24

Other Completed 493332

"JADI yang halal untuk abang?"

Genggaman Firash dilepaskan. Wajah Nuraisha ternyata terkejut. Meskipun dia sedia maklum akan lamaran itu, namun entah kenapa hatinya tetap kaget dan berdebar.

"Abang takkan berganjak selagi Sha tak bagi keputusan. Either its a no or yes, you will have to marry me" Firash seakan mengugut. Namun bukanlah niatnya seperti itu. Dia hanya ingin Nuraisha tahu akan perasaannya yang benar-benar ikhlas.

Kepala Nuraisha terasa pusing. Firash seolah sengaja memberi tekanan kepadanya. Tidak kiralah apapun keputusannya, dia tetap akan mengahwini Firash. Jadi di mana haknya dalam memberi keputusan? Tetapi... hati ini.. Ya. Hati ini terasa aman dengan lamarannya.

"Abang desak Sha ke?" Polosnya wajah Nuraisha, serentak dengan soalannya. Pecah juga tawa Firash akhirnya. She's really straight-forward!

"Ye! Abang desak Sha. Sebab abang dah tak sabar nak kawen dengan Sha.Nak peluk Sha. Nak cium Sha. And..." Wajah Firash terpamer senyuman nakal. Jari-jemarinya menari-nari di atas hidung mancung gadis itu.

"And?" Nuraisha menelan liur. Hatinya berdebar melihat bicara nakal Firash itu. Arghh! Syaitan sentiasa punya akal untuk merasuk manusia!

"And have kids with you. Banyak-banyak!" Serentak itu, jari-jemarinya berhenti menari lalu hidung itu ditarik lembut.

Bulu roma Nuraisha meremang. Wajahnya merona merah namun matanya masih setia menatap wajah tampan itu. Dan ketika itulah, Nuraisha merasakan hatinya serba tak kena. Perasaan yang sama ketika dia jatuh cinta dengan Samsul!

"Heyy, termenung pulak! Abang anggap reaksi diam ni sebagai tanda setuju dari Sha okey?" Firash mengenyit mata. Senang hati apabila Nuraisha tidak menolak.

"Tapi maksu..." Nuraisha jadi ingat akan Maksu Dara. Mahukah dia bersetuju dengan perkahwinan ini?

"Kenapa dengan maksu?"
"Kalau dia tak setuju?"

"Dia takkan halang kita kawen. Lagipun dia tak pernah sukakan Sha kan? Dia selalu nak halau Sha dari rumah ni. Kalau fikir logik, takkanlah dia nak halang Sha sedangkan memang itu niat dia? Lepas kawen nanti, Sha akan duduk dengan abang. Abang tak izinkan Sha tinggal sini"

Riak serius dari wajah Firash sengaja dia tunjukkan. Dia mahu Nuraisha tahu yang dia benar-benar serius dan tidak bermain-main dengan perkara ini.

Melihatkan riak keruh itu, kecut juga perut Nuraisha dibuatnya. Firash ini memang murah dengan senyuman tetapi sangat menakutkan apabila wajah bengisnya sudah mula memunculkan diri. Dia hanya menelan liur sambil mengangguk kepala perlahan-lahan.

"Good girl" ujar Firash sambil mengusap kepala Nuraisha. Syukur, Allah permudahkan segalanya. Tanpa banyak bantahan, Nuraisha bersetuju dengan lamarannya. Senang benar hatinya dengan perkara baik itu. Jadi dia tidak akan menunda lagi perkahwinan mereka. Sebolehnya, dia ingin mengikat Nuraisha secepat mungkin agar hatinya akan sentiasa tenang.

"Tapi kan bang. Ada sesuatu yang buat Sha tak henti fikir"

Wajah Nuraisha terbias dalam bebola mata Firash. Sedalam mungkin dia mencuba untuk menembusi tiang fikiran gadis itu. Pandangan mereka bersatu.

"Apa dia? Cuba bagitau abang. Kita selesaikan sama-sama"

Nuraisha diam. Kata-kata Razlan mengganggu buah fikirannya. Siapa dia pada empat tahun lepas? Kenapa Razlan mengenalinya dan mereka seperti pernah bertemu? Apa yang terjadi?

