SEUSAI makan malam, Umi Za mengambil peluang tersebut untuk berbicara dari hati ke hati dengan Rossa yang ketika itu sedang khusyuk menonton televisyen. Dia menghantar punggung bersebelahan Rossa. Dia tahu, beberapa hari ini dia terlalu memberikan tekanan kepada Rossa sehingga segala isi hati anak gadisnya itu dicurahkan kepada Mak Nab. Namun dia tidak mempunyai pilihan. Arwah Azman sudah lama meninggalkan mereka sedari Rossa kecil lagi. Dialah yang menggalas segala tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan ayah pada masa yang sama. Disebabkan itulah, adakalanya dia garang seperti seorang ayah, tetapi lembut dari sisi seorang ibu. Dia ingin Rossa terdidik dari segi dunia dan akhirat.
"Kenapa umi?" Umi Za tersedar dari lamunan saat suara lembut Rossa menyapa pendengarannya. Mata mereka bertaut.
"Umi tiba-tiba teringatkan arwah abah"
Demi mendengarkan itu, Rossa terus bersandar pada bahu umi. Dia juga merasakan hal yang sama, merindui arwah dan ingin bermanja dengannya.
"Kalau arwah abah tengok Rossa sekarang, mesti dia bangga. Rossa membesar dengan cantik, dan paling penting terdidik dengan ilmu ugama" Lembut. Serentak itu, dia genggam erat jari-jemari Rossa. Meminjam sekejap kekuatan yang ada dalam diri Rossa agar tubuhnya bisa berpaksi pada graviti menegak.
Rossa tersenyum manja. Dia pandang wajah Umi Za. Sebuah kucupan dihantar ke pipi itu. Rasa berdosa pula kerana menjadi anak yang ingkar beberapa hari ini.
"Umi, arwah abah hensem tak?"
"Hensem!" Dia tergelak tatkala terbayangkan wajah tampan suaminya. "Hidung dia mancung. Samalah macam Rossa" Serentak itu, tangannya mencuit hidung mancung milik Rossa. Apabila memandang wajah Rossa, dia ternampak bayang-bayang Azman di situ. Wajah Rossa ciplak habis wajah suaminya! Cuma Rossa itu versi perempuan. Umi Za tersenyum.
"Rossa ambik habis wajah abah tau? Takde satu pun wajah umi yang ada pada Rossa"
"Yeke umi?" Rossa seakan tidak percaya.
"Aah. Bila tengok Rossa, mesti umi ingat arwah abah. Kat situ, rindu umi terubat" Ada nada sendu kedengaran di situ. Disebabkan itulah, sebelum tidur dia akan menapak ke bilik Rossa dan memandang wajah itu dengan penuh kasih sayang. Rindunya juga terubat serta-merta.
Rossa memeluk Umi Za. Di situ, jatuhnya kasih dan sayangnya yang terlalu dalam buat wanita itu. Sebelum ini, dia begitu degil apabila dibicarakan soal jodoh. Kini, dia akan memuaskan hati umi tetapi berdasarkan hati dan fikirannya.
"Boleh umi tanya sesuatu tak?" tanya Umi Za.
Rossa mengangkat kepala memandang umi. Mata mereka bersabung.
"Umi nak tanya apa?"
"Rossa stress ke dengan permintaan umi untuk jodohkan Rossa dengan Hafizi?"
Rossa menggigit bibir. Ini mesti Mak Nab yang buka cerita.
"Err.. Rossa stress sikit je umi. Tapi Rossa akan cuba turut kehendak umi. Cuma Rossa mintak, umi bagi Rossa masa. Boleh tak?"
Umi Za mengusap kepala Rossa. Kasihnya terletak pada satu-satunya anak perempuannya ini. Dia tidak pernah bermaksud untuk memaksa atau memberikan tekanan kepada Rossa. Dia hanya inginkan Rossa dijaga dari segi dunia dan akhirat.
Umi Za mengangguk perlahan, bersetuju dengan permintaan Rossa. Sekurang-kurangnya dia tahu Rossa mencuba.
Rossa mengukir senyuman. Tubuh Umi Za didakap erat. "Terima kasih umi"
BMW putih milik Bakri diparkir di beranda rumah. Dia keluar dari perut kereta lalu bergerak ke arah pintu rumah. Di tangannya ada sebuah kotak segi empat sederhana kecil dan dibaluti dengan kertas hadiah berwarna putih. Dia memberi salam sejurus meletakkan cermin mata hitam di celah kolarnya.
Mak Nab menyambut salam dari dalam. Saat pintu rumah terbuka, senyumannya tersungging di bibir.
"Eh Bakri! Masuklah" pelawa Mak Nab mesra. Dia sempat mengerling jam di dinding. Pukul 7.30 pagi! Apa yang dia buat di sini seawal jam ni?
Bakri melemparkan senyuman. Dia ke situ hanya ingin memulangkan kembali novel Rossa yang tertinggal di dalam rangkumannya.
"Oh takpelah Mak Nab! Bak datang sini sebab nak bagi ni pada Rossa" Kotak itu diajukan kepada Mak Nab.
Mak Nab mengangkat kening. Tetapi laju saja tangannya menyambut huluran Bakri.
"Bak gerak dulu. Assalamualaikum" Bakri pamit sesudah itu. Tidak mahu berlama-lamaan di situ, bimbang gelora hati mulai dilanda badai asmara semula!
Mak Nab baru hendak bertanya lebih lanjut, tetapi bayang-bayang Bakri sudah lesap di sebalik kereta BMWnya itu. Penyudahnya, Mak Nab hanya mampu mengeluh dan menghantar Bakri dengan sorotan mata.
"Siapa tu Mak Nab?" Umi Za yang baru menuruni anak tangga, pantas bertanya. Dia sempat mendengar bunyi deruman enjin kereta sebentar tadi. Apabila ditilik semula, tuan punya badan bersama keretanya sudah hilang dari pandangan.
"Bakri. Dia datang hantar ni" Mak Nab tunjuk kotak itu kepada Umi Za.
"Bagi pada siapa?" Kotak tersebut bertukar tangan.
"Rossa" Jawapan Mak Nab menimbulkan tanda tanya pada benak Umi Za. Bibirnya ingin melantun lebih banyak pertanyaan, tetapi Mak Nab sudah hilang di sebalik dapur. Justeru, dia hanya mengunci diri lantas meletakkan kotak tersebut di atas meja bulat bersebelahan almari. Soalan itu dia simpan untuk Rossa sahaja.
SAAT menuruni anak tangga, Rossa terpandangkan sebuah kotak di atas meja bulat. Pantas saja derap kakinya menapak ke situ. Dia mengerut dahi.
"Apa ni? Untuk siapa? Dan daripada siapa?" Takkanlah untuk Mak Nab! Ada secret admirer ke Mak Nab tu? Rossa sempat tergelak. Kalau untuk umi, rasa-rasanya benda alah ni takde atas meja. Dah kena angkut masuk bilik.
Rossa meraba-raba sekeliling kotak tersebut. Ada sekeping nota kecil yang tertulis sesuatu di atasnya. Dia membaca nota itu dalam diam. 'Sometimes a little thanks could show how you appreciate somebody's actions!'
Bibirnya mengukir senyuman manis. Kini dia tahu siapa penghantar dan kepada siapa ianya dikirim. Rossa dapat menebak isi di dalam kotak tersebut.
Dengan perlahan-lahan, dia mengoyak kertas yang membaluti kotak tersebut. Saat itu, matanya terpana apabila melihat dua buah novel di dalam kotak itu. Salah satunya adalah novel miliknya. 'Percaya Aku'! Rossa tersenyum riang lantas memeluk novel tersebut.
"Akhirnya aku jumpa jugak kau! Rindunyaaaaa" Dia berseloroh sendiri. Tika itu juga, matanya menangkap sebuah lagi novel. Setahu dia, novel tersebut tidak ada di dalam senarainya.
"Berikan Aku Cinta" Rossa membelek-belek novel tersebut. Dia mulai jatuh cinta pada novel itu. Cantiknya badan awak novel! Hmmm, dia sengaja bagi ke novel ni? Atau dia tinggalkan untuk aku? Dia penggemar novel ke? Tiba-tiba dia teringat kata-kata Bakri tempoh hari. 'Ke awak nak saya simpan dalam kotak, wrap cantik-cantik dan hantar guna pos?' Rossa tersengih. Betullah tu. Bakri mengotakan kata-katanya.
"Tadi Bakri datang sini. Hantar kotak tu pada Rossa. Mak Nab tak tahu isi dalam dia. Mak Nab tak bukak lagi" bagitahu Mak Nab sambil berjalan mendekati Rossa.
Rossa tersedar dari angan-angan. Segera dia neutralkan riak wajah, bimbang dihidu oleh wanita itu. Mak Nab kalau bertanya, mengalahkan penyiasat terkemuka dunia!
"Laaa novel rupanya. Mak Nab ingatkan sepersalinan baju pengantin ke, ada sebentuk cincin ke..."
"Ishh Mak Nab ni! Merapu ke situ pulak!" cantas Rossa.
"Yelah. Biasanya kan orang lelaki suka bagi macam tu dekat perempuan dia suka"
"Mana Mak Nab tahu ni?"
"Mak Nab selalu tengok dalam drama!"
Rossa tergelak. "Apalah Mak Nab ni! Kaki drama betul!"
"Aik, tak betul ke?"
"Taklah Mak Nab! Tak boleh samakan dunia realiti dengan fiksyen!"
"Haaa fesyen?"
Rossa menepuk dahi. "Fiksyenlah Mak Nab! Rekaan semata-mata"
Mak Nab ketawa. Lucu melihat reaksi Rossa itu. Dia sudah melabuh punggung di kerusi berhadapan Rossa. Lama dia perhatikan riak Rossa itu, sehingga terkeluar soalan cepumasnya.
"Rosaa ada apa-apa ke dengan Bakri?"
Rossa yang sedang meraba-raba badan novel tersebut, terus memalingkan wajah. Mata mereka bertemu. Dahinya mengerut. Soalan itu menembus jauh ke dasar hati. Dengan segera, dia gelengkan kepala. Tidak mahu hatinya mempunyai apa-apa kaitan dengan lelaki bengis itu! Huhhh!
"Yeke takde?" Wajah Mak Nab sinikal. Rossa itu bukan dia boleh percaya sangat. Kalau dia bercerita, seluruh kisah akan dia ketahui. Tetapi kalau Rossa berahsia, sebesar debu hama pun mampu dia sorokkan.
"Yelah Mak Nab! Baru sekali jumpa, takkan terus bercinta?" Rossa memakukan kenyataan. Dan kenyataan itu akan terus terpahat di dalam benak dan hati sampai bila-bila!
"Tapi dia jauh-jauh datang ke sini semata-mata nak jumpa Rossa? Bagi novel ni pada Rossa? Tak ke namanya jatuh cinta ke tu?" Mak Nab menyangkal hakikat yang baru keluar dari bibir Rossa.
"Hish Mak Nab ni! Banyak tengok dramalah ni! Jauh mana je pun ceruk si Bakri tu tinggal? Dia pulangkan balik novel ni sebab novel ni memang Rossa punya. Kan tak baik ambik barang orang tanpa izin, tanpa kebenaran! Lagipun, si Bakri tu banyak kali kerja nak kena buat dari nak jatuh cinta dengan Rossa ni!" Rossa menguatkan lagi hujah-hujahnya. Mak Nab kalau tidak dikalahkan dengan kata-kata yang bernas, mahunya terperangkap dia!
"Kalau nak hantar novel sekalipun, boleh je dia call Rossa kan? Apa susah? Lagi susah kalau dia kena drift jauh-jauh ni sebab nak hantar novel je?"
"Drivelah Mak Nab. Drift tu lain! Lagi satu, Bakri tu takde nombor Rossa" Rossa tidak mahu beralah.
"Tapi tadi dia tergesa-gesa tau? Haaa tu maksudnya walaupun dia tengah kejar masa, dia sanggup datang sini semata-mata nak pulangkan novel ni pada Rossa"
Rossa tidak berkutik. Payahlah nak membidas segala hujah Mak Nab! Tapi betul ke? Huhh!! Lelaki bengis yang penuh misteri. Dia pandang novel berkulit biru itu. 'Berikan Aku Cinta!' Apa yang dia mahukan sebenarnya?
UMI ZA sibuk mengendalikan kedai makannya tengah hari itu. Terlalu ramai pelanggan sehingga dia tidak cukup tangan. Setelah memberikan pesanan kepada bahagian dapur, dia kembali ke kaunter pembayaran. Hari ini, Nabila yang biasanya ditugaskan di bahagian cashier meminta cuti kerana ingin mendaftarkan diri ke kolej. Gadis yang baru menjengah ke usia 18 tahun itu baru sahaja lepasan SPM. Umi Za tidak banyak songeh apabila diberitahu soal itu. Natijahnya dia terpaksa berkejar-kejar menyiapkan tugasan.
"Assalamualaikum umi" Sapa satu suara di celah telinga. Umi Za yang ketika itu sedang sibuk memulangkan baki duit pelanggannya, lantas menoleh. Kemudian, sebuah senyuman dilemparkan.
"Waalaikummussalam. Hafizi kan?"
Lelaki yang mengenakan t-shirt panjang dan berseluar slack itu tersenyum manis kepadanya. Dia turut mengangguk kepala.
"Duduklah dulu. Umi busy sikit. Order apa yang Fizi nak. Kejap lagi, kita berborak" Hafizi mengiyakan saja. Dia mengambil tempat paling hujung sekali, agak tersembunyi daripada perhatian orang ramai.
Dalam pada itu, Hafizi sempat melihat kesibukan kedai makan itu. Mengagumi akan kerajinan dan ketekunan Umi Za menguruskan kedai makan itu sendiri. Dia sebenarnya berhajat sesuatu daripada Umi Za. Itupun atas perintah Bakri yang sedang menunggu di luar kedai, bersembunyi di dalam kereta. Dia sempat tergelak apabila mengenangkan perangai abangnya itu. Menurut Bakri, dia akan menolong Hafizi untuk menguruskan Rossa tetapi dengan syarat, dia juga harus ada bersama. Dan dia juga berjanji akan menjelaskan segala-galanya kepada Rossa tentang perjodohan ini.
"Fizi dah order ke?" tegur Umi Za lantas duduk di hadapan Hafizi. Keadaan kedai mulai lengang. Waktu-waktu begini kebanyakan mereka sudah kembali ke tempat kerja.
"Eh takpelah umi. Fizi datang sini sebab ada hajat"
"Laaa yeke? Kenapa tak bagitau nak datang? Boleh jumpa kat rumah je" ujar Umi Za, sedikit ramah.
"Takpe. Kat sini pun okey je umi. Fizi pun tak dapat lama ni"
"Fizi nak mintak apa ye?"
"Hmm macam ni umi" Hafizi sempat menjengah leher ke luar kedai. Berharap agar Bakri akan datang dan menyampaikan sendiri hajat di hati. "Umi ada nombor telefon Rossa tak?" Perlahan. Mendatar. Tapi sempat disorokkan rasa gugup itu. Ini kalau Sarah tahu dia meminta nombor perempuan lain, mahunya perang dunia! Tapi bukan salah dia. Ini semua permintaan Bakri.
Umi Za tersenyum. Ingat apalah tadi! Lantas, dia keluarkan telefon bimbit dari kocek jubahnya. Nombor Rossa dia cari.
"Nah, ni nombornya" Diajukan kepada Hafizi.
"Thanks umi" ucap Hafizi sesudah mencatatkan nombor Rossa ke dalam telefon bimbitnya.
"Sama-sama. Kamu nak apa-apa ke dari Rossa?" Umi Za sempat bertanya. Pagi tadi, Rossa menerima sebuah bungkusan daripada Bakri. Kalau mengikut perkiraannya, dia mampu mengagak itu adalah hadiah dari Bakri untuk Rossa. Kini, Hafizi pula tampilkan diri dengan berhajatkan nombor Rossa. Sesuatu terhidu aneh!
Hafizi sembunyi gugup. Takkan nak cakap abangnya yang psikik dan berlagak macho itu yang berkenan?
"Fizi ada hal nak bincang dengan Rossa. Umi tak marahkan?"
Umi Za pantas menggeleng kepala. Marah tak, suka lagilah ada! Kalau tidak dengan Hafizi, sekurang-kurangnya jodoh Rossa dengan Bakri! Itu pun dia sudah cukup bersyukur.
"Okeylah umi. Fizi nak gerak dah. Ada kerja kat hospital sana. Terima kasih umi. Assalamualaikum" ucap Hafizi lalu menyalami tangan Umi Za. Dia bergerak menuju ke kereta Bakri. Tugasan pertama selesai. Ada dua tugasan lagi harus dituntaskan!
Umi Za menghantar kepermegian Hafizi dengan pandangan mata yang redup. Walaupun kurang mengetahui akan urusan yang dikatakan oleh Hafizi sebentar tadi, namun dia tahu ianya berkaitan dengan perjodohan mereka. Akan dia korek segalanya melalui Rossa nanti!
"DAH dapat?" soal Bakri apabila Hafizi sudah memboloskan diri ke dalam perut kereta. Brek tangan diturunkan. Dia memecut laju BMWnya. Wajahnya serius.
"Dah. Sini handphone kau"
Bakri akur. Iphone bertukar tangan. Nombor Rossa disimpan di dalam senarai kontak Bakri. Dia mengerut dahi seketika. Nak letak nama apa?
"Letak je Budak Kecik" Seolah memahami apa yang ada dalam fikiran Hafizi, Bakri memberikan cadangan.
Erkkk??! Budak Kecik? Namun dia turutkan sahaja kemahuan si abang. Sesudah itu, Iphone tersebut diserahkan kembali kepada Bakri.
"First task dah selesai. Ada dua lagi long"
Bakri mengangguk. "Bila kau nak jumpa Rossa?" Serius saja nada suaranya.
"Esok. Kau free tak?"
Bakri mengangguk lagi. Tinggal dua lagi kerja, setelah itu dia tidak akan berjumpa atau menghubungi Rossa lagi.
"Kau plan apa sebenarnya long?" Hafizi pelik apabila Bakri meminta bantuannya untuk mendapatkan nombor Rossa. Bila dicabar untuk mendapatkan sendiri nombor Rossa, alasan Bakri cuma satu. Rossa tak sukakan dia! Jadi teramatlah mustahil untuk mendapatkan nombor Rossa melalui tuan punya badan.
"Takde plan!" Selamba saja jawapan Bakri.
Hafizi menepuk dahi. Dia bersusah payah dapatkan nombor Rossa, tetapi dengan selamba Bakri berkata begitu.
"Habis tu?" Hafizi memuntahkan kebimbangan.
"Kita jumpa Rossa. Kau bawak Sarah. Jelaskan segala-galanya pada Rossa. Kau tak nak kawen dengan dia sebab kau dah ada Sarah. Itu kerja kedua. Yang ketiga, kau dan Rossa kena jelaskan pada family kita yang kau berdua tak setuju dengan perkahwinan ni. So, all settle!" Serius dan lantang. Itu saja idea yang dia.ada buat masa sekarang. "Dan aku tak perlu jumpa Rossa lagi lepas ni" Perlahan tetapi masih mampu ditangkap oleh Hafizi.
Hafizi mengunci diri. Dia setuju dengan idea tersebut tetapi bagaimana pula dengan Rossa? Buatnya Rossa tiba-tiba setuju dengan percaturan ini, nayalah dia! Pasti teruk dia dikerjakan Sarah nanti.
"Long"
"Hmmm?"
"Kenapa tak kau je yang kawen dengan Rossa?"
Bakri memaling wajah. Mata mereka bersatu. Kemudian, dia berpaling lagi ke hadapan, fokus kembali pada pemanduannya.
"Dia tak suka akulah! Aku ni dah tua. Dah 36 tahun. Dia tu masih muda. Mana nak dengan pucuk tua macam aku ni?"
"Tapi kau suka dia kan?" Hafizi sengaja serkap jarang.
"Merepeklah kau ni. Itu tak mungkin berlaku, faham? Kau dah lupa ke apa yang pernah terjadi pada arwah Lia?"
Hafizi mengeluh. Masakan dia lupa pada kakak ipar 2 jamnya itu. Semuanya masih segar dalam ingatan. Namun sudah 9 tahun berlalu. Takkanlah Bakri masih hidup dalam sejarah silam? Hidup harus diteruskan meskipun bukan mengikut rencana kita. Kerana setiap yang Allah aturkan, pasti mempunyai asbabnya tersendiri.
"Tu kisah lama long. Mama dengan papa dah lupakan semuanya. Kami dah terima dengan hati yang terbuka. Kenapa kau tak lepaskan saja arwah Kak Lia? Aku yakin, dia pun nak kau bahagia"
"Kau tak tahu apa-apa! Jangan nak masuk campur urusan along! Along selesa macam ni..."
"Sampai bila? Kau tak teringin ke nak kawen? Nak ada keluarga sendiri? Tak teringin nak disayang dan menyayangi seseorang? Sampai bila kau mampu hidup seorang diri?"
Bakri kaku. Bukan dia tidak pernah mencuba. Namun setiap kali mencuba, dia hanya akan menemui jalan buntu. Dia tidak mampu menerima gadis lain selain Marlia. Tetapi ketakutan yang paling terbesar adalah kehilangan! Dia takut jika gagal lagi melindungi orang yang disayanginya. Cukuplah pisang berbuah dua kali. Dia sudah tidak mampu untuk mempercayai cinta kerana perasaan itu acapkali menjadikan dia manusia yang tewas.
Hafizi turut sama membatukan diri. Sudah mampu diagak reaksi kaku Bakri setiap kali mereka membincangkan perkara ini. Tetapi tidak mengapa. Setelah semuanya selesai, dia akan meminta pertolongan daripada Rossa untuk 'merawat' abangnya itu! Nampak gayanya, dia masih punya task untuk mengembalikan Bakri ke dunia nyata. Dan untuk task kali ini, dia harus terpaksa melibatkan Rossa!
Share this novel