18

Romance Completed 28168

SATU PERSATU foto Rossa dicampak ke atas meja. Foto gadis itu bersama Bakri selalu diterimanya daripada orang upahannya. Bukan menjadi persoalan lagi baginya. Tetapi foto Rossa dilihat bersama Firdaus, itu yang menimbulkan tanda tanya. Beberapa keping foto tersebut cukup mempamerkan kemesraan mereka. Hamid mendengus. Wajah Firdaus ditatap. Dia inginkan penjelasan.
"Kau kenal perempuan ni?"
Dengan riak tenang, Firdaus mengangguk. Foto yang mempamerkan dua insan itu ditiliknya sejenak. Siapa Bakri pada Rossa?
"Kekasih?" Hamid cuba serkap jarang. Ketenangan yang ditunjukkan oleh Firdaus membuatkan hatinya mendongkol geram.
Firdaus menggeleng perlahan. "Dia kawan aku" Jujur dan telus.
Hamid tergelak. "Kawan? Kawan apa yang selalu sangat jumpa berdua?"
"Dia kawan rapat aku. Salah ke aku nak jumpa kawan baik aku sendiri? Setahu aku, takde akta dalam kumpulan kau ni yang menetapkan pergaulan dengan orang luar terbatas. Lagipun, Rossa bukan musuh kau. Dia perempuan. Kalau kau nak balas dendam, jangan babitkan dia" Tenang tetapi tegas.
Hamid menepuk tangan. Firdaus sudah berani melawan kata dengannya. "Ohh nama dia Rossa?" Wajahnya sinis. Kemudian, berpaling semula memandang Firdaus. "Okey, kita ketepikan Rossa. Tapi itu pun kalau dia tak bersalah"
"Apa maksud kau?" Firdaus terasa tercabar.
Hamid mencapai sekeping gambar di atas meja. Foto Rossa yang sedang bergelak sakan dengan Bakri ditatap penuh benci. Bakri sudah selalu sangat menyusahkan dirinya. Tak tahan oleh kepayahan itu, dia mengambil keputusan untuk membunuh Bakri. Hanya menunggu waktunya sahaja.
"Ni, kau tengok!" Foto tersebut dicampakkan di hadapan Firdaus. Firdaus mendengus. Hatinya enggan untuk melihat tetapi mata tetap jatuh pada dua wajah itu. Mulai terbit rasa cemburu kerana teman baik sendiri seolah bakal memiliki Rossa. Tetapi betulkah kenyataan itu?
"Orang aku dapat tahu, dorang nak kawen!"
Firdaus menjatuhkan pandangan pada wajah Hamid. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
"Jadi kau tahu mana salah perempuan tu! Kalau dia takde kena-mengena dengan Bakri, aku takkan usik dia. Tapi masalahnya...." Hamid berjeda. Sudah lama dia mengupah seseorang untuk mengekori langkah Bakri. Dan apabila mengetahui hubungan yang terjalin antara Bakri dan Rossa, dia menyuruh orang suruhannya untuk mengintip Rossa juga.
"Tapi dia tak tau apa-apa pun pasal benda ni! Pasal dendam kau dan Bakri!" Firdaus hampir merayu. "Please, jangan bunuh Rossa"
Hamid menyengetkan senyuman. Jiwa Firdaus sudah mulai bercempera lari apabila melibatkan seorang wanita. "Kalau macam tu, kau bunuh Bakri untuk aku! Itu pun, kalau kau nak Rossa selamat!"
Firdaus terpempam. Bunuh Bakri?

BMW putih berhenti di hadapan kedai. Rossa sudah bersedia hendak pergi. Tetapi, niatnya terbatal kerana pintu kereta masih terkunci. Wajah Bakri segera dipandang.
"Awakkk.. saya nak keluarlah!!"
Bakri tersengih lantas mendekati Rossa. Wajah mereka dekat. Peluh mengalir keluar dari wajah gadis itu. Hatinya sudah tidak tentu rentaknya. Drama apa pulak yang Bakri nak buat ni?!
"Jangan keluar dulu"
"Ap... apasal pulak?" Rossa sudah bergetar. Dia memejam mata. Ketika itu, dapat dia rasakan tangan Bakri menjalar ke pinggangnya. Dia nak buat apa?
"Macam mana nak keluar kalau awak tak bukak seatbelt? Nak bawak pergi mana seatbelt saya ni?" usik Bakri lantas menjarakkan tubuhnya sedikit dari Rossa. Dia membantu Rossa menanggalkan seatbelt tersebut.
Rossa menarik nafas lega. Suspenskan orang je!
"Nanti saya ambik awak okey?" Bakri menawarkan diri. Dia mengiring tubuh ke kiri, memandang Rossa.
"Errr tak susahkan awak ke?"
"Not at all! Lepas tu, balik rumah saya sekejap. Nak bincang pasal wedding kita. Umi Za pun ke sana. Cuma dia awal sikit. Sebab tu dia tak dapat ambik awak"
Rossa terdiam. Apabila Bakri menyebut perkataan 'wedding' itu, dia terasa jantungnya laju mengepam darah. Semacam tidak percaya yang dia akan mengakhiri zaman bujangnya tidak lama lagi.
"Okey" sahutnya perlahan.

FIRDAUS merenung gambar Rossa yang sedang tersenyum bahagia. Gambar itu diambil ketika mereka berada di taman. Betapa dia merindui gadis itu dalam diam. Perasaannya terseksa. Kehadiran Rossa mengubah seluruh hidupnya. Sejak jatuh cinta dengan Rossa, dia sudah mula meninggalkan dunianya yang penuh dengan titik hitam.
Keluhan berat termuntah jua dari bibirnya. Dia memejamkan mata. Satu persatu peristiwa bergentayangan di tubir mata. Saat itu, dia berumur 28 tahun. Dia dan Bakri merupakan anggota polis yang sangat digeruni ramai kerana kecekapan dan ketangkasan mereka menangkap musuh dan menumpaskan sindiket-sindiket 'gelap'. 2 tahun sejak kematian arwah Marlia, Bakri mulai menunjukkan tindak-tanduk agresif dan sukar dikawal. Dia gemar bersendirian. Adakalanya meracau tak tentu pasal.
Firdaus bingung. Mereka bakal berdepan dengan musuh sebentar lagi. Berperang di medan pertempuran, sekaligus menumpaskan sindiket dadah terbesar. Dalam banyak-banyak operasi, inilah operasi yang mencabar baginya.
Bakri di sebelah dikerling. Kemudian, sebuah keluhan dilemparkan tanpa sengaja. Bahu Bakri ditepuk. Dia melihat lelaki itu sungguh tak bermaya. Bagaimana mahu bertempur dengan musuh jika keadaannya seperti ini? Dia sudah menasihati Bakri untuk tidak menyertai operasi. Menurutnya, Bakri masih perlu rehat. Bimbang jika bayangan arwah Marlia kelihatan di mana-mana dan mengganggu fokus sahabatnya itu. Kerana dia cukup tahu, seberapa istimewanya Marlia pada Bakri.
"Sure ke kau nak join operasi ni?" tanya Firdaus lagi. Sejak dari balai lagi, tidak habis-habis dia menanyakan soalan yang sama kepada Bakri.
"Az, aku okey! Kau tak payah risau"
"Aku risaukan kau! Hmmm"
"Aku faham kerisauan kau tu. But I'll be fine. Aku nak bersama kau, hapuskan musuh kita sama-sama. Hey, jangan nak dapatkan nama sorang-sorang. Aku pun nak jugak" Bakri sempat mengusik di hujung bicara walaupun tiada pernah dia mempunyai maksud seperti itu.
Firdaus berdecit. Bakri as always...hmmm.

GUDANG LAMA itu dikepung. Firdaus memberi isyarat kepada pasukannya. Kali ini, dia yang akan mengetuai operasi. Selalunya, tanggungjawab itu diletakkan di bahu Bakri. Tetapi semenjak keadaan yang menimpa Bakri, pihak atasan memberikan tanggungjawab itu kepada Firdaus.
Ada yang bersembunyi di tepi semak-samun, ada pula yang menunggu di belakang gudang. Tidak kurang juga, di pintu luar masuk gudang barisan hadapan sedia berkhidmat dengan senjata masing-masing di tangan.
Firdaus menilik jam di tangan. Apabila tiba waktunya, dia memberikan arahan menggunakan walkie talkie yang terlekat di cuping telinga. Semua pasukan sudah bersedia untuk bertindak. Firdaus memandang ke arah Zaid, lalu menjatuhkan sebuah anggukan. Serentak itu, setiap dari mereka mulai mengambil posisi.
Zaid mengetuai mereka memasuki gudang. Penuh hati-hati kerana kebiasaannya penjenayah bijak memerangkap. Terdengar satu tembakan dilepaskan ke udara. Semua anggota menunduk. Penjenayah sudah mampu menghidu kehadiran mereka.
Setelah itu, berlaku pergelutan antara mereka. Tembak menembak mengambil tempat. Zaid cedera di bahagian bahu dan kaki. Peluru musuh menembusi ke situ. Firdaus mulai mendapatkan bantuan lebihan. Pasukannya yang lain juga sudah mulai rebah.
Jumlah penjenayah terlalu banyak bilangannya. Ketika itu, mereka pula yang dikepung. Bakri dan Firdaus masing-masing berdepan dengan penjenayah yang lebih dari 20 orang. Mereka dikelilingi oleh penjenayah tersebut.
"Mereka terlalu banyak" Bakri sempat mengadu.
"Aku tak pernah jangka jumlah mereka sebanyak ni!" sampuk Firdaus pula, diiringi dengan helaan nafas yang sudah tidak teratur iramanya.
"Takde cara lain, melainkan berlawan dengan dorang" usul Bakri.
"Okey, kau tau apa nak buat kan?" sahut Firdaus pula.
"Ooyeaahh!" Bakri mula menyerang musuh dengan kudratnya. Begitu juga Firdaus, menumbangkan satu persatu musuhnya. Senjata di tangan sudah habis peluru, menyebabkan mereka terpaksa menggunakan senjata 'manual' sahaja.
Tidak lama kemudian, pasukan bantuan tiba. Semua penjenayah dapat ditangkap. Namun lelaki yang mengetuai sindiket yang dipanggil dengan nama Ozil berjaya melarikan diri dengan kereta polis. Firdaus dan Bakri mengekori dari belakang. Kereta yang dipandu Bakri hampir hilang kawalan menyusuri jalan raya, tetapi dia tetap tenang mengawali stereng kereta.
"Bak, hati-hati!" pesan Firdaus ketika Bakri hampir tergelincir ke bahu jalan. Namun Bakri mampu mengawalnya. Saat kereta yang dipandu Ozil semakin menjauh, Bakri memandu melebihi kelajuan. Mengejar musuh dengan hati yang mendongkol. Firdaus di sisi sudah berpaut pada pemegang. Kelajuan yang ditunjukkan oleh Bakri benar-benar di luar kemampuannya.
Mereka hampir tiba di lintasan pejalan kaki sedangkan kereta yang dipandu Ozil sudah menapak jauh ke hadapan. Bakri tidak mempedulikan keadaan sekeliling meskipun Firdaus menjerit macam orang gila di sebelah.
"Bak, stop the car! I said, stop the car!"
Namun arahan Firdaus umpama debu angin yang menyapa sepi gegendang telinganya.
"Bak, this is an order! Stop the car right now!" Bakri tetap berdegil. Lintasan pejalan kaki dilimpasi, menyebabkan dia hampir melanggar orang ramai. Keadaan jalan raya mula sesak apabila kereta dari bahagian utara hilang kawalan dan tidak sempat menekan brek.
Firdaus bertindak mengawal stereng kereta yang dipandu oleh Bakri tetapi malang tidak berbau apabila ada sebuah kereta Honda City berwarna kelabu dilanggar dari arah depan. Kereta Honda City terbabit terbabas dan melanggar pokok. Manakala kereta yang dipandu oleh Bakri merempuh pembahagi jalan. Dan keadaan jalan raya mulai sesak dan dipenuhi deretan kereta dan orang ramai.

KELOPAK MATANYA tercelik tanpa sengaja. Hatinya berdebar. Entah kenapa setiap kali peristiwa itu bermain di kotak fikiran, dia sebak sendiri. Walaupun sudah 8 tahun peristiwa tersebut berlaku, namun Firdaus merasakan seolah-olah baru semalam ianya terjadi. Disebabkan peristiwa itu, Ozil terlepas begitu sahaja. Dia dimarahi oleh pihak atasan. Tambah parah apabila dia mendapat tekanan daripada semua pihak.
Kereta Honda City yang dilanggar mereka rupa-rupanya dalam perjalanan hendak ke hospital. Si isteri sudah hampir hendak melahirkan. Begitu lama mereka menunggu kehadiran cahaya mata kedua itu. Tetapi semuanya musnah gara-gara tindakan bodohnya dan Bakri. Dia mendapat tahu kandungan si isteri tidak dapat diselamatkan, manakala si suami meninggal dunia di tempat kejadian.
Natijahnya, si isteri memfailkan kes di mahkamah. Tidak tahu ianya berupa dendam atau untuk menuntut bela. Setelah naik turun mahkamah berkali-kali, akhirnya Firdaus kalah dalam kes tersebut kerana sebut bukti tidak berpihak kepadanya. Dia dibuang kerja dan namanya disenaraihitamkan daripada menyertai mana-mana perkhidmatan kerajaan.
Kalau diikutkan, kesalahan sepatutnya berpihak di bahu Bakri kerana yang memandu ketika itu adalah Bakri. Tetapi Firdaus kunci mulut kerana tidak mahu Bakri menanggung beban sengsara yang sudah cukup di hati. Sudahlah kehilangan Marlia, dia tidak mahu jika Bakri pula hilang diri gara-gara perbuatan itu. Jadi, setelah menimbang-tara semua keputusan, dia mengambil alih hukuman Bakri. Biarlah satu dunia tahu pesalah itu adalah dia.
Setelah dibuang kerja, dia tidak nampak di mana-mana. Pernah juga Bakri menghubunginya banyak kali, tetapi dia tidak mahu ikutkan gelora hati untuk mengalah pada panggilan Bakri. Biarlah dia terus menyepi kerana dunianya sudah berakhir. Dia dimusuhi oleh adik-beradik sendiri gara-gara itu. Papa pula meninggal dunia juga kerana dia. Namun dia bersyukur, dalam kepayahan tersebut mama sentiasa di sisi. Tetap berdoa dan akan selalu memaafkan dirinya.
Firdaus hampir hilang punca. Merasakan dirinya tidak berguna pada semua orang, dia mengambil keputusan untuk membunuh diri. Dia memutuskan urat nadi di pergelangan tangan dengan pisau. Tetapi usahanya sia-sia kerana dia sempat diselamatkan oleh mama. Pun begitu, usahanya tidak terhenti setakat itu. Dia cuba 'bemain api' pula dengan nyawanya. Dipetik api dengan hujung rokok lalu dicucuh ke pergelangan tangan. Terlalu perit rasanya tetapi dia tahankan sahaja. Mencurah-curah air mata jatuh ke pipi. Dia pengsan. Tetapi nyawanya tetap selamat.
Dua kali percubaan bunuh diri gagal. Mencuba untuk kali ketiga tetapi apabila mendengar esakan mama, hatinya dikepung hiba. Firdaus tekad! Hidup harus diteruskan. Dia bertemu dengan Khalid, seorang pemuda liar yang gilakan parti dan wanita. Pergaulan dengan Khalid menjahanamkan hidupnya yang sempurna. Sudah terlalu banyak gadis ditiduri. Air mabuk, tak usah cakaplah! Sudah terlalu sebati dalam dirinya. Dia bukan tidak mampu menghalang diri dari melakukan semua perkara terkutuk itu, tetapi dia sudah hilang semangat. Kekuatan untuk hidup juga sudah lenyap.
Kini hidupnya berseri apabila ditakdirkan bertemu dengan Rossa. Terlalu banyak warna-warni dan asbab itu dia mula berubah seperti dulu. Tiada lagi parti, tiada lagi wanita, tiada lagi air mabuk! Yang ada cuma Firdaus Azhan yang dulu, yang hidupnya sentiasa ceria dan penuh gembira. Tetapi sekarang dia harus kehilangan Rossa sebelum sempat gadis itu dimiliki. Dan sekali lagi dia harus mengalah kepada Bakri.
Firdaus mengeluh berat. Kenapa jalan hidupnya tak pernah indah? Lama dia berteleku, memikirkan setiap laluan dan lorong yang akan diambil. Teringat kembali kata-kata Hamid. "Kau bunuh Bakri, itupun kalau kau nak Rossa selamat!"
Firdaus tekad!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience