SEBUAH buku bertulisan Korea dan Bahasa Malaysia dia hadiahkan buat isteri tersayang. Dia mahu Rossa mempelajari bahasa Korea seperti perjanjian mereka sebelum ini. Dia sebenarnya sengaja meletakkan syarat begitu, sekadar suka-suka. Tetapi tidak disangka pula Rossa akan menyahut cabarannya itu.Seandainya Rossa tidak mahu mengikuti ideanya, dia tetap masih akan membawa Rossa melancong ke Korea.
Tampang Rossa kelihatan ceria tatkala menerima bungkusan itu. Dibelek-belek helaian demi helaian sambil tersenyum.
"Mana upah abang?"
Seolah faham dengan maksud Firdaus, laju saja bibir Rossa hinggap di kedua pipi suaminya.
"This one.." Firdaus pegang buku tersebut. "You have to learn the contains. Nanti dah pass bahasa Korea, we fly there. As promised" Dahi Rossa dikucup.
Terangguk-angguk Rossa menyetujui kata-kata Firdaus. Dia akan mempelajari bahasa Korea seperti yang dijanjikan.
"Hari ni hari Sabtu kan?" tanya Firdaus tanpa menyedari riak wajah Rossa yang sudah berubah. Dia menilik kalendar di dalam telefon bimbit. Wajahnya tiba-tiba mengerut. Teringat akan hal yang satu itu, hatinya bungkam seketika. Pandangannya kemudian dikalihkan ke arah Rossa.
Benar dugaannya. Wajah Rossa mengeruh. Badannya mengeras. Mungkin kerana hari esok. Iya, tidak salah lagi. Hari esok dia akan menghantar Rossa ke rumah umi. Dan esok juga merupakan hari perpisahan mereka. Itu bermakna, hari ini merupakan hari terakhir mereka bersama.
Firdaus diterpa kesedihan yang bukan sedikit. Ingin saja rasanya menangis, namun dia tidak mahu Rossa tahu. Mudah saja airmata wanita kesayangannya gugur jika melihat dia rapuh. Dia yang mendesak Rossa untuk kuat. Masakan dia pula yang jatuh tersungkur?
"Hari ni..." Firdaus tidak mampu hendak meneruskan kata-kata. Dilihatnya Rossa sudah lencun dek airmata. Wajah itu, kenapa akhir-akhir ini mudah saja mengalirkan airmata?
Airmata yang mulai bergenang, Rossa seka dengan hujung jari. Namun semakin diseka, semakin galak pula ia memunculkan diri. Sebak dan tepu rasa jiwanya saat ini. Dia tidak ingin hari ini berlalu. Dia ingin terus berada dalam hari yang sama dan di samping orang yang sama. Namun siapalah dia untuk menolak takdir Ilahi?
"Sayang jangan sedih. Kita berpisah kejap je. Trust me okay?"Tangan Rossa digenggamnya erat, menyalurkan seberapa banyak kekuatan yang dia punya kepada wanita kesayangannya.
"Abang jangan lupa jemput Rossa tau?" Sedu-sedannya jelas kedengaran. "Rossa tunggu abang"
Firdaus menarik Rossa ke dalam pelukan. "Hishh, kita belum nak berpisah lagi. Jangan cakap macam tu dulu" Kepala Rossa diusapnya lembut. Dia juga sudah hanyut dalam deraian airmata. Kesedihan Rossa adalah miliknya juga. "Abang laparlah. Sayang masakkan untuk abang boleh?"
Rossa menelan air liur yang terasa pahit. Mendengarkan permintaan Firdaus yang berbaur kesedihan itu membuatkan relung hatinya pecah. Entah sampai kapan mereka akan terpisah gara-gara salah faham Umi Za.
"Abang nak makan apa? Harini Rossa masakkan untuk abang"
MELIHATKAN betapa berseleranya Firdaus dengan santapan yang terhidang di atas meja, hati Rossa diterpa dengan pelbagai rasa. Sedih, gembira, sebak semuanya menjadi satu.Hari ini merupakan hari terakhir dia memasak untuk Firdaus. Entah bagaimana Firdaus akan menjalani hari-hari seterusnya nanti. Dan dia sendiri, bisakah terus lena tanpa merasai hangatnya dakapan Firdaus?
"Sayang tak makan ke?" teguran Firdaus mengucar-kacirkan lamunan Rossa. Lantas, sebuah senyuman dihadiahkan untuk Firdaus.
"Rossa nak tengok abang makan"
"Kenyang ke dengan tengok je? Meh, abang suapkan" Firdaus sudah mengepal nasi bersama ayam masak merah lalu disuakan kepada Rossa.
Rossa hanya menurut saja. Dalam linangan airmata, dia menikmati setiap suapan dari Firdaus. Sambil matanya tak putus-putus memandang wajah Firdaus yang sedari tadi dihiasi senyuman. Namun dia tahu maksud senyuman itu. Firdaus bijak menyembunyikan rasa. Tetapi dia juga lebih pandai menangkap setiap maksud bahasa badan dan wajah Firdaus. Senyuman yang dipamerkan oleh Firdaus hanya sebagai menutupi gelisah dan sebak di jiwa. Kerana dia tahu, Firdaus tidak mahu dia rapuh dengan perpisahan mereka.
"Dah, Rossa kenyang" Dia menolak suapan Firdaus dalam sebaknya menahan rasa.
Firdaus tidak jadi hendak meneruskan perbuatannya. Dibiarkan saja nasinya tidak bersentuh lagi. Bangkit dari kerusi lantas bergerak ke sinki dan mencuci tangan di situ. Kemudian, kembali duduk menghadap Rossa yang sedang termenung.
"Menung jauh" omelnya sambil mencuit dagu Rossa.
"Abang dah habis makan ke?" Terkejut Rossa melihat Firdaus yang selesai dengan sajian. Jauh sangat dia termenung nampaknya. Hmmm..
"Laaa, tak perasan ke abang cuci tangan tadi? Haaa menung lagi jauh"
"Maaf bang. Rossa kemas ni dulu" Rossa sudah bangkit dan hendak mengemas bekas makanan Firdaus. Namun perbuatannya terhenti apabila tangannya ditarik oleh Firdaus sehingga dia terduduk di atas riba lelaki itu.
Seketika, keadaan sunyi sepi. Masing-masing kelu lidah untuk berbicara. Mata Firdaus tak lari dari memandang seraut tampang Rossa. Dia tahu perasaan dan fikiran Rossa saat itu. Kerana dia juga merasai apa yang dirasai oleh Rossa.
Firdaus semakin bungkam apabila Rossa sudah mula menangis sambil menekup wajah dengan tangan. Firdaus membiarkan saja perlakuan Rossa. Dia juga sudah mati akal hendak memujuk hati Rossa yang bersarang dengan kesedihan itu. Jangankan hati Rossa, hatinya sendiri juga sudah tidak terpujuk!
Lama kelamaan, tangisan Rossa semakin kedengaran dan Firdaus sudah mula tidak sedap hati. Tidak pernah Rossa berkelakuan seperti ini. Kalau menangis pun, hanya sekejap sahaja. Tetapi kali ini, tangisan Rossa seakan tidak mahu pudar. Rapuh benar hati Rossa semenjak beberapa hari ini. Gagalkah dia membahagiakan Rossa?
"Sayang..." Suara Firdaus turut tenggelam dalam sebak. Dia ikut-ikutan sedih tetapi tetap ditahan airmata yang mula bertakung di tubir mata.
"Rossa tak mampu. Abang, tolonglah Rossa. Rossa betul-betul tak mampu" Ngongoi Rossa. Wajah Firdaus hinggap pada bebola matanya. "Abang bagitaulah umi. Rossa tak nak berpisah dari abang. Rossa tak nak" Kali ini, suaranya seakan merayu.
"Kita berpisah kejap je sayang. Abang janji, abang akan jemput Rossa balik setelah semuanya selesai. Sayang jangan macam ni" Tubuh Rossa didakapnya erat.
"Abang tak faham Rossa! Abang tak tahu apa yang Rossa rasa.Abang memang dah tak suka Rossa kan? Sebab tu abang mampu nampak tenang. Abang suka bila hantar Rossa pada umi. Abang tak sayang Rossa lagi" Rossa meluahkan perasaan. Marah benar dia pada Firdaus. Dada Firdaus ditumbuknya sekuat hati sebagai cara melepas rasa yang terbuku dalam hati.
Firdaus senyap. Kata-kata Rossa dicernanya dalam otak. Dia tidak mahu menyahut kerana tidak mahu ada pergaduhan antara mereka. Dibiarkan saja Rossa melepas geram pada dirinya. Sedangkan pada masa itu dia terasa sakit dengan pukulan Rossa. Namun tak sepilu apa yang dirasakannya saat ini. Setiap butir bicara Rossa ibarat peluru yang menembak terus ke dasar hati. Dia juga tersepit antara dua. Membiarkan Rossa terus di sisinya semakin menyemarakkan api kemarahan umi padanya. Tetapi melepaskan Rossa ke sisi umi membunuh jiwanya senyap-senyap.Justeru apa pilihan yang dia ada?
"Abang tak sayang Rossa. Abang tak sayang Rossa lagi. Abang tak faham Rossa" Rengekan demi rengekan dari Rossa, Firdaus telan dengan perit.
"Abang dah benci Rossa. Abang dah tak suka Rossa" Dada Firdaus terus-terusan dipukul. Dia geram dan kecewa dengan semua yang terjadi. Namun seperti Firdaus, dia juga tidak punya pilihan lain.
Rossa kedengaran penat. Beban di hati terasa kurang saat dilepaskan ke dada bidang milik Firdaus. Dia menatap wajah Firdaus yang sendu itu. Perlahan-lahan, dia memberhentikan tumbukannya. Rasa bersalah dan berdosa mulai mengambil posisi di hati. Leher Firdaus dipaut. Kemudian, tubuh itu dipeluk erat.
Kesenyapan Firdaus menimbulkan rasa kasihan di hati Rossa. Betapa beratnya rasa dan sengsara yang harus dipikul oleh Firdaus. Dia yang berkorban untuk Bakri, dan dia juga yang menanggung akibatnya. Andai saja beban itu bisa dipindahkan ke bahunya, pasti dia mahu merasa betapa sakitnya perasaan Firdaus.
"Abang sayangkan Rossa sangat-sangat. Abang mintak maaf kalau keputusan abang buat hati Rossa merana" Pinggang Rossa dipeluk erat. Bibirnya mengucup bahu Rossa. Dan di situ, akhirnya tangisan seorang lelaki yang bergelar suami tumpah jua. Perlahan-lahan dan semakin kuat tangisan itu mengisi kekosongan ruang makan itu. Firdaus akhirnya gagal mengawal perasaan.
"Abang nangislah. Keluarkan semua rasa tu. Kita kongsi semuanya sama-sama" Kepala Firdaus, Rossa usap penuh kasih.
Mendengarkan itu, pinggang Rossa dipeluk erat. Dan tangisan Firdaus, semakin jelas pada ruang pendengaran Rossa.
TENANGNYA wajah Firdaus dalam lena, Rossa tatap tak berkelip. Pertama kali dia melihat Firdaus menangis. Dan buat julung kalinya jua, hati sekuat Firdaus tewas dengan pilu yang bertandang. Rossa mengeluh jua akhirnya. Dia sudah penat dengan semua ini. Dia ingin bahagia di samping Firdaus. Kenapa susah sangat hendak menggapai yang namanya bahagia? Apakah dosanya di masa lampau?
Rossa sudah berbaring di sebelah Firdaus yang mengiring badan menghadapnya. Perlahan-lahan, wajah tenang Firdaus diusapnya. Terusik hati dan jiwanya apabila berhadapan dengan wajah itu. Wajah yang menanggung begitu banyak beban. Wajah yang sudah berkorban terlalu banyak kepada orang lain.
Rossa dekatkan tubuhnya ke sisi Firdaus. Tangan Firdaus digapai dan diletakkan melingkari pinggangnya. Namun ketika itu, matanya menangkap pergelangan tangan Firdaus yang bertanda seolah dicucuh api. Dia teringat cerita Firdaus beberapa hari yang lepas. Saat pertama kali dia perasan pergelangan tangan Firdaus itu.Terus bibirnya mengutarakan soalan.
"Kenapa dengan tangan abang ni? Macam kena api je?" Saat itu, tangan Firdaus sedang melingkar pinggangnya. Sempat juga matanya hinggap pada tanda itu.
"Sayang nak tahu cerita ke?"
"Aah. Mana abang dapat tanda ni?"
"Hmmm" Firdaus menggumam seketika. "Ni abang buat sendiri. Masa tu, abang cuba nak bunuh diri"
"Bunuh diri? Tapi kenapa?" Laju saja bibir Rossa mencelah.
"Bagi abang cerita habis dulu. Lepas tu, sayang tanyalah"
"Okay, sorry" Rossa tersengih. "Back to the topic"
"Masa tu, abang rasa down gila dengan hidup abang. Abang kena buang kerja. Pastu umi pulak failkan kes ke atas abang sebab kecuaian abang yang sebabkan kematian suami dan anak dia"
Mendengarkan itu, Rossa menelan liur. Dia tahu kisah itu daripada Firdaus. Dan pesalah sebenarnya adalah Bakri.
"Tapi sayang tahu kan, abang tak buat pun semua tu?" Firdaus lihat Rossa angguk kepala. Kemudian, dia menyambung kembali. "Abang terpaksa tanggung kesalahan Bakri. Which led me to a few losts! Abang hilang arwah papa. Lepas je dia dengar abang diberhentikan dari menyertai mana-mana perkhidmatan kerajaan dan dikenakan tindakan tatatertib, papa terus jatuh pengsan. He was sufferring from heart attack! Dan doktor tak mampu nak selamatkan dia. Dia meninggal dunia on the spot. Disebabkan tu, Farah dan Nabila salahkan abang. Diorang mula bencikan abang atas kehilangan papa. Farah hilang hormat pada abang. Nabila pula larikan diri dari rumah dan nak hidup berdikari. Dan satu dunia, salahkan abang atas setiap kejadian. Orang ramai mula tak percayakan abang. Masa tu, cuma mama sorang je yang setia di sisi" Setiap kejadian yang menimpa dirinya suatu ketika dulu mulai bergentayangan di udara. Betapa sakitnya dia tatkala harus berdepan dengan semua ujian tersebut. Sehinggakan jalan pintas yang difikirkannya adalah dengan membunuh diri.
"Bila abang rasa diri abang tak berguna pada orang ramai, abang ambik jalan singkat dengan cubaan membunuh diri. Tapi tak menjadi sebab mama sentiasa ada untuk halang setiap tindakan abang. Abang agak, mungkin Allah memang sengaja nak hantar mama masa tu. Dan tanda pada pergelangan tangan ni..." Firdaus membuang pandang pada pergelangan tangannya yang ketika itu sedang berada dalam tangan Rossa. "Abang buat dengan cucuh api kat situ. Ingat nak bakar diri masa tu, tapi mama was there to save me. Abang selamat tapi tanda ni tak hilang. Mungkin sebagai petanda yang abang kena sentiasa teruskan hidup. I was a weak man back then, sayang. Selepas bertemu dengan Rossa, baru abang ada keberanian untuk ubah hidup abang. Sebab abang nak Rossa sentiasa pandang tinggi pada abang. And I did it!" Bahu Rossa dia kucup.
Lamunan Rossa terganggu saat tangan Firdaus melingkari erat pinggangnya. Dia memandang wajah Firdaus yang masih memejam mata.
"Kenapa tak tidur lagi? Dah pukul berapa ni?" Saat itu, barulah mata Firdaus terbuka luas. Bertembung dengan pandangan Rossa, jiwanya mulai kacau-bilau.
"Rossa tak dapat tidur"
"Something bothers you?"
"Hmmm"
Kemudian, mereka senyap. Meluah rasa dengan pandangan mata masing-masing. Pandangan sayu yang penuh dengan cinta.
"I want to be with you" Bisik Rossa di telinga Firdaus. Mutiara jernih mulai memenuhi ruangan wajah. Dia ingin menikmati setiap sentuhan dan kucupan lelaki itu.
"Sayang..."
"I want you. All of you"
RANGE ROVER milik Firdaus sudah selamat tiba di perkarangan rumah Umi Za. Enjin dimatikan. Namun tiada tanda-tanda baik Rossa mahupun Firdaus untuk melangkah keluar dari kereta. Badan mereka masih mengeras di dalam perut kereta.
Rossa memandang keadaan sekeliling. Sunyi sepi. Tiada langsung senyuman umi menyambut kedatangan mereka seperti sebelumnya. Benci betul umi pada Firdaus.
"Kita dah sampai" Firdaus menahan sebak yang mula menempat dalam hati. Suaranya serak-serak basah. Puas rasanya menangis semalaman dalam dakapan Rossa.
Rossa senyap. Hanya bebola matanya memandang wajah Firdaus yang tenang. Dia tahu apa yang dirasai oleh lelaki itu. Hati mereka menyatu. Walau tanpa sepatah bicara, masing-masing mampu memahami apa yang terbuku di dalam hati.
"Jom. Nanti umi tunggu sayang lama sangat" Firdaus sudah hendak melangkah keluar namun Rossa menarik tangannya membuatkan langkahnya terhenti kejap.
"Kenapa?"
Wajah Rossa mendung. Setitik demi setitik airmatanya mulai bertakung lalu laju saja merembes keluar. Dia tidak mahukan perpisahan ini.
Bibir Firdaus mengorak senyum hambar. Dielus lembut pipi Rossa yang kian cengkung itu. "Kenapa nangis ni? Kan abang dah cakap, kita berpisah kejap je. Kalau sayang nangis macam ni, kalutlah abang. Nanti abang tak kuat nak lepaskan Rossa"
"Abang..." panggil Rossa syahdu diiringi airmata yang sudah membasahi pipi.
"Sayang abang tak?"
Kepala Rossa terangguk-angguk.
"Cinta abang tak?"
Laju saja Rossa mengiyakan.
"Kalau sayang dan cinta abang, jangan buat abang berbelah bagi. Rossa duduk je dulu dengan umi. Lepas Tuan Ihsan balik dari Maldives, abang akan mintak rekod tu dari dia. Lepas tu, abang akan jemput sayang balik. Lepas tu, kita pergi Korea. Dan, manalah tau dapat baby made in Korea" Nakal Firdaus tersengih sambil mengenyit mata.
Rossa tergelak. Pipi Firdaus dicubit manja. Aimata yang mengalir di pipi kelihatan semakin lambat memunculkan diri. Kali ini, Rossa dapat mengawal perasaan dengan lebih baik.
"Okay, jom! Kita jumpa umi" Ajak Firdaus walaupun ada getaran saat nama umi meniti di bibir. Dia tahu, umi membencinya. Disebabkan itulah hati dan jiwanya mulai tak seirama.
Mereka melangkah keluar dari kereta lalu mengatur langkah ke pintu hadapan. Salam diberi dan Mak Nab keluar dari arah dapur sambil menyahut salam. Demi melihatkan Rossa dan Firdaus, hatinya berlagu riang. Didakap erat tubuh Rossa dalam tangisan.
"Mak Nab rindu Rossa!" Luahnya dalam sebak.
"Rossa pun rindu Mak Nab"
Mereka melepas rindu buat seketika. Umi Za menuruni anak tangga dengan wajah yang mengeruh. Perlahan-lahan dia mendekati Rossa. Wajah Firdaus tidak mahu langsung dia pandang.
"Umi" Firdaus suakan tangan untuk bersalam. Namun Umi Za kelihatan dingin. Wajahnya dipalingkan ke sisi. Benci benar dia melihat wajah yang sudah membunuh suami dan anaknya itu.
Rossa melepaskan pelukan Mak Nab lantas bergerak mendekati umi. Dipeluk erat tubuh itu namun tiada balasan dari sang umi. Hati Rossa mula memberontak apatah lagi setelah kedatangan mereka seakan tidak dialu-alukan oleh umi.
"Umi sihat?" Rossa ramah menegur. Senyuman dia hadiahkan buat umi.
"Hmm" Umi Za berdehem. "Mak Nab, beg Rossa tu bawak masuk dalam. Lepas tu, pintu tu tutup. Jangan bagi orang sembarangan masuk rumah. Takde seri rumah ni nanti!" tukas Umi Za sambil memandang Firdaus.
Keluhan berat terdengar jua dari bibir Firdaus. Dia faham maksud sindiran tersebut. "Umi, Fir balik dulu. Tapi sebelum tu, Fir nak bagitau yang Fir tak bersalah langsung dalam kejadian 12 tahun yang lalu. Buat masa ni, Fir belum mampu nak buktikan apa-apa. Tapi nanti In Shaa Allah, Fir akan bawak balik bukti tu pada umi. Dan masa tu jugak, Fir akan bawak Rossa pulang ke pangkuan Fir. Terima kasih umi sebab masih sudi terima Rossa walaupun pada dasarnya, umi tak sukakan Fir lagi. Fir titip Rossa pada umi ye?" Firdaus tunduk menggapai tangan Umi Za lantas menciumnya. Setitik airmata gugur ke pipi.
Rossa sudah lencun dalam airmata. Saat melihat Firdaus pergi dengan senyuman di wajah, hatinya walang serta-merta. Apabila mendengar enjin kereta dihidupkan, Rossa segera berlari keluar. Melihat saja kereta itu perlahan-lahan meninggalkan halaman rumah, nafas Rossa seakan terhenti. Dia mengejar kereta Firdaus dari belakang dengan esak tangisnya.
"Abangggg!!"
Pandangan cermin belakang melihatkan Rossa sedang mengejar keretanya. Airmata sudah tidak sabar munculkan diri. Ingin saja rasanya dia berlari keluar mendapatkan Rossa namun dia tidak boleh pentingkan diri. Jika dia mendapatkan Rossa, itu bererti dia kalah pada keadaan. Dia risau jiwa Rossa kandas.
"Maafkan abang"
Range Rover itu laju membelah kesunyian jalan raya dan meninggalkan satu hati yang terasa kosong saat ini...
FIRDAUS kembali ke kondo dengan jiwa yang kosong. Rumah kedengaran sunyi tanpa ada Rossa di sisi. Che Mon awal-awal lagi sudah diberi cuti oleh Firdaus dan hanya akan kembali setelah dikhabarkan oleh Firdaus.
Langkah kakinya menuju ke sofa. Kebiasaannya, ketika pulang dari pejabat, dia akan disambut oleh Rossa dengan senyuman manis di wajah. Kemudian, mereka akan duduk di sofa dan berbual seketika. Itu dulu. Iya, itu dulu ketika Rossa masih dalam genggamannya. Kini semuanya telah berubah. Tiada lagi senyuman manis yang menyambutnya kembali. Tiada lagi suara manja dan lunak yang akan menyapa telinganya. Tiada lagi belaian mesra yang akan diterimanya.
Firdaus menyeka airmata yang gugur di pipi.Semakin diseka, semakin laju pula airmatanya merembes keluar. Dia akhirnya gagal mengawal emosi. Dimuntahkan jua tangisan di dada sofa. Kali ini, jiwanya benar-benar terasa sepi. Kosong. Dan sunyi.
"UMI tak kira. Umi nak Rossa bercerai jugak dengan Firdaus!"
Wajah Umi Za tiba dalam bebola mata Rossa. Dia tersentak mendengar kata-kata umi. Tangannya yang sibuk mengemas pakaian terus saja terhenti.
"Umi! Apa umi cakap ni?"
"Umi nak Rossa bercerai dengan Firdaus! Tu pun tak faham ke?"
Rossa terduduk di birai katil. Dada yang terasa sesak diurut perlahan. Bibirnya mengucap panjang.
"Umi sedar tak apa yang umi cakap ni? Kenapa umi buat Rossa macam ni?"
"Rossa sepatutnya sedar dan tahu yang suami Rossa tu pembunuh! Dia bunuh abah Rossa! Dia jugak yang bunuh adik Rossa!" bentak Umi Za. Dadanya berombak menahan amarah yang sudah sampai ke kemuncak.
Esak tangis Rossa jelas kedengaran. Ya Allah, dugaan apakah seberat ini? "Umi salah sangka. Umi tak boleh ke bagi ruang pada abang untuk buktikan yang dia tak bersalah? Dia berhak bagi penjelasan" Rossa membela Firdaus.
Wajah Umi Za menyeringai. Dia mendekati Rossa lantas mencengkam kedua bahu Rossa. "Bukti? Bukti apa lagi? Kalau betul dia tak bersalah, kenapa takde satu berita pun yang keluar di tv pasal dia? Kalau betul dia tak bersalah, kenapa polis semua cakap Firdaus yang memandu masa tu? Dan kalau betul Firdaus tak bersalah,siapa yang memandu masa tu haa?! Pelanduk dua serupa ke?"
Kecut perut Rossa melihat perubahan uminya seperti itu. Dia tahu Umi Za memang seorang yang keras kepala. Tetapi tidak sampai ke tahap seperti ini sekarang. Umi Za betul-betul sudah lain. Rossa jadi takut hendak menatap mata dan wajah itu.
"Umi. Kenapa umi berubah macam ni? Dulu umi jugak yang desak Rossa untuk kawen dengan Firdaus. Sekarang bila Rossa betul-betul dah jatuh cinta pada dia, umi nak Rossa bercerai dengan dia? Kenapa umi tak suruh Rossa bunuh diri je?" Kecewanya hati Rossa tatkala ibu kandung sendiri memaksa dia memusnahkan perkahwinannya sendiri sedangkan suatu waktu dulu, wanita itulah yang bermati-matian hendak menyatukan dia dengan Firdaus.
"Itu sebelum umi tahu siapa dia!" Bentak Umi Za lantas melepaskan bahu Rossa. "Rossa fikirlah sendiri.Kalau rasa nak jadi anak derhaka, buatlah. Tapi ingat. Sampai mati pun umi takkan ampunkan Rossa!"
Umi Za berlalu dengan perasaan benci. Telefon bimbit Rossa yang terletak di atas meja solek, dia gapai sambil mendengus kasar.
"Umi, bak balik handphone Rossa!" Rossa sudah menapak ke pintu bilik sambil memukul-mukul pintu tersebut. Tombol pintu dipusing berkali-kali. Umi Za lebih awal bertindak dengan mengunci Rossa dari luar.
"Umiii!!!" Rossa menjerit namun tiada siapa yang menyahut. Mak Nab yang berdiri di sisi anak tangga hanya mampu melihat dan mendengar adegan itu. Sedih hatinya melihat Umi Za memperlakukan Rossa seperti itu.
"Mak Nab dengar sini. Jangan nak pandai-pandai bukak pintu bilik Rossa atau nak tolong dia. Kalau Mak Nab tak nak saya datang hantu, Mak Nab jangan nak baik hati sangat tolong dia!" Umi Za menjegilkan mata lantas berlalu ke dapur.
Mak Nab menelan liur. Belum pernah dia melihat Umi Za berkelakuan seperti itu. Hatinya walang dengan nasib Rossa. Hanya mampu berdoa agar ada jalan keluar untum Rossa dan Firdaus.
Share this novel