61

Romance Completed 28168

SETELAH makan malam, Rossa terus mengatur langkah ke bilik tidur. Dia tiada mood untuk terus berada di ruang makan, apatah lagi setelah berdepan dengan Firdaus. Ceria saja wajah itu berbual-bual dengan Datin Qasry dan Farah, seolah-olah tiada terdetik langsung rasa bersalahnya terhadap peristiwa siang tadi.
Ketika dalam perjalanan ke Vila Datin Qasry, Rossa juga hanya menyepikan diri dengan berpura-pura tidur. Padahal dalam hati sudah terdera maha hebat rasa gelojaknya tatkala teringatkan apa yang terjadi. Dia masih tidak mampu mengusir bayangan tersebut jauh dari fikiran. Sementelah Firdaus juga tidak bersuara apa-apa mengenai itu, masakan dia yang mahu memulakan. Sejak sampai ke rumah mama mertuanya, dia hanya menyapa mama dan Farah, serta si kecil Adriana. Namun tidak pula dia hendak menunjukkan kemesraannya kepada Firdaus. Dia perasan raut wajah Firdaus sedikit berubah namun dia malas hendak ambil peduli. Kerana yang sakit saat ini cuma dia!
Rossa tersentak tatkala bahunya dikucup oleh Firdaus. Dan saat bibir itu hinggap di lehernya, dia segera menepis kasar tubuh Firdaus yang sudah mula kebingungan.
"Rossa penat" Alasan yang sengaja dia cipta. Berbakul-bakul rasa sakit hati dan bencinya saat itu pada penipuan Firdaus.
Hati Firdaus merajuk dengan penolakan Rossa. Kalau hendak mengelak sekalipun, masakan harus dengan cara kasar seperti tadi? Dia sendiri tidak pernah memaksa Rossa untuk bersama. Dia akan faham jika Rossa berlembut dengannya.
"Penat kenapa ni? Sayang ada pergi mana-mana ke tadi?" Meski berkecil hati dengan sikap Rossa, namun dia tetap melembutkan suaranya.
Rossa mematungkan diri. Rasa bersalah pula kerana tidak memberitahu Firdaus kepermegiannya ke hospital siang tadi. Dia bukan sengaja, tetapi dia terlupa dek kerana cemas dengan berita yang disampaikan oleh Ainida.
"Takde" Ringkas sahaja jawapan Rossa. Mendatar dan penuh bersahaja.
"Habis tu, kenapa penat?"
"Penat dengan manusia kot"
Jawapan Rossa menyentakkan sekeping hati Firdaus. Jika Rossa sudah bersikap sebegitu, pasti ada yang tidak kena. Tetapi apa?Tambahan lagi, nada suaranya berbunyi semacam saja. Firdaus mulai bingung. Dan bertambah seriau...
"Kenapa ni sayang? Ada yang tak kena ke?"
"Entah"
Firdaus bungkam. Jawapan dari bibir Rossa hanya sekerat itu sahaja. Memang betul tekaannya. Rossa memang sedang menyembunyikan sesuatu.
"Sayang, kenapa ni? Cuba bagitau abang. Sayang macam ni, abang tahu ada yang tak kena ni"
Rossa terdiam. Hanya airmata yang merembes keluar membasahi pipi. Dia tidak mampu untuk bertanya kerana dia inginkan Firdaus sendiri yang berterus-terang dengannya.
"Takde apa! Orang penat jelah!" bentak Rossa dengan suara yang kasar.
Jiwa Firdaus mulai kacau-bilau. Apabila Rossa sudah mula berbahasa seperti itu, tahulah dia akan kemarahan isterinya.Sungguh dia mati akal untuk bertanya lagi. Rossa seperti memarahkan dirinya. Namun atas sebab apa, dia sendiri kurang pasti. Adakah kerana kedatangannya melawat Aina ke hospital? Tetapi tidak mungkin Rossa mengetahuinya kerana dia belum menceritakan apa-apa kepada isterinya. Atau mungkinkah Ainida yang memberitahu Rossa?
"Takpelah kalau macam tu. Sayang rehat jelah ye? Abang ada kerja sikit nak kena buat. Goodnight sayang" Dahi Rossa dikucupnya sekali sebelum langkahnya dibawa ke meja kerja. Dia harus faham keadaan Rossa yang berubah mood kerana pembawakan bayi. Semua itu juga kerana berpunca dari dirinya. Jadi dia harus mengalah dengan sikap Rossa.
Masih terkesan hangat kucupan mesra yang Firdaus berikan kepadanya sebentar tadi. Hampir saja hatinya layu pada belaian Firdaus namun dia tidak mahu beralah dengan egonya sendiri. Dia ingin hatinya tenang terlebih dahulu.

TERKOCOH-KOCOH Rossa berlari menuju ke bilik air sambil menekup mulut. Tekaknya terasa loya. Dimuntahkan segala isinya ke dalam mangkuk tandas. Diurut-urut dadanya sendiri.
"Nak pergi klinik tak?" Entah kapan Firdaus muncul dari arah belakang, laju saja tangan kasar itu mengusap-ngusap belakangnya.
Rossa membalas dengan gelengan kepala. Dia muntah lagi. Kepalanya berdenyut kuat. Dibiarkan saja perlakuan Firdaus ke atas dirinya.
"Teruk sangat ni. Kita pergi klinik ye?" Kasihan pula Firdaus melihat beban yang ditanggung oleh isterinya. Dia sebenarnya belum tidur sejak dari tadi. Terlalu fokus pada kerjanya yang diemelkan oleh Yunus dari Indonesia. Sehinggalah fokusnya terganggu apabila melihat Rossa berlari menuju ke bilik air. Sempat dia kerling jam di dinding. Sudah lalu 2 pagi. Bertambah risau dia apabila mendengar Rossa muntah-muntah.
Rossa tetap berdegil. Disanjung tinggi egonya yang tidak mahu kalah pada pujukan Firdaus. Dia masih mampu bertahan. Dia kuat.
"Janganlah degil macam ni! Abang risau tengok sayang muntah-muntah macam ni" Suara Firdaus kedengaran tegas. Rossa tak habis-habis dengan kedegilannya. Entah apa yang ditabik sangat pada sikap degilnya itu!
Rossa malas hendak ambil pusing. Setelah puas memuntahkan segala isi dalam perut, dia mencuci mulutnya. Kemudian, langkah kaki diatur menuju ke katil dengan bantuan Firdaus.
Rossa duduk di birai katil sementara Firdaus ke sisi meja kerjanya. Menuangkan air suam ke dalam gelas lalu kembali ke sisi Rossa. Gelas tadi diserahkan kepada isterinya.
Mahu tidak mahu, Rossa menyambut juga huluran Firdaus. Sudah memang tekaknya tiba-tiba haus, tidak mungkin dia mahu menahan diri pula.
"Nak abang urutkan kepala tak?" tanya Firdaus apabila melihat Rossa memicit-micit kepalanya.
Soalan Firdaus dibiarkan sepi. Walaupun hatinya ego, namun fikirannya seakan menginginkan belaian dari lelaki itu saat ini.
"Nak tidur" Mendatar saja suara Rossa. Wajahnya tiada langsung berperisa! Marahnya masih bersisa pada lelaki itu.Dia memanjat katil lalu berbaring di situ. Ditarik selimut sehingga ke paras dada dan matanya lantas terpejam.
Keluhan termuntah jua dari bibir Firdaus. Dia tidak sukakan situasi mereka dingin seperti itu. Dia inginkan isterinya yang dahulu, yang kerap kali membebel tetapi penuh manja. Dia rindukan Aleeyah Rossa!
"Abang rindu sayang. Kalau abang ada salah, sayang cakaplah. Abang tak tahu apa yang ada dalam fikiran dan hati sayang. Kalau sayang senyap je, sampai bila hubungan kita nak baik?" Firdaus separuh merayu.Mengharap benar belas kasihan dari Rossa.
Mendengarkan suara Firdaus, hati Rossa serba salah. Dia melancarkan perang dingin dengan suaminya sendiri. Dia menghukum Firdaus tanpa mendengar penjelasan dari suaminya. Tetapi hatinya terasa seperti dirobek tatkala teringat kembali penipuan Firdaus. Ditambah lagi dengan kemesraan Firdaus dan Aina tempoh hari, semakin terdera rasa hatinya. Walaupun Aina terbaring lesu di atas katil, tetapi Firdaus tidak pula menolak saat Aina menggenggam jari-jemarinya. Itu yang membuatkan hatinya rasa terkilan.
Melihatkan kesenyapan Rossa, Firdaus mengeluh berat. Hati Rossa benar-benar keras kali ini.Bingung dia memikirkan apa yang bermain di hati dan fikiran isterinya itu. Tidak mahu terlalu tertekan, Firdaus akhirnya memanjat katil dan berbaring di sisi Rossa. Laju saja tangannya memeluk tubuh Rossa dari arah belakang. Dan buat kesekian kalinya, bibir itu menuntun senyum saat tiada tanda protes dari sang isteri.

SETELAH Firdaus berangkat ke tempat kerja, barulah Rossa senyap-senyap keluar dari rumah. Sebentar tadi, dia sempat menghubungi Ainida untuk mengajaknya ketemu. Dia harus mencari tahu keadaan Aina yang sebenar-benarnya. Apatah lagi, dia juga sudah
terlanjur berjanji untuk menemui Ainida sebelum ini.
Setelah memesan minuman, Rossa menghantar punggung ke kerusi. Hatinya penuh sabar menanti kehadiran Ainida di situ. Mereka berjanji untuk bertemu di Warung Nasi Goreng Abang Hensem.
Satu sapaan salam membuatkan Rossa mendongak. Wajah Ainida yang tersenyum terbias di tubir mata.
"Sorry, kalau akak lambat" tutur Ainida seraya mengemas kedudukannya di hadapan Rossa.
"Ohh takpe. Rossa pun baru jugak sampai" Rossa membalas senyuman Ainida. "Akak nak order apa-apa dulu ke?"
Seorang pelayan datang menghampiri mereka. Ainida hanya memesan fresh orange dan roti bakar sahaja. Setelah pelayan berlalu, Ainida kembali fokus pada perjumpaannya dengan Rossa. Dia mulai berfikir untuk mengatur ayat yang sesuai untuk diungkapkan kepada Rossa. Risau tak habis hatinya seadainya sekeping hati Rossa tercalar gara-gara permintaannya.
"Rossa nampak berisi" Seraut wajah Rossa dijamah. Baru dia perasan akan perubahan wajah itu. Rossa tampak berisi dari sebelumnya.
Senyuman manis tersungging di bibir Rossa. Serentak itu, tangannya mengusap perut yang kandungannya baru berusia 3 bulan. "Alhamdulillah kak. Sihat"
Pelayan tadi datang membawa pesanan Ainida. Kemudian, berlalu dari situ setelah menerima ucapan terima kasih daripada Ainida.
Fresh orange dihirup dua kali. Segar tekaknya tatkala dibasahi dengan minuman tersebut.
"Aina sihat ke kak?"
Walaupun terasa perit hujung hatinya tatkala nama itu meniti di bibir, namun Rossa harus bijak mengawal perasaan. Dia tidak seharusnya cepat melatah.
Ainida mengeluh panjang. Apabila membabitkan hal Aina, hatinya mula bergendang hebat. Mampukah Rossa menunaikan hasrat hati Aina?
"Aina.. dia..."
Rossa mengerut dahi. Apa sesuatu yang sedang mengganggu buah fikiran gadis berusia sembilan tahun lebih tua daripadanya itu.
"Kenapa kak?" Jari-jemari Ainida digenggam.
Ainida menggigit bibir. Betul-betul hatinya rasa bersah dan tertekan saat itu. Semuanya seolah menjadi satu beban dalam hidup. Kasihankan Aina, namun hatinya lebih memihak kepada nasib Rossa.
"Aina ada kanser otak. Stage 4" Serentak itu, air matanya bergenang. Tidak tertahan rasanya menanggung semua kesakitan itu.
Berita yang dibawa oleh Ainida mengejutkan hati Rossa. Tidak disangka akan nasib yang menimpa diri Aina. Pantas saja gadis itu dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali. Melihat tangisan Ainida, bertambah pilu hati nalurinya. Tiba-tiba, dia merasa menyesal kerana pernah mencemburui Aina.
"Akak sedih. Akak tak tahu macam mana nak hadap semua ni. Akak sayangkan Aina sangat-sangat. Dia satu-satunya keluarga akak.Tapi kanser yang dia hidap dah ke tahap empat. Dah merebak ke seluruh tempat. Akak tak tahu betapa lama dia mampu bertahan" Segala rasa sakit dimuntahkan saat itu juga. Di hadapan Rossa, dia selesa meluah segala-galanya.
"Sabar kak. Allah menguji. Kita doakan semoga Aina tak apa-apa" Rossa meniupkan angin semangat kepada Ainida.
"Rossa..." Genggaman Rossa segera Ainida eratkan. Perkara ini tidak harus dibiarkan bertangguh.
"Ya kak?"
"Rossa sanggup tak tolong akak satu hal?"
"In Shaa Allah kak. Cakap je. Apa yang Rossa boleh bantu, Rossa akan bantu" Wajah mengharap Ainida dibalas dengan senyuman ikhlas.
"Permintaan dari Aina. Akak harap Rossa boleh tunaikan"
Hati Rossa mula berdebar hebat. Permintaan apa yang Aina inginkan? Segera dia berdoa yang baik-baik sahaja.
"Apa dia kak?"
"Aina nak kawen dengan Fir"
Demi mendengarkan itu, senyuman di wajah Rossa mati. Genggamannya semakin longgar dan mulai terpisah. Debaran kencang mulai berombak gila. Perkara yang Rossa takuti kini mulai menghantuinya. Wajah Firdaus dan Aina silih berganti bergentayangan di ruang udara. Dia tidak mahu berkongsi kasih dengan mana-mana wanita. Namun keadaan Aina mematahkan keegoannya, di tambah lagi dengan wajah sedih yang dipamerkan oleh Ainida.
Rossa panar! Dia menangis dalam hati. Dalam diam, tangannya mengusap lembut perutnya. Perasaan dan fikirannya mulai berperang, menuruti permintaan Aina dan dia kecundang. Atau mengabaikan hasrat Aina tetapi hati wanita itu pula yang terluka!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience