20

Romance Completed 28168

PERSIAPAN perkahwinan hampir siap. Berbaki lagi 10%. Rossa dan Bakri masing-masing sibuk menyediakan segala-galanya buat tetamu yang datang. Mak Nab dan Umi Za sibuk dilantik sebagai 'chef sementara', merasai hidangan yang disajikan oleh Baiduri Katering, yang suatu masa dahulu pernah berkhidmat dengan Bakri sewaktu perkahwinannya dengan Marlia. Umi Za berlagak biasa tetapi Mak Nab pula yang terlebih acuannya!
"Ni apa benda ni?" Mak Nab menghidu bau masakan tersebut. Hidungnya menyengat.
"Carbonara mak encik" jawab Iman, gadis yang ditugaskan untuk meladeni Mak Nab dan Umi Za.
"Apa ra?" Terkulat-kulat pulak mulutnya hendak menyebut.
Iman sembunyi tawa. "Carbonara"
"Sebutlah satu-satu. Mak encik ni dah tua. Mana serasi dengan nama omputih ni" rungut Mak Nab lagi.
"Car..bo..na..ra.." Iman menyebut satu persatu, dengan perlahan sambil miming bibirnya menjadi ikutan Mak Nab.
"Oh.. Car.. bo..nat"
Iman tidak dapat menahan tawa, meletus juga di bibirnya. Lagi-lagi apabila melihat bibir Mak Nab yang tak ubah seperti bibir itik itu.
"Eihhh apa payah bebenor nak nyebutnye! Kenapa tak pakai masakan Melayu? Tekak orang Melayu dah berubah ke?"
"Kami ada jugak menyajikan masakan Melayu. Mak encik jangan risau. Esok kami akan sediakan sample masakan tersebut, jadi mak encik boleh periksa esok" terang Iman penuh adab dan tertib.
"Esok? Esok pukul berapanya kamu datang? Jangan datang pukul 5. Aku nak nengok cerita Korea"
Iman menghambur tawa sambil menekan perutnya. Dah tua-tua pun layan jugak cerita Korea? Boleh tahan orang tua ni!
"Apa bising-bising ni Mak Nab?" sampuk Hafizi dari arah belakang.
"Tak ada apa! Ni Mak Nab tengah merasa masakan untuk dijamu dengan tetamu nanti. Mak Nab dah naik pangkat. Dari jadi tukang masak di dapur, sekarang Mak Nab jadi chef di luar dapur. Selalu sorok muka, lepas ni tunjuk muka pulak!" Sempat dia berseloroh. Iman di sisi mengusap airmata. Ketawanya masih bersisa.
"Mak Nab nak tunjuk muka dekat siapa?" Hafizi layankan saja bicara Mak Nab. Seronok pula rasanya dia dapat menyakat orang tua tu!
"Manalah tahu dapat masuk TV. Kot-kot Lee Min Ho tengok Mak Nab. Tak pun, Kwang Soo ke"
"Haaa layankan sangatlah Mak Nab tu! Pengaruh Korea tak habis-habis!" sampuk Rossa yang sudah menapak ke arah mereka.
Hafizi tersenyum kepada Rossa dan Bakri di sisi. Sejak akhir-akhir ini, dia dapat melihat seri di wajah abangnya. Bahkan wajah itu tak pernah kering dek senyuman. Betapa dia bersyukur kerana Akhbar Bakri yang dirinduinya telah pulih semula!
"Mak Nab saja nak test market tu!" sahut Bakri pula. Bahu Mak Nab dipagut. "Mak Nab penat ke? Duduklah dulu. Nanti selebihnya, biar Bak dengan Rossa yang uruskan. Fizi pun ada"
Mak Nab tersenyum manja. Bersyukur kerana jodoh Rossa rupa-rupanya tertulis di dalam takdir Bakri. Tidak menyangka kata-katanya satu doa. Teringat perbualannya dengan Umi Za tempoh hari apabila mereka berbual soal jodoh Rossa. Tidak mengena ke adik, tetapi tersangkut ke abang!
"Mak Nab ni kalau pasal makanan, nombor satu! Penat lelah semua hilang. Tu pasal masakan dia tetap nombor satu di hati" usik Rossa, sekaligus memuji.
"Habis tu, masakan umi tak sedap ke?" Entah dari mana tibanya Umi Za, dia menyampuk lantas berdiri di sebelah Rossa.
"Alamak, ma'am besar dah datang!" Rossa buat aksi kunci mulut. Bakri tergelak. Takutlah tu!
"Dah siap rasa semua ke Mak Nab?" tanya Umi Za lagi. Dia membuang pandang ke arah deretan buffet yang terletak di atas meja.
"Dah. Semuanya okey" sahut Mak Nab sambil menaikkan ibu jari kanannya ke atas.
"Lupa pulak umi nak bagitau. Fahmi dah berhenti kerja. Nanti Rossa kira berapa hari dia kerja, lepas tu kalikan dengan gaji dia. Settlekan terus je gaji dia semua" Beritahu Umi Za kepada Rossa. Dia terkejut menerima panggilan telefon daripada Fahmi, menyatakan bahawa dia tidak dapat menabur bakti lagi di Selera Kampung. Kecewa dengan keputusan tersebut, Umi Za cuba memujuk kerana dia tahu Fahmi seorang pekerja yang rajin dan berdisiplin. Tetapi dia tetap keras dengan keputusannya untuk berhenti. Bingung Umi Za melihat gelagat Fahmi kerana setahu dia lelaki itu sangat senang diajak berbincang. Namun apa boleh buat, kalau memang sudah itu keputusannya. Dia terpaksa mengiyakan saja.
Rossa sudah tidak tentu arah. Perkhabaran Umi Za ibarat guruh membelah langit, terlalu menakutkan jiwa raganya. Dia sudah berfikir yang bukan-bukan. Adakah Fahmi mendendaminya?
"Rossa dengar tak umi cakap ni?"
Rossa terkejut dengan suara lembut Umi Za. Lantas dia membalas dengan anggukan.
"Long, semalam kau cakap kawan lama kau nak datang kan? Siapa? Dan bila dia nak datang?" Hafizi mencelah.
"Kejap lagi. Aku dah WhatsApp kan location kat dia" sahut Bakri lantas melihat jam di pergelangan tangan. "Nanti kau tahulah siapa dia" Bakri mengerdipkan mata kepada Hafizi.

SUDAH hampir 20 minit dia berada di dalam kereta. Bersandar pada badan kerusi sambil memejam mata. Jika bukan kerana Bakri, dia tidak mahu menunjukkan wajah di situ. Dia belum bersedia untuk berhadapan dengan Rossa. Jika mereka bertemu dalam keadaan seperti ini, apakah agaknya tanggapan Rossa?
Firdaus mencelikkan mata apabila telefon bimbitnya berdering. Terpampar nama Bakri di screen. Dengan malas, dia menjawab juga panggilan tersebut.
"Aku dah sampai ni. Masih dalam kereta. Kejap lagi aku keluar" kata Firdaus sambil merapikan rambutnya.
"Kau tu, kalau aku tak seru, tak kesudahnya kau nak datang!" tempelak Bakri di hujung talian.
"Laaa kau tak sabar ke nak jumpa aku? Kau jangan nak buat hal. Karang bertukar pulak pengantin perempuan tu" Firdaus galak mengusik.
"Ehh tolong sikit! Sisih malaikat 44. Aku ni biarpun tua, tapi taste aku tetap dengan perempuan tau? Bukan songsang!" Bakri galak menyahut.
"Aah, yelah-yelah. Nanti kau jangan rapat sangat dengan aku! Suspicious pulak bakal orang rumah kau tu"
Bakri melepas tawa. "Tahulah! Cepatlah, aku nak kenalkan kau dengan orang rumah aku! Kau belum jumpa dia kan?Jangan terpikat sudah! Tu je aku nak pesan"
Firdaus menyenget senyuman. Hmmm.. kalaulah dia tahu.. "Takde maknanya! Aku gerak ni. Bye"
Panggilan dimatikan. Firdaus termenung sambil memandang screen telefon bimbit. 'Dah lama aku kenal dia, sebelum kau barangkali. Maaf Bak, aku memang dah terpikat. Tapi jangan risau. Tak pernah terdetik di hati nak jadikan dia milik aku. She is meant to be with you'
Firdaus mencari senarai nama Rossa di dalam telefonnya. Kemudian, dengan rasa terpaksa, dia memadam nama Rossa. Beralih pula ke fail album. Gambar mereka berswafoto turut dipadamkan. Risau sekiranya mata bertembung dengan foto tersebut, kenangan lama terimbau kembali.
