DIA tersenyum saat melihat bayang-bayang Rossa di taman itu. Jam di pergelangan tangan dikerling sedetik. Baru jam 9 pagi! Dia menggaru kepalanya. Mula tertanya-tanya akan kehadiran Rossa seawal itu. Kebiasaannya, gadis itu akan menghabiskan masanya pada waktu petang. Dia sudah tukar jadualkah?
Firdaus menapak ke arah Rossa. Punggungnya dihenyakkan di atas tikar merah itu. Dia melihat Rossa sedang khusyuk membaca novel terbarunya, Aku Yang Kau Tinggalkan! Hmmm, ni macam sindir diri sendiri je ni!
Matanya menangkap bakul piknik Rossa di hadapannya. Seperti biasa, dia akan menjengah leher untuk melihat isinya. Ada sebuah kontena berwarna merah jambu dan sebotol air kotak. Firdaus ketawa dalam diam. Rossa ini tak ubah seperti budak kecil!
Tanpa meminta izin dari Rossa, dia tarik keluar kontena tersebut lalu membuka penutupnya. Haruman mihun goreng seafood meliurkannya. Serentak, tangannya menarik keluar garfu dan dengan sekali lafaz bismillah, Firdaus kenyangkan perut dengan mihun goreng tersebut.
"Firdaus!" jerit Rossa, namun suaranya masih mampu ditahan. Bimbang sekiranya didengar oleh orang ramai yang ada di situ.
Firdaus tayang riak selamba. Dia sisakan sedikit mihun goreng tersebut untuk Rossa. Diletak di atas tikar lantas ditarik keluar pula air kotak.
"Firdaus Azhan!" jerit Rossa lagi, tetapi kali ini agak keras. Apabila Firdaus tidak melayan panggilannya, dia semakin geram. Sakit hati pula dengan perangai Firdaus yang mengada-ngada itu. Penat-penat dia masakkan mihun tersebut sebagai bekalan, dengan senang-lenang pula lelaki itu 'merampasnya'!
"Firdaus!! Dengar tak?!" bentak Rossa lagi. Namun apabila lelaki itu tetap berlagak biasa, dia meronta-ronta kegeraman. Ditambah pula dengan aksi Firdaus yang selamba badak meminum air kotak yang dibawanya dari rumah.
Rossa mencubit lengan Firdaus tanpa sedar. Didekatkan jarak mereka, lantas melepas geram sekuat hati! Haaaaa, ambikkk!!
"Awak dah sentuh saya! Awak kena bertanggungjawab!" Selamba Firdaus tuturkan ayat itu, membuatkan Rossa menghentikan perbuatannya tiba-tiba. Apabila Firdaus mula tergelak, Rossa pukul pula lengan lelaki tersebut tanpa sedar.
"Aikk, dah dua kali sentuh saya ni! Awak tak boleh lari dah lepas ni!"
"Hampeh betullah!" gerutu Rossa lantas menjarakkan diri dari Firdaus. Novel segera diangkat, menyambung kembali bacaannya. Seboleh-bolehnya cuba ditutup kesan hangat pada wajah dek bicara Firdaus sebentar tadi.
Firdaus tergelak. Dia simpan kontena Rossa di dalam bakul piknik seraya berbaring di situ. Menunggu Rossa menyudahkan bacaannya.
BAKRI menyusun buku-buku yang dibelinya semalam di atas para-para bersebelahan meja kerjanya. Melihatkan saja buku tersebut, ingatannya kembali terlayang ke arah Rossa. Teringat pertemuan mereka semalam. Sebenarnya, dia tidak sengaja terserempak dengan Rossa di situ. Niatnya hanya ingin membeli bahan bacaan kerana memang itu salah satu hobinya. Apabila menyedari kehadiran Rossa yang sibuk memilih novel, dia terus menerpa ke arah gadis itu. Fikirnya, Rossa tidak akan mengenalinya sementelah gadis itu tidak begitu ramah pada pertemuan pertama mereka. Tetapi sangkaannya meleset sama sekali. Rossa punya daya ingatan yang kuat.
Bakri mengerut dahi. Wajahnya serius. Ada sebuah novel dalam kelompok buku-buku yang lain. Dan setahu dia, itu bukan miliknya. Agak lama berfikir, barulah bibirnya merekah dengan senyuman. Pasti itu kepunyaan Rossa. Dan dia pasti, dia terambil novel tersebut sewaktu memulangkan buku-buku Rossa semalam.
"Percaya Aku" Dia lontarkan judul novel tersebut. Senyap. Yang kedengaran hanyalah bunyi detakan jantungnya yang lari bertempiaran, tidak seirama. Punggung dia bawa ke sisi katil. Duduk berteleku sambil merenung novel tersebut.
"Percaya Aku" Dia ulangi lagi judul novel tersebut. Dalam diam, dia mula berkira-kira. Rossa! Adakah gadis itu mampu membuatnya kembali percaya pada cinta dan meriahkan semula hatinya dengan warna-warni perasaan itu? Tetapi bagaimana dengan masa lampaunya bersama arwah Marlia?
Sungguh, dia tidak sanggup untuk hanyut dalam badai perasaan itu lagi. Meskipun pada mulanya segala-gala terlukis indah, namun pada akhirnya ia pasti meninggalkan kesan yang mendalam. Seperti apa yang pernah terjadi kepada arwah Marlia suatu masa dahulu.
Bakri menggeleng kepala lantas meletakkan novel tersebut di atas meja. Mula menginjak untuk memulangkan semula novel itu kepada pemilik sebenarnya. Dia tidak akan membenarkan hatinya terjerat lagi dengan umpan cinta kali ini, meski Rossa sudah hampir berjaya memerangkapnya.
SEPERTI cacing kepanasan, Rossa memeriksa keadaan sekeliling. Wajahnya mengerut kebingungan. Setahu dia, semalam dia membeli dua buah novel. Kenapa hanya ada sebuah novel dala genggamannya saat ini? Tidak mungkin dia tertinggal di kaunter. Setahu dia, semua bahan bacaan yang dibelinya semalam sudah disimpan di dalam plastik. Dia sendiri yang melihat gadis cashier itu menyimpannya.
"Cari apa?" tegur Firdaus. Dia sudah berdiri di sebelah Rossa. Gelagat Rossa mencuri tumpuannya. Namun gadis itu tidak menjawab. Masih meneruskan pencariannya tanpa menjawab apa-apa. Dia ingin turut membantu tetapi dia kebingungan. Kerana dia sungguh tidak tahu apa yang sedang dicari oleh Rossa.
"Awak cari apa? Nanti saya tolong" Firdaus cuba untuk menghulurkan bantuan. Dia menundukkan sedikit tubuh, mencari seraut wajah Rossa.
"Boyfriend saya!" tukas Rossa sepatah. Tangannya menjengah ke dalam bakul piknik pula. Namun di situ juga tiada.
Firdaus mulai kebingungan. Kata-kata Rossa tidak mampu ditebak dengan akal logiknya. Cari boyfriend, takkan kat sini! Boyfriend apa dalam bakul piknik? Seketika, Firdaus tersedar. Dia menepuk dahi. Fahamlah dia akan maksud Rossa tersebut.
"Awak yang ambik kan?" Rossa mula menuduh. Jarinya ditundingkan ke arah Firdaus yang tampak bingung di hadapannya.
Firdaus tercengang. Nak buat apa aku dengan benda alah tu? "Mana ada! Kenapa saya nak ambik pulak?" sangkal Firdaus. Kali ini, dia tidak main-main meskipun sebelum ini dia memang sengaja mempermainkan gadis itu.
"Awak kan suka usik barang saya tanpa kebenaran saya! Dulu pun, awak pernah sembunyikan novel saya kan?" Ingatan Rossa terimbau peristiwa beberapa hari yang lepas. Firdaus sengaja menaikkan darahnya apabila merampas novelnya sesuka hati. Dan apabila dia ingin mengambil kembali novel tersebut, ianya terkoyak dan dia terpaksa 'membaiki' serpihan novel tersebut.
Firdaus menelan liur. Alamakkk!! Ingatan perempuan memang tidak boleh dibuat main. Benarlah kata kebanyakan orang. Fikiran perempuan menyimpan 99.9GB storage! Tak ubah seperti telefon pintar!
"Tu saya main-main je! Lagipun benda tu dah lepas! Kalau betul saya ambik novel awak, kat celah mana saya sorokkan? Ada bukti?" Firdaus tidak mahu mengalah.
Rossa terdiam. Matanya mengecil memandang tampang Firdaus. Ada benarnya kata-kata lelaki itu. Jika benar Firdaus sengaja hendak mempermainkan dia, tidak mungkin dia mampu menyorokkan novel tersebut. Sementelah dalam genggaman Firdaus tiada apa-apa. Bahkan lelaki itu sedari tadi menemaninya di sisi. Jika betul Firdaus berniat hendak bermain-main, pasti dia dapat menangkapnya dari tadi. Sudahnya, Rossa hanya mampu mengeluh dan kembali duduk di atas tikar.
Firdaus melihat kelakuan Rossa. Dia turut terduduk di sisi gadis itu. Keadaan sepi di antara mereka. Dia cukup hairan melihat gelagat Rossa. Begitu menyayangi novel-novelnya seperti menyayangi benda hidup! Dia tahu, Rossa obseskan benda tak bernyawa seperti itu, tetapi takkanlah sebegitu sekali?
"Sorry" luah Rossa perlahan. Mendatar tapi penuh makna.
Firdaus tersengih. "Aye aye captain!"
"Mengadalah!" omel Rossa lagi sambil simpulkan sebuah senyuman kecil.
Firdaus tergelak. Sengaja hendak menghangatkan suasana ketika itu.
"Ada masalah ke?" tegur Firdaus.
"Muka saya nampak macam ada masalah ke?" Sengaja ingin menebak. Dia tertekan dengan permintaan umi sebenarnya. Semalam umi sempat memintanya untuk memikirkan semula mengenai Hafizi. Dia disuruh untuk menemui lelaki itu dan membincangkan tentang hubungan mereka.
Rossa mengeluh lagi. Benarlah kata Mak Nab, umi kepingin menantu secepat mungkin! Ketenangannya mulai terancam dengan percaturan tersebut.
"Umi nak saya kawen"
Kata-kata Rossa mengundang senyuman di wajah Firdaus.
"Tapi saya takde calon!"
Firdaus mengerut dahi pula.
"Dan umi nak saya kawen dengan pilihan dia!"
Firdaus semakin tercengang. Kawen atas pilihan orang tua? Bahagia atau sebaliknya? Dia sendiri buntu kerana dia tidak pernah terlibat dalam mana-mana hubungan serius selama ini. Sekadar pengubat sepi dan persinggahan sementara! Belum cukup kuat untuk dia lestarikan sebuah hubungan ke jalan yang halal.
"Hafizi tu anak kawan umi. Haritu dorang ada datang rumah. Datang sekadar nak berkenalan" sambung Rossa lagi. Wajahnya tertancap pada hala hadapan. Memerhati sekumpulan remaja yang sedang lepak dan ketawa riang. Dalam hati, dia mencemburui kebebasan mereka. Seusia itu, mereka tidak begitu terikat dengan apa-apa komitmen.
Firdaus terdiam. Cerita Rossa kali ini lebih menarik minatnya. Pantas saja gadis itu tidak berkunjung ke taman. Rupa-rupanya ada segombolan kumbang datang menyinggah.
"Tapi saya tak jumpa pun Hafizi tu. Sebab masa tu dia tak datang. Dia tu doktor. So masa tu pulak dia busy"
Sepi. Firdaus dan Rossa hanya membiarkan deruan angin yang mengambil posisi. Kicauan burung yang bertenggek di atas pokok turut sama menyertai bunyi angin ketika itu.
"Awak rasa okey tak kalau setuju dengan umi?" Soalan yang ditujukan kepada Firdaus. Hari ini, Rossa sedikit pelik. Kebiasaannya, lelaki itu gemar mematahkan segala fakta dan hujahnya. Sehingga dia naik geram dan berlalu dengan membiarkan lelaki itu menang dengan bidasannya. Namun apabila Firdaus kosong tanpa reaksi, dia pula yang terlebih bicara, mengeruhkan lagi resah di hati.
Firdaus berdecit. Dia sendiri clueless! Dalam banyak-banyak fakta, rasanya yang ini agak sukar untuk dijelaskan. Kerana ianya berkenaan dengan hati dan perasaan orang. Kalau tersilap aturan, boleh merana jiwa raga.
"Dalam anggota badan kita ni, ada satu part yang sangat sensitif untuk disentuh dan dibelai. Tak kiralah lelaki atau perempuan. Dan sangat mudah untuk terluka tetapi mudah jugak untuk buat dia rasa bahagia. Kalau kita tak mampu nak handle dia dengan cara kita sendiri, macam mana nak suruh orang lain tentukan bahagia kita?"
Rossa membatukan diri. Dia tidak memahami maksud di sebalik hujah lelaki itu. Terlalu kompleks dan rumit untuk dia fahami sementelah otaknya sekarang enggan memberikan kerjasama yang padu kepadanya. Arghhh! Keputusan umi buat dia stress. Tetapi kata-kata Firdaus menambahkan lagi tahap tekanan jiwanya!
"Awak tahu tak, hati kita ni kita yang punya. Bukan orang lain. Tetapi Allah yang pegang. Sebab tu dalam apa-apa keadaan sekalipun, buat keputusan bukan berdasarkan hati tetapi kena selari dengan fikiran. Kadangkala, keputusan yang kita ambik tu akan buat kita bahagia, tapi mampu jugak buat kita sengsara. Pendek kata, berdoalah sebab Allah boleh bolak-balikkan hati kita. Tak mustahil dia yang awak benci akan jadi penyebab kepada kebahagiaan awak. Begitu jugak sebaliknya. In any situation, we have cons and pros!"
Rossa tercengang dengan kata-kata Firdaus. Padat, cermat, rumit tetapi sungguh mendalam. Walaupun pada mulanya agak sukar untuk diterima akal, namun akhirnya dia mampu untuk memahami bicara lelaki itu.
Rossa mengangguk juga akhirnya, mengiyakan kata-kata Firdaus. Dia sudah tahu apa yang harus dilakukannya selepas ini. Untuk menyenangkan hati semua pihak, dan juga memuaskan keinginan umi!
Share this novel