SEJAK cinta Fahmi ditolak oleh Aina, lelaki itu sudah semakin positif. Dia mula menerima baik setiap perkara dengan hati yang terbuka. Bahkan dia juga kembali ceria seperti selalu. Rossa sempat berfikir yang Fahmi akan melakukan hal yang tidak diingini, seperti yang pernah dikatakan oleh Firdaus kepadanya dulu. Namun sangkaan itu meleset sama sekali. Fahmi mampu menerima kekecewaan itu dengan lapang.
Dan sejak hari itu juga, mereka menjadi rapat. Pantang ada waktu cuti, Fahmi pasti akan mengajak Rossa keluar. Menonton wayang dan adakalanya masa dihabiskan di rumah dengan berkongsi resepi masakan dengan Rossa.
Malam itu, setelah selesai mengerjakan solat Isyak, Fahmi duduk berteleku di atas katil. Mengingat kembali saat-saat bersama Rossa, dia simpul senyum. Tenang hatinya tatkala bersama Rossa. Gadis itu pandai menghangatkan suasana.
Telefon bimbit di atas meja digapai. Dia membuka fail album. Bibirnya menyungging senyuman manja tatkala melihat swafotonya bersama Rossa. Terlalu banyak kenangan dan momen indah dirakam mereka bersama.
Wajah Rossa yang tersenyum indah dipandang tak berkelip. Tiba-tiba hatinya dipacak debar yang bukan sedikit. Setiap kali bertentang mata dengan seraut wajah itu, hatinya meletup riang. Jantungnya berdegup kencang. Tidak pernah dia merasakan getaran seperti itu sebelum ini. Walaupun dia pernah jatuh suka dengan 13 wanita setakat ini, tapi tidak ada satu pun yang mampu memberikan getaran maha hebat seperti Rossa.
Fahmi kaget. Adakah dia sudah jatuh cinta pada Rossa?
DIA kehilangan kata-kata.Jantungnya seperti bunga api yang baru dicucuh api. Kemesraan yang terjalin di antara Rossa dan seorang lelaki yang bermata sepet mengacau-bilaukan neuron-neuron yang sedang berinteraksi dalam otaknya. Dia tidak habis fikir. Siapa lelaki itu? Apa hubungannya dengan Rossa?
Bakri mengeluh. Hatinya disengat sarang cemburu. Dua minggu telefon bimbitnya menyepi daripada menerima panggilan Rossa. Adakah itu puncanya Rossa tidak mahu menghubunginya lagi? Barangkali gadis itu sudah penat untuk bermain tarik tali dengannya. Tadi semasa hendak menemui Rossa ke kedai, dia sempat melihat Rossa dan seorang lelaki begitu rancak berborak. Ada masanya mereka bergurau senda sehingga satu kedai riuh dengan suara mereka. Bakri benar-benar rasa tercabar. Tetapi dia tidak mahu beralah. Rossa sudah berani menggodanya. Jadi untuk melepaskan gadis itu pergi, bukanlah keputusannya. Dia ingin memiliki Rossa secara sah. Agar semua urat sarafnya berhenti berdenyut, berhenti memikirkan gadis manis itu. Selain itu, dia juga ingin melindungi Rossa daripada musuh-musuhnya.
Pintu pejabatnya diketuk. Tersembul wajah Zaid dengan sengihan di bibir. Di tangannya ada sebuah katalog dan fail yang diminta oleh Bakri.
Duduk melabuh punggung di kerusi berhadapan Bakri, serentak fail dan katalog tersebut bertukar tangan. Dia tidak kisahkan fail tersebut kerana mereka selalu menerima fail itu dari seseorang. Yang menjadi persoalannya sekarang adalah katalog yang sedang ralit diteliti oleh Bakri. Katalog itu semuanya berkisar mengenai cincin! Apa yang ingin dilakukan oleh Bakri sebenarnya? Takkanlah pegawai atasannya itu sudah jatuh cinta? Hmm, berita sensasi ni!
"Kau dah takde kerja lain ke selain nak tengok aku je?" Bakri sudah memetir dengan garau suaranya.Walaupun anak matanya masih melekap pada katalog, tetapi ekor matanya mampu menangkap bahasa badan Zaid.
Zaid tersengih lantas mengambil peluang untuk bertanya. "Siapa gadis bertuah tu Bak?"
Bakri mengangkat wajah. Menyoal Zaid dengan pandangan mata. Keningnya bersambung.
"Kau tengok majalah cincin tu dari tadi. Kau beli cincin untuk siapa?"
"Takde siapa-siapa! Saja nak tengok. Kot-kot ada antara anggota kita yang nak kawen. Boleh aku suggestkan dorang beli cincin dari sini" Bakri mencipta alasan, sengaja hendak melarikan diri dari terus disiasat. Katalog tersebut dibelek satu persatu. Namun tidak ada satu pun yang menarik minatnya.
"Kau dibayar gaji untuk jaga aku ke?" sindir Bakri lagi apabila dilihatnya Zaid tidak berkutik.
Zaid memberikan sengihan lantas mengangkat punggung.Hmm, ada sesuatu yang dia sorok ni! Baru sahaja hendak menapak keluar, terasa namanya dipanggil kembali.
"Apa yang perempuan biasa suka sebagai hadiah? Atau untuk pujuk dia?" Zaid tercengang dengan soalan Bakri. Sah! Dia memang tengah sorok sesuatu!
SEPERTI saranan Zaid, Bakri membelikan tiga kuntum mawar merah sebagai luahan perasaan. Kata Zaid, tiga kuntum mawar itu mewakili tiga perkataan. I Love You! Walaupun kedengaran agak klise, tetapi dia turutkan juga. Untuk hari pertama, dia kirimkan kuntuman mawar kepada Rossa. Dihantar terus ke rumah melalui pos. Siap dengan kata-kata cinta yang telah diajarkan oleh Zaid. Tergelak sendiri apabila membaca bait-bait kata tersebut,
'Your sweet smile
Blame it on your sweet smile
That rattles my bones
And breaks my heart
I love you, I represent these roses for you
As your name is Rose..Sa'
BINGUNG Rossa memikirkan gerangan yang menghantar bunga mawar tersebut. Siap dengan madah-madah cinta sekali! Siapa punya angkara? Firdaus? Tidak mungkin kerana dia sudah bertanyakan hal itu kepada lelaki itu. Dan menurut Firdaus, dia tidak menghantar apa-apa bunga kepada dirinya. Bahkan Firdaus sempat mengusiknya dengan berkata bahawa dia mempunyai peminat rahsia. Langsung tak masuk dek akal! Siapa pula yang berminat terhadap dirinya? Bakri? Jauh sekali. Lelaki itu sudah berhenti mempercayai cinta bahkan secara terang-terangan dia telah dipulaukan oleh lelaki itu. Buktinya, sehingga ke saat ini Bakri tidak pernah menghubunginya meskipun jarinya hampir patah kerana asyik mendail nombor yang sama.
Rossa fikirkan peminat rahsia seperti yang didakwa oleh Firdaus itu sudah berhenti mengirim bunga. Kali ini, dia buat lagi tetapi bukan bunga yang dikirim. Rossa menerima seutas jam tangan bercorak bunga mawar. Seperti biasa, terselit bait-bait kata indah di sebalik kotak jam tersebut.
'One. Two. Three.
I count the numbers until the end.
But it never lasts.
And I wish to count it with you.
So that the time keeps on walking by
And you, stay forever by my side
Rose..Sa. As complete as your name
This little time will complete your life'
Rossa naik geram. Hadiah kali ini tidak mampu meninggalkan kesan di dalam hatinya. Siapa lelaki misteri itu? Dia yakin pengirimnya adalah seorang lelaki pengecut yang hanya bermadah di sebalik hadiah-hadiahnya! Masakan perempuan pula yang mengirimkan hadiah sebegini. Arghh!
Usaha si pengirim tidak terhenti setakat itu. Setelah hari kedua menerima jam tangan, hari ketiga dan seterusnya berbagai jenis hadiah yang diterima oleh Rossa. Seperti biasa, si pengirim akan menyelitkan bait-bait kata indah sebagai peneman.
Rossa sudah bosan. Sudah masuk hari ke-16. Hadiah dari si pengirim misteri tidak pernah surut. Tetapi wajah aslinya tidak pernah pula kunjung tiba. Rossa tidak inginkan kesemua hadiah tersebut. Yang dia inginkan hanyalah si pengirim menghantar diri dan bersemuka dengannya. Sudahlah tidak ada satu maklumat pun yang boleh dia korek melalui kesemua hadiah itu.
"Rossaaaaa!" Jeritan Mak Nab bergema di seluruh rumah. Rossa pantas mendapatkan Mak Nab di bawah, risau sekiranya wanita itu kenapa-napa.
"Kenapa Mak Nab?" Wajah Rossa sudah cemas.
"Ni..." Mak Nab menunding jari ke arah sebuah kotak besar yang diletakkan di hadapan pintu rumah.
"Mak Nab ni buat suspens Rossalah!" gerutu Rossa lantas mendapatkan kotak tersebut. Ringan pulak! Desisnya sendiri. Dibawa masuk sehingga ke meja bulat. Diletakkan di atas meja.
"Alaa Mak Nab tengok kat tv, dorang jerit macam tu. Macam seronok je dapat jerit macam tu"
"Mak Nab ni memang kaki dramalah!"
"Drama tak drama! Kali ni hadiah apa pulak?" tanya Mak Nab ingin tahu. Selalunya Rossa menerima kotak kecil sahaja. Hari ini besar pulak kotaknya. Dia pulak yang teruja, mengalahkan Rossa lagaknya!
"Tak tahu pulak Rossa" Perlahan-lahan tapi penuh hati-hati, dia mengoyakkan celo tape yang mencantumkan kotak tersebut. Kali ini senang saja kerjanya. Kotak besar itu tidak dibaluti dengan kertas hadiah, memudahkan dia untuk membukanya.
Rossa dan Mak Nab hendak menjenguk wajah ke dalam kotak tersebut. Tiba-tiba Mak Nab menahan.
"Kena hati-hati ni Rossa! Manalah tahu ada orang nak parang kita"
"Parang?" Rossa sudah membayangkan parang yang selalu Mak Nab gunakan untuk menetak ayam dan ikan di dapur.
"Alaa, yang rancangan kat tv tu. Yang selalu kenakan orang"
"Pranklah Mak Nab!" Rossa menepuk dahi. "Mak Nab ni banyak sangatlah tengok tv! Pengaruh tak elok ni" Rossa menjenguk wajah ke dalam kotak. Ada sebuah buku di situ. Serentak itu juga, tangannya mengambil buku tersebut. Berkerut dahinya membaca judul novel tersebut.
"Jauh Dari Cinta, karya Adah Hamidah" Rossa tahu novel itu. Kerana dia punya koleksi novel itu juga. Ada satu nota kecil yang diselitkan di antara muka surat novel itu. Rossa menariknya keluar lantas membacanya. "I, once was far from love. Didn't have faith in those words. Even tho I had choices. But did I?"
Rossa semakin pelik. Hari ke-16, itu hadiah kedua yang dia terima. Otaknya ligat berfikir siapa si pengirim misteri. Terdetik di hatinya untuk menyasarkan Bakri tetapi itu tidak mungkin.
Keesokan harinya pula, Rossa menerima kotak yang sama dan isi yang sama. Tetapi judul novel yang berbeza. Epilog Cinta Duka. Novel ini tiada dalam senarainya. Sebuah nota kecil dia tarik keluar.
'I had a love story back then
Its like others
Count the stars and moons together
But I want it to be with you
So that my Epilog Cinta Duka
Will turn to My Pieces of Heart.
Soon dear!'
Dan hari seterusnya Rossa menerima novel English pula. Tajuknya My Pieces Of Heart. Ohh.. baru dia teringat. Nama novel English itu ada terselit di dalam nota sebelumnya. Teringatkan nota, Rossa cepat-cepat mencarinya di sebalik novel tersebut. Namun Rossa tidak menemukan sebarang nota kecil di situ.
"Hmmm hari ni takde pulak nota dia"
Selepas hari itu, dia menerima novel yang lainnya pula. Nota yang terselit dia baca perlahan.
"Knowledged that my heart starts to be stolen, I am trying to make it my foe. But, I can't. Its all because of Dibadai Rindu Asmara" Rossa tersenyum. Mulai senang dengan penerimaan novel demi novel dari pengirim misteri. Semakin tidak sabar menunggu hari esok!
Apabila esok menjelang, Rossa awal-awal sudah tercegat di hadapan pintu rumah. Setelah balik dari kedai, dia terus mandi dan menunaikan solat. Kemudian, cepat-cepat turun ke bawah. Menunggu novel selanjutnya.
Si pengirim misteri benar-benar misteri dan bijak. Novel yang dikirimkan akan dibuat pada petang hari, yakni sesudah Rossa balik dari kerja. Apa motifnya, Rossa sendiri kurang pasti. Hari itu, dia dapat dua buah novel.
Teka Teki Cinta dan Utuskan Aku Rindu. Seperti mengetahui, nota kecil dia tarik lalu dibaca. Tetapi penulisannya kali ini dalam Bahasa Melayu pula. "Dalam banyak teka-teki, perasaanlah yang paling sukar untuk ditebak. Tersalah tekaan, tersalahlah langkah. Tapi tidak mengapa. Kerana akan kau Utuskan Aku Rindu setelah Teka Teki Cinta terjawab"
Rossa menyungging senyuman manja. Si pengirim seorang yang bijak bermain dengan kata-kata sehingga mampu membuat dia tidak sabar menanti hari esok!
Share this novel