59

Romance Completed 28168

PELBAGAI sajian makanan terhidang di atas meja. Malam itu, Umi Za ingin menyambut kembali kepulangan Firdaus ke rumahnya, sekaligus sebagai tanda meminta maaf di atas kesilapannya yang pernah berniat jahat pada Rossa dan Firdaus sebelumnya.
Mak Nab hanya sebagai pemerhati kerana Umi Za sudah awal-awal melarangnya untuk campur masak. Wajah Umi Za cukup gembira kerana pada akhirnya dia dapat menerima Firdaus dengan hati terbuka.
"Banyaknya Za masak. Ni siapa nak habiskan nanti?" tegur Mak Nab sambil matanya melihat gelagat Umi Za yang dari tadi sibuk di meja makan. Hidangan terakhir yang disajikan adalah sambal petai. Meliur jugak tekak Mak Nab saat berpampasan dengan lauk itu.
"Untuk kita semualah. Untuk siapa lagi?"
"Kita semua tu siapa?"
"Eh eh Mak Nab ni! Untuk saya, Mak Nab, Rossa dan Firdauslah!"
Mak Nab terkesima. Setahu dia, Umi Za memang tidak sebulu dengan Firdaus. Kenapa pula malam ini tiba-tiba angin Umi Za berubah? Siang tadi juga begitu. Dia hairan menyambut kedatangan Firdaus yang berhajat hendak membawa Rossa kembali ke kondo mereka. Padahal sudah sedia maklum akan arahan keras Umi Za yang melarang Rossa berjumpa Firdaus.
"Nantilah saya cerita dengan Mak Nab. Yang penting, yang perlu Mak Nab tahu, saya dah boleh terima Fir sebagai menantu saya.Mak Nab happy tak?" Wajah blurr Mak Nab menjadi tatapan Umi Za. Dia tahu, wanita tua itu sedang dirundung kebingungan dan tidak tahu mengenai perkara sebenar.
"Alhamdulillah.Walaupun Mak Nab belum tahu hujung pangkal cerita, tapi Mak Nab tetap bersyukur yang Za dah boleh terima Fir dalam hidup Za. Sekurang-kurangnya, taklah merana si Rossa tu" Mak Nab ucap syukur kerana Allah telah membuka semula pintu hati Umi Za.
Keluhan berat termuntah dari bibir Umi Za. Mengingatkan Rossa, hatinya diterpa rasa bersalah yang bukan sedikit. Selama beberapa bulan Rossa berjauhan dari Firdaus, dia sedar pipi gebu itu kerap kali basah dengan airmata. Namun dia saja yang terus-terusan menyanjung tinggi egonya.
"Saya rasa bersalah pada Rossa. Saya layan dia macam tu, padahal dia tu anak kandung saya. Kesian dia. Tersepit antara ibu kandung dan suami sendiri"
Jika dari dahulu Umi Za mendengar butir penjelasan daripada Firdaus, pasti perkara seperti ini tidak akan berlaku. Namun tiada apa yang patut disesali. Semua yang terjadi adalah kerana aturan Allah. Yang pasti, mereka harus tetap meneruskan hidup di alam fana ini.

"ABANG tak takut ke kalau umi marah abang?"
Bebola mata Rossa hanya singgah pada gelagat Firdaus yang ketika itu sedang memakai baju. Tuala dia sidai pada besi penyidai. Kemudian dia bergerak ke birai katil lalu duduk di situ bersebelahan Rossa. Segar rasanya selepas tubuh yang keletihan itu disimbah pancutan air hujan sebentar tadi.
"Taklah. Umi bukan makan orang. Umi makan nasi" Firdaus sempat bergurau. Tangan Rossa dia gapai lalu dibawa ke bibir. Betapa dia rindu pada gadis itu sehinggakan hampir setiap malam dia membuat solat hajat agar dipermudahkan segalanya. Syukur, Allah mendengar doanya.
"Memanglah umi makan nasi. Tapi abang kan tau umi macam mana dengan abang. Kalau umi terserempak dengan abang nanti macam mana?" Rasa hendak menangis apabila dia membayangkan apa yang bakal terjadi kepada hubungan mereka. Apatah lagi saat ini dia sedang mengandung, jiwanya pasti sangat memerlukan Firdaus.
"Buat tak tahu jelah. Apa susah?" jawab Firdaus sambil tergelak kecil. Risau sangat Rossa sehingga dia tak tahu hubungan dia dan umi sudah kembali reda.
"Abang ni kan suka anggap ringan semua benda! Bencilah! Orang tengah risau, dia boleh main-main pulak! Abang memang tak sayang orang!" Terletus jua api kemarahan Rossa saat itu. Dia risau dan sedih jika harus berpisah semula dengan Firdaus. Tetapi suaminya itu buat tak tahu sahaja.
Wajah Firdaus mengeruh. Elok saja mereka bercakap, dan niatnya juga hanya ingin bergurau, tetapi Rossa sejauh itu sudah melenting.
"Heii, kenapa ni?! Abang tak sukalah sayang cakap macam tu? Kenapa suka sangat cakap benda tak elok macam ni?"
Nada suara Firdaus perlahan tetapi penuh tegas. Masuk kali ini sudah dua kali Rossa mempertikaikan kasih sayangnya. Dia berkecil hati kerana Rossa ragu-ragu pada dirinya.
Rossa sudah menangis. Semakin jelas dan kuat. Pilu rasa hatinya apabila Firdaus seolah-olah menengkingnya, padahal niatnya baik.
"Kenapa sayang nangis?" Bahu Rossa disentuh. Terhenjut-henjut bahu itu menahan sebak di dada.
"Abang marah Rossa.Tak boleh ke cakap baik-baik?"
Firdaus menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mati akal dengan perlakuan aneh Rossa itu. Bila pulak aku marah dia?
"Bilanya abang marah Rossa?"
"Tadilah! Tak mengaku pulak" tempelak Rossa sambil mengesat airmatanya.
"Mana ada abang marah. Abang tegur je. Sayang suka cakap benda tak baik. Nanti jadi betul-betul, nak ke?"
Rossa mendongak wajah memandang Firdaus. Matanya terkebil-kebil. "Abang nak ke?"
Firdaus ketap bibir. Geram hati dengan wajah polos Rossa yang cukup menggoda hatinya. Lantas, sebuah kucupan dilayangkan kedua-dua pipinya.
Rossa tersengih. Senang hati dengan perlakuan Firdaus terhadapnya. Dia duduk di atas riba Firdaus lalu memaut leher suaminya. Hatinya berkira-kira hendak memaklumkan berita gembira tersebut. Apa agaknya reaksi Firdaus apabila mengetahui dia mengandung lagi?
"Kenapa ni? Hmmm?" Pipi Rossa dielusnya manja. Bibirnya hinggap pada bahu Rossa.
"Abang..." Ayat Rossa meleret-leret.
"Hmmm?"
"Rossa ada benda nak bagitahu"
Wajah Rossa dipandang tak berkelip. "Apa dia?"
Tangan Firdaus, Rossa gapai lalu dikucupnya lama. Kemudian, tangan itu dia bawa ke pipinya. Sengaja hendak bermain-main terlebih dahulu. Sempat dia tangkap wajah Firdaus yang tenang sambil sabar melayan karenahnya.
Setelah puas bermain dengan tangan Firdaus, dia terus meletakkan tangan itu di atas perutnya sambil tersenyum manja.
Firdaus pada mulanya tidak memahami maksud Rossa tetapi apabila melihat wajah manis itu tersenyum, barulah dia dapat menangkap maksudnya. Lebar senyuman Firdaus sehingga tubuh Rossa ditarik ke dada.
"It's our baby" Bisik Rossa ke telinga Firdaus. Pelukan dia leraikan kemudian wajah Firdaus menjadi tatapannya. Dia lihat wajah itu sedang basah dengan airmata. Menangis kegembiraan!
"Bila sayang check?"
"Dua hari lepas. Doktor cakap dah 5 minggu dalam perut Rossa"
"Patutlah kuat merajuk, suka nak marah-marah sekarang. Rupanya, ada baby dalam perut sayang. Waaaaa, abang happy gilaaaa!" Wajah Rossa dikucupnya bertalu-talu. Gembira bukan main lagi dia menerima berita baik itu.
Rossa tergelak. Perlakuan Firdaus dibiarkan saja. Kebahagiaan yang sungguh dia idamkan. "Abang happy?"
"Of course! Thanks sayang for this priceless gift!" Tubuh Rossa bersatu dengan tubuhnya. Nikmat yang satu ini cukup dia hargai. Semakin kuat rasa sayang dan cintanya pada gadis itu.

TANGAN Firdaus dia tarik perlahan-lahan menuruni anak tangga. Lehernya memanjang ,menjengah keadaan sekeliling. Risau pula jika Umi Za terhidu perbuatan mereka. Tetapi lagi membimbangkan kalau Firdaus dihalau keluar sekali lagi oleh uminya.
Firdaus hampir tergelak dengan reaksi Rossa. Penakut betul! Padahal dia dan Umi Za sudah berbaik. Dituruti saja kemahuan Rossa. Jika tidak, merajuk tak bertempat lagilah isterinya itu!
"Abang, umi dah baliklah! Abang tak boleh lama-lama kat sini" Suara Rossa mendung. Wajahnya mencuka. Berpisah lagilah nampak gayanya!
"Kenapa takut sangat dengan umi ni? Umi tak makan oranglah!"
"Abang ni suka nak buat Rossa marah kan?!" bentak Rossa.
Firdaus senyap sesudahnya. Mood Rossa betul-betul tengah swing saat ini. Susah hati pula dia kalau isterinya itu tidak makan dek pujukan.
"Rossa! Firdaus! Buat apa kat situ? Turunlah bawah! Umi dah masak ni" Umi Za yang baru keluar dari arah dapur lantas menegur mereka.
Rossa segera menyembunyikan Firdaus di belakang badannya. Padahal Firdaus sudah hampir nak terburai tawanya. Haiii, dia ni! Badan kecik lagi dari aku, konon nak sorokkan kita!
"Yang kamu berdua tercegat kat atas tangga tu buat apa?" tegur Umi Za lagi.
Rossa tersentak. Baru dia teringat akan teguran Umi Za yang pertama tadi. 'Umi dah masak ni!' Seketika, dia berfikir. Kemudian, dia menoleh memandang wajah Firdaus. Suaminya sudah mengekek ketawa. Wajah Rossa cemberut. Ada sesuatu yang tidak kena.
"Abang nak mainkan Rossa kan?"
"Ehh mana ada?!" Firdaus sembunyi tawa.
Rossa sudah memukul-mukul bahu Firdaus. Geram hatinya dipermainkan begitu oleh suaminya. "Abang suka mainkan Rossa!"
Anak tangga dituruni dengan hentakan kaki yang kuat. Hampir saja Rossa hendak terjatuh namun dengan pantas tangan Firdaus menyambutnya.
"Haaa itulah! Cakap lagi kasar-kasar dengan suami. Tak tahu diri sedang mengandung, jalan macam nak roboh je rumah ni!" Firdaus berleter dengan wajah yang membengis. Fobia dia jika Rossa keguguran lagi.
Wajah Rossa turut membengis. Kecil hatinya diomeli seperti itu. Besar sangat ke badan dia sampai Firdaus kutuk dia seperti itu? Dia berubah bentuk badan pun kerana Firdaus juga.
Mereka sudah tiba di meja makan. Firdaus menarik kerusi untuk memperlawa Rossa duduk tetapi Rossa pula tarik kerusi yang satu lagi. Saja tunjuk protes!
Firdaus menggeleng kepala. Arghh sudah! Merajuk lagilah tu!
"Kenapa abang tak bagitau yang abang dah baik dengan umi? Suka sangat tipu orang!" Suara Rossa sudah tenggelam timbul.
Firdaus sudah melabuhkan duduk di sebelah Rossa. Dia tahu hati Rossa tengah panas. Oleh itu, dia harus bijak mengawali keadaan agar Rossa tidak bertambah bahangnya.
"Baru nak cerita. Tapi sayang dah marah-marah"
"Ceritalah! Suka sangat nak orang dengar dari mulut orang lain!"
Adehhh, bergegar hati Firdaus mendengar nada suara Rossa ketika itu.
Ketika itu, Umi Za dan Mak Nab muncul semula dari arah dapur.
"Monyok je ni. Lauk yang umi masak tak sedap ke?" tegur Umi Za saat terpandang wajah masam Rossa itu.
"Lauk ni sedap umi. Tapi yang tak sedapnya, ada orang tengah hangin satu badan!" tempelak Firdaus sambil menyedok nasi ke dalam pinggannya dan pinggan Rossa.
"Umi dan abang memang saja kan nak kenakan Rossa?"
Umi Za pandang wajah Firdaus. Dan Firdaus hanya menjongket bahu. Penat betul dia dengan telatah Rossa. Hal kecik dia perbesarkan. Baru je baik, mereka bergaduh semula. Haihhhh...
"Kenakan apa ni? Umi tak faham"
"Umi dah baik dengan abang. Kenapa tak bagitau Rossa? Dahlah Rossa sedih, fikirkan yang umi akan halau abang lagi. Stress tau Rossa fikir semua ni. Macam-macam yang bermain di fikiran, tup-tup abang dan umi dah baik dalam diam. Sakitnya hati Rossa!"
Umi Za sembunyi senyum. Wajar sajalah anak gadisnya mengamuk sakan. Si Firdaus punya kerja rupanya! Dia menapak ke sisi Firdaus lalu memulas telinganya.
"Hmmm, nampaknya ni salah Firdaus! Memang nak kenalah Fir dengan umi!"
"Alaa, Fir tak sempat nak bagitaulah umi" Firdaus terangkat dek kerana pulasan Umi Za. Menyengat juga rasanya.
"Kan umi dah pesan, bagitau Rossa perkara sebenar. Kamu ni memang suka cari pasal" Telinga Firdaus dipulas lagi.
"Ye, salah Fir semuanya mi! Fir janji tak buat lagi" Teraduh-aduh Firdaus menahan kesakitan.
"Umi, dahlah! Kesian abang. Merah dah telinga tu" Rossa hampir hendak menangis.
Firdaus tersenyum kecil.Sayang jugak dia kat aku!
"Aikk, tadi marah. Sekarang..." perli Umi Za.
"Marahlah. Tapi dah umi buat suami Rossa macam tu, siapa tak kesian"
Umi Za tergelak lalu melepaskan Firdaus. Dia hanya ingin menguji Rossa. Tidak disangka, hati itu rapuh juga pada akhirnya.
"Kamu ni Rossa. Asyik-asyik nak merajuk dengan suami kamu. Tanyalah dia betul-betul dulu. Jangan main terjah je"
Rossa menunduk wajah. Dah kena dengan umi, hadapkan sajalah telinga itu.
"Kamu pun satu Fir! Tak pandai nak berterus-terang!"
Firdaus menyerotkan wajah. Dia pun terkena jugak!
"Fir mintak maaf. Fir janji tak buat lagi. Fir ingat nak bagitau Rossa tapi Rossa dah cakap dulu, tu yang tak sempatnya. Alih-alih, Rossa dapat tahu sendiri" Firdaus membela diri.
"Yelah salah Rossa semuanya!" cantas Rossa lagi.
"Tak, abang tak cakap tu salah Rossa. Abang cuma..."Firdaus berjeda tatkala tertangkap wajah mencuka Rossa. "Yelah, abang yang salah. Abang tak bagitau sayang dari awal lagi. Abang betul-betul mintak maaf"
"Macam-macam budak sekarang ni" omel Umi Za. Wajah Mak Nab yang sudah duduk di sebelahnya dipandang. "Kalau kita dulu, belum sempat lagi nak bermasam muka dengan suami, dah kena sedas dengan orang tua"
Rossa terasa hati. Segera dia mengangkat wajah dan maniskan senyuman. "Umi ni, kalau bercakap tak pernahnya tak menyindir!"
Umi Za dan Mak Nab tergelak.
"Rossa mintak maaf. Takde niat nak kasar dengan abang. Dah tu, perasaan Rossa ni sensitif. Sebab abanglah!"
Umi Za mengangkat kening. "Sebab Fir?"
Firdaus sudah tersengih. Rossa merona merah.Terlepas cakap pulak!
"Ohh jadi sekarang, kamu berdua ni sorokkan sesuatu dari umi ye? Pandai kamu sekongkol ye?" Umi Za dapat mengagak maksud kata-kata Rossa tersebut. Dia juga pernah muda, pernah kahwin, dan pernah merasai semua itu.
"Ala umi. Tak sempat nak bagitau" Rossa membela diri.
"Arghh! Sengaja tak nak bagitau umi kan?"
"Mana ada umi. Betullah, tak sempat nak bagitau apa-apa" sampuk Firdaus pula.
"Arghhhh!!" Umi Za pura-pura merajuk sambil memeluk tubuh. Rossa dan Firdaus mendekati Umi Za lalu berlutut di sisi kiri dan kanannya. Memohon maaf berkali-kali sedangkan dalam hati, Umi Za sudah tergelak sakan.
Ketawa terburai juga. Lantas, kedua-dua mereka mendongak memandang Umi Za.
"Seronok dapat kenakan menantu dengan anak sekali!"
"Umiiii!!" Rossa dan Firdaus serentak menjerit.

KEADAAN Aina tampak kritikal. Wajahnya memucat. Meskipun sudah waras, namun tubuh badannya tetap lemah dan seakan tidak berdaya. Hendak ke tandas juga harus dipimpin oleh Ainida. Berkali-kali dia muntah di atas katil, tetapi Ainida tetap sabar melayan karenahnya. Adakalanya Aina marah-marah, tetapi Ainida kuatkan hati kerana doktor pernah memberitahu bahawa itu adalah salah satu tanda kanser otak. Cepat marah dan tidak mampu mengawal emosi! Oleh itu, Ainida sabarkan hati dan sentiasa berdoa agar diberikan kesembuhan kepada Aina.
"Aina tak nak makanlah! Akak ni tak faham ke?" jerkah Aina kasar sambil mencampakkan bubur ayam ke lantai. Berderai pecah pinggan kaca tersebut. Pilu hati Ainida melihat sikap adik yang suatu masa dahulu periang dan positif orangnya.
"Kalau Aina tak nak makan, macam mana nak sembuh? Nanti Aina sakit lagi"
"Dah memang pun Aina ni sakit! Tunggu masa nak mati je lagi!"
"Aina!" Ainida mengucap panjang sambil mengurut dadanya. Dia tahu, Aina tertekan dengan keadaan kesihatannya. Namun dia juga tertekan kerana harus berhadapan dengan semua ini. Tidak bisakah mereka sama-sama mengharungi semua dugaan ini? Memang mati itu pasti. Tetapi usaha itu tetap harus seiring. Meski tiada tanda-tanda untuk sembuh bagi pesakit dengan tahap 4, namun tidak salah untuk terus berusaha. Ajal maut itu semua di tangan Allah.
"Kalau akak nak Aina terus hidup biarpun akan mati tak lama lagi, akak tunaikanlah permintaan Aina yang satu ni" Sudah lama dia memikirkan keputusan itu. Samada Ainida suka atau tidak, dia tidak kira. Dia tetap ingin meneruskan hasratnya. Hanya itu yang mampu membuat hatinya puas dan senang sebelum pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.
Ainida memandang wajah Aina dalam-dalam. Jika benar ada yang bisa membuat Aina bahagia, akan dia tunaikan tak kiralah apa pun yang akan terjadi.
"Aina nak apa?"
"Firdaus! Kawenkan Aina dengan Firdaus, dan Aina janji tak akan sia-siakan hidup Aina. Kalau Aina mungkir janji, Aina makan sumpah Aina sendiri"
Ainida jatuh terjelepok ke lantai.Permintaan itu justeru amat berat untuk ditunaikan. Bagaimana bisa dia menunaikan hasrat itu sementelah Firdaus itu suami orang? Namun jika tidak ditunaikan, dia tidak mampu hendak membahagiakan Aina sebelum masanya tiba.
Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience