73

Other Completed 493332

PEMANDANGAN yang indah di sekeliling cukup menambat hatinya. Ditambah pula dengan bunyi kicauan burung dan dedaunan yang berguguran ke bumi, menambahkan lagi seri pada tempat itu. Hatinya tenang, setenang air sungai yang mengalir deras ketika itu. Pepohon nan menghijau, langit membiru dan keluasan tempat itu sungguh membuktikan betapa besarnya kekuasaan Allah SWT. Dia memejam mata, mendepakan tangan. Menikmati sendiri keindahan alam di sekelilingnya. Otaknya ligat berfikir. Di manakah dia berada? Tak mungkin di syurga.

Dedaun kering yang singgah di kelopak mata memaksanya menghentikan kenikmatan yabg dirasai sekejap tadi. Dia memandang ke arah suatu tempat. Sebuah pohon seakan-akan melambai ke arahnya agar mendekat. Entah dek kuasa apa, derap kaki bingkas dihayun ke situ. Melihat betapa besar dan gahnya pohon itu, dia menyandarkan tubuhnya di badan pokok. Seketika, matanya terlelap dek kenikmatan itu.

Ya Allah, dia benar-benar tak ingin pulang! Tempat itu ibarat sebuah syurga untuknya. Terlalu nyaman dan selesa sehingga tiada yang menyesakkan dada. Segala-galanya tampak indah sahaja.

Haruman wangi menyapa kuat rongga hidungnya. Lantas, mata dicelikkan dan sepasang anak matanya galak memerhatikan sebuah figura di hadapannya. Lelaki itu lengkap berpakaian serba putih. Wajah dan senyumannya sungguh menenangkan hati. Tanpa sedar, lelaki tadi sudah melabuh punggung di sebelahnya.

Mereka diam tak berkutik. Masing-masing masih menikmati akan keindahan ciptaan Allah. Dada terasa lapang dan jiwa rasa tenteram.

"Seronok kat sini?" sapa lelaki tadi.

Dia membuka matanya. Bibir kemerahan itu hanya mampu melemparkan senyuman. Tiada kata-kata mampu diungkapkan kerana nikmat itu sesuatu yang sukar untuk dibicarakan.

"Tapi angah tak boleh lama-lama kat sini"

Angah? Dia tersentak. Wajah lelaki tadi yang masih setia dengan senyuman dipandang tak berkelip. Firash? Tapi, bagaimana mungkin? Jadi tempat ni? Aku dah meninggal ke? Farrhan bungkam sendiri.

"Angah tak boleh terus lama-lama kat sini. Ada perkara yang perlu angah selesaikan kat sana. Banyak tanggungjawab yang perlu angah laksanakan"

Wajah Firash masih dalam tatapannya. Dia seakan tak percaya dengan keadaan ini. Mimpi? Atau kenyataan?

"Kenapa angah diam?" Akhirnya Firash memalingkan wajah memandang riak keliru Farrhan.

"Keliru?" soal Firash lagi. Kali ini, Farrhan pantas mengangguk.

"Anggap jelah kita dipertemukan dalam alam mimpi. Nanti kalau angah dah sedar, angah akan tahu sendiri"

"Ke...kenapa angah?" tanya Farrhan, masih tidak percaya. "Along tipu ke?"

"Kalau dari dulu lagi kita baik macam ni, mesti along takkan meninggal dalam kesedihan. Dari kecik lagi, along dahagakan kasih sayang angah. Tapi along faham"

Farrhan menelan liur. Iya, dia sangat menyesali perbuatannya dulu terhadap Firash. Jika dia mampu putarkan masa, dia pasti akan kembalikan kemesraan mereka yang tak pernah tergapai suatu ketika dulu.

"Baliklah angah. Dah lama sangat angah berehat. Kesian mama. Dia hari-hari tunggu angah. Angah saja satu-satunya harapan dia selain si kembar. Angah saja tulang belakang dia lepas ni"

Mata Farrhan berkaca lalu memecahkan setiap butiran jernih itu. Dan titisan demi titisan akhirnya mengalir laju ke seraut wajah. Dia rindukan mama. Terlalu banyak dosa yang dilakukannya tanpa sedar terhadap mama. Hati mama ibarat sebuah permainan baginya. Ya Allah, dia memang anak derhaka! Masihkah ada pengampunan mama untuknya?

"Tapi mampu ke mama maafkan angah? Angah anak yang berdosa. Anak yang tak berguna"

"Mama sayangkan angah. Dan dia pasti akan maafkan angah. Cuma yang angah kena usaha nanti adalah meraih kemaafan dari isteri angah"

Farrhan tersentak. Nuraisha! Dia tahu kewujudan isterinya selama ini. Setiap sentuhan yang dirasakan mengalir laju di dalam tubuh badan sekaligus mengepam darahnya yang seakan lama tidak bekerja. Setiap butir bicaranya sangat halus sehingga dia tak ingin tidur dari terus mendengarnya. Kerana Nuraisha, dia mampu bergerak sedikit demi sedikit. Tetapi dosa dan kekejaman yang dilakukan terhadap Nuraisha bukan sedikit. Dan mustahil untuk dia merebut kembali kemaafan wanita itu.

"Dia bencikan angah. Dia tak sudi nak pandang angah. Dia kembali cuma untuk jalankan tanggungjawab dia. Dia kembali bukan untuk cinta angah"

Farrhan merintih. Peritnya rasa harus menelan kenyataan itu. Dia benar-benar menyesal di atas segala dosa dan kejahatannya sebelum ini.

"Along tahu, hati Aisha sangat lembut. Percayalah, hati dia akan terbuka untuk angah"

"Kalau dia tak nak terima angah?"

"Sekurang-kurangkan dapatkan kemaafan dia. Itu dah lebih dari cukup"

Farrhan membisu. Bisakah ruang kemaafan tersedia untuk dirinya?

"Tahu tak kenapa along nak sangat kawenkan angah pada Aisha? Padahal dia juga bekas isteri along. Dan along tahu, masa tu angah benci sangat pada dia"

Farrhan menyoal dengan sorotan mata.

"Sebab along tahu, wanita sebaik Aisha mampu tundukkan ego angah. Wanita penuh kasih sayang seperti Aisha mampu tunjukkan pada angah kebesaran kasih sayang dan cinta. Dan yang paling penting, wanita sesabar Aisha mampu tunjukkan jalan yang benar pada angah. Baliklah angah. Balik pada mama. Balik pada Aisha. Dalam kesedihan dan kegembiraan mereka, masih tersimpan besar harapan untuk melihat angah kembali"

KATIL yang bergoyang-goyang itu menyedarkan Nuraisha dari lena. Dia yang nyenyak tidur di atas dada Farrhan segera bangkit lalu mengikat rambutnya yang terurai. Dia tidak sedar sejak bila dia tertidur dan berada di atas dada lelaki itu.

Nuraisha mengeluh. Malaslah nak fikir! Dia menatap wajah Farrhan yang tampak tenang dan lena sahaja. Jari-jemari itu tiba-tiba bergerak-gerak. Nuraisha mengukir senyum lebar lantas duduk di sisi Farrhan. Tanpa mempedulikan apa-apa, dia menggenggam erat jari-jemari Farrhan sambil menatap wajah itu.

"Encik! Encik dah boleh bergerak ke? Encik boleh dengar saya kan?"

'Kenapa panggil saya encik? Saya tak suka!' Farrhan ingin bersuara tetapi hanya dia saja yang mampu mendengar bicaranya sendiri. Ya Allah, bantulah aku untuk bercakap! Aku nak mohon maaf pada isteri aku. Bantulah aku Ya Allah!

"Encik dah boleh bergerak kan? Saya tahu. Saya nampak jari encik bergerak"

Nuraisha pantas berlari keluar dan menuju ke kamar Puan Sri Mariam. Namun dalam perjalanannya, dia terserempak dengan Naira yang baru selesai membaca novel.

"Kenapa tergesa-gesa ni kak?" Lengan Nuraisha tempat dia berpaut.

"Encik! Encik dah boleh gerakkan jari dia"

Mendengarkan berita baik itu, bibir Naira menguntum senyuman. Kejutan yang menggembirakan. Tetapi kemudian senyumannya mati semula. Encik? Dia ingin bertanya lebih lanjut namun Nuraisha sudah lolos dari pandangannya.

Tak mahu terlalu berfikir, Naira segera menuju ke kamar Naura. Berita baik ini harus dikongsi bersama! Pasti Naura dan mama senang hati!

"MACAM MANA keadaan dia?" tanya Naura setelah Doktor Faisal selesai memeriksa keadaan Farrhan.

Puan Sri Mariam duduk di atas sofa dan ditemani oleh Nuraisha. Sejak dimaklumkan akan berita baik itu, dia benar-benar tak sabar untuk melihat keadaan Farrhan. Hatinya terasa lapang. Jari-jemari Nuraisha digenggam erat.

"Betul kata Puan Aisha. Encik Farrhan dah ada perkembangan positif. Walaupun dia belum mampu sedar, tapi dia dah boleh gerakkan jari dia. Dan itu memang satu berita baik"

Omongan Doktor Faisal membuatkan seisi ruangan tumpah dengan air mata. Puan Sri Mariam memeluk Nuraisha dan mengucapkan syukur di dalam hati. Walaupun hanya pergerakan kecil, namun dia tetap bersyukur dengan berita baik itu.

"Akak...." Naira mendekati Nuraisha. Setelah pelukan Puan Sri Mariam terlerai, dia pula yang mengambil posisi. Kehadiran Nuraisha memang satu keajaiban!

"Terima kasih sebab akak dah sembuhkan angah" ucap Naira seraya melepaskan Nuraisha.

"Bukan terima kasih pada saya. Tapi pada Allah Yang Maha Kuasa. Dia penentu segalanya"

"Ya ,itu memang pasti. Tapi akak jugak antara penyebabnya"

Nuraisha hanya tersenyum. Dia juga mengucap syukur di dalam hati. Semakin baik perkembangan Farrhan, semakin cepat dia boleh beredar dari situ. Dan selepas itu, dia tidak akan berhubung lagi dengan keluarga Farrhan.

"Nampak gayanya, kuasa dan doa seorang isteri memang sangat mujarab" puji Doktor Faisal pula.

Setelah setahun lebih dia merawat Farrhan dengan bermacam jenis kaedah perubatan, baru kali ini dia mampu menarik nafas lega. Farrhan menunjukkan perkembangan positif tidak lama selepas Nuraisha berada di situ. Dia sebagai seorang doktor sangat berbangga dengan kejadian itu. Dan bersyukur yang tak terhingga hendaknya.

"Alhamdulillah" Itu saja ucapan Nuraisha. Dia tidak menafikan itu. Kerana di dalam setiap sujudnya, dia tak pernah lupa untuk berdoa agar Farrhan bisa sembuh dan kembali seperti sediakala. Allah mendengar doanya.

"Kalau takde apa-apa lagi, saya gerak dulu" Doktor Faisal pamit diri.

"Saya hantarkan doktor" pelawa Naura.

Kedua mereka menuruni anak tangga. Tiba di pintu hadapan, Doktor Faisal sempat menitipkan sesuatu.

"Naura..."

"Iya doktor"

"Hmmm" gumam Doktor Faisal. Langkahnya dihayun menuju ke kereta. Briefcasenya disimpan di kerusi sebelah pemandu. Pintu kereta dibiarkan terbuka. Enjin kereta turut dihidupkan.

"Ada apa doktor?" tanya Naura lagi. Wajah Doktor Faisal dipandang lagi. Lelaki yang satu ini sangat manis orangnya. Sentiasa tersenyum dan lembut bicaranya.

"Saya..." Doktor Faisal berjeda. Dia menyandarkan badan ke pintu kereta. Belakang tengkuk digaru perlahan. Nak cakap ke tak? Nak cakap ke tak?

"Doktor ada benda nak cakap dengan saya ke? Kenapa gelisah semacam?" teka Naura.

Doktor Faisal tergelak. Dia lupa gadis di hadapannya itu seorang peguam. Sangat bijak membaca bahasa badan seseorang!

"Saya nak ajak awak keluar" luah Doktor Faisal malu-malu.

Naura tersentak. "Haaa??"

"Saya nak berterus-terang dengan awak. Disebabkan awak seorang peguam, saya rasa takde gunanya saya terus berselindung. Awak bijak meneka buah fikiran dan bahasa tubuh seseorang. Jadi saya tak payah nak sembunyi apa-apa dari awak. Yang saya sukakan awak Naura!"

Naura bagaikan terkena kejutan elektrik. Selama ini, belum ada mana-mana lelaki yang meluahkan perasaan padanya. Sebaliknya, dia yang mengungkapkan perasaan itu.

"Saya tunggu jawapan awak"

"Jawapan? Tapi saya belum bersedia"

Doktor Faisal tersengih. "Maksud saya, jawapan untuk persetujuan awak sama ada nak keluar dengan saya ataupun tidak"

Naura menyepi. Benar-benar keliru saat ini. Pada saat dia mengharapkan cinta dari Samsul, hadir pula doktor segak bergaya ini meluahkan cinta padanya. Oh Tuhan!

"Saya gerak dulu. Assalamualaikum"

"Waalaikummussalam"

Kereta Mercedez yang dipandu oleh Doktor Faisal perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah Naura. Namun tidak bayangannya. Naura masih kaku berdiri di situ dan mencari tempat dia berpijak.

"Doktor tu dah pergi tapi masih ada orang yang mula merindukan si dia" Entah sejak kapan, Naira sudah berdiri di sebelah Naura. Laju saja bibirnya bekerja! Mengusik si kembar yang tiba-tiba saja merona merah.

"Ehh eh! Kau pakai blusher ke? Apasal pipi blushing semacam je?" sakat Naira lagi sambil mengekek.

"Sibuklah!" Rambut Naira ditarik. Teraduh-aduh Naira minta dilepaskan.

"Kau nak keluar ke dengan doktor tu?" Naira menyaingi langkah Naura. Tak lepaskan peluang menyasak Naura dengan soalan cepumasnya.

"Tak tahu!" Naura semakin cepat memperluaskan langkah.

"Apasal tak tahu pula?" Naira juga semakin laju mengejar kembarnya.

Mereka sama-sama menaiki anak tangga. Satu anak tangga dinaiki, satu persoalan Naira diutarakan sehingga Naura naik bosan olehnya.

"Sibuklah kau ni!" gerutu Naura.

"Alaa, aku nak tahu je"

"Tak payahhhhh!!!"

FOTO Nuraisha yang terselit di dalam walletnya ditenung dalam pandangan syahdu. Dari saat pertama dia jatuh cinta pada gadis itu sehinggalah kini, dia tak pernah punya niat untuk membuang satu-satunya kenangan terindah dari hidupnya itu. Walhal dia tahu status sebenar Nuraisha ketika itu.

Namun prinsipnya cuma satu. Mencintai tak seharusnya memiliki. Dia senang mencintai Nuraisha seperti ini tanpa ada daya atau niat untuk memilikinya. Meski jutaan jelitawan yang menghimpit, dia tak pernah berpaling dari Nuraisha. Malah, perasaan cinta Naura terhadap dirinya tak pernah dibalasnya walaupun dia tahu Naura itu seorang gadis yang cukup baik.

Hatinya belum bersedia untuk menerima kehadiran mana-mana wanita setelah Nuraisha gagal dimiliki. Dan semenjak Nuraisha menolak pinangannya suatu ketika dulu, dia sudah berusaha untuk melupakan gadis itu. Namum takdir Allah, tiada siapa dapat menafikan. Mereka dipertemukan kembali dalam situasi yang berbeza.

Saat itu, dia mula memasang angan-angan untuk memiliki Nuraisha kembali. Tetapi hampa ternyata tak pernah serik mendampinginya. Dia kecewa lagi apabila Nuraisha dinikahi oleh lelaki lain. Walaupun dia tahu, tiada kebahagiaan di dalam kehidupan gadis itu, dia tetap ikhlas merelakan gadis kesayangannya.

Kini, Nuraisha sudah menghilang dan terpisah jauh dari mereka semua. Dan dia yakin, tiada ruang sedikitpun untuk Farrhan setelah apa yang berlaku. Setelah mendengar secara tak sengaja akan perbualan Maksu Dara dan ibunya semalam, hatinya meronta-ronta ingin kembali ke pangkuan Nuraisha. Dia yakin Nuraisha masih menyayanginya.

Tidak mungkin Nuraisha akan melupakan perasaannya sementelah dialah lelaki pertama yang mendekati Nuraisha. Mereka akrab sedari kecil lagi. Segala perhatian dan kasih sayangnya dicurahkan secukupnya kepada Nuraisha. Dia yakin, Nuraisha masih mampu untuk dimilikinya. Permasalahannya kini, dia harus mencari tahu keberadaan Nuraisha.

"Buat apa kat sini sorang-sorang?" tegur Puan Normala lantas menghantar punggung di sisi Samsul. Angin yang bertiup terasa nyaman dan melapangkan dada.

"Saja ambik angin bu" sahut Samsul sambil tersenyum. Di pangkin inilah, dia dan Nuraisha gemar menghabiskan masa suatu ketika dulu.

Nuraisha akan menunggunya di pangkin ini sementara dia memanjat pokok bagi mendapatkan buah rambutan untuk Nuraisha. Samsul tersenyum sendiri. Kenangan waktu kecil itu ternyata sukar untuk dihapuskan.

"Senyum je dari tadi. Ingat kat siapa tu?" usik Puan Normala lagi. Melihat senyuman di wajah Samsul, dia yakin hati itu sedang berusaha untuk sembuh.

"Ingat kat dia bu. Tapi jauh sangat dia berlari. Bila dah dapat kejar, Sam pulak yang termangu. Tak mampu nak gapai dia walaupun dia dekat" Samsul seakan bermonolog. Wajahnya kembali muram. Bahagia, bilakah akan mendamping?

Senyuman di wajah Puan Normala layu tiba-tiba. Fikirnya, Samsul sedang berusaha untuk menyembuhkan hati sendiri. Tetapi hati itu malahan sedang menangisi kenangan lalu.

"Sam.."

Samsul berpaling ke arah Puan Normala.

"Sam ingat kat Aisha?"

"Hati ni tak pernah mampu nak lupakan dia bu. Tipulah Sam cakap kalau Sam mampu buang dia dari hidup Sam"

"Tapi Sam tahu kan, dia dah kawen. Dan dia masih lagi isteri orang yang sah. Berdosa besar kalau Sam cuba nak rebut isteri orang"

Keluhan dari bibir itu terdengar panjang. Dia memandang ke arah hadapan. Ada sebak terasa singgah di dasar hati.

"Iya, Sam tahu tu. Tapi jatuh cinta bukan bererti kita nak memiliki dia. Tu takpe kan bu?"

Sebak yang tersembunyi tidak mampu ditahan lagi. Laju saja air mata Puan Normala gugur membasahi pipi. Betapa dia kasihankan anak yang satu ini. Sentiasa dirundung kesedihan dek cinta yang tak kesampaian. Jika Nuraisha berjaya dimiliki dari dulu lagi, pasti dua hati itu sedang menikmati kebahagiaan saat ini.

Namun siapa yang mampu menidakkan ketentuanNya? Sekeras apa pun kita mencuba, jika bukan jodoh berdua, pasti tidak akan pernah bersatu jua. Hikmah yang diberikan pasti lebih besar dari kejadian ini.

"Maafkan ibu" Suara Puan Normala diiringi esak tangisnya.

"Kenapa ibu menangis ni? Sam tak pernah salahkan ibu. Sam cuma marah pada maksu. Tapi semua tu dah berlalu. Sam kecewa dan terluka. Tapi inilah kehidupan kan?"

"Ibu tahu. Sebab itu ibu rasa bersalah. Ibu tak pernah mampu nak bahagiakan Sam. Ibu tahu, Sam terluka"

"Ibu...." Tubuh Puan Normala dibawa ke dalam pelukan. Iya, dia memang terluka. Tetapi untuk terus hanyut dalam kedukaan dan berdendam dengannya, itu tidak mungkin.

"Sam nak dapatkan Aisha semula"

Puan Normala memanggung kepala. Wajah Samsul dipandang. Serentak itu, pelukan mereka terlerai.

"Sam! Dia masih isteri orang"

"Ibu, percayalah. Aisha tak pernah bahagia dengan suami dia"

"Siapa kita nak tentukan kebahagiaan dia dengan suami dia? Sam tak boleh macam ni! Jangan nak jadi gila Sam! Kalau Sam sayang dan cintakan Aisha, lepaskan dia dari hati dan hidup Sam"

"Tak boleh bu! Sam tak boleh!! Dah terlambat untuk semua tu. Kalau Sam tak dengar perbualan ibu dengan maksu semalam, mungkin Sam takkan jadi macam ni. Tapi Sam mintak maaf! Sam tak mampu nak lepaskan Aisha. Sam tak boleh!"

"Samsul!!"

Jeritan Puan Normala diabaikan oleh Samsul yang sudah mula menghilang di sebalik daun pintu. Puan Normala kesal dengan sikap Samsul. Mana mungkin dia membenarkan anaknya tersilap langkah. Samsul tidak boleh tersasar dari tujuan!

"PAPA! Kenapa mama tak balik-balik? Dah masuk hari keempat mama pergi. Mama pergi mana? Papa marahkan mama ke?"

Bibir celoteh itu memarahi Haikal dengan mimik wajah mencukanya. Walaupun dia masih kecil, namun dia sudah mula mengerti apa yang terjadi di antara papa dan mamanya.

Haikal hanya membatukan diri. Tangannya masih lincah menari-nari di atas papan kekunci laptopnya. Ada proposal yang harus diselesaikan. Itu juga antara cara untuk melupakan Nuraisha seketika. Jika dia tidak menyibukkan dirinya, dia sendiri yang gila! Arghhh!!

"Papa! Mia cakap dengan papa ni!" Tubuh Haikal digoncang sekerasnya. Mia tidak berpuas hati selagi Haikal tidak menjawab persoalannya.

"Papa sibuk ni Mia!" sahut Haikal. Masih dalam nada terkawal. Sebolehnya, dia tidak mahu sesiapa pun mengasaknya dengan soalan yang berkait rapat dengan Nuraisha.

"Papa jawablah soalan Mia dulu! Mia tanya kan? Kenapa papa jahat sangat ni? Kenapa papa jahat dengan Mia? Kenapa papa jahat dengan mama? Mia nak mama. Mia tak nak papa!"

"Mia, enough!" Haikal bangkit dari duduknya sambil menghempas meja. Wajahnya kemerahan menahan amarah yang sejak tadi ditahan saja. Dia tertekan memikirkan diri Nuraisha di sana. Dan Mia pula sengaja menempa bahana.

Tangisan Mia semakin lantang dan kuat. Ketakutan sudah merajai seluruh tubuhnya. Melihatkan keadaan Haikal seperti orang hilang akal itu, dia mula diserang panik.

"Papa jahat? Mama baik? Okey, Mia nak sangat jumpa mama kan? Papa bawa Mia pada mama" Haikal menarik tangan Mia untuk mengikutinya. Esak tangis Mia tidak dihiraukan.

"Mek Som jangan ikut campur hal ni! Mia ni nak kena ajar sikit" Haikal memberi amaran apabila bertembung dengan Mek Som. Wajah Mek Som sudah kemerahan. Dia benar-benar takut melihat riak Haikal itu.

"Mia nak sangat jumpa mama kan?" Haikal masuk ke dalam kamar tidur Nuraisha. Untung saja Fariq tidak ditidurkan di situ. Mek Som sudah menidurkan Fariq di dalam kamarnya.

"Semua perempuan kat dunia ni memang menyusahkan! Papa ingat, Mia tak macam diorang. Tapi Mia pun suka buat susah papa kan?"

Mia ditolak di atas katil. Berlari ketakutan anak itu menuju ke sisi katil. Bantal milik Nuraisha dipeluk. Tidak pernah sekali dia melihat Haikal yang di luar kawalan itu.

"Hari ni, papa nak ajar Mia supaya tak jadi perempuan yang menyusahkan! Kalau tak, Mia akan terus buat susah papa kan?!" Tali pinggang ditarik keluar.

Mia sudah menangis ketakutan. Badannya menggigil kala itu. "Papa, maafkan Mia!"

"Itulah perempuan! Kalau salah, mintak maaf. Lepas tu, buat lagi!! Jangan ingat papa bodoh!"

Badan Mia dilibas dengan tali pinggang. Menjerit kesakitan anak itu dengan libasan Haikal. Berkali-kali dia merayu namun Haikal buat tak tahu saja.

Mek Som mencuba membuka tombol pintu dari arah luar. Namun tidak berhasil kerana Haikal terlebih dahulu menguncinya dari dalam. Hatinya walang mendengar jeritan demi jeritan dari Mia.

"Haikal, mengucap nak! Apa yang kamu dah buat pada anak kamu sendiri? Ya Allah!!"

Tangisan Mia terus bergema di seluruh rumah. Sehinggakan Mek Som sudah kering air mata menangisi kejadian itu.

happy reading ^^,

Share this novel

Lisa Halik
2022-02-03 03:15:25 

naura nak dgn doktor faisal

Lisa Halik
2022-02-03 03:15:03 

samsul bodohnya mau jg aisha,haikal plak kno jd mcm ni

Cik Mafia
2021-07-31 09:49:59 

haikal apeni asal stu*id sgt ni sian mia tu


NovelPlus Premium

The best ads free experience