"Sha..." Firash melayangkan tangannya di hadapan Nuraisha.

Terkebil-kebil Nuraisha memandang wajah Firash lantas tersengih.

"What's wrong?" tanya Firash lagi.

"Razlan ada bagitau yang dia pernah jumpa Sha empat tahun lalu. Tapi kan bang. Kenapa Sha tak pernah tahu erk? Sha tak rasa yang Sha macam pernah tengok dia"

Luahan itu sesungguhnya membuatkan hati Firash kacau-bilau. Dia tahu maksud Nuraisha. Ya! Dia tahu segala-galanya yang pernah terjadi empat tahun lepas kerana semuanya pernah diceritakan oleh Encik Affendi. Tetapi kenapa Razlan mengungkitnya? Apa kaitan Razlan dan Nuraisha dengan kehidupan lalu? Satu soalan yang tiada jawapannya...

Hmmmm...

"Abang..." Suara lembut Nuraisha menyentakkan Firash.

"Ye?" Firash tampak blur! Bibirnya pucat saja.

"Kenapa abang macam tak sihat je?"

"Ohh takde apa-apa. Errr, abang nak bagitau ni. Sha kena bersedia dalam dua minggu. Lepas je dua minggu, kita kawen. Abang tak nak tunggu lama-lama. Abang ni dah tua. Tak nak tangguh lama-lama"

Wajah Nuraisha berbahang. Malu betul dia apabila perkara perkahwinan dibangkitkan. Lebih-lebih lagi dari lelaki berkarisma seperti Firash.

"Jangan malu-malu lagi dengan abang. Lepas kawen nanti, banyak benda yang Sha kena tunjuk dengan abang. Masa tu, abang tak peduli Sha malu ke tak. Sha dah jadi isteri abang. Sha faham kan?"

Nuraisha mengangguk laju walaupun hatinya sedikit berdebar mendengar bicara itu.

"And we have to trust each other. That's the process of marriage life. Trust each other so we can lean on each other. Okey sayang?"

Nuraisha menggangguk lagi. Entah apa kuasa yang ada pada Firash, semudah itu dia patuh. Ahh! Lelaki ini buat hatinya mula tunggang-terbalik.

"SAYA tengokkan bang, budak Firash tu macam suka betul dengan Aisha. Cara dia jaga Aisha, macam dia sayang kat budak tu"

Encik Affendi hanya mendiamkan diri. Buku laporan mengenai status dan keadaan kampung diamati dengan teliti. Dia harus fokus bagi mengetahui permasalahan penduduk kampungnya. Sesudah itu, senanglah dia meminta dana untuk membaik pulih lagi keadaan kampung itu.

Laporan mengenai projek yang dijalankan oleh Firash juga ternyata mampu membuat dia menarik nafas lega. Syarikat yang diterajui oleh Firash memang boleh dipercayai. Semua tanah penduduk sudah dibayar ganti dengan wang. Ternyata, mereka tidak salah menjalinkan kerjasama. Warga penduduk juga berpuas hati dengan cara perkhidmatan pihak Firash. Untunglah! Setidak-tidaknya, penduduk kampung masih menaruh harapan tinggi terhadapnya. Jika tidak, naya dia dikerjakan penduduk kampung!

"Suka saya tengok diorang tu. Bagus jugaklah kalau Sha tu kawen dengan Firash. Boleh si Firash tu bawak Aisha jauh-jauh dari kak Dara tu. Hishhh ,sakit hati saya ni bang!" Puan Normala mula membuka cerita.

"Abang nak tahu tak, kak Dara tu siap sumpah seranah Aisha tu. Dia cakap, kalau boleh dia tak nak langsung tengok si Aisha tu lagi. Kalau dia mati sekalipun ,dia tak akan mintak tolong dari Aisha. Angkuh betul kak Dara tu. Kalau Allah nak tarik semua, sekelip mata je!"

Sedari kecil, hidup Nuraisha tak pernah bahagia. Dia selalu didera dan dihina oleh keluarga saudara sendiri. Namun tidak sedikitpun gadis itu membalas bahkan dia masih lagi berbuat baik pada keluarganya. Entah apa dendam yang Maksu Dara simpan sehingga sanggup menjadikan Nuraisha sebagai tempat untuk melepaskan semua rasa. Untung si Aisha itu kuat orangnya! Jika dia di tempat Nuraisha, mahu mati bunuh diri agaknya!

"Bang,dengar tak apa saya cakap?" Puan Normala lihat suaminya seolah tiada mempamerkan sebarang respon. Aku cakap sorang ke?

"Iya, saya dengar. Biarlah kak Dara tu. Dia tu belum sedar lagi kesalahan dia. Nanti kalau Allah dah tunjuk, masa tu jugak agaknya dia sedar. Yang awak ni pun satu. Jangan suka sangat jaga tepi kain orang. Aib orang ni kita jangan masuk campur. Nanti berbalik pada kita" tutur Encik Affendi sekaligus memberikan pesanan.

"Ye bang.Saya tahu. Tapi kan bang. Saya kesianlah dekat Samsul" Keluhan berat dimuntahkan. Setiap kali teringatkan Samsul, hati tuanya berasa sebak. Samsul setiap kali menelefon pasti akan bertanya hal Nuraisha. Dan sentiasan menitipkan pesan kepadanya untuk memastikan Nuraisha baik-baik sahaja. Bagaimana agaknya penerimaan Samsul kalau betullah Firash sukakan Nuraisha?

"Laaa tapi awak jugak nampak happy.Ni monyok pula"

"Saya terkenangkan Samsul. Anak kita tu sayang sangat dekat Aisha. Sebak rasa hati saya setiap kali dia bertanya hal Aisha"

Kali ini, giliran Encik Affendi pula yang mengeluh. Cermin mata ditanggalkan lalu diletakkan di atas meja.

"Nak buat macam mana Mala? Dah memang bukan jodoh diorang. Ni semua kehendak Allah. Siapa kita nak mengelak?"

"Tapi nilah kali pertama saya tengok Samsul sayangkan perempuan. Tapi ni jugak kali pertama Samsul kecewa"

"Awak ni Mala. Jangan dibawak sangat perasaan sedih tu. Si Samsul tu kena redha dengan takdir Allah. Kalau betul Aisha tu jodoh dia, beribu batu jauh pun diorang bersatu. Kalau betul jodoh diorang, sekeras apa pun hati Aisha, akan Allah lembutkan. Tu gunanya doa. Tadah tangan untuk berdoa. Biar Allah uruskan semuanya.Lagi-lagi awak ni ibunya. Doa seorang ibu takde penghalang. Straight terus je,Allah dengar"

Puan Normala mengesat air mata yang semakin berani hendak gugur. Kata-kata suaminya sedikit sebanyak mampu menenangkan hatinya. Benar, doa seorang ibu mudah diperkenankan oleh Allah. Dia juga sayangkan Nuraisha. Oleh itu ,dia turut akan berdoa semoga jodoh Nuraisha dituliskan bersama Samsul.

KEDATANGAN Tan Sri Firman sekeluarga cukup mendebarkan hati Nuraisha. Dari kejauhan, dia melihat Firash tunduk menyalami tangan papa dan mama. Kemudian, berkalih pula ke arah seorang gadis yang berusia dalam lingkungan 20an. Gadis tersebut tunduk mencium tangannya. Mungkin tu adik dia! Desis Nuraisha dalam hati. Mereka sempat bergurau dan bergelak tawa.

Nuraisha pegang dadanya. Debaran di situ jelas kedengaran. Semakin luas langkah mereka mendekatinya, semakin kencang debaran itu berbunyi. Dia kalut dan kebingungan. Apa yang harus dilakukannya?

"Ma, pa, Naura. I represent to you, the one and only. Nuraisha" Bibir Firash mengulum senyuman ketika memperkenalkan Nuraisha kepada keluarganya. Dia sudah menapak di sisi Nuraisha.

Tan Sri Firman dan Puan Sri Mariam tersenyum melihat wajah Nuraisha. Cantik orangnya! Nuraisha menyalami tangan mereka berdua. Apabila bersalaman dengan Puan Sri Mariam ,tubuhnya terus didakap erat.

"Cantik sangat kamu ni! Sejuk mata memandang" puji Puan Sri Mariam. Wajarlah Firash tidak menyempat semacam.

"Tapi...kenapa dengan lebam ni?" tanya Puan Sri Mariam lagi. Dari tadi dia perasan kesan lebam di wajah cantik itu.

Nuraisha melirik ke arah Firash. Bagaimana harus dia berterus-terang mengenai keadaannya dan perkara yang telah berlaku?

"Nanti along cerita" sahut Firash sambil menggenggam erat tangan Nuraisha.

"Ada sesuatu ke yang berlaku?" tanya Tan Sri Firman pula.

"Errr... puan sri" Nuraisha gagap. Nasib saja Firash sempat menceritakan tentang keluarganya tempoh hari. Jika tidak, pasti dia kekok hendak membahasakan diri.

"Alaa, tak perlulah puan sri bagai. Panggil mama je. Kamu kan bakal menantu mama"

Tersungging senyuman di wajah Nuraisha. Lapang dadanya dengan penerimaan keluarga Firash. Dia sempat berfikir jika dia tidak disukai oleh keluarga Firash dek kerana status dirinya itu.

"Takpelah. Nanti cerita dengan mama ye?"

Firash mengukir senyum dengan penerimaan keluarganya. Syukur, mama dan papa tidak cerewet dalam memilih menantu. Yang mereka inginkan hanyalah yang terbaik untuk anak-anak. Dan Firash rasa bertuah menumpang kasih di dalam kalangan keluarganya.

"Baik mama" sahut Nuraisha, lembut.

Naura tersengih. Matanya tak berkelip memandang wajah Nuraisha. Dia tergamam melihat wajah natural itu. Walaupun Nuraisha tidaklah secantik kebanyakan orang, tetapi dia mempunyai wajah yang unik dan natural berbanding orang lain. Tidak dinafikan wajah itu bisa membuat tidur tak lena, dan itu yang berlaku ke atas Firash!

"Kak ipar" panggil Naura lantas memeluk tubuh genit itu. Dia terpaksa menunduk sedikit kerana tubuhnya lebih tinggi.

Nuraisha tersenyum lalu membalas pelukan Naura.

"Naura" ujar Naura setelah melepaskan pelukannya.

"Berapa umur Kak Sha?" tanya Naura lagi.
"20"

Naura tercengang. Alamak! Kakak iparnya lebih muda berbanding dirinya.

"Umur Naura 24. Takkan nak panggil kak Sha dengan panggilan kakak?" Naura pandang wajah Firash yang berdiri di sebelah Nuraisha.

"Ala, umur tak penting. Nanti Kak Sha jadi isteri along, Naura kena jugak panggil dia kakak" sampuk Tan Sri Firman setelah lama mematungkan diri.

Naura menelan liur. Kekoknya!

"Jomlah masuk. Lama sangat dah kat luar ni" pelawa Firash.

Nuraisha tersengih dengan sikap Firash. Dia buat rumah itu macam rumahnya pulak!

LANGKAH Firash dibontoti dari arah belakang. Sedari tadi, Nuraisha bimbang dengan penerimaan keluarga Firash tatkala melihat keadaan rumahnya yang usang itu. Bagaimana jika mereka jijik dengan situasi rumahnya? Atau pun tidak mahu menjamah makanannya nanti? Maklum sajalah, keluarga Firash itu adalah keluarga berada. Dan mereka juga orang terpengaruh dan dikenali ramai. Sedangkan dia? Bagaikan enggang dengan pipit jika dibandingkan.

Baju Firash ditarik dari arah belakang. Firash menoleh lantas keningnya bersatu.

"Kenapa?"

"Errrr...." Nuraisha serba salah. Bagaimana harus dia memulakan bicara?

Kali ini, Firash betul-betul berdiri di hadapan Nuraisha. Kedua bahu gadis itu dipaut. Dia menyoal lagi dengan pandangan matanya yang redup. Riak resah jelas terpampang di wajah itu.

"What's wrong Sha? Something is bothering you?" Nada yang tenang tetapi penuh tegas. Dia risau seandainya Nuraisha tiba-tiba saja menarik diri daripada perkahwinan mereka. Naya dia!

"Rumah Sha..."

"Jangan risau" sampuk Firash sebelum sempat Nuraisha habiskan ayatnya. Kini dia mengerti maksud kegelisahan wajah polos itu.

"Keluarga abang tak pandang taraf dan kedudukan seseorang. Dan keadaan rumah jugak. Tak kiralah usang macam mana sekalipun, tapi tetap jugak tempat tinggal kan? Lagipun mama dan papa tak pernah memilih dalam soal jodoh anak-anak. Asalkan anak-akan happy, mama papa pun akan turut happy"

Bibir Nuraisha mengukir senyum meski dalam hati galaunya Allah sahaja yang tahu. Tetapi dia percayakan Firash. Dan dia tahu, dia harus berjuang bersama-sama lelaki itu di dalam perhubungan mereka.

"Abang suka mata Sha. Nampak sangat jujur. Tapi mata jujur Sha selalu sangat menangis. Itu yang abang tak suka"

Pandangan redup Firash dibalas dengan berani. Ketika itu, Nuraisha mampu melihat betapa dalamnya kasih lelaki itu terhadapnya. Sehinggakan dia segan dengan lirikan tersebut, justeru dia akhirnya mengalah juga.

Firash mengukir senyum. Setiap kali bertentangan mata, Nuraisha pasti akan mengalah.

"Along!" jerit Naura dari arah pintu.

"Dah, jom. Naura dah panggil tu"

Tangan Nuraisha ditarik lalu keduanya berjalan memasuki ruang rumah.

SETELAH dikhabarkan akan kedatangan Firash sekeluarga, Maksu Dara menyumpah di dalam hati. Dia tahu maksud kedatangan itu. Nuraisha sendiri yang menceritakan kepadanya. Melihatkan keadaan dan penampilan mereka, dia tahu keluarga Firash bukan orang sebarangan. Tetapi yang menghairankan, kenapa Nuraisha yang hodoh itu jugak yang Firash inginkan? Betul-betul dia mati akal!

"Maksu..Maksu dengar kan apa yang Sha cakap? Keluarga abang Firash datang..."

"Aku tahulah! Tapi aku tak suka. Kau suruh diorang balik sekarang!" Hati Maksu Dara sudah diamuk kemarahan. Nasib baik saja ketika itu mereka berbincang di dalam bilik. Jika tidak, pasti Nuraisha malu dan segan dengan penerimaan Maksu Dara.

"Tapi diorang ikhlas" rintih Nuraisha. Sudah diagaknya reaksi Maksu Dara seperti itu. Mana mungkin dia bisa bebas dari cengkaman wanita itu kecuali mati atau sakit!

Maksu Dara tergelak besar. Ikhlas? Dia tidak salah dengarkah? Keluarga kaya-raya seperti Firash itu ikhlas dengannya? Sedangkan dia tu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang! Ada hati nak bergandingan dengan orang segak seperti Firash!

"Kau jangan nak berangan nak kawen dengan putera rajalah Aisha! Kau tu layak jadi kuli je! Duduk di bawah kaki diorang. Ada hati nak kawen dengan orang kaya! Agaknyalah kan, si Firash tu buta mata buta hati barangkali! Macam mana dia boleh terfikir nak kawen dengan kau?"

Air mata Nuraisha jatuh juga. Lagi-lagi dia dihina. Namun kali ini harga dirinya seakan jatuh terjunam. Dia benar-benar tidak menyangka Maksu Dara akan berfikiran seperti itu.

"Ni aku nak bagitau kau satu benda. Lelaki ni ,pada mulanya aje beria. Lepas je dia puas dengan kau, dia akan tinggalkan kau mentah-mentah. Kau nak ke? Nanti kau balik kampung dengan bawak buah labu. Macam dulu..."

Maksu Dara tidak menghabiskan ayatnya. Malahan, dia ketawa sepuas hati mengenangkan betap bodohnya anak saudaranya itu dimanipulasi!

"Maksu..."

"Keputusan aku muktamad! Kalau kau nak bebas dari sini, sama ada kau mati atau kau bayar aku sejuta!"

"Maksu Dara!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience