"UMI sihat ke?" Firdaus tunduk menyalami tangan tua itu. Dengan senyuman manis, dia hadiahkan buat Umi Za. Dilihatnya wajah tua itu turut sama mengukir senyum. Namun dalam pandangan matanya, dia mampu melihat kesedihan yang ditanggung oleh Umi Za.
"Alhamdulillah, umi sihat. Fir sihat ke? Lama tak jumpa" Dipandangnya Firdaus dari atas sampai ke bawah. Sekali pandang, wajah Firdaus persis wajah arwah Bakri.
"Fir sibuk sikit umi. Mak Nab mana?" tanya Firdaus. Umi Za mempelawa Firdaus memasuki ruang. Lantas keduanya melabuhkan punggung di sofa. Rossa sedari tadi sudah berlalu ke biliknya.
"Mak Nab di bilik dia kot. Dia memang macam tu. Bila kerja dah selesai, umi biarkan aje dia rehat. Tak banyak mana pun kerja dia" Umi Za membuka cerita.
Firdaus mengangguk laju. "Umi, Fir mintak maaf sebab dah jarang lawat umi. Fir..."
"Takpelah Fir. Umi okey je. Umi faham Fir sibuk. Tapi betul ke Fir ni boss Rossa? Umi baru dengar cerita tu dari Rossa sebulan yang lepas"
"Aah umi. Fir pun sebenarnya terkejut tengok Rossa kerja kat situ. Dah memang takdir kot" Sahut Firdaus. Hakikat sebenarnya, dia yang mempengaruhi Nizam untuk mengambil Rossa bekerja supaya gadis itu akan sentiasa dekat dengan dirinya. Dan sungguh tak terfikirkan akalnya apabila Rossa juga sanggup menerima tawaran kerja tersebut. Fikirnya, Rossa akan menolak.
"Laaa, tak sangka kan? Umi bukan apa, umi takut-takut kalau Rossa tu ada buat hal atau tak dengar cakap. Fir pantaulah dia selalu"
"In Shaa Allah umi. Jangan risau. Dah jadi tanggungjawab Fir"
Untuk seketika, Umi Za menghembus nafas berat. Risau memikirkan keadaan Rossa yang entahkan baik, entahkan tidak. Sejak kepermegian Bakri, Rossa berubah sikap. Dia kerap memencilkan diri dan sudah tidak semesra dulu. Yang pasti, setiap malam dia mampu mengagak yang anak gadisnya itu berenang dalam air mata. Kerana setiap kali dia menjenguk Rossa di bilik, dia dapat melihat kesan air mata pada wajah tersebut.
"Umi tak apa-apa ke?" Lembut suara Firdaus menembusi cuping telinganya.
"Umi risau. Rossa, dia..."
Umi Za tidak mampu menghabiskan kata-kata. Setiap kali terkenangkan keadaan Rossa, setiap kali itu juga hatinya sedih. Diseka air mata dengan hujung baju jubahnya.
"Sabarlah umi. Rossa masih perlukan masa. Tiga bulan bukan tempoh yang sesuai untuk dia lupakan arwah Bakri. Umi banyakkan berdoa sebab doa seorang ibu takde penghalang untuk terus sampai ke sana" nasihat Firdaus, seraya memujuk hati tua itu. Seperti mana Rossa terluka, seperti itu juga dirinya. Mereka sama-sama kehilangan orang tersayang. Bezanya, dia lebih kuat berbanding Rossa. Hmmm..
"Umi tahu. Terima kasih Fir. Cuma umi risau, Rossa macam hilang tempat berteduh lepas arwah Bakri takde. Perangai dia pun berubah tiba-tiba. Dari seorang yang ceria, dia jadi pemurung. Lebih banyak mengurung diri dalam bilik. Kita nampak dia tersenyum, tapi takde sapa yang akan tahu makna di sebalik senyuman dia. Umi risau kalau dia depressed! Dahlah dia pernah kehilangan abah dan adik dia, sekarang dia hilang bakal suami pulak" adu Umi Za panjang lebar.
Firdaus mengerutkan dahi. "Rossa pernah hilang abah dan adik dia? Maksud umi?"
"Arwah abah Rossa dulu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Umi pulak masa tu tengah sarat mengandung...tapi.."
Umi Za berjeda. Dia tidak mampu hendak meneruskan kata-kata. Terbayang-bayang peristiwa pahit tersebut di hadapan mata.
"Takpelah umi. Maaf sebab Fir bertanya. Fir tak tahu"
"Takpe. Maafkan umi jugak sebab umi meluah dengan Fir. Umi dah tak sanggup nak simpan lebih banyak lagi. Umi rasa sebak"
Firdaus senyap. Mula memikirkan ayat yang sesuai untuk menenangkan hati tua itu.
"Umi, dalam hidup ni, Allah tak pernah menjanjikan kesusahan yang diluar kawalan kita. Setiap dugaan yang kita hadapi, Dia selitkan jalan penyelesaian. Di setiap yang terjadi, pasti ada hikmah yang Dia nak beri. Cuma kita kena sabar dan redha. Dan sebaik-baik senjata adalah doa. Jadi umi kena banyak-banyak berdoa supaya semua dipermudahkan" Firdaus menyimpan pesan sekaligus menitipkan semangat buat Umi Za.
Umi Za mengangguk. Dia mulai mengerti maksud kata-kata Firdaus. Tenang rasa hati setelah disuntikkan semangat oleh Firdaus.
"Dah nak maghrib ni umi" Firdaus mengerling jam di pergelangan tangan. "Hmm, Fir imamkan semua nak? Kita cari pahala lebih sikit malam ni. Sementelah malam ni pun malam Jumaat. Kita baca Yasin sekali buat mereka yang telah pergi"
Umi Za bertambah tenang mendengar kata-kata Firdaus. Dia mengangguk kepala, menerima baik cadangan Firdaus.
PAGI ITU, Firdaus dihubungi oleh Hafizi. Katanya ada hal kecemasan yang harus diselesaikan. Dan dia harus turut serta. Apabila Firdaus bertanya lebih lanjut lagi, Hafizi berkata dia tiada masa untuk menerangkan perkara sebenar. Tambah memeranjatkan apabila dia disuruh membawa Rossa bersama dan mereka akan berjumpa di kediaman Datuk Badrul.
Kedengarannya sangat penting kerana nada suara Hafizi agak serius. Setelah menerangkan segala-galanya kepada Rossa, mereka bergegas ke banglo Datuk Badrul.
Sesudah sampai, mereka terkejut kerana semua orang turut berada di situ. Seorang lelaki lengkap berpakaian formal duduk di satu sudut. Kelihatannya, ada agenda penting yang akan mereka hadiri. Umi Za dan Mak Nab juga ada bersama. Setelah menyalami mereka, Rossa dan Firdaus mengambil posisi di sofa bertangkai dua.
"Semua dah ada di sini. Jadi saya mulakan teruslah agenda kita hari ni" Lelaki berpakaian formal itu memulakan aturcara. Dia mengeluarkan beberapa helai dokumen penting dari briefcasenya. "Sebelum tu, saya Peguam Roslam, dan saya merupakan peguam peribadi arwah Encik Akhbar Bakri" Roslam memperkenalkan diri.
Rossa kaget. Peguam peribadi?
"Begini. Sebelum arwah meninggal dunia, saya agak seminggu sebelum tu, arwah ada berjumpa saya" Roslam memulakan cerita. "Dia ada meninggalkan beberapa wasiat untuk saya sampaikan kepada kamu semua sesudah dia tiada. Tak banyak harta arwah tapi tetap wajib saya sampaikan"
"Harta apa yang along tinggalkan? Kenapa kami semua tak tahu?" Hafizi bertanya bagi pihak semua.
Roslam tersenyum. Sudah diagak reaksi mereka. Kerana sebelum ini, memang ada Bakri memberitahunya mengenai ahli keluarganya. Menurut Bakri, dia tidak pernah berniat hendak menyembunyikan apa-apa daripada mereka semua.
"Tu saya kurang jelas. Tapi apa pun, wasiat ni tetap harus saya sampaikan. So shall we?" Wajah mereka dipandangnya satu-persatu. Kemudian, dia mula membaca isi dokumen yang dipegangnya. "Untuk Datuk Badrul dan Datin Suhada, arwah tak tinggalkan apa-apa sebaliknya dia meminta doa agar urusan dia di atas sana dipermudahkan"
Datin Suhada terus menangis. Mendengarkan itu, hatinya pilu. Masih terasa seolah baru semalam mereka bergurau-senda dan Bakri bermanja dengannya. Datuk Badrul memaut erat bahu isterinya. Dia turut berdukacita dengan apa yang disampaikan oleh Roslam. Sedikit pun dia tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan Bakri di sana.
"Arwah ada sebuah kondominium di Kojaya Ampang dan kondominium tersebut dihadiahkan kepada Hafizi dan Sarah sebagai hadiah perkahwinan"
Hafizi ternganga. Kondominium? Dia tidak pernah tahu-menahu akan perkara tersebut.
"Dan kondo tu dah pun ditukar nama ke atas Akhbal Hafizi"
Hafizi terdiam. Secepat itu Bakri buat kerja? Dia tak pernah inginkan semua itu. Kalau ianya bisa ditukar ganti dengan nyawa Bakri, pasti akan dia lakukan.
"Untuk Firdaus Azhan.." Roslam berjeda. Dia tekun membaca sesuatu lantas mengeluarkan sesuatu dari dalam briefcasenya.
Firdaus terkejut saat namanya disebut. Tidak pernah menyangka namanya turut tersenarai di dalam wasiat Bakri.
"Arwah tak tinggalkan apa-apa untuk awak. Tapi ada sepucuk surat ni. Dia suruh saya serahkan pada awak"
Sepucuk surat tersebut bertukar hak milik. Firdaus mengerutkan dahi. Apa yang ingin disampaikan oleh Bakri sebenarnya?
"Dan amanat yang terakhir adalah wasiat yang dia tinggalkan untuk Aleeyah Rossa. Arwah tinggalkan dua wasiat untuk awak"
Rossa mengerut dahi. Dua? Hatinya seakan berdebar mendengar kata-kata selanjutnya dari lelaki itu.
"Yang pertama, semua novel dan buku bacaannya menjadi milik awak"
"Yang kat dalam bilik bacaan along tu ke?" sampuk Hafizi pula.
"Ye dan ada satu lagi. Mini store yang arwah tubuhkan lebih kurang tujuh tahun yang lalu. Tidak jauh dari tempat arwah kerja. Mini store tu kepunyaan Rossa. Dan rasanya Rossa tahu apa yang patut dibuat dengan mini store tu"
Rossa semakin kaget. Mini store? Kenapa dia tidak pernah mengetahui akan perkara itu?
"Dan ada satu lagi wasiat yang arwah tinggalkan untuk Rossa"
Semua mata tertumpu ke arah Roslam. Seakan menanti dengan penuh sabar amanat terakhir tersebut.
"Arwah amanatkan supaya Rossa dikahwinkan dengan Firdaus. Dan semua ahli keluarga dari ketiga-tiga belah keluarga akan menerima keputusan ni dengan hati yang terbuka"
Mereka semua ternyata kaget mendengar berita yang disampaikan oleh Roslam. Benarkah itu?
Demi mendengarkan itu, Rossa dan Firdaus berpandangan. Mereka sama-sama kehilangan bicara. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Bagi Rossa, semua ini adalah sangat tidak masuk akal. Kenapa dia harus menikahi Firdaus sedangkan hatinya masih milik Bakri? Semudahkah itu dia mengecapi bahagia jika tidak bersama dengan orang yang dicintai?
"Encik, betul ke apa yang encik sampaikan? Rossa kena kawen dengan Azhan?" Datin Suhada mulai bersuara setelah lama mendiamkan diri. Bukan dia tidak bersetuju, tetapi dia hanya inginkan kepastian lagi.
Roslam tetap sama dengan keputusannya. Dia mengangguk laju.
"Tapi kenapa semua ni tiba-tiba? Saya... saya tak setuju" soal Rossa tanpa dipinta. Dia tidak bersetuju dengan perkahwinan ini. Dia tidak akan menikahi Firdaus.
Firdaus sedikit berkecil hati dengan penolakan Rossa. Dia tahu, sampai bila-bila pun dia tidak akan pernah bisa menggantikan posisi Bakri di hati gadis itu. Tetapi bukankah sewajarnya dia diberi peluang untuk membahagiakan Rossa?
"Maaf Cik Rossa. Tapi ini permintaan arwah. Dan permintaan yang berupa amanat ini, hukumnya wajib untuk ditunaikan. Kalau tak, risau roh arwah tak tenang di atas sana" Roslam menjelaskan duduk perkara sebenar.
Rossa menggeleng kepala berkali-kali. Takkk! Tak mungkin! Kenapa awak buat saya macam ni Bak? Tak sampai setahun awak tinggalkan saya, tapi awak dah serahkan saya pada orang lain. Kawan baik awak pulak tu! Macam mana saya nak teruskan kehidupan dengan orang yang saya tak cinta?
Firdaus termangu. Amanat yang amat payah untuk dia tunaikan. Menikahi Rossa yang sama sekali tidak punya perasaan padanya ibarat meletakkan diri di dalam bara api. Arghh! Dia bingung. Dia memang menyayangi Rossa tetapi tidak pernah terfikir pula untuk memiliki gadis itu.
Bak, apa yang kau dah buat?
Share this novel