8

Romance Completed 28168

PANDANGANNYA tertumpu pada screen telefon bimbit. Barusan, telinganya menangkap suara comel Rossa di hujung sana. Ingin rasanya dia bertegur sapa dengan gadis itu dan berborak lebih lama. Tetapi dia kekok. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Dia sudah lama meninggalkan gelaran 'Lelaki Teragung' jadi untuk kembali merangkul status tersebut, amatlah payah dirasakannya. Meskipun dia sudah membuat janji dengan hati sendiri untuk tidak mengheret Rossa di dalam masalah hatinya, namun kadangkala dia sering ingkar pada janji sendiri.
Bakri memuntahkan keluhan. Di luar sana, ruangan banglo sudah hampir dipenuhi ratusan manusia. Terlalu ramai kenalan mama dan papa sehingga dia sendiri tidak selesa berada di dalam khalayak ramai.
Majlis akan bermula pada jam 8. Tetapi jumlah tetamu yang datang seolah-olah majlis sudah lama berlanjutan. Kalau diikutkan hati yang sebal dan penat tubuh badan, mahu saja rasanya diturutkan kehendak kantuknya. Tetapi dia sangat menghormati mama. Permintaan mama tidak pernah dia bilang tidak! Sebagai menghormati mama, dia sanggup bersengkang mata dan menahan penat asalkan mama gembira.
Dia sudah bersiap dengan kemeja batik berwarna putih dan seluar slack hitamnya. Rambut sudah tersisir rapi. Dia berdiri di hadapan cermin, mengemaskan lagi misai dan jambangnya.
Bakri mendengus perlahan. Ketika itu, dia membayangkan Rossa di hadapannya, seolah-olah sedang bercakap dengan dirinya.
"Hai. Saya Bakri" Dia menghulur tangan untuk berjabat. Seketika, dia menggaru tengkuknya. "Ehh dia mana salam dengan lelaki! Dia pun dah kenal aku" Dahi ditepuk.
Bakri menukar ke posisi selesa. Wajahnya sengaja dimaniskan lagi. Menghimpun dua tangan bersatu, kemudian tunduk memberi hormat. "Ni dah macam orang Thailand pulak!"
Bakri berfikir sejenak. Dua jari diletakkan di bawah dagu. Berkira-kira untuk memperkenalkan diri kepada Rossa meskipun mereka sudah saling mengenali.
"Ehh ni Rossa kan? Budak kecik yang obseskan novel tu!" Bakri tergelak sendiri. Terlalu ceria pulak! Kang tak pasal-pasal dia ingat aku ni buang tabiat!
Bakri berjeda semula. Termenung seketika. Memikirkan bagaimana harus berdepan dengan Rossa. Tadi, dia sempat mendengar mama bercakap tentang Rossa. Katanya, dia ada menjemput Umi Za sekeluarga. Jadi tidak mustahil dia akan bertemu dengan Rossa nanti. Dia tidak mahu nampak terlalu kekok di hadapan gadis itu. Risau imejnya akan jatuh menjunam!
"Arghhh! Lantaklah macam mana nanti! Jenuh nak fikir pulak!" Bakri akhirnya mengaku kalah. Ada baiknya jika dia bertindak biasa saja. Bengis tak bengis, serius tak serius! Yang dia tahu, dia adalah Akhbar Bakri!

SELESAI memarkir kereta di luar pagar, Umi Za dan Rossa serta Mak Nab berjalan mendekati rumah banglo itu. Kelihatannya, sudah banyak yang membanjiri kawasan rumah. Saat kaki menginjak ke ruangan beranda, Rossa disapa pegun. Rumah banglo Datin Suhada dan Datuk Badrul sungguh gah. Deretan rumah dihiasi dengan bunga-bunga hidup yang kemungkinan berasal dari luar negara. Ada satu pancutan air terjun di tengah-tengah ruangan.
Di sekeliling rumah pula, belon-belon yang pelbagai warna kelihatan ceria menghiasi. Di ruang udara pulak, terdapat satu belon besar berbentuk hati yang terlakar gambar Datin Suhada dan Datuk Badrul. Ada tulisan 'Happy Birthday' yang turut disertakan di situ.
"Mak aii! Besau benar rumah dorang ni!" Mak Nab memberikan komen. Matanya terkebil-kebil memerhati keadaan sekeliling.
"Orang kaya Mak Nab!" bisik Rossa ke telinga tua itu.
Serentak itu, ketiga-tiga mereka memasuki rumah dengan senyuman memekar di bibir. Saat bertemu mata dengan Datin Suhada, Umi Za pantas mendekatinya lalu berpelukan. Pipi mereka berlaga. Rossa turut sama menyalami tangan Datin Suhada. Perlakuan Rossa dibalas dengan pelukan.
"Happy Birthday auntie!" ucap Rossa sesudah itu. "Ini untuk auntie" Satu kotak besar bersaiz segi empat tepat diserahkan kepada Datin Suhada. Seketika, kotak tersebut bertukar tangan.
"Tak perlulah susah-susah bagi hadiah bagai" ujar Datin Suhada, mesra.
"Takpelah. Sekali-sekala" sampuk Umi Za pula.
"Masuklah. Make yourself comfortable" pelawa Datin Suhada.
Umi Za mengangguk lantas menarik tangan Rossa dan Mak Nab ke sisi. Dari kejauhan, Umi Za melihat sesusuk tubuh Hafizi yang sedang rancak berbual-bual di khalayak temannya.
"Rossa, itulah Hafizi!" Umi Za menunding jari ke arah Hafizi.
Rossa menoleh, memandang. Lelaki yang mengenakan kemeja panjang berwarna biru tua dan dipadankan dengan jeansnya ditenung seketika.
"Hensemlah! Macam pelakon Korea yang dalam cerita.. haaa apa tu? Yang ada perempuan kuat tu!" sampuk Mak Nab pulak.
Rossa tergelak. Sempat lagi dia bawak Korea dia ke sini. Tetapi tidak dinafikan Hafizi memang punya aura tersendiri. Tapi tak sekacak Fir! Ehh, apa benda aku merepek ni?!
"Strong Woman Do Bong Soon lah Mak Nab!" Rossa kembali mengingatkan.
"Haaa yelah tu. Betul-betul. Sebijik kan muka dia?"
"Memandai jelah Mak Nab ni!" sahut Umi Za pula. Lucu pula apabila mendengar Mak Nab bertutur sedemikian.
"Assalamualaikum umi" sapa Hafizi dari arah belakang.
Rossa dan Mak Nab menoleh. "Waalaikummussalam" Serentak.
"Cantiklah umi hari ni" puji Hafizi ikhlas. Senyuman tak lekang dari bibirnya.
"Pelakon Korea Mak Nab dah datang. Pergilah sapa dia!" Rossa sempat mengusik. Mak Nab mencubit pinggang Rossa.
"Pandai je kan kamu ni?" balas Mak Nab pula. Rossa tergelak kecil.
"Haa Hafizi. Umi nak kenalkan. Yang ni, kamu dah kenal kan?" Umi Za merujuk kepada Mak Nab. Kelihatan, Hafizi mengangguk laju. "Siapa tak kenal Mak Nab, tukang masak terhebat?" pujian diberikan kepada Mak Nab. Teringat dia akan ikan patin masak cili padi yang pernah dimasak oleh Mak Nab suatu ketika dulu. Lauk itu dibawa pulang oleh mama. Katanya ole-ole dari Mak Nab.
"Alaa, pandai aje lah kamu ni!" Mak Nab tersipu apabila dipuji. Rossa mengekek di sebelah. Malu kena pujilah tu!
"Yang ni..."
"Rossa kan?" Hafizi pantas mencelah. Masakan dia tidak kenal wajah manis itu. Walaupun tidak pernah bersua sebelum ini, namun foto yang ditunjukkan oleh Bakri kepadanya tempoh hari masih segar dalam ingatan. Rossa memang cantik di dalam foto, namun lebih anggun dan manis apabila dilihat begini.
"Haa dah kenal pun. Baguslah. Senang kerja umi dengan mama nanti" tambah Umi Za lagi. Tersenyum riang saat menerima respon daripada Hafizi.
"Umiii!" Rossa sempat terjerit kecil.
Hafizi tergelak. Pantas saja Bakri menggelarkan Rossa budak kecik. Memang cun pun!
Suara dari MC menggamit suasana. Lantas,kesemua mereka bergerak ke beranda rumah untuk memulakan majlis.

SETELAH upacara memotong kek berlangsung, tetamu jemputan dihidangkan dengan pelbagai masakan dari luar negara. Tidak terkecuali, makanan tempatan juga turut dihidangkan. Rossa hanya menjamah sedikit sahaja kerana tekaknya tidak mampu untuk menerima masakan dari Barat.
Setelah semua tetamu sibuk dengan urusan masing-masing, Rossa duduk jauh dari pengamatan ramai. Dia menyembunyikan diri di sebalik anak tangga dan melabuh duduk di atas kerusi kecil yang sengaja diletakkan di situ. Barusan tadi, dia pamit dengan Umi Za untuk ke tandas. Niat sebenarnya hendak melarikan diri dari umi dan orang ramai. Duduk di situ,lantas menyambung pembacaannya. Tempat yang tenang dan jauh tersorok dari khalayak ramai.
"Tak baik duduk sorang-sorang kat sini" sapa satu suara garau.
Rossa menurunkan novel lantas matanya bertembung dengan si pemilik suara itu.
Bakri tersengih lantas mengambil posisi di sebelah Rossa. Dari tadi, dia perhatikan gerak-geri gadis itu. Aneh pula apabila Rossa menyorok dan menjauhkan diri dari orang ramai.
"Awak buat apa kat sini?" tanya Rossa. Di mana-mana saja pasti ada pengacau! Lari dari umi, namun terserempak pulak dengan si pengacau sorang ni! Huhh!
"Ni kan rumah saya? Suka hati sayalah nak buat apa, pergi mana. Yang awak tu, duduk sini kenapa?" Novel yang Rossa baca ditarik dari tangan. Membelek satu demi satu isinya. "Nak saya bagitau macam mana ending dia? Atau awak masih stuck kat tengah-tengah muka surat? Masih di part klimaks?"
Rossa mendengus. Hishh!! Lelaki yang satu ini suka potong line! Geram pula hatinya.
"Ni novel pasal..."
"Tak payah bagitaulah! Saya nak tahu sendiri!" cantas Rossa lalu menarik kembali novel tersebut. Namun usahanya gagal apabila Bakri lebih bijak mengelak.
Malas hendak mencari gaduh, Rossa biarkan saja perlakuan Bakri itu.
"Awak tak jawab lagi soalan saya" tukas Bakri sambil melemparkan riak sinis. Sebentar tadi, apabila melihat bayang-bayang Rossa di sebalik khalayak ramai, hatinya dibuai riang. Lebih-lebih lagi apabila melihat penampilan Rossa yang sederhana tetapi nampak anggun itu. Cukup menggetarkan hati lelakinya.
"Saya tak suka berada di khalayak ramai" sahut Rossa.
"Kenapa?" Soal Bakri, pelik. Tetapi kepelikan itu menimbulkan senyuman di wajahnya. Kerana dia dan Rossa mempunyai sikap yang sama, tidak betah berada dalam khalayak ramai!
"Tak selesa. Rimas. Pening. Macam-macam bau perfume dorang. Sakit kepala" Rossa menyatakan satu persatu alasannya.
"Samalah. Saya pun tak suka berhimpit ramai-ramai macam tu! Saya naik rimas. Kadang tu, macam terasa asing pulak!" Ada tawa kecil di hujung bicaranya.
Rossa hanya mengangguk. Keadaan sepi di antara mereka. Bakri hilang idea untuk berborak. Apabila melihatkan Rossa mendiamkan diri, dia jadi segan untuk memulakan perbualan.
Tiba-tiba, Bakri teringatkan sesuatu. Dia tersenyum lantas menoleh ke arah Rossa. "Nak tahu satu tempat best tak?"
Rossa mengangkat wajah. Kurang mengerti maksud di sebalik kata-kata Bakri.
"Jom, ikut saya!" Bakri sudah angkat punggung. Mula mengatur langkah.
Rossa teragak-agak untuk menuruti. Terfikirkan jika lelaki itu berniat serong. Sudahlah keadaan sekeliling begitu bising dengan dentuman muzik dan suara-suara hadirin. Jikalau dia meminta tolong, suaranya pasti tidak akan tembus sehingga ke luar rumah.
"Saya tak sejahat yang awak fikirkanlah!" Bakri sudah berdiri di hadapan Rossa. Menunggu gadis itu untuk mengekorinya.
Rossa tercengang. Tahu-tahu pulak dia fikiran aku! Namun dia atur juga langkah membontoti Bakri dari belakang. Mengalah juga dengan hati untuk mempercayai niat Bakri yang kurang jelas itu.

"MASUKLAH.." pelawa Bakri sesudah pintu bilik terkuak luas. Rossa akur. Ketika itu, dia hampir ternganga melihat segenap ruang di bilik itu. Ada lebih kurang 8 atau 9 buah almari yang menempatkan pelbagai jenis buku. Di satu sudut, ada sebuah meja dan kerusi. Dia agak, mungkin itu meja kerja. Ada sebuah sofa yang berbentuk L turut diletakkan di hadapan sebuah almari buku.
Rossa menapak ke satu rak. Melihat deretan buku ilmiah dari pelbagai bahasa di serata dunia. Perancis, Itali, UK, Rusia, Arab. Dan banyak lagi. Matanya berkelip-kelip memandang sekeliling.
"Pochemu?" ucap Bakri sambil tersenyum.
Rossa mengerutkan dahi. Bahasa apa dia guna tu?
"Pourquoi? Perche? Wae?"
Rossa tidak berkutik. Dia langsung tidak memahami sebarang percakapan Bakri barusan itu.
"Russian says, pochemu. France utters, pourquoi. Italian uses, perche while Korean says, wae. English says, why? Malay uses, kenapa?"
Rossa tergelak. Mulai memahami maksud sebenar lelaki itu. Dia lihat Bakri menapak ke rak yang bersebelahan tempat dia berdiri.
Sebuah novel dia tarik lantas ditunjukkan kepada Rossa. "Roman?"
Rossa tercengang. Kembali buntu dengan perkataan yang digunakan oleh lelaki itu.
Bakri sempat tergelak. "Both Russian and French use 'roman' which means novel. Kalau Italian pulak, dorang guna 'romanzo'. So, roman?"
Rossa tergelak lagi. Dalam kebengisan dan kekasarannya, rupa-rupanya Bakri seorang lelaki yang penuh ilmu dan bijaksana. Langkah kaki diatur mendekati Bakri. Novel yang Bakri tunjuk tadi, digapai dengan senyuman.
Rak yang menempatkan novel dipandang tidak berkelip. Tidak disangka lelaki sebengis Bakri rupa-rupanya pencinta novel! Entah berapa ratus atau ribu jumlah buku yang dikumpul oleh Bakri.
"Saya minat dengan bahan ilmiah macam ni. Pada saya, membaca tu amalan mulia! Selain berkongsi maklumat, kita jugak dapat belajar sesuatu melaluinya. Tak semestinya novel, bahan bacaan lain pun dianggap bidang ilmu jugak"
Rossa terpesona dalam diam. Patutlah dia tahu banyak novel!
Bakri merenung jam di tangan. Kemudian, pandangannya tertancap ke wajah Rossa. "Saya nak keluar. Kalau awak nak baca apa-apa, just take any of the books. Nanti kalau awak keluar, ikut pintu belakang" Bakri menunding ke arah pintu yang dimaksudkannya. "Pintu tu tembus dapur. Pintu depan ni saya dah kunci. See you"
Rossa hanya menghantar langkah kaki Bakri hingga ke pintu kedua. Kemudian, dia menapak dari satu rak ke satu rak, mencuba untuk 'berkenalan' dengan teman istimewa Bakri itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience