22

Romance Completed 28168

SEPERTI dalam mimpi rasanya. Disuruh senyum, dia lebarkan bibir. Diarahkan gerak ke kanan, dia ke kanan. Disuruh berdiri, dia turutkan juga. Hari ini adalah hari Rossa menurut perintah. Rimas rasanya apabila terlalu banyak manusia yang berlaga pipi dengannya. Kawan umi, kawan mama Su, haihh! Naik jemuh pipi melontar senyum. Lampu kamera pula berdenyar tanpa henti membuatkan matanya berpinar-pinar.
Suara Umi Za dan Mak Nab bergilir menyuruh Rossa bertenang. Para hadirin yang hadir juga cuba untuk ditenangkan apabila bunyi bising sudah mulai bergema.
"Kita kena gerak ke masjid sekarang" arah Makngah Ratika, adik kepada Umi Za.
Doa dibaca dan Rossa menaiki kereta bersama Umi Za, Mak Nab dan Maklang Hanipah. Manakala Makngah Ratika dan yang lainnya menaiki kereta lain.
Berkali-kali Rossa berzikir dan berharap agar semua urusan mereka dipermudahkan pada pagi itu. Pagi Sabtu dan jalan pula tiba-tiba sesak hendak ke masjid. Rossa sudah tidak betah duduk.
"Biasa tak sesak macam ni" komen Mak Nab.
"Takpelah, hari masih awal lagi. Yang penting selamat" Maklang Hanipah menenangkan mereka semua. Dia menoleh dan melihat Rossa yang hampir gelabah itu. Cantik sungguh Rossa dengan gaun putihnya itu. Sopan dan menutup aurat.
"Macam ada kemalangan je tu?" sampuk Umi Za yang duduk di sebelah Rossa.
Rossa menjengukkan kepala ke luar. Orang ramai mulai berpusu-pusu mengelilingi sebuah kereta berwarna putih. Jantungnya seakan berhenti berdegup apabila melihat kereta tersebut. BMW putih itu milik Bakri.
"Kereta siapa paling depan sekali?" Dalam kekalutan itu, Mak Nab sempat meluahkan pertanyaan. Kalau tidak silap dia, itu kereta Bakri.
Perasaan Rossa semakin meraung tatkala terpandangkan sesusuk tubuh Firdaus berbaju Melayu berwarna cream yang berlumuran darah dan menapak ke arahnya. Wajah lelaki itu juga tampak kalut.
"Rossa, kereta Bakri..."
"Kenapa dengan Bak?" Rossa sudah dilambung kegelisahan.
"Kereta yang kami naiki kemalangan dan hilang kawalan. Dekat simpang utama depan sana. Bakri, dia..."
"Kenapa dengan Bak?" Rossa sudah lencun dek airmata. Dia keluar dari perut kereta lalu berdiri di hadapan Firdaus.
"He lost a lot of blood! Zaid dah called ambulans!"
Mendengarkan itu sahaja, tubuh Rossa terus rebah ke tar jalan. Namun sempat dicempung oleh Firdaus.
"Rossa!"
Umi Za, Mak Nab dan Maklang Hanipah segera mendapatkan Rossa. Masing-masing mulai hilang arah dan keadaan mulai kacau-bilau. Beberapa buah kereta berhenti di bahu jalan bagi menghulurkan bantuan.
"Rossa! Rossa! Bangun nak. Mengucap. Istighfar banyak-banyak" Umi Za mengingatkan Rossa, tetapi anaknya itu terus rebah dalam tangisan.
"Apa yang terjadi sebenarnya Fir?" soal Mak Nab pula.
"Takde masa nak jelaskan! Kita kena ke hospital sekarang! Bak dibawa ke Sunway Medical Center"
Umi Za dan Maklang Hanipah mencempung tubuh Rossa ke dalam kereta. Dalam hati, Umi Za berdoa agar semuanya aman dan baik-baik saja!

MEREKA bergegas ke bahagian ICU. Rossa sudah basah dek airmata. Dalam hati, tak putus-putus dia berdoa akan keselamatan Bakri. Orang ramai yang ada di situ melihat mereka dengan pandangan kasihan. Maklum sajalah, mereka semua berpakaian rasmi dan Rossa dengan pakaian pengantinnya, menambahkan lagi sayu pada mata-mata yang melihat. Berada di wad kecemasan, pasti ada sesuatu yang menimpa.
"Sabar Rossa, kita berdoa sama-sama. Minta pada Allah, nak" Umi Za menenangkan Rossa.
Muncul Firdaus, Zaid, Datuk Badrul, Datin Suhada dan Hafizi serta Sarah di situ. Melihatkan Rossa yang sedang rapuh, Datin Suhada terus menerpa ke arahnya dan memeluk tubuh itu. Diusap lembut belakang Rossa yang sudah menyembamkan wajah ke bahunya.
"Sabar sayang. Kita doa banyak-banyak"
Rossa terus hanyut oleh airmata. Otaknya sudah berfikir yang bukan-bukan. Tolonglah, jangan ambik dia dari aku Ya Allah!
"Az, macam mana semua ni boleh berlaku?" soal Datuk Badrul pula. Terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Hafizi kerana mereka tidak satu kereta.
Firdaus mendengus. Terimbau kembali peristiwa tadi. Kereta yang dipandunya tiba-tiba tidak mahu berhenti di lampu merah. Berkali-kali pedal brek ditekan, tetapi tidak berhasil. Dia syak, itu angkara sabotaj. Tetapi siapa pula yang mahu menjahanamkan mereka?
"Kereta hilang kawalan pa! Along duduk sebelah driver. Abang Az pandu kereta, tapi kereta tu merempuh tiang lampu. Ngam-ngam terkena ke along" Hafizi menggeleng kepala berkali-kali. Ngeri rasanya apabila mengingati kembali peristiwa itu.
"Kenapa boleh jadi macam tu? Kenapa awak tak pandu dengan selamat?" Rossa menerpa ke arah Firdaus dan menghamburkan kemarahan. Ditunjal-tunjal bahu lelaki itu tetapi Firdaus tidak memberikan apa-apa respons.
"Awak memang sengaja nak bunuh Bakri!" tempelak Rossa, pedas. Dia sudah menumbuk-numbuk dada Firdaus dengan sekuat hati. Namun Firdaus tetap kaku. Tidak membalas segala serangan Rossa.
"Rossa, sabar nak! Jangan macam ni" Umi Za menenangkan Rossa. Serentak itu, tangannya menahan Rossa daripada terus memukul Firdaus.
"Bakri.. "Rossa menangis di dalam pelukan Umi Za. "Mana doktor ni mi? Takde sesiapa yang tahu ke apa yang berlaku dalam tu? Apa yang dorang buat pada Bakri?" Rossa mengongoi bak anak kecil.
"Ingat Allah sayang. Ingat Allah" pesan Umi Za berkali-kali.
Firdaus senyap tanpa sepatah bicara. Terkesan hatinya dek tuduhan melulu Rossa. Dia dan Bakri berkawan baik sejak 10 tahun yang lalu. Keluarga Bakri menganggapnya tak ubah seperti anak sendiri. Layanan dan kasih sayang yang dicurahkan kepadanya tiada berbeza. Masakan dia mahu mencelakakan Bakri sesuka hatinya. Dia masih punya hati nurani dan atas sikap itulah, dia tidak mungkin akan membeloti Bakri dan keluarganya.
Airmata yang jatuh ke pipi diusap segera. Sudah lama empangan matanya tidak pecah dek mutiara jernih itu. Dan tangisan yang singgah kali ini menandakan betapa dia kecewa dan sedih akan nasib yang menerima Bakri.
"He will be fine" bisik Hafizi sayup-sayup ke telinganya. Serentak itu, tangannya turut mendarat di atas bahu Firdaus, mencuba mengalir kekuatan dalam tubuh sasa lelaki itu.
Firdaus hanya mengangguk kepala, tetapi matanya tetap jatuh tampang Rossa yang merayu sedih di dalam dakapan Umi Za.
Rossa, maafkan saya!

DOKTOR menapak keluar dari wad kecemasan lalu menghampiri mereka semua. Rossa paling depan sekali.
"Doktor, macam mana dengan keadaan dia?" Wajah cemas Rossa tidak mampu dibendung lagi. Umi Za menekan kedua-dua bahu Rossa, sedaya-upaya untuk menghantar segenap kekuatan ke dalam tubuh badan itu.
Doktor yang dikenali dengan nama Doktor Husin itu mengeluh. Dia menanggalkan topeng muka lalu memandang satu-persatu wajah mereka. Kemudian, perlahan-lahan, dia menggelengkan kepala.
"Maaf, Allah lebih sayangkan dia"
Demi mendengarkan itu, sekujur tubuh Rossa terasa di awang-awangan. Pandangannya mulai kabur. Dia berundur setapak demi setapak dengan perlahan sehingga tubuh badannya bergesel dengan dinding. Kepalanya menggeleng beberapa kali. Sukar untuk dipercaya akan kenyataan itu.
Semua yang mendengar masing-masing mengucap kalimah panjang itu. Airmata menghiasi setiap wajah mereka. Datin Suhada sudah terduduk di kerusi. Sarah bertindak menenangkan dia.
Firdaus terduduk di lantai. Wajahnya diraupkan berkali-kali. Dia tidak mampu menahan sebak ketika menerima berita itu. Terbayang wajah ceria Bakri semalam ketika mereka sedang lepak bersama. Terngiang-ngiang di telinganya akan amanat terakhir Bakri. "Please take care of Rossa when I'm not around!" Ya Allah, sudah dua kali Bakri mengucapkan itu. Rupa-rupanya itu satu petanda yang dia akan pergi untuk selama-lamanya. Firdaus menumbuk-numbuk permukaan lantai simen. 'Kenapa kau bergurau dengan benda macam tu Bak?! Kenapaaaa????!'
Hafizi menyertai Firdaus. Duduk di sebelah lelaki itu lalu kedengaran tangisan dari bibirnya. Tidak mampu menahan rasa, kepalanya diletakkan di atas bahu Firdaus, sekaligus menghambur kesedihan yang terbuku di hati.
"Takkkkkk!!!! Bak masih adaaaaa! Dia masih adaaa!!" Rossa sudah meracau-racau. Umi Za dan Sarah menerpa ke arahnya.
"Rossa, dengar cakap umi sayang! Tengok umi" Wajah Rossa dipegang.
"Takkkk! Umi, semua ni tipu kan? Bak tak meninggal kan? Bak masih ada kan?" Rossa menepis tangan Umi Za.
"Sabar Rossa! Please be strong!" Sarah menitipkan kata-kata. Genggamannya berkalih ke tangan Rossa.
"Bak masih ada... Takkk! Bak tak boleh tinggalkan Rossa! Tak bolehhh! Dia dah janji nak kawen dengan Rossa! Umiiii!!! Apa semua ni??!" Rossa sudah meraung dalam pelukan Umi Za yang turut sama menitiskan airmata.
Mak Nab mendekati lalu turut sama berkongsi rasa. Pilu hatinya melihat keadaan Rossa.
Zaid hanya memerhati. Dia juga terkesan dengan apa yang sudah berlaku. Bakri itu bosnya. Orang atasannya. Mereka rapat, bahkan sudah seperti adik-beradik. Apabila Bakri kehilangan Firdaus suatu masa dulu, mereka hanya berdua menguruskan kes-kes yang terjadi. Kini, dia harus berhadapan semua kepahitan ini tanpa Bakri di sisi.
Firdaus melihat kedukaan semua orang. Dia menyalahkan dirinya sendiri atas apa yang telah terjadi. Namun dia tidak akan duduk diam! Dia akan menebus semuanya kembali!
'Bak, aku akan tuntut keadilan bagi kau!'
Kerana dia pasti, pembunuhan Bakri sudah dirancang. Dan apa yang terjadi, bukanlah satu kemalangan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience