74

Romance Completed 28168

ROSSA menghempas pintu bilik dengan kuat sekali. Tubuh dihenyak di atas katil. Dia menangis teresak-esak menghadapi semua ini. Wajahnya terbenam di atas bantal. Dia tidak percaya kalau Firdaus sekejam ini. Menuduhnya melulu tanpa seusul periksa. Kemudian, menjadikan dia seolah boneka mainan yang sesuka hati digerakkan.
Dia juga ada hati dan perasaan. Mungkin benar dia ada menyakiti hati Firdaus. Tetapi bukan dengan cara seperti ini dia dihukum. Diseksa zahir dan batin. Tempoh sebulan yang diberikan oleh Firdaus cukup melukakan jiwanya. Dia tidak mampu untuk bertahan walaupun sehari tetapi kerana ego tidak mahu mengalah, dia paksakan juga hati menerima perjanjian tak rasmi itu.
Namun dalam ketidakpaksaan tersebut, rupanya dia telah menoreh luka di hatinya sendiri. Sungguh, dia masih mencintai Firdaus. Bahkan, terlalu mencintai namun dia sendiri tidak sanggup untuk terus ditipu sebegini. Setiap keputusan dan fikiran Firdaus ternyata mampu mengorek lubang kesengsaraannya. Kenapa saat cinta hadir memekar, dia harus berhadapan dengan situasi ini? Dia nampak Firdaus di hadapan mata tetapi kenapa terasa jauh jarak di antara mereka? Dia lihat senyuman Firdaus tetapi di dalam seutai senyuman itu, tercalit kesan luka yang amat parah. Dia tahu kecemburuan Firdaus, namun kenapa seolah dia yang terluka? Dan dia sedar cinta Firdaus masih utuh untuknya tetapi mengapa terlalu sukar untuk dia rasai?
Rossa merintih. Dia ingin menjerit namun anak tekaknya seakan gagal berinteraksi dengan tubuh badan. Hatinya yang luka bertambah parah saat Firdaus memutuskan untuk mengahwini Aina dan melukai hatinya. Dan kemesraan yang mereka tunjukkan seakan mengundang cemburu di hatinya. Namun dia segera berfikiran waras. Firdaus kini bukan miliknya seorang. Tetapi milik Aina juga. Kenyataan yang pedih tetapi kenyataan tetap kenyataan.
"Bakkkk... saya perlukan awak!" Dalam tangisan, Rossa mengongoi nama Bakri. Matanya terpejam. Wajah dan senyuman Bakri mula bergentayangan di udara. Seandainya Bakri masih hidup, pasti jodohnya bersama lelaki itu. Dan sudah pastinya mereka diulit bahagia yang tiada penghujung.
Rossa mencelikkan semula matanya. Diusap air mata yang bergenang. "Awak tipu saya Bak! Awak cakap, Firdaus boleh bahagiakan saya!" Penumbuk digenggam. Kemudian, bantal yang menampung wajahnya ditumbuk sekuat hati.
"Awak tipu saya! Firdaus tipu saya!! Semua orang penipu di dunia ni!" Akhirnya, Rossa tenggelam dengan air mata. Sebak di hati tak tertahankan lagi.
"Awak akan rasa apa yang saya rasa suatu hari nanti!" Kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Fahmi suatu masa dulu bergema di cuping telinganya. Rossa tersentak. Inikah balasannya kerana menoreh luka di hati Fahmi? Tetapi dia tidak pernah cuba untuk mempermainkan perasaan Fahmi atau mana-mana lelaki. Justeru, kenapa semuanya berbolak-balik kepadanya?
Rossa sedih. Dan semakin menjerut rasa...

"AKU tak nak kau jumpa atau berhubungan dengan Rossa lagi!"
Suara serius Firdaus memecahkan kesunyian di antara mereka. Meskipun dia benci dengan tampang selamba Taufiq itu, namun dia harus berkeras agar Rossa tidak didekati oleh lelaki itu. Bekas kekasih, nampaknya masih punya aura dan perasaan yang kuat pada isterinya. Dia cemburu dan ralat. Tambah-tambah lagi, Taufiq memang bukan calang-calang orangnya. Seorang doktor dan mempunyai aset sendiri. Wajahnya juga tidak kurang hebatnya. Dia rasa tercabar.
"Kau tahu kan, dia isteri aku? Masih isteri aku!" Firdaus tekankan perkataan 'isteri' itu.
Taufiq tayang wajah bersahaja. Dia tersenyum sinis. Amaran berbaur ancaman daripada lelaki itu seakan tidak meninggalkan sebarang kesan ke atas dirinya.
"Dan sebagai seorang lelaki dan suami, aku betul-betul tak suka kalau kau rapat dengan isteri aku" sambung Firdaus lagi. Semakin hangat hatinya tatkala setiap bicaranya tidak direspon oleh Taufiq. Takde perasaan ke apa mamat ni?!
"Kau dengar tak apa aku cakap ni?" Baran Firdaus sudah sampai ke tahap maksima. Kesenyapan Taufiq seperti mengejek dirinya sahaja. Matanya mencerlung tajam ke arah wajah itu.
"Aku tak pekak lagi" sahut Taufiq setelah agak lama mendiamkan diri. Dia berpeluk tubuh sambil mendongak kepala memandang bintang di langit.
"Dulu, aku suka kira bintang. Dengan Rossa" Wajah Taufiq tersenyum saat mengingat kenangan mereka. Firdaus bermasam muka. Terbakar hatinya mendengar cerita Taufiq. Walau hanya sependek itu, namun dia tahu maksud itu sangat mendalam.
"Dia selalu bagitau aku, yang dia harap hidup dia akan indah dan bersinar macam bintang-bintang kat atas tu. Lama aku kenal dia, dia tak pernah sedih. Dan dia selalu ceriakan aku"
Firdaus membisu. Cerita Taufiq seolah memberi bayangan akan sesuatu. Gelojak di hati kian surut. Kini, dia hanya menjadi pendengar setia.
"Tapi semuanya berubah sekelip mata. Kau tahu, pada hari Rossa cakap macam tu pada aku, itu merupakan hari terakhir kami bersama. Sebab pada hari tu jugak aku putuskan hubungan dengan dia. Gara-gara mama aku yang tak restu hubungan kami. Aku ingatkan dia boleh tetap ceria tanpa aku. Tapi aku silap. Rupanya selama tempoh tu, dia tak mampu nak gembira. Semuanya sebab aku. Aku dah kecewakan hati dia. Aku dah patahkan semangat dia"
Keadaan kembali sunyi. Taufiq cuba untuk bertenang. Dia tidak pernah terfikir untuk bercerita semua ini kepada Firdaus. Namun Firdaus harus mengerti kesakitan yang pernah dialami oleh Rossa agar dia tidak akan mengulanginya lagi. Namun jika Firdaus memilih untuk terus menyeksa zahir dan batin Rossa, berpisah adalah jalan terbaik kerana masih ada dia yang sedia menemani.
"Kau cakap, kau cintakan dia. Kau cakap, kau suami dia. Tapi pernah ke kau faham dia? Faham kehendak dia? Kalau betul kau seorang lelaki dan seorang suami, kau patut faham isteri kau luar dan dalam. Sebab takde seorang pun yang kat dunia ni akan kita melainkan pasangan kita sendiri. Kalau kau rasa yang Rossa sepatutnya lebih faham kau, cuba kau duduk dan berfikir sekejap. Sebagai seorang suami, apa dah kau bagi dia?"
Bungkam seketika Firdaus. Kali ini, Taufiq berjaya mematahkan hujah-hujahnya sebentar tadi. Wajahnya kembali tenang tetapi riak ketat itu tetap terserlah.
"Aku cuma nak ingatkan kau satu benda je" Wajah Firdaus ditatap oleh Taufiq. "Sebagai seorang lelaki, aku masih menginginkan Rossa. Dan untuk menjadi suami, aku mahukan Rossa sebagai pendamping aku.Kalau kau tak mampu nak bahagiakan dia, lepaskan saja dia. Sebab Rossa lebih berhak bersama dengan orang yang cintakan dia dan faham kehendak dia. If you make any mistake by chance, I'll snatch her away from you!"
Lidah Firdaus kelu.

MATANYA sukar untuk dipejamkan. Kata-kata Taufiq masih terngiang-ngiang di telinganya. Sejujurnya, dia memang rasa tercabar dengan pengakuan itu. Namun apa yang diperkatakan oleh Taufiq masuk akal juga. Layakkah dia bergelar suami jika terus-terusan menyakiti hati Rossa? Dan tegakah dia melepaskan Rossa ke tangan lelaki lain?
Deruan nafas Aina yang sedang nyenyak tidur di sisi dipandang seketika. Wajah polos itu kelihatan tenang saja dalam lenanya. Entah kenapa, jiwanya terasa damai dalam diam. Rambut Aina dikuak ke atas. Dia rasa berdosa kerana menjadikan Aina sebagai alat untuk menyakiti hati Rossa. Satu-satunya alasan dia mengahwini Aina adalah kerana ingin membuat Rossa cemburu dan juga sebagai pengajaran agar Rossa mampu untuk lebih menghargainya. Fikirnya, apabila
niatnya disuarakan untuk mengahwini Aina, Rossa akan menentang sehabis-habisan dan beralah dengan kembali kepadanya. Namun dia silap. Rossa bahkan tidak pernah mempedulikan semua itu. Dia bagaikan pengemis yang sentiasa mengemis kasih sayang dan perhatian Rossa. Betapa kerasnya hati Rossa sehinggakan kasih sayangnya tidak mampu mencairkan hati itu. Dia masih cintakan Rossa. Dan perasaan itu tidak akan pernah pudar walau dimamah usia sekalipun. Diakah yang sebetulnya tidak pernah memahami apa yang Rossa inginkan?
Lamunan Firdaus berderai tatkala tangan Aina memeluk erat pinggangnya. "Abangggg..." Aina merengek dengan mata yang masih terpejam.
"Hmmm?" Firdaus menelan liur dengan suara serak-serak basah Aina. Apatah lagi setelah sebahagian dadanya terdedah.
"Aina nak abang.." ujar Aina setelah mencelikkan mata. Dia tersenyum menggoda dan mendekati wajah Firdaus. Baru saja bibirnya hendak menindih bibir Firdaus, tubuhnya ditolak lembut ke sisi. Aina merengus dalam diam. Hatinya membentak. Dia ingin disentuh oleh Firdaus. Selama tempoh perkahwinan mereka, tidak pernah sekalipun lelaki itu menyentuhnya. Apalagi meluah hasrat untuk bersamanya. Semua ni mesti sebab perempuan tak guna tu! Huhh! Cemuh Aina dalam hati.
Firdaus sudah duduk di sisi katil. Rambutnya dirapikan. Dia mendengus beberapa kali. Sungguh, dia tidak mampu untuk menyentuh wanita lain selain Rossa. Meskipun Aina sudah halal untuknya, tetapi dia tetap merasakan dia hanya akan mengkhianati Rossa jika bersama wanita lain.
"Abang..." Bahu Firdaus disentuh.
"Saya nak keluar kejap. Ambik angin. Aina tidurlah dulu. Tak payah tunggu saya" Firdaus berlalu setelah memberikan kucupan hangat di dahi Aina.
Aina menggigit bibir. Dia menggenggam penumbuk. Sebal hatinya ditinggalkan seperti itu oleh suami sendiri. Langkah kaki Firdaus dihantar dengan pandangan mata sahaja.
"Heihhhh!! Menyampah betul!"

PERLAHAN-LAHAN, pintu bilik Rossa dibuka. Laju saja derap kakinya melangkah masuk sesudah pintu ditutup semula.
Pandangannya agak gelap kerana lampu bilik Rossa sudah ditutup. Pergerakannya agak terbatas. Oleh itu, dia memperlahankan langkah agar tidak tersadung dan risau jika membantutkan lena Rossa.
Firdaus duduk perlahan-lahan di sisi katil. Wajah lembut Rossa ditatap. Rindunya!! Dia mengelus lembut pipi Rossa. Saat itu, dia perasankan kesan air mata pada pipi gebu itu. Rossa menangis lagi. Dan semuanya gara-gara dia! Betul kata Taufiq. Rossa lebih layak untuk orang lain.
Tangan Rossa bergerak-gerak seakan mencuba untuk menggapai sesuatu. Dahi Firdaus berkerut. Digapainya tangan Rossa dalam awangan. Namun tangan Rossa buat hal lain pula. Ditumbuk-tumbuknya tangan Firdaus dalam tak sedar. Firdaus hampir tergelak. Namun ditahan saja tawanya.
"Penipu! Abang penipu!"
Dan senyuman Firdaus mati tatkala bibir Rossa mengucapkan itu. Rossa sedang mengamok di dalam lena.
"Tskk.. tskk..." Kali ini, Rossa tersedu-sedan pula. Semakin bersalah Firdaus dibuatnya. Dia duduk di atas katil lalu menarik tubuh Rossa dalam pelukan.
"Maafkan abang. Maafkan abang. Abang dah berdosa pada sayang" Firdaus dihambat pilu. Tangisannya bersilih ganti dengan tangisan Rossa.Tubuh Rossa dipeluk erat. Dapat dia rasakan tubuh itu semakin mengecil dari sebelumnya.
"Tssk...tssk..." Rossa semakin kuat teresak-esak. Dan Firdaus sudah menangis dalam pelukan. Dapat dia rasakan Rossa seakan membalas pelukannya.
Aina sempat menguping. Setelah Firdaus berlalu, lama dia menunggu lelaki itu untuk kembali semula ke bilik tidur. Namun hampir 20minit berlalu, bayangan Firdaus tidak menjengah. Hati Aina mula dipagut kerisauan. Oleh itu, dia menjenguk ke luar bagi mencari tahu keberadaan suaminya. Sangkanya, Firdaus mungkin tertidur di atas sofa. Tetapi lain pula yang terjadi. Suaminya itu membawa diri ke bilik Rossa. Dan dia, betul-betul sedang sakit hati!

ROSSA tersedar dari tidur. Terasa ada objek berat sedang menindih perutnya. Saat matanya terbuka luas, dia terkejut dengan kehadiran Firdaus di situ. Lelaki itu sedang lena sambil berbaring di atas perutnya. Dahi Rossa berkerut. Apa dia buat kat sini?
"A..awak.. bangunlah" Tubuh Firdaus digoncang. Tiada respon. Rossa mencuba lagi, namun kali ini dengan lebih kencang.
"Firdaus, bangunlah! Saya tak boleh nak angkatlah. Kepala awak ni dahlah berat sangat. Hishhh!" rungut Rossa sambil mengalih kepala Firdaus ke tilam.
"Bisinglah! Orang nak tidur pun tak boleh" gerutu Firdaus pula sambil meletakkan kepalanya di atas dada Rossa. Mencerlung Rossa dengan kelakuan spontan Firdaus itu.
"Awak buat apa ni! Awak dah lupa ke dengan janji awak? Jangan sentuh sayalah!" Rossa menolak tubuh Firdaus yang semakin erat memeluknya.
Mendengarkan itu, perlakuan Firdaus terhenti. Matanya terbuka luas. Suara keras Rossa menyinggung perasaannya. Dia hampir lupa pada perjanjian sebulan mereka.
"Tolonglah awak..." Suara Rossa semakin bergetar. Firdaus mendongak kepala. Wajah Rossa diamati. Ada mutiara halus mulai membanjiri pipi gebu itu.
"Jangan buat saya macam ni. Awak yang tak nak saya, lepas tu awak buat saya macam ni pulak. Saya bukan barang mainan awak. Dan saya tak nak jadi pun barang mainan tu. Kalau awak dah berniat nak lepaskan saya, tolonglah jangan layan saya macam ni. Saya terseksa" adu Rossa sambil mengesat air matanya. Biarlah jika Firdaus nampak kelemahan dia. Biarlah jika egonya menurun kali ini. Kerana itu yang dia rasakan saat ini.
"Rossa tak pernah pun jadi barang mainan abang. Abang nak sangat kita balik macam dulu. Abang rindu Rossa yang dulu" Giliran Firdaus pula meluahkan perasaan. Sebak juga rasa hatinya.
"Saya nak mandi" Rossa menukar topik perbualan. Sungguh pun hatinya terkesan dengan pengakuan Firdaus, namun dia tidak boleh terlalu berangan-angan. Firdaus akan berpisah darinya tidak lama lagi. Dia tidak mahu mengisi kenangan mereka dengan masa yang ada. Cukup sudah kenangan mereka yang akan dia simpan sampai bila-bila. Kali ini, dia harus terbiasa tanpa Firdaus!
Firdaus mengangkat tubuh, menjauh sedikit dari Rossa. Dia kecewa dengan sikap Rossa. Namun dia faham semuanya berpunca dari dirinya sendiri. Hubungan mereka sudah keruh, bahkan tiada tanda-tanda akan pulih. Dia tahu, dia akan kehilangan Rossa selepas ini. Kuat atau tidak, dia tidak mampu menebaknya!
Firdaus menghantar langkah Rossa ke bilik air dengan sorotan mata. Saat Rossa menghilang, ruang dan keadaan menjadi sempit dan sunyi. Seperti itulah kehidupannya selepas ini. Sunyi. Sepi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience