10

Romance Completed 28168

FOTO itu dibelek satu-persatu. Saat mata bertentang dengan wajah-wajah yang ada di dalam foto tersebut, dia mengukir senyum manis. Betapa dia rindu pada kenangan lama. Rindu pada rakan-rakan seperjuangan, rindu untuk menabur bakti pada negara. Namun apakan daya, kerana satu silap, dia dibuang dari terus berkhidmat dalam pasukannya. Sejak dari hari itu, hidupnya terkontang-kanting. Persinggahannya sementara. Matlamatnya musnah. Impiannya hancur. Dan dia, sudah tidak punya apa-apa sedari itu.
"Once in a while, tolong-tolonglah mama dan Nizam kat office. Kerja berlambak, tender banyak. Tapi semua pun tak pernah berjaya" Farah menyetir saat terpandangkan sesusuk tubuh Firdaus di ruang tamu. Baru kali ini rasanya dia melihat lelaki itu lekat di rumah. Kebiasaannya, jam sebegini dia sudah keluar dan akan balik jam 2 3 pagi. Berjalan tanpa ada apa-apa tujuan!
Firdaus menutup album foto lalu menyimpan kembali di atas rak buku. Langkah dihayun menuju ke sofa. Di situ, pandangannya jatuh pada Adriana, yang merupakan anak kepada Farah dan Nizam. Usianya baru menjejak ke 9 tahun. Dia duduk di atas sofa lalu diusap lembut kepala Adriana.
"Ana buat apa tu sayang?" tegurnya apabila melihat Adriana sibuk dengan kerjanya di atas meja kaca itu.
Adriana pantas menoleh. Sebuah senyuman terlakar dari bibir mungil itu. "Ana lukis gambar paklong"
"Iya? Mana? Kasi paklong tengok"
Seketika, lukisan tersebut bertukar tangan. Dia tergelak kecil saat terpandangkan lukisan itu. Sungguh natural dan tampak lebih benar! Adriana kalau melukis, memang betul dari hati. Walaupun tidaklah seperti wajahnya di dalam alam nyata, tetapi keikhlasan anak kecil itu membuatkan dia terharu.
"Ni paklong pakai baju seragam. Ana nampak dalam gambar kat bilik paklong hari tu"
Firdaus sudah memangku Adriana. Tenang hatinya mendengar mulut becok itu bercerita.
"Tadi kan, kat sekolah. Cikgu suruh lukis gambar orang yang kita sayang. Ana lukislah gambar tokma, mama, papa, maksu dan gambar paklong. Pastu kan, kawan-kawan Ana cakap paklong hensemmmm"
Firdaus mengekek. Adrian sungguh jaguh dalam bab-bab mengambil hatinya. Seketika, hidung comel itu dicuit. Serentak itu juga, ingatannya melayang pada sang Mawarnya. Apa agaknya khabar dia? Sudah tiga hari mereka tidak bersua muka sejak peristiwa itu.
"Ana, pergi buat kerja sekolah dalam bilik. Mama nak cakap dengan paklong" Arahan Farah, Adriana balas dengan keluhan.
"Biar jelah dia kat sini. Kau ni tegas sangat dengan anak" tegur Firdaus. Sejujurnya, dia tidak sukakan perangai Farah yang dirasakannya terlalu berkeras dengan anak sendiri. Kadang-kadang, Adriana selalu mengadu padanya mengenai perangai Farah. Anak sekecil itu apabila sudah mengadu, mimik wajah dan suara sungguh kedengaran kesal.
"Takkan aku nak manjakan dia? Nanti dia jadi macam kau!" sahut Farah sambil mendengus kasar. Sejak Firdaus dibuang kerja sebagai pegawai polis, hormatnya pada lelaki itu juga sudah dibuang jauh-jauh. Gara-gara itu, dia kehilangan papa. Dan disebabkan itu, dia menyalahkan Firdaus 100% tanpa mendengar setiap penjelasannya. Tambah menyakitkan apabila Firdaus dengan selamba tidak mahu bertanggungjawab ke atas keluarga dan syarikat yang arwah papa tinggalkan. Meletakkan dia yang merupakan anak kedua dalam keluarga sebagai penggalas utama! Bukan dia tidak bersyukur atau mengeluh, tetapi sikap Firdaus yang hanya duduk goyang kaki itu membuatkan dia tidak berpuas hati.
"Apa kau merepek ni?" Firdaus mulai dilambung badai amarah. Lantas, dia turunkan Adriana dari pangkuannya. Kepala anak kecil itu diusap. "Ana masuk bilik. Habiskan lukisan ni ye? Nanti paklong belikan aiskrim okey?" Sebuah kucupan didaratkan di pipi Adriana.
Adriana mengangguk. Sesudah mengemas semuanya di dalam beg sekolah, dia menaiki anak tangga untuk menuju ke bilik.
"Kenapa kau cakap macam tu depan Ana? Hormatlah aku sikit!" gerutu Firdaus. Malu apabila Farah berkata sedemikian di hadapan anak sekecil Adriana.
Farah menyeringa. "Abang, aku ni tak nak cakap banyaklah! Aku cuma nak ingatkan kau. Kau tu anak sulung dalam keluarga ni! You should know your own role! Takkan nak harapkan suami aku uruskan syarikat? Dia ada anak bini yang kena dia tanggung! Kalau kau berfikir sedikit demi mama, demi arwah papa, kau takkan merayau tak tentu hala macam ni! Aku penatlah nak nasihat kau. Tapi kau ni tak pandai fikir. Kau tak tengok ke apa yang terjadi dalam keluarga kita semuanya disebabkan kau?"
Firdaus menggigit bibir. Dia tampilkan riak tenang meskipun di dalam hati sudah berkocak getarannya. Wajah Farah yang berdiri di hadapannya dikerling sejenak. Dia tahu, adiknya itu membencinya. Bahkan mungkin sudah tidak sudi menganggapnya sebagai seorang abang. Dia tahu, dia telah mengecewakan banyak orang sejak 12 tahun yang lalu. Dia sedar, dia sudah hilang pedoman. Tetapi dia tidak mampu untuk mengubah apa-apa. Hidupnya sudah jauh tersasar. Dia tidak seperti Firdaus yang dulu, yang tahu membezakan baik buruk sesuatu keputusan, Firdaus yang bijak bertindak. Kini segala-galanya sudah jauh berubah.
"Nabila pun dah tak sanggup nak duduk sini. Sebab tak sanggup nak berdepan dengan kau. Dia terlalu kecewa sebab ada abang macam kau! Hidup kau pun terombang-ambing, tak macam orang lain. Kau dah 36 tahun bang! Fikirlah sikit. Sampai bila nak menongkat dunia dengan gaya hidup kau macam tu?" Farah meluahkan kekesalan. Tetapi nada suaranya sudah mengendur. Sedikit sebak dengan sikap berfoya-foya Firdaus. Dia tinggalkan Firdaus di situ berseorangan, sudah penat hendak memberikan tazkirah percuma kepada lelaki itu.
Keadaan kembali menyepi. Hatinya terkesan dengan kata-kata Farah. Dia tahu sikapnya sudah cukup mengecewakan banyak pihak. Kalau saja dia punya pilihan, pasti dia tidak akan bertindak bodoh. Dan sekiranya dia boleh putarkan masa, semestinya dia tidak akan membenarkan sebarang pertumpahan darah berlaku sehingga menyebabkan dia kehilangan kerja dan sekaligus meranapkan impiannya selama ini.
Keluhan termuntah jua. Bukannya dia tidak mencuba untuk berubah. Namun semuanya hanya sia-sia. Imannya tidak kuat. Pendiriannya tidak tetap. Sejak peristiwa 12 tahun yang lalu, dia sudah banyak mengumpul musuh dan membuang teman. Dan sejak itu juga, hidupnya ternoktah sebegitu saja.

ROSSA menilik jam di tangan. Sudah pukul 1 petang. Dia mempunyai temujanji dengan Hafizi hari itu. Oopss, bukan temujanji antara pasangan kekasih, tetapi temujanji yang lebih ke arah bisnes!
Semalam, dia terkejut apabila Hafizi menelefonnya. Seperti Bakri, lelaki itu juga tidak memperkenalkan dirinya membuatkan Rossa tertanya-tanya gerangan pemilik nombor tersebut. Setelah dibebel, barulah Hafizi memperkenalkan diri, itu pun dengan sisa tawa di hujung talian. Rossa jadi geram sendiri! Adik-beradik psikik!
"You are late!" komen Hafizi apabila Rossa sudah terpacak di hadapannya. Dia turut menunjukkan jam di pergelangan tangan, menambahkan lagi keyakinan kepada Rossa mengenai kelewatannya!
"Alah, baru 15 minit! Bukannya 15 jam" sahut Rossa selamba. Dia sudah melabuhkan punggung berhadapan Hafizi.
"Nak order apa-apa tak?" tanya Hafizi sebelum turut sama menghantar punggung di hadapan gadis itu.
Rossa hanya menggeleng kepala. Dia ke situ kerana ada urusan mereka yang belum selesai, itu menurut Hafizilah! Bukan kerana hendak makan, atau lebih tepat lagi, bukan kerana hendak berduaan dengan lelaki itu.
"Sure?"
"Ye! Saya ke sini bukan nak makan. Tapi sebab awak kata ada sesuatu yang awak perlukan" Rossa kembali ke agenda mereka. Jika bukan kerana ugutan Hafizi yang katanya akan bersetuju dengan perjodohan mereka, sudah lama dia tidak membuang masa di situ. Bijak sungguh lelaki itu mengenakannya! Padahal sudah jelas-jelas mereka sama-sama tidak menyetujui perkara itu. Huhh! Sebijik abang dia!
"Ohh yaa.. About that thing" Hafizi jadi ingat. Pandangannya jatuh ke wajah Rossa kemudian sebuah keluhan dimuntahkan.
Rossa mengerut dahi. Dah kenapa pulak?
"Did you drive just now?"
Rossa semakin pelik dengan soalan lelaki itu. Tapi dia anggukkan saja kepala.
"Kita pergi satu tempat. Guna kereta saya, nanti saya ceritakan segala-galanya. Lepas tu, barulah awak akan faham"
Hafizi bangkit dari kerusi lantas bergerak menuju ke Honda Civicnya. Dia tahu, dalam banyak-banyak orang hanya Rossalah harapannya saat ini.
Rossa terasa hendak bertanya tetapi niatnya terbatal apabila Hafizi sudah lesap di dalam perut keretanya. Dia turut sama menapak ke arah kereta dengan pelbagai persoalan yang terkumpul di dalam benak. Arghh! Lepas ni pun aku akan tahu jugak!

RUMAH BANGLO yang tersergam indah itu kelihatan cantik dan mewah dengan ukiran dan hiasan kontemporari, digandingkan dengan konsep ala-ala English. Yang nyata, mampu memukau mata-mata yang melihat dan mewujudkan iri di dasar hati. Dan keindahan banglo itu semakin terserlah kerana penghuninya bakal menerima seorang lagi ahli baru pada pagi itu.
Beberapa deretan kanopi diletakkan di hadapan rumah. Di sudut paling tengah ruangan beranda, sengaja diletakkan sebuah pentas yang dihiasi dengan kelip-kelip lampu dan pelbagai jenis bunga segar. Di atas pentas, tergah indah sebuah pelaminan berlatarbelakangkan warna pastel dan berkonsepkan Fairytale. Berpuluh jenis makanan hasil tangan Baiduri Katering menjadi pilihan sang pengantin dan dihidangkan di atas meja. Sebentar lagi, majlis bakal bermula dan semua orang sibuk dengan tugasan masing-masing bagi memastikan majlis itu berjalan dengan lancar.
Dari dalam bilik yang sudah dihias cantik, seorang lelaki tampak tidak tenang. Dari tadi, dia asyik mengerling jam di tangan. Tidak cukup dengan itu, jam di dinding pula menjadi sasaran matanya. Mengira waktu, kapan semuanya akan berakhir. Dia ingin cepat-cepat melaksanakan segala-galanya agar resah di hati segera lenyap. Tidak sabar rasanya ingin memiliki sang pujaan hati.
"Hensemnya kau long!" puji Hafizi. Dia sudah tercegat di hadapan Bakri sambil tersengih. Abangnya itu kelihatan sungguh gementar, ibarat cacing kepanasan! Sejak seminggu yang lalu, Bakri kelihatan tak terurus dan acapkali tersilap langkah. Barangkali terlalu kalut memikirkan acara perkahwinannya yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
"Aku nervouslah!" adu Bakri jujur. Dia asyik mundar-mandir sambil berdesis. Songkok di kepala sudah ditanggalkan lalu diletak di atas meja. Dia sudah lengkap dengan sepersalinan pengantinnya sejak setengah jam yang lalu. Hanya menunggu ketibaan pengantin perempuan sahaja, dan semua keresahannya akan berakhir.
Hafizi tergelak kecil. Dada Bakri ditumbuk perlahan. "Relakslah long! Everything will be fine"
"Kau senanglah cakap! Kau tak kawen lagi" Dari berdiri, dia melabuh duduk pula. Mengurut-urut dada sambil menghembus nafas. Hati, tenang-tenang saja kau!
"Memanglah aku tak kawen lagi. Aku baru je 22 tahun. Belum lagilah long! Tapi aku tahu rasa nak kawen tu macam mana sebab aura yang kau bawak tu dah menempias ke arah aku"
"Ehh budak ni! Gatal nak kawen! Habiskan dulu degree, bachelor kau tu! Baru boleh kawen. Nanti baru kau rasa macam mana aku rasa"
Hafizi mengekek lagi. "Long.. betul-betul berdebar ke?"
Bakri mengangguk laju. Gila tak berdebar! Rasanya lebih perit lagi dari menunggu musuh di persimpangan.
"Kau dah hafal kan nama pengantin perempuan? Jangan tersalah sebut pulak" Hafizi sempat mengusik.
"Macam-macamlah kau ni! Azhan mana? Kata nak datang. Ke dia tipu aku?"
"Ada lah kat bawah tu. Kau dengan abang Han tu boleh tak jangan nak rapat sangat? Karang orang ingat kau nak kawen dengan dia pulak! Dahlah warna baju Melayu dia sama dengan warna baju pengantin kau ni!" Tadi sebelum naik ke bilik Bakri, dia sempat berselisih dengan Azhan. Mereka sempat berborak kosong. Azhan itu merupakan sahabat dekat abangnya. Bahkan hubungan Azhan dengan keluarganya juga akrab. Adakalanya, Bakri lebih banyak menghabiskan masa dengan Azhan berbanding bersama keluarga.
Kepala Hafizi sempat Bakri luku. "Bertuah punya adik!"
Hafizi tayang sengihan. Terdengar bunyi ketukan di sebalik pintu. Apabila pintu terkuak, muncul wajah Azhan di situ.
"Selamat bakal pengantin baru" usik Azhan lalu memeluk erat tubuh sahabatnya itu.
Bakri ketawa. Senang dengan usikan itu. "Tak payah nak bakal sangatlah! Nervous ni tau?" Pelukan terlerai.
"Relakslah bro! Seorang ahli pemikir hebat pernah berkata, sebagai seorang manusia, kita akan berdepan dengan banyak situasi yang mendebarkan. Tatkala cantuman hati, minda dan urat-urat saraf bergabung dalam diri, lahirlah perasaan gemuruh yang mampu mengkecundangkan kawalan hati dan minda. So dalam hal ni, kau kena relaks. Tenang. Macam berdepan dengan musuh jugak. Bijak kita kendalikan musuh, bijak jugaklah kendalikan perasaan ni"
Hafizi ternganga. Azhan yang tak pernah lari dari falsafahnya! Ada saja kata-katanya yang mampu melemahkan anggota badan dan melumpuhkan segala ingatan!
"Bijak kau berkata-kata. Siapa nama pemikir yang hebat lagi bijaksana tu?" sahut Bakri.
"Azhan si falsafah!"
Bakri berdecit. Haprak punya sahabat!
"Tapi betullah. Cuba kau hadam kata-kata aku tu! Kuncinya cuma satu. Enam huruf. Dua patah perkataan. T.E.N.A.N.G! Tenang..."
"Itulah yang Fizi bagitau along tadi. Tapi dia tak nak dengar" sampuk Hafizi, tidak puas hati.
"Along kau tu bukan tak nak dengar, tapi kau yang tak pandai bermadah helah! Kena pandai main dengan kata-kata, barulah cun!" sahut Azhan seraya menaikkan ibu jarinya ke atas.
"Banyaklah kau punya madah helah!" sampuk Bakri pula.
"Tu bukan lagu Ziana Zain ke?" Hafizi tayang wajah dungu.
Serentak, Bakri dan Azhan mengekek ketawa dengan aksi Hafizi. Pada Bakri, gemuruhnya sedikit menjunam tatkala Azhan ada di sisi. Keyakinannya bertambah memuncak apabila nasihat Azhan yang berbaur usikan dan 'bermadah helah' itu menyapa telinga. Azhan, lelaki itu punya cara tersendiri untuk melenyapkan segala rasa dalam hati. Beruntungnya dia mempunyai sahabat sebaik itu.

PERKARANGAN rumah dipenuhi dengan ambulans dan kereta polis. Ratusan jemputan masih dalam jagaan polis. Tidak ada satu pun yang boleh menapak keluar selagi pihak polis tidak menjumpai apa-apa.
Bakri terduduk di sudut pentas pelaminan. Wajahnya basah dengan air mata. Tidak habis-habis dia mengalirkan mutiara jernih itu. Mayat arwah Marlia yang sempat menjadi isterinya selama dua jam dicempung masuk ke dalam ambulans. Tubuh isterinya dipenuhi darah. Dan Marlia, meninggal di tempat kejadian.
Dia terimbau peristiwa tadi. Sesudah mengakad kabul, dia dan Marlia sudah sah menjadi suami isteri dengan bersaksikan ratusan jemputan. Mereka diraikan dalam suasana yang cukup meriah. Letupan mercun di dada langit tidak pernah surut sejak dia melafazkan kabulnya. Semua orang berkongsi rasa bahagia tersebut dengan mereka. Mama Suhada sempat mengalirkan air mata sebentar tadi. Dahi dan pipi Marlia dikucup, tanda dia betapa mengalu-alukan kehadiran menantu pertamanya itu. Tak kurang juga dengan papa Badrul. Tidak habis-habis dia mengucapkan syukur di atas aturan ini. Begitu juga dengan Azhan dan Hafizi yang mengusiknya dengan senyuman yang tak lekang di wajah masing-masing. Dan Marlia.. gadis yang baru dia nikahi sebentar tadi, tidak pernah surut senyumannya menghiasi bibir. Sempat isterinya berbisik ke telinga, mengucapkan terima kasih kerana sudi menyuntingnya sebagai peneman di sisi. Mereka sempat berpegangan tangan, cuba meluahkan rasa cinta melalui bahasa badan dan pergerakan mata.
Namun semuanya berakhir begitu saja. Belum sempat mereka melestarikan hubungan sah itu, Marlia telah pergi dibawa dek minda jahat manusia. Tidak sempat dia membahagiakan Marlia dan membisikkan kata cinta buat sang isteri, Marlia terlebih dahulu mengaku kalah. Dan tatkala inai merah masih terang di jari, dia sudah kehilangan Marlia buat selama-lamanya. Sakitnya perasaan itu, Allah sahaja yang tahu.
Mereka diserang hendap. Marlia ditembak dari sasaran jauh. Peluru tersebut tepat mengenai ke jantung Marlia. Darah membuak-buak keluar dari tubuh badan isterinya. Bukan sekali tembakan, bahkan berkali-kali peluru itu menembusi jantung si isteri. Tidak sempat dia hendak menyelamatkan Marlia, isterinya terlebih dahulu rebah membawa perasaan dan bahagia yang sempat bertandang selama dua jam tadi. Tubuh Marlia didakap dengan esakan. Dia belum siap untuk kehilangan Marlia. Tidakkkkk! Semoga semua yang berlaku itu adalah satu mimpi. Apabila dia sedar, yang dia pandang pertama kalinya adalah wajah si isteri tercinta. Tersenyum sambil mengungkap bait-bait cinta ke cuping telinganya. Namun mimpi hanyalah mimpi, tak seindah lukisan nyata!
Azhan datang dari arah belakang. Bahu Bakri ditepuk. Tanpa sebarang kata-kata, tubuh mereka bersatu. Empangan Bakri pecah di dalam dakapan sang sahabat.
"Sabar Bak! We are trying our best to trace them. Kita akan tangkap mereka. Those who ruined everything. I swear to bring them down!" Azhan turut sama merasa sebaknya Bakri. Air mata yang gugur sedari tadi, dibiarkan saja menghiasi wajah. Dia bersumpah akan mencari pembunuh Marlia, walau harus mengorek sedalam-dalam lubang sekalipun!
"Alongg" Hafizi duduk bersembunyi di sebalik meja VVIP. Sedari tadi diperhatikan gelagat Bakri dan keadaan sekeliling. Dia ketakutan dan trauma, lebih-lebih lagi kejadian tembak-menembak berlaku di hadapan matanya. Air matanya turut berlinangan, tanda menangisi kepermegian kakak ipar tersayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience