"MAK NAB tipu Rossa! Mak Nab cakap, abang nak datang jemput Rossa. Lama dah Rossa tunggu. Takde pun abang datang. Mak Nab memang sengaja nak kenakan Rossa!" Rossa membentak, serentak dengan hentakan kaki di lantai. Penuh semangat dia menunggu ketibaan Firdaus,tetapi suaminya tidak juga munculkan diri.
Mak Nab mengeluh kebingungan. Gelagat Rossa sudah tidak terkawal lagi.Merajuk dan mengongoi mengalahkan anak kecil. Apa kena dengan Rossa?
"Mak Nab mintak maaf. Bukan Mak Nab sengaja nak tipu Rossa. Tapi kalau Mak Nab tak cakap macam tu, Rossa nak ke jamah makanan siang tadi?"
Rossa berdiri memeluk tubuh. Bibirnya muncung sedepa. Dia benar-benar rasa tertipu kali ini. Luluh semula semangat dirinya apabila dibohongi sebegitu. Namun kata-kata Mak Nab masuk dek akal. Jika Mak Nab tidak membohonginya, sudah pasti dia ditemani perut yang tepu dan masuk angin. Sedikit sebanyak Rossa rasa bersalah kerana menengking Mak Nab sebentar tadi.
"Mak Nab tahu, Rossa sayangkan Firdaus. Rossa rindukan dia. Tapi sebelum berpisah, mesti Firdaus ada pesan apa-apa kan? Rossa cuba ingat balik pesanan tu. Jadikan pesanan tu sebagai penguat Rossa untuk terus bertahan. Rossa dan Firdaus sedang diuji. Pahit kita telan dulu, sebab belakang hari nanti kita akan merasai kemanisannya. Rossa tak boleh macam ni" Lembut suara Mak Nab menasihati Rossa.
Rossa mematungkan diri. Omongan Mak Nab melegakan gelisah hatinya. Dia tahu dan sedar, mereka sedang diuji. Dia sahaja yang mudah melatah sedangkan Firdaus sudah berpesan untuk setia menantinya kembali. Perlahan-lahan, dia pusingkan badan menghadap Mak Nab. Tubuh wanita tua itu dipeluk.
"Rossa mintak maaf Mak Nab! Rossa cuma tertekan dengan semua ni. Rossa takde niat nak tengking Mak Nab. Maafkan Rossa"
"Ya, Mak Nab faham. Rossa jangan susah hati ye? Doa je semoga Allah permudahkan semuanya untuk Rossa dan Firdaus" Belakang Rossa diusap lembut.
"Mak Nab boleh tolong Rossa tak?" Tanya Rossa sesudah melepaskan pelukan. Wajah Mak Nab ditatap.
"Tolong apa?"
"Tolong dapatkan semula handphone Rossa dari umi! Rossa nak call abang. Susahlah kalau takde alat komunikasi ni"
Mak Nab terdiam. Aduhh, dia sudah dipesan oleh Umi Za untuk tidak memberikan sebarang pertolongan kepada Rossa. Kini, Rossa pula meminta bantuan daripadanya. Mak Nab pusing...
"Mak Nab, boleh tak?"
"Err yelah. Mak Nab cuba ye?"
Senyuman terukir di bibir Rossa jua akhirnya.
NANI berjalan mundar-mandir di hadapan tv. Otaknya tepu apabila memikirkan kembali lamaran Umar terhadapnya. Dia bukan tidak sukakan lelaki itu tetapi semuanya berlaku terlalu pantas. Lagipun, kenapa tiba-tiba Umar meluahkan perasaan kepadanya? Apa sebenarnya yang sedang dirancang oleh lelaki itu?
Nani mengambil posisi di hujung sofa. Duduk berteleku lalu menggapai telefon bimbit dari dalam kocek baju tidurnya. Dia ingin menelefon Rossa dan meminta pendapat gadis itu.Biasanya Rossa mempunyai semacam akal yang bijak dan boleh digunapakai.
"Kalau Rossa tahu Umar lamar aku, mesti dia terjerit sakan!" Sengihan Nani sampai ke telinga. Teringat mesej Rossa tempoh hari mengenai Umar.
Telefon bimbit dia tekapkan ke telinga. Menanti dan terus menanti sehingga suara operator yang menyapanya. Dahinya berkerut seribu. Screen telefon bimbit dipandang. Memang nama Rossa yang tertera di situ. Tetapi kenapa pula suara operator? Tidak biasanya Rossa tidak mengangkat panggilan telefon dari dirinya. Nani mula dipagut rasa curiga.
"Takkan aku nak call bos, tanya apa dah jadi kat Rossa? Maunya bos sergah aku" Kepalanya digaru berkali-kali. Bunyi lagu Aku Maafkan Kamu nyanyian Jamal Abdillah berkumandang di ruang tamu yang sepi itu. Mulanya, Nani mengukir senyum kerana mengira pemanggil itu adalah Rossa. Namun setelah melihat nama Umar yang tertera di situ, senyumannya mati terus.
"Eihhhh dia ni! Memang tak boleh nak biarkan aku bernafas langsung! Haihh!" Bibirnya merungut namun diangkat juga panggilan tersebut.
"Hmm" gumam Nani acuh tak acuh.
"Aikk? Belum gaduh lagi dah takde mood?" tukas Umar di hujung talian.
Nani mengetap bibir. Dia ni kan kalau tak menyakitkan hati bukan Umarlah namanya! "Ada apa call malam-malam ni?"
Kedengaran, suara Umar ketawa di hujung sana. "Saja. Rindu"
Jantung Nani berdetak hebat. Seumur hidupnya, itulah pertama kali dia menerima ungkapan tersebut. Lagi-lagi dari seorang lelaki yang cukup sifatnya seperti Umar. Terpujuk juga hatinya yang sempat dimamah radang tadi.
"Kalau call cuma nak cakap macam tu, baik tak payah!"
"You ni Nani, nak manja pun tak boleh!"
"Memang tak boleh! Bukan mahram!"
"So bila boleh nak mahramkan you?I tak sabar nak manja dengan you"
Wajah Nani merona. Nasib baik Umar tidak ada di hadapannya saat itu. Kalau tidak, malu tak bertempat dia! Eihhh! Kalau mamat ni ada kat depan aku pun, memang aku luku habis kepala dia tu!
"Kenapa senyap?" Umar mula membayangkan wajah bahang Nani itu. Dia memang suka melihat wajah Nani. Walaupun kasar, tetapi hatinya tetap tertarik. Nani punya tarikan yang hanya lelaki seperti dia yang memahami.
"Nani. I cakap dengan you ni" Suara Umar lembut di hujung sana. "You ada masalah ke?"
Otak Nani ligat berfikir. Hendak bercerita atau tidak? Tapi dia bukannya ada masalah. Hanya khuatirkan Rossa sahaja. Hmm..
"Thinking of Rossa" Nani mulakan mukadimah seraya mengeluh.
"Kenapa dengan bini bos kita tu?" Umar agak terkejut tatkala mengetahui status sebenar Rossa. Namun dia bersyukur kerana setahu dia, Rossa itu baik orangnya. Cukup padan dengan Firdaus!
"Orang call dia banyak kali, tapi dia tak angkat. Orang risaulah!" gerutu Nani. Nak saja rasanya dia terbang ke tempat Rossa. Namun dia tidak punya sayap. Kereta ada, tapi dia tidak biasa memandu malam hari. Silau mata!
Umar tersenyum saat Nani mula bahasakan diri dengan panggilan 'orang'. Tiada kau-aku seperti sebelumnya. Langkah pertama selesai!
"Mungkin dia busy? Manalah tau kan? Lagipun dia kan dah kawen. Manalah tau masa ni tengah layan bos kita tu" Umar membuat kesimpulan sekaligus menyedapkan hati Nani.
"Ish, takkanlah! Orang kalau call Rossa, takdenya dia ignore atau decline call tu! Mesti dia angkat jugak. Orang ni second important person lepas laki dia tau!"
Umar hampir tergelak mendengar butir bicara Nani namun ditahan saja tawanya. Risau sekiranya Nani memarahi dirinya.
"Yelah-yelah! Kenapa tak pergi rumah dia?"
"Tak beranilah nak drive malam-malam! Mata pun silau" adu Nani jujur.
"I hantarkan nak? Kita pergi jumpa dia sama-sama"
Nani senyap. Hishh, rasa nak tampar mulut sendiri pulak sebab terlanjur jujur tadi!
"Nani... you dengar tak ni?"
"Aaa.. dengar"
"Nak tak? Kita jumpa dia"
"Nak tu naklah! Tapi orang tak tahu rumah bos kat mana. Dia kan duduk dengan bos"
"Kita pergi rumah Rossa, tanya mak dia ke atau sesiapa je. Lepas tu baru kita ke rumah bos. Amacam?" Umar kedengaran teruja. Kalau Nani setuju, tak sia-sialah usaha dia selama ini.
Nani diam lagi. Kali ni, rasa nak ketuk kepala sendiri pulak! Terhegeh-hegeh je cakap tak tahu rumah bos! Nani rasa macam nak nangis je! Umar ni tak tahu reti nak mengalah betullah!
"Nani.. You ni kan, suka je ngelamun! Dalam satu hari ni, berapa kali you ngelamun? Ke ngelamun ingatkan I?" usik Umar sambil tergelak kecil.
Nani buat muka. Eeee perasan betullah mamat ni! "Eee tolong sikit ye?"
"Tolong banyak pun I sudi..."
Nani menepuk dahi. Karang ada yang makan selipar haaa!
"Hmmm, pukul berapa nak ambik ni?" Segera Nani ubah topik perbualan. Tak mahu terlalu hanyut dengan usikan Umar. Risau graviti sendiri terumbang-ambing!
Bibir Umar memekar dengan senyuman. Langkah kedua berhasil! "Dalam pukul 8 macam tu. You tunggu ye? Nanti you share location you. Senang I pick you up"
"Yelah tuan besar!"
NOMBOR telefon Rossa didail untuk kesekian kalinya. Namun seperti sebelum ini, keputusannya tetap sama. Dia bertembung dengan suara operator di hujung sana. Firdaus bengang lalu menghempas tubuh ke dada katil. Dia berbaring menghadap siling. Kipas yang berpusing dipandang sepi.
Hatinya begitu merindui Rossa. Setiap sudut di rumah itu pasti mengingatkan dia akan Rossa.Senyuman, tangisan, rengekan bahkan bau wangian isterinya memenuhi ruang di setiap pelosok kondo itu. Fizikalnya seolah membenarkan kepergian Rossa dari sisi tetapi tidak emosi dan rohaninya. Batinnya tersiksa kerana harus berteman dengan airmata. Menangisi ketiadaan isteri tercinta seakan-akan membunuh jiwa dan merobek hati lelakinya. Dia tidak tahu apa khabar Rossa di sana. Fikirnya, dengan mendengar suara Rossa akan melenyapkan segala gelisahnya namun dia silap. Semakin dia menjauh, semakin terasa ketebalan ruang kosong itu. Dia teringat akan kata-kata Nizam siang tadi. Benarkah seperti yang diduga oleh adik iparnya itu?
Arghhh! Kacau-bilau semuanya! Bagaimana harus dia bersabar untuk menanti kepulangan Tuan Ihsan walhal hati sudah terlalu rindu pada seraut wajah comel itu.
"Sayang.. abang rindu" Airmata Firdaus menitik ke pipi. Semakin lama, semakin deras pula mutiara jernih itu mengalir. Untuk pertama kalinya, dia mula merasakan kekosongan bukan sahaja pada hati, bahkan pada seluruh kehidupannya!
"ROSSA ada kat bilik dia"
Saat dikhabarkan berita itu oleh Mak Nab, Nani dan Umar saling berpandangan. Kalau Rossa dalam bilik, maksudnya dia tak serumah dengan bos? Tapi kenapa pulak? Yang tambah menghairankan apabila mereka tidak melihat bayang-bayang kereta Range Rover milik Firdaus di perkarangan rumah Rossa sebentar tadi. Apa sudah jadi?
"You pergilah jenguk Rossa. I tunggu kat bawah ni" Umar memberitahu setelah Mak Nab berlalu dan sempat memperlawa mereka untuk menunggu di ruang tamu.
"Err okay" Tanpa banyak bicara, Nani bersetuju saja. Yelah kan, takkan nak heret Umar tu masuk bilik sekali? Buat hal betul! Lagipun, ini hal wanita, antara dia dan Rossa. Mustahil untuk membenarkan Umar masuk campur.
"Awak tunggu sini. Orang naik atas dulu. Nanti dah selesai, orang turun okey?"
Umar mengangguk lalu membawa diri ke ruang tamu. Nani mengatur langkah ke bilik Rossa. Pintu bilik diketuk seraya bibirnya memanggil nama Rossa.
"Na..Nani!" Demi melihat Nani, terus saja tubuh itu dipeluk oleh Rossa. Airmatanya gugur lagi membuatkan Nani semakin bingung. Tambah parah apabila melihat sekujur tubuh Rossa yang semakin susut.
"Kau okey ke ni?" Belakang Rossa diusap lembut.
"Nani, aku tak okey!" adu Rossa setelah melepaskan pelukan.Wajah Nani ditatap penuh redup.
"Kau kenapa?" Nani mulai cemas. Sekejap saja, dia sudah dibawa Rossa masuk ke dalam bilik. Pintu dikunci lantas langkah Rossa dibontoti dari belakang.
"Aku... ada masalah" ujar Rossa sesudah melabuh duduk di birai katil. Nani turut sama menyertai Rossa di situ.
"Kau gaduh dengan bos ke?"
Rossa menggeleng lemah. "Kami gaduh dengan umi aku"
Nani tersentak. "Haaa?"
Sejurus selepas itu, Rossa memulakan cerita. Diluahkan segala-galanya kepada Nani. Sambil bercerita, dia diiringi oleh sedu-sedannya.
"Babe!" Tubuh Rossa dipeluk. Hatinya diterpa kasihan saat mendengar cerita yang disampaikan oleh Rossa.Pantas sajalah wajah itu diselubung resah dan kesedihan. Rupa-rupanya ada kisah yang tersembunyi.
"Aku tak tahu apa khabar suami aku. Umi dah ambik handphone aku. Dia tak benarkan aku berhubungan dengan suami aku" adu Rossa sambil teresak. Hujung hidungnya dipicit.
"Kau nak call bos?Kau boleh guna handphone aku"
"Err takpe ke? Tak susahkan kau?" Hati Rossa diwarnai dengan keriangan saat Nani menghulur bantuan.
"Alaaa kau ni! Macam tak biasa dengan aku! Tapi tak boleh lama tau? Aku datang dengan Umar. Dia tunggu aku kat ruang tamu bawah tu"
Omongan Nani membuatkan Rossa mengecilkan mata. Sedikit tersentap kerana nama Umar meniti di bibir gadis itu. Padahal nama itulah yang selalu bertekak urat dengannya.
"Dahh-dahh, tak payah nak buat muka kau tu! Aku dengan Umar takde apa-apalah!" sangkal Nani saat perasankan air muka Rossa yang tiba-tiba berubah itu. "Nah, call laki kau. Nanti banjir pulak bilik ni dengan airmata kau tu" sakat Nani pula sambil menyerahkan telefon bimbitnya kepada Rossa.
"Eleh, dia yang tak sabar nak dating dengan kekasih hati, kita pulak yang dia sound!" tempelak Rossa pula. Wajah Nani membahang kemerahan. Terkena tepat betul usikan Rossa ke jantung! Aduii...
PANGGILAN telefon mengejutkan Firdaus dari lena. Dia menggapai telefon bimbit di sebelah lantas mencelik mata untuk melihat nama si pemanggil. Dahinya berkerut saat mata bertembung dengan nombor yang tertera di screen telefonnya. Rossa ke?
"Abang..."Telinga Firdaus sayup menangkap suara lembut itu di pendengaran. Matanya berkaca tatkala bertembung dengan suara yang dirinduinya itu.Tubuh yang sedia terbaring bangkit lalu duduk di birai katil.
"Sayang..." Suara Firdaus tenggelam timbul menyahut panggilan Rossa.
"Abang sihat?"
Kepala Firdaus terangguk-angguk, seolah membayangkan Rossa saat ini sedang berada di hadapannya. "Alhamdulillah. Hati ni aje..."
"Hati abang kenapa?" Rossa pamer riak cemas di hujung talian.
"Hati ni rindukan sayang" Airmata yang jatuh berguguran dia seka perlahan.
Empangan Rossa juga sudah pecah. Andai Firdaus di hadapannya saat ini, pasti dia dakap erat tubuh itu dan melempiaskan kerinduan masing-masing.
"Rossa pun rindukan abang" rintih Rossa dalam esaknya. "Rossa mintak maaf. Baru sekarang dapat call abang. Handphone Rossa..." Bibir Rossa berat untuk meluah kata. Apabila teringat kembali perbuatan Umi Za, entah kenapa hatinya diterpa serbu. "Umi ambik! Ni handphone Nani. Dia datang sini, jenguk Rossa"
Keluhan terlepas jua dari bibir Firdaus. Benar seperti dugaan Nizam. Umi Za memang menyembunyikan telefon bimbit Rossa agar mereka tidak saling berhubung. Benci benar umi mertuanya itu pada dirinya.
"Takpe sayang. Abang faham. Asalkan sayang sihat dan baik-baik aje, abang dah cukup bahagia"
Tangisan Rossa mulai bergema. Mudah saja hatinya rapuh semenjak terpisah dari sisi Firdaus. "Rossa tak sihat. Rossa nak abang"
Ngongoian Rossa membuatkan hati Firdaus ditimpa walang. Mereka berkongsi rasa yang sama. Tetapi Rossa lebih terseksa kerana dia tersepit di antara kasih untuk umi dan cinta buat dirinya.Di dalam hal ini, dia juga tidak mampu hendak menunding jari ke arah sesiapa. Semua yang terjadi sudah tertulis di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Dia hanya mampu berserah kepada Yang Maha Esa agar segalanya dipermudahkan.
"Sayang dah janji kan? Tak nak nangis-nangis? Nak tunggu abang jemput kan? Kenapa cengeng ni?"
Kata-kata Firdaus dibiar sepi. Rossa masih melayan emosi diri yang tidak menentu semenjak akhir-akhir ini. Ekor matanya sempat mengerling ke arah Nani yang sibuk menilik satu persatu novel miliknya yang tersusun rapi di atas rak buku itu.Mujur Nani tidak menyedari keadaannya saat ini. Jika tidak, pasti teruk dia diusik. Tapi arghh! Dia juga sudah tidak peduli. Yang dia angaukan itu suaminya sendiri. Bukan orang lain!
"Rossa emosi sebab abang! Abang ni kan.." Suara Rossa separuh merajuk.
Omongan Rossa mengundang tawa di bibir Firdaus. Haih... terbayang pula dia wajah cemberut Rossa ketika itu. Kalau Rossa di hadapannya saat ini, pasti teruk pipi gebu itu dia cubit.
"Sorry" ucapnya sepatah. "Hmm, sekarang ni Rossa takde handphonelah?"
"Aah. Umi dah ambik. Hari-hari tengok siling, dinding, kipas, pintu.. Hmmm diorang tu bukan faham pun kalau Rossa mengadu!" Rossa mengomel sendiri.
Firdaus tertawa. Senang hati dengan gelagat Rossa. "Takpe. Nanti abang belikan yang baru ye?"
"Ehh tak payahlah bang! Handphone lama Rossa masih eloklah. Cuma dia dalam tawanan umi je" Firdaus tergelak mendengar celoteh Rossa. "Lagipun nanti kalau umi tahu, dia rampas handphone baru Rossa tu. Susahlah"
Firdaus mengukir senyum. "Takpe. Yang tu, abang tahulah nak buat macam mana. Lepas ni, sayang tak payah susahkan Nani lagi. Nanti kita borak lagi ye? Jam dah lewat ni. Bagi balik handphone pada tuan dia semula. Kesian tuan dia, bertahun menunggu tu"
Rossa mengerling Nani. Tersengih Nani memandangnya. Aikk, laki aku ni macam tau-tau je apa yang Nani tengah buat!
"Okey abang. Abang jaga diri baik-baik tau? Nanti kita borak lagi. Assalamualaikum"
Panggilan dimatikan sejurus Firdaus membalas salam. Telefon bimbit Nani dikembalikan semula. "Terima kasih cik Nani sebab dah temukan kami walaupun dalam alam maya"
"Amboi kemain yee?! Upah takde ke?"
"Claim dengan laki aku!"
Nani dan Rossa bergabung tawa.
Share this novel