SURAT yang Bakri tinggalkan kepada Firdaus mengandungi begitu banyak kisah dan amanat. Hati Rossa sebak saat membaca satu persatu nukilan hati Bakri.
Wajah Firdaus dipandang. Seakan tidak percaya dengan apa yang barusan dia baca. "Dalam surat ni cakap, dia dah lama tahu yang abang sukakan Rossa. Boleh jelaskan? Rossa kurang faham"
Firdaus memuntahkan keluhan berat. Sejujurnya, dia juga buntu mengenai perkara itu. Bagaimana Bakri bisa mengetahui soal perasaannya? Setahu dia, perasaannya terhadap Rossa tidak pernah diluahkannya kepada sesiapa. Dia hanya memendam rasa dan menjeruk perasaan. Walaupun hatinya kuat pada Rossa tetapi untuk merebut gadis itu dari Bakri, itu tidak mungkin terjadi.
"Abang pun tak sure pasal tu. Abang tak pernah bagitau perasaan abang pada Bakri atau pada sesiapa je. Tapi dalam surat tu ada cakap, yang dia dapat rasa abang sukakan Rossa melalui sorotan mata"
Mungkin itu kebenarannya. Kerana selama tempoh Bakri bakal diijabkabulkan dengan Rossa, Firdaus tak nafikan yang dia selalu curi-curi pandang gadis itu. Kadang-kadang, tak berkelip dia menjamah seraut wajah Rossa. Boleh jadi dalam diam Bakri memerhatikan perangainya.
Rossa terdiam. Logik akal juga pendapat Firdaus. Bakri memahami diri Firdaus melebihi orang lain. Tak mustahil jika jiwa Firdaus dapat Bakri baca.
"Abang memang rapat dengan arwah kan? Sebab tu dia faham abang" Rossa memberikan pendapat.
Dilihatnya Firdaus mengangguk-angguk kepala. Tiba-tiba, muncul pula soalan lain di mindanya. "Abang sukakan Rossa dari dulu lagi ke?"
Firdaus kaget. Gelabah tiba-tiba dengan pertanyaan itu. Nak mengaku ke tak?
"Abang..." Rossa sudah meleret. "Rossa tanya ni"
Perlahan-lahan, kepala Firdaus ditundukkan. Kemudian, dia mengangguk. "Abang memang dah lama sukakan Rossa. Sebelum Rossa kawen dengan Bakri lagi. Tapi abang tak berani nak berangan-angan. Masa tu, hidup abang betul-betul tak terurus. Malulah kalau nak memiliki Rossa masa tu"
Pengakuan jujur Firdaus menyenangkan hati Rossa. Dia merapati Firdaus lalu memaut leher suaminya. Bibirnya singgah pada pipi kanan Firdaus.
"Rossa tak pernah sangka yang abang sukakan Rossa dari dulu lagi. Rossa tak pernah tahu. Maafkan Rossa ye bang?"
"Alaa takpelah. Benda kecik je. Tapi sekarang, Rossa dah tahu kan? Sebab tu abang nak sangat hidup dengan Rossa. Rossa cinta pertama abang. Dan disebabkan Rossa jugak, abang mampu berubah sampai ke tahap ni"
Tubir mata Rossa bergenang juga dengan airmata. Ikhlasnya ungkapan itu, dapat Rossa rasakan melalui sinaran mata Firdaus yang memuncak dengan rasa cinta yang mendalam. Baru kini dia mengerti mengapa Bakri menginginkan mereka untuk bersatu. Seorang insan seperti Bakri mampu memahami lelaki yang kini bergelar suaminya. Syukur dikurniakan insan-insan yang begitu menjaga dan melindungi dirinya.
"I love you abang" ucapnya tanpa segan silu. Sekali lagi, sebuah kucupan terlayang di pipi kiri dan kanan Firdaus.
"And I love you more" balas Firdaus manja. Pelukan pada pinggang Rossa diperketatkan.
"BOS, dah lama sangat kita tak beraksi ni. Aku dengar, pihak polis pun sekarang sibuk dengan pencarian mangsa hilang tu. Apa kata kita tambahkan kesibukan diorang lagi? Sekurang-kurangnya, kita susahkan diorang, seperti mana diorang susahkan kita dulu"
Hamid senyap. Janggutnya yang memanjang dibelai mesra. Dia mencerna kata-kata Tony itu, menimbang-tara keputusan yang satu itu. Sudah hampir 4 bulan mereka mendiamkan diri dan tidak mengotorkan tangan dengan aktiviti lama mereka. Dek kerana tindakan Bakri suatu masa dulu, mereka terpaksa menghentikan kerja-kerja mereka. Duit pun tidak masuk. Hanya mengharapkan duit perlindungan yang mereka kutip setiap bulan dari pemilik kedai.
"Macam mana bos?" Joseph pula bersuara. Dia tidak mahu menunggu terlalu lama, bimbang kewangan tidak masuk.
"Aku nak budak Firdaus tu" Kata-kata Hamid menyentakkan mereka. Apa yang mereka dapat jika berurusan dengan Firdaus? Tidak membawa keuntungan langsung! Sudahlah lelaki itu rupanya tali barut selama ini, kini Hamid pula meminta dia kembali. Untuk apa? Mengalu-alukan kedatangannya ke dalam kumpulan mereka atau sebaliknya?
"Tapi kenapa bos? Bos kan tahu dia siapa" Tony berkias, seolah menolak cadangan Hamid.
Hamid menjeling tajam. "Aku nak budak tu! Aku tahulah apa aku nak buat! Korang buat je kerja korang"
Tony menelan liur. Dia mengangguk perlahan, terpaksa menyetujui permintaan Hamid.
"Kerja kita macam mana bos?" Joseph pula ambil giliran bertanya.
"Perempuan yang aku nak tu, dah dapat?"
"Dapat bos. Tapi ada masalah sikit" Joseph garu kepala.
Hamid mengangguk. Dia faham masalah yang dimaksudkan Joseph. "Duit?"
Joseph mengangguk laju. "Takde duit, kerja lambat jalan bos! Perempuan-perempuan yang bos nak tu, semuanya mantap, hebat dan paling penting, fresh dari ladang! Sebab tu diorang kenakan bayaran tinggi"
"Bodoh punya orang! Aku dah cakap, aku akan bayar. Dah berapa lama dia buat bisnes dengan aku? Takkan tak percayakan aku?"
"Dia tahu kerja kita tak jalan 4 bulan ni. Sebab tu, dia rasa kita tak mampu nak bekalkan duit pada dia" Joseph meluahkan pendapat. Banyak juga benda yang terjejas rentetan dari perkara ini. "Lagipun, dia tahu kita masih lagi jadi buruan polis. Sebab tu..."
Hamid memghentak meja dengan kuat. Terkulat-kulat Joseph dan Tony dibuatnya. Menggeledak hatinya dengan pemikiran pengecut dari seorang lelaki seperti Arja itu. Kalau saja Arja di hadapannya saat ini, pasti melayang nyawa lelaki itu dia kerjakan!
"Kau buat temujanji dengan Arja! Nampaknya, pistol aku ni dah lama tak 'makan' orang!" Hamid melayangkan pistolnya ke udara. Wajahnya membengis. Sudah masanya untuk bertindak, menghapuskan musuh-musuhnya. Baik Arja mahupun pihak polis!
AINA sudah dibenarkan pulang ke rumah. Kesihatannya yang semakin baik tetapi masih dalam pemantauan pihak hospital. Rossa juga selalu menziarahi Aina dan memberikan kata-kata semangat untuk gadis itu. Dia ingin Aina berkongsi setiap rasa dan masalah kepada dirinya. Dia tidak mahu Aina merasa keseorangan. Itu juga janjinya pada Ainida tempoh hari. Dan sebagai seorang manusia yang mementingkan ukhuwah, Rossa meletakkan kepercayaan Ainida sebagai keutamaan dalam hidup.
"Rossa janji, Rossa takkan benarkan Aina bersendirian lagi. Rossa akan bantu dia" Itu janji Rossa kepada Ainida. Dan itulah yang sedang diusahakannya saat ini.
"Abang nak ke pejabat ke?" tegur Rossa apabila melihat Firdaus yang lengkap berpakaian formal. Siap menjinjing briefcase lagi!
"Aah sayang. Dah lama sangat abang tinggalkan office tu. Kesian Nizam. Kena uruskan semua sendiri. Dah lebih dua bulan abang cuti ni" Firdaus memasang tali leher. Terkial-kial dia di hadapan cermin solek.
Rossa merapati suaminya. Dia mengambil alih tugas Firdaus dan mula membetulkan posisi tali leher suaminya. "Kenapa tak panggil Rossa je buat neck tie ni?"
"Ingatkan senang je pasang neck tie ni. Tak sangka pulak makan masa. Pusing kanan, pusing kiri dibuatnya!" bebel Firdaus.
Rossa tergelak. "Habis tu, dulu sebelum kawen, siapa yang buatkan?"
"Mama. Sekarang dah ada sayang, senanglah. Semudah ABC je kerja abang" Dahi Rossa dikucup.
Rossa tertawa senang. "Saya yang menurut perintah tuan!"
Firdaus memeluk pinggang Rossa yang sedang menghadapnya. Bibirnya mula mengorak senyuman nakal. "Ohh yang menurut perintah ye? Kalau macam tu, jom sayang. Kita bagi sepupu dekat Ana"
Rossa mengekek. "Mengadalah! Takkan hari-hari kot?"Rossa hampir pening melayan karenah manja suaminya. Hampir setiap malam dia menjalankan tanggungjawab tersebut kepada Firdaus. Takkan siang-siang pun nak?
"Tadi cakap menurut perintah. Haaa" Firdaus menagih janji.
"Masalahnya, abang kan nak pergi kerja. Tadi kata, kesian dengan Nizam?" Rossa mengingatkan.
Bibir Firdaus jatuh lagi pada dahi Rossa. "Abang tahulah. Abang gurau je. Kesian isteri abang ni. Tiap malam nak kena layan abang. Takkan nak buat siang-siang pulak?"
Rossa tersenyum. Layan-layan pun, laki aku! Demi cinta, dia rela asalkan Firdaus bahagia. Kerana melayan suami juga salah satu tangggungjawab seorang isteri.
"Bila Rossa boleh masuk office?" Tiba-tiba, Firdaus diterjah dengan soalan itu.
"Sayang nak kerja ke?" Dahi Firdaus mengerut.
Melihatkan Rossa mengangguk dengan wajah yang sedikit masam, dia mula tertawa. "Tak payah kerjalah! Sayang duduk rumah je. Layan abang. Abang masih mampu lagi nak sara sayang"
"Tapi Rossa nak kerja. Kalau malam, takpe jugak. Abang ada. Tapi siang hari? Bosan gilalah duk rumah. Dahlah sorang-sorang. Kalau ada Che Mon, takpe jugak" Rossa mula mengadu. Terasa juga dengan kepergian Che Mon. Sunyi pula hidup. Kalau Che Mon ada, adalah tempat untuk dia berbual.
"Abang hantar sayang rumah umi nak? Mak Nab pun ada sana. Boleh temankan sayang. Tak pun, rumah mama. Atau mama Su? Nanti petang, abang ambik sayang" Firdaus mengusul cadangan.
"Tak nakkkkk" Rossa mulai merengek. "Rossa nak kerja, nak dekat dengan abang selalu" Airmata Rossa mulai bergenang.
Jawapan Rossa menyentakkan Firdaus. Hanya kerana ingin berada berdekatan dengannya, Rossa sampai hendak menangis begitu? Hati Firdaus mulai bingung. Teringat akan layanan buruk Sheila suatu masa dahulu, dia jadi trauma. Risau sekiranya Sheila membuli Rossa.
"Abang bukannya apa. Nanti Sheila tu buli sayang? Dia tu tak pernahnya nak baik dengan sayang" Wajah Firdaus ketat.
"Ala, kalau setakat buli je, Rossa boleh tahanlah! Bolehlah bang.. "Rossa mula memujuk. Mendekatkan wajah dengan wajah Firdaus sehingga deruan nafas suaminya hampir tidak sekata.
"Haishhh ni yang lemahnya! Dia main goda-goda pulak" omel Firdaus.
Rossa tergelak. Serangan psiko yang dipelajarinya melalui suaminya sendiri kini dipraktikkan.
"Yelah-yelah. Tapi kalau Sheila atau siapa-siapa yang buli sayang kat situ, jangan diam! Kena bagitau abang terus. Okey?" Wajah Rossa dibelai lembut.
"Okey abang" Tubuh Firdaus dipeluk manja.
Firdaus mengeluh. Siapa tak sayang bini oii?!
NANI berlari mendapatkan Rossa yang beriringan dengan Firdaus. Hairan pula melihat mereka bersama pagi itu. Dipeluk erat tubuh itu sehingga tak bernafas Rossa dibuatnya. Firdaus sudah menapak masuk ke dalam bilik pejabatnya.
"Kau rindu aku sangat ke babe? Lemaslah!" rungut Rossa apabila tubuhnya tak lekang dari pelukan Nani.
Nani tergelak lantas merungkaikan pelukan. Gila tak rindu? Dua bulan lebih kot tak jumpa minah sorang ni? Teringat dia kisah Rossa kena culik tempoh hari. Risau juga hatinya dengan keselamatan Rossa.
"Gila tak rindu? Makin berseri-seri wajah kau ye?" puji Nani ikhlas. Dia memimpin Rossa sehingga ke meja kerja.
"Yeke? Puji aku ikhlas tak ni? Aku belum gajilah, nak bagi kau upah sebab puji aku" usik Rossa sesudah melabuh punggung di atas kerusi. Rindu juga dia pada kerja, rindu pada Nani..Tapi yang paling penting, dia dekat selalu dengan Firdaus!
"Harey punya perempuan! Ikhlaslah aku puji. Jarang aku puji orang tau? Kira kau ni berada dalam keadaan yang menguntungkan sebab dapat pujian dari aku" Nani tabik dada, bangga dengan omongan sendiri.
"Banyaklah kau punya untung! Kau sihat ke?" tanya Rossa, ramah. Mulut becok Nani dan gurau kasar gadis itu yang dirinduinya.
"Sihat. Kau apa cerita? Kau tau tak babe? Nama kau famous tau kat satu building ni?" Nani mula membuka cerita.
Rossa menelan liur. Takkanlah gosip mengenai dia dan Firdaus suatu masa dahulu masih berleluasa? Seingat dia, khabar angin tersebut sudah berakhir. Cerita apa pulak yang dibawa oleh Nani?
"Cerita apa?" Rossa bermalas-malas hendak ambik tahu.
"Pasal kes kau kena culik hari tulah! Satu bangunan ni gempak tau?!"
Rossa menarik nafas lega dengan berita tersebut. Fuhh, nasib!
"Tak sangkakan, kau selamat. Aku bersyukur sangat-sangat. Risau aku dengan keadaan kau. Aku ada jugak jenguk-jenguk rumah kau, tapi tak masuk dalam. Aku tak berani, rumah kau sunyi masa tu"
"Allah masih sayangkan aku. Alhamdulillah, aku masih lagi dalam perlindungan Dia"
Nani mengangguk. "Tapi kan, aku pelik satu benda tau?"
"Apa dia?"
"Masa kau kena culik haritu, bos kita tu dua bulan tak masuk office. Katanya ada kerja yang kena dia uruskan. Pelikkan? Masa tu pulak kau hilang. Bos kita pulak takde. Aku rasa sesuatulah"
Rossa terkesima. Alamakkk!! Fikirnya, dia sudah aman dari khabar angin tersebut. Tetapi pertanyaan Nani mendebarkan semula hatinya yang sudah tenang tadi.
"Ada apa-apa ke yang aku tak tahu? Kau pun datang dengan bos tadi"
Rossa mengetap bibir. Nak berterus-terang atau mendiamkan saja mengenai status hubungannya dengan Firdaus? Seboleh-bolehnya dia tidak mahu sesiapa pun mengetahui kebenaran tersebut kerana risau orang akan mengata yang dia sengaja membodek bos. Dah jadi bini bos, saja nak tumpang senang! Dia tidak suka mendengar cerita seperti itu. Tetapi kalau tidak diberitahu, si becok Nani ni akan terus-terusan mencari tahu. Aduii.. berdenyut-denyut pulak kepalanya!
"Nantilah aku cerita. Lunch hour okey? Aku belanja" Akhirnya, Rossa memutuskan untuk berterus-terang. Dia yakin, Nani mampu menjaga rahsia. Dia percayakan Nani walaupun ada kalanya kepala Nani tu senget sebelah!
"Wahh, kau tau tak babe? Makanan paling sedap kat dunia ni adalah makanan yang bila dimakan, tapi kau tak payah bayar satu sen pun! Wuuuu.."
Rossa tergelak dengan sikap tak cover malu Nani itu!
KERJA yang bertimbun sengaja Sheila berikan pada Rossa. Dari mengisi segala borang, tender, quotation syarikat dan aliran masuk kewangan, kesemuanya diserahkan kepada Rossa. Dia sengaja berbuat begitu kerana hendak membalas dendam di atas ketiadaan Rossa selama dua bulan lalu. Lagipun, dia senang melihat Rossa susah. Memang hatinya tidak pernah sukakan Rossa sejak dari hari pertama lagi Rossa menjejakkan kaki ke situ. Apatah lagi setelah mendengar khabar angin mengenai keakraban Rossa dan Firdaus suatu masa dulu, makinlah dicucuh dengan bara api rasa jiwanya!
Dia sudah lama menaruh minat pada Firdaus. Lelaki segak yang punya karisma dan aura kuat itu mampu mencairkan hati mana-mana gadis. Ditambah pula dengan pakej wajah yang tampan dan sentiasa rapi itu, cukup sudah syarat yang membuatkan dia tidak mampu menolak kehadiran Firdaus..Masalahnya, bosnya itu sukar betul hendak didekati. Bermacam cara sudah dilakukannya, namun Firdaus tetap beku dengannya. Tetapi apabila berkaitan dengan Rossa, laju saja bosnya ambil tahu. Haihh.. bencinya hati!
"Banyak ni Sheila. Takkan saya nak buat semua?"
"Haihh, kau ni banyak songeh betul! Dah tu memang kerja kau kan? Nak harap siapa lagi? Semua ada kerja masing-masing tahu tak? Jangan nak mengada sangat kau ni!" herdik Sheila sambil mencerlung mata memandang Rossa. Apa dia ingat, dia boleh bersenang-lenang kat sini? Kalau kau tu bini bos, takpelah jugak!
Rossa menelan liur. Terasa hendak menangis saja apabila diherdik oleh Sheila begitu. Dia menahan airmata yang hampir saja hendak memunculkan diri. Sudahlah kepalanya dari tadi asyik berdenyut saja.
"Tapi takkan fail kewangan ni pun saya kena buat? Ni kan bahagian kewangan, biar diorang je yang settle" Rossa membela diri. Kalau semua kerja di setiap bahagian itu dia uruskan, alamatnya makan gaji buta sajalah semua orang!
"Kau jangan nak melawan ye? Ingat sikit, kau tu orang baru je. Kami kat sini, semua dah lebih 5 tahun kerja tau? Kau bukannya bos, bini bos pun bukan! So, jangan nak memandai-mandai kompelin yang bukan-bukan! Nanti aku report kau kat bahagian HQ, menangis tak berlagu kau nanti!" ugut Sheila dengan suara yang keras. Dilihatnya Firdaus tiada di dalam bilik. Bosnya menghadiri mesyuarat di Putrajaya bersama Nizam. Senang sikit dia nak membuli Rossa! Kalau tidak, mati kutu dibuatnya!
Nani yang sedang sibuk di mesin fotostat, terus meluru ke arah meja kerja Rossa. Terkejut bukan main lagi dia apabila melihat begitu banyak berkas surat dan fail di atas meja Rossa. Ni sampai esok pun tak siap! Memang sengaja si Sheila ni cari nahas!
"Kau ni bodoh ke apa? Yang banyak sangat kerja kau bagi Rossa ni kenapa? Ni semua bukan bahagian dialah! Ke kau tak tahu baca?"
Sheila semakin berapi dengan pembelaan Nani terhadap Rossa. Takde Firdaus, fikirnya senanglah nak membuli Rossa. Terlupa pulak dia pada si minah becok itu!
"Kau jangan nak masuk campur! Aku tak suruh kau kan?"
"Memanglah kau tak suruh aku buat, tapi masalahnya kau ni nak membuli Rossa! Mana dia tahu buat kerja budak kewangan? Kalau salah kira nanti, silap-silap haribulan rugi besarlah kita! Kau nak kita rugi? Lepas tu, gaji tak dibayar. Mana nak celuk duit? Kalau kita orang ni, takpelah jugak kalau takde gaji! Belanja pun tak banyak. Yang kau tu, mekap sana sini, barangan semua branded, mahu tak meroyan kau nanti kalau duit tak cukup! Lepas tu, bos takut tengok kau meroyan. Bos pecat kau! Lagilah naik gila kau dibuatnya!" Nani sudah membebel panjang lebar. Sengaja dia buat mimik muka menyampah, menambahkan lagi sakit hati Sheila ketika itu.
Sheila meradang. "Eeeeeeee! Benci betul aku!!" Dia sudah terjerit, lantas mengambil kembali dokumen dan fail yang diletakkan di atas meja Rossa. Hanya fail quotation saja yang dia tinggalkan di situ. Selepas itu, dia berlalu dengan wajah yang mencuka.
"Minah sengal tu kau tak payah layan sangat! Meroyan tak tentu pasal! Jom, kita lunch. Laparlah" rengek Nani sambil membuat muka kasihan.
Rossa tergelak. Dia sudah berdiri di hadapan Nani. "Cepat betul ea perut kau bekerja?"
"Mahunya tak cepat? Penat tau gaduh dengan singa?! Lapar ni. Karang aku makan kau pulak, haaa susah nanti!" tempelak Nani lagi.
"Ewah, ewah, ewah! Sesuka kau je ye? Ni kerja aku banyak! Kang kena smash lagi dengan singa betina tu"
"Alaaa, small the pieces! Kalau dia smash kau, aku kan ada? Kau tak payah takutlah. Kerja-kerja jugak, tapi perut yang bernyanyi syahdu ni jangan dilupakan! Naik meroyan karang.." Nani sudah memeluk lengan Rossa. Tidak sabar gamaknya hendak keluar. Maklum sajalah, hari ini dia makan free!
"Jomlah. Karang kau pulak yang meroyan, mampusss!" tempelak Rossa pula.
"KAU biar betul babe? Jadi kau dengan bos dah kawen?"
Air sirap yang Nani order, tak jadi dia hirup. Cerita Rossa yang satu ini lebih mengenyangkan kalau dibandingkan dengan laksa Penang yang sudah terhidang di hadapan mata.
"Janganlah bising. Nanti orang dengarlah" marah Rossa. Tersentak dia mendengar suara Nani yang agak nyaring itu.
Nani menekup mulutnya, sedar dengan keceluparan sendiri. "Sorry. Sejak bila kau kawen dengan bos?"
"6 bulan lepas. Masa aku hilang kena culik tu, dia uruskan hal aku. Bos kita tu bekas polis. Jadi dia turut serta dalam misi menyelamatkan aku"
Nani ternganga. Sungguh tak menyangka rupa-rupanya Rossa sudah berkahwin dengan Firdaus. 6 bulan pulak tu! Patutlah mereka dilihat beriringan sama pagi tadi. Dan sebelum ini pun, dia perasan sikap Firdaus yang sedikit mengambil berat akan Rossa. Rupa-rupanya...
"Tapi kita orang kawen dulu bukan atas dasar cinta" Rossa mula membuka kisah lampau. Sebak pula hati mengenangkan kembali sikap dinginnya pada Firdaus.
Nani mengerut. Dia mula berminat dengan cerita yang dibawa oleh Rossa.
"Kita orang kawen sebab amanat terakhir dari Bakri. Bakri tu sepatutnya berkahwin dengan aku. Tapi beberapa jam sebelum diijabkabulkan, Bakri meninggal dunia sebab nahas jalan raya. Nak dipendekkan cerita, aku pun kawenlah dengan bos sebab amanat tu. Hidup kita orang dulu tak bahagia. Aku selalu layan bos kasar. Tanggungjawab pun aku tak buat. Aku biarkan dia sendiri uruskan hal dia.
Sampai satu masa tu, aku kena culik. Aku rasa, Allah nak bagi hukuman dan balasan pada aku sebab aku derhaka pada suami sendiri. Dan masa aku kena culik tu, baru aku sedar yang aku banyak dosa pada suami aku. Aku mula menyesal. Dan bila dapat peluang kedua ni, aku nak guna sebaik mungkin. Aku jatuh cinta pada suami aku sendiri"
Nani sebak mendengar kisah Rossa. Tetapi dia bersyukur kerana Rossa menyedari kesilapannya pada Firdaus. Dan apa yang mampu dia lihat sekarang, Rossa tampak bahagia melalui wajahnya yang berseri-seri. Dia juga tumpang gembira melihat keadaan itu.
"Tapi aku harap kau takkan bagitau sesiapa pun pasal hal ni. Aku tak nak ada sesiapa yang tahu"
"Kenapa pulak? Kau kan isteri bos. Lagi bagus kalau satu company tau. Lebih-lebih lagi si Sheila tu. Biar padan dengan muka dia. Taklah dia buli kau lagi" Nani kasihan apabila harus melihat sikap jahat Sheila pada Rossa. Kini apabila segala-galanya sudah jelas, kenapa pula harus dirahsiakan semuanya? Ada baiknya jika Rossa berterus-terang dan berhenti menyembunyikan kebenaran agar tiada siapa yang berani membulinya lagi.
"Biarlah. Dia tu kan kuat meroyan, kau jugak yang cakap kan? Nanti pandailah dia stop kalau dia penat. Lagipun, aku tak bersedialah nak biar orang tahu kebenaran dia. Ada masa nanti, adalah kami bagitau"
Nani menggumam. Kalau sudah itu yang Rossa nak, siapalah dia hendak membantah?
SEUSAI makan tengah hari, Rossa dan Nani kembali ke pejabat. Ketika itu, Anita melimpasi Rossa dan memanggilnya.
"Bos panggil you"
Rossa dan Nani saling berpandangan.
"Kenapa bos panggil saya?" tanya Rossa.
Anita menjongket bahu. "Manalah I tahu. Ada kot yang dia nak. Masuklah dalam. Nanti bos bising kalau you lambat-lambat"
Anita yang merupakan gadis kacukan Cina-Melayu itu terus berlalu sesudah menyampaikan amanat Firdaus.
Nani menarik Rossa rapat ke sisi. Dia membisikkan sesuatu. "Apa suami kau nak?"
Giliran Rossa pula menjongket bahu. "Manalah aku tahu? Jumpa dia pun belum ni"
"Masuklah, bos rindu tu dengan kau" usik Nani. "Jangan nak buat aksi 18sx pulak dalam tu. Kalau nak buat pun, make sure pintu tu lock!" pesan Nani lagi sambil mengekek. Sempat Rossa menampar lengan Nani sebelum berlalu dari situ.
DEMI menapak masuk ke dalam pejabat, Rossa terpandangkan tubuh Firdaus yang mengeras di atas kerusi. Matanya fokus pada tatapan komputer. Laju saja jari-jemarinya menari-nari dia atas papan kekunci komputer. Dia berjalan perlahan-lahan mendekati Firdaus. Kepala yang memberat cuba untuk ditahan.
"Urut abang sini. Lenguh dah bahu ni sayang" Firdaus mengadu kemanjaan. Tetapi tidak pula dia memandang wajah Rossa. Masih sibuk pada kerjanya yang satu itu.
Erkkk! Panggil aku nak mintak urut saja ke? Mengadanya suami aku ni! Sempat dia mengomel dalam hati tetapi laju pula langkah kaki mendekati Firdaus. Belum sempat dia hendak berdiri di belakang Firdaus, suaminya itu terlebih dahulu menarik tangannya. Rossa terduduk di riba Firdaus.
"Abangg!" Rossa terjerit kecil. Terkejut dengan perlakuan Firdaus.
"Abang rindulah dengan Rossa. Sehari tak tengok Rossa, boleh naik gila dibuatnya" Bahu Rossa sudah dikucup. Betapa seksa dia menahan rindu yang membuak-buak pada isteri. Mesyuarat yang berjalan di Putrajaya terpaksa disertai atas saranan Nizam. Takkanlah dia hendak mengharap Nizam melakukan semua kerja?
"Tadi nak suruh Rossa urut bahu. Rossa urut ye?"
"Tak payahlah. Abang gurau je" Tangan Rossa pula dikucup. Melihatkan wajah Rossa yang pucat, hatinya walang tiba-tiba. "Sayang tak sihat ke? Pucat semacam je muka ni" Dahi Firdaus berkerut.
"Takdelah. Rossa pening sikit je" adu Rossa. Berdenyut-denyut kepalanya dari pagi tadi lagi.
"Kita pergi klinik nak?"
Rossa menggeleng kepala. "Tak payahlah bang. Pening sikit je ni. Nanti-nanti baiklah pening ni"
"Tapi abang risau. Sayang makan apa tadi? Atau kerja banyak sangat?"
Rossa tersengih. Senang hati dengan sikap Firdaus. Apabila teringatkan dia dibuli oleh Sheila tadi, mahu saja rasanya dia mengadu. Tetapi dia tidak mahu terlalu cengeng, risau juga jika Firdaus naik angin. Marah Firdaus bukan boleh dibawak berbincang!
"Kerja banyak sikit je. Don't worry too much okay?" Rossa memaut leher Firdaus. Tidak mampu menahan gelora di hati, Firdaus bertindak mengucup bibir Rossa. Tangannya mula meraba belakang Rossa dengan ghairah. Rossa membalas kucupan suaminya. Apabila dia hendak mengucup leher Firdaus, tekak Rossa tiba-tiba loya. Bau Bvlgari dari tubuh badan Firdaus memualkan tekak. Laju saja dia berlari menuju ke bilik air yang memang terletak bersebelahan dengan pintu keluar.
Firdaus terpana dengan aksi Rossa. Dikejarnya Rossa sehingga ke bilik air. Rossa sudah muntah di sinki. Merapati Rossa, terus saja belakang isterinya diurut.
"Sayang..."
"Abang, Rossa peninglah. Rasa nak baring je" rengek Rossa. Dia memejam mata, namun badannya seakan tidak mampu berdiri lama. Hampir saja dia terjatuh. Namun dengan segera tubuhnya dicempung oleh Firdaus.
"Kita pergi klinik nak?" Tubuh Rossa dibawa sehingga ke sofa.
Rossa menggeleng kepala, masih berdegil dengan keadaan diri.
"Kan dah sakit-sakit macam ni. Kenapa degil sangat ni? Tak nak dah dengar cakap abang!" Firdaus sedikit terjerit tanpa sedar.
"Kenapa abang marah Rossa? Sampai hati abang buat Rossa macam ni! Abang dah tak sayang Rossa lagi!" bentak Rossa tiba-tiba. Sakit hatinya diperlakukan oleh Firdaus begitu.Susah ke menunaikan permintaannya yang satu itu? Dia tidak mahu ke klinik, tetapi Firdaus tetap memaksa. Rossa sudah basah dengan airmata. Mengongoi bak anak kecil.
Firdaus tersentap. Kata-kata Rossa menoreh luka di jiwa. Kenapa mempersoalkan perasaannya? Dia separuh mati menyayangi dan mencintai isterinya itu. Semudahnya Rossa beromongan! Namun esakan demi esakan dari Rossa membuatkan hatinya serba salah. Dia hanya ingin membawa Rossa ke klinik, tetapi Rossa membuat olah sampai begini! Haihh..
"Kenapa cakap macam tu? Abang sayang Rossa sangat-sangat. Abang mintak maaf ye? Kalau Rossa tak nak ke klinik, takpe. Sayang rest je sini okey?" Dahi dan kedua pipi Rossa dikucup. Betapa dia mengasihi wanita yang satu ini. Tak terkirakan perasaannya buat si isteri.
"Hmmm" Rossa mengangguk perlahan. Terpujuk jua dengan sikap prihatin Firdaus. Penat menangis, matanya terasa berat tiba-tiba. Rossa terlelap di riba Firdaus. Lengan Firdaus dipeluk, enggan membenarkan sang suami berganjak dari sisi.
Firdaus semakin pelik dengan sikap Rossa. Cepat emosi dan mudah terluka perasaannya. Bahkan, Rossa juga kuat bermanja sejak akhir-akhir ini. Kenapa ya?
Share this novel