SUDAH beberapa hari ini, Firdaus tetap setia menemani Rossa di sisi. Apabila Rossa sudah 'dating' dengan novelnya, Firdaus hanya menjadi patung cendana di situ. Menunggu sehingga Rossa menghabiskan pembacaan. Kemudian, mereka akan berborak dan mulai berkongsi rahsia. Dan sungguh, dalam diam Rossa sudah mampu menerima kehadiran Firdaus. Dia selesa dengan lelaki itu.
"Kenapa saya tak pernah tahu apa-apa pasal diri awak?" tanya Rossa sesudah selesai membaca novel. Wajah Firdaus ditatap. Novel dia tolak tepi.
Firdaus sedang bermain dengan lalang yang seolah seronok ditiup angin. Sesekali dia tergelak kecil melihat lalang itu melentok-lentok ditiup sang angin.
"You never asked!"
"Bagitaulah saya!"
"Pasal apa?"
"Diri awak?"
Firdaus menyepi. Matanya masih lekap pada lalang tersebut. Apabila angin bertiup, ia melentok-lentok ke kiri dan ke kanan. Tetapi apabila sang angin diamkan diri, dia juga turut memencilkan diri, seolah terasa seperti dipulaukan. Pun begitu, lalang tersebut tetap menikmati keadaan sekelilingnya.
"Fir!!" Rossa sudah naik geram. Dia ingin merebut lalang tersebut dari tangan Firdaus. Tetapi lelaki itu lebih tangkas. Usaha Rossa gagal.
"Saya macam lalang ni!" Firdaus perhatikan lalang tersebut.
Rossa mencebik. Orang serius, dia buat main pulak! Sudahnya, dia hanya memeluk tubuh sambil mendengar saja falsafah terbaru lelaki tersebut. Tetapi kali ini dia gunakan lalang pula sebagai frasa!
"Awak tengok lalang ni. Kalau angin bertiup, dia melentok-lentok kan? Seolah dia happy je bila angin tiup dia" Firdaus menyimpul senyum kecil. "Kalau awak boleh faham perasaan novel, saya pulak boleh faham bahasa lalang!"
Rossa buat muka. "Tak lawak okey?"
Firdaus ketawa. Wajah gadis itu tampak bersahaja tetapi tetap kelihatan comel. Lawaknya tak menjadi. Okey, takpe!
"Awak tengok lalang ni. Kalau angin tak bertiup, dia pun diam tak bergerak. Seolah-olah dia terasa sunyi dan diabaikan. Pastu, dia menari semula bila angin kembali kencang. Tapi kan, tak kira dalam keadaan apa sekalipun, dia tetap berusaha nak tegakkan diri. Tak pernah lagi kita tengok lalang ni jatuh ke tanah walaupun ada hujan. Dia tetap berdiri kan?"
Okey, aku tak faham! Tapi maksud yang sungguh mendalam. Rossa tayang senyum manis. Sejak mengenali Firdaus, dia mampu lihat lelaki itu sentiasa ceria, seolah tak pernah ditimpa masalah! Kata-kata dan pandangannya mengenai kehidupan seakan berpusat kepada diri sendiri. Seboleh-bolehnya, Firdaus cuba untuk membuktikan yang dia kuat di hadapan Rossa. Tetapi kuatkah dia?
"Saya ada 3 adik-beradik. Saya anak sulung. Dua adik perempuan. Yang nombor dua dah kawen. Ada seorang anak. Yang bongsu tu masih belajar lagi. Maksud saya, nak sambung pelajaran. Mama uruskan bisnes papa sebab papa dah takde"
"Awak? Kerja apa?" sampuk Rossa, serius.
"Saya?" Firdaus tergelak. " Kerja saya, kacau seorang minah ni. Dia suka duduk kat taman sambil baca novel" Sambungnya lagi. "Nama dia Mawar" Firdaus mengerdipkan mata.
Rossa berdecit. Hampehh! Orang tanya betul-betul, dia main-main pulak! Mawar??
"Awak tak kerja ke?" Serius. Nada dan riak wajahnya. Tampang Firdaus terus-terusan dijamah.
Firdaus terdiam lagi. Untuk soalan yang satu itu, dia tidak mampu hendak menjawabnya. Bimbang keselamatan Rossa menjadi taruhan. Lagipula, rahsia yang satu itu harus tetap aman disimpan.
"Macam mana dengan kes awak hari tu? Yang nak kena jodoh tu?" Firdaus segera menukar topik perbualan. Jika terlalu lama mendiamkan diri, risau pula Rossa mampu menjeratnya dengan pelbagai soalan.
"Tak settle lagilah! Saya tak jumpa Hafizi, tapi terjumpa pulak dengan abang dia! Huhhh!"
Mimik muka mencerut Rossa itu menarik perhatian Firdaus. Rossa kalau sudah pamer wajah begitu, memang ada sesuatu yang tidak dia kenankan.
"Abang dia tu psikiklah!" adu Rossa.
Firdaus tersenyum kelat. Betul tekaannya. Ada sesuatu yang Rossa tidak puas hati. Dia hanya membatukan diri, menanti bicara selanjutnya dari gadis manis itu.
"Lepas tu, dia penuh misteri. Dahlah wajah bengis! Serius semacam" tambah Rossa lagi. Saat itu, dia terbayangkan wajah serius Bakri sedang mencerlungnya tajam. Rossa telan liur. Eee! Pergi jauh!!
Firdaus pecah tawa juga akhirnya. Rossa kalau sudah bercerita, pasti mimik mukanya turut serta sekali.
"Apasal?" soal Rossa tidak puas hati.
"Takde apa. So kesimpulannya, awak ni tangkap cintan dengan abang dia lah? Bukan dengan si Hafizi tu?" tebak Firdaus. Tatkala mendengarkan nama Hafizi, telinganya seolah mengenali nama tersebut. Tapi dia malas hendak ambil pusing.
Rossa sudah buat aksi loya. "Eee tolong sikit! Tak kuasa tau?!"
"Kuasa apa? Dengan kuasa bulan, akan menghukummu!" Firdaus sempat berseloroh. Terasa cubitan kecil di lengan, dia mengaduh perlahan. Rossa sudah keluarkan sepit ketam itu. Alamatnya, dia terpaksa mengalah!
"Main-main!" omel Rossa. Tetapi senang pula dengan gelagat Firdaus.
"Saya tak jumpa lagilah Hafizi. Kalau boleh, saya nak settlekan semuanya cepat-cepat. Saya nak berterus-terang dengan dia yang saya tak nak kawen dengan dia. Macam yang awak cakap. Hati ni kita yang punya, tapi Allah yang pegang. Jadi mungkin Allah bolak-balikkan hati saya untuk terima Hafizi"
"Tak menyesal ke?" duga Firdaus pula. Seketul Rossa ini, kalau berbicara soal hati dan perasaan, mampu melemahkan hujah-hujahnya.
"Tak!" Laju sahaja respon Rossa. Untuk apa dia menyesal? Itu keputusan yang sudah puas dia fikirkan. Allah Maha Mengetahui. "Saya yakin dengan keputusan saya. Saya dapat rasakan.." Rossa simpan tangan di atas dada. "Yang Hafizi bukan orang yang akan buat saya rimas kalau tak jumpa dia satu hari!" Padu tetapi tegas.
Firdaus kaget. Dia faham maksud Rossa. "Maknanya awak tak jatuh cinta dengan dialah? Kan tak jumpa dia lagi? Macam mana boleh tahu hati suka atau tak?"
"Saya taulah.. Sebab ni hati saya"
Firdaus mencebirkan bibir. "Aikkk, dari pembaca novel, sekarang bertukar profession ke ahli nujum pulak?"
Rossa tergelak. Sebuah cubitan hinggap lagi di lengan Firdaus. "Aduhhhh! Sakitlah! Selalu main cubit-cubit ni!"
Firdaus mulai geram. Tangan Rossa tidak pernah pandai duduk diam. Lantas, dicuit hidung mancung milik Rossa sambil tergelak.
Rossa terkesima. Hati sudah bercempera lari. Perlakuan spontan Firdaus mengusik hatinya yang tidak mahu duduk diam sedari tadi. Hati, teguh-teguh saja kau di koordinat waras!
Firdaus tersentap. Dia tiba-tiba jadi malu. Bagaikan terkena kejutan elektrik, dia kaku tiba-tiba. Risau seandainya Rossa memarahinya dek kerana perlakuannya itu. Tetapi dia lebih risaukan keadaan hatinya yang seakan sudah mulai goyah saat ini. Tiba-tiba sahaja, dia mendengar bunyi biola tanpa dipinta. Satu geselan biola di kanan, juga di kiri. Muziknya pula beralun indah. Firdaus merona merah. Hati, apa sudah jadi?!
"Err.. saya.. sa.. ya.. nak.. balik" Gugup! Rossa sempat mengetap bibir. Tubuh Firdaus yang mendekat segera ditolak. Kelam-kabut dia mengemaskan barang-barangnya.
Firdaus segera menegak apabila dilihatnya Rossa hendak melipat tikar merah tersebut. Dia hanya memerhati perlakuan Rossa yang agak tak keruan itu. Kemudian, tanpa sepatah bicara, dia ditinggalkan oleh Rossa di situ! Hati, jangan kau buat hal sudah!!
SEBUAH nota kecil dikerling sejenak. Dia menyimpul senyum. Inilah padahnya apabila terlalu memikirkan kerja sehingga dia lupa pada tarikh penting itu. Tetapi dia punya penyelamat. Hafizi yang selalu bertindak sebagai penasihat utama merangkap setiausaha tak bergaji itu sering mengingatinya jika ada terkait apa-apa hal penting.
Sudah hari kelima ini dia menghabiskan masa dan menginap di pejabat. Meneliti dan mencari solusi berkenaan kes Hamid. Sudah sampai ke tahap ini mereka masih belum mampu untuk mencari kesudahan di sebalik cerita itu.
Bakri mengeluh juga akhirnya. Tulang belakang terasa sengal. Lama tidak bermanja dengan tilam empuk di banglo kerana selama ini tubuhnya hanya meminjam keselesaan sofa berbentuk L itu. Arghhhh! Dia mengeliat. Sempat menguap lalu menggenyeh mata. Kalau tidak kerana tuntutan kerja, pasti dia sudah melelapkan diri saat ini.
Deringan telefon menjerit minta diangkat. Bakri memandang screen. Terpancul nama Hafizi di situ.
"Hmmm" Dia hanya menggumam lemah. Untuk berbicara juga dirasakannya sudah tidak larat. Seluruh kudrat dicurahkan habis ke atas kes itu.
"Kau tak balik ke?" tanya Hafizi di hujung talian.
Bakri memicit dahi. "Balik" Sepatah, tetapi bernada serius.
"Dah lupa hari ni hari apa?" Suara Hafizi sedikit mengendur. Lain bena tona suara Bakri di pendengarannya itu. Barangkali, dia penat!
"Ingat. Dah kau tempek nota kecik kat atas meja kerja aku, hari-hari aku tengok, mana tak ingatnya?"
Hafizi tergelak di hujung talian. Sejak mengendalikan kes Hamid, dia faham akan kelupaan Bakri. Kesibukannya terhadap kerja lebih meninggi jika dibandingkan dengan tuntutan menjaga kesihatan. Maka setiap hari dia akan menelefon abangnya dan mengingatkan diri untuk menjaga kesihatan sendiri. Dan seperti biasa, Bakri hanya akan menjawab sepatah, iya, okey! Itu sahaja ayatnya seolah-olah di dunia ini sudah kehilangan kata-kata.
"Kau tu kalau aku tak buat macam tu, sampai bila pun tak tahu! Entah-entah jalan nak balik rumah pun kau dah lupa long!" rungut Hafizi lagi.
"Membebel aje kerja kau! Jap lagi aku balik. Tapi sebelum balik, aku singgah kedai kejap. Cari apa-apa hadiah untuk mama malam nanti. See you" Talian dimatikan. Malas hendak bertekak dengan Hafizi, tak ubah seperti mama lagaknya!
Zaid menghampiri meja kerja Bakri. "Fail yang kau minta"
Fail tersebut bertukar tangan. "Thanks. Kita mesyuarat esok. Baliklah. Guna tenaga tu untuk esok"
Bakri menggaru kepalanya. Dia juga ingin pulang untuk menghadiri majlis hari jadi mama. Setelah itu, masa yang ada akan digunakan untuk berehat sepuas-puasnya sebelum esok menjelang tiba. Terbayang-bayang di matanya akan pancuran air untuk membersihkan rambut yang rasanya banyak kelemumur. Maklum sajalah, semasa proses menghendap, semuanya dilakukan dalam tergesa-gesa.
Zaid mengangguk. Sudah lama menantikan arahan tersebut daripada ketuanya yang satu itu. Dia sudah bermimpikan tilam, bantal, katil yang empuk. Arghhh! Tidak sabar hendak pulang!
"Nanti aku kunci pintu" kata Bakri.
"Kau tak balik ke?" Zaid sudah menguap.
"Jap lagi. Dah kemas-kemas semua ni, aku baliklah" sahut Bakri. Laju saja tangannya menari-nari di atas papan kekunci komputer.
Zaid mengangguk lagi. Kudrat sudah hilang hendak menjawab. Langkah kaki dia atur dan sekelip mata saja, bayangannya hilang di sebalik pintu pejabat Bakri.
Setelah keadaan kembali senyap, Bakri kembali fokus ke arah fail kuning itu. Sejak akhir-akhir ini, dia selalu menerima laporan dan maklumat daripada seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai Qim. Pada mulanya, dia tidak mahu melayan maklumat tersebut. Tetapi apabila penyiasatan dibuat ke atas maklumat yang diterima, dia tahu Qim memang boleh dipercayai. Dan kini, selain mengikuti perkembangan daripada Qim, dia dan pasukannya juga berkerah untuk menyelesaikan kes ini.
Bakri menggumam. Otaknya terlalu padat dengan banyak perkara semenjak dua menjak ini. Mana nak selesaikan kes Hamid lagi, dengan kes jiwa Hafizi yang tak pernah surut itu, dan sekarang Rossa! Kenapa dia selalu terbayangkan wajah itu? Semakin dia hendak mengelak, semakin pula hatinya dihimpit rindu. Apa ni? Arghhh!!
BUNYI loceng di pintu menyapa gegendang telinganya. Rossa yang sedang tekun membaca novel di sudut paling kiri bersebelahan televisyen lantas menoleh. Dia mengerutkan dahi. Jam di dinding dikerling. Sudah pukul 5 petang. Siapa pulak yang bertandang ke rumahnya jam-jam sebegini? Tuala yang tersidai di kerusi marmar segera dicapai lalu diletakkan di atas kepala.
Langkah kaki diatur menuju ke pintu. Saat itu, mata Rossa sempat melihat gelagat Mak Nab di dapur yang khusyuk menonton siaran kegemarannya. Tu sah-sah drama Korea yang dia layan! Rossa tergelak kecil, sudah mampu memahami jadual Mak Nab itu.
Pintu rumah dikuak luas. Seorang lelaki sedang berdiri di hadapan pintu sambil tak lekang dengan senyuman. Rossa kaget. Siapa lelaki ini? Kalau dilihatkan, umurnya mungkin sebaya dia. Berkulit putih dan bermata sepet. Tubuhnya kurus meninggi.
"Ya? Cari siapa ya?" tanya Rossa.
"Ini rumah Puan Zahara ke?"
Rossa mengangguk perlahan. Macam mana dia kenal umi? Takkanlah dia ni ada apa-apa dengan umi? Hishh, jauh panggang dari api! Dia ni layak jadi anak umi je!
"Kenapa awak cari umi saya?" Wajah Rossa berubah serius. Kalau ini ayah mudanya, dia tidak rela!
"Saya Umarul Fahmi bin Usmar. Umur 25 tahun. Baru habis belajar dalam bidang business. Saya tengok ada vacancy dekat kedai makan Puan Zahara. Saya memang minat memasak. Jadi saya ingat nak mintak kerja kat situ. Salah seorang pekerja kat situ cakap yang saya boleh cari Puan Zahara kat sini. Jadi saya pergi sini atas urusan kerja" jelasnya panjang lebar dengan satu nafas saja.
Penerangan lelaki itu mengundang tawa di bibir Rossa. Maklumat lengkap dia beri! "Nombor IC, nombor telefon, tarikh lahir, semua tu tak nak bagitau ke?" Rossa sempat menyakat.
Wajah lelaki itu merona merah. Dia menggaru kepala.
"Kena bagitau jugak ke?" tanyanya dungu.
Rossa menepuk dahi. Apa punya luruslah budak ni!
"Umarul Fahmi ya?" tegur Umi Za dari arah beranda rumah. Dia baru saja selesai membersihkan kawasan air terjun yang sudah dipenuhi lumpur.
"Ye puan. Saya Umarul Fahmi. Tapi panggil Fahmi je. Sebab kalau panggil Umarul Fahmi, nama tu panjang sangat. Nanti berbelit-belit lidah puan nak sebut. Jadi saya tak nak jadi penyebab kepada kesusahan puan, jadi panggil je saya Fahmi" Sekali lagi, dia bercakap tanpa ada titik noktahnya!
Rossa tidak dapat menahan diri lantas mengekek ketawa. Kata-kata Fahmi berserta reaksi wajah lelaki itu kelihatan lucu pada pandangan matanya.
"Rossa!" Umi Za terjerit kecil, membuatkan Rossa menutup mulut. "Masuk bilik! Bersiap-siap, nanti lepas maghrib kita ke rumah Auntie Su. Ada majlis hari jadi dia. Kali ni, Rossa tak boleh menolak!"
Arahan berbentuk diktator itu terpaksa juga Rossa turuti. Lemah longlai derap kakinya menapak ke arah bilik. Baru sahaja hendak mengkhatamkan novel terbarunya itu, tiba-tiba saja umi buat rancangan baru. Aduhh! Mahu tidak mahu, dia harus akur!
"Haa Fahmi. Masuklah. Kita bincang kat dalam. Tadi ada Nabila bagitau saya pasal kedatangan awak. Saya ingatkan awak datang esok" Umi Za hampir terkejut menerima kedatangan Fahmi ke situ. Sebentar tadi, dia sempat yakin yang Fahmi akan menemuinya di kedai pada keesokannya. Tetapi keberanian Fahmi yang datang berjumpanya petang itu sungguh tidak mampu dia jangka.
Dia sudah menjemput Fahmi untuk duduk di sofa. Berbincang mengenai kedatangan Fahmi dengan lebih serius.
SATU PERSATU baju dikeluarkan dari almari pakaian. Dia harus kelihatan simple tetapi menutup aurat. Bukan niat hendak mencantikkan diri, tetapi dia tidak mahu dipandang serong oleh Bakri lagi. Lelaki itu gemar cakap lepas, membuatkan dia kadang-kadang naik rimas!
Rossa mengeluh. Dia tidak tahu pakaian mana yang sesuai dengannya. Hatinya tidak terarah ke situ. Sebolehnya, dia tidak mahu langsung menghadiri majlis seperti ini kerana bukan minatnya. Tetapi ini adalah majlis kawan lama umi, kalau tidak pergi, satu ketidakselesaan juga pada dia. Sementelah kehadiran mereka satu masa dulu dia sambut dengan cara yang tidak elok. Jadi kiranya persetujuan dia ini adalah untuk menebus kembali perlakuannya itu.
Setelah puas membelek, Rossa berpuas hati dengan gaun panjang berwarna putih. Di bahagian pinggang pula, ada ribbon merah yang sengaja diikat bagi mencantikkan lagi gaun tersebut. Dipadankan dengan cardigan yang berwarna hitam dan berkilauan.
Jam di dinding dikerling. Sudah pukul 6 petang. Dia bergerak ke bilik air. Membersihkan diri dan mengerjakan solat Maghrib dahulu. Barulah turun untuk menyertai umi dan Mak Nab.
Telefon bimbit yang dia campak di atas katil berdering. Rossa berlari keluar untuk mengangkat panggilan. Dahinya mengerut apabila melihat nombor yang tertera di screen. Setahu dia, semua nombor di dalam kontaknya bernama. Kenapa yang ini tiada dalam senarai?
Rossa jawab juga panggilan tersebut. "Hello. Assalamualaikum"
"Waalaikummussalam" Nada suara yang keras. Setelah memastikan suara tersebut milik Rossa, Bakri berdehem. Hati mulai disapa debaran saat suara comel itu singgah di cuping telinga.
"Ni budak kecik kan?"
Rossa mengerut dahi. Bibir diketap. Siapa lelaki yang sengaja mempermainkan dia? Tak mungkin Firdaus kerana mereka tidak pernah bertukar nombor telefon.
"Atau gadis novel?"
Rossa diserang geram. Dia terasa malas hendak melayan. Lantas, dimatikan panggilan dan telefon diletakkan di bawah mod senyap. Haaa, puas hati!!
Rossa mengatur langkah ke bilik air. Dia harus segera bersiap agar umi dan Mak Nab tidak menunggunya terlalu lama nanti.
Share this novel