TEPAT JAM 9 pagi. Ruangan beranda rumah dipenuhi dengan 3 buah kereta. Kehadiran mereka disambut dengan penuh mesra oleh Umi Za. Apabila bertembung dengan Datin Suhada, bibirnya pantas mengukir senyum. Dia menapak ke arah sahabat lama lantas mereka berpelukan, melepaskan rindu yang sekian terbuku.
"Lama tak nampak kau Za!"
"Yalah kan? Last kita jumpa lima bulan yang lepas. Tu pun sekejap je kita beramah mesra kan?" Umi Za masih ingat lagi pertemuan pertama mereka setelah lebih 10 tahun tidak bertemu. Terlalu banyak yang ingin diluahkan, namun kekangan masa mengehadkan peluang yang ada.
"Haah. Tapi lepas ni, tak payah risaulah! Dah boleh borak panjang-panjang!" sahut Datin Suhada lagi, sambil mengenyitkan mata.
Umi Za tersenyum lantas mengangguk. Serentak itu, dia mempelawa kesemua tetamunya masuk ke dalam rumah.
ROSSA berjalan mundar-mandir. Perasaannya tidak menentu. Sejak dari semalam lagi, dia punya feeling yang tak bagus mengenai perkara ini. Meskipun suhu di dalam biliknya sudah mencecah 16°, namun tetap tidak mampu menyejukkan hatinya yang sedang hangat ketika ini.
Semakin menghampiri jam, semakin hatinya tidak betah menunggu terlalu lama. Masa yang dirasakannya berjalan dengan perlahan seakan-akan sengaja mengejek dirinya. Dia tahu, tetamu istimewa umi sudah tiba dan kehadiran itu sangat-sangat ditunggu umi. Berbeza pula dengan dia. Rasanya ingin cepat masa berlalu dan dia bisa lolos dari semua kepenatan ini. Huhh!!
"Apasal tak bersiap lagi? Kang umi marah, Mak Nab tak tahu" Tiba-tiba sahaja Mak Nab menapak masuk ke dalam bilik, tidak pula Rossa sedar. Tengok-tengok saja wanita tua itu sudah duduk di hujung katil sambil memerhatikannya.
"Mak Nab, apasal riuh sangat bawah tu? Tadi Rossa tengok ada 3 buah kereta" omel Rossa. Suaranya sedikit mengendur. Dia sempat menilik di sebalik tingkap kamarnya akan keadaan sebentar tadi. Kata umi, mereka hanya datang untuk beramah mesra dan berkenalan sahaja. Tetapi kenapa datang ramai-ramai? Itu bukan hendak berkenalan, sebaliknya hendak terus masuk meminang! Arghhh! Rossa pening. Dia harus mencari tahu melalui Mak Nab. Jika Mak Nab bijak menyembunyikan kebenaran, dia pula pintar menggali lubangnya!
"Datin tu kan keluarga dia besar. Jadi dia angkut semua sekalilah!" jawab Mak Nab tanpa menyedari keruhan di dahi Rossa.
"Tak percayalah! Ni mesti ada udang di sebalik batu!" sahut Rossa semula.
"Haaa nak sangat makan udang kan? Mak Nab dah masak 3 masakan berbeza menggunakan udang. Yang pertama, udang masak sos. Resepi kedua, udang salai. Yang ketiga pulak, macam yang Rossa nak tadi. Ada udang di sebalik batu, tapi yang Mak Nab punya ada udang di sebalik mihun!" seloroh Mak Nab, diiringi tawa halusnya.
Wajah Rossa mengeruh. Dia pandang Mak Nab tak berperasaan. "Mak Nab ni. Rossa seriuslah, dia main-main pulak!"
"Laaa betullah! Kamu ni takut sangat kenapa? Datin tu memang sengaja ajak satu keluarga dia datang. Selain nak tengok Rossa, dia memang nak jumpa umi. Tu kan kawan lama dia. Umi tu pulak, memang teringin nak jumpa semua keluarga Datin. Sambil menyelam, minum air!" sahut Mak Nab lagi.
Rossa mengeluh panjang. Ini bukan sambil menyelam minum air tetapi sudah sampai ke tahap makan, berborak! Tak lama lagi, peninglah dia dengan keriuhan itu.
"Bersiap cepat. Tudung tu pakai. Mak Nab turun dulu. Nak sediakan apa-apa yang patut" gesa Mak Nab seraya pamit diri ke dapur.
Setelah Mak Nab hilang dari pandangan, Rossa menghempas tubuh ke katil. Cuak pula dengan ugutan umi kali ini. Bagaimana agaknya rupa si Hafizi yang disebut-sebut umi itu? Rossa sempat berfikir. Kalau dia menolak Hafizi kali ini, dia masih akan tetap berhadapan dengan situasi yang sama tetapi calon yang berbeza. Tidak mengapalah! Tolak Hafizi dulu, calon kedua dan seterusnya dia akan tolak juga sehinggalah dia bertemu dengan pilihan hatinya sendiri. Ya, itu perancangannya! Entah kenapa dia tiba-tiba begitu bersemangat kali ini.
"Okeylah Hafizi! Nak sangat kenal saya kan?!"
Rossa sudah tersenyum sinis lantas bersiap sedia untuk bertemu dengan calon keluarga mentua yang takkan menjadi itu!
SELESAI mencuci wajah, dia menapak keluar dari bilik mandi. Butang baju yang terbuka dikancin semula. Dia buntu akan perubahan yang terjadi padanya pagi itu. Setahu dia, dia dalam keadaan kemas semasa ke banglo Belle semalam. Ya, dia sedar dia dalam keadaan mabuk. Entah berapa banyak air itu diteguknya semalam, dia sendiri tidak pasti.
Firdaus mengeluh saat mata terpandang sekujur tubuh milik Belle terdampar di atas katil. Melihatkan keadaan Belle yang separuh bogel itu, hatinya tiba-tiba diserbu seribu perasaan. Dia seakan-akan berperang dengan perasaannya sendiri. Akal jahatnya membuak-buak ingin menyentuh gadis itu. Tetapi hatinya berbolak-balik, melarang perlakuan tersebut. Dia memang kasanova, dan telah meniduri banyak gadis sebelum ini. Tetapi tidak ada gadis seberani Belle yang pernah dia jumpa setakat ini, seolah-olah sengaja mengumpan imannya yang senipis kulit bawang itu.
Dia tersentak saat tangan halus Belle menyentuh tangannya. Saat itu, mata mereka bertemu. Di situ, dia mampu melihat betapa berahinya gadis itu menginginkannya.
Belle menarik Firdaus ke dalam dakapan. "I want you"
Tanpa sebarang penolakan, Firdaus lemas di dalam pelukan Belle.
SAAT matanya tertancap pada satu bingkai gambar, dia mengorek senyuman manis. Digapai lalu ditilik lama wajah-wajah yang seolah-olah sedang tersenyum padanya. Di dalam foto tersebut, ada Umi Za, Mak Nab, dan seorang gadis manis. Dia yakin itulah Rossa. Kerana setahu dia, hanya mereka bertiga yang menghuni rumah dua tingkat itu. Dan di sekeliling dinding hanya tergantung gambar mereka bertiga.
Wajah Rossa yang manis dipandang lagi. Terusik hatinya saat matanya bersatu dengan mata Rossa. Dalam hati, tidak henti-henti dia mengagumi ciptaan Allah yang satu itu. Untungnya Hafizi! Bakal isteri secantik dan sesopan ini.
Bakri tersentap saat bahunya dicuit seseorang. Apabila dia menoleh, dia melihat Mak Nab turut sama memerhatikannya. Wajah Mak Nab sedikit teruja saat itu.
"Kamu tengok apa?" tegur Mak Nab. Tanpa disedari oleh Bakri, Mak Nab sudah menangkap gelagatnya yang dari tadi memegang bingkai gambar milik Rossa.
"Tengok rumah ni Mak Nab" Gugup. Namun seboleh mungkin cuba disorokkan perasaan itu.
"Tengok rumah ke tuan punya rumah?" Sinikal bunyinya. Bakri menelan liur. Cuak juga dengan cara Mak Nab itu yang tak ubah seperti pegawai penyiasatan.
"Errr..."
"Tu apa?" Mak Nab menyoal dengan mengangkat kening. Dia maksudkan bingkai gambar yang dipegang oleh Bakri.
Bakri kaget. Wajahnya merah padam. Seolah faham akan bahasa badan Mak Nab, segera dia letakkan kembali foto Rossa di posisi asal.
"Kalau nak, ambik terus! Jangan main-main mata. Tak baik!" sergah Mak Nab seraya berlalu ke meja makan.
Bakri tergelak sendiri. Dia menepuk dahi. Apalah kau ni Bak! Tu bakal adik ipar kau! Huhhh! Dia lanjutkan langkah merapati hadirin di ruang tamu. Keadaan kecoh apabila suara mereka bergabung. Dia faham benar keadaan mamanya, Datin Suhada. Sudah lama tidak bersua dengan rakan karib, apabila kesempatan itu tiba, mamanya itu berubah sikap 100%! Bakri tersenyum sendiri mengingatkan semua itu. Perempuan! Kalau sudah bertemu kawan lama, cerita yang 10 tahun lepas pun masih menjadi topik utama.
Seketika, keadaan ruang dengarnya menjadi sepi. Dia memandang sekeliling. Apabila semua mata terarah ke anak tangga, dia turut memandang ke situ.
Semua mata terpana melihat penampilan Rossa saat itu. Berbaju tidur dan berseluar slack. Tudung yang dipakainya senget-menyenget dan serba tidak kena. Keseluruhan wajahnya pula disapu dengan bedak sejuk, menyukarkan mata-mata yang ada di situ untuk mengenalpasti seraut wajahnya.
Bakri mengeruh. Siapa dia? Rossa? Tetapi kenapa berbeza benar seperti di dalam gambar? Namun lama kelamaan dia ketawa juga dengan penampilan Rossa itu. Dia dapat mengagak kalau gadis itu memang sengaja berpakaian begitu. Barangkali, Rossa tidak ingin dijodohkan, sama seperti Hafizi! Gara-gara itu, Hafizi enggan untuk berkunjung ke rumah Umi Za dan memaksanya menggantikan tempat adiknya itu.
Umi Za mengetap bibir dengan kelakuan Rossa. Dia malu dan tidak menyangka Rossa akan memperlakukannya seperti itu. Fikirnya, mereka sudah mencapai kata sepakat mengenai soal ini. Rupa-rupanya, Rossa sengaja bermain dengannya.
"Err Rossa! Naik atas, tukar baju. Cuci muka!" Wajah Umi Za yang serius itu menyapa mata Rossa. Dia kalut. Terlupa pula pada Umi Za ketika itu dek kerana niatnya hanya ingin mempermainkan Hafizi.
Lantas, terkocoh-kocoh dia menaiki anak tangga, langsung terus ke kamar. Menghenyak punggung ke dada katil seraya mengetap bibir.
"Aduhhh! Macam manalah aku boleh lupa pada umi? Matilanak! Kejap lagi memang kena bom nuklear!" Rossa menepuk dahinya. Dia pantas ke bilik air dan membersihkan dirinya.
"AKU nak mintak maaflah pasal Rossa. Dia tu, macam budak-budak sikit. Belum matured!" ucap Umi Za. Dia masih terkilan dengan apa yang dilakukan oleh Rossa sebentar tadi. Nasib sahaja Datin Suhada itu teman lama, kalau tidak mahu mana dia sembunyi wajah.
"Takpelah. Budak-budak biasalah tu. Dia belum biasa kot" sahut Datin Suhada pula. Ketika itu, mereka di ruang tamu sesudah menikmati sajian yang telah disediakan oleh Mak Nab.
Umi Za mengangguk perlahan. Amarahnya terhadap Rossa belum lagi surut. Kini, anak gadisnya itu asyik terperuk dalam bilik. Sedari tadi, tidak memunculkan diri. Dia pula yang dihambat resah. Tunggulah nanti!
"Hafizi mana? Tak nampak pun dari tadi" Umi Za mengubah topik perbualan. Soal Rossa diketepikan dahulu. Urusan dengan keluarga Datin Suhada menjadi agenda utamanya saat ini. Sejak tadi, matanya tercari-cari akam bayangan Hafizi. Namun seolah memberi harapan kecewa, Umi Za mengerti dengan semua itu.
Datin Suhada memandang Bakri yang duduk di sebelahnya. Sukar untuk dijelaskan keadaan mereka sekarang. Semalam lagi, dia sempat bertengkar dengan Hafizi mengenai perkara yang berkaitan dengan Rossa. Dan menurut Bakri pagi tadi ketika mereka dalam perjalanan, Hafizi punya panggilan kecemasan di hospital. Gara-gara itulah, Bakri yang terpaksa memenuhi tuntutan dan jemputan Umi Za.
"Fizi tiba-tiba ada hal kecemasan kat hospital umi. Faham-faham jelah tugas seorang doktor. Selalu on call, kadang masa yang tak kena pulak tu!" Bakri menjawab bagi pihak Datin Suhada. Dia tidak mahu Umi Za berkecil hati apabila melihat bayang-bayang Hafizi yang takkan pernah kunjung tiba.
Umi Za mengangguk perlahan. Dia memahami keadaan dan tugas Hafizi. Tidak mengapalah! Mereka masih punya waktu untuk saling mengenali.
Ketika itu, Rossa yang siap berbaju kurung berwarna kuning dan bertudung putih menuruni anak tangga. Langkah kaki diatur menuju ke ruang tamu. Sebelum Umi Za mulakan perang dingin gara-gara kesilapannya, ada baik sekiranya dia mengalah sahaja.
Bakri terpana saat melihat wajah Rossa yang penuh dengan senyuman. Hatinya berdetak hebat. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, wajah Rossa dipandang tidak berkedip. Kali pertama dia merasakan getaran sehebat ini setelah 10 tahun berlalu.
"Ni Rossa ye?" tegur Datin Suhada sesudah Rossa tunduk hormat menyalaminya. Dia juga seperti Bakri, terpikat oleh kesantunan wajah itu.
"Haah. Satu-satunya anak aku, Da" balas Umi Za. Sedikit cair dengan kesudian Rossa tampilkan diri. Fikirnya Rossa akan terus mengunci diri di dalam bilik. Dia memerhatikan gelagat Rossa yang menyalami para hadirin. Apabila tiba di hadapan Bakri, Rossa hanya menunduk wajah sambil mengukir senyuman kecil. Kemudian, punggung dihantar bersebelahan Umi Za.
"Dulu, auntie tengok Rossa kecik je. Sekarang, dah besar. Makin cantik" puji Datin Suhada, ikhlas. Benar-benar tidak menyangka gadis di hadapannya itu adalah Rossa yang pernah ditemuinya berbelas tahun yang lalu. Terdetik di hati ingin segera dijadikan menantu. Namun anak bongsunya selalu mengelak untuk dibicarakan soal itu. Jika berdiskusi dengan Bakri pula, anak sulungnya itu mencipta alasan dengan mengatakan hatinya belum bersedia untuk menggantikan tempat arwah Marlia.
"Biasa je auntie. Tapi terima kasih untuk pujian tu" sahut Rossa, sedikit keanak-anakan. Bakri tersengih saat melihat wajah dan reaksi Rossa. Tiba-tiba dia suka pada wajah itu. Ehhh! Aku ni dah kenapa?!
"Rossa belajar lagi?" tanya Datuk Badrul pula. Sedari tadi menyepikan diri. Apabila melihat layak Rossa, teringin pula hasrat di hati untuk menyapa.
"Tak uncle. Rossa dah abis belajar. Fresh graduate!" sahut Rossa sambil tersengih.
"Kerja?"
Rossa menggeleng perlahan dengan pertanyaan Datuk Badrul. Berat pula mulut hendak mengiyakan tetapi itulah hakikatnya. Dia belum lagi mendapat mana-mana pekerjaan yang selayaknya dengan pencapaiannya.
"Kenapa tak kerja? Dengan cerita, awak ni lulusan Sarjana Muda dalam bidang business. Marketing right? Sia-sia jelah sijil dan pencapaian tu kalau dibiarkan duduk lama dalam almari" sampuk Bakri pula. Serentak itu, dia mencicip air kopi. Tiada niat hendak menyindir, tetapi memang begitu fiilnya. Bercakap memang tak pandang kiri kanan!
Rossa tersentak. Seraya itu, wajah Bakri menjadi tumpuan. Sedikit terasa dengan kata-kata Bakri.
Datin Suhada mencuit lengan Bakri. "Hishh, apa cakap macam tu! Belum rezekilah tu! Kan Rossa?"
Rossa hanya mengangguk kepala. Kalau diikutkan hati, mana saja mulutnya menjawab kata-kata Bakri itu. Tetapi mengenangkan Umi Za dan hadirin di situ, dia diamkan diri sahaja.
Sinikal! Itu yang dapat Bakri simpulkan apabila melihat perubahan pada riak Rossa. Meskipun saat itu Rossa memberinya jelingan tajam, namun tidak pula dia larikan anak mata dari terus menjamah wajah itu.
Rossa! Bibirnya merekah dengan senyuman.
Share this novel