Firdaus menghela nafas. Setelah mendapat sedikit ketenangan, dia melangkah keluar lalu menapak masuk ke dalam rumah Rossa.
Tanpa disedari, dia telah diintip oleh seseorang!

FIRDAUS yang berkemeja-t berlengan pendek dan berseluar slack segera mendapatkan Bakri apabila dilambai oleh lelaki itu dari jauh. Kemudian, tubuhnya didakap Bakri erat.
"Aku dah cakap, jangan rapat macam ni! Kau ni, tak jumpa aku satu hari, macam orang tak bermaya!" tempelak Firdaus seraya melepaskan pelukan.
Bakri mengekek. Bahu Firdaus menjadi sasaran tangannya. "Banyak songehlah kau!"
"A..abang Az.." Hafizi ternganga melihat insan yang terpacak di hadapannya sekarang. Seakan tidak mampu mempercayainya,namun tidak mungkin sepasang mata bisa menipu. Dia merapati Firdaus, lantas mendakap erat tubuh itu.
"Korang ni jejak kasih ke apa?" seloroh Firdaus sesudah Hafizi melepaskan pelukan.
Hafizi dan Bakri tergelak. Firdaus is always Firdaus..
Saat itu, mata Firdaus tertangkap sesusuk tubuh yang begitu dikenalinya. Seorang gadis yang tetap anggun dengan berbaju kurung dan bertudung bawal sedang menghampiri mereka.
"Bak, Auntie Su called. Katanya..." Rossa berjeda tatkala melihat Firdaus turut berada di situ. Dia ingin menegur tetapi dengan pantas Firdaus bersuara.
"Ini ke bakal orang rumah kau? Cantik orangnya. Manis" puji Firdaus, ikhlas. Pandangannya tumpah ke wajah Rossa yang mulai keruh.
Bakri melemparkan senyuman. "Manislah.. Orang rumah aku ni. Rossa, ni Azhan. Kawan lama saya yang dah lama hilang. Nantilah saya ceritakan kat awak"
Rossa hanya mengangguk kepala. Melihatkan gaya Firdaus seperti tidak mengenalinya, dia mulai pusing sendiri. Dan apabila lelaki itu langsung tidak memperdulikan dirinya, dia dihambat seksa tanpa rela. Kenapa lelaki itu enggan mengecaminya? Padahal mereka sungguh akrab sebelumnya. Tidak mungkin dia silap orang. Dia kenal Firdaus. Dia kenal suara lelaki itu. Dia tahu raut wajah dan senyumnya. Namun kenapa dia berubah?

SETELAH selesai membantu Bakri dengan persiapan perkahwinannya, dia meminta diri untuk pulang. Risau jika berlama-lama di situ, Hamid akan mencurigainya. Dalam perjalanan pulang sehinggalah tiba di rumah, dia tak henti-henti memikirkan tentang Rossa. Betapa gadis itu kalut dengan setiap kepura-puraannya. Dia berlakon seperti tidak pernah mengenali Rossa dan dia tahu ekor mata Rossa selalu memerhatikannya. Barangkali, siap dengan sumpahan di hati! Arghhh! Dia tidak peduli. Yang penting, Bakri tidak perlu tahu siapa dia dalam hidup Rossa sebelumnya.
Deringan telefon bimbitnya mencacatkan lamunannya. Firdaus memandang nombor pada screen itu. Dia mengeluh saat mengetahui pemilik nombor tersebut. 'Kenapa masih mencari aku? Kau sudah punya teman baru yang mampu menghibur dan membahagiakanmu'.
"Firdaus!" Suara keras Khalid yang tercegat di hadapannya membuatkan dia sedikit terganggu.
"Kau dah kenapa?" soal Firdaus saat melihat wajah Khalid yang penuh kebencian itu. Dia turut mengajukan pistol ke arah Firdaus.
"Kau yang kenapa??! Kau khianat Hamid kan?" Tanpa selindung, Khalid meletus dengan amarahnya. Dia sempat mengekori Firdaus sejak seminggu yang lalu. Sakit hatinya apabila mengetahui kebenaran mengenai lelaki itu.
"Apa benda kau merepek ni?" Firdaus sudah gabra. Terungkapkah segala-galanya nanti?
"Kau jangan nak tipu akulah! Aku dah called Hamid. Kejap lagi dia datang sini dengan orang-orang dia! Baik kau mengaku cepat! Siapa kau sebenarnya?"
Dari duduk, Firdaus sudah tegak berdiri. Menghadap Khalid lantas menyentuh bahu lelaki itu.
"Jangan sentuh aku, pengkhianat!" Khalid menepis.
"Apa yang kau tahu pasal aku?" Serius. Nada suara dan wajahnya menatang Khalid.
Khalid tersinis. "Banyak benda! Huhhh!! Kau tahu sendiri kebenaran tu! Kenapa nak tanya aku lagi?"
Firdaus senyap. Sedikit demi sedikit, kebenaran mengenai dirinya akan terbongkar. Dan tidak lama lagi, Hamid juga pasti akan menyembelihnya!
"Orang yang nak tahu kebenaran, takkan bawak pistol di tangan! Kecuali kalau kau memang seorang pengecut!"
Khalid mengetap bibir. Panas menggeledak dengan kata-kata Firdaus. Lelaki itu memang hebat berkata-kata, hingga mampu menusuk ke sanubari. Pistol yang dipegang diletakkan di atas meja.
"Kalau kau tahu banyak benda pasal aku..."
"Inspektor Azhan. Atau lebih senang disapa dengan panggilan Az. Kau tak suka orang panggil kau tuan atau inspektor atau apa-apa nama formal, itu uniknya kau. Seorang pegawai polis yang cekap, hebat, bijak, dan setia. Tapi sayang, disebabkan kesetiaan yang melampau kepada kawan baik sendiri, iaitu Inspektor Bakri, kau sanggup berkorban untuk dia. Sehingga kau kena buang kerja dan tak dibenarkan untuk berkhidmat dalam mana-mana perkhidmatan kerajaan. Atau lebih tepat lagi, kau kena blacklisted!" Khalid mencerlung Firdaus dengan tajam.
Betapa sabar dia mengkaji mengenai Firdaus. Dia tahu ada rahsia yang disembunyikan oleh lelaki itu. Disebabkan itu, dia diupah Hamid untuk menyiasat akan perkara itu. Dan penemuannya sangat luar biasa. Ternyata, Firdaus bukanlah calang-calang orang! Dia tertipu selama ini!
Firdaus mempamerkan riak tenang. Seperti mana dia pernah berhadapan dengan musuh suatu ketika dulu, seperti itulah dia harus berdepan dengan Khalid kini. Sedikit sebanyak, kisah lama yang sudah tertutup dibuka Khalid semula, mengusik hati lelakinya. Sedaya upaya cuba dihakis memori luka itu tetapi Khalid sengaja pula menoreh duka lama.
"Dan, disebabkan kau kena buang kerja, papa kau mati" Khalid tergelak sinis. "Adik-beradik kau bencikan kau, tak percayakan kau. Satu dunia pulaukan kau. Sampai kau rasa nak bunuh diri" Khalid berjeda. Sedikit sebanyak, hatinya mula terkesan dengan kisah Firdaus. Tetapi dia harus kuat. Jika tidak, Hamid akan menyasarkan dia sebagai galang gantinya! "Kau memang polis yang cekap, yang terhormat. Pendek kata, semua yang baik ada pada kau. Tapi kau takde satu benda" Khalid menapak ke hadapan, mendekati Firdaus. Seraya, menyambung bicara di cuping telinga Firdaus. "Kau tak mampu nak lindungi keluarga kau sendiri!"
Firdaus tidak dapat menahan amarah lantas dilayangkan sebuah tumbukan ke wajah Khalid sehingga menyebabkan lelaki itu jatuh tersungkur. Melepas geram sepuas hati kerana hatinya sakit mendengar kata-kata Khalid.
"Get up!" bentak Firdaus. Suaranya sedikit mengeras. Khalid mengesat darah yang mengalir keluar dari celah bibir. Dia cuba untuk bangkit tetapi tidak berjaya. Jatuh semula ke lantai marmar lalu mendengus keras.
Firdaus tidak mampu menahan amarah. Lantas, ditarik tubuh Khalid rapat ke sisi. Berkira-kira untuk melayangkan sebuah lagi tumbukan ke wajah lelaki itu tetapi perbuatannya terhenti. Dengan nafas yang bermengah-mengah dan mata yang mencerlung tajam, dilepaskan perlahan-lahan tubuh Khalid ke sofa.
"Cakap kat Hamid, jangan ganggu Bakri dan Rossa! Kalau tak, teruk padahnya!"
Sejurus selepas mengucapkan itu, Firdaus menapak keluar dari rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience