HAFIZI hendak mengetuk pintu bilik tetapi tidak sampai pula tangannya ke situ. Dia ingin bercakap terus dari hati ke hati mengenai apa yang menimpa abangnya itu. Dia berharap Bakri akan mendengar katanya untuk memberikan sedikit ruang kepada Rossa. Dia tahu keadaan Rossa. Malu dan terasa memperbodohkan diri sendiri. Rossa seorang perempuan, dan apabila usahanya seperti memikat Bakri hanya dipandang sepi oleh lelaki itu, dia terasa seperti harga dirinya jatuh menjunam.
Hafizi mengeluh lagi. Berdiri di hadapan pintu bilik Bakri dan berkira-kira hendak masuk atau tidak. Dia harus punya kekuatan untuk berhadapan dengan lelaki itu. Bakri walaupun dalam keadaan tenang, tetapi dia masih bijak membidas setiap hujahnya. Kali ini, dia tidak mahu kalah lagi. Bakri harus disedarkan. Sampai bila dia harus membanggakan diri, konon-kononnya dialah lelaki paling kuat tanpa ada cinta di dalam hidup. Arghh! Dia tidak peduli. Dia harus juga berdepan dengan Bakri.
Pintu bilik diketuk sekali. Serentak itu juga, suara garau Bakri menyuruhnya masuk. Pintu bilik terbuka luas. Laju saja derap kakinya menapak ke arah Bakri yang sedang sibuk di hadapan komputer.
"Long, kau sibuk ke?"
"Not really. Kenapa?" Matanya hanya ditumpukan pada screen komputer. Laju saja tangannya menari-nari di atas papan kekunci.
"Can we talk?"
"Cakap jelah. Aku dengar"
"Pasal Rossa"
Serentak itu, jari-jemari Bakri terhenti. Demi mendengarkan nama itu, hatinya dipagut resah. Teringat kembali akan foto-foto Rossa yang diterimanya tempoh hari. Sesuatukah terjadi pada dia?
"What happened to her?" Bakri seboleh mungkin mengawal debar di dada. Risau jika ketakutannya menjadi kenyataan.
"Can we talk without any of those disturbances? It's urgent! Talk as man to man"
Bakri mengalah juga. Suis komputer ditutup. Wajah Hafizi dipandang. Di situ, persoalannya jatuh. "Talk. I'm listening. You ask, I'll answer"
"Kenapa kau abaikan Rossa? Dia called kau banyak kali kot" Hafizi mulakan sesi soal jawab.
"She's not even mine. Why should I bother her?" Tenang dan mendatar jawapan Bakri.
"She cares about you" tukas Hafizi. Ada nada tidak puas hati di situ.
"Aa.. aa.. As we promised, you ask the question. Not to give any statement. And I'll answer them all"
Hafizi menghela nafas perlahan. Benarlah kata Rossa. Abangnya itu memang keras. Dan sukar untuk difahami.
"Kau ada terima bunga yang dia bagi?"
"Ada"
"Mana bunga tu?"
"Aku buang"
"Kenapa?"
"Aku tak suka bunga!"
"Rossa? Kau suka dia?"
Kali ini, mulut Bakri bagaikan dikunci. Dia tiada jawapan untuk soalan itu.
"Perlu ke aku jawab soalan tu?"
"Aa.. aa.. as we promised, I will ask, and you'll answer. Not the other way. Jawab soalan aku" Hafizi senyum kemenangan. Bakri terkena!
Bakri mendengus geram. Profession Hafizi sudah bertukarkah? "Tak. I don't like her"
Hafizi tersenyum mengejek. Dia tahu Bakri sedang menipu. Kerana tidak ada eye-to-eye contact yang berlaku antara mereka. Lagipula, Bakri selalu melarikan anak mata daripada bertembung dengannya. One point for me!
"Dia ada called kau lately ni?"
"Ada" Tapi hanya untuk beberapa hari yang lepas. Hari ini, dia langsung tidak menerima apa-apa daripada Rossa. Tiada panggilan telefon, tiada kirima bunga bahkan tiada sekontena makanan yang diterimanya seperti selalu.
"Rossa ada kirimkan apa-apa lagi untuk kau?"
"Takde!"
Bibir Hafizi memekar dengan senyuman saat melihat keresahan yang terpancar pada wajah itu. Another points for me!
"Berbalik pada jawapan kau yang pertama tadi. If she is not yours, why don't you make her one?"
"Kan aku dah cakap, aku tak suka dia!" Bakri hampir-hampir hendak melenting. Soal jawab apa yang Hafizi buat ke atas dirinya?
"Cool down buddy! Kalau kau tak suka dia, kenapa nak terjerit-jerit ni?"
Bakri tersedar dari alam nyata. Pandangan sinis Hafizi menikam terus ke dasar hati. Dia sudah terperangkap. Bahasa tubuh dan jawapan yang diberikan mampu menjelaskan perasaan sebenarnya pada Rossa.
"Kau cuma nak tahu aku suka dia ke tak kan? Soalan-soalan lain tu cuma perangkap kan?" tanya Bakri lagi. Setahu dia, selama bekerja sebagai polis, itulah yang selalu digunakannya untuk memerangkap musuh. Menjerat dengan pelbagai persoalan agar perkara sebenar terbongkar. Dan kali ini, Hafizi menggunakan cara itu ke atas dirinya. Arghh! Betapa seorang Rossa mampu mengucar-kacirkan perasaannya yang tenang seketika tadi.
"Itu yang kau selalu guna masa kau siasat musuh kan? You should know my trick. Masih nak berdalih lagi?"
Kali ini, Bakri benar-benar kehilangan kata-kata. Sebuah keluhan termuntah dari bibirnya. Dia bijak menyembunyikan rasa, tetapi tidak bahasa badan. Dan tidak disangka ianya mampu dibaca oleh Hafizi.
"I don't dare to stay close to her" Bakri mendengus perlahan. Kisah lampau mengekangnya dari terus merealisasikan impian cintanya.
"Sebab apa yang pernah terjadi pada arwah Kak Lia?" teka Hafizi.
Bakri mengangguk lemah. "If something were to happen to her and it's all because of me, I couldn't bear to forgive myself"
"Ajal, maut, jodoh, rezeki semua kat tangan Allah. Kalau kau tak bersama dia sekalipun, dia tetap akan pergi jugak kalau dah tiba masanya. Takkan kau nak lepaskan dia? She's a good girl. She's one in a million. Dia sanggup ketepikan maruah dia semata-mata nak buat kau percaya pada cinta"
Bakri mengangkat wajah memandang Hafizi. Dia tidak memahami maksud tersebut.
"Aku yang suruh dia buat semua ni. Sebab aku nak dia tolong kau.."
"Kenapa? Aku ni lelaki lemah ke pada pandangan kau?" cantas Bakri sebelum sempat Hafizi menghabiskan ayatnya.
"Yes! Kau lemah, tak berdaya. Pada mata orang lain, kau nampak kuat, kau nampak mampu..Sebab dah banyak operasi under kau berjaya. Berapa banyak sindiket haram dah kau tumpaskan? Banyak long. Terlalu banyak. Tapi satu je kau tak mampu nak tumpaskan. Masa silam kau yang senyap-senyap cuba nak bunuh kau! Kau tak sedar ke, dalam diam kau dah jadi hamba pada kisah lampau? Kau terlalu tunduk pada masa lalu. Kau bersedih dengan kisah lalu sampai lupa nak gembirakan hati sendiri. Bagi aku, kau belum cukup kuat. Selagi kau tak lawan kisah ngeri kau tu, selagi tu kau belum cukup kuat untuk aku banggakan!"
Bakri tersentak. Pendapat Hafizi mengenai dirinya akhirnya terjawab jua. Tidak disangka begitu sekali Hafizi berfikir mengenai dirinya. Tetapi dia tidak mampu untuk menolak kenyataan itu. Apa yang diluahkan oleh Hafizi cukup menggambarkan dirinya yang sebenar. Dia pengecut kerana masih terikat pada masa silam. Dia takut untuk terus merangkak mencari bahagia sendiri walhal semua itu sudah tersedia di hadapan mata. Tetapi dia juga tidak bisa menipu hati. Kehadiran Rossa cukup menggelorakan hati dan hidupnya. Apa yang harus dilakukannya?
"NAH, ambik ni" Firdaus menyerahkan sebuah envelop kuning kepada Rossa. Dengan teragak-agak, Rossa sambut juga envelop itu.
"Apa ni? Duit ke? Atau cek?"
Firdaus tergelak melihat mimik muka Rossa yang comel itu. "Aah, cek tapi cek tendang!"
Keduanya bergabung ketawa. Rossa menarik keluar sesuatu dari dalam envelop tersebut. Sebuah kertas putih bersaiz A4. Di atasnya terdapat beberapa maklumat yang tertera. Tak ubah seperti borang isi kerja!
"Ni borang kerja kan?" tanya Rossa, sekadar inginkan kepastian.
Firdaus mengangguk ceria. "Yup!"
"Tapi kenapa bagi saya?" Rossa tidak faham apa sebenarnya kemahuan lelaki itu. Dia melihat Firdaus menyandarkan tubuh ke batang pokok. Kali ini, penampilan Firdaus juga seperti sebelumnya. T-shirt berlengan pendek paras siku dan berseluar slack. Semakin hari, dia nampak perubahan pada lelaki itu. Dan dia akui, dia senang dengan perubahan mendadak itu.
"Kan awak nak cari kerja. Masih takde jawapan kan? Cubalah kerja ni. Mana tau, awak dapat"
"Tapi ni syarikat apa? Mana awak dapat semua ni?"
"Daripada awak tanya saya banyak soalan, ada baiknya awak belanja saya makan. Lapar ni tau! Belanjalah saya sebagai ucapan terima kasih"
Rossa menggeleng kepala. Firdaus sungguh misteri. Dia tidak tahu di mana lelaki itu tinggal, dia kerja apa, dia buat apa, dan borang kerja ini... Arghhh! Terlalu banyak persoalan yang tersembunyi.
"Nah, saya mampu belanja awak ni je! Nanti kalau saya dapat kerja ni, saya belanja KFC okey?" Rossa sudah menyerahkan satu kontena kecil mihun goreng kepada Firdaus.
"Yang ni pun okey" Firdaus sudah memulakan suapan pertamanya. "Awak tak kerja ke hari ni? Ada pulak masa pergi taman" tanya Firdaus pula. Dia sebenarnya ingin menemui Rossa di rumah atau di kedai saja. Tetapi Rossa menolak dengan membuat temujanji di taman.
"Umi tahu saya keluar. Tapi kejap je. Lepas ni nak kena balik dah. Ni mihun yang saya goreng sendiri. Sedap tak?" Mata Rossa bersinar saat menanyakan soalan itu.
Firdaus berfikir sejenak. Tiba-tiba dia punya idea untuk menyakat gadis itu. "Mihun awak ni, macam ada kurang sikitlah"
Rossa mengeruhkan pandangan. "Kurang? Kurang macam mana?"
"Entah. Susah nak cakap. Tapi macam kurang...."
Tanpa sempat Firdaus menghabiskan ayatnya, Rossa bertindak menyuap mihun ke dalam mulutnya. Dia harus memastikan kebenaran kata-kata lelaki itu. Jika betul ada yang kurang, dia akan memperbaiki masakannya semula.
Firdaus tersenyum manja. Umpan mengena. Seperti yang dia duga, Rossa cepat melatah.
"Takde apa yang kurang pun?? Awak nak mainkan saya ke?" gerutu Rossa. Setahu dia, masakan itu tidak ada kurang apa-apa. Cukup semua rasa. Bahagian mana yang kurang?
"Laa yeke? Kejap, saya rasa lagi" Firdaus menyuap sesudu mihun ke dalam mulutnya. Kemudian, dia tersenyum mengusik. "Laa, dah tak kuranglah.Cukup rasa pulak. Sebab awak dah tambah perisa tadi"
Rossa kurang mengerti. Namun setelah Firdaus menayangkan sudu yang digunakannya sesudah Firdaus, barulah dia dapat menangkap maksud lelaki itu. Dia ingin mencubit lengan lelaki itu, tetapi perlakuannya terhenti. Risau jika Firdaus mengusiknya lagi.
Firdaus mengekek ketawa.
"Saja tau awak? Mengadaa!" omel Rossa. Namun hatinya senang pula dengan usikan tersebut.
"Borang tu jangan lupa isi. Lepas tu poskan ke alamat yang tertera tu. Saya rasa, ada kerja yang berpatutan dengan course yang awak ambik before. Kali ni, cubalah belajar benda baru. Luaskan pemandangan awak.Jangan selalu berkepit di bawah ketiak umi!"
"Eeeee mengadaa! Bila pulak saya berkepit bawah ketiak umi?" Rossa menyangkal hujah-hujah Firdaus.
"Betullah kan?" Firdaus menyambung sisa-sisa suapan terakhir. "Awak bekerja dengan umi, tu bukan duduk bawah ketiak umi ke? Awak tak selesa berada dalam circle kumpulan yang baru. Awak takde keyakinan!"
"Pandaikan?? Sejak bila awak tahu nak menilai keyakinan seseorang ni?"
Firdaus letak kontena di atas tikar merah. "Don't get me wrong! Kalau awak nak belajar, nak menerokai dunia luar, awak kena keluar dari zon selamat awak"
Rossa tercengang. Firdaus pula menggaru kepala. Degree apalah yang budak ni ambik? Benda macam ni pun dia tak faham?
"Belajar apa bendanya? Saya baru je habis belajar. Tak naklah belajar semula!"
Firdaus menepuk dahi. "Cik adik sayang, belajar ni banyak maksud. Awak tahu tak apa maksud belajar?"
"Belajar tu maksud dia, kita tak tahu apa-apa lepas tu kena ajar oleh seseorang sampai kita tahu. Tu lah maksud belajar"
"Tau pun! Tapi belajar yang saya maksudkan kat sini, awak belajar menerokai dunia luar. Tak semestinya awak kena belajar melalui buku. Kadangkala, belajar melalui pergaulan dengan orang ramai, dengan dunia luar pun dikira menambah ilmu pengetahuan jugak. Faham?"
Rossa mengangguk laju.
"Pendek kata, awak isi borang ni. Pastu poskan. Nanti adalah jawapan dia dalam 2 3 hari"
"Ehh kejapnya!"
"Anggap tu rezeki awaklah!" Firdaus bersuara penuh yakin sambil mengerdipkan matanya kepada Rossa.
SEUSAI makan malam dan berjemaah untuk mengerjakan Isyak, Bakri kembali ke kamar. Memanjat katil lalu menghempas tubuh ke situ. Tenang rasa hati setelah lama dia duduk berwirid dan berzikir memuji kebesaran Ilahi.
Novel Berikan Aku Cinta milik Rossa yang terletak di atas meja tepi katil dicapai. Lama dia merenung novel tersebut. Seingat dia, novel itu adalah pemberiannya kepada Rossa. Dia tidak tahu kenapa terdetik di hati untuk memilih novel tersebut sedangkan dia mempunyai puluhan novel di dalam bilik bacaan. Adakah kerana judulnya? Fahamkah Rossa maksud yang tersurat di sebalik novel tersebut?
Kini, novel tersebut dikembalikan semula ke tangannya. Adakah Rossa juga mempunyai maksud tersurat yang ingin disampaikan kepadanya melalui novel itu? Jika iya, haruskah dia terus berdiam diri dan membiarkan Rossa pergi? Sedikit sebanyak, dia terkesan dengan kata-kata Hafizi semalam.
Keluhan terlepas jua dari bibirnya. Hari ini, tiada sebarang panggilan daripada Rossa yang diterimanya. Adakah gadis itu sudah penat mengejarnya? Atau diakah yang sebenarnya menyulam benang rindu dalam diam?
"I miss her" Terluah juga perkataan itu dari bibirnya. Dia bingkas lalu duduk di atas katil. Menggapai telefon bimbit yang terbaring senyap di atas katil sedari tadi. Nombor Rossa dia cari. Dengan penuh debaran, nombor itu didail namun tak sampai dua saat, dia mematikan kembali panggilannya.
Bakri merebah tubuh kembali ke katil. Arghh!! Susahnya jatuh cinta!
PAGI ITU, Fahmi masuk ke dalam kedai dengan wajah yang mencuka. Beg yang tergantung di belakang dia simpan di dalam lockernya. Langkah kaki diatur menuju ke dapur. Apron yang tergantung di dinding digapai lalu dipasang ke badan.
Mak Ayu dan Kak Siti tidak berkutik. Hairan dengan gelagat Fahmi. Biasanya, lelaki itu akan menegur mereka dengan wajah yang ceria. Tetapi hari ini berbeda. Wajahnya mencuka, kurang perisa gamaknya!
"Kenapa dia tu?" bisik Kak Siti ke telinga Mak Ayu.
"Manalah Mak Ayu tau. Kaulah tanya dia"
"Eih, tak beranilah Siti. Kang dia sound Siti!"
"Haa, habis tu kau ingat Mak Ayu ni berani sangat ke?"
"Mak Ayu, tengah hari nanti saya tak masuk kerja. Ada hal. Tapi saya akan siapkan kerja saya semua. Jangan risau" Fahmi mencelah di antara mereka berdua.
"Ya ya" Mak Ayu hanya mengangguk laju. Tidak berani untuk terus bertanya.
ROSSA mengerutkan dahi. Dia dibawa secara paksa oleh Fahmi ke belakang kedai. Dia meronta-ronta minta dilepaskan tetapi Fahmi tetap tidak mempedulikan. Tangan Rossa ditarik kasar.
"Apa ni Fahmi? Awak dah gila ke?" rungut Rossa sesudah tangannya dilepaskan oleh Fahmi. Dia mengusap pergelangan tangannya yang berbekas dek pegangan Fahmi sebentar tadi.
Fahmi mendengus geram. Dia meraup wajah berkali-kali. Kemudian, sebilah pisau dikeluarkan dari arah belakang.
Wajah Rossa sudah pucat lesi. Ketakutan mulai beraja di hati. Apa yang ingin dilakukan oleh Fahmi terhadap dirinya?
"Aina tolak cinta saya!" adu Fahmi. Suaranya sudah bercampur nada. Kecewa dan terluka. Dia menoreh batang pokok asam yang sengaja ditanamkan di situ dengan pisau. Melepas geram dengan wajah yang mencuka!
Rossa menelan liur. Tidak pernah dia melihat Fahmi sebegitu. Biasanya lelaki itu penuh ceria dan sedikit lurus bendul. Tetapi pagi itu, seolah-olah bukan Fahmi yang berada di hadapannya.
"Ini semua salah awak!" Fahmi menunding kesalahan ke bahu Rossa. Jika bukan Rossa yang mengajarnya, pasti Aina masih sudi berkawan dengannya.
Rossa menyeringa. "Kenapa Aina tolak cinta awak salah saya pulak?"
"Sebab awak dan buku-buku awak tu ajar benda yang salah pada saya! Kalau saya tak ikut tunjuk ajar awak, mesti Aina dah jadi hak milik saya sekarang ni!"
Rossa terasa bahangnya saat itu. Apa yang telah terjadi antara Fahmi dan Aina bukan salah dia, bukan juga salah buku-bukunya. Sudah jelas Aina tidak berkehendakkan dia, kenapa harus dipaksa keadaan lagi?
"Semua yang terjadi tu dah takdir Fahmi! Awak kena terima. Nanti ada lah gadis yang baik lagi dari Aina akan terima awak. Mungkin bukan sekarang, tapi masa tu akan tiba. Percayalah" Rossa sempat memberi nasihat. Walaupun hatinya cukup meledak dengan kata-kata Fahmi, tetapi dia harus bijak mengawal perasaan. Keadaan Fahmi tak ubah seperti diasuk amarah, oleh itu dia harus berperanan sebagai penyejuk. Jika dia juga bertindak seperti Fahmi, keadaan akan semakin keruh.
"Betul ke?Awak tak tipu?" Fahmi menjamah seraut wajah Rossa.
Rossa mengangguk perlahan.
Share this novel