HANIEM dan Adhiyat yang akan tiba tak lama lagi sungguh membuat Datin Haliza gembira. Dia memasak lauk kegemaran Adhiyat kemudian dihidangkan ke atas meja. Empat lauk yang berbeza membuatkan Datuk Azlan yang melihat terkejut. Begitu banyak lauk yang dihidangkan di atas meja buat mereka sekeluarga sedangkan yang ada di rumah cuma empat orang saja.
“Kenapa awak masak banyak-banyak ni? Lempeng yang mak bagi pun, kita tak makan lagi. Ad pun tak makan lagi dan kalau awak masak banyak ni, macam mana Ad nak sumbat lempeng tu pula?”
Datin Haliza mengetap. “Abang ni banyak berleter lah. Saya dah masak nak buat macam mana. Lagipun Haniem dengan Ad mesti tak makan lagi.”
“Mana awak tahu Liza? Entah-entah Zahara dah masakkan untuk diorang kat rumah sana.”
“Abang ni sengaja nak sakitkan hati saya kan? Kak Zahara cakap dia tak masak pun dan sebab tu Liza nak masak. Ad dengan Haniem sarapan je kat sana.”
Datuk Azlan ketawa kecil melihat isterinya yang marah akan dia.
Mereka menunggu sehingga kedatangan Adhiyat dan Datuk Azlan langsung tak dibenarkan sentuh makanannya sehinggalah ketibaan Adhiyat dengan Haniem. Penantian demi penantian, akhirnya mereka tiba juga di muka pintu dan segera diterpa oleh Datin Haliza.
“Marilah makan!” Ajak dia kepada Haniem.
“Makan?”
Datin Haliza mengangguk riang. “Ingatkan nak ajar Haniem masak lauk kegemaran Ad supaya nanti senang Haniem nak masakkan untuk Ad. Tapi kan, umi dah tak sabar nak Haniem rasa masakkan umi sampai umi rasa.. esoklah umi ajar Haniem masak lauk kegemaran Ad.”
Haniem mengangguk tenang.
“Tapi kitorang dah...”
Haniem mencubit bahagian pinggang Adhiyat untuk menghentikannya sehingga Adhiyat terkejut. Dia membawa Datin Haliza ke meja makan dan meninggalkan Adhiyat dengan beg-begnya.
“Duduklah Haniem.” Datin Haliza menarik kerusi di sebelahnya buat Haniem manakala Adhiyat duduk di hadapan Haniem.
Haniem duduk sambil mengaguminya.
“Nampak sedap kan?”
“A’ah. Umi siapkan ni seorang-seorang ke?”
Datin Haliza mengangguk.
“Kesiannya kat umi. Lain kali umi tak payahlah masak banyak sangat. Nanti menyusahkan umi pulak.”
“Apa susah? Umi masak pun untuk Haniem dengan Ad juga yang makan dan umi ni langsung tak kisah.”
Haniem bersyukur mempunyai mak mertua sebaik Datin Haliza. “Haniem tahu. Tapi umi bukan ke baru balik dari Johor? Haniem tak nak susahkan umi kalau boleh.”
“Haniem tak susahkan umi pun. Umi yang nak masak dan umi sanggup berkorban apa saja untuk Haniem dan Ad makan. Dah, tak payah nak risau. Kita makan ya?”
Mereka sekeluarga mula menjamu selera dan Haniem memang tak sangka masakan Datin Haliza sebegitu enak. Walaupun perut dah kenyang dan tak boleh sumbat, Haniem cuba cekalkan hatinya untuk makan juga.
Adhiyat risau melihat Haniem. “Haniem, awak... tak nak makan dah?”
“Tak. Saya... saya nak makan lagi.”
“Kalau awak dah kenyang, tak apa. Umi boleh masakkan lagi. Lauk ni tak habis pun.”
Haniem tersenyum nipis padanya.
“Kenapa Haniem... tak nak makan?” Datin Haliza bertanya.
Haniem resah ingin memberitahunya.
“Sebenarnya kitorang dah makan dah kat luar tadi. Haniem nak makan masak lemak lauk kegemaran dia dan tadi... bukan main banyak lagi Haniem makan. Now balik sini, umi masak banyak pulak.”
Datin Haliza memandang Haniem lalu mengeluh. “Kenapa tak beritahu dah kenyang? Jangan nak paksa diri tu. Dah, Haniem tinggalkan pinggan kat sini, basuh tangan dan minum air masak untuk hadam makanan tu.”
“Haniem minta maaf.. sebab tak boleh nak makan umi masak.”
Datin Haliza menggeleng tenang.
“Haniem, umi masak ni pun semuanya memang untuk Haniem. Tapi umi tak paksa Haniem makan demi kesihatan Haniem. Baba pun takkan izinkan Haniem makan kalau Haniem dah kenyang. Nanti jadi apa-apa kan susah. Sekarang Haniem tinggalkan pinggan tu, basuh tangan dan minum air masak.”
Haniem mengikut apa yang Datin Haliza dan Datuk Azlan pinta. Datin Haliza memeriksa keadaan Haniem dan sangat terharu atas perbuatan Haniem sebentar tadi. Selesai saja menikmati makanan, Hanism berkeras hendak membantu Datin Haliza mengemaskan meja walaupun Datin Haliza meminta dia berehat. Kedegilan Haniem buat Datin Haliza mengalah dan membiarkan dia membantunya.
Di dapur, Datin Haliza mengelap pinggan yang dibasuh Haniem dan diletakkan ke rak. Dia tersenyum menatap Haniem.
“Umi tak pernah nampak... wanita sebaik Haniem dan umi selalu nak ada menantu macam Haniem.”
Haniem tersenyum. “Haniem cuma tak nak umi penat je. Sebelum ni ibu pun selalu je buat kerja berat-berat sampailah doktor kata dia tak boleh kerja yang berat disebabkan faktor usia dia. Sebab tu lah Haniem risaukan umi dan tak nak umi jatuh sakit macam ibu. Haniem kesian kan umi dengan ibu.”
“Umi ni makin sihat kalau anak-anak kat sekeliling. Cuma sekarang, Ad dah kahwin, kak Dhiya pun dah kahwin dan ada anak. Umi tak boleh lawan... takdir Allah. Selama ni umi nak Ad kahwin juga dan akhirnya.. dia dah kahwin.”
“Jadi umi akan... sedih kalau Ad pindah dengan Haniem?”
Datin Haliza mengeluh. “Ibu bapa mana yang tak sedih kalau anak dia akan tinggalkan mereka. Memang bukan untuk selama-lamanya sebab mereka akan tetap datang jenguk kita. Tapi umi nak.. Haniem jaga Adhiyat macam mana umi jaga dia, sayangkan dia, cintakan dia dan sentiasa ada bila dia dalam masalah.”
“Insha-ALLAH.”
“Ad tu kalau dia dalam masalah, dia takkan pernah beritahu orang lain tapi dia akan simpannya dalam hati sampailah dia stress. Kalau dia tinggikan suara pada Haniem, umi harap Haniem bersabar sebab itulah Adhiyat kalau dia tak tahu nak selesaikan masalah dia.”
“Baiklah. Haniem akan berdoa pada Allah supaya kuatkan Haniem kalau ada ujian dalam perkahwinan kami. Haniem terima Ad sebab Haniem... Haniem percaya dia akan setia dengan Haniem.”
Datin Haliza mengusap tangan Haniem. “Baguslah. Umi tak nak Haniem rasa bencikan Ad kalau dia buat masalah. Sebaiknya, bertanya pada dia dan kalau dia ragu-ragu, Haniem buatlah keputusan yang Haniem rasa ia akan bahagiakan kedua-dua pihak.”
Haniem mengangguk.
Habis sahaja mencuci pinggan mangkuk, perut Haniem terasa sakit. Mungkin sebab dia dah makan banyak sangat tadi. Dia terus meminta diri naik ke bilik Adhiyat yang diberitahu jalannya di mana oleh Datin Haliza. Datin Haliza pula berjalan ke ruang tamu menemui Adhiyat.
“Mana Haniem?”
“Kat atas. Katanya dia sakit perut.” Balas Datin Haliza.
“Biar Ad pergi tengok dia lah.”
“Eh, tak payah!” Datin Haliza menghentikannya. “Biar Haniem rehatkan diri dia kat dalam bilik tu. Tadi dia dah makan banyak, lepastu makan pula apa yang umi masak. Kesian dia sebab nak jaga hati umi.”
“Tulah, Ad dah cakap kat dia tadi yang kalau dia tak boleh makan, tak payah paksa diri dia. Tapi Haniem tetap degil dan nak juga makan apa yang umi masak.”
Datin Haliza ketawa senang.
“Biarlah Haniem tu Ad. Baba bersyukur dia lain daripada.. Umai.”
Wajah Adhiyat berubah. “Kenapa nak babitkan nama Umai dalam perbualan kita? Kita bercakap pasal Haniem sekarang.”
“Baba bukannya nak ingatkan Ad tentang apa... yang jadi antara Ad dan Umai. Apa yang baba nak beritahu Ad adalah tentang Reza.”
Adhiyat makin jengkel.
“Dengar sini Ad, kita manusia perlulah ada sifat memaafkan satu sama lain sebab kita takkan pernah lari dari kesalahan. Reza memang melampau bila dia tuduh Ad sembarangan tentang aset penting tok aki. Tapi dia dah lama menyesal dengan perbuatan dia sejak apa yang menimpa dia. Jadi tak boleh ke.. Ad maafkan dia?”
“Ad tahu Ad tamak akan harta. Tapi salah ke Ad nak pertahankan tok aki? Reza pun kalau kami jumpa harta tu, dia pun akan rasa benda yang sama. Dia pun nak kaut juga! Maaf untuk dia... tak ada lagi buat Ad.”
Datuk Azlan memandang Datin Haliza yang tahu itu ialah jawapan Adhiyat.
“Tolong jangan paksa Ad untuk maafkan Reza sampailah Ad betul-betul yakin dia dah berubah. Ad tak nak... hati Ad terluka untuk beberapa kali lagi hanya sebab perbuatan dia.”
“Kami tak kisah Ad. Baba nak Ad lupakan tentang Umai bila Ad dengan Haniem. Tapi jangan pernah ingat baba takkan berdiam diri tentang masalah Ad dengan Reza. Baba nak majlis Ad dengan Haniem diadakan kat kampung walau macam mana sekalipun.” Tegas nada Datuk Azlan.
“Ba, baba tak boleh paksa Ad!”
“Jangan buat baba marahkan Ad. Ikut cakap baba dan selesaikan semuanya. Baba tak nak perbuatan Ad buat baba dengan umi yang susah. Umai tak lama lagi akan lahirkan anak dan kita boleh sekalikan majlis Ad dengan Haniem.”
Adhiyat nak membantah sebelum dia melihat wajah Datin Haliza yang menggeleng kepala mengisyaratkan padanya untuk tak lagi membantah.
Malam kemudiannya larut. Adhiyat hanya duduk di atas katil dia selepas solat maghrib dan makan malam di bawah tadi. Dia masih memikirkan tentang apa yang Datuk Azlan katakan. Dia takkan pernah lupa yang Reza pernah merampas Humairah daripada dia kerana dia sudah ada hati pada Humairah lama dahulu. Namun hati Adhiyat pudar buat Humairah selepas dia menerima Reza. Tetapi perbuatan Reza masih berbekas dalam ingatannya begitu juga disaat dia menuduh Adhiyat tamak kan harta di depan ahli keluarga mereka.
Haniem masuk ke dalam bilik setelah menolong Datin Haliza mengemas. Dia pelik melihat suaminya hanya duduk diam di atas katil. Dia mendekati Adhiyat kemudian duduk di sebelahnya. Tangan Adhiyat dipegang dia.
“Kenapa ni?”
Adhiyat tersedar kemudian tersenyum padanya. “Tak ada apa-apa. Awak dah siap kemas dengan umi?”
“Dah.”
Adhiyat hanya mengusap kepala Haniem lembut dan dia kemudiannya terlihat dalam masalah lagi sehingga Haniem menarik dagunya menghadap dia walaupu dia tak boleh tatap mata Adhiyat yang bersinar itu lama.
“Saya tak suka kalau awak terus pendam masalah awak. Kenapa ni? Beritahu saya apa yang tak kena dan saya mungkin boleh tolong awak. Kalau awak diamkan diri macam ni, sampai bila-bila pun saya takkan faham masalah awak.”
“Masalah saya.. saya tak nak susahkan awak. Saya suami, ketua keluarga buat awak dan saya akan... selesaikan masalah saya macam seorang lelaki.”
Haniem mengeluh. “Saya tahu awak lelaki tanpa perlu diucapkan pun.”
Adhiyat ketawa sebaik saja di melihat Haniem ketawa kecil sesudah berkata begitu.
“Tapi awak tak perlu tunjukkannya sebab saya yakin awak boleh tunjukkan kelelakian awak pada saya. Masalah tetap akan jadi masalah tanpa kenal jantina apa sekalipun. Masalah ni juga buat kita down setiap kali. Jadi luahkan lah pada orang yang awak percaya akan perbaikinya dan akan tolong awak. Awak tak percayakan saya.”
Adhiyat sedikit marah. “Janganlah cakap macam tu. Saya percayakan awak sebagai isteri saya. Tapi Haniem, awak mungkin ada masalah awak sendiri dan saya lalui banyak masalah sebelum ni. Ia tak buat saya putus asa dalam hidup. Saya yakin... saya boleh selesaikannya. Awak tak ingat apa yang saya beritahu awak pasal tok aki saya?”
Haniem mengangguk menyatakan yang dia ingatnya.
“Itu adalah masalah saya. Tapi saya boleh selesaikannya dengan ikut apa yang arwah nak. Akhirnya saya pilih untuk jadi diri saya sendiri. Saya nampak buku-buku saya bawah katil awak dan saya yakin awak dah baca semuanya. Awak akan faham perasaan saya dalam buku tu dan awak akan tahu masalah saya.. dah lama selesai.”
“Jadi awak nak pendamnya?”
Adhiyat menarik nafas dalam. “Saya lelaki Haniem. Saya tahu saya tak perlu tunjukkannya pada awak sebab awak sendiri yang faham. Saya dah berjanji pada ayah yang saya akan jaga awak, akan sayang awak dan akan cintakan awak. Saya tak nak menyusahkan awak dalam semua masalah saya dan saya harap awak faham.”
“Saya tak paksa awak beritahu saya masalah awak. Kalau awak rasa... awak boleh selesaikannya, selesaikan lah dengan segera sebab saya tak nak Adhiyat yang saya kenal jadi muram macam ni.”
“Saya minta maaf. Mulai daripada sekarang, saya janji takkan babitkan masalah saya pada awak dan takkan muram lagi. Saya cintakan awak.”
Haniem tersenyum lalu melentokkan kepalanya ke bahu Adhiyat. “Saya cintakan awak juga.”
Bersyukur Adhiyat tak terkira memiliki Haniem sebagai pasangan hidupnya. Dia takkan pernah susahkan atau babitkan Haniem dalam masalah dia apabila dia yakin yang dia boleh selesaikannya.
Share this novel