78

Romance Completed 28168

SETELAH menerima panggilan telefon daripada Aziz, Firdaus segera membuat temu janji di sebuah kafe tidak jauh dari syarikatnya. Sebelum itu, sempat dia menjenguk Rossa yang sedang sibuk mengira stok di gudang. Didekati sang isteri dengan langkah yang perlahan.
"Sayang!" Tubuh itu dirakul dari arah belakang. Terperanjat Rossa dibuatnya. Firdaus mengekek lalu mencium pipi gebu isterinya.
"Orang nampaklah bang!" Ishh, laki aku ni! Tak menyempat langsung!
"Biarlah orang nampak" sahut Firdaus dalam nada yang senang. "Dah makan ke sayang?"
"Kejap lagi. Alang-alang ni" jawab Rossa sambil tangannya masih sibuk mengira kotak-kotak yang mengandungi jenis kain yang berbeza.
Firdaus melepaskan pelukan lantas berdiri tidak jauh dari tempat Rossa bekerja. Diamati saja gerak-geri Rossa itu tanpa disedari oleh isterinya. Sejak akhir-akhir ini, dia perasan susuk tubuh Rossa semakin mengecil. Kurang makan ke dia? Bibirnya juga pucat. Hati Firdaus walang tiba-tiba. Seram sejuk rasanya membayangkan jika harus kehilangan Rossa untuk selama-lamanya. Dalam diam, dia berasa berdosa kerana tega menyakiti hati dan perasaan Rossa suatu masa dulu. Jika dia berterus-terang dengan keadaan yang sebenar, pasti Rossa tidak akan menerima nasib seperti ini.
"Rossa dah siap" Suara Rossa yang berada dekat dengan Firdaus menyentakkan lamunannya. Diukir semanis mungkin senyuman untuk Rossa.
"Abang nak keluar. Ada hal, nak jumpa kawan kejap. Abang dah tapau untuk sayang. Ada atas meja. Makan tau?" Dahi dan pipi Rossa dikucup.
"Abang tak nak temankan Rossa ke?"
"Sorry sayang. Abang ada hal penting. Dah janji dengan kawan. Next time okay?" Firdaus memujuk lantas kucupannya singgah di bibir Rossa. Lama.
"Don't skip your lunch. I love you"

HASIL siasatan Aziz, beberapa kemungkinan sudah ditemui. Pertama, kereta yang terdampar sepi di bahu jalan adalah milik Fahmi. Ini menjadikan Fahmi sebagai suspek utama. Tetapi bagaimana mungkin itu terjadi sedangkan Fahmi di dalam penjara dan sedang menjalani hukumannya. Yang kedua, mungkin saja Fahmi mengupah seseorang untuk mencelakakan Rossa. Dan ini bererti bukan Fahmi saja yang terlibat tetapi ada orang kedua. Tetapi persoalannya, siapakah orang kedua itu? Yang ketiga, boleh jadi bukan Fahmi suspek yang dicari selama ini. Tetapi orang lain. Tetapi siapa dan bagaimana kereta milik Fahmi boleh terlibat di dalam kemalangan tersebut? Dan bagaimana pula dengan Aina? Apakah perkaitannya di dalam perkara ini? Kenapa nalurinya berkata seolah-olah Aina turut terlibat?
"Aku jumpa ni dalam kereta Myvi tu" Aziz menyerahkan sebuah bungkusan plastik berwarna hitam kepada Firdaus. Setelah bungkusan tersebut bertukar tangan, Firdaus berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungannya.
"An earring" ujar Firdaus. Diamatinya dalam-dalam sebentuk subang tanpa pasangan itu. Seingat dia, dia tidak pernah melihat subang itu.
"Itu je yang aku jumpa dalam kereta tu" kata Aziz.
"Cap jari?"
"Aku dah panggil pihak forensik untuk buat siasatan. Laporan akan keluar dalam masa seminggu. Tapi bos, kau yakin ke tu kereta milik Fahmi?"
Kening Firdaus bertaut. Matanya bertembung dengan pandangan Aziz. "Kenapa? Dah jelas-jelas kat sini catat yang kereta tu milik Fahmi. Kau sendiri yang keluarkan info ni. Takkan kau salah pulak?"
"Itu memang kereta Fahmi. Tapi..." Ayatnya tergantung di situ. Bagaimana harus menjelaskan duduk perkara sebenar? Dia sendiri hampir tidak percaya dengan siasatannya.
"Tapi kenapa? Maklumat kau ni salah ke?" Kalau benar seperti yang didakwa, itu bererti mereka harus memulai pencarian semula.
"Tak!" Laju saja Aziz mencelah. Dia tidak mahu Firdaus punya keraguan pada setiap kerjanya. "Kereta tu memang milik Fahmi. Tetapi menurut sumber yang aku dapat, Fahmi dah meninggal dunia beberapa bulan yang lepas. Dia bunuh diri dalam penjara"
Tersentak Firdaus menerima berita itu. Dia mendiamkan diri dan cuba berfikiran waras. Selama ini, dia sangkakan Fahmi sedang menjalani hukumannya tetapi rupa-rupanya dia terlebih dahulu telah 'menghukum' dirinya sendiri.
"Bunuh diri?" Nampak gayanya, Firdaus harus segera menemui Zaid bagi mengorek kisah sebenar. Jika tidak, suspek sebenar akan terus melarikan diri dari pihak berkuasa.

"AZHAN! Lama tak jumpa" Kehadiran Firdaus di balai disambut mesra oleh Zaid. Dia mendekati Firdaus lantas memeluk tubuh sahabatnya itu. Dia kira, sudah berbulan lamanya mereka tidak bersua muka.
"Sihat?" tanya Firdaus sesudah pelukan terlerai.
Zaid tersenyum. "Alhamdulillah, sihat. Duduklah" Dipelawanya Firdaus melabuh punggung di hadapannya.
"Thanks" ucap Firdaus seraya menghantar punggung ke kerusi. Dia melihat ada beberapa kertas kerja di atas meja Zaid. Barangkali ada beberapa kes yang harus diselesaikan.
"Banyak kes ke?" tegur Firdaus.
"Aah. Kes mat rempit. Diorang ni dah tak takut dengan polis agaknya. Hampir setiap malam kita orang buat rondaan. Asyik jumpa muka yang sama je" rungut Zaid sambil tangannya sibuk bekerja membersihkan mejanya.
"Tu CCTV footage ke?" tanya Firdaus setelah perasan beberapa keping gambar di atas meja Zaid.
"Yup. CCTV budak-budak mat rempit tu. Saja aku kumpul, ada gunanya ni nanti. Kau tengok ni, since two months ago, aku dah kumpulkan CCTV ni. Diorang ni ligat sangat. Kejap lagi bila dah cukup bukti ni, aku tunjuk dekat diorang. Kalau masih berani jugak lawan pihak polis, memang aku belasah kaw-kaw diorang ni!"
Tergelak Firdaus mendengarnya. Dulu zaman 'pemerintahan' dia pun, memang selalu dia hadap benda-benda macam ni. Yang paling teruk, bila dia kena deal dengan budak kaki mabuk. Ada jugak yang syok berasmaradana di dalam kereta. Kes macam tu, memang terus dia angkut bawak Jais. Kawenkan terus, baru padan muka!
"Ada hajat ke kau datang sini?" soal Zaid.
"Ohh, itu.." Baru Firdaus teringat mengenai kedatangannya ke situ. "Aku nak tanya pasal Fahmi"
Berubah keruh wajah Zaid apabila nama Fahmi menjadi sebutan. Seingat dia, Fahmi sudah pun selamat dikebumikan beberapa bulan yang lepas. Apa lagi yang tidak kena?
"Betul ke aku dengar yang Fahmi mati bunuh diri dalam sel?"
Baru Zaid teringat. Dia lupa untuk memaklumkan perkara tersebut kepada Firdaus. Mereka jarang ketemu, ditambah pula dengan komitmennya dan kes-kes terbaru, dia jadi lupa pada hal yang satu itu.
"Aku lupa nak bagitau kau pasal tu"
"So betullah dia dah meninggal?"
Zaid menjawab dengan anggukan. Teringat dia betapa sukarnya menghadapi tekanan daripada pihak atasan yang mendesak jawapan susulan kematian Fahmi yang mendadak itu.Setelah beberapa kali siasatan yang beserta bukti, akhirnya jabatannya berjaya membuktikan segala-galanya.
"I am totally lost!" Firdaus seakan kehilangan kata-kata. Dia seakan tidak mempercayai dengan apa yang barusan didengarinya. Tetapi itulah kenyataannya.
"Sorry, aku baru tau hal ni. Sebab tu aku jumpa kau ni" Wajah Firdaus kembali serius. Duduknya diperbetulkan.
"Pasal Fahmi ke?" duga Zaid dengan kerutan di dahi.
Firdaus mengangguk lalu mengeluarkan sekeping gambar dari dalam bungkusan yang dibawanya. Gambar tersebut diserahkan kepada Zaid.
Lama Zaid meneliti gambar tersebut. Sebuah kereta Myvi berwarna putih terdampar di bahu jalan. Peliknya, kereta tersebut tidak mengalami apa-apa kemalangan atau kerosakan. Justeru, ada apa dengan gambar tersebut? Wajah Firdaus dipandang.
"Tu kereta Fahmi"
Zaid semakin tidak mengerti. "Kereta Fahmi?" Duduk Zaid terasa tidak selesa. Berkalih ke kiri, berpusing pula ke kanan. Seriau pula dia dengan maklumat yang barusan dia dengar.
"Haritu isteri aku kemalangan. Dan kereta ni dibiarkan di tepi jalan sampai ke hari ini tanpa ada sesiapa yang menuntut. Persoalannya sekarang, siapa yang drive kereta ni? Tak mungkin Fahmi sebab kau cakap dia dah lama meninggal sedangkan kemalangan tu berlaku sebulan yang lalu"
Penjelasan Firdaus cukup membuatkan Zaid berasa seram sejuk. Meremang bulu romanya tiba-tiba. Takkanlah Fahmi mempunyai kembar?
"Orang yang drive kereta ni memang ada kunci pendua atau akses untuk ke rumah Fahmi. Sebab setahu aku pihak polis dah pagarkan rumah dia kan? Maksudnya memang takde sesiapa yang dapat masuk ke dalam rumah tu" terang Firdaus lagi. Hatinya penuh musykil dan syak wasangka. Setiap kali persoalan itu bermain di minda, hatinya sering teringat pada Aina tiba-tiba. Adakah Aina terlibat di dalam semua ini?
"Melainkan ada yang simpan kunci rumah dia dan guna kereta ni. Dan orang tu mesti someone yang dah biasa dengan rumah dia. Who do you think?"
Firdaus mendiamkan diri dengan pertanyaan dan kemusykilan daripada Zaid. Dia bersetuju dengan penerangan Zaid. Jika bercakap tentang hal itu, satu-satunya orang yang boleh disyaki cumalah Rossa dan Aina serta mangsa Fahmi yang lain. Kerana kesemuanya adalah mangsa yang pernah Fahmi 'cekup' di dalam rumahnya. Antara kesemua mangsa tersebut, hanya Rossa dan Aina yang masih hidup. Masakan Rossa sanggup mencederakan diri sendiri? Itu sangat tidak mustahil. Jadi satu-satunya suspek yang tinggal hanyalah Aina. Tetapi dia tiada bukti.
"Apa yang kau fikir?" Suara Zaid mencantaskan lamunan Firdaus. Lama dia perhatikan gelagat Firdaus yang diam tidak berkutik itu.
"Something. Aku perlukan bukti" sahut Firdaus.
"Kereta tu? Cap jari pada kereta tu boleh bawak kita pada suspek"
"Kereta tu ada dalam tahanan pihak forensik sekarang. Diorang tengah kenal pasti cap jari yang ada kat situ. Laporan akan keluar lagi seminggu"
"So kena tunggu dalam masa seminggu lagi"
Kepala Firdaus terangguk-angguk.

"KAU yakin ke dia ajak kau jumpa kat sini?" Wajah Nani dipandang sekilas. Tadi, Nani mengajaknya ke tasik kerana calon suami Nani ingin bertemu. Katanya sebagai langkah awal untuk saling mengenali. Saat mendengarkan berita tersebut, Rossalah insan paling bahagia kerana pada akhirnya Nani dapat juga menemui cinta sejati, walaupun cinta sejatinya bukan Umar. Untuk itu, Nani meminta untuk ditemani kerana dia tidak mahu berduaan dengan lelaki yang tidak dia kenali.
"Yelah, dah dia WhatsApp aku location dia. Takkan dia nak tipu pulak?"
"Habis tu, kenapa dia tak datang lagi?"
"Manalah aku tau!" gerutu Nani sambil menggaru kepalanya. Pelik pula dia dengan sikap Rossa yang terlebih excited itu!
Telefon bimbit Rossa berdering. Muncul nama Firdaus di kaca skrin. "Alamak! Laki aku calllah!" Gara-gara terlebih gembira dari Nani, dia terlupa memaklumkan kepada Firdaus akan kepermegiannya bersama Nani.
"Waalaikummussalam abang" Salam Firdaus di hujung talian disambut.
"Sayang kat mana? Takde pun kat gudang"
"Rossa keluar.."
Belum sempat Rossa menjelaskan, Firdaus pantas mencelah. "Keluar ke mana? Dengan siapa? Kenapa tak bagitau abang?"
Lidah Rossa kelu. Alamakkk! Silap dia kerana lupa memberitahu Firdaus. "Maaf bang. Rossa lupa nak bagitau. Rossa keluar dengan Nani kejap"
"Keluar dengan Nani je? Taufiq ada sekali ke?" Entah kenapa, relung hatinya tiba-tiba disengat perasaan cemburu. Dia risaukan keselamatan Rossa namun lebih risau jika Taufiq ada bersama. Apatah lagi setelah tidak dimaklumkan Rossa akan kepermegiannya. Nampak seperti Rossa sengaja berahsia darinya.
Rossa mengetap bibir. Apa pulak sebut-sebut Taufiq ni? Hatinya sudah kurang enak. "Taklah bang! Rossa keluar berdua dengan Nani je. Takde Taufiq atau sesiapa lagi"
Suara di hujung sana terdiam. Dia tidak puas hati. Selagi Rossa tidak berada di hadapannya saat ini, selagi itulah hatinya dimamah kebimbangan. Dan dia juga berkecil hati dengan sikap Rossa yang mengendahkannya, meskipun Rossa tiada niat seperti itu.
"Abang... "
"Hmmm?"
"Rossa mintak maaf tau? Abang marah ke?"
Nani yang mendengar tiba-tiba berasa bersalah. Diorang gaduh gara-gara aku ke?
"Hmm. Takdelah. Cepat balit tau? Jangan lama-lama sangat" pesan Firdaus sebelum meletakkan panggilan.
Terkesan hati Rossa dengan sikap Firdaus. Namun dia tahu, semuanya salah dia. Dia yang terlupa menghubungi Firdaus. Tidak mengapalah! Balik nanti, dia akan meminta maaf lagi.
"Bos marah kau keluar dengan aku ke? Sorry wey, sebab aku, korang gaduh" Wajah Nani mendung.
"Ehh, takdelah. Tak payah risaulah! Aku okey. Salah aku jugak sebab tak inform dia, aku keluar dengan kau" akui Rossa, jujur. "Ehhh, mana laki kau?"
"Correction. Bakal laki! Tu pun tak tahu jadi ke tak!" selamba Nani menjawab. Dia tidak sukakan perjodohan ini. Dia belum bersedia untuk menjadi isteri kepada sesiapa. Dia masih mahu hidup single dan bebas tanpa ada ikatan dengan sesiapa.
"Pulak dah!" Rossa menepuk dahi.

"HELLO. Aziz, buat sesuatu untuk aku"
Wajah Firdaus keruh. Bagi meleraikan segala kekusutan di hati, dia meminta pertolongan Aziz untuk mengintip gerak-geri Rossa di luar sana. Bukannya dia tidak percayakan isteri sendiri, tetapi dia tidak mahu kehilangan Rossa lagi. Jadi sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini, ada baiknya jika dia mencegahnya terlebih dahulu.
"Apa dia bos?"
"Kau intip isteri aku sekarang.Dan maklumkan pada aku ASAP!"
Bingung Aziz dengan permintaan Firdaus yang satu itu. Kenapa nak kena intip isteri dia? Ada sesuatukah yang sedang berlaku?
"Kau dengar tak aku cakap ni?!" Firdaus hampir menjerit. Baran pula hatinya dengan Aziz yang tidak bersuara itu.
"Ye bos. Aku dengar. Nak intip sekarang ke?"
"Habis tu, kau nak intip tahun depan ke?" tempelak Firdaus lagi. Sengaja nak buatkan dia naik angin!
Aziz mengetap bibir. Alamak! Mood dia tak baik!
"Aku intip sekarang!" ujar Aziz seraya mematikan panggilan. Kalau bekerja dengan Firdaus, duitnya sentiasa cukup. Tapi itulah, satu saja masalah bosnya itu. Kuat melenting, lebih-lebih lagi kalau bersangkut-paut dengan Rossa!

MEREKA mengambil tempat duduk paling hujung sekali. Nani duduk di sisi Rossa, manakala lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Umran itu duduk di hadapan Nani. Selesai memesan makanan, Umran menatap wajah Nani. Boleh tahan jugak muka dia ni!
"Betul ke mak awak dengan mak saya nak jodohkan kita?" Itu pertanyaan pertama yang terpancul dari bibir Nani.
Rossa yang tersentak mendengar pertanyaan itu. Takde mukadimah, terus on the point minah ni! "Kau ni.." Lengan Nani dicuit. Tidak dihiraukan wajah kurang senang Umran itu.
"Apa?" jerkah Nani kasar. Memang dia sengaja bersikap seperti itu agar lelaki itu tahu perangainya, sekaligus membatalkan perkahwinan mereka. "Betullah kan? Aku nak tahu"
"Kot ye pun, tanyalah benda lain dulu" bisik Rossa ke telinga Nani.
Nani buat muka seposen. Malas dia nak menerima pendapat tak diundang Rossa itu. Wajah Umran ditatapnya. Sekali pandang, wajah itu tak ubah seperti wajah Umar. Nama pun hampir sama. Umar-Umran. Hmmm, ehhh lantaklah! Umar pun nak kawen dengan orang lain. Kenapa aku nak sibuk?
"Awak tak jawab lagi soalan saya" Nani kembali ke titik permulaan lantas wajah santai Umran ditilik. Boleh tahan hensem!
"Betul, mak kita memang nak jodohkan kita" sahut Umran sambil menyungging senyuman manis.
"Awak setuju?" Kening Nani bersambung. Wajahnya ketat sahaja.
Pertanyaan Nani mengundang ketawa di bibir Umran. Wajah Nani yang agak stress itu turut mencuit hatinya. Dia takut sangat ke nak kawen dengan aku?
"Saya tak buat lawak! Dan lagi satu, saya tak suka orang gelak masa saya betul-betul tengah serius" Wajah Nani mencuka.
"Okey-okey. Sorry about that" Umran menghabiskan sisa tawanya. "Awak tak setuju ke dengan perkahwinan ni?"
"Tak!" Laju saja Nani menjawab. Biar Umran tahu yang dia memang tak pernah bersetuju dengan percaturan ini.
"Any reasons?" tanya Umran lagi.
Pelayan datang membawa pesanan mereka. Setelah meletakkan pesanan di atas meja, pelayan tersebut mengundur diri.
Tekak yang dahaga terus disimbah dengan jus epal. Wahhh, segar rasanya! Rossa senyum sendiri. Lama dia memerhatikan gelagat kedua insan itu. Apabila melihat telatah mereka, dia jadi teringat akan kisahnya dengan Firdaus suatu masa dulu. Mereka juga pernah dijodohkan atas permintaan terakhir arwah Bakri. Dia sendiri tidak pernah menyetujui perkahwinan tersebut. Dan gara-gara itu, dia telah menjadi isteri derrhaka kepada Firdaus. Tetapi lelaki itu sedikit pun tak pernah berganjak dari sisinya. Takdir Allah, dia kembali ke pangkuan Firdaus dengan rela hati.
"Pertama, saya tak suka awak. Kedua, saya tak suka awak. Dan ketiga, saya tak suka awak. Rasanya itu alasan yang cukup kukuh untuk pertanyaan awak tadi" jawab Nani dengan wajah yang angkuh.
"Kenapa awak tak suka saya?"
"Dah saya memang tak suka awak, nak buat macam mana?"
"Sebab tu kita kena kenal lebih dalam. Baru tahu secocok ke tak"
"Tak sudi!"
Umran mengulum senyuman sinis. Angkuh jugak minah ni! Betul kata Umar. Memang susah nak lembutkan hati dia. Nasib kaulah Umar, dapat bini keras kepala!
"Awak tak nak tahu ke kenapa saya setuju dengan perkahwinan ni?"
Lama Nani mendiamkan diri. Ingin juga rasanya dia mengorek rahsia hati lelaki itu. Mereka tidak pernah jumpa dan tidak pernah kenal, masakan dia terus bersetuju dengan perjodohan mereka? Sangat tidak masuk akal!
"Apa dia?" tanya Nani acuh tak acuh.
"Pertama, saya suka awak. Kedua, saya suka awak. Dan ketiga, saya suka awak" ungkap Umran sambil tersenyum lebar. Skrip yang telah diolah oleh Umar dua hari yang lepas terpaksa dia hafal bagi mengorat si keras kepala ini! Ini semua rancangan Umar. Kononnya belum bersedia untuk menemui Nani dalam keadaan seperti ini, padahal dalam hati dah berbunga cinta. Pengecut punya abang! Tapi dia rela hati membantu kerana incomenya masuk.
Bungkam Nani dengan jawapan selamba Umran. Sudah dirasuk jin ka apa si Umran ini? Mereka baru saja berjumpa, takkan terus suka? Lagipula, dia tidak bercakap lembut tadi. Memang sengaja dikeraskan suaranya agar Umran tidak berkenan padanya. Tetapi rancangannya tidak berhasil. Haishhh, bencinya!
"Rossa, aku nak ke ladies kejap" Nani pamit untuk ke tandas. Setelah Nani berlalu, tinggallah Rossa dan Umran di situ. Mereka masing-masing menjamu selera tanpa ada berbicara. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri.
"Dia memang macam tu ke?" soal Umran setelah agak lama menyepi.
Rossa mendongak memandang Umran. "Nani?"
Umran mengangguk kepala.
"Ohh, dia memang macam tu. Kadang otak tak masuk air jugak"
Meletus tawa Umran. Kata-kata Rossa yang selamba dengan riak wajah yang polos itu sangat mencuit hatinya.
"Awak je ke kawan rapat dia?"
"Setakat ni, memang saya sorang je. Sebab saya je yang tahan dengan otak mereng dia tu"
Ketawa Umran terburai lagi. Terhibur hatinya dengan omongan Rossa. Menurut Umar, Rossa satu-satunya sahabat baik Nani. Dan sempat lagi Umar berpesan agar tidak mengurat Rossa kerana gadis itu merupakan isteri kepada bosnya. Cantik sungguh orangnya! Jika tidak mengenangkan status Rossa, agaknya dia pun terjatuh suka pada gadis itu.

BENGIS wajah Firdaus saat dikirimkan Aziz gambar Rossa yang sedang duduk makan bersama seorang lelaki. Hatinya mendongkol geram. Siapakah gerangannya lelaki itu? Kenapa Rossa menipunya? Sebentar tadi, Rossa berkata ada Nani bersama. Tetapi kenapa bukan Nani yang dilihatnya?
Adakah Rossa sengaja hendak menguji hatinya? Atau adakah Rossa tidak ikhlas menerimanya kembali? Tetapi bagaimana malam-malam yang telah mereka lalui bersama sebelum ini? Adakah semuanya dusta? Arghhh! Dia pening memikirkan semua itu.
Apa yang harus dia lakukan? Masakan mahu menyerang Rossa dengan persoalan seperti itu? Dia risau sekiranya emosi Rossa kacau-bilau dan meretakkan hubungan mereka lagi. Tetapi jika tidak ditanya, dia akan terus dihantui dengan pelbagai persoalan. Dia cintakan Rossa dan tidak mahu mereka bergaduh lagi. Atau sebaiknya dia hanya menunggu saja Rossa membuka cerita? Namun jika Rossa tidak bercerita dan berlagak seperti tiada apa yang berlaku, pasti dia tidak akan tenang.
"Sayang, kenapa buat abang macam ni?" Firdaus sudah mengongoi dalam tangisan.

AINA memandang wajahnya di dalam pantulan cermin. Bibirnya yang pucat dan wajah yang sembam mencacatkan rupanya. Dia menyentuh bibir dan keseluruhan wajahnya.
"Kenapa muka aku pucat?"
Tergesa-gesa dia mencari blusher, gincu dan segala alat mekapnya bagi mencantikkan wajahnya. Dia sempat mengerling jam di dinding. Tidak lama lagi Firdaus akan pulang. Masakan dia mahu menyambut Firdaus dengan wajah yang pucat lesi?
"Kau lagi cantik dari Rossa!" Aina menggenggam penumbuk. Wajahnya ditilik lagi. "Ye, aku lagi cantik dari Rossa! Aku lagi cantik dari perempuan tu! Mana lipstick aku ni?"
Dibukanya almari meja solek bagi mencari gincunya. Segala barang di dalam almari tersebut diselongkar dan dicampakkan satu-persatu.
"Arghhh!!" Aina menjerit kegeraman kerana tidak menjumpai apa yang dia cari. Dia bergerak ke almari baju pula. Dicampakkan segala baju di atas lantai. Pun begitu, dia tetap tidak menjumpai gincu tersebut.
"Arghhh, sial! Ni mesti perempuan tu dah sorokkan! Dia memang tak suka aku nampak cantik depan Firdaus! Kau nak rampas Firdaus dari aku kan? Kau tunggulah nasib kau Rossa!"
Aina terduduk di lantai dan menghamburkan segala kemarahannya pada barang-barang di situ. Ditikam satu-persatu sampai gelojak hatinya puas.
"Arghhhh!!!"

"ABANG okey ke ni?"
Rossa meletakkan belakang telapak tangannya di dahi Firdaus. Suhunya normal saja. Tetapi kenapa wajah Firdaus tampak tegang?
"Okey" jawab Firdaus mendatar. Dia tiada mood hendak berbual. Fikirannya masih dihantui dengan gambar-gambar tadi. Selagi Rossa tidak berterus-terang, selagi itulah moodnya akan terus kucar-kacir seperti itu. Dia hanya inginkan kejujuran dari Rossa. Dia serik ditipu. Namun tegakah Rossa menipu dan menyakiti hatinya?
"Rossa rindulah dengan arwah Bakri"
Terpempan Firdaus mendengarnya. Hilang sudah isu lelaki misteri tadi, kini Firdaus berdepan pula dengan nama Bakri. Dia cemburu tiba-tiba.
"Lama dah kita tak jenguk dia. Jom bang. Kita pergi lawat kubur dia nak?" Rossa memaut lengan Firdaus.
"Dah lewat ni. Esok-esok jelah"
"Mana ada lewat. Baru pukul 4"
"Aina tunggu kat rumah tu"
Akhirnya, Rossa mendiamkan diri.Baru sedar bahawa kini dia berkongsi suami dengan Aina.Cemburunya mulai menguasai namun Rossa tidak mahu terlalu cepat melatah. Dia risau pertelingkahan bakal berlaku lagi. Dia cukup serik dengan apa yang pernah terjadi sebelum ini. Jika sebelum ini dia terlalu menyanjung egonya, kini biarlah dia beralah. Aina juga berhak kerana dia masih lagi isteri Firdaus.
"Okey" jawab Rossa sepatah. Sejurus selepas itu, dia terus mendiamkan diri. Apa kena dengan Firdaus, dia sendiri kurang pasti.
Hati Firdaus walang. Dia tahu Rossa cemburu apabila nama Aina dibangkitkan. Namun dia juga tidak mampu menahan hati apabila Rossa menyebut nama lelaki lain di hadapannya. Arghh!

MALAM sudah melabuhkan tirainya. Tepat jam 11 malam, namun Firdaus masih tidak mampu melelapkan mata. Dikerlingnya wajah Aina yang sedang nyenyak tidur di sebelah. Elok saja tangan itu memeluk pinggangnya.
Hati Firdaus berbelah-bagi. Dia ingin berada di sisi Rossa saat ini, berduaan dengan isterinya itu mampu menenangkan gelojak di hati. Namun hatinya masih terkesan dengan sikap Rossa. Masakan Rossa tidak meminta maaf padanya? Hanya menyuarakan maaf melalui panggilan telefon, tetap tidak cukup untuk melegakan hatinya saat itu.
Perlahan-lahan, Firdaus bangkit dari tidur dan melatakkan tangan Aina di atas katil. Dia bergerak perlahan lalu menguak tombol pintu. Menapak keluar dari bilik, laju saja derap kakinya melangkah ke arah bilik Rossa.
Dibukanya pintu bilik Rossa perlahan-lahan. Kemudian, langkah kakinya laju mendekati Rossa yang sedang lena di atas katil.
"Dia lena je tidur, sedangkan aku? Berteman gelisah!" Firdaus sudah bercekak pinggang sambil menggeleng kepala. "Tak reti ke nak mintak maaf?"
Firdaus mendengus lantas duduk di birai katil. Wajahnya diraup berkali-kali. Lama dia termangu di situ. Mengharap Rossa akan sedar dan berterus-terang dengannya. Namun hampa yang bertandang. Rossa masih lagi lena diulit mimpi.
Penat menunggu, Firdaus berbaring di sebelah Rossa. Wajahnya didepankan dengan wajah Rossa. "Tidur-tidur pun masih comel!" omelnya sendiri. Saat itu, dia menangkap sekeping gambar di sisi Rossa. Ditarik perlahan gambar tersebut. Gambar Rossa dan Bakri! Dia kira, gambar itu mungkin diambil sewaktu mereka masih bercinta dulu.
Rasa menyesal bercambah dalam relung hati Firdaus. Tidak seharusnya dia cemburukan Bakri kerana Bakri sudah tiada. Dan sepatutnya dia menuruti saja permintaan Rossa siang tadi. Seperti apa yang didakwa Rossa, dia juga sudah lama tidak melawat Bakri. Ya Allah! Bertimpa-timpa pula rasa bersalah dan penyesalannya saat itu.Dia terhutang budi kepada Bakri. Jika bukan kerana lelaki itu, pasti dia tidak akan memiliki Rossa saat ini.
"Abang!" Terkejut Rossa menerima kehadiran Firdaus di situ. Sejak bila Firdaus muncul? Dilihatnya Firdaus sedang memegang gambarnya bersama Bakri.
"Sorry, abang jumpa ni kat tepi Rossa" Gambar tersebut diserahkan kembali kepada Rossa.
"Hmmm, takpe" Lama Rossa merenung gambar tersebut sebelum pandangannya jatuh pada wajah Firdaus. Dihadiahkan sebuah senyuman untuk suaminya itu.
"Rossa rindukan Bakri?"
Tersentak Rossa dengan pertanyaan itu. Sejujurnya dia memang rindu. Tetapi serba salah pula untuk mengakuinya.
"Just tell me sayang. Do you miss him?"
Perlahan-lahan Rossa menganggukkan kepalanya. Jujur kerana tiada apa yang salah pada perasaan tersebut. Dia sayangkan Bakri sebagai seorang sahabat. Tak lebih dari itu. Melalui Bakri, dia belajar banyak perkara.
"I miss him too. A lot!" jujur Firdaus. Wajahnya tampak tenang tetapi kelihatan sedih.
"Dia seorang lelaki yang baik. Sebab tu Allah ambik dia dulu" ujar Rossa.
"Kalau dia tak pergi dulu, mesti Rossa dah kawen dengan dia kan? Dan korang dah bahagia dah sekarang, dah ada anak barangkali" Firdaus melakar kisah hidup Rossa. Membayangkan jika Bakri yang hidup di sisi Rossa, apa yang akan terjadi pada dirinya? Masihkah terumbang-ambing seperti dulu? Atau dia temui cinta sejati yang lain?
"Tapi Rossa dah kawen dengan abang" Rossa mendekatkan jarak mereka. "Dan Rossa bahagia dengan abang" Tubuh Firdaus didakap erat.
Pelukan Rossa dibalas oleh Firdaus. Dia juga bahagia meniti hari bersama Rossa meski terlalu banyak dugaan yang terpaksa mereka hadapi.
"Abang tau tak Nani nak kawen?" Rossa memulakan cerita.
"Really?" Tubuh Rossa dilepaskan dari pelukan. "Dia nak kawen dengan siapa? Umar?"
"Nope! Umran"
"Siapa Umran?" Dahi Firdaus berkerut.
"Umran tu calon suami Nani. Tadi Rossa temankan Nani pergi jumpa Umran. Sebab Nani tak nak jumpa Umran sorang-sorang"
Firdaus teringatkan gambar-gambar yang Aziz kirim melalui WhatsApp siang tadi. Agak-agaknya itulah Umran kot? Tetapi kenapa Nani takde masa tu?
"Yeke?" tanya Firdaus, polos dan naif.
"Haah"
"Sayang ada ke borak-borak dengan Umran tu?"
"Ada. Masa Nani pergi toilet, masa tu lah kita orang borak. Dia tanya pasal Nani"
Mendengarkan itu, hati Firdaus diteguk lega. Terlerailah sudah persoalannya. Lelaki yang bersama dengan Rossa di dalam gambar tersebut rupa-rupanya Umran, calon suami Nani. Dan Rossa tidak menipunya. Nani memang ada bersama dengan mereka.
"Sayang bagitau apa dekat Umran?"
"Macam-macam. Lepas tu, dia gelaklah dengar cerita Rossa"
"Kenapa pulak?" Dahi Rossa dikucup. Senang hatinya melayan karenah Rossa yang seperti kebudak-budakan itu.
"Sebab Rossa cakap, Nani tu mereng!"
Mengekek Firdaus ketawa. Tubuh Rossa ditarik dalam pelukan. Sesungguhnya, dia benar-benar merasa lapang. Belakang badan Rossa diusapnya.
"Abang..."
"Ye sayang"
"Kita lawat kubur Bakri esok ye?"
Wajah Rossa ditatap kembali. Bibirnya mengukir senyum serentak dengan anggukan kepala.
"Abang nak tidur sini ke?"
"Kenapa? Rossa tak nak abang tidur sini ke?"
"Nanti Aina dapat tahu, macam mana?"
"Dia tengah tidur tu. Takdelah dia tahu. Nanti sebelum pukul 4, abang keluarlah"
"Hmmm, okey" Kadangkala, Rossa tidak berpuas hati. Dia dan Firdaus suami isteri yang sah, tetapi kenapa mereka berlagak seolah mereka sedang melakukan kesalahan? Sampai bila harus hidup seperti ini? Dia buntu.
"Sementara masih ada masa ni, kita kena manfaatkan sebaik mungkin" Senyuman nakal Firdaus menghiasi wajah. Ditindihnya tubuh Rossa dengan kucupan bertalu-talu pada wajah dan bibirnya.
"I love you" ungkapan Rossa yang bernada romantis dan seksi itu menggetarkan hati lelaki Firdaus. Tidak menunggu lama, laju saja tangannya bekerja. Malam yang indah untuk dua hati bersatu, seperti malam-malam sebelumnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience