4

Romance Completed 28168

DARI duduk di atas motorsikal berkuasa tinggi itu, dia bertenggek pula di tepi pokok. Tidak selesa dengan posisi tersebut, dia beralih ke tanah pula. Duduk berteleku di situ sambil mencari-cari kelibat Rossa. Sudah dua jam dia menunggu gadis novel itu, tetapi sehingga ke saat ini harapannya punah!
Firdaus menilik jam di pergelangan tangan. Serentak, dia menghela nafas panjang. Seingat dia, Rossa tak pernah selewat ini. Dan setahu dia juga, waktu petang beginilah menjadi suasana pilihan Rossa untuk menghabiskan masa bersama novel-novelnya. Tetapi ke mana gadis itu menghilang?
Ingin dihubungi, tetapi dia tidak punya nombor telefon gadis itu. Bahkan alamat rumah juga tidak diketahuinya. Mereka hanya berkenalan dan berjumpa di taman itu sahaja.
Firdaus meraup wajah. Tidak serulah harinya jika tidak menyakat gadis itu. Kebiasaannya, dia akan pulang dengan wajah yang ceria dan hati yang riang kerana berjaya mengusik Rossa yang seperti budak-budak itu.
Penat menunggu, Firdaus akhirnya mengambil keputusan untuk beredar. Sementelah apabila dilihatnya cuaca seakan mendung dan hendak hujan petang itu. Pulang dengan perasaan hampa kerana tidak melihat wajah manis Rossa yang sering muncul dalam tidurnya.
Bukan rezeki!

BAKRI meneliti laporan dan maklumat yang didapatinya melalui Zaid sebentar tadi. Dahinya mengerut. Sudah tiga bulan dia dan pasukannya mengekori Hamid tetapi tidak ada suatu pun kecurigaan yang boleh dia jadikan sebagai alasan untuk memerangkap lelaki tersebut. Aktiviti hariannya setiap hari cumalah berangkat ke kerja, lunch, balik kerja dan hal itu berlaku hari demi hari. Tidak ada satu pun tanda-tanda yang mencurigakan.
Beberapa bulan yang lepas, dia menerima laporan dari seseorang mengenai kegiatan kotor Hamid yang sanggup melacur anak sendiri, di samping turut menjual dan mengedar dadah. Setelah mendapatkan waran tangkap, dia menerjah ke dalam rumah Hamid namun mendapati tiada apa-apa yang boleh menyabitkan lelaki tersebut sebagai penjenayah yang dikehendaki.
Bakri buntu. Pihak atasan menerima banyak laporan mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan Hamid namun setelah diperiksa beberapa kali, mereka tidak menemukan apa-apa. Dia semakin tertekan apabila pihak atasan turut menanyakan soalan yang sama kepada unit pasukannya. Adakah dia yang terlepas pandang atau Hamid sememangnya bijak menyembunyikan aib sendiri?
"Tak habis lagi?" tegur Hafizi seraya menapak ke dalam bilik bacaan abangnya itu. Dari tadi, dia perhatikan gelagat abang sulungnya itu. Apabila kerja yang menjadi keutamaan, Bakri tidak ambil peduli soal lainnya.
Bakri hanya tersengih. Laporan di atas meja dikatup lalu disimpan di dalam laci almari. Dia tertekan sebenarnya! Ke mana harus dia mencari ketenangan untuk meneutralkan perasaannya yang bercampur asid dan alkali itu?
"Kes baru ke long?" tanya Hafizi lagi apabila tiada respon daripada Bakri.
Bakri memicit dahinya sambil mengangguk. "Kes baru yang memeningkan"
"Kes pasal apa?"
"Pengedaran dadah. Pelacuran. Tapi tak jumpa sebarang bukti atau alibi. Macam tau-tau je pihak polis dah rancangkan sesuatu" adu Bakri.
Hafizi terdiam. Profession mereka berbeza tetapi matlamat mereka hanya satu, iaitu menyelamatkan banyak nyawa yang tidak berdosa!
"Aku tak berani nak komen apa-apa pasal ni long! Kita bekerja dalam bidang yang berbeza. Nanti kalau aku komen, keluar pulak segala istilah pembedahan apa semua" Hafizi sempat tergelak. Dia sudah duduk di kerusi, berhadapan Bakri.
"Tutup kes ni. Sekarang fokus pada kes kau" Serius. Bakri memandang wajah Hafizi. Kemudian, dia keluarkan sekeping foto dari dalam buku catatannya. Baru teringat akan pesan mama petang tadi. Mama memintanya untuk memujuk Hafizi agar berjumpa dengan Rossa. Kerana dalam banyak-banyak orang, Hafizi cuma patuh dan jarang ingkar akan arahannya. Disebabkan itu, foto Rossa dia bawa untuk ditunjukkan kepada adiknya itu.
"Nah" Foto Rossa diserahkan kepada Hafizi.
"Not bad" komen Hafizi sesudah foto tersebut bertukar tangan. Tetapi riaknya mendatar. Kosong.
"Mama suruh kau jumpa Rossa" Serius. Dia ingin Hafizi tahu, ini adalah arahannya! Dia juga sudah bosan apabila mama sering memaksanya untuk memujuk dan bercakap dengan Hafizi. Bukan dia tidak mahu tetapi adiknya itu seorang lelaki yang cukup keras kedegilannya. Meskipun Hafizi akan mengalah pada akhirnya dengan arahannya, namun untuk memujuk lelaki itu perlukan jiwa yang kental. Jika tidak, semuanya akan menjadi sia-sia.
"Kenapa nak kena jumpa dia? Bukan ke mama dengan along dah jumpa dia pagi tadi? Satu family pulak tu!" luah Hafizi tidak puas hati. Dia sudah punya calon sendiri dan tidak mahu memeningkan kepala dengan pilihan mama.
Bakri angkat kepala. Wajah Hafizi ditenung lama. Serius dan bengis riaknya. "Yang nak kawen dengan Rossa tu engkau! Bukan kami"
Hafizi sudah menelan liur. Mula diselubungi perasaan takut saat berdepan dengan Bakri dalam situasi sebegitu. Dia bukan takutkan kata-kata Bakri, tetapi ketakutannya lebih terarah kepada wajah dan riak abangnya.
"Kalau kau tak nak kawen dengan Rossa, kau bagitau mama. Jangan susahkan aku dengan benda tak penting macam ni!" Bakri memberi idea. Dia pula diterpa kerunsingan!
"Tapi long.. kau bukan tak tahu mama tu macam mana. Buatnya dia buang aku macam mana?" Sedikit keanak-anakan.
Bakri berdecit. Perangai Hafizi dan Rossa tidak jauh bezanya. Pendek akal!!
"Pernah ke mama buang kau sebelum ni kalau kau buat apa-apa keputusan? Sebelum ni mama nak kau ikut jejak papa jadi polis kan? Tapi kau tak nak sebab kau minat dalam bidang kedoktoran. Bila papa pencen, papa bukak company sendiri. Mama suruh kau keja ikut papa. Pun kau tak nak. Tetap berdegil dengan keputusan sendiri! Bahagian mana yang mama buang kau?" Bakri memakukan ingatan Hafizi mengenai perkara itu. Sejak terjadinya perselisihan pendapat dan minat antara mama dan Hafizi, dia terpaksa ambil alih untuk mendamaikan mereka. Mama dan Hafizi punya ego serta kemahuan yang tinggi. Agak sukar untuk memujuk mama, tapi lebih sulit untuk merendahkan ego Hafizi! Sudahnya, dia tersepit antara mereka. Terpaksa meminta pertolongan papa waktu itu. Natijahnya, papa menangkan Hafizi tetapi bersyarat. Jika tiada segulung ijazah dalam bidang yang Hafizi ceburi, dia harus terpaksa tunduk pada permintaan mama untuk membantu papa dalam syarikat. Tetapi tuah menyebelahi Hafizi apabila dia berjaya membawa pulang dua gulung ijazah sekaligus membuatkan mama dan papanya bangga. Sejak dari hari itu, mama sudah kunci mulut dan tutup kes mengenai perkara itu.
"Tapi long.. aku dah ada buah hati!"
Bakri mengangkat kening. Alahaiiilah adik! Takkan benda macam ni aku jugak nak kena settle!
"Kau berterus-terang jelah dengan mama. Apa susah?! Jap lagi, adalah yang back up kau" Bakri maksudkan papa. Foto Rossa yang kembali ke tangannya dipandang. Ada keayuan di sebalik sikap keanak-anakan itu.
"Kau kan dah besar. Dah 30 tahun. Takkan itu pun nak along uruskan? Dah belajar kat luar negara, dah tahu pengalaman susah senang, benda kecik ni pun nak along settlekan? Tak gentle lah macam ni!"
Hafizi menggigit bibir. Saat itu, matanya tertancap pada objek yang Bakri perhatikan. Bibirnya menyimpul senyum lebar. Dia punya idea. Mungkin kedengaran gila tapi itu sajalah idea yang dia punya saat ini.
"Long. Rossa tu macam mana in real life?" Hafizi mulai memancing. Bakri dilihatnya tak berkedip memandang foto Rossa.
Bakri tersenyum manis. Bagaimana harus dia lakarkan tampang manis milik Rossa itu? Baru sahaja satu hari mereka bertemu, tetapi kesannya begitu menikam kalbu. Adakah dia telah jatuh cinta? Arghhh sudahh!! Tidak mungkin itu terjadi lagi. Setelah apa yang menimpa Marlia, dia tidak berani mengambil risiko yang sama untuk kali kedua.
"Manis orangnya. Nampak budak-budak sikit. Umur pun baru 24. Tapi mulut dia macam bertih jagung. Non stop talking!" komen Bakri sambil tersenyum. Dia masih ingat lagi saat bibir itu tak henti-henti menghangatkan suasana. Ada saja ceritanya yang mengusik hati.
Hafizi angkat kening. Komentar Bakri merupakan satu jalan untuk mengelakkan diri dari dijodohkan bersama Rossa. Dia tidak menafikan kecantikan yang dimiliki gadis itu. Dalam diam, dia turut memuji ciptaan Allah yang satu itu. Namun tidak mungkin dia berpaling kerana hatinya sudah dimiliki oleh Sarah.
"Hmm, sounds good!" sergah Hafizi pula.
Bakri tersedar dari angan-angan. Pandangannya berkalih ke arah Hafizi. Riak sinikal Hafizi ditenung tajam. Dia seolah-olah dapat membaca buah fikiran lelaki itu. Lantas, dia menggeleng laju.
"No! Along takkan setuju dengan idea gila kau!"
Hafizi mengeluh berat. Abangnya itu sungguh psikik! Belum apa-apa, fikirannya sudah mampu ditebak! Arghhh! Dia lupa, dia sedang berurusan dengan pegawai tinggi yang psiko!
"Along, ni je cara..."
"Untuk lepaskan kau dari perangkap tapi masukkan aku dalam jerat!" cantas Bakri sebelum sempat Hafizi habiskan bicaranya.
"Long, tolonglah aku kali ni. Okey, aku akan jumpa Rossa tapi along kena tolong aku jugak!" Akhirnya Hafizi mengalah pada keadaan. Menemui Rossa tetapi Bakri juga harus membantunya.
Bakri mengeluh. Dadanya sesak dengan pelbagai asakan. Yang si Hafizi ini pula menambahkan beban di minda. Arghhh!!

PAGI itu, Rossa ke kedai buku Popular. Mencari dan menambah koleksi novel terbarunya. Kesemua novelnya sudah habis dia khatam. Dia ingin mencari novel baru untuk dijadikan bahan bacaan seterusnya.
Dari satu rak ke satu rak dia menapak. Menarik satu demi satu novel, tetapi tidak ada yang dia kenankan. Dia berhenti pada satu rak lalu menarik sebuah novel berwarna kuning. Diperhatikan 'imej' novel tersebut. Kemudian, perlahan-lahan dia mencium baunya. Seketika dia tergelak sendiri melihat sikapnya. Betullah seperti yang didakwa Firdaus. Dia memang Book Sniffer!
"My Wedding Agreement! Based on true story. Kisah liku-liku kehidupan seorang gadis yang bernama Aina. Diperangkap dan dijual oleh suami sendiri. Susah untuk dia nak dapat kebahagiaan"
Suara garau itu terasa begitu dekat dengan dirinya. Lantas, dia menoleh dan bersatu pandangan dengan Bakri. Rossa terpana. Apa dia buat kat sini?
"Sama macam awaklah! Cari buku. Kot-kot ada yang berkenan.." Dia dekatkan wajah ke riak Rossa. "Saya beli terus" Dia menyambung lagi. Serentak, dijarakkan semula wajah mereka.
Rossa kaget. Macam mana dia tahu apa yang ada dalam fikiran aku?
"Novel tu best" Dia menunding ke arah novel yang dipegang oleh Rossa. "Dah pernah baca" Menyambung lagi.
Dia tarik sebuah novel lagi. Diajukan kepada Rossa. Namun apabila gadis itu tidak berkutik, dia pamerkan senyuman mengejek. "Akadku Yang Terakhir! Rasanya ni the best seller kot! Dah pernah ditayangkan kat tv. So, tak payahlah nak cerita sinopsis dia"
Rossa mengetap bibir. Malaslah nak layan mamat bengis ni! Dia menapak lagi ke hadapan, meliar-liar matanya mencari novel yang berkenan. Dia sedar langkah kaki Bakri yang turut sama mengekori dari belakang. Tapi dia buat-buat tidak tahu! Apalah nasib! Kalau di taman, ketenangannya terganggu oleh Firdaus. Di sini pulak, dia terancam dengan kehadiran lelaki berwajah bengis itu.
Rossa menghentikan langkah. Sebuah novel ditarik keluar. Namun seperti biasa, belum pun sempat dia membaca dan 'berkenalan' dengan novel itu, Bakri selangkah maju di hadapan. "Dia Yang Mengerti. Karya Norhayati Berahim. Novel ni pun best! Kisah seorang lelaki yang mengejar kembali cinta lama seorang gadis. Disebabkan kesalahan lama, si gadis tinggalkan lelaki ni. Dan tanpa apa-apa berita, lelaki ni tak tahu apa salah dia. Tapi dia tak mengalah macam tu je. Cintanya harus diperjuangkan! Walaupun si gadis membenci dia"
Rossa menghela nafas. Dia inginkan ketenangan. Dan perlukan 'me time'!
"Aku Yang Kau Tinggalkan" ujar Bakri apabila novel tersebut sudah berada di dalam genggaman Rossa.
Rossa menoleh lantas bertaut mata dengan lelaki itu.
"Kali ni, biarkan saya sendiri yang baca keseluruhan kisah dia boleh? Kalau awak bercerita, macam mana saya nak tahu klimaks dan plot dia? Ending dia? Tak suspens lagi bila awak dah bocorkan rahsia!" Bebelan Rossa mengundang tawa juga di bibir Bakri. Sehingga semua mata-mata menoleh ke arah mereka. Bakri yang menyedari keadaan itu, sempat himpunkan tangan dan memberi isyarat maaf.
"Apa yang lawak entah! Awak duduk diam je tak boleh ke?" rungut Rossa lagi. Aku serius kot! Dia gelak pulak!!
Bakri membuat aksi mengunci mulut. Sejurus kemudian, keadaan kembali sepi. Rossa menapak pula ke rak buku agama. Moodnya untuk membeli novel sudah berterbangan di bawa angin. Gara-gara lelaki ini! Huhh!
Dari ekor mata, dia tahu Bakri mengekorinya dari tadi.Rossa mengeluh. Dia capai sebuah buku yang bertajuk, 'Mukmin Sejati'. Tertarik pula hatinya untuk mengetahui isi kandungannya.
"Stop following me!" keras suara Rossa saat itu. Dia naik berang apabila Bakri membontotinya dari tadi. Ingin saja dia dapatkan perintah mahkamah agar lelaki ini menjauhinya dari jarak 200 meter. Huhh!!
"Awak bercakap dengan saya ke?" Bakri menunding jari ke arah diri sendiri. Wajahnya serius.
Rossa merona merah. Ya Allah!! Malunya! Dia mencapai buku agama tersebut lantas bergerak ke rak novel. Ditarik keluar dua buah novel tanpa membaca judulnya. Lantas, dia berjalan ke kaunter pembayaran. Ingin cepat-cepat membuat pembayaran, kemudian pulang ke rumah. Jauh dari lelaki yang sudah menyerabutkan kepalanya saat ini!
"Semuanya RM89.90 cik" kata gadis yang bertugas di bahagian cashier tersebut setelah bahan bacaan Rossa discan.
Rossa mengangguk lantas menyeluk purse di dalam beg sandangnya. Tiada. Dia tidak berpuas hati. Dijengahkan leher ke dalam untuk mencari pursenya. Namun tetap tidak ketemu. Jangan-jangan... Argggh! Rossa baru teringat, pursenya ada di dalam beg yang satu lagi.
"These books count on me! Sekali dengan buku ni" Bakri menyerahkan kad kredit dan tiga buah buku bacaan kepada gadis cashier itu. Buku Rossa juga dia bayar.
"Eh eh eh! Tak payah! Saya boleh bayarkan" Rossa menolak pertolongan Bakri. Dia tidak mahu terhutang budi dengan lelaki itu. Sudahlah pertemuan mereka bermula dalam keadaan agak 'dingin'. Kini apabila Bakri menghulurkan bantuan, dia jadi segan tiba-tiba.
"Awak nak bayar dengan apa?" sahut Bakri lantas mengambil baki bayaran tersebut. Beg plastik yang berisi bahan bacaan tadi juga sudah bertukar ke tangannya.
Rossa terdiam. Bicara Bakri melemahkan segala urat-urat sendinya kala itu. Dalam diam, dia menelan kata-kata lelaki itu dengan rasa terpaksa. Bagaimana dia mahu membayar sedangkan dia tidak membawa satu sen pun? Huhh! Kali ini, Rossa terpaksa mengalah.
"These are yours" Beg plastik tersebut diserahkan kepada Rossa. Ketika itu, mereka sudah pun berada di luar kedai.
Rossa teragak-agak hendak menyambut. Hatinya masih terkesan dengan peristiwa tadi. Bukannya dia hendak menyombong, tetapi sebolehnya dia tidak ingin mempunyai apa-apa yang bakal mengaitkan dia dengan lelaki di hadapannya saat ini.
"Ambik. Ke awak nak saya simpan dalam kotak, lepas tu wrap cantik-cantik dan hantar guna pos?" Bakri sengaja menyindir.
Rossa terasa bahang wajahnya hangat. Lelaki ini bijak mengenakannya. Lantas, tanpa membuang masa, dia sambut juga beg plastik tersebut.
"Takde tanda penghargaan ke sebab saya dah tolong awak?" Kening sengaja diangkat. Mahu melihat reaksi dan jawapan spontan Rossa. Wajah itu kadang kala mampu menghiburkan hatinya.
Rossa mengetap bibir. Dah agak dah! Dia memang nak balasan!
"Saya tahulah saya bayar buku ni guna duit awak! Awak tak payah nak sindir-sindir saya boleh tak? Kalau tak ikhlas, cakap jelah! Berapa je harga buku ni? Saya boleh bayar dua kali gandalah!" Rossa mula berlagak angkuh. Panas pula hatinya mengenangkan sikap Bakri yang sombong itu.
Bakri mula beriak serius. "Tanda penghargaan tak semestinya kena datang dengan wang ringgit atau harta benda. Saya tahu, awak boleh bayar dua kali ganda, tiga kali ganda atau berganda-ganda jumlahnya! Sometimes, a little thanks could show how you appreciate somebody's actions!" Tenang, lantang tapi penuh sindiran.
Rossa terkesima. Merona lagi wajahnya. Dia sudah tersalah anggap akan niat baik lelaki itu. Aduhh Rossa! Apa yang kau dah buat? Dari kejauhan, dia melihat Bakri sudah melesap di dalam BMW miliknya, meninggalkan dia tanpa kata-kata.
Dari dalam sebuah kereta Myvi berwarna putih dan bertinted gelap, ada seseorang yang sedang memerhatikan mereka dalam diam. Dan untuk kesekian kalinya, sebuah senyuman kelat terlakar dari bibir itu.
"Checkmate!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience