HANIEM menempuhi hari yang agak menyukarkan buatnya. Dia bangun pada pagi itu dengan hati yang lara melihat pesanan mesej Huzair. Dia terus menganggu Haniem beberapa hari ini sehingga Haniem rasa agak tertekan dengan gangguannya yang tak sudah itu. Syukur juga hatinya tenang setelah dia mematikan panggilan seketika.
Di tingkat bawah, Haniem hanya melihat Hanis, Fatin dan Encik Malik sahaja sedang bersarapan di meja. Haniem mendekati mereka dan sempat mencium dahi Fatin lembut membuatkan Fatin yang menikmati rotinya tersenyum.
“Selamat pagi.”
“Selamat pagi. Kenapa nampak... letih je ni?” Tanya Encik Malik sedikit risau.
“Oh, Haniem ada.. banyak kerja beberapa hari ni. Jadi sebab tu nampak penat je. Tapi ayah jangan risaulah. Nanti okey lah ni.”
Kepala Haniem diusapnya lembut. “Kerja, kerja juga Haniem. Ayah tak nak Haniem terlalu taasub dengan kerja sebab kerja ni sampai bila-bila pun takkan habis. Haniem kena.. berehat, ada masa untuk diri sendiri juga.”
“Jangan risau ayah. Haniem.. akan jaga diri.”
“Tentang permintaan ibu tu, kalau Haniem tak nak jumpa dengan anak kawan ibu, beritahu ibu dan jangan diamkan diri. Ayah tak nak disebabkan kami berdua, Haniem korbankan kebahagian Haniem. Haniem, berhak bahagia dengan pilihan hati Haniem.”
Haniem mengangguk.
“Alah ayah, kalau terus je ikut apa yang kak Haniem nak kan, sampai sudah lah dia tak kahwin. Kahwinkan aje akak dengan lelaki tu ataupun tanya dia tentang perpisahan dia dengan Huzair. Takkan lah dia berpisah macam tu je tanpa ada.. sikitpun penjelasan.” Hanis bersuara.
“Tentang hal tu, ayah rasa Hanis tak payah nak sibuk. Kak Haniem kamu ni boleh baiki semua masalah dia dan kita sebagai keluarga tak perlu masuk campur selagi dia tak jelaskannya. Apa yang bagusnya kalau dia terus simpan tanpa terluka. Bila dia nak luahkan, kita beri dia masa.”
“Ayah manjakan sangat kak Haniem. Kalau dia tak kahwin, sampai ke tua lah dia mustahil nak dapat anak dan belum tentu lelaki yang cintakan dia akan setia dengan dia. Lebih-lebih lagi kalau kak Haniem kahwin dengan lelaki muda. Mesti lelaki tu rasa tercabar dengan diri dia dan faktor usia kak Haniem sendiri.”
“Dan ayah takkan izinkan Haniem cintakan lelaki yang macam tu.” Balasnya.
Hanis jengkel.
“Ayah nak yang terbaik buat anak-anak ayah. Ayah izinkan Hanis untuk kahwin dulu sebab ayah tahu kamu boleh tempuhi kisah cinta kamu dengan Fikri. Tapi Haniem, dia perlukan masa untuk ubatkan luka dia sendiri. Kamu tak perlu masuk campur Hanis sebab ayah yakin yang Haniem pun tak suka kamu terus caras kehidupan dia.”
“Hanis ni sebagai adik nak yang terbaik untuk kakak dia. Ayah pun tahu jiran kat sini dah mula mengata kak Haniem yang masih lagi tinggal dengan keluarga dalam usia dia macam ni. Ayah dengan ibu tak malu ke kalau orang terus burukkan nama ayah dengan ibu?”
Encik Malik merengus. “Mulut orang kamu ingat kita boleh tutup ke? Untuk pengetahuan kamu, bila kamu tak ada kat rumah ni, Haniem lah yang menceriakan suasana. Ayah yang tak bagi dia sewa rumah sebab ayah tahu ayah tak boleh berjauhan dengan anak-anak ayah. Korang bertiga lah anak ayah dan ayah gembira dengan adanya korang. Haniem, Hanis dan Haris dah ceriakan suasana rumah ni. Jadi jangan.. bangkitkan tentang jiran-jiran kat sini.”
“Hanis cuma ingatkan ayah je dan pesan pada kak Haniem untuk teruskan hidup dia dengan pasangan. Sampai bila dia tak nak kahwin? Nak terus duduk dengan ibu dan ayah. Well, ibu dengan ayah bukannya boleh tanggung dia selalu.”
“Cukup Hanis! Jangan sampai ayah naik darah dengan kamu. Hormat Haniem sebagai kakak kamu!”
Sakit hati Hanis apabila Encik Malik terus pertahankan Haniem berbanding dirinya. Memang dalam rumah ni, mereka hanya pedulikan Haniem sahaja berbanding dirinya. Hanis terus bangun dari duduk dia menuju ke tingkat atas. Tak ada hati dia nak menikmati makanan dia.
“Hanis!” Panggil Haniem risau.
“Duduk Haniem. Biar ayah pergi cakap dengan dia nanti.”
Haniem kembali duduk di kerusinya. “Ayah, Haniem tak kisah mulut Hanis macam tu sekalipun sebab Haniem tahu dia macam mana. Tapi ayah tolonglah jangan tegas sangat dengan Hanis. Dia cuma nak kan yang terbaik je untuk Haniem dan dia tertanya-tanya je.”
“Tapi ayah tak boleh dengan sikap kurang ajar dia terhadap kamu. Tegas lah sedikit Haniem dengan Hanis tu. Ajar dia supaya tak bersifat kurang ajar dengan yang lebih tua. Haniem berhak bersuara akan sesuatu yang Haniem rasa.. ia salah.”
“Haniem tahu ayah. Tapi Hanis tu anak ayah dan adik Haniem. Haniem ataupun ayah tak nak kehilangan dia kan? Jadi jangan tegas sangat dengan dia sebab Haniem tak suka.”
Encik Malik mengeluh lalu dia mengangguk.
“Morning!” Haris tiba dengan baju lengan sangkut dia seperti baru bangun tidur.
“Ha, dah bangun dah anak teruna yang macam anak dara ni.”
Haris mengetap. “Apalah ayah ni! Anak teruna ayah ni penat dan sebab tu dia bangun. Kira bagus apa kalau Haris bangun sekarang. Kalau bangun tengahari, lagi tak sempat nak pergi kolej.”
“Bagus juga kamu pergi kolej tu. Tapi attitude kat kolej tu pun kena jaga juga. Jangan timbulkan masalah lagi sampai kak Haniem kamu kena pergi settle kan.”
“Yelah. Sorry kak sebab menyusahkan.”
Haniem tersenyum sambil menggeleng. “Tak adalah. Cuma, jangan buat lagi! Akak pun tak suka Haris buat masalah kat kolej sana. Kolej tempat untuk belajar dan bukannya membuli. Faham?”
“Yes, bos!”
Haniem menikmati sarapannya. Selesai saja menikmati sarapan dia, Haniem membawa pinggan Encik Malik dan Haris ke dapur untuk membantu Puan Zahara mencucinya. Nampaknya Puan Zahara masih lagi sedang menyiapkan bekal makanan jntuk Encik Malik, Haris dan Fatin.
“Eh, Haniem tinggalkan aje lah pinggan tu. Nanti ibu basuh kan.”
“Tak apalah. Ibu pun nampak.. sibuk je.”
Puan Zahara tersenyum. “Tak adalah sibuk sangat. Ini yang ibu selalu buat kan? Lagipun ibu nak lah juga ahli keluarga ibu ni boleh sihat selalu dengan makan makanan kat rumah.”
Haniem mengangguk mengerti.
“Haniem nak bekal juga ke?” Tanya nya.
“Tak payahlah. Haniem tak nak susahkan ibu. Lagipun Haniem ingat nak makan kat luar je dan pergi perpustakaan baca buku sikit. Mungkin, Haniem balik petang sikit.”
“Ibu dah agak dah dengan anak ibu seorang ni. Kalau tak kerja, buku lah yang dihadap nya.”
“Alah, apa salahnya kalau Haniem cari ilmu kan?”
Puan Zahara tak kisah sangat dengan hal itu malah dia gembira Haniem seorang yang ulat buku.
“Oh ya, ibu lupa nak beritahu Haniem yang Haniem boleh jumpa dengan anak kawan ibu tu minggu depan. Dia pun setuju nak jumpa Haniem dan katanya dia letak syarat kalau dia tak suka Haniem.”
Haniem diam membisu. “Dia.. dia nak jumpa Haniem?”
“A’ah. Dia kata dia nak jumpa Haniem dulu dan decide kemudian. Haniem.. setuju kan?”
“Y.. ya. Tapi Haniem nak kan masa lepas jumpa dengan dia.”
“Ibu setuju je.”
Tak sanggup Haniem nak malukan hati Puan Zahara yang nampak bersemangat hendak jodohkan dia dengan orang yang dia tak kenal. Tetapi Haniem tegakkan pendirian pada dirinya sendiri yang ini cuma lah perjumpaan biasa sahaja. Dia akan fikirkan dahulu antara nak menerima lelaki asing dalam hidupnya ataupun tak.
Haniem berangkat ke tempat kerja selepas dia siap mencuci pinggan supaya tak menyusahkan Puan Zahara. Setelah perjalanan yang ditempuh selama berjam-jam juga, Haniem tiba di tadika milik dia yang dibangunkan dengan usahanya dan rakan kongsi dia yang malangnya meninggal dunia. Namun dia berikan ini kepada Haniem apabila Haniem telah berusaha keras.
“Selamat pagi.” Haniem menyapa pelajar yang dia kenal dengan ibunya, Liya.
“Selamat pagi cikgu. Saya minta maaf... hantar Liya lewat sikit hari ni sebab saya.. uruskan sesuatu pagi tadi.”
“Eh, tak apa. Saya faham puan duduk kat mana dan.. Liya ni duduk kat mana. Puan Dhiya jangan risau.”
Gembira Adhiya mendengarnya. “Saya minta diri dulu. Tolong jagakan anak saya ya. Liya pula, jangan nakal-nakal. Ingat pesan cikgu dan nanti mama datang ambil Liya.”
“Okey!”
Dhiya berangkat pergi
“Liya masuk dalam dengan cikgu kat sana ya. Cikgu nak kena buat kerja sikit.”
“Nanti... nanti cikgu masuk ajar kelas Liya?” Tanya nya.
Haniem tersenyum. “Mestilah. Sekarang belajar rajin-rajin dulu dan nanti cikgu masuk.”
“Okey!”
Haniem melepaskan pegangan tangan Liya kepada cikgu yang menjaga pintu pagar berdekatan. Dia melangkah masuk.
“Assalamualaikum,” tak disangka apabila Haniem tiba di sana dan hendak melangkah masuk, ada seorang guru yang merupakan pekerja dia nampak resah di keretanya.
“Waalaikumusalam.”
“Kenapa... tak masuk dan duduk kat sini? Awak ada masalah ke?”
Dia nampak serba salah. “S.. sebenarnya kat dalam ada.. pegawai pendidikan dengan Puan Kirah. Dia datang nak pegawai pendidikan dengar sendiri apa yang cikgu Qila dengan cikgu beritahu dia sebelum ni. Dia tak puas hati lagi.”
Haniem agak terkejut. Dia terus berlari anak masuk ke dalam pejabat menemui mereka.
“Ha, datang pun! Seorang je lagi yang tak datang.”
Haniem masuk ke dalam menuju ke meja nya di mana Puan Kirah dan pegawai pendidikan yang dikenali Haniem. Haniem meletakkan beg dia dan anak mata dia menangkap surat di atas meja dia. Haniem tak mengendahkannya.
“Boleh.. saya bantu?” Tanya Haniem.
Puan Kirah berpaling memandang pegawai pendidikan di sebelahnya. Lelaki itu mengeluh berat.
“Puan ni kata... awak sebagai cikgu telah menghalau anak dia dan melarang anak dia untuk bersekolah di sini. Dia buat laporan pada pihak atasan KPM dan bila pihak kami dah jelaskan semuanya pada dia tentang cikgu, dia tak boleh terima dan ugut nak panggil polis.”
“Hei! Saya bukan mengugut tapi saya nak pihak KPM lebih bertanggungjawab memastikan sistem pelajaran anak-anak Malaysia! Kalau negara kita adanya sistem yang tak kisah pasal pelajaran budak-budak yang menjamin masa depan ni, payahlah.”
Pegawai pendidikan itu mengeluh lagi. “Tapi puan, cikgu ni dah jelaskan pada kami hari di mana puan datang sergah diorang. Itu berlainan sangat dengan cerita yang puan beritahu. Anak puan tak dihalau tapi puan yang tak nak anak puan belajar di sini sebab puan kata anak puan dah cukup pandai.”
“Perasaan marah manusia memang suka hati je akan keluar dan macam tu juga dengan kata-kata diorang. Takkan lah encik tak boleh fikir yang anak saya tu masih kecil dan dia bukannya... bijak sangat. Yang saya tak boleh nya bila cikgu kat sini menghalau anak saya.”
“Mereka tak halau puan. Mereka kata puan yang pergi sendiri. Saya bukannya tak nak tolong puan. Tapi cikgu di tadika ni akan laporkan pada kami dan anggarkann diorang betul. Puan akan ke KPM mengadu tentang perbuatan cikgu di sekolah ni. Puan paksa kami bertindak. Ini salah puan.”
Kini pegawai pendidikan dan Puan Kirah seperti nak berdebat.
“Sudah!” Haniem bersuara menghentikan mereka. “Baiklah puan, saya akan terima anak puan balik. Saya pun tak nak panjangkan lagi hal ni. Tapi saya merayu pada puan untuk... tak timbulkan masalah lagi. Bukannya saya nak marah puan dengan perilaku puan. Saya kesian kan anak puan. Saya tak kisah kalau puan terus marah tadika saya. Bagi saya pelajaran anak-anak di sini lebih penting. Tolonglah, jangan buat masalah lagi. Kami akan terima puan kalau puan berjanji untuk tak terus masuk campur dalam tadika kami. Ini prosedur kami dan kami akan uruskannya.”
Puan Kirah menatap Haniem yang tulus. “Okey! Awak akan terima anak saya dan saya harap anak saya pandai membaca.”
“Saya juga berharap puan boleh baiki kekemasan pelajar. Itu bukan tanggungjawab guru nak pastikan anak puan dalam keadaan kemas. Puan ibu dia dan puan lah yang bertanggungjawab menjaga kebersihan dia.”
“Baiklah.”
Baguslah kalau dia dah setuju. Puan Kirah keluar dari pejabat dengan hati yang tenang dan tak tenang sangat.
“Saya minta maaf.. sebab terjah cikgu punya tadika. Tak sangka, ada lagi ibu-ibu yang macam tu zaman sekarang ni.”
“Tak apa. Saya faham kenapa Puan Kirah buat semua tu. Encik jangan risau dan saya akan beritahu hal lainnya tentang puan kalau dia buat masalah lagi dan mengadu pada pihak atasan.” Balasnya.
“Ya. Saya juga tak nak cikgu diamkan diri kalau puan tu datang terjah lagi. Terus laporkan dan kami akan ambil tindakan jika dia masih tak puas hati.”
Haniem mengangguk.
“Saya minta diri dulu.” Dia pun berlalu pergi meninggalkan Haniem.
Setelah kelibatnya tiada, Haniem kembali ke meja dia. Dia mengeluh berat dengan kepala diurutkan. Haniem mengeluarkan buku yang dibelinya sebelum ini yang belum dibaca lagi. Dia mengamati setiap tulisan di dalamnya dan kulit buku itu. Ada sesuatu tentang buku ini yang menarik minatnya dan dia seperti pernah mengenali buku seperti ini sebelumnya.
Semasa Haniem nak membacanya, surat di atas meja tadi diambil lalu dibaca. Dia terkejut mengetahui itu surat perletakan jawatan Qila. Haniem terus mendail nombor Qila untuk bertanyakan hal ini. Malangnya Qila tidak angkat. Haniem menghantar mesej lalu dia pun keluar dari tadika menuju ke keretanya. Haniem membawa keretanya keluar dari perkarangan tadika lagi menuju ke rumah Qila.
Tiba sahaja di sana, tiada apa-apa yang baru. Haniem mengetuk pintu rumah tetapi tiada balasan. Dia mula risau sehingga tak tahu nak kata apa. Surat perletakan jawatan Qila berada di tangannya lagi. Haniem mengeluh berat. Ke manakah perginya kawan baik dia itu. Dia berlalu pergi dan saat ini barulah Qila buka pintunya. Dia tahu Haniem pasti terkejut. Sayangnya dia terpaksa memandangkan Haniem dah tahu apa yang jadi.
Share this novel