntung rokok dicampak ke lantai lalu diinjak sehingga lumat. Bibir Kamal mengorak senyum. Kembali teringat detik-detik saat bersama gadis itu.

"Aku nak tanya pasal tawaran kerja aku hari tu. Macam mana? Kau cakap kau nak bagi jawapan dalam masa terdekat. Ni dah masa terjauh ni" tempelak Kamal.

Adira menggigit bibir. Benar-benar dia terlupa akan perkara itu. Dek kerana terlalu asyik mengerjakan Nuraisha, dia jadi alpa pada perkara yang satu itu.

"Hellooo" Kamal mengeraskan suara. Risau jika Adira menghilang tanpa bicara.

"Aku dengarlah" tukas Adira setelah lama mengunci mulut. "Aku risaukan mak akulah. Dia kan tak boleh jauh dari aku"

"Kau dah besar kot. Takkan masih duduk bawah ketiak mak kau lagi?" Sengaja Kamal menyindir dengan gelak tawa yang kuat.

"Lagipun, takkan kau nak duduk di rumah je? Kau tak nak merasa duit sendiri ke? Beli macam-macam yang kau nak. Tunjuk kat semua orang yang kau ada duit banyak. Kau tak nak ke?" Kamal mengumpan.

Adira terdiam. Bukan dia tidak mahu, tetapi masalahnya cumalah Maksu Dara sahaja. Jahat macam mana sekalipun dia, masakan dia hendak meninggalkan mak kandungnya di situ.

"Sepupu kau tu kan ada? Apa yang kau nak risaukan sangat?" sambung Kamal lagi.

"Dia boleh jaga mak engkau. Yang penting, kau ikut aku kerja. Tiap-tiap bulan, kau kirim duit ke kampung. Tak ke seronok tu? Anak mithali kau ni!" Kamal menghasut lagi.

Adira mula cair dengan kata-kata Kamal. Dia mula membayangkan yang indah-indah sahaja bakal berlaku.Bibirnya tanpa sedar mengukir senyuman tipis. Iya, benar kata Kamal. Sampai bila dia harus menakuk di rumah tanpa sebarang pekerjaan dan modal? Dia keinginkan wang. Dia dahagakan kehidupan mewah. Jiwanya sudah bosan untuk terus menakhluki teratak usang ini.

"Okey, aku setuju. Lagi dua hari aku pergi sana"

Senyuman di bibir Kamal mula terlihat. Umpan mengena! Dan kali ini, dia bakal untung dua kali ganda.

SEJAK dari tadi, dia perhatikan saja gerak geri gadis itu. Entah apa yang menghantui fikirannya sehingga sejauh itu dia bertindak.Mengintip dan mengintai seorang gadis di celahan sebuah pokok tinggi.

Dia lihat sebelah tangannya berbalut. Barangkali itulah 'hasil' daripada penderaan yang disaksikannya malam semalam. Hatinya mula dihujani kesedihan.

Firash mengeluh saat melihat aksi Nuraisha yang kepayahan mencuci baju. Terfikir di benaknya akan kehidupan gadis itu. Bagaimana dia mengharungi hidup yang seakan kejam ke atas dirinya?

"Nak saya tolong?" ucapnya sesudah menghampiri Nuraisha.

Nuraisha terkejut sehingga hampir saja tubuhnya hilang keseimbangan. Namun dia sempat berpaut pada lengan Firash yang berdiri dekat dengannya.

Firash tersenyum dengan aksi gelojoh Nuraisha. Wajah memerah gadis itu mengundang sengihan nakal pada seraut wajahnya.

"Maa...maaf" ucap Nuraisha seraya melepaskan pautannya.

"Kalau saya tolong awak cuci baju, saya akan terima maaf awak"

Serentak itu, Nuraisha mendongak kepala. Mulanya dia kebingungan tetapi lama-lama akhirnya dia memahami maksud kata-kata lelaki itu.

"Saya boleh cuci sendiri" tolak Nuraisha, lembut.

"Tapi takde satu pun baju yang dah awak bersihkan" sindir Firash sambil menjeling ke arah sebuah bakul.

Nuraisha terdiam.

"Dulu pun masa kecik-kecik saya selalu cuci baju sendiri. Tak guna mesin. Guna tangan macam awak jugak" ujar Firash. Dia sudah duduk di sebuah batu besar. Tanpa dipinta, sehelai demi sehelai baju dicucinya.

Nuraisha mula serba-salah. Dia lantas duduk di sisi Firash dan hendak melarangnya. Tetapi Firash menegah kembali.

"Kita kan kawan? Kawan mestilah tolong kawan kan?"

Sepi. Nuraisha segan dengan layanan baik Firash walhal mereka baru sahaja saling mengenali. Sepanjang hidupnya, hanya Samsul saja yang meladeninya seperti itu. Kenapa lelaki ini seperti Samsul? Kenapa dia diperlakukan sebegitu baik oleh lelaki tersebut? Nuraisha mengeluh.

"Kenapa?" soal Firash tatkala menerima keluhan Nuraisha.

"Teringat kawan lama" sahut Nuraisha. Mulai menyesuaikan diri dengan lelaki itu.

Senyuman di wajah Firash terukir lagi. "Kawan lama ke boyfriend?"

"Ehh tak tak. Bukan boyfriend saya. Dia kawan baik saya" sangkal Nuraisha meskipun hatinya sudah terisi bait-bait cinta buat Samsul. Namun apakan daya, cinta itu hanya mampu bertahan setakat itu sahaja.

Pengakuan Nuraisha mengundang senyuman di bibir Firash. Siapa lelaki itu? Beruntungnya dia berada di dalam ingatan Nuraisha. Tetapi siapalah dia hendak menyibukkan diri di dalam kehidupan gadis itu?

"Siapa nama dia?" Kepingin juga hatinya mengetahui pemilik nama insan bertuah itu.

"Nama?" Nuraisha kebingungan.

"Ala,nama kawan baik awak tu"

"Abang Samsul"

Dahi Firash mengerut. "Abang Samsul?"

Nuraisha tergelak. "Tak. Nama dia Samsul.Tapi saya panggil dia abang sebab dia tua dari saya. Lagipun kita orang memang rapat dari kecik lagi. Dia selalu jaga saya. Dan melindungi saya. Biar apapun yang orang kampung cakap, dia tak pernah ambik kisah. Dia tetap bersama dengan saya susah dan senang"

Hati Nuraisha mula sebak apabila mengingat kembali kebaikan dan ihsan Samsul terhadap dirinya. Dari kecil sehinggalah dewasa, Samsul begitu menghormati dan menjaga aibnya. Silap dia kerana terlalu lupa pada perasaan sendiri sehingga terlepas insan sebaik Samsul.

Cerita Nuraisha sedikit sebanyak membuatkan hati Firash di ambang kekecewaan. Walaupun dia tidak mengenali gerangan lelaki itu, tetapi hatinya mula berkait cemburu. Melalui bicara Nuraisha dan bahasa badannya, Firash mula memahami akan perasaan gadis itu. Nuraisha sedang jatuh cinta pada lelaki bernama Samsul! Dan dia benar-benar hampa serta kecewa.

"Dan awak macam abang Samsul"

Kata-kata Nuraisha mengembalikan Firash ke alam nyata. Jauh dia termenung dan melayan perasaan sehingga tak sedar cuciannya sudah selesai.

"Maksud awak?"

Kesemua cucian tadi sudah selesai disimpan di dalam bakul. Dia membasah kedua tangannya dengan air sungai itu. Menyejukkan hati yang hampir tewas pada Samsul yang langsung tidak dikenali.

" Awak baik macam abang Samsul" ucap Nuraisha berserta senyuman manisnya.

Hati Firash berbunga kembali. Apatah lagi setelah melihat wajah ayu itu tersenyum padanya, segala keresahan bagaikan hilang ditelan bumi.

"Kalau saya macam abang Samsul awak, maksudnya kita dah jadi kawan kan?"

Dengan senyuman yang masih bersisa, laju saja Nuraisha mengangguk kepalanya.

"So, maksudnya awak pun kena panggil saya abang. Sebab saya baik macam abang Samsul awak"

Senyuman Nuraisha mati tiba-tiba. Laju saja degupan jantungnya berbunyi. Abang?

Share this novel

Hawani Hashim66
2021-05-31 21:34:22 

ni watak firash ke farhan


NovelPlus Premium

The best ads free experience