48

Romance Completed 28168

"CHE MON kan dah cakap, mana boleh bersama dulu? Hishh degil betul kamu berdua ni!" Wajah Rossa dan Firdaus ditilik silih berganti. Terkejut dia melihat ketiadaan Rossa di dalam biliknya. Tambah mengejutkan apabila Rossa dan Firdaus dilihatnya keluar dari bilik tidur bersama. Apatah lagi setelah dia perasankan ada kesan gigitan pada leher Rossa.
"Che Mon ni terlalu sangat mengikut adat lama-lama. Sekarang dunia kan dah moden, dah canggih. Lagipun Rossa kan tiga minggu lebih berpantang. Mana ada apa-apa" Firdaus separuh merungut. Memang adat lama tidak boleh diketepikan tetapi kita hidup berasaskan agama. Dia percaya itu.
"Kamu tu lelaki. Mana nak ambik tahu! Yang tanggung deritanya nanti isteri kamu. Hishhh...bertuah punya budak!"
Rossa dan Firdaus kemudiannya terdiam. Tidak berani hendak membantah atau mencelah.
"Kena tunggu seminggu lagi. Cun-cun, ngam-ngam sebulan. Lepas tu, kamu berdua nak lama-lama dalam bilik ke, tak nak keluar dari bilik ke, Che Mon tak kisah!"
Rossa diterpa rasa malu. Nampak sangat gelojohnya mereka melepaskan rindu di hati. Firdaus melepaskan keluhan. Mana dia boleh bersabar kalau berduaan dengan Rossa. Ada saja keinginan tersebut menjelma apatah lagi sudah lebih tiga minggu mereka tidak bersama. Dia terlalu menginginkan Rossa lebih dari apapun.
"Kena jugak ke tunggu lagi seminggu?" Air liur yang Firdaus telan terasa pahit. Hatinya sedikit kecewa mendengar berita itu.
"Yelah. Nak bagi keadaan Rossa tu pulih betul-betul dulu. Nak check sistem peranakan dia. Orang perempuan ni kalau lepas bersalin ke keguguran ke, kena sentiasa check sistem peranakan dia. Takut turun atau naik sikit, susah nak mengandung lagi. Sebab tu kamu sebagai suami, kena banyakkan bersabar!"
Firdaus mengeluh lagi. Jika itu memang yang terbaik untuk diri Rossa, juga untuknya, tiadalah guna dia membantah lagi. Diiyakan saja. Seminggu je, kena sabar sikitlah Fir!

MAYAT yang sudah membusuk dan dihinggapi lalat ditutupi dengan kanvas hitam. Keadaan mayat tidaklah seteruk seperti biasa. Cuma wajahnya membiru dan sudah berbau. Pakaiannya juga masih rapi dan kemas, seolah-olah tiada pergelutan yang berlaku. Zaid kalihkan wajah memandang sekeliling. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Hanya sebotol air mineral yang sudah kosong isinya terdampar di situ. Dia arahkan Erika menyimpan botol tersebut sebagai siasatan.
"Mayat akan kami hantar ke badan forensik" Mazlan yang berdiri di sisi Zaid bersuara.
"Mayat lelaki. Tapi.. ni Hamid kan? Lelaki buruan polis selama ni" ujar Zaid. Setelah mengenalpasti wajah tersebut, dia yakin itu adalah Hamid.
"Ya, itu Hamid. Kami jumpa identification card dia dalam wallet" Erika mengesahkan maklumat tersebut.
"Kenapa dia dibunuh?" Zaid tidak habis fikir. Sudah lama pasukannya mencari jejak Hamid. Kini, yang mereka temui memanglah Hamid tetapi sudah tidak bernyawa lagi!
"Kita akan dapat laporannya setelah pihak forensik membuat post-mortem" Mazlan menepuk bahu Zaid lembut.
"Keluarga dia?"
"Kami tak dapat jejak keluarga dia tuan. Dengar khabar, dia dah lama terpisah dari keluarga. Sebab keluarga dia tak boleh terima kerja yang dia buat" Maklumat tambahan yang sempat Erika kaji suatu masa dahulu ketika kes Hamid masih dalam siasatan Bakri.
Kepala Zaid terangguk-angguk. Setelah mayat Hamid diusung keluar oleh pihak forensik, wajah Erika dia tenung.
"Awak dah makan?"
Erika tersentak dengan pertanyaan Zaid, serentak itu dia gelengkan kepala.
"Jom" ajak Zaid.
"Jom ke mana tuan?"
"Jom, kita kawen" Erika merona merah dengan usikan Zaid. Hatinya berdebar. "Awak ni pun satu. Jom makanlah!" Zaid termalu sendiri dengan usikan tersebut. Namun dalam diam, dia berharap agar Erika memahami maksudnya yang tersurat.
"Aku kau tak ajak ke?"Mazlan tiba-tiba mencelah di antara mereka. Sempat juga dia mendengar perbualan Erika dan Zaid sebentar tadi.
"Jomlah sekali!" Zaid bernada kecewa. Fikirnya, dapatlah dia berduaan dengan gadis kacukan Serani itu. Tetapi apabila Mazlan mulai berkias, tidak sampai hati pula dia hendak menolak. Bimbang dianggap tidak profesional pulak!
Mereka beriringan menuju ke van polis. Erika mendahului di hadapan manakala Zaid dan Mazlan mengekori dari arah belakang.
"Aku dengar apa yang kau cakap tadi" sakat Mazlan.
"Apa?" Zaid bermalas-malas. Memang kaki penyibuk betullah si Mazlan ni! Nasib baik itu sepupu kalau tidak, dah lama dia tibai mulut si Mazlan tu!
"Jom kawen?" Mazlan mengulangi ayat Zaid sebentar tadi.
"Jangan sibuklah!" omel Zaid lantas mengatur langkah menghampiri Erika. Sebenarnya, dia saja nak cover malu dengan Mazlan. Takut-takut kena sakat sampai ke pagi, masakkk!
Mazlan mengekek lantas menyaingi langkah kedua mereka.

LANGKAH kaki Aina dipercepatkan. Dia sempat melihat bayang-bayang Firdaus di sebalik sebuah kedai makan.Setelah yakin itu adalah Firdaus, senyuman di wajah tersungging jua.
"Firdaus!" Aina memanggil dari kejauhan.
Firdaus dan Nizam segera menoleh. Terkejut besar Firdaus melihat kehadiran Aina di situ. Seboleh mungkin, dia cuba mengelak kerana tidak mahu ketahuan oleh Rossa.
"Err Aina" Dia memaniskan wajah.
"Hai! Rossa mana?" Aina tersengih. Teruja rasanya dapat berjumpa dengan Firdaus di situ. Bertanya mengenai Rossa hanyalah satu alasan agar tidak ketara sangat keterujaannya itu.
"Ohh dia ada. Kat rumah. Cuti. Sakit"
"Sakit? Rossa kenapa?" Yang ini, dia betul-betul memaksudkannya. Tidak berpura-pura. Pantas saja Rossa sudah jarang menghubunginya. Fikirnya, Rossa sudah tidak mahu berteman lagi setelah kejadian tempoh hari.
"Dia keguguran" sahut Firdaus pendek. Dia tidak mahu terlalu melayan Aina, risau gadis itu berlebih-lebihan.
Aina mengangguk perlahan. Terbit rasa kasihan dalam hatinya buat Rossa. Gara-gara diakah Rossa keguguran?
"Err kami dah lambat ni Aina. Ada meeting dengan client" Firdaus terpaksa berbohong padahal mereka baru saja selesai bermesyuarat sebentar tadi. Entah kenapa setiap kali berhadapan dengan Aina dia dapat merasakan aura yang kurang elok.
"Oh yeke? Baru je nak ajak awak lunch" Sebuah keluhan berbaur kekecewaan dipamerkan melalui riak wajahnya.
"Maybe next time" sahut Firdaus.
Wajah dan mata Aina bersinar-sinar. "Bila tu?"
"Err nanti saya tanya Rossa"
"Aaa yelah"
Firdaus dan Nizam pamit diri. Meloloskan diri di dalam kereta dengan helaan nafas lega, Nizam tertawa.
"Gelak kau ea?" Marah Firdaus.
"Macam mana tak gelak? Kau macam takut je dengan dia? Siapa dia tu?" Nizam sudah bersedia hendak memandu.
"Gila tak takut! Sebabkan dialah, Rossa masam muka dengan aku! Rossa kalau dah merajuk, payah nak pujuk bro! Jenuh bibir ni bercakap, memujuk, merayu..." Firdaus gelak dengan nasib diri. Tapi Rossa itu jugak yang dia tergila-gilakan. Haihh.. sayang punya pasal, Rossa merajuk masam muka pun tetap nampak cantik! "Dia tu Aina. Dulu sama-sama kena culik dengan Rossa. Dia rapat dengan Rossa sebab dia percayakan Rossa. Jenuh dah Zaid ulang-alik hospital semata-mata nak dapatkan keterangan dia, tapi dia enggan. Katanya, dia fobia nak berhadapan dengan lelaki. Tu pasal Zaid dah stop jumpa dia" Teringat Firdaus akan omelan Zaid beberapa minggu yang lepas. Menurut Zaid, Aina tidak mahu berjumpa dengannya kerana perasaan takut dan trauma di atas apa yang telah terjadi. Padahnya, Zaid mengambil keputusan untuk tidak mengganggu Aina lagi. Ada juga dia sarankan untuk meminta pertolongan daripada Rossa tetapi Firdaus sendiri yang menegah. Dia tidak mahu Rossa diganggu atau merasa tertekan dengan perkara sekeliling. Disebabkan itulah, Zaid sudah berhenti untuk mengambil tahu perihal Aina.
"Fobia dengan lelaki? Habis tu, yang tadi tu apa? Tergedik-gedik depan kau tu?" Tak faham pula Nizam dengan si Aina itu. Nak dikatakan fobia seperti yang didakwa oleh Firdaus, elok saja dia tengok Aina barusan. Sempat lagi terhegeh-hegeh macam tak pernah tengok Firdaus! Eee seriau pulak dia...
Firdaus senyap. Ya tak ya jugak! Ehh bingung pulak dia memikirkan itu.
"Kau kena extra hati-hati Fir! Kalau kau pernah gaduh dengan Rossa gara-gara dia, tu petanda tak baik! Boleh jadi Aina tu penyebab masalah dalam rumah tangga kau nanti"
Firdaus menelan liur. Kata-kata Nizam menempatkan dia di posisi yang sukar. Sukar untuk bernafas, sukar juga untuk tenang. Dia tidak pernah merisaukan apa-apa kecuali si comel Rossanya itu!

WAJAH yang tersenyum manis dipandang berkali-kali di hadapan cermin. Kemudian, dia membelai wajahnya sendiri sambil tertawa halus. Pertemuan dengan Firdaus menyemarakkan lagi rasa cinta di hati. Dadanya berombak dengan taufan cinta yang menggila terhadap lelaki itu. Jika tidak dikawal, bisa hilang kawalan hati dan dirinya.
Dia tahu, suatu kesalahan untuk mencintai suami orang. Apatah lagi Firdaus itu merupakan suami kepada kawannya sendiri. Tapi dia tidak mampu untuk terus menahan diri dari terjebak dalam godaan anasir jahat. Dia tidak berniat jahat kepada Rossa dan Firdaus, cuma hatinya terlalu kepingin untuk didampingi.
Setelah apa yang menimpa ke atas dirinya, dia tidak rasa ada mana-mana lelaki yang menginginkan dirinya. Tetapi setelah bertemu dengan Firdaus, dia dapat rasakan aura yang berbeza dari pembawakan lelaki itu. Sudah hampir sebulan dia menyepi dari mencari bayangan Firdaus dan selama tempoh itu juga, akal dan hatinya tidak pernah sebulu. Hmmm.. Kata hati memaksa dia melupakan Firdaus tetapi akal terus-menerus menghasut untuk berusaha memiliki lelaki itu. Justeru apa pilihan yang dia ada jika keduanya membawa dia ke dalam kemusnahan?

"SAYANGGGGG, abang dah balik!"
Jeritan Firdaus bergema satu rumah. Rossa menepuk dahi. Malu dengan sikap suami sendiri. Suaminya itu memang nak kena piat telinga! Che Mon ada ke, Che Mon takde ke, manja mengalahkan perempuan saja! Tu sebab tak habis-habis mereka kantoi dengan Che Mon. Tempoh hari, Rossa terpaksa menahan malu apabila Firdaus mengajaknya mandi bersama dan perkara itu diketahui oleh Che Mon. Selesai saja membersihkan diri, Che Mon sudah tersedia dengan mulut yang dipenuhi ceramah dan sindiran.Terpaksa juga Rossa tebalkan muka mengadap Che Mon keesokan harinya.
"Berangan aje kerja! Abang panggil tak dengar" Pinggang Rossa sudah dipaut mesra. Bahu Rossa dikucup. Rindunyaaaa...
"Hishh abang ni! Nanti Che Mon nampaklah! Pergi sana, Rossa belum mandi ni. Bau makanan dah ni haa" Rossa mengelak apabila bibir Firdaus singgah di pipinya. Dia baru saja selesai menggoreng ikan sardin dan berkira-kira hendak merempah sayur keladi masak lemak pula. Hari ini, dia mengambil alih tugas Che Mon kerana dia ingin memasak untuk Firdaus. Dibiarkan saja Che Mon merehatkan tubuh badannya.
"Waahh, bau makanan ye sayang? Sedaplah! Rasa macam nak kunyah-kunyah je" Tubuh Rossa dipusingkan menghadap wajahnya. Kemudian, bertalu-talu ciuman dia hadiahkan di pipi Rossa.
Rossa mengekek. Mengalah juga dengan perlakuan Firdaus. "Dahlah bang. Rossa nak masak ni"
Firdaus melepaskan tubuh Rossa. Dijenguk kepalanya ke dalam periuk. "Masak apa sayang?"
"Nak masak sayur keladi masak lemak. Tadi Rossa dah goreng ikan sardin. Kejap lagi kita makan ye? Abang mandilah dulu"
"Lepas Maghriblah sayang. Alang-alang dah jam ni. Che Mon mana?"
"Che Mon dalam bilik. Rossa suruh dia rehat je"
"Oo Che Mon dalam bilik ye? Line clearlah ni kan?" Wajah Firdaus sudah tersungging senyuman nakal. Dia merapati Rossa yang berdiri di sinki.
"Abang jangan nak mengada ea? Rossa tengah masak ni! Jangan kacau Rossa. Abang pergilah mandi sana" Rossa pusing badan menghadap suaminya. Terlalu dekat jarak mereka sehingga nafas keduanya bersatu.
Firdaus mengekek. Senang hati dengan sikap Rossa. Kepenatan sepanjang hari di pejabat terubat jua dengan menatap wajah comel itu.
"Okey, abang mandi dulu. Tadi dah Asar kat office. Kejap lagi Maghrib. Kita jemaah. Ajak Che Mon sekali. Love you" Dahi Rossa dikucup sebelum dia berlalu ke bilik tidurnya.
"Love you too" Rossa separuh menjerit.
Firdaus tertawa.

UMI ZA mendail nombor Rossa. Dia tidak boleh lama-lama menanti keputusan Rossa. Semakin Rossa berada di sisi Firdaus, semakin hatinya tak tenang. Rossa harus terus dipaksa agar pada akhirnya dia mengikuti juga telunjuk umi.
"Bila Rossa nak bermalam di rumah umi?"
"Nantilah dulu umi. Rossa ajak abang sekali" Lembut suara Rossa memujuk. Dia tahu, Umi Za tak sukakan Firdaus lagi!
"Umi tak jemput dia! Umi jemput Rossa. Jangan nak macam-macam bawak dia masuk rumah ni. Umi tak izinkan!"
"Umi!" Rossa sudah membentak. Terluka hatinya dengan kata-kata Umi Za. "Kenapa umi berubah macam ni? Tak terbukti lagi abang bersalah kan?"
"Bukti dah ada depan mata. Rossa nak kata apa lagi?Rossa kena ingat satu benda ye? Kalau Rossa tak ikut cakap umi, Rossa dah derhaka pada ibu sendiri. Umi nak Rossa balik rumah umi Ahad ni jugak! Kalau tak, umi sendiri yang jemput Rossa"
Panggilan dimatikan. Puas hatinya dapat mengugut Rossa seperti itu. Dia tidak bermaksud untuk menghancurkan rumah tangga Rossa tetapi dia tidak sanggup untuk terus berhadapan dengan Firdaus.Luka hatinya kembali bernanah tatkala terpandangkan seraut wajah Firdaus. Baginya, perkahwinan yang terjadi antara Rossa dan Firdaus adalah satu kesilapan besar di dalam hidupnya. Dan untuk itu, dia tidak mahu Rossa terus bersama dengan Firdaus!

ROSSA mengalirkan airmata. Sungguh keras sekeping hati umi. Teganya membiarkan dia hanyut dalam kesedihan..Tidakkah umi tahu bahawa setiap hari dia begitu sabar menanti kepulangan Firdaus dari pejabat? Rindunya tak pernah ada kata penghujung untuk lelaki itu. Kini, umi pula inginkan dia kembali ke rumah mereka. Bagaimana bisa dia terpisah jauh dari Firdaus?
Rossa mengesat airmata. Dia ingin berada bersama Firdaus malam itu. Dia ingin Firdaus menghibur hatinya yang duka lara. Dia tidak kisahkan Che Mon lagi. Biarlah Che Mon memarahinya, asalkan dia dapat tenang dalam pelukan Firdaus!
Rossa menapak keluar dari bilik dan terus ke bilik tidur Firdaus. Dia tahu suaminya masih lagi berjaga. Kerana lampu di bilik Firdaus masih kuning menyala. Ketukan di pintu bilik hanya sekali saja. Terpancul wajah Firdaus di hadapan mata. Kaget lelaki itu melihatnya.
"Sa.. sayang"
Dan Firdaus semakin kaget saat tubuhnya dipeluk Rossa.
"Rossa nak tidur dengan abang!"
"Pulak dah? Nanti Che Mon cari sayang"
"Abang tak nak tidur dengan Rossa ke?" Wajah Rossa sudah kelam. Matanya sudah basah dengan tangisan. Suaranya serak-serak basah.
"Mestilah nak!" Laju saja tangannya menarik Rossa ke dalam bilik sebelum pintu dikunci. Dibawa Rossa duduk di birai katil. Wajah itu ditenung. Selalu saja mata itu menangis! Dia bingung...
"Kenapa ni? Kenapa tiba-tiba menangis ni? Sayang selalu buat abang risau"
Rossa senyap. Haruskah dia menyatakan yang sebenarnya kepada Firdaus? Umi tak sukakan dia lagi dan umi mahu hubungan mereka putus! Bagaimana pula dengan perasaan Firdaus tatkala menerima berita itu? Kuatkah dia?
"Abang.."
"Ye sayang. Nak apa? Cakaplah.Abang dengar"
"Rossa nak abang. Rossa nak abang sorang" Rossa mengongoi dan merengek. Tubuh Firdaus dipeluk erat. Dia tidak mahu berpisah dari Firdaus. Dia cintakan Firdaus.
Firdaus kelu. Kelakuan Rossa malam itu sangat membingungkan hatinya. Selama ini, tidak pula Rossa membuat onar sebelum keguguran beberapa minggu yang lalu. Kesedihan apa yang sedang Rossa sembunyikan? Kenapa sukar sangat hendak berkongsi dengannya? Atau segala kesedihan itu sebenarnya ada kaitannya dengan dirinya? Dia ingin bertanya namun niatnya terbatal kerana Rossa sudah mula menggodanya dengan menghadiahkan kucupan di bibirnya.
Firdaus tergoda. Dan sekejap saja mereka sudah hanyut dalam asmara cinta..

JAM menunjukkan ke pukul 2 pagi. Rossa dan Firdaus tidak dapat melelapkan mata. Masing-masing masih terjaga tanpa seurat benang di badan. Hanya selimut yang membaluti tubuh mereka saat itu.
Tubuh Firdaus, Rossa peluk erat. Di situ, airmatanya tumpah lagi.Terkenangkan masa yang dia punya untuk bersama Firdaus, hatinya ditimpa hampa. Dia cuma bersisa tiga hari untuk menghabiskan masa berdua dengan Firdaus. Selepas itu, dia akan menuruti kehendak umi dan tidak tahu kapan akan bersama kembali dengan suaminya.
Rossa juga sudah berfikir sedalam-dalamnya. Dia harus mengikut rentak umi buat seketika bagi mendinginkan kepanasan hati umi. Setelah itu, dia akan mencari jalan untuk menyatukan kembali umi dan Firdaus.
"Sayang nak tidur sini terus? Tak nak balik ke bilik ke?"
"Amboii, dah dapat Rossa, terus halau ye? Jahatlah abang ni!" gerutu Rossa. Sedikit berkecil hati kerana Firdaus seolah tidak menginginkan dia di situ.
Firdaus mengekek. "Mana ada! Kalau boleh, tiap-tiap malam abang nak Rossa tidur dengan abang. Jenuhlah nak tunggu lagi empat hari! Tapi sayang ni yang tak sabar abang tengok. Pandai ye goda abang?"
Rossa ketawa juga. Dagu Firdaus dia kucup. "Pandailah.. Rossa nak baby. Abang tak nak ke?"
Suara Rossa yang syahdu dan agak manja itu menggetarkan jiwa lelaki Firdaus. Apatah lagi setelah Rossa menimbulkan isu anak, semakin terbuai rasa hatinya.
"Gila tak nak? Nanti anak-anak kita mesti comel. Sebab ikut mama dia" Hidung Rossa dicuit. "Tapi Rossa kan baru je keguguran. Abang tak kisah kalau kita lambat lagi nak dapat baby"
"Kalau dapat baby secepatnya, abang tak suka ke?"
Tersentak Firdaus mendengar kata-kata Rossa yang selamba itu. Geram pula dia dengan bibir mungil itu.
"Ehh apa Rossa ni! Kenapa cakap macam tu? Mestilah abang suka. Semua tu bergantung rezeki jugak sayang. Abang tak pernah menolak jika rezeki kita sampai secepatnya"
"Rossa tahu. Rossa main-main jelah" Pipi Firdaus dicuit.
"Mengada ye?"Hidung Rossa digigitnya manja.
"Abang..Rossa nak tanya"
"Apa dia?"
"Abang sayang Rossa tak?" Seketika, mereka diam bertentang mata. Ada terlalu banyak rasa dalam jiwa sedang dizahirkan melalui tautan mata.
"Sayang gila!"balas Firdaus serentak dengan tawanya.
Rossa mencuka. "Abang ni main-mainlah! Orang tanya betul-betul!"
Mulut Firdaus terdiam kemudiannya. Oops, angin Rossa sedang dilanda ribut taufan! "Mestilah abang sayang! Kalau tak sayang, takdenya kita kawen,pastu hampir-hampir nak jadi mama papa. Perasaan abang, takde siapa yang mampu baca. Tapi dalam setiap bacaan, hanya nama Rossa je abang simpan" Dahi Rossa tempat bibirnya singgah.
"Apa akan jadi kalau Rossa tinggalkan abang suatu hari nanti?"
Pertanyaan itu sungguh menyentakkan Firdaus.Wajah Rossa dikerling. Dalam tatapan itu, sedaya upaya matanya mencari maksud di sebalik kata-kata Rossa. Dia tidak mengerti, sungguh-sungguh tak memahami!
"Cakap apa Rossa ni? Dah jemu dengan abang ke?"
"Rossa cakap kalau je kan?" Dalam menahan sebak, Rossa dakap semula tubuh Firdaus. Lemah betul perasaannya saat itu. Seandainya Firdaus bisa memahami getaran jiwanya...
Firdaus mematungkan diri. Dia tidak punya jawapan itu kerana dia tidak mahu ditinggalkan Rossa! Untuk itu, pelbagai cara dilakukannya bagi memastikan Rossa sentiasa berada dalam hidupnya. Jika harus kehilangan Rossa, mampukah dia terus bertatih?
"Janganlah tinggalkan abang! Rossa tahu abang tak kuat kan?"Suaranya mengendur. Airmatanya hampir saja hendak memunculkan diri.
Rossa semakin tertekan. Esak tangisnya mula kedengaran dan semakin kuat.Dia tidak mampu menampung segala kesedihan ini seorang diri.
"Kenapa ni? Abang ada buat salah ke? Kenapa Rossa tak nak bagitau abang apa-apa? Kita kan dah janji, tak nak berahsia dan memendam rasa lagi"
Rossa angkat wajah. Dia sudah membuat keputusan untuk memberitahu segala-galanya kepada Firdaus. Biar jelas situasi dan perasaannya saat itu. Kerana dia tidak mahu kehilangan Firdaus, juga tidak mahu kehilangan umi!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience