57

Romance Completed 28168

SEMINGGU sudah berlalu. Dalam tempoh itu, Aina sering mengalami sakit kepala yang bukan sedikit. Kadang terlalu lama peritnya, kemudian ia menghilang. Sejak akhir-akhir ini, dia juga sering lupa akan sesuatu perkara.Baru dipesan beberapa minit, kemudian ingatannya terus hilang entah ke mana. Pernah juga dia dimarah oleh Irish, bahkan Nizam sekalipun gara-gara terlupa meletakkan pendrive untuk sesi pembentangan projek terbaru mereka di Shah Alam. Teruk juga dia dimarah oleh Nizam.Kerana kecuaiannya, mereka hampir hilang pelanggan.
Aina membuka pursenya. Foto kecil Firdaus bersaiz passport ditatap. Dia betul-betul sudah jatuh cinta pada Firdaus. Dia tahu dia tidak berhak kerana Firdaus itu milik Rossa. Namun dia tidak mampu menghalang hati untuk terus melupakan lelaki itu. Jika dia diberi peluang untuk bersama dengan Firdaus hanya untuk tempoh satu hari, maka dia akan sangat-sangat menghargainya.
Purse yang elok berada dalam genggaman tiba-tiba terjatuh ke lantai apabila Aina mula merasakan pandangannya gelap gelita. Dia mencuba untuk bangkit tetapi gagal menyeimbangi tubuh badannya.Tidak dapat mengawal diri, Aina jatuh pengsan ke lantai. Ruang dengarnya hanya mampu menangkap suara bising dari keadaan sekeliling.

SETELAH dikhabarkan keadaan Aina, hati Ainida pedih bagai disiat-siat. Dia tidak pernah menyangka akan keadaan dan penyakit yang dihidap oleh Aina.
"Aina menghidap kanser otak. Kanser tu dah merebak ke seluruh tempat. And it's on the 4th Stage!"
Mengingatkan kembali kata-kata doktor, hati Ainida ditimpa walang. Airmatanya jatuh merembes. Begitu malang sekali nasib yang menimpa Aina. Dia sudah alpa dalam menjaga Aina. Dia mungkir janji pada arwah orang tuanya untuk membahagiakan Aina. Ainida kesal!
Wajah Aina yang pucat lesi dipandang di atas katil. Lemah saja wajah dan keadaannya. Jari-jemari Aina digenggam erat. Kemudian, jari-jemari itu dibawa ke bibir. Setitik airmatanya jatuh berguguran ke situ.
"Maafkan akak Aina! Maafkan kakak! Akak tak mampu nak bahagiakan Aina! Akak memang kakak yang tak berguna!"
Berkali-kali Ainida mengucap di dalam hati. Selawatnya tak pernah tinggal. Dia berzikir bagi menyalurkan ketenangan dalam hati. Ya Allah, beratnya dugaanMu kali ini!

WAJAH Rossa terpamer riak bahagia. Sejak dikhabarkan akan berita dirinya yang kini hamil 5 minggu, hatinya gembira bukan kepalang lagi. Benar tekaan Firdaus. Dia memang sudah mengandung. Dalam hati, dia sungguh tak sabar hendak memaklumkan berita itu kepada Firdaus.
Nasib baik Umi Za ke Kedah untuk tempoh seminggu kerana mengikuti kursus pengendalian kedai makanan. Jadi dia tidak perlu susah-susah merayu pada umi untuk dilepaskan keluar. Kerana jika umi ada, sudah pasti dia tidak dapat bebas seperti ini.
Rossa duduk berehat di atas kerusi di cafeteria hospital itu. Penat pula rasanya berjalan walaupun tidaklah jauh mana jarak kantin dan bilik doktor. Telefon bimbit dikeluarkan dari tas tangan lantas nombor Firdaus didail. Lama dia menunggu Firdaus di hujung sana namun tiada respon.
Panggilan dimatikan seraya bibirnya menghambur keluhan kecil.Otaknya mula berfikir yang bukan-bukan. Hatinya diserang cemburu. Namun segera ditepis perasaan dan fikiran jahat itu. Risau pula mengganggu keadaan janin yang mulai menumpang di rahimnya itu.
Saat itu, matanya menangkap tubuh kecil Ainida yang menapak ke kantin. Bibir Rossa mengukir senyum lantas digamitnya Ainida dari jauh.
"Rossa!" Ainida terjerit kecil. Setelah berhadapan dengan Rossa, tubuh mereka bersatu. Sempat Rossa melihat Ainida mengesat airmata. Hatinya mulai bingung, ditambah lagi dengan kehadiran Ainida di hospital. Kak Ainida sakit ke? Rossa mula tertanya-tanya.
"Akak sihat ke?" Tanya Rossa sesudah mereka melabuh duduk di atas kerusi.
"Alhamdulillah sihat. Rossa pulak?"
Rossa menjawab dengan senyuman. "Akak buat apa kat sini? Aina mana? Sihat ke?"
Wajah Ainida murung apabila nama Aina disebut-sebut. Teringatkan Aina, dia rasa kasihan pada nasib malang yang menimpa adiknya. Lantas, dia menghambur tangisan dalam dakapan Rossa. Meluahkan segala-galanya dalam tangisan kerana sebaris ayat seakan tidak cukup untuk menenangkan hatinya.
Dahi Rossa mengerut. Memang sah ada sesuatu yang tidak kena pada Ainida. Dia hanya membiarkan saja Ainida menangis sambil tangannya mengusap lembut belakang Ainida. Lama dia menunggu Ainida untuk tenang dengan sendiri.
"Maaf, akak dah basahkan tudung Rossa" ujar Ainida tatkala pelukan dileraikan. Tudung bawal Rossa yang basah dengan airmatanya dipandang sayu.
"Takpe. Rossa tak kisah" Rossa tersenyum tipis sambil mengeluarkan sehelai tisu dari tas tangannya. Diserahkan kepada Ainida lalu tisu tersebut bertukar tangan.
"Akak ada masalah ke? Kalau ada, bagitau je Rossa. Mana tahu, kot-kot Rossa boleh tolong"
"Hmmm" Sukarnya hendak meluahkan kata-kata. Semakin dia meluah, semakin sebak pula rasanya. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan Aina.
"Rossa buat apa kat sini? Firdaus mana?" Sengaja Ainida mengalih topik perbualan. Soal Aina harus diketepikan dahulu. Biarlah dirinya bertenang dahulu, jika sudah punya kekuatan, barulah dia boleh meluahkan kepada Rossa.
"Ohh Rossa pergi jumpa kawan" Walaupun berbohong, tetapi Rossa berniat baik. Dia tidak ingin sesiapa pun mengetahui mengenai kandungannya kerana dia mahu Firdaus yang mendengarnya dulu. "Abang ke Indonesia. Ada projek terbesar kat sana"
"Aah. Baru akak ingat. Aina ada bagitau yang Fir ke sana"
Rossa tersentak. Keningnya bertaut. Bagaimana Aina boleh tahu? Hati Rossa mulai tidak tenang.
"Macam mana Aina tahu?"
"Laa Aina kan kerja dengan Fir. Rossa tak tahu ke?" Ainida pelik dengan pertanyaan Rossa. Masakan gadis itu tidak mengetahui keberadaan Aina di syarikat Firdaus.
Hati Rossa mula memberontak. Dia tiba-tiba hilang mood untuk berdepan dengan Ainida. Namun dikawal sebaik mungkin perasaan tersebut kerana risau mampu dikesan oleh Ainida.
"Ohh hmm. Okeylah kak. Rossa dah lambat. Nak balik dulu ye?"
Rossa hendak angkat punggung tetapi Ainida tiba-tiba saja menarik tangannya. "Kenapa kak?" Rossa menyoal sambil menatap wajah keruh Ainida.
"Akak mintak maaf kalau lukakan hati Rossa. Akak ingatkan Rossa tahu pasal Aina kerja kat situ. Betul, akak takde niat jahat pada Rossa"
Mendengarkan itu, hati Rossa ditimpa sebak pula. Wajah polos Ainida membuktikan kata-katanya.Dia tidak mampu hendak mengawal emosi, tetapi untuk dilepaskan pada Ainida sungguhlah tidak adil.
"Takpe. Rossa okey. Rossa tahu, abang macam mana. Dia akan jaga kepercayaan Rossa. Akak tak payah risau ye?" Senyuman tipis dia hadiahkan pada Ainida.
"Thanks" ucap Ainida ikhlas dari hati. Sungguh mulia hati Rossa, membuatkan dia tidak berani hendak melukakan hatinya. Dia tahu ada hati yang bakal terluka tidak lama lagi. Dan dia tidak tahu harus memilih untuk memihak pada siapa. Pada Rossa yang tulus hatinya atau pada Aina yang merupakan adik kandungnya!

NOMBOR Rossa didail banyak kali namun panggilannya berdepan dengan suara operator di hujung sana. Dialognya pula sama dan berulang banyak kali sehingga Firdaus naik berang dibuatnya.
"Mana Rossa ni?"
Hati Firdaus mulai bimbang. Didail lagi nombor Rossa namun hasilnya tetap sama. Dia mulai dipagut kerisauan yang bukan sedikit. Didail pula nombor Nani. Tiada pilihan lain kecuali meminta pertolongan daripada gadis itu.
"Bos, kenapa?"
Suara Nani di hujung sana menyapa.
"Awak kat mana sekarang?"
"Masih kat office. Kenapa bos?"
"Balik nanti, awak boleh tak singgah ke rumah Rossa? Saya called dia banyak kali tapi tak berjawab. Saya risaulah! Tak pernah dia buat hal macam ni"
"Laa yeke? Hmmm, takpelah. Nanti balik saya singgah sana. Bos tak payahlah risau"
"Okay, thanks Nani" Lega hati Firdaus apabila Nani sudi menghulur bantuan.Baru saja hendak mematikan panggilan, Nani di hujung sana memanggilnya. "Kenapa?"
"Errr..." Nani tiba-tiba teringatkan gambar Firdaus yang ada di dalam purse Aina. Setelah Aina pengsan pagi tadi, Nani sempat menggapai purse Aina yang terdampar di atas lantai. Hatinya tertanya-tanya mengenai hubungan Firdaus dan Aina. Tetapi tidak mungkin Firdaus berbuat salah pada Rossa. Dia boleh nampak cinta dan kasih sayang Firdaus yang begitu mendalam terhadap Rossa.
"Nani, are you still there? What's you up to?" Suara garau Firdaus menyentakkan Nani di hujung talian.
"Err takde apa-apa bos. Saya cuma nak cakap yang bos tak payah risau pasal Rossa"
"Okay, thanks. Gotta go!" Firdaus mematikan panggilan. Kemudian, dia melihat ada panggilan tak berjawab diterimanya daripada Zaid. Segera dia mendail nombor tersebut.
Setelah panggilan dimatikan, Nani masih tetap mengeras di situ.Mulai risau dengan keadaan hubungan Rossa dan Firdaus. Sudahlah saat ini, Umar juga sudah berhenti menghubunginya.Hati Nani merajuk tiba-tiba.

"KAU biar betul? Kenapa aku tak pernah tahu pun pasal budak Aina tu?"
Nani sudah mundar-mandir di hadapan Rossa. Rupa-rupanya selama ini, Aina juga pernah menjadi mangsa penculikan Fahmi.
"Aku lupalah nak cerita pasal tu. Betul ke dia kerja kat situ?"
"Aah.. Satu pejabat dengan aku, dengan bos jugak! Patutlah aku pernah tengok dia tergedik-gedik dengan bos! Eeee tak guna betullah budak tu!"
Bungkam hati Rossa mendengarnya. Kenapa Firdaus tidak pernah memberitahunya akan perkara itu? Atau memang Firdaus sengaja merahsiakan dari dia? Tapi kenapa? Arghhh! Kepala Rossa semakin kusut. Dia benar-benar berkecil hati dengan Firdaus.
"Kau tahu tak, aku ada jumpa gambar bos dalam purse dia masa dia pengsan pagi tadi. Eeee apa motif si Aina tu? Simpan gambar laki orang!"
Hati Rossa semakin membengkak. Dia dipanah cemburu yang bukan sedikit jumlahnya. Apa tujuannya Aina menyimpan gambar suaminya? Ehh Aina pengsan? Jangan-jangan itu ke sebabnya dia terserempak dengan Ainida tadi di hospital?
"Bila Aina pengsan?"
"Tadi. Lepas tu, Irish hantarlah dia ke hospital dan call family dia sekali. Lepas tu, aku tak tahulah apa jadi. Dan masa dia jatuh pengsan tu lah, aku nampak gambar suami kau dalam purse dia" Nani sudah melabuh duduk di sebelah Rossa.
Penerangan Nani menambahkan syak Rossa. Ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada Aina. Itu sebabnya Ainida menangis di dalam dakapannya tadi. Tapi apa ya?

SETELAH mendapat tahu hal sebenar daripada Nani, hati Firdaus diburu resah. Gara-gara terlalu sibuk dengan kerja yang melambak, dia terlupa hendak mengkhabarkan mengenai kehadiran Aina di tempat kerjanya. Dan itu, sudah cukup untuk membuat Rossa merajuk dengannya.
Firdaus mengeluh. Kalau Rossa sudah merajuk, tiada apa-apa yang dapat dilakukan apatah lagi saat ini mereka sedang berjauhan.Firdaus tidak ada cara lain selain kembali semula ke Malaysia sementelah Tuan Ihsan juga sudah balik dari bercuti. Dia harus menyelesaikan masalah dengan umi terlebih dahulu. Kemudian, barulah menyusul Rossa.
Pintu bilik terkuak. Wajah Yunus terpancul di situ. Derap kaki diatur mendekati Firdaus. Baru sekejap tadi dia menerima panggilan dari lelaki itu. Katanya ada yang hendak dibincangkan.
"I need to go back to Malaysia as something urgent comes up! You boleh handle sendiri kan projek kita kat sini? Lagipun, tak banyak benda yang terbengkalai. Dalam tempoh seminggu ni, dah macam-macam yang kita uruskan. So can I count on you regarding this matter?"
Yunus mengangguk laju. Lagilah dia suka. Sambil bekerja, dia juga dapat makan angin. Bukan selalu dapat peluang seperti ini. Ditambah lagi dengan fee yang percuma dan ditanggung 100% oleh syarikat! Hanya keperluan sendiri saja bukan dalam tanggungan syarikat. Kena keluar duit poket sendirilah gamaknya...
"Okay, thanks. Nanti ada apa-apa, you can just hit me on my email. I'll increase you bonus this time"
Yunus sudah teruja menerima berita tersebut. Bertambah suka hatinya mendengar berita baik itu.
"But, make sure you come back after all is done!" Firdaus mengingatkan.
"Berehh bohhh"

PAGI itu, Rossa tersedar lewat dari biasanya. Dia ketinggalan Subuh apabila jam sudah merangkak e angka 8 pagi. Kepalanya terasa berat. Perutnya tepu tiba-tiba. Tekak yang terasa loya segera dia urut dengan tangan. Tak berhasil, dia membawa diri ke bilik air lalu muntah di sinki. Entah kenapa, pagi itu perutnya terasa bisa, bagai dicucuk-cucuk di dalamnya. Tambah memeritkan apabila teringatkan cerita yang dibawa Nani semalam. Gara-gara kisah duka berselubung cemburu itu, Rossa bertindak mematikan telefon bimbitnya kerana tidak mahu dihubungi oleh Firdaus. Dia benar-benar rasa terpukul dengan tindakan Firdaus yang merahsiakan kehadiran Aina di situ.
Dia cemburu dan hatinya memberontak. Untuk saat ini, dia benar-benar penat menagih kejujuran dari suaminya. Sukar sangatkah hendak berterus-terang dengan dirinya? Mungkin dia marah, tetapi setidak-tidaknya dia tahu kebenaran tersebut dari mulut Firdaus sendiri. Bukan dari bibir Ainida mahupun Nani!
Rossa terduduk di lantai marmar itu. Merenung nasib diri ketika ini. Dia tidak pernah merasa bahagia yang kekalnya sampai hujung nyawa. Hanya sekerat jalan, kemudian rasa itu tercampak sendiri dari dalam hidupnya. Bermula dengan pertemuan dan kisah cintanya dengan Taufiq yang hanya mampu bertahan selama 3 tahun. Gara-gara tidak menjadi menantu pilihan mama lelaki itu, dia terpaksa mengundurkan diri dari hubungan mereka. Tempoh yang agak lama untuk dia meneruskan kehidupan seorang diri. Dia menyepi dsn menanggung rasa seorang diri sedangkan Taufiq sedang diulit bahagia dengan wanita pilihan mamanya. Bukan dia tidak mencemburui kebahagiaan Taufiq tetapi dia hanya merenung kembali kisah lama. Kemudian, Allah mempertemukan pula dia dengan arwah Bakri. Lelaki yang cukup serius dan berwajah bengis! Menyanjung tinggi ego dan sikap angkuhnya, tetapi lelaki itu juga sempat membahagiakan dirinya.Perkenalan mereka tak beranjur lama kerana Allah lebih menyayanginya. Melalui Bakri, dia dijodohkan dengan Firdaus. Tetapi dia ego dan pernah menyimpan benci pada lelaki itu. Dan Firdaus sedikit pun tidak pernah meninggalkan dirinya apatah lagi membenci dan menghukumnya. Dia saja yang sering mengelak dari jatuh cinta pada lelaki itu. Dan kini, apabila rasa itu mulai terbit, dia dihujani dengan terlalu banyak titik dugaan. Apakah itu namanya cinta? Sehingga ke detik ini, Rossa masih gagal mencari jawapannya.
Airmata yang bergenang mula merembes keluar. Ternyata, sakit rasanya jatuh cinta. Dia tidak kuat tetapi harus tetap bertahan untuk berjuang. Jika tidak, dia akan tersungkur di tengah jalan. Walaupun hatinya tetap rindu pada lelaki yang bergelar suaminya itu, tetapi dia tetap ego untuk menegur dan meluah rasa. Biarlah Firdaus sendiri yang mencari tahu puncanya. Dia sudah penat. Firdaus tak sudah-sudah membuatkan dia mengalir airmata.
Rossa berdiri menghadap sinki semula apabila tekaknya mula hendak menghambur isi. Dalam kepayahan itu, tangannya mula meraba-raba bahagian perutnya yang kini sudah berisi seorang khalifah Allah. Serentak itu, dia terbayangkan wajah Firdaus dan sentuhan lembut lelaki itu.
Dan bisa pada perut semakin kuat terasa!

"KAU yakin ke dia kat sana?"
Firdaus menarik luggagenya keluar dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Sempat matanya melirik sekeliling, kot-kot ternampak kelibat Nizam di situ. Setelah puas meneroka, akhirnya dia terlihat lambaian tangan Nizam dari jauh.
"Mana kau dapat maklumat tu?"
Nizam sudah terpacak di hadapan Firdaus. Dalam kesibukan menjawab panggilan telefon, Firdaus memberi isyarat tangan agar Nizam senyap dan memberi ruang untuknya.
Firdaus kemudiannya hanya menggumam. Kemudian, mengangguk kepala beberapa kali sebelum sempat dia hamburkan ketawa.
"Okay, thanks bro! Kita jumpa tempat biasa. Jangan lupa bawak benda yang aku nak tu"
Sesudah itu, panggilan ditamatkan. Telefon bimbit disimpan di dalam kocek seluarnya sebelum pandangannya bersatu dengan mata Nizam.
"Aku ingatkan lepas je balik dari Indonesia, business kau habis. Tak sangka pulak, stuck kat KLIA ni" seloroh Nizam diiringi tawa halusnya.
"Something urgent dude!" Itu saja jawapan Firdaus sambil melangkah ke parkir kereta. Nizam mengekori dari sebelah.
"Kau bercakap dengan siapa tadi?" tanya Nizam. Mereka sudah sampai di hadapan kereta. Bonet terbuka lantas Firdaus memasukkan luggagenya di situ.
"Zaid" Bonet kereta tertutup. "Ada hal sikit. Berkaitan umi"
"Ohh kes kau dengan Rossalah ni?"
"Yup. Lagi satu, isteri aku tu tau pasal Aina kerja kat company kita. Sampai sekarang dia merajuk dengan aku. Dia offkan handphone dia.Risau tak bertempat aku cari dia semalam. Haishh..." Firdaus sempat mengadu. Tubuhnya menyandar ke bonet. Mengenangkan kembali sikap keanak-anakan Rossa dan perangai endah tak endahnya itu, mahu makan hati juga dia! Tetapi yang buat hal itu isteri dia. Tak dapat nak marah lama-lama, hati dah separuh gila mencintai. Itulah sebabnya dia buat kerja gila dengan memberikan sepenuh kepercayaan kepada Yunus untuk mengendalikan projek di Indonesia.Biar dia hilang projek berjuta-juta sekalipun, kerana dalam berjuta-juta tersebut, tidak ada yang serupa Rossanya!
"Poor you!" Belakang Firdaus ditepuk-tepuk oleh Nizam perlahan. "Yang kau tak bagitahu Rossa pasal Aina tu kenapa? Tengoklah sekarang, dah jadi masalah!"
"Aku bukannya tak nak bagitahu. Tapi aku risau kalau Rossa tu kecik hati atau marahkan aku. Rossa tu kan kuat cemburu. Lagi-lagi dia pernah syak yang Aina tu sengaja nak goda aku. Aku ingat nak bagitahu dia lepas je balik dari Indonesia. Tak sangka pulak dia tahu lebih awal. Tu yang jadi masalahnya!"
"Sebab dia dengar dari mulut orang lain! Lainlah kalau dengar dari mulut kau sendiri. Sekurang-kurangnya, dia taklah marah sangat pada kau. Sekarang apa dah jadi? Benda macam ni, kau tak boleh nak tunda-tunda tau? Sebab tu sebagai seorang suami, kau kena faham hati dan perasaan isteri kau. Apa yang dia nak, apa yang dia tak suka, kalau kau tak faham semua tu, susahlah hubungan tu nak jalan" Nizam memberikan pesanan sebagai seorang adik ipar merangkap kawan baiknya!
Firdaus terdiam. Kata-kata Nizam dipersetujui dalam hati. Dia agak bebal dalam memahami isi hati Rossa. Kadangkala, isterinya itu terlalu gemar menyembunyikan rasa hati. Dan dalam hal ini, dia memang bersalah kerana menunda dari memberitahu kebenaran sebenar kepada Rossa. Nampak gayanya, hati Rossa yang sukar dipujuk itu terpaksa juga dia rebut kembali. Jika tidak, nayalah dia hendak menahan rasa lamanya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience